August 12th, 2014

Mantapkan mata pelajaran Sejarah asas patriotisme

USAHA harus dilakukan untuk memantapkan lagi mata pelajaran sejarah di peringkat sekolah menengah bagi mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar. Sejarah harus difahami, dihayati dan bukan dihafal atau mengingat fakta.

Mempelajari sejarah bangsa dan negara adalah teras kepada pembentukan jati diri dan asas kepada patriotisme serta cintakan negara. Pada bulan kemerdekaan ini, isu berkaitan sejarah sewajarnya menjadi perkara penting untuk diingati.

Tinjauan penulis, banyak faktor yang menyebabkan pelajar di peringkat sekolah menengah tidak berminat mempelajari sejarah. Menurut seorang guru Sejarah yang berpengalaman mengajar subjek itu selama 25 tahun mengatakan antara faktor tersebut adalah;

Pertama, pelajar belajar sejarah menghayati dan memahami jalur sejarah bangsa dan negara. Mereka belajar berkaitan tokoh yang sudah meninggal dunia dan pelajar tidak mengenali mereka.

Kedua, mereka sering bertanya, apabila lepas sekolah kerja apakah yang mereka boleh dapat melalui belajar sejarah? Adakah dapat menjamin untuk menjadi pakar Sejarah atau pakar Arkeologi berbanding mata pelajaran lain seperti Sains dan Matematik yang menjanjikan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Ketiga, banyak perkara yang terpaksa dibaca dan dihafal sebagai contoh, tingkatan satu ada 8 bab, tingkatan dua, ada 10 bab, tingkatan tiga, ada 7 bab, tingkatan empat ada 10 bab dan tingkatan lima ada 9 bab. Jumlah bab ialah 44 bab.

Keempat, semasa di tingkatan satu hingga tiga ada projek atau folio yang terpaksa dibuat oleh pelajar sedangkan markah tidak dikira dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sekurang-kurangnya berikan markah sebanyak 10 markah.

Kelima, tingkatan empat dan lima tiada projek atau folio. Pelajar terpaksa membaca dan menghafal 19 bab sedangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya dua soalan yang perlu dijawab oleh pelajar.

Sementara menurut beberapa pelajar ketika ditanya tentang subjek Sejarah, kebanyakan pelajar tidak minat belajar sejarah disebabkan beberapa faktor. Antaranya adalah;

Pelajar sukar untuk mengingat fakta yang banyak, fakta yang diajar kurang diminati. Buku teks tidak menarik dibaca menyebabkan sukar untuk diingati. Subjek Sejarah hanya memerlukan kekuatan ingatan pelajar.

Menurut mereka antara faktor lain adalah cara pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru Sejarah tidak membantu untuk pelajar mengingati fakta. Fakta yang diingati tidak digunakan dalam kehidupan masyarakat. Pelajar merasakan subjek sejarah membosankan dan membuang masa.

Selain itu, kebanyakan pelajar tidak minat dalam Sejarah kerana mereka tidak mengetahui manfaat mempelajarinya. Bahan P&P tidak menarik dan membosankan. Pelajar berasa dipaksa mempelajarinya kerana subjek teras. Mereka juga mengambil masa terlalu lama untuk mempelajarinya.

Beberapa cadangan diberikan antaranya, menggubal semula sukatan pelajaran Sejarah sedia ada. Kaedah, teknik dan pendekatan yang lebih sesuai terkini dan mudah difahami oleh pelajar melalui P&P Sejarah.

Sebelum Subjek sejarah diajar di tingkatan satu, guru sejarah mestilah menekankan kepentingan sejarah sebagai ilmu yang dapat memperkukuhkan jati diri, akar bangsa dan semangat patriotisme. Selain itu, buku teks baharu yang lebih menarik dengan pelbagai gambar, keterangan dan peristiwa penting.

Buku teks Sejarah yang berwarna dan menggunakan point form fakta-fakta penting dan bukan dalam bentuk karangan yang membosankan. Buku-buku sejarah atau novel yang bersifat kreatif seperti menceritakan detik-detik kemerdekaan, para pejuang kemerdekaan patut diterbitkan lebih banyak.

