August 14th, 2014

Sudah tiba masa PAS henti jadi ‘Joker’

Kemelut Menteri Besar Selangor kini melepasi garisan halus yang memisahkan antara parti dan kerajaan negeri. Di pihak PKR, tindakan memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh dianggap langkah akhir dalam usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim menyingkirkannya daripada jawatan Menteri Besar.

Dari perspektif politik tempatan, Khalid ialah Menteri Besar yang diangkat daripada calon pakatan pembangkang berikutan kejayaan memperoleh majoriti kerusi pada pilihan raya umum. Namun, apabila beberapa keputusan pentadbiran negeri yang dibuat Khalid dilihat menyanggah prinsip dan agenda parti, Anwar selaku Ketua Umum PKR berasakan perlu menamatkan ‘kekarutan’ Khalid.


Isu yang dikaitkan dengan kegagalan Khalid termasuk perjanjian air dengan Kerajaan Pusat, rampasan Bible versi Melayu dan serbuan tempat ibadat, serta beberapa isu yang didakwa berkaitan kewibawaan beliau, khususnya penyelesaian pinjaman Bank Islam. Berikutan pemecatan Khalid daripada PKR, dari detik ke detik, situasi politik Selangor memperlihatkan aksi percaturan politik yang kian agresif. Tindakan yang dibuat Anwar disusuli langkah serangan balas oleh Khalid.

PKR terpinar sementara

Dalam tindakan reaktifnya, Khalid berjaya memperoleh apa yang diungkapnya sebagai ‘perkenan Sultan’ untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar. Ini membuatkan PKR terpinar sementara waktu. PKR tiada kelebihan itu.

Kemelut ini dengan sendirinya menjadikan PAS sandaran politik untuk semua yang berkepentingan. Khalid tidak boleh mengharapkan simpati DAP yang secara terang mahukan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadikan Menteri Besar menggantikan beliau.

PAS perlu menetapkan pendirian dan keutamaannya. Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang sudah membayangkan ketetapan hatinya tidak menjadikan Wan Azizah sebagai Menteri Besar. Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki pula mencadangkan kerajaan konsensus nasional di Selangor, sekali gus mengekalkan Khalid sebagai Menteri Besar.
Kenyataan itu tidak bermakna kedudukan Khalid terjamin dan kemelut selesai dengan mudah. Ada sentimen berbeza ditunjukkan beberapa pihak dalam PAS yang tidak konsisten dengan ketetapan Hadi. Ahli Dewan Undangan Negeri Meru, Dr Abdul Rani Osman dilapor menafikan kenyataan PAS menolak Wan Azizah.

PAS berhadapan situasi sangat mengusutkan. Seolah-olah sekeping kad ‘Joker’, PAS kini ada peranan besar memenangkan suatu pusingan permainan. Di atas kertas, kelihatan PAS selaku kad Joker sudah ada dalam tangan DAP seawal pembabitannya dalam pakatan pembangkang.

Namun, apa yang umum percayai dengan menggunakan perkiraan di atas kertas tidak semestinya berakhir seperti dijangkakan. Aksi pakatan PAS dengan parti politik lain sudah dipertontonkan kepada rakyat beberapa kali. PAS pernah bersatu dengan UMNO (dalam BN) pada tahun 1974. Namun, usia pakatan itu tidak bertahan lebih daripada empat tahun. PAS juga pernah bersama DAP, ADIL dan PRM membentuk Barisan Alternatif (BA). Pakatan itu juga tidak panjang usianya ekoran tindakan DAP meninggalkan BA kerana membantah pendirian PAS yang tidak berganjak daripada perjuangan meneruskan agenda negara Islam.

Melalui kesefahaman bersama DAP dan PKR, PAS menggerakkan sekali lagi percaturan politiknya. Malang, pakatan ini juga kini membayangkan lenyapnya cita-cita politik PAS menumbangkan UMNO (dan BN).

PAS bukan sekeping kad

Seperti aksi pemain yang memiliki kad Joker, mereka hanya menunggu saat akhir untuk memanfaatkan kelebihan kad itu yang ada dalam simpanan. Namun, PAS bukan sekeping kad. Jauh sekali daripada berperanan sebagai Joker. Begitu juga, PAS tidak sewajarnya digunakan atas formula wild card yang dipilih atas elemen keintiman hubungannya dengan pemain atau parti politik yang sama ada berautoriti mahupun berpengaruh.

