August 31st, 2014

Hari Kemerdekaan medan menyatukan minda, hati rakyat




Selamat Hari Kemerdekaan ke-57. Apa yang menarik, sambutan kali ini bersamaan dengan tahun kemerdekaan. Angka keramat 57-57 nampak cantik dan menarik.

Tetapi berapa ramai rakyat Malaysia memahami erti angka itu ? Berapa peratus agaknya kelompok generasi Y dan Z memahami erti kemerdekaan? Bagaimana pula dengan generasi yang masih hidup sebelum tarikh kemerdekaan dan peranan kelompok itu pada era moden sekarang.

Soal itu penting dalam peredaran dunia yang semakin kompleks. Lihat negara dunia lain yang masih bergolak akibat peperangan, ketidakstabilan politik dan keselamatan, wabak penyakit, paras kemiskinan yang melampau serta ekonomi yang sekejap naik atau sekejap merudum.

Cuba kita tanya diri sendiri, adakah Malaysia mengalami sedemikian rupa? Amat bertepatan sekali logo dan tema Hari Kemerdekaan Ke-57 tahun ini memperlihatkan slogan 'Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' yang ada pelbagai maksud tersurat dan tersirat.

Penulis tidak mahu hurai soal itu dengan panjang lebar tetapi hendak tumpukan kepada elemen logo dan tema Hari Kemerdekaan kali ini.

Lazimnya logo dan tema penting untuk sesebuah syarikat, produk, persatuan, pertubuhan, malah sesebuah negara. Malaysia tidak terkecuali. Logo dan tema yang dicipta mempunyai tujuan dan kreatif agar identiti atau imej yang dibawa dapat ditonjolkan dengan jelas, penuh bermakna dan menarik.

Ia penting untuk dijadikan ikon atau simbolik kepada apa jua yang diwakili. Kewibawaan, konsep dan motif yang direncanakan dapat dihayati dengan cepat dan penuh berprestij terhadap golongan sasar.

Atas dasar itu, kerajaan sejak dulu lagi memahami dan peka dalam hal berkenaan dengan menjadikan Hari Kemerdekaan sebagai platform menyatukan minda dan hati rakyat.

Pada hemat penulis, prinsip dan ciri logo serta tema boleh diselarikan dengan sejarah perjuangan kemerdekaan yang perlu mengimbau semula saban tahun, kerana perlakuan ini menjadi asas kesinambungan integriti politik, ekonomi, sosial serta budaya bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Di sini, penulis sertakan tema yang menjadi nadi kepada kerajaan dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

Pada tahun 1970, tema yang dipilih ialah 'Muhibah dan Perpaduan,' diikuti tahun 1971 pula mengambil tema 'Masyarakat Progresif, Masyarakat Adil' (1972); 'Masyarakat Kebudayaan Malaysia' (1973); 'Sains dan Teknologi Alat Perpaduan' (1974); 'Masyarakat Berdikari' (1975); 'Ketahanan Rakyat' (1976); '20 Tahun Bersatu Maju' (1977); 'Kebudayaan Sendi Perpaduan' (1978); 'Bersatu Berdisiplin' (1979); 'Berdisiplin Berbakti' (1980); 'Berdisiplin Berharmoni' (1981); 'Berdisiplin Giat Maju' (1982) dan 'Bersama Ke Arah Kemajuan' (1983).

Tema pada tahun 1984 pula ialah 'Amanah Asas Kejayaan' diikuti 'Nasionalisme Teras Perpaduan' (1985); 'Bangsa Tegas Negara Teguh' (1986); 'Setia Bersatu Berusaha Maju' (1987); 'Bersatu' (1988 dan 1989); 'Berjaya' (1990); 'Wawasan 2020' (1991); 'Wawasan Asas Kejayaan' (1992); 'Bersatu Menuju Wawasan' (1993); 'Nilai Murni Jayakan Wawasan' (1994); 'Jatidiri Penggerak Wawasan' (1995); 'Budaya Penentu Kecapaian' (1996); 'Akhlak Mulia Masyarakat Berjaya' (1997); 'Negara Kita Tanggungjawab Kita' (1998) dan 'Bersatu Ke Alaf Baru' (1999).

Tema sama selama tujuh tahun

Selama tujuh tahun berturut-turut, kerajaan meletakkan tema sama iaitu 'Keranamu Malaysia' bermula tahun 2000 hingga tahun 2006, sebelum tema sambutan Hari Kemerdekaan diberi nafas baharu iaitu 'Malaysiaku Gemilang' pada tahun 2007 dan 'Perpaduan Teras Kejayaan' pada tahun 2008.

Di bawah slogan 1Malaysia pada era awal pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri ke-6 memperlihatkan tema Hari Kemerdekaan pada tahun 2009 hingga tahun 2012 berteraskan penyatuan rakyat secara umumnya.

Seperti pada tahun 2009, tema berkisarkan '1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,' diikuti '1Malaysia Menjana Transformasi' (2010); '1Malaysia - Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera' (2011) dan '1Malaysia - Janji Ditepati' (2012).

Pada tahun 2013 dan tahun 2014 pula memperlihatkan tema berkisahkan sayangnya kepada negara buat rakyat dengan menzahirkan tema yang cukup patriotik iaitu 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' dan 'Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.'

Logo pertama pada tahun 1976

Sebenarnya tidak ramai tahu dan menyedari bahawa logo Hari Kemerdekaan hanya mula dicipta pada tahun 1976 dan antara tahun 2009 dan tahun 2012, Malaysia menggunakan satu bentuk logo sama secara berulang-ulang, iaitu simbol 1Malaysia tetapi tema diubah mengikut kesesuaian situasi tahun berkenaan.

Dalam kajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk Implikasi Komunikatif Logo Hari Kemerdekaan yang diterbitkan menerusi Malaysian Journal of Communication mengenal pasti tidak semua negara di dunia ini menggunakan logo sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara masing-masing.

Malaysia adalah antara negara yang melihat logo sebagai satu elemen penting yang dapat memainkan peranan dalam mengajak rakyat supaya lebih menjiwai makna sambutan Hari Kemerdekaan.