Guru Sejarah diberi kursus untuk teknik pengajaran kerana P&P guru Sejarah kurang berkesan memberikan penghayatan dan pemahaman sejarah tanah air kepada para pelajar. Setiap guru mestilah menggunakan pelbagai kaedah seperti aplikasi teknologi maklumat (IT) dan P&P terkini seperti kaedah multimedia dalam pendidikan yang menggabungkan teks, kesan bunyi, vokal, muzik, filem, animasi, video berserta perisian komputer yang interaktif.

Proses P&P akan menjadi lebih menarik, iaitu interaktif antara guru dan murid, interaktif guru dengan bahan pengajaran, interaktif murid dengan bahan pengajaran dan interaktif murid dengan murid. Sesekali lakukan interaktif tokoh sejarah dengan murid di sekolah.

Subjek sejarah boleh dimulakan di peringkat sekolah rendah iaitu pada tahun tiga, empat, lima dan enam serta dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Penilaian dan Pentaksiran tahun enam pada masa akan datang.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan, pihak kementerian memang bertegas menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai teras dan wajib dipelajari oleh pelajar secara berterusan bermula dari tingkatan satu hingga lima pada peringkat sekolah menengah. Kini mata pelajaran Sejarah adalah mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kurikulum sejarah dilaksanakan di sekolah ketika ini digubal dengan memberi penekanan kurikulum sejarah pada peringkat sekolah menengah rendah. Ia mestilah mempunyai kesinambungannya pada peringkat sekolah menengah atas supaya asas pengetahuan, nilai patriotisme, kemahiran sejarah dan pengalaman yang diperoleh dapat diperkukuh lagi.

Justeru, Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) menegaskan kesepaduan unsur pengetahuan, peningkatan daya intelek, pemupukan nilai murni dan perkembangan kemahiran belajar. Sehubungan itu, kurikulum Sejarah yang sedang dilaksanakan ketika ini, diberikan penekanan berasaskan kesepaduan dan kesinambungan.

Di samping pengetahuan sejarah, konsep dan kemahiran asas disiplin sejarah seperti pemikiran sejarah dan unsur patriotisme diperkukuh dalam proses P&P. Dalam usaha melahirkan generasi yang dapat memenuhi matlamat dan aspirasi negara, pendekatan P&P Sejarah menjurus kepada pemupukan pemikiran sejarah di kalangan pelajar di samping kandungan kurikulum sejarah.

Apa yang paling penting pelajar dapat menghayati dan memahami jalur sejarah bangsa dan negara sebagai asas membina jati diri, ke arah pembinaan negara bangsa dan semangat patriotisme.   DR. AMINUDIN MANSOR pengamal media dan bekas pendidik cemerlang. PhD Persuratan Melayu, UKM. Utusan/Rencana/20140812

Bagaimana Zionis memanipulasi media

SELAIN penguasaan senjata berat yang canggih hasil sumbangan Amerika Syarikat, cengkaman politik terhadap negara-negara kuasa besar dunia melalui lobi kumpulan-kumpulan berpengaruh seperti American Israel Public Affairs (AIPAC), dana kewangan yang besar hasil daripada sumbangan korporat dan jutawan Yahudi yang kaya dari serata dunia, rejim pengganas Zionis memastikan cengkaman penindasan mereka terhadap rakyat Palestin terus kukuh dan tidak boleh dipertikaikan oleh masyarakat dunia melalui cengkaman dan manipulasi media massa besar dunia.


Jika dilihat dari krisis terbaru yang sedang berlaku di Gaza, yang mengorbankan banyak nyawa, mengakibatkan puluhan ribu mangsa tercedera, dan hampir ratusan ribu kehilangan tempat tinggal setakat, media-media Barat seperti Cable News Network (CNN ) dan British Broadcasting Corporation (BBC) walaupun kelihatan seperti simpati dengan Gaza, tetapi terus memainkan propaganda dan melakukan manipulasi bagi membina legitimasi masyarakat dunia terhadap serangan terbaru rejim pengganas Zionis kali ini.