PAS ialah parti politik yang sudah melangkaui beberapa zaman. Secara formalitinya, usia PAS melangkaui 59 tahun. Jika sejarah disusur lebih jauh, jiwa PAS sebenarnya sudah dihidupkan seawal tahun 1948 oleh Abu Bakar al-Bakir melalui Hiz-bul Muslimin. Perjuangan PAS adalah adunan yang dibentuk daripada beberapa ideologi, pemikiran dan komitmen terutama bersumberkan Ikhwanul Muslimin, Nasionalis, ABIM, malah UMNO sendiri.

PAS tidak berjaya menyingkirkan UMNO menerusi pakatan beberapa kali dengan DAP sebelum ini dan sekarang. DAP sentiasa berkeras dengan Malaysian Malaysia-nya dan tidak akan bertolak ansur dengan agenda negara Islam PAS.

Kekalahan PAS pada pilihan raya 1978 dan kemudian disingkirkan daripada BN lebih dikaitkan dengan isu kepemimpinan dan tidak ada kaitan dengan Malaysian Malaysia atau agenda negara Islam.

PAS wajar melihat kemungkinan gandingannya dengan BN di Selangor sebagai harapan masa depan rakyat yang gemilang secara holistis. Jika tidak, peranan PAS selaku penyelamat pada saat akhir – Joker – mungkin kekal bersama DAP atau PKR.   Berita Harian Kolumnis 2014/08/14 - 03:53:37 AM Dr Nasrudin Mohammed

Sekolah tunggal nasional; Kisah doktor gigi dan saya

Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara! - Bahagian II

ISU memperkasakan sekolah kebangsaan atau sekolah nasional timbul kembali. Apakah sekolah kebangsaan selama ini tidak perkasa?

Apakah sistem pendidikan kita tidak berjaya melahirkan bangsa Malaysia yang mempunyai jati diri kemalaysiaan yang kental?

Adakah kita pernah membuat bancian atau survey sejauh mana pengetahuan kita mengenai negara sendiri, kefasihan bahasa kebangsaan, kaum-kaum di antara kita, adat istiadat kita dan lain-lain?

Apakah kita selama ini hanya ambil mudah dan take for granted kepada semua hal tersebut? Apakah kita selama ini merasakan semuanya elok-elok belaka?

Semasa negara akan mencapai kemerdekaan ke-57 tahun ini, apakah tahap kemalaysiaan kita sudah sebati? Apakah masing-masing masih mementingkan diri sendiri, hanya memikirkan kaum-kaum sendiri dan dalam kelompok masing-masing sahaja? Cuba tanya diri sendiri?

Pada 12 Februari 2014 lalu, saya ada menulis dalam kolum Cuit ini bertajuk 'Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara!'

Ini mengenai kisah sistem persekolahan kita yang cukup unik di dunia tetapi sedikit demi sedikit sedang menghakis kedaulatan dan kerukunan negara ini.

Saya bukan rasis apabila membangkitkan isu ini. Begitu juga dengan Razali Ibrahim yang mencadangkan supaya sekolah vernakular dihentikan pembinaan. Begitu juga dengan Ismail Sabri yang menyokong Razali.

Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan waras, kita harus menerima hakikat bahawa hanya satu sistem pendidikan tunggal yang diperlukan oleh sesebuah negara - bukan dua atau tiga atau empat - bagi mewujudkan Satu Bahasa, Satu Bangsa dan Satu Negara.

Di Malaysia sekarang, semua orang tahu, kita ada sistem sekolah kebangsaan (SK), sekolah Cina (SJKC), sekolah Tamil (SJKT), sekolah agama, sekolah swasta Inggeris, sekolah antarabangsa - yang membahagi-bahagikan murid-murid kita - generasi Malaysia akan datang, kepada satu 'kecelaruan' yang amat sangat.

Sudah banyak kali kita membangkitkan isu ini. Malah kelmarin satu pertemuan meja bulat (yang besar) telah diadakan anjuran beberapa NGO. Ia diadakan dengan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Saya ada membaca dalam satu portal berita Singapura, negara itu sendiri tidak membenarkan rakyatnya menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa, tanpa kebenaran kerajaan kerana bimbang akan terhakis jati diri Singapura ke atas kanak-kanak itu.

Malah dalam satu perbahasan di alam maya, rakyat republik itu tidak bersetuju jika sistem itu dilonggarkan. (International and private schools in Singapore generally do not admit Singapore students without permission from the Ministry of Education. - http://en.m.wikipedia.org/wiki/Education_in_Singapore)

Tetapi di Malaysia ia bebas. Waima menteri pun ada yang menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa, malah ke sekolah berasrama penuh di England dan Australia.

Sepatutnya, mana-mana anak Malaysia wajib melalui sistem pendidikan kebangsaan tunggal iaitu SK.