Individu yang bertanggungjawab memperkenalkan logo Hari Kemerdekaan ialah Tan Sri (Tun) Mohd Ghazali Shafie pada tahun 1976, yang juga Pengerusi Perayaan Hari Kebangsaan tahun berkenaan.

Susulan tahun berkenaan, logo mula direka cipta oleh sekumpulan pensyarah dan penuntut Institut Teknologi MARA Shah Alam (kini UiTM) sehingga tahun 1988, Tan Sri Sanusi Junid menyarankan supaya pertandingan mencipta logo diadakan untuk mendapatkan karya lebih bermutu, di samping menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kemerdekaan.

Rakyat Malaysia perlu menyedari hasrat murni kerajaan. Malah rakyat hendaklah mengiktiraf logo dan tema Hari Kemerdekaan yang direncanakan saban tahun termasuk memahami mesej yang ingin disampaikan oleh kerajaan. Penulis yakin sebahagian besar rakyat jelata boleh memahami.

Dalam kajian UKM itu ada menyatakan pemahaman rakyat itu menyerlahkan keperibadian rakyat Malaysia dan rakyat bersuara dengan berdialog dengan pemerintah, malah ini adalah ciri penting ke arah pembentukan masyarakat sivil yang efektif. Apabila rakyat mula beri maklum balas, ini bermakna mereka peka dan mengambil berat dalam sesuatu isu.

Penulis berharap penggunaan logo dan tema dapat menzahirkan perubahan persepsi rakyat, apatah lagi membabitkan hubungan masyarakat dan pemerintah sebagai kesatuan yang saling berhubung dan secara tidak langsung meningkatkan kesedaran nasionalisme lebih menyeluruh. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Penulis ialah Penganalisis Sosio Media-Politik dan Penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara









GAMBAR ikonik Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mengangkat tangan melaungkan ayat keramat 'Merdeka' pada 31 Ogos 1957, dilekatkan pada Zeppelin (belon udara) bersama tema kemerdekaan ke-57 ' Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' yang berada di ruang udara pada acara sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, hari ini. - Foto BERNAMA Ahmad Fauzi  Berita Harian Kolumnis AHAD, 31 OGOS 2014 @ 12:58 PM

Mengimbau nostalgia di Dataran Merdeka

Esok, 31 Ogos 2014, rakyat Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-57. Seperti kebiasaannya, hari ini pelbagai acara sambutan pra kemerdekaan sudah disusun di setiap negeri sementara menanti detik 12 tengah malam.


Walaupun sambutan ambang merdeka dilihat sebagai acara yang dinanti-nantikan esok, sebenarnya tradisi menyambut ulang tahun kemerdekaan ini bermula dengan program-program berbentuk keagamaan.

Majlis tahlil, bacaan Yasin dan doa selamat diadakan di masjid dan surau. Pertubuhan agama lain turut menganjurkan program mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Pada sebelah malamnya pula orang ramai berkumpul di tempat-tempat tumpuan di seluruh negara menunggu detik 12 tengah malam.

Tahun ini kebanyakan penganjur mengadakan sambutan ambang merdeka secara sederhana dan penuh keinsafan bagi menghormati mangsa tragedi pesawat MH17 dan mengenang nasib MH370.

Pagi esok, ada acara besar yang sentiasa ditunggu-tunggu, perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan - satu acara ikonik turun temurun sejak 31 Ogos 1957.

Sejak dari zaman sekolah kebangsaan lagi, penulis amat tertarik dengan acara ini. Walaupun sekadar menonton menerusi kaca televisyen hitam putih, ini adalah acara yang sangat dinanti-nantikan oleh semua orang pada setiap 31 Ogos.

Semua akan bangun awal dan menunggu siaran langsung ini. Sehingga sekarang pun masih berbekas di ingatan.

Menonton siaran langsung, acara ini kelihatan amat meriah dan sangat mengujakan. Maka ramailah yang menyimpan impian untuk berada di Padang Kelab Selangor (ketika itu) bagi turut serta, tidak kiralah sebagai peserta atau penonton!

Setiap kontinjen (yang pada masa itu biasanya diwakili oleh jabatan dan agensi-agensi kerajaan) berbaris dan berarak sepanjang Jalan Raja di hadapan Dataran Merdeka. Mereka diiringi pasukan pancaragam sama ada daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pancaragam sekolah. Suasananya cukup meriah.

Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat yang datang semuanya berpakaian cantik-cantik, seolah-olah mahu 'pergi beraya.' Kanak-kanak dengan uniform sekolah masing-masing berbaris panjang sambil mengibarkan Jalur Gemilang bersaiz mini.

Walaupun berdiri dalam panas terik, mereka tidak berganjak dan kelihatan amat bersemangat.

Kontinjen tumpuan pada masa itu sudah pastilah tiga sayap ketumbukan dalam ATM dan PDRM.

Lengkap beruniform dan memegang erat senjata, mereka kelihatan sungguh segak. Bunyi derap kawad mereka senada dan tegas. Apabila melintasi pentas utama yang menempatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta pembesar-pembesar negara yang lain, mereka serentak memberi tabik hormat. Ketika itu juga, di udara, bunyi bingit enjin jet-jet pejuang membuat lintas hormat.

'Inilah Barisan Kita' adalah lagu popular yang mengiringi kebanyakan kontinjen yang mengambil bahagian. Iramanya melantun-lantun dan melekat dalam ingatan sampai sekarang. Lagu tersebut sungguh sinonim dengan acara perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan. Ada satu macam rasa yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata setiap kali melihat pasukan keselamatan negara berbaris diiringi lagu tersebut. Tiba-tiba sahaja semuanya bercita-cita mahu menjadi askar!

Sambutan hari besar ini sudah melalui pelbagai perubahan dalam tempoh 57 tahun ini. Jumlah penyertaan tidak lagi terhad kepada jabatan dan agensi kerajaan sahaja. Banyak syarikat korporat dan swasta mengambil bahagian. Mereka tampil dengan pelbagai idea dan pembaharuan. Macam-macam segmen persembahan juga diperkenalkan tetapi masih terikat dengan tema sambutan.

Setelah memasuki alam pekerjaan, penulis sempat beberapa kali ke Dataran Merdeka untuk membuat liputan sambutan. Suasananya tetap panas, meriah dan penuh warna-warni. Orang ramai masih berasak-asak berbaris di sepanjang Jalan Raja hingga ke bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ada yang menjadikan hari tersebut sebagai hari santai untuk sekeluarga.

