September 4th, 2014

Lepas dari perangkap komunis

Kezaliman Parti Komunis Malaya (PKM) membunuh rakyat tempatan demi rancangan mewujudkan negara komunis menyebabkan negara terpaksa melalui zaman darurat yang panjang iaitu antara tahun 1948 hingga 1960.

Ini paling ketara apabila mereka bermaharajalela secara terbuka dalam tempoh negara tanpa pentadbiran iaitu selepas Jepun menarik diri dan sebelum British menyusun semula pentadbiran negara pada 12 Sept, 1945.

Dalam tempoh kurang tiga minggu itu, PKM telah keluar dari hutan, menawan balai polis dan bertindak kejam membunuh orang tempatan terutama kaum Melayu yang dianggap membantu Jepun.

Veteran Clifford Gerald Standley, 88, yang pernah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera British ketika Perang Dunia Kedua (WWII) mempunyai pengalaman tersendiri berhadapan dengan kumpulan pengganas itu.

Veteran Perang Dunia kedua (WWII), Clifford G Standley, menunjukkan dua pasport lamanya yang telah luput
iaitu kewarganegaraan Malaya sejak merdeka dan pasport kewarganegaraan Singapura yang diterima sejak 1965.

Sebagai askar British, Standley pernah berkhidmat di India, Pakistan, Burma sebelum menamatkan khidmat ketenteraan pada 1948 menentang Jepun di Tanah Melayu, dan menyertai pasukan polis negara di Singapura pada tahun yang sama, katanya kepada Bernama di Petaling Jaya, dekat sini baru-baru ini.

“Saya tidak ingat berapa ramai rakyat tempatan yang terkorban, tetapi yang pastinya sangat ramai," katanya sambil menambah, keadaan waktu itu sangat buruk untuk rakyat jelata mencari sesuap nasi untuk keluarga.

Rakyat hidup dalam ketakutan kerana sering diganggu komunis menyebabkan mereka tidak berani keluar bekerja meskipun untuk bercucuk tanam, sekaligus menjejaskan bekalan makanan dan sektor pertanian hingga melembabkan pertumbuhan semula ekonomi.

Anti-eropah

Dalam komuniti militan komunis di bawah Chin Peng, terdapat kumpulan khas anti-Eropah yang berperanan mencari, memburu dan membunuh pegawai berbangsa Eropah.

Malangnya, dalam tempoh beberapa tahun pertama komunis bermaharajalela, lebih 100 peladang Eropah dalam kalangan rakan-rakan Standley sendiri telah dibunuh.

Pertempuran berterusan antara pasukan keselamatan negara dengan komunis terus memuncak dengan pembunuhan beberapa pegawai penting pentadbiran British hingga memaksa perisytiharan Darurat Tanah Melayu 1948.

Standley menerima jawatan sebagai Pengurus Ladang Getah Anglo-Johore di Bekok, berdekatan dengan Labis, pada tahun 1950 selepas peristiwa Tragedi Natrah.

Meskipun telah meninggalkan pasukan polis, beliau tetap membantu rakan-rakannya dalam operasi memburu komunis di dalam hutan yang meliputi seluruh semenanjung dalam usaha pihak pentadbir British melindungi rakyat jelata yang rata-rata tinggal di kampung yang terletak di pinggir hutan.

“Saya pernah hidup pada zaman kerakusan Chin Peng yang mahu berkuasa tetapi menggunakan cara yang kejam.

“Chin Peng melihat British sebagai batu penghalang, jadi dia mengambil kesempatan menggunakan strategi British yang mahu perbaiki ekonomi melalui pembukaan ladang, untuk melakukan operasi besar-besaran membunuh pekerja tempatan terutama pengurus-pengurus ladang berbangsa Eropah," kata Standley yang berasal dari Yorkshire, Britain.

“Setiap kali kami membuat perjalanan jauh atau dekat, misalnya ke Singapura untuk beberapa hari, pemberontak pasti sudah menunggu mahu menyerang di laluan jalan balik.

“Jadi kami perlu sentiasa mengenalpasti laluan-laluan alternatif," jelasnya mengingatkan penulis bahawa jalan raya pada waktu itu adalah jalan tanah merah yang dikelilingi belukar dan hutan.

Serang pekerja

Katanya, komunis yang bergerak dalam kumpulan militan kecil dikenali sebagai ‘Bintang Tiga’ atau ‘Reds’, amat mahir dengan selok belok hutan tebal yang meliputi sepanjang Semenanjung Malaysia dari Singapura, Johor hinggalah selatan Thailand.

“Bayangkan berapa luas lokasi persembunyian komunis yang menunggu peluang menyerang pekerja ladang dan lombong Eropah yang amat mereka benci," tambah beliau.

Terletak di selatan tanahair, Standley mengakui ladang yang dijaganya adalah antara lokasi serang hendap pemberontak paling ‘panas’.

“Mereka sering menjadikan lori, kereta dan kenderaan lain yang keluar masuk sebagai sasaran mudah untuk membunuh peladang Eropah," imbasnya.

Standley teringat pengalaman beliau pada tahun 1950, yang sengaja keluar mengayuh basikal seawal pukul lima pagi melewati kawasan perintah berkurung semata-mata mahu melancong ke Melaka.