Jika kita semua mengaku sistem SK itu lemah dan banyak cacat-celanya maka perkasakanlah. Jika ada yang merasakan istilah sekolah kebangsaan tidak lagi sesuai, tukar istilahnya kepada sekolah nasional? Asalkan matlamat pemerkasaan itu berjaya.

Apa salahnya jika semua SK dinaik taraf menjadi seperti sekolah premier atau setaraf MRSM?

Di Singapura, sistem persekolahannya sudah diiktiraf dunia. Sistemnya adalah standard - dan murid-murid yang pandai atau sebaliknya diajar di bawah satu bumbung.

Mengapa kita perlu berundur ke belakang? Mengapa masih membiarkan kita mempunyai sistem pengantar yang pelbagai?

Semasa negara akan memasuki usianya ke-57 tahun beberapa hari lagi, kita semua mahu melihat satu perubahan yang nyata dalam sistem pendidikan kita.

Ia memerlukan satu iltizam politik yang kuat - cukup kuat!

Jika kita masih lagi teragak-agak, maka masa depan negara akan terjejas.

Di Singapura bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris tunggal - bukan bahasa Cina atau Tamil atau Melayu. Di Malaysia bahasa pengantarnya ialah Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.

Sepatutnya di Malaysia bahasa pengantarnya ialah bahasa Melayu tunggal dan diperkasakan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain diajar sebagai bahasa ibunda.

Saya sarankan kita baca mengenai sistem pendidikan Singapura yang saya rasa amat mantap, walaupun negara itu merdeka lebih lewat daripada kita. Tidak keterlaluan jika saya syorkan, tiru sahaja mana-mana sistem mereka jika itulah yang terbaik untuk kita semua.

Sistem pendidikan di Korea, Jepun, malah Amerika, Jerman, England, Perancis; waima Saudi, Indonesia dan Thailand sendiri cukup mantap sehinggakan bahasa yang dituturi mereka amat seragam dan jati diri kenegaraan mereka cukup utuh.

Ingatlah perpaduan negara antara kaum hanya akan dicapai melalui asas pendidikan yang tunggal dan mantap.

Saya ulang lagi, ajarlah asas Perlembagaan Negara serta Rukun Negara sebagai subjek khusus dari peringkat sekolah rendah lagi. Jadikan ia sebagai subjek wajib yang memerlukan semua murid kecil itu mementaskannya sebagai drama di hadapan ibu bapa semua.

Minta kanak-kanak itu melakonkan watak-watak tokoh kemerdekaan negara dan kisah-kisah pembentukan Perlembagaan negara ini.

Ulang lagi pementasan wajib itu di peringkat sekolah menengah. Ia adalah satu proses indoktrinasi jati diri yang cukup positif.

Daripada anak dipersembahkan kepada setiap ibu bapa dan akhirnya ia akan menjiwai ke sanubari kita semua untuk selama-lamanya.

Pendidikan bukan semata-mata hanya untuk lulus peperiksaan, ia juga harus dilakukan melalui pementasan. Ajar anak-anak kita pandai bercakap, petah berbahas dan yakin pada diri sendiri.

Ayuh penggubal dasar pendidikan negara, fikirkan secara inovatif dan kreatif demi generasi Malaysia akan datang. Masa sudah terlalu suntuk.

Selagi sistem persekolahan kita masih caca-marba, seperti sekarang, maka selagi ada bulan dan bintang - jangan diharap perpaduan kaum di negara ini akan tercapai.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Kemelut Selangor, rakyat sudah fed up!

Semalam saya berjumpa dengan doktor gigi. Beliau suka bercerita dengan saya. Semasa menunggu bius meresap kami bersembang.

Beliau ialah seorang doktor berketurunan India, masih muda dan suka kepada politik. Sebagai pelanggan tetapnya, dia selesa bercakap secara terbuka dengan saya. Begitu juga saya.

Dia membuka cerita. Apa sudah jadi dengan Selangor ini? Baru dua tahun sudah jadi begini. Berebut-rebut jawatan dan kuasa.

Saya terkejut dengan nada suaranya. Agak kecewa. Dulu nadanya berbeza.

Sebagai orang muda, pakatan pembangkang adalah harapannya. Banyak yang dia cerita mengenai kebaikan pakatan, ketika itu. Itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kini bunyinya agak berbeza. "Orang sudah fed-up," katanya perlahan.

Ramai pelanggan pun berkata begitu, katanya yang merujuk kepada kaum Cina dan India.

"Jika pilihan raya diadakan saya pasti 50 peratus orang Cina akan kembali kepada BN."