Walaupun acara sambutan Hari Kemerdekaan ini sudah menjelajah ke beberapa buah negeri lain sejak amalan penggiliran tuan rumah diperkenalkan, sambutan di Dataran Merdeka tetap istimewa, paling meninggalkan kesan dan kenangan tersendiri. Lokasi itu sangat unik.

Kedudukan Bangunan Sultan Abdul Samad yang setentang dengan Dataran Merdeka melengkapkan suasana sambutan bersejarah itu.

Ramai penduduk dari negeri lain sanggup datang untuk bersama-sama dalam sambutan ini. Pelancong-pelancong luar juga tidak melepaskan peluang merakamkan detik-detik bersejarah ini. Pekerja asing termasuk yang bekerja secara haram pun tidak mahu ketinggalan. Sesetengahnya melaram sakan.

Bagaimanapun adakah minat yang sama masih ada dalam kalangan penduduk kota sendiri? Ada yang berpandangan warga kota akan lari keluar kota jika ada cuti panjang termasuk cuti umum Hari Kemerdekaan. Sebahagiannya pula lebih suka menghabiskan masa bermalas-malas di rumah daripada bersesak-sesak dan berpanas di Dataran Merdeka.

Perkara yang sama juga dikatakan berlaku dalam kalangan generasi muda dan kelas pertengahan? Mereka katanya tidak lagi berminat untuk mengambil tahu apatah lagi mengambil bahagian. Mereka tidak lagi melihat sambutan sedemikian penting.

Kira-kira 14,000 orang daripada pelbagai latar belakang akan terlibat dalam sambutan esok. Jumlah tersebut besar, sekali gus menggambarkan sambutan ini penting untuk rakyat Malaysia. Penyertaan yang melibatkan semua pihak adalah simbolik kepada perpaduan, keharmonian dan kemakmuran hidup rakyat Malaysia sendiri.

Acara sambutan ini hanyalah sekali dalam setahun. Jika tahun lepas sebahagian daripada kita terlalu sibuk dengan macam-macam kekangan untuk mengambil peduli acara ini, apa kata esok kita beramai-ramai turun memeriahkan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-57. Bawalah anak-anak sekali. Biar mereka menikmati 'keindahan' sebuah kemerdekaan.

Rasanya sebahagian besar daripada kita pun sudah lama tidak menyaksikan sambutan ini secara langsung di depan mata. Inilah peluang terbaik. Lagipun lusa cuti ganti. Kalaupun penat 'berpanas dan berhujan' setengah hari di Dataran Merdeka, masih ada sehari untuk berehat panjang. Acara rumah terbuka Aidilfitri pun sudah berakhir. Tidak perlu lagi terkejar-kejar lagi dari satu rumah ke satu rumah.

Bagaimana dengan penulis sendiri? Seawal pukul 7 pagi esok, insya-Allah penulis dan keluarga sudah siap berbaris di hadapan Dataran Merdeka. Rozaman Ismail Utusan/Rencana/20140830

Berperananlah, buktikan cinta sebagai warga Malaysia

SAMBUTAN Hari Kemerdekaan Negara tahun ini memang lain daripada tahun-tahun sebelumnya.

Mungkin buat pertama kalinya sejak negara mencapai kemerdekaan 57 tahun lalu, getarnya, perasaan terujanya, paling dekat dan hampir sama dengan saat menunggu pengisytiharan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang merdeka.

Tragedi demi tragedi yang menimpa negara dalam tahun ini, yang sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran kita akan berlaku kepada Malaysia, membuatkan ramai dalam kalangan kita yang bagaikan tersentak dan tiba-tiba bersemangat untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan negara.

Bagai disukat-sukat, angka 57 yang cukup sinonim dengan tahun kemerdekaan negara menjadi angka ulang tahun yang akan dikenang dan terakam di dalam lipatan sejarah sebagai tahun yang menyaksikan kita `kehilangan' sejumlah warga sekelip mata.

Hilang dalam tragedi misteri MH370 dan hilang dalam nahas MH17 yang menjadi korban sengketa geopolitik.

Belum lama, baharu tahun lalu, kita menangisi gugurnya 10 perwira negara yang menggadai nyawa bersama ramai lagi yang tercedera mempertahankan bumi pertiwi daripada pencerobohan musuh dalam insiden Lahad Datu di Sabah, Malaysia diuji lagi, kali ini dengan tragedi yang berlaku di luar kawalan kita.

Tidak ada ketumbukan tentera yang boleh dihantar untuk menghalang insiden itu. Bahkan jika hendak dihantar pun kita tidak tahu ke mana. Siapa yang hendak diperangi, kita tidak tahu. Sehingga kini, tragedi yang berlaku itu pun masih misteri.

Kenapa Malaysia Airlines (MAS) menjadi sasaran? Sekali hilang dan sekali lagi terhempas ditembak dengan peluru berpandu. Malaysia bukan terletak dalam zon perang dan kita pun bukan berperang dengan sesiapa.

Namun itulah hakikat yang perlu diterima. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, konflik yang berlaku di suatu tempat bukan lagi masalah di tempat itu sahaja. Sengketa di satu ceruk rantau, kesannya boleh dirasai oleh rantau dan benua lain juga.

Ancaman yang ada adalah sesuatu yang real. Insiden Lahad Datu membuktikannya. Tragedi MH370 dan MH17 juga prasasti yang nyata. Ramai yang menjadi balu dan yatim piatu dalam insiden tersebut.

Negara kehilangan warga. Manakala industri penerbangan nasional menerima kesan yang bukan kepalang teruknya.

Insiden Lahad Datu, MH370 dan MH17 pasti tercatat dalam sejarah sebagai peristiwa yang mendewasakan Malaysia.

Peristiwa yang menguji tahap kesetiaan kita kepada negara. Peristiwa yang mencabar kesepaduan kita sebagai warga. Warga yang sanggup bersama bukan hanya dalam waktu senang namun ketika sukar.