Dendangan Israel berhak mempertahankan dirinya sendiri dari serangan roket Hamas terus diulang-ulang setiap hari, begitu juga dengan kempen melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Walaupun terbukti melakukan banyak jenayah perang dengan menggunakan senjata terlarang, membunuh kanak-kanak, membedil masjid, kubur, bank, sekolah, hospital dan ambulans, tetapi media-media ini terus menggambarkan rejim pengganas Zionis sebagai pihak yang berada di kedudukan mangsa dan tindakan mereka hanyalah untuk mempertahankan diri.

Walaupun menggunakan hujah-hujah yang rapuh, tetapi ramai juga yang percaya dan termakan propaganda dendangan media massa yang pro rejim pengganas Zionis.

Jika diteliti, secara asasnya, terdapat tiga cara bagaimana media massa ini menjalankan propagandanya untuk membela rejim pengganas Zionis.

Pertama, manipulasi pemilihan terma dalam setiap laporan berita. Bila merujuk kepada Hamas, terma pengganas, pelampau atau militan akan digunakan, akan tetapi, bila merujuk kepada rejim Zionis, terma tentera, komando dan sebagainya akan diguna. Manipulasi terma ini adalah untuk mencipta persepsi bahawa Hamas adalah kumpulan pengganas yang wajar dihapuskan dengan apa jua cara.

Hakikat sebenar yang perlu kita ketahui dan sebar-sebarkan adalah pertubuhan Hamas yang ditubuhkan pada 1987 sempena intifada pertama merupakan pemerintah yang sah di Gaza sejak 2006, dan Briged Izzuddin Al Qassam adalah ketumbukan tentera yang ditubuhkan oleh Hamas untuk menentang penjajahan rejim pengganas Zionis. Hamas adalah sebahagian daripada perjuangan panjang rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan dari rejim pengganas Zionis sejak 1948.

Sementara itu, rejim pengganas Zionis, walaupun memakai pakaian seragam tentera, mempunyai kelengkapan-kelengkapan tentera, dan bergerak seperti tentera, disokong pula oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika dan Perancis, tapi hakikatnya, mereka adalah penjajah, pembuli dan sekumpulan pengganas yang berselindung di sebalik seragam tentera. Penduduk Palestin tidak akan melupakan sejarah kekejaman mereka, bermula dari tragedi pembunuhan yang amat ngeri di Deir Yassin pada 1948.

Kaedah kedua yang diamalkan oleh media massa yang dicengkam oleh rejim Zionis ini adalah menggunakan teknik pengulangan dalam laporan-laporannya. Setiap hari dendangan alasan kewajaran serangan demi serangan, pembunuhan demi pembunuhan, walaupun tidak masuk akal akan dilakukan. Ini kerana, penipuan dan pembohongan, jika diulang-ulang, akhirnya akan diterima oleh sebahagian manusia sebagai kebenaran.

Kaedah pengulangan ini adalah antara salah satu prinsip propaganda ciptaan Dr. Joseph Goebbles, pakar propaganda rejim Hitler ketika perang dunia kedua, dan mereka sedang mengaplikasikannya dengan hebat.

Antara contoh pengulangan yang dilakukan oleh rejim Zionis adalah label pertubuhan Hamas sebagai pengganas dan alasan bahawa Israel hanya mempertahankan diri dalam serangannya ke atas Gaza. Semua media yang dicengkam oleh mereka, boleh dikatakan setiap hari, selama bertahun-tahun, dalam setiap laporan berita dan analisis yang disiarkan akan menggunakan terma pengganas bagi Hamas dan mempertahanan diri sebagai kewajaran serangan.

Terbaru, mereka sedang mengulang-ulang pembohongan bahawa Hamas menggunakan perisai manusia dan lebih lucu, Hamas lah yang bersalah dalam kematian kejam ramai wanita dan kanak-kanak. Laman media sosial Israel Defense Forces adalah antara yang terkehadapan dalam kempen ini, walaupun mendapat banyak 'serangan' dari pejuang papan kekunci yang banyak datangnya dari Malaysia!

Kaedah ketiga adalah kaedah manipulasi gambar. Biasanya, bila merujuk kepada kumpulan-kumpulan yang dimusuhi seperti Hamas atau Ikhwan Muslimin, maka gambar yang digunakan biasanya adalah gambar lelaki-lelaki yang berwajah bengis untuk mencipta persepsi bahawa kumpulan-kumpulan ini dianggotai oleh lelaki-lelaki ganas umpama penjahat dalam filem-filem Hollywood.