“Rakan-rakan dalam pasukan polis membantah pengembaraan saya itu, tetapi syukurlah saya selamat pergi dan kembali ke ladang, katanya.

Selaku pengurus ladang, Standley sering bimbangkan keselamatan para pekerja yang terpaksa berhadapan dengan serang hendap dan rompakan dari hutan sehingga menyebabkan terlalu banyak kematian dan kecederaan.

“Kami boleh mendengar bunyi tembakan hampir setiap malam apabila mereka datang dan menembak sesiapa sahaja termasuk menyerang polis yang berkawal di pos keselamatan," katanya.

Beliau sendiri beberapa kali terlepas daripada serangan gerila komunis dalam percubaan mereka membunuh peladang Eropah sehingga menyebabkan beliau dikenali dan menjadi sasaran khas dendam komunis.

Kisah Standley pernah terselamat daripada lima cubaan bunuh antara tahun 1951 dan 1955, pernah terpampang di muka depan akhbar The Straits Times pada 1955.

Mengimbas semula lima kejadian itu, Standley berkata, serangan pertama berlaku pada usia 25 tahun yang menyebabkan beliau terlantar di hospital selama empat bulan dengan kecederaan pinggul.

“Tetapi umur saya masih panjang, dan berjaya pula terlepas dengan selamat ketika serangan kedua dan ketiga yang juga berlaku berhampiran kawasan ladang," katanya.   Utusan/Rencana/20140903

Kenapa PPS diharamkan?

SEPERTI dijangka dari awal lagi, isu penahanan 156 anggota Pasukan Peronda Sukarelawan (PPS) pada 31 Ogos lalu terus hangat diperkatakan, terutama sekali setelah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar untuk berdebat secara terbuka dengannya mengenai penubuhan PPS itu.

Guan Eng secara terbuka mengecam tindakan polis menahan anggota PPS itu, sambil menyifatkan tindakan Khalid itu sebagai menyalahgunakan kuasa. Beliau turut bertanya apakah pihak polis akan turut menahannya sama seperti polis menahan Exco yang menjaga hal ehwal PPS, iaitu Phee Boon Poh?

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, memberitahu bahawa polis sedang memburu saki baki anggota PPS yang dianggarkan berjumlah lebih 9,000 orang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Mior Faridalathrash Wahid (kanan) bersama anggota polis
mengiringi 250 ahli PPS yang ditahan selepas mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kemerdekaan ke-57, di Georgetown, Ahad lalu. - bernama

Rahim mendedahkan bahawa 11 anggota PPS dari 156 orang yang ditahan polis pada 31 Ogos itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau - antaranya melibatkan jenayah cubaan membunuh, ahli kongsi gelap, penyalahgunaan dadah, kesalahan di bawah Akta Kastam dan kesalahan di bawah Ordinan Darurat 1969.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menasihatkan kerajaan Pulau Pinang membubarkan PPS kerana badan itu merupakan satu pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Satu entiti haram

Justeru pada sambutan Hari Kemerdekaan lalu, Polis menahan 156 anggota PPS semasa mereka mengambil bahagian dalam perayaan Merdeka di peringkat negeri Pulau Pinang. Menjelaskan rasional tindakan polis itu, Khalid menyatakan bahawa PPS dianggap satu entiti haram di bawah Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana ia tidak didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan.

Guan Eng sebaliknya mempertahankan bahawa PPS adalah satu organisasi yang sah kerana ia ditubuhkan oleh kerajaan negeri. Selama empat tahun PPS tidak berdepan dengan apa-apa masalah dari pihak polis kecuali satu dua insiden, di mana tindakan tatatertib telah pun diambil oleh kerajaan negeri dan mereka yang bersalah telah pun dihukum.

Sehari sebelumnya, pada 30 Ogos, Guan Eng menegaskan bahawa anggota PPS akan tetap mengambil bahagian dalam perayaan sambutan Merdeka itu, walaupun telah diberi amaran oleh polis bahawa sesiapa sahaja dalam kalangan anggota PPS yang menyertai perarakan itu akan ditangkap.

Di bawah Seksyen 41 Akta Pertubuhan, satu pertubuhan itu menjadi pertubuhan haram (unlawful society) sekiranya ia tidak didaftarkan di bawah Seksyen 7.

Mengikut Seksyen 2, istilah "pertubuhan" diberi takrif yang luas, meliputi antara lain "kelab, syarikat, perkongsian atau persatuan tujuh orang ahli atau lebih, tidak kira apa pun sifat atau matlamatnya, sama ada sementara atau berkekalan", tetapi tidak termasuk beberapa entiti yang disebutkan secara nyata dalam seksyen itu.

Menjadi pegawai satu pertubuhan haram adalah salah di bawah Seksyen 42 - boleh dihukum penjara selama 5 tahun, denda RM15,00 atau kedua-duanya sekali. Menjadi ahli pertubuhan haram juga satu kesalahan di bawah Seksyen 43 - boleh dihukum penjara 3 tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Perbuatan mendorong, menggalakkan atau mempelawa orang lain untuk menjadi ahli atau menyertai satu pertubuhan haram juga satu kesalahan di bawah Seksyen 45 - boleh dihukum penjara 4 tahun, denda RM15,000 atau kedua-duanya sekali.