Negarawan dan orang tua-tua yang telah melalui zaman Perang Dunia, era kolonial, saat menuntut kemerdekaan dan pasca merdeka serta detik hitam 13 Mei, sering mengingatkan, kita perlu menghargai nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi sekarang sebelum ianya 'hilang' di depan mata kita.

Setiap daripada kita mempunyai peranan untuk mempertahankan keamanan dan kemakmuran negara bertuah ini.

Tidak semestinya menjadi 'perwira yang gagah menghunus senjata' seperti dalam bait lagu Warisan dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad namun berperananlah dengan cara sendiri - mungkin sekadar dengan pena atau kata-kata mempertahankan nama baik negara daripada dicemar dan dihina.

Selamat menyambut Hari Merdeka!   Marhaini Kamaruddin Utusan/Rencana/20140830

10 sebab tidak suka K-Pop

Sebenarnya, saya kalis K-Pop. Tidak minat. Tidak dirasuk. Bukan kerana faktor usia. Orang kata K-Pop ini hanya diminati golongan remaja. Tidak setuju. Ini kerana bila saya dapat menonton sampai habis selama tiga jam filem Kuch Kuch Hota Hai pun sesudah melepasi usia remaja. Jadi bukan soal usia.

Berikut adalah 10 hal saya tidak suka K-Pop:

1. Winter Sonata

Saya mengenali Winter Sonata, sebuah drama televisyen Korea sekitar tahun 2002 hanya melalui lagunya. Mendayu-dayu. Ketika itu, sepatah pun tidak mengerti bahasa Korea (sampai sekarang pun).

Bagi penggemar drama Korea, Winter Sonata ini disifatkan sebagai pencetus kepada Gelombang Korea yang melanda seluruh Asia dan kemudiannya ke seluruh dunia dikenali hari ini sebagai K-Pop.

Daripada segi sejarah, Korea selalu dianggap kelas kedua kepada orang Jepun. Winter Sonata merubah semuanya dengan orang Jepun bukan sahaja menyukai drama ini tetapi meminati trend fesyen Korea.

Winter Sonata nyata membadai Malaysia dengan penuh dramatik. Disokong oleh lambakan filem dan video klip menerusi televisyen satelit dan media sosial, K-Pop digemari generasi milinium sekarang sama seperti generasi 1980-an menyukai Bollywood.

2. Lagu Dari Awal Hingga Kini

Populariti lagu berjudul From The Beginning Until Now nyanyian Ryu ini ditambah baik apabila ia dialih bahasakan ke Bahasa Malaysia oleh penyanyi Hazami menjadi Sonata Musim Salju, yang kemudiannya kekal sebagai lagu karaoke pilihan utama kita semua.

Masalahnya, sudahlah versi asli kena belajar bahasa Korea, memang tidak kesampaian. Versi Bahasa Malaysia nyanyian Hazami pula didapati sulit. Baharulah disedari wujud teknik nyanyian dengan pernafasan yang amat kritikal dalam penyampaian lagu ini.

Hanya dengan penyampaian begitu, baharulah lagu ini didendangkan dengan penuh emosi, dan melelehkan air mata. Tapi dalam bilik karaoke, hentam sajalah labu. Lagu Hazami ini agak istimewa. Ini kerana ia adalah lagu saduran yang berjaya kekal sebagai lagu diminati sehingga zaman The Running Man sekarang.

3. Running Man

Dua siri Running Man yang saya tonton dari awal sampai habis ialah bila dua pemain Manchester United, Park Ji-sung dan Patrice Evra menjadi tetamu program lawak ini. Ia berakhir dengan perlawanan bola sepak persahabatan. Aksi paling lawak bila Ji-sung `menyepak' Lee Kwang Soo ekoran kegagalannya menyumbat sepakan penalti. Memang macam MUFC.

Satu lagi ialah Jackie Chan jadi tetamu. Kelakar sebab superstar Hong Kong yang cukup dikenali dengan kung fu lawak `ditewaskan' oleh pelawak-pelawak Running Man Korea.

Tapi itu sahajalah.

4. Terjemahan

Lazimnya saya mengelak menonton apa-apa yang bukan bahasa Malaysia atau Inggeris, walaupun saya menyukai filem Chow Yuen-Fatt. Tetapi terjemahan bahasa yang wujud pada program Korea, terutama Running Man boleh dikatakan di tahap `masuk akal'. Tiada siapa dapat mengesahkan apa yang ditutur sama dengan yang diterjemahkan. Tetapi lihat aksi lawak dan terjemahan dialog, memang mengena. Memang ketawa juga dibuatnya.

5. Star King

Program ini memberi peluang kepada sesiapa sahaja menunjukkan bakat unik masing-masing dan kemudiannya `dipertandingkan' menerusi undian tepukan. Konsep sama seperti British Got Talents, cuma cara berbeza. Ini saya tonton beberapa kali.

Program ini adalah menyegarkan kerana berbanding dengan siri yang diadili Simon Cowell, Star King penuh dengan ketawa.

6. Nobody But Choo

Semasa di Port Dickson, satu kumpulan trio menyampaikan lagu Nobody But You yang dipopularkan oleh Wonder Girls. Sementera Wonder Girls dianggotai lima penyanyi wanita, trio yang kami tonton dalam persembahan live itu ada seorang `mat lembut', yang lebih lentik daripada dua penyanyi wanitanya. Korus lagu itu kekal kerana sebutan mat lembut `nobody nobody but Choo' kekal dalam kotak memori minda. Ngeri.

7. Plastik

Dunia sudah mengetahui betapa obses Korea terhadap pembedahan plastik. Maka wajah-wajah yang kita lihat pada K-Pop semuanya adalah plastik, kecuali Jae-suk dan Ji-sung. Kenapa jadi masalah pula? Wajah plastik ini tidak mungkin kita dapatkan kaitkan dalam kehidupan sebenar tatkala kita hari ini disuruh menerima rupa anugerah Tuhan kita dengan kesyukuran.

8. Persembahan sama

Trend K-Pop hari ini ialah memperkenalkan kumpulan penyanyi melebihi 10 orang. Sampai penuh pentas. Dan paling kritikal, setiap seorang rupa mereka adalah sama, suara sama, irama sama dan tarian pun sama. Dan juga sama dengan 20 kumpulan lain. Tiada kepelbagaian.

