September 12th, 2014

Jangan biar suara minoriti gugat keamanan negara

Dewasa ini kebebasan bersuara hangat dibincang dalam kalangan ahli politik dan generasi muda hingga ada suara sumbang kedengaran di sana-sini mendakwa kononnya kerajaan menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk mendiamkan atau melenyapkan suara rakyat yang dianggap tidak selaras dengan pemikiran politik pemerintah atau kerajaan. Malah, pihak yang mengaku dirinya sebagai badan bertauliah dan arif dalam bidang perundangan juga berlumba-lumba mempertahankan individu atau kumpulan yang didakwa di mahkamah kerana gagal menghormati undang-undang negara iaitu undang-undang yang disediakan untuk menjamin keamanan dan keselamatan rakyat berbilang kaum dan agama.

Persoalannya, apakah kumpulan yang mendakwa kerajaan mengehadkan kebebasan rakyat bersuara benar-benar ikhlas dalam mengetengahkan pendirian mereka atau menggunakan sesuatu institusi ikhtisas untuk memperjuangkan agenda politik kumpulan atau parti politik tertentu?

Sebelum mencari jawapannya, adalah wajar kita meneliti matlamat dan kepentingan Akta Hasutan 1948 yang dikuatkuasakan di Malaysia dan langkah yang telah diambil oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, dalam meluaskan skop kebebasan rakyat bersuara agar demokrasi matang dapat dipelihara dan disuburkan di Malaysia.



Keratan akhbar dan laman sosial mengenai pihak menyalah guna kebebasan bersuara.
Kebebasan bersuara, berkumpul asas demokrasi

Kebebasan bersuara, berkumpul dan menyatakan pendapat dalam bentuk lisan dan cetak adalah hak asas seseorang individu dalam sistem politik demokrasi tulen. Menyedari kebenaran ini, kerajaan umumkan Program Transformasi Politik (PTP) pada 16 September 2011 yang membabitkan penggubalan, pindaan dan pemansuhan, malah pembatalan beberapa undang-undang yang dianggap tidak relevan dengan peredaran zaman atau dianggap songsang oleh ahli politik, terutama masyarakat sivil yang mengharapkan pembaharuan dalam bidang perundangan agar suara rakyat dapat diluaskan.

Sehubungan ini, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kian dicemuh oleh kumpulan yang memperjuangkan hak asasi manusia, dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Selain itu, beberapa undang-undang seperti Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri juga dibatalkan. Akta untuk membenarkan dan memudahkan orang ramai berkumpul untuk menyatakan sesuatu pandangan atau hasrat kepada kerajaan juga digubal dan diluluskan. Kebebasan untuk mencetak dan menerbit bahan-bahan cetak dalam menyebarkan fahaman sesuatu ideologi atau pendapat diperluaskan dengan membuat pindaan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Akta Universiti dan Kolej Universiti yang didakwa mengongkong kebebasan pelajar universiti dan kolej dipinda dalam menjamin kebebasan kepada pelajar bergerak, menyertai politik di dalam dan luar kampus.

Perlu ditegaskan bahawa Program Transformasi politik dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan ruang demokratik diperluaskan untuk melayan dan menampung perbezaan pendapat serta persaingan idea dalam era globalisasi yang kian menuntut kebebasan individu ke tahap yang lebih tinggi. Pelaksanaan program itu jelas menunjukkan kerajaan berhasrat mencipta sebuah negara yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung sambil kepentingan individu dan komuniti diimbangi.

Kepemimpinan kerajaan berasakan Malaysia memasuki era demokrasi lebih matang dengan peranan kerajaan berubah daripada menjadi penentu dan pengukur tahap kematangan rakyat kepada pelindung kebebasan agar rakyat dapat menikmati hak asasi yang sepatutnya. Walaupun ISA banyak membantu memastikan demokrasi dan hak asasi manusia dilindungi, kerajaan berpendapat masanya telah tiba untuk beralih kepada satu perundangan lebih progresif dan keselamatan negara adalah terletak atas kematangan politik rakyat.