Saya terus layan luahan hatinya.

"Apa tujuan Anwar Ibrahim nak letak isterinya Wan Azizah? Semua orang tahu track record Wan Azizah. Bukan cemerlang pun. Dalam Parlimen pun dia bukan cakap banyak," jelasnya.

Dia bimbang kerajaan Selangor akan dipergunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Sebagai sama-sama warga Selangor, saya berkongsi kebimbangan dengannya.

MB Khalid Ibrahim kelihatan cukup profesional. Kelihatan telus dan bersih. Mengapa perlu diketepikan beliau?

Apakah kerana beliau terlalu berkira dengan penggunaan wang? Wang negeri ialah milik rakyat, orang politik sepatutnya tidak boleh memanipulasi kantung wang negeri untuk tujuan politik atau kepentingan kepartian?

Adakah itu yang menyebabkan MB Khalid cuba disingkir? Allahualam.

Namun banyak yang memperkata mengenai wang yang berada dalam MBI atau tabung Menteri Besar Diperbadankan yang berjumlah berbilion-bilion ringgit?

"Saya pasti ini semua pasal wang," kata doktor gigi itu. Dengan nada itu, beliau sudah hilang harap dengan kerajaan Selangor.

Integriti hanyalah slogan populis dan istilah keadilan hanyalah untuk faedah seorang sahaja.

Walaupun kerajaan BN dulu dan MB-MB UMNO pun bukanlah sempurna sangat, tapi ternyata Selangor muncul sebagai negeri termaju di negara ini.

Beratus ribu pendatang dari negeri-negeri lain berduyun-duyun mencari makan dan tempat berteduh di negeri itu.

Namun, kerajaan baharu yang dinamakan 'negeri berkebajikan' Selangor - yang dipetik daripada pendekatan sosialis DAP itu, hanyalah indah khabar daripada rupa.

Cakap tak serupa bikin.

Tindakan meletakkan isteri Anwar juga dilihat membelakangkan Deklarasi Permatang Pauh yang mahukan nepotisme dihancurkan daripada politik negara ini.

Beliau juga menyentuh mengenai UMNO dan MIC. UMNO katanya orang itu juga. Rakyat mahukan perubahan dan kesegaran.

MIC juga orang itu.

Saya minta dia masuk ke dalam MIC. Pecahkan warlord yang ada dengan orang muda profesional macam dia.

Dia kata, susah. MIC hanya memilih cikgu-cikgu berbanding profesional macamnya. Namun kini dia mulai sedar BNlah harapannya. Bukan lagi janji kosong pakatan pembangkang.

Saya kemudian meninggalkan klinik gigi itu dengan kehilangan sepuntung (lagi) gigi! Zaini Hassan zaini.hassan@utusan.com.my   Utusan/Rencana/20140813

Masih adakah DNA integriti perjuangan PKR?

HASRAT Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan nombor satu di Se­langor akhirnya berkubur dengan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar jawatan tersebut terus dipegang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang tersebut.

Isu perebutan jawatan antara ADUN Kajang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan Abdul Khalid semakin rancak sejak Kajang Move digerakkan di negeri ini.

Soalnya, adakah gerakan menukar tampuk pentadbiran Selangor tersebut membolehkan PKR terus mendabik dada sebagai parti yang mengutamakan integriti dalam perjuangan?

Integriti dari segi bahasa membawa erti keutuhan dari semua segi yang baik. Dalam bahasa Malaysia maknawinya menjurus ke arah perwatakan seseorang.

Maksud integriti mengikut Kamus Dwibahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985, ialah kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan; keutuhan.

Daripada maksud kamus di atas, integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan boleh pegang cakapnya.

Melihat kepada kemelut yang melanda Abdul Khalid yang terkenal dengan nilai integriti yang tidak bertolak ansur melibatkan isu kewangan, musuh-musuh politiknya turut menggunakan senjata sama untuk menjatuhkannya.

Apa yang dikesalkan PKR masih mahu menguar-uarkan kepada dunia bahawa mereka amat mementingkan 'DNA' integriti dalam diri pemimpin mereka. Dalam isu Menteri Besar (MB) Selangor segalanya ibarat senjata makan tuan kerana dengan pemecatan Abdul Khalid daripada PKR, beliau telah diadili dengan asas integriti yang amat diragui.

Ke manakah perginya peguam-peguam PKR yang hebat berhujah membela segala pejuang reformasi? Bukankah Abdul Khalid dipecat oleh jawatankuasa disiplin dengan cara yang tidak mencerminkan konsep keadilan dan integriti dalam pengadilan seorang yang begitu berjasa kepada PKR.