9. Peminat tegar

Peminat K-Pop menyedari fakta-fakta di atas tetapi bertegas enggan mengendahkannya. Peminat tegar, kental dan setia. Rambut pun diwarnakan ungu. Sanggup belajar bahasa Korea. Kumpul duit untuk melawat Pulau Namiseom. Apa bezanya keghairahan remaja terdahulu kepada Hollywood, Bollywood dan Hong Kong? Sama saja.

10. Yoo Jae-suk

Jae-suk boleh dikatakan tonggak dalam Running Man. Kalau dia tidak beraksi, Running Man jadi hambar. Dengan cermin matanya dan rambut The Beatles, Jae-Suk adalah ironi kepada kegilaan artis Korea melakukan pembedahan plastik.

Semasa hangat berdiskusi beramai-ramai dalam WhatsApp, seorang rakan menghantar gambar saya yang dikembarkan dengan Jae-suk untuk tontonan ramai. Hakikat dia sanggup mengambil masa untuk menyunting dan mengolah gambar itu, amat melucukan. Tunggu. Ada lori ada bas. Esok hari, kita balas. Johardy Ibrahim Utusan/Rencana/20140831

Mencari bakat kumpulan Gang of Four

KUMPULAN Gang of Four, yang digembleng Mao Tse-tung semasa Revolusi Kebudayaan di China (1966-1976), diketuai oleh Jiang Ching dan tiga pemimpin komunis lain Zhang Chun-qiao, Yao Wen-yuan dan Wang Hong-wen. Jiang Ching, isteri keempat Mao, telah saya kisahkan dalam coretan saya minggu lalu.

Zhang Chun-qiao lahir di Juye provinsi Shandong (provinsi kelahiran Jiang Ching) pada Februari 1917. Dia seorang pakar teori politik dan penulis politik yang tajam di Shanghai pada tahun-tahun 1930-an. Zhang menyertai parti komunis selepas Kongres Parti Komunis China (PKC) di Yan'an pada tahun 1938. Setelah negara Republik Rakyat China ditubuhkan, Zhang menjadi lebih terkenal dalam dunia penulisan di Shanghai untuk memenuhi sasaran propaganda parti komunis. Semasa di Shanghai itu, Zhang mengetuai akhbar parti Liberation Daily (Jiefang Ribao). Di Shanghailah Zhang menemui Jiang Qing (sebelum dia berkahwin dengan Mao).

Nama Zhang Chun-qiao mula melonjak terkenal kerana sebuah artikel yang ditulisnya dalam majalah Jiefang (Liberation) keluaran Oktober 1958. Artikel itu, yang bertajuk "Destroy the Ideas of Bourgeois Legal Ownership" sangat bernas pada pandangan Mao Tse-tung hingga menyebabkan dia mengarahkan artikel itu disiarkan semula dalam akhbar parti Renmin Ribao (People's Daily). Apabila disiarkan, Mao sendiri telah mencatatkan "Editor's Note" mendampinginya, sebagai sokongan padu Mao terhadap artikel itu. Dalam kalangan pemimpin kanan PKC (termasuk Jiang Ching), nota peribadi Mao itu semacam memberi petunjuk bahawa Mao sudah mengiktiraf Zhang Chun-qiao sebagai salah seorang penyokong tegarnya dalam 'pergelutan' kuasa antara Mao dengan Lui Shao-chi yang telah dimulakan Mao seawal pertengahan tahun 1950-an.

Menurut Jung-Halliday, "…Zhang Chung-qiao had been a middle-ranking functionary in Shanghai who had caught Mao's eyes with his ability to churn out articles that dressed up Mao's self-serving deeds in Marxist garb. At the start of the Cultural Revolution (1966), Mao had jumped him to the top to perform the crucial job of packaging the Purge in ideological phraseology. Zhang was the person largely responsible for the texts that caused many people in China and abroad to entertain illusions about the true nature of the Cultural Revolution." (halaman 575).

Kata Zhung-Halliday lagi, "Zhang was reticent and reserved, and wore a face that colleagues found hard to read. He had been dubbed 'the cobra' by Lin (Lin Biao) and his coterie, partly because he wore glasses, and partly because of his snake-like qualities. Lin Biao had hated him because he was not his cronies, and because Mao, ever one to sow discord among his (Mao's) underlings, had told Lin that the cobra might one day succeed Lin when Lin got old." (halaman 575).

Seorang lagi ahli Gang of Four ialah Yao Wen-yuan. Yao lahir tahun 1931 di Zhuji, provinsi Zhejiang di selatan Shanghai. Dia berasal daripada keluarga intelektual yang mana bapanya, Yao Peng-zi ialah seorang penulis, penterjemah dan pengkritik sastera ternama di China.

Yao Wen-yuan memulakan kerjaya di Shanghai sebagai pengkritik sastera. Seperti bapanya, dia menjadi terkenal kerana kritikan-kritikan tajamnya dalam dunia sastera. Namanya melonjak dalam bulan Jun 1957 apabila dia menulis kritikan tajam terhadap akhbar Wenhuibao. Semenjak itu, Yao semakin menarik perhatian ahli-ahli politik 'kiri' di Shanghai, termasuklah Zhang Chung-qiao yang semasa itu mengetuai bahagian propaganda parti komunis bahagian Shanghai. Dia telah diperkenalkan kepada Jiang Ching oleh Ke Qing-shi, ketua parti komunis Shanghai, semasa Jiang melawat Shanghai pada pertengahan 1963 dalam misi 'mencari' bakat-bakat yang sesuai untuk kumpulan Gang of Four. Ke Qing-shi ialah pengikut Mao Tse-tung yang sangat setia dalam keadaan apa sekalipun yang dihadapi Mao.

Mengikut Dr. Li Zhi-sui dalam bukunya The Private Life of Chairman Mao, Jiang Ching, selepas lawatan ke Shanghai itu, telah memberi laporan kepada Mao Tse-tung bertajuk 'Conclusive Report on the Revolutionary Changes in Plays and Operas in Shanghai'. Mao telah mencatat ulasan-ulasan dalam laporan itu. Kata Dr. Li, Mao telah menunjukkan laporan itu kepadanya (Dr Li). " 'Take a look,' he said. We have established a socialist foundation in our economy, but the superstructure - the literature and art - has not changed ….. We have to study this problem. Even party members are enthusiastically promoting feudal and capitalist art, but ignoring socialist art.' " (halaman 405).