Ini bermakna bukan hanya pegawai dan ahli PPS yang boleh ditangkap, ditahan dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Pertubuhan. Mana-mana orang (termasuk ahli Exco kerajaan atau Ketua Menteri sekali) yang sengaja mendorong, menggalakkan atau mempelawa (incite, induce or invite") orang awam lain menyertai PPS juga boleh dikenakan prosiding jenayah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman.

Kenapa Pulau Pinang perlukan PPS?

Mengikut Exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh, PPS ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada 8 April 2009 untuk membantu kerja "community policing" disebabkan Kerajaan Persekutuan tidak begitu berminat melayan permintaan kerajaan negeri untuk meningkatkan Rukun Tetangga dan Rela Corp demi keselamatan negeri.

Pihak yang menyokong penubuhan PPS ini menyatakan bahawa disebabkan kekurangan polis menjaga keamanan di negeri ini, orang awam terpaksa membuat rondaan secara sukarela. Apabila suatu jenayah berlaku, para sukarelawan inilah yang kadangkala sampai dulu ke tempat kejadian jenayah, dan mereka dibenarkan oleh undang-undang menjalankan "citizen's arrest".

Tidak semua yang berpendapat sedemikian itu. Ada yang berkata bahawa negara ini sudahpun ada PDRM, ada Rela, ada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membantu rakyat negara ini dan menjalankan tugas menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat. Selain itu, Guan Eng sendiri telah pun mengakui bahawa Pulau Pinang telah mencatatkan penurunan kadar jenayahnya selama ini - iaitu 27% pada tahun 2010 dan 25% dalam 6 bulan pertama tahun 2011.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga telah mengakui bahawa penurunan kadar jenayah di negeri adalah hasil kerja kuat PDRM, serta pemasangan CCTV dan penyertaan anggota masyarakat. Jadi apa perlunya lagi diwujudkan PPS?

Isu patut diselesaikan lama dulu

Pengerusi Majlis Peguam Negeri Pulau Pinang, Abdul Fareed Abdul Gafoor, berpendapat isu PPS itu sepatutnya diselesaikan lama dulu lagi. Pada pendapatnya, PPS sepatutnya didaftarkan dengan ROS sebaik sahaja ia diwujudkan oleh kerajaan negeri.

Mengikut Fareed, kerajaan negeri mendakwa PPS ini tertakluk kepada bidang kuasanya. Tetapi tidak ada satu pun undang-undang negeri yang ada menyatakan sedemikian itu. Andainya kerajaan negeri berkeras menyatakan PPS di bawah bidang kuasanya dan PDRM telah bertindak salah terhadapnya, ia perlu mendapatkan perisytiharan dari mahkamah.

Pada hemat saya, persoalan utama dalam isu PPS ini adalah sekalipun ia didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan, apakah fungsinya boleh meliputi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam? Bolehkah ROS membenarkan satu pertubuhan di negara ini menjalankan fungsi sedemikian itu?

Andainya kita semak secara terperinci Jadual ke Sembilan Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa dalam Item 3 Senarai I (iaitu Senarai Persekutuan) bahawa "Internal security, including - (a) Police …. Public order" adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat, bukan kerajaan negeri.

Jelas sekali, sebuah kerajaan negeri seperti Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak ada kuasa di sisi Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan apa-apa badan atau pertubuhan yang fungsinya seperti polis, iaitu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Kerja berkaitan keselamatan, kepolisan dan ketenteraman awam adalah kerja PDRM. PPS, yang ditubuhkan sebagai pertubuhan ala polis oleh Guan Eng, adalah jelas sekali haram di sisi undang-undang negara. alleh Buang ialah Penganalisis Undang-undang. Utusan/Rencana/20140903

Kisah Iswara di klia2; Tahniah KPN; Kongsi gelap mahu dihalalkan?

klia2 dan teksi merah putih

MALAM Ahad lalu, saya terbang dari satu destinasi dan mendarat di lapangan terbang baharu negara, klia2 kira-kira jam 9.30 malam.

Cukup hebat lapangan terbang itu. Tidak terasa pun landasannya berombak-ombak seperti dakwaan sesetengah pihak.

Sampai di terminal, pesawat disambungkan terus ke jambatan. Maka itu penumpang tidak perlu lagi menapak dalam hujan atau panas menuruni tangga dan berjalan ke bangunan terminal. Sungguh selesa.

Walaupun syarikat penerbangan mengenakan caj tambahan kepada penumpang kerana kemudahan itu, ia tidak menjadi masalah kepada kami.

Masuk ke bangunan saya cukup kagum dengan klia2. Sebagai salah seorang frequent traveler, saya dapat merasakan ia adalah lapangan terbang yang hebat di dunia.

Saya seperti memasuki ke kompleks membeli-belah. Ia adalah lapangan terbang emporium. Tidak terasa kita sedang berada di dalam sebuah lapangan terbang.