Berteraskan fahaman ini, kerajaan menggubal undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 untuk terus menjamin keselamatan dan keamanan rakyat Malaysia. Kerajaan tidak menggubal undang-undang itu dengan sewenang-wenangnya, tetapi berlandaskan kepada kuasa yang ditetapkan Perlembagaan Malaysia. Perkara 149 (1) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi menangani ancaman oleh individu atau sesuatu kumpulan seperti berikut:

(a) Menyebabkan kekerasan yang dirancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan kekerasan itu;

(b) Membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan;

(c) Mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau penduduk ;

(d) Mengubah dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang;

(e) Mendatangkan mudarat kepada penyelenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang ramai atau mana-mana orang dalam Persekutuan;

(f) Mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam dalam atau keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012

Namun, ada pihak yang mengelirukan rakyat, malah mengeluh bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bertentangan dengan hal yang berkaitan dengan kebebasan seorang individu seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebenarnya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 tidak bercanggah dengan kebebasan seseorang individu seperti termaktub dalam Perlembagaan terutama dalam Perkara 5 (kebebasan diri) Perkara 9 (kebebasan bergerak), Perkara 10 (Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan) dan Perkara 13 (Hak terhadap harta).

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 memperluaskan lagi kebebasan seseorang individu kerana tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politik. Kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan tanpa perbicaraan mana-mana individu yang terkandung dalam ISA dimansuhkan. Polis pula hanya diberi kuasa menahan seseorang tidak melebihi daripada 28 hari untuk maksud penyiasatan. Selain itu, akta itu juga membenarkan orang yang ditangkap bebas untuk membuat permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan penahanan dan tatacara penahanan. Perkara yang terkandung dalam SOSMA jelas memperluaskan hak kebebasan bersuara dan berpolitik di Malaysia.

Kebanyakan negara di dunia yang dianggap sebagai peneraju dan pelindung demokrasi berparlimen dewasa ini juga memperketatkan undang-undang dalaman untuk menjamin keselamatan. Sebagai contoh, Amerika Syarikat melaksanakan Patriot Act 2001 dan Homeland Security Act 2002; Australia melaksanakan Terrorism Act 2005; Singapura yang selalui dicontohi oleh setengah pihak sebagai negara mengamal kebebasan rakyat bersuara melaksana Internal Security Act; United Kingdom melaksana Terrorism Act 2000; Sri Lanka melaksana Prevention of Terrorism Act 1982; Ghana melaksanakan Preventive Detention Act 1958 dan Brunei melaksanakan Internal Security Act.

Walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam bidang undang-undang untuk meluaskan kebebasan rakyat bersuara, ada pula pihak yang mendakwa kerajaan kini menggunakan Akta Hasutan 1948 dalam melenyapkan suara yang menentang kerajaan. Ada akhbar tempatan yang menyiar berita bahawa Perdana Menteri berasa gentar menghadapi kritikan rakyat dan dengan itu cuba menggunakan akta itu untuk senyapkan suara yang mengkritik kerajaan pimpinan beliau.

Apakah kumpulan yang menuduh kononnya Najib tidak berani bersemuka dengan pengkritik kepemimpinan beliau menghidap penyakit myopic atau rabun jauh? Apakah mereka tidak melihat betapa berani dan hebatnya Najib berunding secara terus menerus dengan ketua kumpulan pemberontak Ukraine dalam isu MH17, Alexander Borodai untuk mendapat kerjasama beliau agar pasukan penyelamat dan penyiasat Malaysia dan antarabangsa mendapat akses ke lokasi nahas, membawa balik jenazah kru dan penumpang yang menjadi mangsa dalam tragedi MH17, malah berjaya memujuk pemberontak menyerahkan kotak hitam MH17 kepada Malaysia untuk membantu dalam siasatan punca nahas MH17.

Tidak dapat dinafikan sistem politik demokrasi memberi hak kepada rakyat bersuara. Kesuburan sistem demokrasi memerlukan penyertaan rakyat dalam memilih pemimpin atau wakil mereka melalui proses pilihan raya. Rakyat bukan sahaja berhak menyuarakan pendapat, malah menyatakan pendirian secara terbuka terhadap sesuatu dasar yang diumumkan kerajaan atau sebelum sesuatu dasar diumumkan. Rakyat juga diberi kebebasan memberi pandangan semasa sesuatu dasar berada dalam peringkat penggubalan. Perbincangan dan perdebatan mengenai sesuatu dasar kerajaan sebelum dilaksanakan atau dikuatkuasakan adalah asas atau sine qua non perjalanan sistem politik yang berlandaskan falsafah demokrasi.