Laporan oleh Jiang Ching itu dikatakan telah disediakan bersama oleh Ke Qing-shi, Zhang Chun-qiao dan Yao Wen-yuan. Dikatakan juga, berikutan daripada itu, sebuah artikel tulisan Yao Wen-yuan yang disiarkan oleh akhbar Wenhuibao di Shanghai keluaran 10 November 1965 bertajuk "On the New Historical Beijing Opera 'Hai Rui Dismissed from Office", menandakan terlancarnya Revolusi Kebudayaan di China sebagai mengikut nafsu songsang dan gila Mao Tse-tung.

Artikel itu mengisahkan sebuah opera popular oleh Wu Han, yang memegang jawatan timbalan datuk bandar Beijing. Zhang Chun-qiao dan Jiang Qing menganggap opera itu bersifat counter-revolutionary, yakni menyindir perangai kalangan pegawai kerajaan di bawah pemerintahan komunis. Jalan ceritanya - watak Hai Ru, seorang pegawai kerajaan, bersikap menyebelahi kaum petani yang menentang pemerintahan diraja. Pegawai-pegawainya bersikap hipokrit menindas orang ramai tetapi, dalam masa sama, berpura-pura bersikap baik. Dalam Cerita itu, Hai Ru dibuang kerja kerana sikapnya itu. Yao Wen-yuan mengkritik bahawa jalan cerita itu sebetulnya adalah sindiran keras kepada Mao Tse-tung berhubung kes tahun 1959 apabila Mao memecat Peng De-huai, Menteri Pertahanan China semasa itu, kerana Peng telah mengkritik dasar Great Leap Forward Mao yang membawa malapetaka kepada rakyat China.

Mao sangat tertarik dengan kecerdasan akal fikiran Yao Wen-yuan, lantas memberi persetujuan kepada isterinya, Jiang Ching, melantiknya (Yao) menganggotai Gang of Four. Seorang lagi anggota kumpulan ini, Wang Hong-wen, akan saya kisahkan dalam coretan minggu hadapan. ABDUL RAHIM NOOR Utusan/Rencana/20140831

Memberi makna sebenar kepada kemerdekaan

DARIPADA sekian banyak kenyataan yang dilontarkan oleh sesetengah pemimpin, sebahagiannya tentang kebimbangan penghayatan kemerdekaan yang dikatakan semakin kurang dalam kalangan rakyat. Setiap tahun menjelang 31 Ogos, kenyataan yang sama disalin semula dan dilontarkan kepada rakyat. Maka kita yang sudah bertahun-tahun menelan kata-kata fotastat itu tertanya-tanya adakah benar penghayatan kemerdekaan sudah semakin cair?

Tidak dapat dipastikan apa kaedahnya yang digunakan untuk mengukur penghayatan kemerdekaan. Tetapi persoalan yang lebih besar ialah sekiranya benar rakyat sudah tidak mempedulikan erti kemerdekaan, apakah langkah yang telah dilakukan? Kalau ada langkah dibuat, kita kena tanya juga adakah sekadar 'satu program' tetapi yang tidak sampai ke jiwa rakyat kerana bau-bauan politiknya agak kuat.

Malam tadi ada tidak ada acara sambutan menjelang 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Semasa menyusuri suasana lengang di depan Bangunan Sultan Abdul Samad menjelang tengah malam, saya mengakui tahun ini tidak gah seperti sebelumnya. Tetapi memberi makna kepada kemerdekaan bukanlah diukur dengan lautan manusia yang mengerumuni konsert hiburan dan pertunjukan bunga api sempena ulang tahun merdeka.

Sejak awal lagi kita diberitahu bahawa tahun ini tidak ada pertunjukan bunga api dan konsert hiburan seperti kebiasaannya. Ini suatu yang mesti disambut baik kerana kedua-duanya tidak ada kena mengena dengan kemerdekaan. Kalau ada yang kata, kali ini sambutan tidak bersemangat sebab tidak ada konsert, bagi saya inilah masalahnya. Rakyat sejak lama dulu disogokkan makna kemerdekaan yang salah.

Tahun ini dilihat sebagai satu anjakan dalam memaknakan kemerdekaan. Tidak ada acara yang melonggokkan puluhan artis di Dataran Merdeka atau terpekik terlolong menjelang detik 12 malam. Ini sama dengan konsert hiburan di Hyde Park, London.Jadi, apa yang merdekanya? Sepatutnya acara sambutan kemerdekaan adalah program kenegaraan bukan konsert hiburan.

Tahun ini negara kita dilanda dua musibah besar yang boleh memberikan kesan kepada rakyat. Pertama kehilangan pesawat MH 370 sejak 8 Mac lalu dan kedua pesawat MH 17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu. Keluarga mangsa kedua-dua tragedi ini masih dalam kedukaan dan berbahagi duka adalah satu sikap yang sangat perikemanusiaan.

Kesempatan ini wajar dimanfaatkan untuk membuat bedah siasat terhadap banyak program yang dilabelkan sebagai "kenegaraan". Kena mencari jawapan adakah program kenegaraan selama ini termasuk sambutan ulang tahun kemerdekaan berjaya membentuk penghayatan yang sebenar? Atau adakah mencurah berkarung-karung duit dengan sia-sia kerana tidak sampai kepada hati nurani generasi muda?

Tahun seterusnya diharapkan sambutan ulang tahun kemerdekaan akan lebih terarah, tidak ada bunga api dan konsert murahan di Dataran Merdeka. Memanglah kemerdekaan membawa kegembiraan, Tetapi cara meluahkan kegembiraan mesti berpaksi kepada kesedaran dan keinsafan.

Malah ulang tahun kemerdekaan perlu diberikan perspektif baharu. Kalau tidak, maknanya yang besar hilang begitu sahaja. Programnya sama seperti menggesa rakyat mengibar bendera. Kibar bendera bagus tetapi makna merdeka melampaui hal-hal luaran.