Pendek kata orang ramai boleh berkunjung ke situ untuk bershopping dan bukan untuk mengambil pesawat penerbangan.

Alangkah hebatnya lagi sekiranya lapangan terbang itu sendiri menjadi factory outlets - yang menjual barangan berjenama dengan harga yang murah.

Walaupun sebelum ini saya ada menulis mengenai kuota peniaga Melayu di situ masih rendah, namun saya berdoa keadaan itu akan berubah.

Oleh kerana terlalu letih setelah menempuh perjalanan, saya dan seorang rakan yang tinggal di Dubai bergegas untuk mencari teksi.

Saya tiba di kaunter tiket. Dari aras atas menuju ke kaunter itu kita kena menaiki lif dalam satu ruang yang sempit dan dipenuhi dengan troli kosong yang tidak diuruskan dengan sempurna. Berlaku kesesakan sedikit apabila troli yang ditolak masuk ke lobi lif dihalang oleh troli-troli kosong yang ditinggalkan.

Di kaunter teksi saya dapat melihat tertera tertulis: Teksi berkupon dan Teksi bermeter.

Saya pun terus menuju ke teksi berkupon dengan harapan dapat menaiki teksi limo yang selesa dalam keadaan keletihan untuk pulang ke rumah. Saya membayar kupon RM85 ke sebuah seksyen di Shah Alam.

Saya kira agak mahal dan lebih mahal daripada teksi limo di KLIA, iaitu sekitar RM75. Saya tidak merungut. Kami diarahkan ke Pintu 5 untuk mendapatkan teksi.

Di situ saya terus menuju ke deretan teksi merah putih. Saya beranggapan dapat menaiki teksi syarikat Limo dan bukan teksi merah putih yang saya sangka seperti teksi bermeter.

Namun kami diminta menaiki sebuah teksi merah putih jenis Proton Iswara lama yang cukup daif rupanya.

Menjengah masuk terbau pula wangian yang menusuk hidung. Macam bau setanggi dibakar? Biar betul. Siap dengan bulu burung merak di atas dashboard.

Oleh kerana pemandu itu berbadan besar, kerusi pemandu ditolak ke belakang. Kerusi belakang tidak boleh dinaiki oleh dua penumpang.

Saya diarahkan duduk di kerusi penumpang hadapan dan seorang lagi di belakang saya. Kerusi saya pula terlalu ke hadapan dan sandarnya menegak. Saya seperti tidak percaya.

Oleh kerana terlalu memikirkan suasana teksi itu -- dan nasib malang kami -- tiba-tiba saya ketawa seorang, lalu menggeleng-gelengkan kepala -- tak percaya!

Fikiran saya merewang-rewang. Marah. Mulalah teringatkan muka Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), muka pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar, jenis teksi-teksi hebat di Dubai, di Bangkok mahupun teksi-teksi Sonata baru di Jakarta.

Badan yang letih bertambah letih. Rakan saya yang tinggal di Dubai senyap menyepi. Saya menoleh ke arahnya dia kelihatan tiada mood.

Lebih meletihkan, teksi itu yang bunyi enjinnya seperti merayu-rayu, terpaksa beratur panjang pula untuk ke pintu plaza tol dekat lapangan terbang itu.

Apalah salahnya pemandu teksi ini menggunakan touch n go atau pun smart tag, kata hati saya.

Oleh kerana terlalu letih tiba-tiba rakan saya di belakang bersuara "laju sikit tak boleh ka..." Saya pula senyap.

Kasihan pun ada juga dengan pemandu itu. Mungkin dia orang susah. Rakan saya itu kelihatan cukup tertekan. Dia pula terpaksa terbang pulang ke Dubai jam 6 pagi keesokan harinya. Kami tiba ke destinasi hampir tengah malam.

Keluar dari teksi itu, rakan saya itu tiba-tiba bersuara melepas perasaan: "teksi itu sepatutnya sudah dilupuskan..."

Saya tidak berkata apa-apa.

Klia2 cukup hebat, tapi masalah teksi cabuk seperti itu tak selesai-selesai dari dahulu sampai sekarang. Adakah soal teksi ini juga memerlukan satu iltizam politik untuk diselesaikan? Lekeh sangatlah kita ini?

Gambaran cantik saya mengenai lapangan terbang klia2 hilang sama-sekali.

Ia semua gara-gara teksi Iswara itu.

PPS: Jangan bagi muka!

SAYA patut angkat tabik spring kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar di atas ketegasannya menangani kemelut pasukan sukarelawan "bawah tanah" -- pasukan peronda sukarela (PPS) di Pulau Pinang.

Rakyat sungguh lega melihatkan ketegasan itu. Jangan difikirkan sangat mengenai soal politik Tan Sri. Teruskan tanggungjawab untuk negara.

Sesiapa sahaja yang bersalah harus dihukum. Soal keselamatan negara adalah kedaulatan negara ini. Maka itu tiada maaf dalam isu ini.

Sesiapa yang mengutuk dan mencerca Tan Sri secara terbuka juga wajib dikenakan tindakan.

Negara kita bukan negara cowboy yang lawless atau tiada undang-undang. Negara kita Malaysia ini berdiri di atas Keluhuran Perlembagaan serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Hukum mereka yang cuba mengadu-domba suasana aman di negara ini.