Kumpulan salah guna hak atau kebebasan

Rakyat dibenarkan menyuarakan pendapat dalam mencari kebenaran. Terdapat juga kumpulan dan golongan yang sering menyalahgunakan hak atau kebebasan yang dinobatkan kepada rakyat oleh Perlembagaan sesebuah negara. Menyedari lumrah manusia untuk menyalahgunakan kelonggaran yang terdapat dalam undang-undang yang disediakan untuk mengawal tingkah laku warga sesebuah negara, kerajaan yang mementingkan keamanan, keselamatan, moral dan hubungan antara rakyat secara amnya dan hubungan antara berbilang kaum dan agama, menyediakan undang-undang khusus untuk mengehadkan kebebasan secara yang boleh menimbulkan keresahan, permusuhan malah anarki.

Di Malaysia, rakyat diberi peluang yang luas untuk bersuara atau mengeluarkan pendapat mereka dengan bebas berasaskan kepada kebebasan dan sikap bertanggungjawab. Malaysia lebih mementingkan keharmonian antara kaum berteraskan sejarah politik negara. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama diharapkan menghormati perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama. Sebahagian besar rakyat Malaysia percaya dan yakin demokrasi tulen memerlukan amalan budaya rakyat memahami dan bergerak dalam ruang sempadan kebebasan yang digariskan oleh Perlembagaan Malaysia dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Parlimen berkuasa menentukan kebebasan seseorang demi kepentingan rakyat umum.

Akta Hasutan 1948 dikuatkuasakan bukan untuk merencatkan kebebasan bersuara, tetapi untuk menjamin tidak sesiapa menyentuh perkara yang sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dan permusuhan antara kaum di Malaysia. Baru-baru ini rakyat Malaysia menyaksikan ada pihak yang melanggar Akta Hasutan 1948 terutama Seksyen (4) (1)(b) and Seksyen 4(1)c), Akta Hasutan 1948. Ada pihak yang menyoal institusi Raja-Raja dan adapula pihak yang mengeluarkan kenyataan yang boleh menyemai benih pemikiran dalam kalangan rakyat Sabah untuk memisah daripada Malaysia.

Sehubungan ini, rakyat Malaysia perlu sedar apakah maksud dan tafsiran 'hasutan' yang disebut dalam Akta Hasutan 1948 agar tidak ada pihak yang cuba mengelirukan rakyat yang kurang arif dalam hal perundangan?

Menurut Seksyen 3(1) (a) hingga Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan 1948, hasutan adalah dirujuk kepada 'kecenderungan' menghasut meliputi pelbagai keadaan termasuk membangkitkan perasaan benci terhadap mana-mana raja atau kerajaan, pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat dan membangkitkan permusuhan antara kaum.

Seksyen 4 (1) (c) pula memperuntukkan kesalahan mencetak, menjual, mengedar, atau mengeluar ulang apa-apa penerbitan mengandungi bahan berunsur hasutan.

Namun, ada pihak yang menuduh Akta Hasutan 1948 merencatkan hak bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan, malah bertentangan dengan semangat dan roh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan dikatakan memberi kebebasan kepada rakyat Malaysia mengeluarkan pendapat atau fikiran.

Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan bersuara. Namun Perkara 10 (1) (a), hendaklah ditafsir bersamaan dengan lain-lain perkara dalam Perlembagaan yang mengehadkan kebebasan itu.

Perkara 10 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan had atau sekatan ke atas kebebasan bersuara jika ia diperlukan atau mustahak untuk melindungi tujuh perkara seperti berikut:

1. Kepentingan keselamatan negara;

2. Perhubungan kerajaan dengan negara-negara lain;

3. Ketenteraman awam;

4. Melindungi keistimewaan Parlimen/Dewan Undangan Negeri;

5. Penghinaan terhadap mahkamah;

6. Fitnah;

7. Perbuatan mengapi-apikan supaya melakukan kesalahan

Dengan ini jelas bahawa kebebasan bersuara bukanlah satu hak atau kebebasan yang mutlak. Lebih-lebih lagi, Malaysia selaku sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, agama dan budaya tidak mampu membenarkan sesiapa mengeluarkan kenyataan, pendapat, pandangan atau fikiran dengan mutlak kerana bimbang elemen menghasut yang boleh menimbulkan permusuhan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa hingga menggugat keamanan negara yang terbina sejak negara mencapai merdeka.