Tidakkah pemimpin, ahli-ahli PKR yang menyokong Abdul Khalid sebagai Timbalan Presiden dan rakyat Selangor sedar bahawa beliaulah yang menjadi ikon PKR dalam bab integriti pasca Pilihan Raya Umum ke-12 hingga PRU-13 yang baru lalu?

Di Selangor seharusnya semua pihak membuka mata bahawa untuk menjadi pemimpin nombor satu bukan sekadar hebat dalam bidang ekonomi atau pandai membaca undang-undang tetapi perlu juga mahir bab integriti dalam kepimpinan dan persahabatan.

Soalnya adakah Wan Azizah, seorang doktor perubatan boleh dianggap melepasi integriti diri sebagai seorang yang layak menjadi menteri besar sebuah negeri yang terkaya dan termaju di negara ini? Dia bukan seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bukan sahaja doktor perubatan tetapi juga seorang pemikir dan pemimpin UMNO yang naik dari bawah hingga ke puncak dunia.

Apabila Abdul Khalid dipecat daripada PKR, seluruh negara terpana kerana selama ini PKR sendiri yang melabelkan beliau sebagai ikon integriti parti mereka. Namun hari ini jawatankuasa disiplin PKR telah menolak hak asasi untuk 'ikon' mereka bersuara membela diri terhadap setiap tuduhan.

Ke mana perginya konsep hak asasi untuk memberi peluang pihak dituduh bersuara sebagai mana frasa 'dengar juga pihak sebelah sana' (Audi alteram partem)?

Dengan kata lain, ke manakah hilangnya prinsip keadilan di dalam DNA perjuangan PKR sehingga penghakiman terhadap Abdul Khalid menjadi sedemikian rupa? Adakah jawapan surat tunjuk sebab Abdul Khalid tidak bernilai hingga ia dijadikan satu-satunya keterangan membela dirinya?

Bukankah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi peluang merayu dalam kes liwat beliau sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Mengapa kes Abdul Khalid diberi pengecualian? Di mana nilai integriti pucuk pimpinan PKR hingga sanggup mengetepikan ikon integriti mereka demi seorang ADUN yang langsung tidak berpengalaman untuk mentadbir sebuah negeri sekalipun.

Rakyat Selangor perlu menilai senario politik PKR yang tidak menghormati prinsip perjuangan mereka yang telus dalam melaksanakan sesuatu agenda.

Hari ini tembelang mereka sudah pecah apabila DNA integriti mereka gagal ditemui dalam kes pemecatan Abdul Khalid yang bukan sahaja menyebabkan beliau menjadi MB tanpa parti malahan satu-satunya ikon integriti yang diragui oleh partinya sendiri.

Jika hak asasi pemimpin hebat mereka sendiri tidak dihargai bagaimana pula dengan hak-hak rakyat untuk mendapat air bersih yang cukup, rumah yang selesa dan lain-lain pada masa depan?

Jadi apa perlunya menukar MB jika integriti sebagai aspek asas diperlekehkan? ABDUL RAZAK IDRIS: Utusan/Rencana/20140813

Perempuan kuasai IPTA, lelaki pula jadi suri rumah?

PADA tahun ini yang ramai memohon untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara adalah perempuan iaitu seramai 51,215 orang berbanding permohonan daripada lelaki iaitu 22,856 orang.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengajian Tinggi, daripada 37,467 pelajar yang berjaya diterima masuk ke IPTA, seramai 26,030 atau 69.5 peratus terdiri daripada pelajar perempuan berbanding hanya 11,437 (30.5 peratus) pelajar lelaki.

Maka apabila statistik penguasaan pe­rempuan di IPTA ini keluar saban tahun, sekali lagi timbullah cakap-cakap bahawa lebih ramai kaum lelaki bakal menjadi suri rumah pada masa akan datang.

Seingat saya sejak sembilan atau 10 tahun dulu pun, isu ini sudah dibincangkan dan ramai pihak turut menyatakan kebimbangan mengenainya.

Mereka bimbang, apabila kaum wanita menguasai sektor pekerjaan terutamanya yang membabitkan kerjaya yang berpendapatan tinggi, pendapatan isteri akan lebih besar berbanding suami.

Dalam kesukaran mencari pembantu rumah atau bimbang akan keselamatan anak-anak apabila diserahkan kepada pembantu rumah atau pengasuh, maka suami antara terpaksa atau sememangnya suka, terpaksa menjadi suri rumah.

Suamilah mengambil tanggungjawab menjaga anak-anak dan menguruskan rumah tangga.