Sementara itu, bila merujuk kepada ketumbukan pengganas rejim pengganas Zionis atau tentera-tentera penjajah yang sedang berkhidmat di Afghanistan atau Iraq maka imej yang dipaparkan adalah imej lelaki-lelaki tampan, bersih, penyayang, family man dan tidak ganas untuk membina persepsi bahawa mereka ini adalah hero atau penyelamat manusia seperti Superman.

Hakikat yang sebenar adalah sebaliknya kerana mereka adalah penjajah dan pengganas yang amat kejam dalam sejarah kemanusiaan walau apa jua imej yang digunakan.

Tiga kaedah ini hanyalah sebahagian daripada rantaian kaedah yang digunakan dalam propaganda media tajaan rejim pengganas Zionis dalam memporak perandakan dunia. Namun, tembelang kejahatan mereka semakin lama semakin terdedah, tambahan dalam zaman kebangkitan media sosial di mana maklumat yang sampai lebih telus, tanpa sempat di spin oleh editor-editor media mereka.

Lambat laun, dunia pasti akan mengetahui tembelang mereka dan penjenayah-penjenayah perang ini tidak akan selamanya selamat kerana Allah sedang menghitung kejahatan mereka satu persatu dan menanti masa untuk menimpakan azab yang pedih ke atas mereka yang zalim ini.     Mohd. Hisham Mohd. Sharif ialah Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Australia. Utusan/Rencana/20140812

Projek Persekutuan tidak Islamik?

MENARIK mendengar secebis pengalaman Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Syukri Mohd. Salleh semasa beliau berjumpa dengan seorang tukang kayu di satu majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Kelantan.


Menurutnya, lelaki itu merungut kerana kononnya terpaksa menunggu lama hanya untuk mendapat pemberian berjumlah RM500. Proses semakan pendaftaran dan sedikit taklimat pada majlis berkenaan mengambil masa kira-kira dua jam.

Semasa merungut itu Syukri datang menyapa lelaki berkenaan: "Pak Cik ini kerja apa? Dalam satu hari biasanya berapa Pak Cik dapat?"

Lantas lelaki itu menjawab: "Ambo kerja menukang (tukang kayu)…dalam sehari tu dapatlah dalam RM50 hingga RM60..."

Lalu Syukri menyampuk: "Kalau macam itu tak jadi masalahlah. Pak Cik kerja sehari makan masa sembilan atau 10 jam dapat RM50 atau RM60, tapi tunggu sini hanya kira-kira dua jam dapat RM500…" Lelaki itu terus diam.

Moral dari cerita ringkas di atas ialah betapa ada pihak hanya pandai merungut tanpa berfikir jauh. Sama seperti sesetengah pihak atau rakyat Kelantan yang terus-terusan menganggap negeri itu kononnya dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam penyaluran bantuan dan pembangunan ke negeri itu.

Malah ada yang menuduh pembangunan Kerajaan Persekutuan di Kelantan konon tidak Islamik, mementingkan kroni, sekadar projek cari makan dan macam-macam. Yang menyebut demikian bukan sekadar rakyat biasa tetapi termasuk para pemimpin Pas negeri.

Penulis mendapat cerita di atas semasa mengikuti seminar "Pembangunan Persekutuan di Kelantan Dari Perspektif Islam" pada 2 Ogos lalu. Syukri adalah salah seorang pembentang kertas kerja pada seminar itu.

Sekali imbas tajuk seminar ini agak 'klise'. Tajuk yang sering diperkatakan. Namun berada di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di Kota Bharu itu benar-benar memberikan banyak maklumat. Bahawa Kelantan bukan sebagaimana negeri Kelantan yang ada tanpa bantuan berterusan kerajaan Persekutuan sejak diperintah Pas tahun 1990 lalu.