Elak suara bersifat ekstrem, berat sebelah

Kesimpulannya, rakyat Malaysia bebas untuk bergerak, berkumpul dan bersuara dengan bertanggungjawab. Rakyat Malaysia harus elak suara yang bersifat kekerasan, ekstrem dan berat sebelah. Disebaliknya, lebih utamakan suara yang bersifat jalan tengah, keseimbangan dan kebijaksanaan. Rakyat yang menyokong suara sederhana perlu bangkit untuk menenggelamkam suara lantang yang dibangkitkan sesuatu kumpulan kecil dalam masyarakat yang cuba membelakangkan kepentingan majoriti rakyat Malaysia. Perlu ditegaskan bahawa kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang warga berhak menghina dan membangkit perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum. Undang-undang perlu dikuatkuasakan dalam menjamin keseimbangan terbaik antara kebebasan bersuara selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan kompleksiti kemajmukan rakyat Malaysia agar perpaduan antara kaum, harmoni antara berbilang dan stabiliti politik sentiasa terjamin. * Penulis ialah anggota panel pemikir JASA . Berita Harian Rencana KHAMIS, 11 SEPTEMBER 2014 @ 5:55 AM

Isu bahasa: Kita sekerat belut sekerat ular

KISAH seorang peserta pidato dari Korea Selatan yang mahu belajar bahasa Melayu daripada seorang pelajar Malaysia kemudian diperlekehkan niatnya oleh pelajar Malaysia tersebut, menarik perhatian saya.


Memetik kata kolumnis Pedas-pedas Kari pada 7 September lepas; "Kita tak peduli lagi bahasa kebangsaan!"

Jadi sejauhmanakah komitmen kita dalam menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan yang menjadi acara tahunan negara demi memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat?

Sejauh mana bahasa kebangsaan mampu mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita? Malah, adakah bahasa kebangsaan sudah mampu diguna pakai dalam pelbagai urusan harian sama ada dalam surat menyurat rasmi kerajaan dan komunikasi masyarakat berbilang kaum? Bagaimana pula dengan pelbagai papan tanda perniagaan, iklan di tepi-tepi jalan malah di pelbagai media massa?

Ramai berpendapat bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan bukannya mudah. Walaupun perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan sudah berlangsung hampir enam dekad, tetapi berapa ramai sangat yang menjadikannya sebagai satu perjuangan untuk menegakkan bahasa kebangsaan.

Kita sebenarnya seolah-olah hilang jati diri dalam berbahasa. Senario ini seolah-olah menjadi biasa dalam kalangan masyarakat sekarang apatah lagi golongan terpelajar.

Kalau tidak boleh bercakap Inggeris sepenuhnya pun, sekurang-kurangnya lima enam patah akan diselit perkataan Inggeris dalam satu ayat yang mengandungi hampir dua puluh patah perkataan sahaja.

Di stesen-stesen televisyen tempatan, sama ada penceramah, individu yang diwawancara tidak kira golongan, tidak sah kalau tidak memasukkan perkataan Inggeris apabila bercakap. Maka tidak hairanlah jika kita dicap sebagai sekerat belut sekerat ular dalam berbahasa.

Bahasa caca-marba ini menjadi barah dalam bahasa Melayu dan lebih malangnya kerana ia turut diseret ke dalam kertas jawapan pelajar sama ada di peringkat Tingkatan Tiga mahupun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sikap ini juga menunjukkan kita memperlekeh bahasa sendiri dan soalnya, bagaimana kita mampu mengetengahkan bahasa kita ke peringkat antarabangsa kalau kita sendiri malas atau memandang rendah kepada bahasa sendiri?

Sedangkan bahasa Melayu sudah mempunyai pengaruh dan khalayak yang besar sejak zaman-berzaman. Suatu masa dahulu, bahasa ini menjadi perantara dalam urusan-urusan penting sehingga menjangkau kepada perdagangan dan jual beli.