Jangan bimbang Tan Sri KPN, kami semua berada di belakang Tan Sri dan anggota PDRM semua.

Bagi Lim Guan Eng pula kelakuan saudara agak keterlaluan. Ingatlah saudara ialah seorang ketua menteri sebuah negeri. Profesionallah sedikit. Jangan ingat kita besar sangat. Saudara bukannya ketua pembangkang.

Guan Eng ialah seorang ketua pegawai eksekutif negeri Pulau Pinang. Janganlah bongkak sangat apabila membandingkan PPS dengan JKKK. Ada juga puak dia yang mengaitkan dengan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF). Mengapa tidak dibubarkan JMF. Mereka mahu samakan PPS dengan JMF?

Ingatlah JMF ditubuhkan jauh lama daripada penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja. Ia adalah sebahagian daripada hak dan keistimewaan Sultan dan rakyat negeri Johor.

Puak-puak itu jangan pandai-pandai kaitkan dengan hak raja pula. Orang Melayu akan mempertahankan institusi diraja ke titisan darah terakhir.

Raja adalah benteng terakhir orang Melayu dan rakyat Malaysia yang menyayangi institusi itu.

Di pendekkan cerita kalau ditanya dengan sesiapa pun yang waras, kerajaan Pulau Pinang tidak perlu mempunyai pasukan ala keselamatan lain, selain Polis Diraja Malaysia.

Apakah mereka tidak percayakan lagi institusi kepolisan? Apakah mereka tak yakin dengan keupayaan pasukan peronda motosikal dan kereta polis?

Atau mereka mempunyai cita-cita besar lain?

Jangan tanya saya, tanyalah mereka...

Kongsi gelap dan pengubahan wang haram

AKTIVITI kongsi gelap di Malaysia ini bermula dari sejarah Tanah Melayu lagi. Di masa penghijrahan orang Cina dari Tanah Besar China, aktiviti itu dibawa sekali ke sini.

Pergerakan itu kini sudah canggih. Ia membabitkan transaksi wang yang cukup besar. Nilainya boleh dianggarkan berbilion-bilion ringgit.

Kegiatan haram yang menjadi satu budaya dalam masyarakat itu kian bercambah. Lagi banyak aktiviti perniagaan, bandar-bandar baharu lagi banyak percambahan kumpulan-kumpulan ini.

Ia diwujudkan kononnya untuk menjaga wilayah, kawasan dan daerah. Ia dijaga oleh kongsi-kongsi ini atas pelbagai nama. Ada juga yang menggunakan nama pengenalan melalui nombor-nombor.

Jika kongsi gelap atau pergerakan bawah tanah under world ini dimulakan oleh orang Cina, kini sudah ada juga dijalankan oleh geng-geng India dan Melayu.

Strata orang Cina sudah naik. Mereka berada dalam satu tahap yang lebih besar. Menggerakkan perniagaan. Strata jalanan ini pula dilakukan oleh geng-geng India, walaupun geng-geng Cina masih ada.

Dipendekkan cerita kegiatan ini juga mempunyai kaitan dengan aktiviti pinjaman wang haram atau ah long yang melata di negara ini. Wang haram yang diperoleh diubah menjadi wang pinjaman untuk orang ramai.

Itu pasal pihak berkuasa tempatan sukar membanteras aktiviti pelekat-pelekat yang menguasai semua dinding dan papan tanda milik awam.

Itu pasal aktiviti mesin-mesin judi sukar dihapuskan kerana di belakangnya ialah pergerakan bawah tanah ini. Itu pasal tumbuhnya pusat-pusat snuker, pasar-pasar raya, hotel-hotel bajet yang tumbuh bagai cendawan.

Kita tidak mahu melihat apa yang berlaku di beberapa negara Eropah Timur, yang menjadi pusat mafia Rusia mengubah wang mereka dengan kasino-kasino serta hotel-hotel murahan di sana, juga berlaku di negara ini.

Saya diberitahu, aktiviti mereka amat aktif.

Saya mahu tanya adakah pihak berkuasa sedar mengenai?

Apakah ada pihak di negara ini mahu memberi pengiktirafan kepada mereka? Atau mengubah taraf haram kongsi mereka kepada berstatus halal?

Jangan tanya lagi saya.   Utusan/Rencana/20140903

Integriti dan tadbir urus korporat

INTEGRITI tidak boleh sama sekali dipisahkan dalam kehidupan manusia. Tanpa integriti yang baik, imej dan reputasi serta kewibawaan seseorang akan terjejas.

Sebagai makhluk yang dicipta oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah di muka bumi ini, integriti merupakan antara ciri utama seseorang pemimpin. Pemimpin yang baik dan boleh dipercayai adalah pemimpin yang berintegriti.

Segala perancangan dan pelaksanaan sesuatu program akan berjalan lancar apabila seseorang pemimpin itu benar-benar berintegriti.

Dalam tempoh jangka masa panjang, visi dan sasaran yang ditetapkan mampu dicapai. Tidak mustahil, pencapaian yang cemerlang dan gemilang dapat dicapai oleh organisasi mahupun negara yang ditadbir urus oleh pemimpin yang berintegriti.