Saya percaya rakyat secara umumnya faham erti merdeka berbanding sesetengah pemimpin. Rakyat lebih menghargai kemerdekaan kerana nenek moyang sanggup mati kerana menuntut kemerdekaan. Sebab itulah mereka tidak ambil peduli sangat tentang apa sahaja tema atau logo hari kemerdekaan. Itu kosmetik bukannya isi.

Soalnya, adilkah rakyat yang tidak ambil tahu tentang hal-hal kosmetik ini boleh dianggap sebagai tidak ada penghayatan kemerdekaan? Adakah tema atau logo menjadi lebih besar daripada makna kemerdekaan itu sendiri? Sebenarnya tidak ada tema atau slogan yang lebih bermakna daripada ungkapan "31 haribulan Ogos tahun 1957". Ungkapan ini difahami daripada generasi kepada generasi. Inilah slogan, tema atau apa sahaja yang cukup besar, sangat bermakna dan tidak perlu dimaknakan lagi dengan ungkapan lain. Bagaimanapun mengadakan slogan dan logo tidak pula menjadi masalah asalkan makna kemerdekaan itu tidak diperkecilkan.

Lagi pun rakyat tahu bahawa sindrom slogan sudah lama bertapak dalam masyarakat. Seolah-olah semua kerja tidak jadi kalau tidak ada slogan, acara perasmian dan sebagainya. Orang kita, biasalah.

Tahun ini lagu nyanyian Sudirman dijadikan lagu tema ulang tahun kemerdekaan. Ini satu "pembaharuan" dan kita kena bersedia kalau lagu dangdut, rap atau heavy metal dipilih sebagai lagu tema. Saya tidak ada masalah. Semua boleh. Lagu Sudirman memang sedap didengar walaupun banyak lagi lagu patriotik yang lebih sesuai.

Daripada definisi mudah, merdeka adalah kebebasan kita mencorakkan negara berteraskan Perlembagaan. Kenapa ada pihak yang liat sangat untuk mendakwa pihak yang menghina Perlembagaan walaupun kuasa di tangannya?

Apakah yang dilakukan terhadap rakyat yang menghina lagu Negaraku menjadi Negara kuku? Apakah tindakan terhadap samseng politik yang menaikkan bendera berwarna merah putih 31 Ogos tahun lalu? Apakah tindakan kepada pihak yang menghina Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan? Kalau merdeka kenalah kuatkuasakan undang-undang untuk kesejahteraan rakyat yang merdeka. Akta yang ada kenalah berhati-hati sebelum dipinda atau dipadam. Semua itu adalah hasil merdeka yang sangat mahal harganya.   Ku Seman Ku Hussain  kusemankh@gmail.com Utusan/Rencana/20140831

Memugar kembali nilai patriotik

Hari ini kita sama-sama menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-57. Dalam usia kemerdekaan yang masih boleh dianggap muda ini, pastilah memerlukan setiap warga untuk kembali bermuhasabah dan menilai secara objektif akan makna kemerdekaan sebenar.

Yang pasti hari kemerdekaan yang disambut saban tahun bukan sekadar rutin tahunan tanpa makna dan haluan. Ia juga bukan setakat upacara riuh-rendah pengibaran Jalur Gemilang tanpa tujuan. Lebih malang lagi jika hari penuh bersejarah ini hanya dipenuhi dengan gegak-gempita pesta-pestaan yang tercabut akar budaya dan nilai-nilai keagamaan.

Persoalannya apakah selepas 57 tahun merdeka, rakyat benar-benar bebas daripada belenggu kongkongan dan penjajahan? Apakah kemerdekaan yang ditebus daripada penjajah Barat benar-benar telah membenamkan saki-baki jiwa hamba dalam diri setiap warganegara?

Dari satu sudut, masyarakat hari ini mungkin telah bebas daripada belenggu penjajahan fizikal, namun jiwa dan pemikiran kita kadangkala semacam masih lagi terbelenggu dan terjajah. Penjajahan Barat yang berlangsung lebih 400 tahun rupa-rupanya telah berjaya menanamkan sejenis jiwa hamba iaitu jiwa anak jajahan dalam kalangan sebahagian umat kita.

Jiwa hamba yang masih mencengkam inilah akhirnya memudahkan proses penjajahan budaya hingga terlahirnya generasi pengagum budaya bekas tuannya. Kecenderungan memartabatkan budaya asing lantas merubah watak dan cara hidup generasi muda kepada gaya hidup hedonistik melampau, keseronokan rakus, hiburan melulu hingga mengakar sikap materialistik dan individualistik dalam diri.

Natijahnya lahirlah manusia sintetik (tiruan) yang terhakis jati diri dan terputus akar agama dan tradisi. Pemikiran dan perawakan manusia sintetik ini lebih bercitrakan Barat hingga membudaya gaya hidup sintetik dalam pelbagai bidang - muzik, filem, fesyen dan lain-lain. Apa sahaja yang didatangkan dari Barat dianggap memenuhi citra kemodenan sebaliknya budaya sendiri diremehkan.

Tidak hairanlah jika hari ini wujud sikap memperlekehkan budaya hatta bahasa sendiri lantaran terlalu taksub pada pemikiran, gaya hidup dan cita rasa bekas penjajah. Budaya yang tidak lagi berakar kepada akidah turut membiakkan pelbagai gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang serius dalam kalangan muda-mudi.

Dalam konteks sosioekonomi pula, masyarakat yang terjajah mindanya seringkali mengalami pelbagai konflik kejiwaan dan dilema pertentangan nilai yang parah. Gaya hidup materialistik dan individualistik bermodelkan kapitalis Barat jelas mengakar dalam masyarakat hingga menatijahkan pelbagai penyakit sosial seperti rasuah, pecah amanah dan jenayah profesional lain.

Semua ini berlaku lantaran ingin hidup mewah dan 'glamor' persis watak-watak cereka filem yang ditampilkan walaupun terpaksa berbelanja di luar kemampuan .

Dunia politik juga tidak ketinggalan menghadapi pelbagai kegawatan moral yang parah. Kerakusan terhadap kuasa, ketamakan kepada kekayaan dan kegilaan kepada kemasyhuran menyebabkan prinsip agama mudah dicabuli, hak-hak orang lain dinodai dan nilai-nilai perikemanusiaan turut diperkosai sewenang-wenangnya.