Pelbagai usaha kita lakukan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu. Pelbagai kempen telah diadakan oleh kerajaan menerusi media massa dan slogan-slogan yang dapat ditemukan di merata tempat seperti ‘Cintailah Bahasa Kita’, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan sebagainya.

Kita berharap slogan-slogan ini tidak tinggal sebagai slogan sahaja tetapi usaha-usaha untuk memperkemas serta merealisasikan slogan itu patut disertakan dengan tindakan bersepadu.

Di sekolah, kita mempunyai minggu atau bulan bahasa tetapi di manakah silapnya sehingga kita tidak dapat melahirkan generasi yang benar-benar sayang akan bahasa sendiri, menggunakan bahasa sendiri tanpa segan silu.

Guru-guru tidak semestinya hanya mendidik pelajar agar ‘takut’ gagal bahasa Melayu atas alasan tidak akan memperoleh sijil, tetapi didiklah mereka supaya memartabat, menggunakan dan memelihara bahasa itu.

Pengisian sebenar minggu atau bulan bahasa di sekolah perlu difikirkan kesesuaiannya memandangkan pelbagai gaya bahasa diguna pakai oleh pelajar sehingga menjejaskan imej bahasa kebangsaan.

Mereka inilah nanti yang bakal bertebaran di segenap pelosok negara sehingga ke luar negara dan bakal mewarnai landskap bahasa kebangsaan. Jika di sekolah lagi mereka sudah keliru dengan jati diri mereka dalam bahasa, tidak hairanlah di luar nanti mereka akan memburukkan lagi keadaan.

Untuk mengembalikan kegemilangan dan martabat bahasa Melayu, satu kesedaran tinggi amat penting bagi setiap warganegara terutamanya orang Melayu pelbagai peringkat bagi memastikan bahasa kita berada di tahap yang sewajarnya.   M. JASNI MAJED Utusan/Rencana/20140912

Bisik Bisik Awang Selamat ~ Pentaksiran dan Peperiksaan

MAHU tidak mahu, imej Lembaga Peperiksaan tercalar ekoran kebocoran dua kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dikesan kelmarin dan semalam. Integriti lembaga itu perlu dipertahan; dan pada masa yang sama, keyakinan dan kepercayaan awam terhadap kerahsiaan peperiksaan yang dikendalikan oleh lembaga tersebut tidak boleh dibiarkan terhakis.

Dari satu segi, kita mengharapkan pihak polis membuat siasatan segera dan menyeluruh bagi mengheret pelaku yang membocorkan soalan terbabit ke muka pengadilan supaya kes itu kelak menjadi teladan. Hukuman yang setimpal kepada pesalah terbabit kelak akan meningkatkan semula tahap kebolehpercayaan orang ramai khususnya ibu bapa kepada institusi berkenaan.

Tanggungjawab mempertahankan kredibiliti dan integriti Lembaga Peperiksaan menjadi penting kerana ia bukan setakat mengendalikan peperiksaan asas di peringkat sekolah rendah sahaja. Lembaga itu juga mengendalikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta yang setaraf. Kesemua peperiksaan berkenaan bagi tahun ini akan menyusul tidak lama lagi. Oleh itu prosedur operasi standard dalam mengendalikan peperiksaan-peperiksaan berkenaan perlu diperhalusi bagi memastikan ia tidak menerima nasib seperti mana berlaku ke atas UPSR kali ini.

Setiap pengendalian peperiksaan awam memerlukan biaya yang banyak. Penangguhan dan mengadakan ujian semula, jika berlaku, pasti akan meningkatkan kos. Oleh itu semua peringkat yang terlibat dalam menguruskan peperiksaan sedemikian termasuk logistik perlulah sentiasa memikul tanggungjawab dengan amanah.

Apapun, tahap keyakinan orang ramai terhadap apa juga peperiksaan awam perlu dipertahankan. AWANG - Belum terlambat!   Utusan/Rencana/20140912

Tegas tangani soalan bocor!