Pensyarah Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Fatimah Daud seperti yang dilapor­kan dalam akhbar Kosmo! berkata, fenome­na 'house husband' mungkin menjadi trend pada masa depan berdasarkan kea­daan di mana kaum wanita yang menguasai IPTA dan IPTS di seluruh negara.

Menurut beliau, apabila lebih ramai graduan wanita keluar menjadi profesional di luar ia menyebabkan kaum wanita bakal menguasai jawatan tinggi sama ada di sektor awam atau swasta.

Walaupun trend ini sudah pun berlaku di negara ini, tetapi pada pendapat saya ia tidaklah membimbangkan. Jika kena pada gaya dan caranya, ia tidak sepatutnya dijadikan isu sangat.

Sebabnya, suami yang memilih untuk duduk di rumah itu, bukan sekadar duduk-duduk dan jaga rumah sahaja.

Kebanyakannya sudah merancang sebelum berhenti bekerja. Mereka punya pendapatan bulanan dengan membuat kerja-kerja yang boleh mendatangkan wang dari rumah dan ada golongan profesional yang masih boleh melakukan kerja-kerja dari rumah sambil memerhatikan anak-anak.

Cuma yang membimbangkan ada pula lelaki yang mengambil kesempatan. Malas bekerja kerana si isteri boleh menanggung kesemuanya.

Maka si suami duduk di rumah, atau bukan duduk diam sangat pun, lebih suka merayau-rayau, sibuk dengan macam-macam hobi dan membuang masa di kedai-kedai kopi dari siang hari sampai ke tengah malam berjumpa kawan-kawan.

Sikap mengambil kesempatan seperti ini yang merisaukan, kerana ia bakal merosakkan institusi kekeluargaan dan rumah tangga. Dan kes-kes penceraian akibat situasi ini sudah banyak pun berlaku.

Dalam pada itu, terdapat juga lelaki yang awal-awal lagi memang mencari wanita yang berpendapatan tinggi untuk dijadikan isteri.

Biarlah terpaksa membuang rasa ego dan rendah diri, asalkan masa depan terjamin kerana mendapat isteri yang bergaji tinggi. Ada yang kalau boleh mencari wa­nita yang bekerja di sektor kerajaan. Lebih terjamin dengan bermacam-macam kemudahan dan keistimewaan termasuk si isteri mendapat pencen apabila bersara.

Begitulah perspektif dan persepsinya apabila kaum wanita dikatakan lebih cerdik dan berpendapatan tinggi.

Sebab itu, mungkin ramai wanita yang memilih untuk hidup membujang kerana bimbang mereka ini hanya dijadikan payung untuk tempat berteduh.

Pun begitu, pada saya soal pendidikan ia adalah persaingan. Faktor jantina seharusnya tidak timbul. Begitu juga dalam pekerjaan. Siapa yang berkebolehan dan berwibawa dialah yang ke hadapan.

Lelaki mahu pun wanita, ia bergantung kepada tekad dan keupayaan masing-ma­sing untuk mencorakkan masa depan yang cerah.

Diharapkan kebimbangan ramai pihak tentang lebih ramai lelaki bakal menjadi suri rumah pada masa depan, akan mencetuskan semangat dan cabaran kepada kaum lelaki dalam membuktikan kemampuan mereka menerajui banyak perkara termasuk institusi keluarga.

Fauziah Arof fauziaharof@yahoo.com Utusan/Rencana/20140813

Isu-Isu Akhbar Cina

ANWAR DIMALUKAN


Akhbar China Press bertarikh 12 Ogos 2014 menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti telah 'dilondehkan' seluarnya untuk dipertontonkan kepada orang ramai ekoran kegagalannya menangani isu jawatan Menteri Besar Selangor.

Artikel bertajuk 'Kecundang keseluruhan kepada Anwar Ibrahim' yang merupakan pandangan Yeoh Ka Choon dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15 itu menyifatkan krisis berkenaan ibarat gelora yang besar.

Isu itu yang telah terbakar hampir enam bulan lalu menyebabkan mereka yang terlibat kepenatan, penonton yang melihatnya juga keletihan, begitu juga pemerhati dan yang paling utama ialah rakyat.

Penulis secara sinis memuji kredibiliti Anwar yang berpengalaman dalam politik termasuk pernah memegang jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan walaupun disingkirkan tetapi masih tetap utuh sehingga kini, namun segala-galanya menjadi seperti tidak bermakna apabila beliau gagal memahami dan membaca pemikiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Apabila parti bergelut untuk kepentingan, pastinya akan berlaku perbalahan sesama sendiri, itu adalah perkara lumrah. Tidak berlakunya kekecohan itu bukan politik namanya, oleh itu setiap pemimpin politik perlu bijak untuk menanganinya, sama ada mampu atau tidak, itu merupakan soal kedua.