Lebih menggerunkan apabila kini kembali wujud watak-watak 'si kitol' yang sanggup menjadi alat kuasa luar hingga rela diperkudakan dengan membawa pelbagai fahaman dan ideologi asing yang hakikatnya lompong nilai dan bertentangan prinsip agama.

Dengan dibiayai dana-dana lumayan, golongan ini juga cuba merobek asas-asas negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan atas nama hak asasi dan kebebasan. Semua ini kerana terlalu dahagakan kuasa dan tamakkan kedudukan hingga agama dan maruah negara rela dipertaruhkan.

Menyedari kegawatan inilah maka usaha mencanai nilai patriotik berjiwa merdeka harus segera disemarakkan dalam kalangan generasi muda kini. Yang dimaksudkan dengan patriotisme di sini tentunya berintikan akidah dan suluhan syariat yang benar.

Kecintaan

Hakikat yang perlu difahami, patriotisme atau kecintaan kepada tanah air adalah satu naluri manusiawi bersifat fitrah yang diciptakan Allah dalam diri setiap insan. Sehinggakan Nabi Ibrahim AS sendiri menzahirkan kecintaan baginda pada tanah air seraya berdoa akan segala kebaikan kepada negara sebagaimana termaktub dalam al-Quran:

"Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman. Dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala." (Ibrahim:35)

Malah Nabi Muhammad SAW sendiri banyak digambarkan dalam hadis betapa nilai cintakan tanah air atau patriotik cukup menyebati dalam diri baginda. Hinggakan dirakam dalam satu hadis bagaimana baginda berdialog dengan bumi Mekah tatkala memulakan hijrah ke Madinah:

"Engkau wahai Mekah merupakan satu bumi yang baik dan paling aku cintai, sekiranya kaummu (pendudukmu) tidak mengeluarkan aku daripadamu, nescaya aku tidak akan tetap di mana-mana tempat selain daripadamu." (Riwayat Tirmizi)

Berasaskan dalil-dalil di ataslah maka pembentukan nilai patriotik harus dimulai dengan penjanaan generasi berteraskan doktrin tauhid. Umat Islam yang telah menjalani indoktrinasi tauhid pasti bebas daripada dibelenggu jiwa hamba. Ini kerana pengesaan kepada Tuhan bererti secara sedar dia telah menolak pengabdian kepada sesiapa selain Allah.

Hakikat inilah yang ditegaskan oleh Saidina Umar al-Khattab dalam mengungkapkan kata-katanya yang penuh bermakna: "Sesungguhnya kami dahulu ialah sehina-hina manusia, lalu Allah memuliakan kita dengan Islam, maka andainya kita cuba mencari kemuliaan selain daripada Islam, nescaya Allah akan menghina kita." (Kitab Al-Mustadrak 'ala al-Sahihain, bab Iman, Juzuk 1, ms. 214)

Doktrin tauhid yang menerasi Islam ini turut menumbuhkan generasi yang berorientasikan keilmuan yang cukup dinamik hingga menjadikan mereka bukan sahaja manusia yang mempunyai ketajaman fikiran malah hati mereka sentiasa terpaut pada ingatan kepada kebesaran Allah (zikrullah).

Integrasi antara unsur fikir dan zikir inilah yang merangsang jiwa merdeka dalam diri setiap individu. Generasi ini diistilahkan al-Quran sebagai generasi Ulul-Albab iaitu generasi yang terbina diatas asas keimanan kukuh dan keupayaan intelektual yang tinggi hingga mampu mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif sekali gus menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang praktis.

Bangsa yang berjiwa patriotik dan merdeka ialah bangsa yang sensitif dengan maruah dan martabatnya. Mereka tahu mahalnya harga maruah dan martabat hingga sanggup mempertahankannya. Bangsa berjiwa patriotik merdeka juga ialah bangsa yang kaya dengan cita-cita dan daya usaha. Mereka tahu apa yang harus dikerjakan tanpa dikerah, tanpa diperintah.

Masih belum terlambat untuk semangat patriotik yang pernah mencetuskan gelombang besar perjuangan bangsa satu ketika kembali disemai dan disemarakkan dalam kalangan generasi muda.

Perasaan cinta kepada negara yang lahir daripada jiwa merdeka berorientasikan agama dan adat tradisi yang Islamik pasti mampu menggerakkan setiap warga untuk berbakti setulusnya kepada agama, bangsa dan negara secara ikhlas dan penuh amanah.

Penghayatan kepada semangat patriotik berteraskan nilai-nilai Islam sejati juga berupaya menjelmakan natijah positif terhadap apa jua usaha untuk membangunkan negara. Malah kebimbangan kita semua terhadap kemungkinan berlakunya fenomena ketirisan mahupun pengkhianatan dalam upaya membangunkan negara juga mampu ditangani sekiranya setiap warga mempunyai iltizam dan komitmen padu untuk menjayakan sebarang misi dan visi negara.

Kepakaran dan ketrampilan sahaja tidak cukup bagi menjamin terciptanya suatu kejayaan. Sebaliknya elemen kepakaran harus diadun bersamanya nilai patriotik yang Islamik agar natijah yang lahir bukan sahaja manusia yang mempunyai kemampuan memacu dan menjana ekonomi negara dengan baik tetapi yang lebih mustahak tidak menjadi barah memporak-perandakan negara dan membinasakan masyarakat terbanyak.

Justeru, pada saat kita menyambut kemerdekaan negara yang ke-57 ini, usaha bersepadu harus disasarkan ke arah penjanaan modal insan yang punya nilai patriotik dan jiwa merdeka yang sejati.

Tanpa semangat patriotik berjiwa merdeka, sesuatu bangsa tidak akan mampu mencipta kegemilangan dalam sejarahnya. Malah impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi dalam pengertian sebenar pasti tidak akan mampu dijelmakan jika pemikiran dan jiwa bangsanya masih terjajah.

Akhirnya yang tinggal hanyalah sebuah bangsa berkualiti buih yang rapuh dan tidak kekal lama sebagaimana terungkap dalam al-Quran: Adapun buih itu, akan hilang sebagai suatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Maka demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan. (Ar-Ra'd:17)

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki  ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan/Rencana/20140831