Penulis ingin memulakan artikel ini dengan menzahirkan kekecewaan bukan sahaja pelajar, ibu bapa, keluarga dan masyarakat secara umumnya dengan apa yang berlaku kepada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada ketika ini.

Mudah untuk kita mengatakan ‘hikmah di sebalik apa yang berlaku’, tetapi kita juga harus sedar bahawa ini adalah memori pahit kepada semua calon UPSR. Ianya akan kekal di dalam ingatan mereka.



KELIHATAN beberapa pengawas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) duduk sesama mereka di dalam dewan peperiksaan Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah di Kuantan, Pahang, selepas kertas Sains dibatalkan oleh Kementerian Pendidikan kerana soalan bocor, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

Sewaktu anak sulung penulis berhadapan dengan UPSR pada 2012, sememangnya perkara biasa menerima tips dan soalan ramalan daripada banyak pihak. Namun begitu, bukanlah menjadi satu kewajipan untuk kita memaklumkan kepada calon kerana ia mungkin sahaja memeningkan.

Selalu penulis mengingatkan diri sendiri, jika mereka sudah belajar dan bersedia sepanjang tahun, tidak ada keperluan untuk kita menggunakan tips dan ramalan yang entah dari mana datangnya.

Tetapi apa yang berlaku kebelakangan ini, membuatkan kita berasa cukup khuatir dengan integriti sistem dan penilaian pendidikan kita sendiri.

Mereka yang berada di peringkat kepimpinan kementerian sewajarnya mengambil iktibar kepada insiden kebocoran yang acapkali berlaku ini. Jika UPSR (yang pada hakikatnya bukanlah penentu tempat mereka di institusi pengajian tinggi) pun berhadapan dengan kebocoran, apa lagi yang mampu kita harapkan dengan peperiksaan awam yang lain.

Di mana silapnya? Apakah sistem dan prosedur yang menjadi kelemahan? Apakah semuanya diletakkan kepada ‘ketamakan manusia’? Atau kita sendiri sudah menjadi kumpulan manusia yang ‘kiasu’ dan mahukan anak kita berjaya dengan penipuan?

Kita sebenarnya sedang berada di persimpangan cabaran peradaban dan integriti kita sebagai sebuah bangsa. Jika soalan UPSR pun sudah menjadi modal untuk sesetengah pihak membuat duit dan kekayaan, generasi apa yang sedang disediakan oleh sistem pendidikan kita?

Apa yang berlaku ini sepatutnya membuka mata pihak kementerian bahawa ada ‘transformasi dan perubahan’ besar yang perlu dilakukan segera. Rakyat mahu lihat wibawa sistem pendidikan dikembalikan.

Apakah mungkin struktur Lembaga Peperiksaan itu juga perlu dilihat dan dirombak sebaiknya.

Jauh sekali mahu membuat pertuduhan bahawa ini salah orang itu dan ini. Tetapi sesuatu mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan segera.

Hanya sebagai perbandingan, Singapore Examinations and Assessment Board (SEAB) adalah sebuah badan yang berdiri sendiri dan bebas sepenuhnya daripada kementerian. Keanggotaan SEAB tidak terhad kepada tenaga kementerian sahaja, malah melibatkan pegawai National Security Coordination Secretariat (mungkin bersamaan dengan Majlis Keselamatan Negara) di tempat kita.

Benar, kementerian masih diwakili di dalam SEAB, namun ianya juga turut dianggotai oleh kalangan profesional, wakil industri dan pakar tertentu yang sama-sama memastikan segalanya dapat dikawal selia sebaik-baiknya. Pakar keselamatan juga menjadi anggota kepada SEAB.

Ya, mungkin juga ada suara, tidak boleh dibandingkan kes kita dan negara jiran. Mereka hanyalah sebuah negara yang kecil. Bukan saiz negara yang dibicarakan di sini, namun sikap untuk meletakkan ‘peperiksaan dan penilaian’ sebagai sebahagian asas ‘keselamatan negara’ itu adalah langkah yang betul.

Jika kita bersungguh-sungguh dengan pembangunan modal insan, komited kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan sebagainya, induk masalah yang seperti ini mesti diselesaikan segera. Kehebatan agenda pendidikan bukan setakat di atas kertas, tetapi juga kepada integriti kita sebagai pemikul amanah.