Dalam kes Menteri Besar (MB) Selangor, perbalahan ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang telah timbul ke permukaan. Sebelum itu, Anwar menganggap telah berjaya mengawal permainan apabila melaksanakan Langkah Kajang.

Sebaliknya beliau yang mempersendakan demokrasi dan rakyat telah gagal. Lebih teruk lagi apabila secara terang-terangan menggunakan isterinya sebagai patung boneka untuk menjadi menteri besar.

Dalam sandiwara ini, walaupun Anwar dapat kukuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mempengaruhi DAP, tetapi gagal membaca dan meramal setiap langkah yang disusun oleh Abdul Khalid , malah turut gagal mengawal pengaruh orang lama kepimpinan tertinggi Pas.

Kini dalam isu MB Selangor, pakatan pembangkang tidak mungkin lagi jadi pemenang, tidak kira pada akhirnya nanti siapa sahaja yang menjawat jawatan itu. Orang dalam pakatan itu semuanya telah tewas, yang tinggal kini siapa dan bagaimana untuk bersihkan segala saki-baki kekotoran itu.

ANJING KUNYAH TULANG ANJING

Akhbar sama bertarikh 10 Ogos 2014 menggambarkan usaha penyingkiran Abdul Khalid daripada jawatan MB Selangor sebagai perbuatan kejam dan ganas, meskipun pemimpin pembangkang sedaya-upaya cuba memadamkan 'kebakaran' itu namun api semakin marak membakar.

Artikel bertajuk 'Anjing kunyah tulang anjing' yang merupakan pandangan Yeoh Chin itu disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C19. Harapan menggunung telah diberikan rakyat kepada mereka untuk menunaikan tanggungjawab tetapi mereka hanya nampak sehaluan dalam slogan sahaja tetapi hakikatnya amat lemah, umpama pepatah Cina, 'seperti anjing mengunyah tulang anjing', semuanya adalah palsu.

Memang benar setiap kali berlakunya pertukaran menteri besar, pasti berlakunya kontroversi yang tidak dapat dielak. Namun kebodohan pakatan pembangkang semasa menyanyikan sebuah lagu Cina bertajuk 'Kenapa tidak berpisah lebih awal' nadanya terlalu sumbang, kononnya ditujukan kepada menteri besar tetapi sebaliknya terkena batang hidung sendiri.

Nyanyian antara DAP, PKR dan Pas semakin lama semakin memekakkan telinga rakyat. Satu pihak saling menghentam, bercakaran semasa sendiri, hinggakan sanggup mengheret rakan sendiri ke mahkamah.

Di sebelah sana pula terlalu sibuk memaksa orang meletak jawatan, malah terdapat juga kem sendiri yang sudah tidak mempercayai pemimpin tertinggi mereka. Soalnya, adakah pakatan ini masih mempunyai air muka untuk mengekalkan pakatan dan tidak memilih untuk bercerai.

Selama ini, pakatan pembangkang kononnya memiliki semangat reformasi kental untuk mengubah kerajaan. Padahal, untuk menukar jawatan menteri besar pun tidak mampu diselesaikan dengan baik, apatah lagi dengan cita-cita untuk melangkah ke Putrajaya.

Semua pihak sedar bahawa matlamat politik mereka adalah untuk mengenyangkan perut. Sebenarnya siapa yang membazir duit siapa? Siapa yang membazir masa siapa? Perpecahan sudah tidak boleh dielakkan lagi. Adakah Pas akan angkat kaki bagi menjalin kerjasama dengan BN yang lebih kuat bagi kepentingan parti itu?

BN nampak seperti senyap tetapi diyakini sedang bersiap sedia untuk menawan kembali Selangor, namun BN jangan memandang mudah kerana sebelum ini pun pemimpin mereka seperti tidak sedar diri.

MCA PERLU BANGKIT

Dalam pada itu, akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 8 Ogos 2014 menyentuh mengenai kepimpinan Presiden dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Dr. Wee Ka Siong untuk mengembalikan kepercayaan komuniti Cina kepada parti itu.

Artikel bertajuk 'Slogan tidak mampu ubah nasib' yang merupakan pandangan Yap Pin dalam ruangan Pendapat Yan Lum dalam halaman W3 itu menegaskan bahawa tugas kedua-dua pemimpin itu amat besar iaitu untuk menghilangkan jerebu dan meneroka langit yang lebih cerah bagi soal hidup atau mati nasib MCA.