Jadi, apabila terdapat saranan agar calon Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang ditawarkan bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjalani tapisan keutuhan, perkara ini perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan.

Sebut sahaja tapisan keutuhan, ia bagi memastikan CEO yang dilantik benar-benar bersih, berintegriti dan tidak langsung terlibat dengan jenayah rasuah. Sebagai syarikat yang memperoleh dana daripada kerajaan, kelemahan pihak pengurusan tertinggi GLC yang melibatkan isu integriti, rasuah dan ketirisan tidak boleh sama sekali diterima.

Lagi pun dana yang diterima oleh GLC merupakan wang pembayar cukai iaitu warganegara Malaysia itu sendiri. Pembaziran wang rakyat akan berlaku secara berterusan jika sekiranya CEO yang dilantik sebenarnya nakhoda yang tidak berintegriti dan terlibat dengan rasuah.

Perlu diingat, kos yang mahal terpaksa ditanggung oleh rakyat bukan setakat kerugian berbentuk wang tetapi juga imej syarikat dan negara juga akan dipandang buruk di mata pihak asing.

Masakan tidak, GLC kini sudah bertaraf antarabangsa. Operasi perniagaan melibatkan banyak negara. Maka, sekiranya CEO GLC terlibat dengan rasuah di peringkat antarabangsa, siapakah yang akan menanggung malu kalau bukan seluruh rakyat Malaysia?

Impak yang lebih teruk lagi, jika rakyat kita pula tidak dipercayai oleh pihak asing ekoran imej yang tidak berintegriti ditonjolkan oleh CEO GLC di peringkat antarabangsa.

Meneliti hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dan sedang berusaha untuk memastikan syarikat-syarikat di Malaysia benar-benar berintegriti tinggi.

Setakat ini, 446 buah syarikat di seluruh negara menandatangani ikrar integriti korporat (CIP), satu jumlah yang kecil berbanding keseluruhan jumlah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia. Sewajarnya jumlah ini dipertingkatkan lagi untuk memperkukuhkan integriti korporat Malaysia.

Salah satu korporat yang telah melaksanakan CIP ialah Lembaga Tabung Haji (TH). Yang menariknya, TH telah mewujudkan bahagian integriti bagi memastikan tadbir urus korporat yang lebih baik dan seterusnya mampu meningkatkan kecemerlangan pencapaian kakitangannya.

Buktinya, tiada jenayah rasuah dicatatkan sejak TH memperkenalkan CIP dan pada masa sama untung TH semakin meningkat. Dengan keuntungan yang semakin meningkat, TH akan mampu membayar dividen yang lebih tinggi kepada para pendeposit.

Tidakkah ini akan meningkatkan keyakinan pendeposit juga akan semakin bertambah terhadap TH? Tidakkah ini juga akan menggembirakan ramai pihak?

Sebagai organisasi yang banyak berbakti kepada umat Islam Malaysia sejak dahulu lagi, TH sentiasa dijulang sebagai organisasi yang memartabatkan nama Malaysia dalam kalangan negara-negara Islam di dunia.

Siapakah yang mampu menyangkal perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia adalah yang terbaik? Kerajaan Arab Saudi juga telah mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan perkhidmatan TH kepada umat Islam Malaysia.

Dalam keadaan banyak berlaku penipuan melibatkan pengendali pakej umrah, sebaliknya TH telah memberi mesej yang baik kepada pihak asing dengan membentuk satu penanda aras yang tinggi dalam pengendalian pakej umrah dan haji.

Banyak negara Islam yang mahu mencontohi TH. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa tonggak ke atas kecemerlangan TH adalah amalan integriti yang terbaik dalam kalangan pengurusan tertinggi dan para pekerja bawahan sehinggakan telah menghasilkan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam Malaysia.

Lagi pun inilah yang diajar dalam Islam, agar budaya berintegriti, amanah dan jujur diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan perkhidmatan yang cemerlang dan bukannya setakat bermain di bibir semata-mata.

Sebab itulah, apabila kerajaan mengumumkan akan mengguna pakai indeks syariah bermula pada Januari 2015, salah satu elemen yang tidak boleh sesekali dikompromikan ialah integriti.

Banyak contoh boleh kita lihat apabila integriti dipandang remeh, kerosakan akan mula berlaku. Sebuah syarikat hatta sebuah negara juga boleh jatuh bankrap jika integriti yang merupakan tonggak tadbir urus tidak dilaksanakan dengan baik.

Cuba kaji permasalahan kewangan mana-mana syarikat dalam dan luar negara, kebanyakannya bermula daripada tiadanya amalan integriti yang baik dan akhirnya memberi kesan yang buruk kepada permasalahan yang lebih besar ke atas tadbir urus korporat syarikat berkenaan.

Amalan integriti yang baik juga jelas kelihatan dalam salah satu daripada 12 pelan pemulihan syarikat penerbangan nasional, Malaysian Airlines System (MAS).