Kita boleh menyedapkan hati sendiri, bahawa ini adalah kes biasa dan terpencil, jarang berlaku dan tidak perlu terlalu emosional. Fikirlah semula, jika kita selama ini melahirkan kalangan pelajar yang ‘dibantu’ untuk cemerlang di dalam peperiksaan; apakah kita melahirkan modal insan yang sesuai dengan persaingan zaman mereka nanti?

Sikap ‘sudah terhantuk, baru nak terngadah’ dalam menguruskan integriti peperiksaan awam ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Perlu ada perubahan dan ianya mesti dilakukan segera.

Ambil contoh yang baik daripada negara lain. Jangan malu untuk belajar dan mengakui bahawa kita ada kelemahan yang perlu ditangani. Kos untuk melakukan peperiksaan semula bukannya kecil. Itu belum lagi dicampur dengan ‘kos emosi’ yang pastinya sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi pelajar dan tenaga guru yang terus teruji.

Jika perlu hukuman dan kerangka perundangan diperketatkan, lakukanlah sebelum kita terlewat menangani isu ini. Jangan biarkan individu yang penting diri, menyusahkan dan terus memberi imej buruk kepada sistem pendidikan kita.

Adakalanya, tindakan bukan setakat membawa individu berkenaan ke muka pengadilan. Fasa yang lebih penting adalah memastikan sistem, infrastruktur dan kerangka yang ada sememangnya sudah cukup kedap dengan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

Mungkin, kalaupun ada ingatan buat diri sendiri dan rakan ibu bapa lain, jangan kita mengejar ‘A’ yang didorong dengan penipuan dan ketidakadilan. Wajar agaknya kita suntik semangat ‘bersaing’ kepada anak-anak kita, agar mereka dapat menjadi generasi yang lebih tahan lasak dan benar-benar teruji.

Insiden kebocoran soalan peperiksaan awam mesti kita tangani sebaik-baiknya. Tidak ada ruang untuk sistem pendidikan kita diperlekeh dengan sebegini teruk, hanya kerana tertekan untuk mendapatkan puji-pujian dan keputusan cemerlang yang sebenarnya ‘tidak tulen’ dan didokong penipuan.

Mulakan dengan menganggap sistem penilaian, pentaksiran dan peperiksaan kita berkait dengan keselamatan negara. Ya, mungkin bunyinya agak ekstrem, tetapi jika itulah jawapan kepada segala kekacauan yang berlaku ini, mengapa tidak? Khairuddin Mohd Zain ialah penganalisis isu-isu semasa. Utusan/Rencana/20140912

DPM: Malaysian Examination Board director and deputy suspended pending investigation

VIENTIANE: The Education Ministry has decided to suspend the Malaysian Examination Board director and deputy-director (operation) ‎from their duty effective immediately pending a full investigation into the UPSR papers leak incident.

Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin said the ‎decision to suspend the Board's director Dr Naimah Ishak and her deputy Dr Wan Ilias Wan Salleh was made due to the seriousness of the incident.


Malaysian Examination Board Director Dr Naimah Ishak Malaysian Examination Board Deputy Director (Operation) Dr Wan Illias Wan Salleh
University of Oregon, Eugene, Oregon, United States of America
Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Penilaian Program (2000)

Muhyiddin, who is also Education Minister said ‎following the suspension, Education deputy director-general Datuk Misrah Ibrahim would assume the duty of the board's director pending the investigation.


ADIE SURI ZULKEFLI - NST TOP NEWS 12 SEPTEMBER 2014 @ 6:02 PM

UPSR bocor: Pengarah, Timbalan Pengarah Operasi LPM digantung tugas - TPM


LAOS: Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dr Naimah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi LPM, Dr Wan Ilias Saleh digantung tugas dalam tempoh siasatan berkuatkuasa serta merta berikutan insiden kebocoran soalan UPSR.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengumumkan perkara itu hari ini, berkata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Misrah Ibrahim, akan menjalankan tugas dan tanggungjawab Pengarah LPM.

"Dalam kes ini Pengarah LPM perlu bertanggungjawab kerana sudah menjejaskan integriti Kementerian Pendidikan.

"Siasatan akan dijalankan dengan telus dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bersalah.