Hampir keseluruhan pembangunan yang terdapat di Kelantan ketika ini disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan. Mencakupi pembangunan prasarana seperti jalan, bekalan elektrik, air sehinggalah kepada pembinaan sekolah, hospital, klinik, masjid, surau, membaiki pasar sehinggalah kepada pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Projek Jambatan Kedua Sultan Yahya Putera, Projek Jalan Bertingkat di Pasir Hor Kota Bharu dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Di Tunjung, dekat Kota Bharu terdapat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). Kos pembinaannya lebih RM140 juta. Kini ia merupakan RTC paling berjaya selain di Gopeng, Perak. Ramai yang berniaga hasil-hasil tempatan dan ramai pula yang datang membeli di situ.

Sekitar kompleks RTC Tunjung terdapat pejabat-pejabat agensi Persekutuan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Klinik 1Malaysia dan lain-lain.

Sementara itu di luar kompleks terdapat Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Audit Negara, Mahkamah Syariah dan Pejabat Pelajaran Negeri.

Mengamati pembentangan Syukri, pendek kata sebut saja apa jua projek di Kelantan hampir keseluruhannya dibiayai Kerajaan Persekutuan. Kebanyakannya dibina dalam peruntukan Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) dan RMK-10. Tidak perlu dinyatakan kos bagi setiap projek. Namun secara kasar menurut Syukri, sebanyak 1,400 projek dilaksanakan di bawah RMK-9 di Kelantan dengan peruntukan RM6.1 bilion. Sementara sebanyak 593 projek dilaksanakan dalam RMK-10.

Itu pun belum termasuk projek membaik pulih bulatan Medan Tuan Padang di Bandar Kota Bharu yang heboh baru-baru ini dengan pokok-pokok kurmanya berbuah. Di samping ada pihak yang menguar-uarkan kononnya berbuahnya pokok-pokok kurma itu ada kaitan dengan bumi Kelantan yang subur di bawah pemerintahan yang ada, rupa-rupanya projek itu dibiayai kira-kira RM1 juta oleh Kerajaan Persekutuan.

Malah projek membina laluan pejalan kaki pun dibiayai Kerajaan Persekutuan. Tujuannya bagi mengatasi jenayah ragut. Termasuk juga projek pencahayaan bandar dan membina taman-taman rekreasi.

Itu pun belum disebut imbuhan bulanan untuk para Imam, Bilal dan pekerja masjid-masjid yang dihulurkan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Turut mendapat imbuhan para penggerak dan tenaga pengajar agama.

Tidak dilupa kalangan mereka yang daif dan yang memerlukan bantuan. Mereka dibantu sama ada secara tunai mahupun dibekalkan peralatan dan sumber sokongan agar mereka mampu berdikari. Bantuan disampaikan melalui pelbagai skim oleh jabatan dan agensi Persekutuan.

Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula bercakap mengenai pembangunan dalam konteks Islam. Berasaskan nas-nas yang sahih, beliau merumuskan segala projek pembangunan yang bermatlamat mensejahterakan kehidupan insan adalah selaras dengan tuntutan Islam.

Malah mana-mana pemerintah dituntut merancang dan melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat. Ia tidak memadai sekadar doa dan ceramah. Ia membabitkan amanah dan tanggungjawab. Pemimpin adalah mandat rakyat.

Islam menggalakkan penjanaan ekonomi bagi merangsang kehidupan makmur dan selesa yang memungkinkan ummah beribadat dan beramal bakti demi kesejahteraan dunia dan akhirat. Islam menyarankan umatnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Islam juga menggesa umatnya mementingkan penjagaan kesihatan dan mengelak dari sebarang hal yang memudaratkan.

Ertinya segala projek pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan ternyata menepati kehendak Islam. Misalnya menduduki rumah yang selesa tentu saja menjadi asas pembinaan institusi keluarga yang sejahtera.

Segala kemudahan prasarana yang disediakan pula sudah tentu mendorong kepada kegiatan kehidupan yang aktif serta bergerak maju. Jadi tidak perlu timbul istilah 'tidak Islamik', melainkan sekadar melayan sentimen politik bagi mengalih sokongan rakyat terhadap kerajaan Persekutuan. Semata-mata untuk kepentingan politik.

Dr. Asyraf mengajak rakyat negara ini bersyukur kerana Islam berkembang subur di Malaysia. Banyak dunia Islam ingin mencontohinya. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah dijemput membentangkan pengalaman Malaysia dalam mengurus tadbir negara termasuk memajukan bidang ekonomi pada Persidangan Ekonomi Negara-Negara Islam di Mesir.