MCA dan masyarakat Cina mempunyai sejarah manis yang indah tetapi kini seperti benang jahitan yang kusut dan amat perlu dihuraikan oleh parti itu. Parti itu di bawah kepimpinan Tiong Lai dan Ka Siong perlu mencari punca dan menyelesaikannya kenapa MCA semakin meninggalkan rakyat hingga menjadikannya sebuah parti yang tidak lagi dianggap penting serta dipercayai oleh orang Cina.

Sebagai ahli BN, MCA, MIC dan UMNO sepatutnya mampu berdikari dan bebas memutuskan hak perjalanan parti masing-masing, duduk sama rendah berdiri sama tinggi, bersama-sama mengharungi ombak, tidak boleh berkasta seperti antara majikan dan hamba abdi.

Realitinya MCA pada masa ini seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memadam api, sering tampil untuk tunduk kepada kehendak dan tuntutan BN dan UMNO. Dasar salah diperindahkan, sanggup jadi penghujah, sanggup jadi orang tengah dan pak sanggup, umpama memudiki ikut kehendak tiupan angin semata-mata.

Sekiranya MCA masih tidak berani mengemukakan pandangan mereka sendiri, pasti parti itu tidak akan nampak kelemahan dan kekurangan sendiri. Lebih teruk MCA tidak akan mempunyai harapan lagi untuk melihat kegemilangan mereka pada hari esok.

Utusan/Rencana/20140814

Semangat patriotisme dalam kehidupan seharian

OGOS adalah bulan yang penting dalam kalendar negara. Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 akan disambut pada 31 Ogos ini dan berlanjutan ke September di mana kita akan memperingati Hari Malaysia pada tanggal 16 September.

Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, rakyat Malaysia berbilang bangsa akan memaparkan semangat patriotisme dan kasih sayang terhadap negara. Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela menyambut Hari Kemerdekaan sebagai negara yang berdaulat.

Di ketika negara merayakan 57 tahun kemerdekaan, ini adalah masa yang sesuai untuk seluruh rakyat menunjukkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara dengan perasaan penuh bangga.

Menyemai kebanggaan pada bendera Jalur Gemilang adalah salah satu ciri penting dalam perayaan Hari Kemerdekaan. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan Jalur Gemilang kerana ia adalah lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara.

Bendera Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme dan penting untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme ini dalam kalangan generasi muda.

Salah satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera kita. Menganjurkan kempen 'Cintakan Bendera Kita' di sekolah-sekolah, dalam kalangan anak muda.

Ini mustahak untuk memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya.

Dan ini tidak seharusnya diadakan hanya bersempena sambutan Hari Kemerdekaan, malah sepanjang tahun.

Bagi generasi dewasa, Hari Kemerdekaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Pada mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang telah dicapai selama ini.

Walau bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.

Bagi mereka hari kemerdekaan hanya satu lagi cuti am - di mana mereka berpeluang bersantai dan beriadah. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami maksud Hari Kemerdekaan ini.

Oleh itu, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar Hari Kemerdekaan.

Setelah memperkatakan mengenai bendera kebangsaan dan pentingnya sebagai simbol negara, saya ingin menegaskan bahawa mengibar Jalur Gemilang bukanlah satu-satunya cara menunjukkan semangat patriotik kepada negara.

Rakyat Malaysia boleh memaparkan semangat patriotik mereka dalam kehidupan seharian seumpamanya, dalam pemikiran, percakapan dan tindakan mereka membela dan mempertahankan kepentingan negara.

Rakyat Malaysia juga boleh mempamerkan semangat patriotik mereka dengan menyumbangkan pandangan dan pendapat mereka dalam apa jua perkara yang mereka fikir baik untuk negara.

Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul adalah satu hak yang seharusnya diamalkan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik, yang mencintai negara dan inginkan yang terbaik untuk negara.

Mana-mana rakyat yang bertanggungjawab dan tidak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan alam sekitar, menjejaskan kaum juga boleh dianggap sebagai patriotik kepada negara.

Dalam pada kita memperingati 57 tahun kemerdekaan, kita hendaklah mengimbas kembali segala usaha kita dalam pembinaan negara pada zaman silam dan bersedia untuk mengharungi cabaran-cabaran yang datang.

Rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang bangsa dan agama yang berlainan seharusnya memperbaharui azam mereka untuk membina sebuah negara yang harmoni, bersatu padu dan progresif yang boleh menjadi kebanggaan kita semua.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia. Utusan/Rencana/20140814