MAS tidak akan ke mana meskipun disuntik modal RM6 bilion tanpa penekanan terhadap amalan integriti yang baik. Pemilihan CEO MAS yang baharu mestilah dalam kalangan mereka yang bukan hanya pakar dalam industri penerbangan tetapi juga terbukti berintegriti tinggi.

MAS memerlukan nakhoda yang terbaik bercirikan integriti yang tinggi bagi meneruskan legasi syarikat penerbangan nasional ini. Nakhoda yang terbaik inilah yang akan memacu tadbir urus korporat MAS dan seterusnya "menerbangkan" MAS lebih tinggi lagi di awan biru menuju destinasi kecemerlangan yang gilang-gemilang.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140903

Isu-Isu Akhbar Cina

PPS PAHLAWAN ATAU SAMSENG?


AKHBAR China Press bertarikh 3 September 2014 secara sinis menyatakan perarakan Hari Kemerdekaan ke-57 baru-baru ini di Pulau Pinang mencatatkan sejarah tersendiri apabila kesemua 156 peserta majlis perayaan utama negara itu, iaitu anggota Pasukan Peronda Sukarelawan (PPS) ditahan polis.

Artikel bertajuk 'PPS pahlawan atau samseng?' yang merupakan pandangan penganalisis politik, Chee Kian Seng itu disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15 turut menyatakan bahawa PPS itu dalam satu masa iaitu sebagai sebuah unit di bawah kuasa kerajaan negeri bertukar menjadi kumpulan haram - sebuah kongsi gelap memakai uniform.

Ekoran penangkapan itu menyebabkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng melenting dan secara terburu-buru serta membabi-buta mencabar polis supaya terlebih dahulu menangkapnya.

Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam kenyataannya mendakwa PPS yang ditubuhkan pada 2009 bertujuan menjaga keselamatan dan sebagai penyelamat, mereka seperti pahlawan yang berjasa kepada masyarakat, bukannya samseng.

Memetik sebuah laporan, Ketua Polis negeri pada masa itu secara tidak langsung memuji penglibatan pasukan sukarelawan yang membantu pihaknya menurunkan kadar jenayah di negeri tersebut kepada 22 peratus, iaitu antara 12 Oktober 2011 dan September 2013.

Pada masa itu PPS mendapat kerjasama daripada polis, namun kenapa kali ini pasukan keselamatan itu langsung tidak memberi muka dan menangkap mereka yang berjasa itu.

Sekiranya PPS itu diserap elemen kongsi gelap ia perlu ditangani secara berasingan, tangkap pesalahnya, bukan menangkap kesemuanya. Seorang yang lakukan kesalahan tetapi semua ditangkap, kepada mereka yang patuh kepada peraturan dan undang-undang yang tidak bersalah, bukankah mereka telah teraniaya?

BELANG PPS LIM GUAN ENG

Akhbar sama pada 27 Ogos 2014 mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang yang semakin kurang ajar terhadap akhbar-akhbar Cina, seperti tidak mengenang budi terhadap media berkenaan yang sebelum ini menaikkannya hingga dianggap sebagai tokoh hebat.

Artikel oleh Lim Fang bertajuk 'Belang PPS Lim Guan Eng' dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai di halaman C15 itu mendakwa sekiranya pemimpin itu menerima sebarang kritikan dalam akhbar Cina, beliau akan menggunakan segala taktik untuk menghentam pengamal media berkenaan.

Sekiranya berlaku kesilapan dalam pentadbirannya, seperti biasa mendakwa bahawa ia berpunca daripada pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang mengamalkan penyelewengan kuasa dan rasuah. Taktik ini dinamakan, 'si teruk cuba bandingkan si teruk untuk raih kemenangan'.

Selepas itu, akhbar Cina juga dituduh sebagai lidah BN yang digunakan bagi memburukkan pakatan pembangkang, sama juga dengan isu anggota PPS yang dikatakan bersikap samseng dan ditakluki oleh elemen jahat itu, media Cina dituduh membesarkan isu berkenaan dan membuli Pengerusi PPS, Phee Boon Poh yang juga exco kerajaan negeri.

Memang terdapat ahli PPS yang berperangai teruk termasuk membelasah individu tertentu dan malangnya ahli berkenaan mendabik dada bahawa dia ialah orang kuat CM (Ketua Menteri).

Terdapat dua sudut pandangan yang berlaku, yang pertama mereka dapat lesen besar untuk membelasah orang, yang kedua kumpulan kongsi gelap boleh berleluasa di Pulau Pinang yang sebelum ini menggunakan logo kongsi gelap tetapi kini sudah tidak perlu lagi.

PAKATAN PEMBANGKANG TETAP AKAN BERPECAH

Menyentuh isu bakal Menteri Besar Selangor, akhbar China Press pada 3 September 2014 meramalkan bahawa siapa sahaja yang menjawat jawatan panas itu, sama ada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau Azmin Ali, pakatan pembangkang tetap menuju jalan perpecahan.

Artikel bertajuk 'Kedua-dua calon bermasalah, siapa sahaja jadi Menteri Besar Pakatan Rakyat tetap akan berpecah' oleh See Kian itu disiarkan dalam ruangan Dalam Negeri pada halaman A7 mendakwa kedua-duanya bukan calon terbaik yang mampu menyelesaikan masalah dalaman kronik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Wan Azizah tidak mendapat restu Pas, Azmin pula tidak disokong oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP. Jadi bagaimanakah bakal wujudnya kerjasama sekiranya kesemua parti berbeza pandangan.