Menjawab satu soalan daripada audien, Dr. Asyraf berpendapat, antara rahsia kerajaan negeri di bawah pembangkang dapat mengekal kemenangan ialah dengan menentukan 'parti menguasai kerajaan', sementara pendekatan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) lebih terbuka dan terlalu demokratik.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam ucapan penutup seminar itu mengakui, rakyat Kelantan tidak diperjelaskan dengan tepat dan menyeluruh tentang projek-projek Persekutuan di Kelantan.

Ekoran itu masih terdengar pelbagai tohmahan negatif rakyat Kelantan terhadap projek pembangunan serta bantuan dan kebajikan yang dihulurkan Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa.

Bagi Mustapa, adalah tidak adil jika harga bagi segala sumbangan Kerajaan Persekutuan hanya dibayar dengan cemuhan dan penafian secara berterusan. Sedangkan katanya, Islam sendiri menegah umatnya menafikan perkara-perkara baik yang disumbangkan oleh orang lain kepada kita.

Sebenarnya masih banyak sudut yang perlu 'dirungkai'. Persoalan tentang persepsi dan penerimaan rakyat Kelantan terhadap sumbangan Kerajaan Persekutuan perlu dicari jawapan secara tepat dan jujur.

Barangkali wajar jika difikirkan kemungkinan mengadakan satu seminar khas semata-mata untuk mengkaji kenapa rakyat Kelantan sukar menyokong Kerajaan Persekutuan meskipun mereka sedar Kelantan ketinggalan tanpa bantuan Kerajaan Persekutuan.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Pemikir Jabatan Hal Ehwal , Kementerian Komunikasi  dan Multimedia Malaysia. Utusan/Rencana/20140812

National Unity: Patriotism is more positive than nationalism

IT is the obligation of every patriotic citizen to strive for national unity but those involved in heated exchanges only succeed in driving people apart.

Allowing emotions to rule or taking a simplistic approach would fail just as miserably as equating unity with uniformity or conformity.

Many feel that getting all of us to speak a common language would achieve national unity, without taking into account that it is often lacking even among families, organisations and ethnic groups that communicate in the same language.

For decades, the Arab-speaking world had been embroiled in turmoil and, although they share a common religion, these Arab nations were never united enough to stave off its lone arch-enemy, Israel, since 1948.

Since 1950, the two Koreas remain in a tense state of armed truce, with both sides possessing enough firepower to wipe out each other in a full-scale conflict.

On the other hand, people in the United States may be divided between Democrats and Republicans, but the American Foreign Service will extend the fullest aid to all its citizens overseas, including those recently naturalised.

Malaysians can be more united when we learn to differentiate between nationalism and patriotism. Raising our national flag and singing theNegaraku naturally make us swell with pride, especially during medal presentation ceremonies.

Nationalism, in its ugly form, is exemplified by ultra nationalists who feel good by putting others down.

Patriotism goes beyond nationalistic feeling and is demonstrated through positive actions.

Those who study or work hard; are productive and contribute to society; courteous and respectful to both Malaysians and foreigners; not corrupt or wasteful, protect the environment and the weak; are patriots.

In a real crisis, they are more likely to come to the defence of the country than those engaged in rhetoric or express supremacist views.

Switzerland has four official languages and 26 autonomous cantons. Its multicultural heritage and strong sense of national identity empowered the Swiss to stay neutral in both World Wars.

Over a million Malaysians work overseas as their skills are welcomed by many host nations, and also due to their proficiency in languages, especially English, Mandarin or both.

My parents were Chinese school teachers when they sent me to study in an English school, casting aside their pride for the oldest surviving written language.

To me, Malaysia is the united states of Asia and we were already truly Asia more than 500 years ago
when people from the West, South, East and Southeast Asia settled in Malacca.

We should be celebrating a diversity of languages, cultures, religions and traditions as the Almighty had intended, and not strive for uniformity in the name of unity.

Divergent views and creativity are catalysts for progress to transform our country into a developed nation, and embracing universal values would make us good global citizens. Y.S. Chan, Kuala Lumpur NST Letters 8 AUGUST 2014 @ 8:10 AM