Sekiranya Sultan Selangor memilih Azmin, bala besar bakal menanti PKR kerana agak mustahil dan tidak logik untuk parti berkenaan melakukan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar baharu yang semestinya daripada kalangan mereka sendiri.

Pada masa sama, Azmin bakal mengukuhkan pengaruhnya dalam parti, sekali gus menjadikan pergolakan dalaman PKR semakin kritikal kerana meskipun beliau ialah timbalan presiden tetapi masih tetap bukan individu pilihan Anwar.

Penulis mendakwa Azmin memang berhasrat untuk pergi jauh ke hadapan dalam karier politiknya, namun dalam krisis di Selangor beliau mengambil langkah berdiam diri dan cara tersebut lebih menguntungkannya, sekurang-kurangnya tidak terlalu awal menjadi tumpuan orang.   Utusan/Rencana/20140904

Sabah tetap sebahagian daripada Malaysia

HANYA mereka yang tidak tahu, tidak membaca serta tidak memahami sejarah maka fikiran mereka mudah tidak terarah kepada fakta dan bukti yang kukuh. Justeru setiap kali tiba ulang tahun kemerdekaan ada sahaja pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat.

Isu membawa Sabah keluar dari Malaysia sepatutnya tidak perlu dibangkitkan lagi kerana ia jelas bertentangan dengan keputusan yang sudah dicapai melalui Suruhanjaya Cobbold pada 1961.

Sebagai rakyat yang berilmu dan memahami sejarah, kita tidak perlu lagi memikirkan perkara yang sudah muktamad seperti Sabah yang tetap berada dalam Malaysia.

Justeru, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang secara berterusan membangkitkan isu yang bukan isu tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti dilaporkan telah mengingatkan rakyat supaya menunjukkan kecintaan kepada negara dengan sama-sama membina sebuah Malaysia yang permai bagi masa depan anak cucu kita.


Bendera Malaysia dan bendera negeri Sabah dikibarkan bersama sempena perarakan
perbarisan sambutan Hari Merdeka ke-57 di Stadium Kompleks Sukan Likas di Sabah pada 31 Ogos lalu. - BERNAMA


Mengimbau kembali perjanjian dan perisytiharan Persekutuan Malaysia. Beberapa langkah telah diambil ke arah pembentukan Malaysia setelah Tunku Abdul Rahman mengemukakan cadangan gagasan Malaysia pada 27 Mei 1961 di Hotel Adelphi, Singapura.

Gagasan Persekutuan Malaysia juga mendapat sokongan daripada kuasa Barat seperti Britain dan Amerika Syarikat.

Di Sabah, reaksi terhadap gagasan Persekutuan Malaysia dapat dilihat dengan munculnya beberapa politik baharu pada ketika itu untuk menyalurkan pendirian rakyat terhadap gagasan Persekutuan Malaysia.

Empat parti menyokong dan satu menentang yang akhirnya merealisasikan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Penubuhan Suruhanjaya Cobbold pada Februari 1961 bertujuan meninjau pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap pembentukan Persekutuan Malaysia. Laporan Suruhanjaya Cobbold mendapati rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia.

Perjanjian Persekutuan Malaysia telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 di Malborough House, London. Antara kandungan penting dalam Perjanjian Malaysia ialah:

Pertama, semua urusan hal ehwal luar adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Kedua, agama Islam merupakan agama Persekutuan kecuali Sarawak dan Sabah tetapi agama lain bebas diamalkan.

Ketiga, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan tetapi bahasa Inggeris dan bahasa lain boleh digunakan.

Keempat, bagi Sarawak dan Sabah, bahasa rasmi ialah bahasa Inggeris sehingga 10 tahun Malaysia diisytiharkan.

Kelima, Sarawak dan Sabah diberi kuasa mengawal hal ehwal imigresen dan perkhidmatan awam negeri masing-masing.

Keenam, rakyat Bumiputera di Sarawak dan Sabah mendapat taraf yang sama dengan orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu.

Isi perjanjian tersebut kemudian dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dengan termeterainya perjanjian tersebut, maka gagasan Malaysia telah menjadi kenyataan.

Akhirnya, pada 16 September 1963, perisytiharan Persekutuan Malaysia telah disempurnakan menandakan gagasan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman telah dapat direalisasikan.

Peristiwa bersejarah ini telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri Malaysia di Stadium Merdeka.

Bukti kukuh ini menunjukkan bahawa Sarawak dan Sabah tetap utuh dan kekal dalam Malaysia yang tidak perlu diungkit dan dijadikan isu lagi.

Apabila rakyat memahami dan mengetahui sejarah, tiada pihak yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman dan kehidupan rakyat yang selam ini hidup aman dan sejahtera di bawah payung negara bernama Malaysia. DR. AMINUDIN MANSOR ialah pengamal media, berkelulusan Ph.D Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).   Utusan/Rencana/20140904