"Walaupun terdapat sistem kawalan yang baik, perbuatan tidak amanah dan khianat ini membuatkan anak-anak kita tertekan dan ibu bapa tidak keruan akibat insiden ini," katanya.

Berita Harian Online Semasa JUMAAT, 12 SEPTEMBER 2014 @ 5:43 PM

UPSR bocor: Pengarah Lembaga Peperiksaan digantung tugas

VIENTIANE 12 Sept. - Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysa (LPM), Dr. Naimah Ishak digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan mengenai kebocoran kertas soalan Sains dan bahasa Inggeris UPSR 2014.

Turut digantung tugas, Timbalan Pengarah Operasi LPM, Dr. Wan Illiyas Wan Salleh.

Perkara tersebut diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Menteri Pendidikan ASEAN di sini hari ini.

"Kementerian mesti mengambil tindakan segera dan tegas kerana insiden seperti ini sudah pasti membangkitkan persoalan integriti Lembaga Peperiksaan dan keseluruhan sistem peperiksaan awam negara," katanya.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (sektor pembangunan profesionalisme keguruan) akan menjalankan tugas dan tanggungjawab Pengarah Lembaga Peperiksaan. - UTUSAN ONLINE Utusan/Dalam_Negeri/20140912

Apabila hilang nilai integriti, akauntabiliti

“Kesian anak aku. Tak pasal-pasal kena ulang balik kertas UPSR. Bukan satu kertas ajer. Lebih!,” keluh sahabat saya. Rasanya bukan dia saja yang mengeluh. Anak-anak yang mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengeluh sama. Belum dikira lagi keluhan semua keluarga yang anak mereka menduduki peperiksaan itu.

Belum lagi keluhan mereka yang berada di kementerian dan jabatan pelajaran negeri. Nilai kos pencetakan, elaun perjalanan guru ke tempat peperiksaan terbazir begitu saja. Semuanya itu dibuat semula. Kos bertambah! Semakin kita perbanyak akujanji, perjanjian, ‘key-performance index’ (KPI) dan sebagainya sebanyak itulah juga penyelewengan, ketirisan dan kebobrokan integriti berlaku.

Tidak sedikit pun rasa takut atau rasa segan andai kata masyarakat tahu perbuatan jelek mereka itu satu hari nanti. Apa yang pasti golongan ini seolah-olahnya punyai justifikasi sendiri yang lebih konkrit dan ‘halal’ pada agama untuk mengharuskan perbuatan mereka itu. Niat seakan baik dan bermanfaat pada bangsa dan negara. Tetapi pada sisi agama dan nilai murni hidup sebenar, menolak perkara terbabit. Jelas niat tidak menghalalkan cara.

Amat ketara bahawa ramai kalangan anggota masyarakat kita yang kurang jelas dan faham apa yang dimaksudkan dengan integriti. Malah, ramai menganggapnya sebagai satu topik yang amat membosankan. Apatah lagi kalau pihak jabatan atau organisasi menghantar kakitangan ini ke kursus atau seminar yang berkaitan dengannya. Tetapi tatkala kena pada batang hidung sendiri, anak sendiri dan ahli keluarga sebagaimana dalam kes soalan UPSR bocor ini, barulah marah sana dan sini. Sedang hakikat selama ini, dia sendiri perlekeh soal integriti dan akauntabiliti atas amanah yang dibebankan oleh pihak majikan dan sebagainya.

Hakikatnya semua manusia bergerak dan bertindak atas apa yang diyakini. Dipercayai dan diimani. Andai ditentang atau dipertikai tetap akan dipertahankan. Baik atau buruk sifatnya, akan menjadi persoalan kedua. Yang utamanya merealisasikan apa yang diyakini sebagai benar dan betul. Tidak peduli akan kesan pada orang lain, masyarakat, negara dan lebih utama lagi agama. Misalnya, ada yang sanggup menjolok anak tekaknya sendiri selepas makan, hanya kerana ingin kurus. Menjijikkan dan menyakitkan, pasti. Tetapi tetap diteruskan untuk niat kurusnya itu. Amat wajar apabila Islam sering dan konsisten dalam menekankan persoalan kejiwaan dan kerohanian yang ada pada seseorang insan. Dia perlu diingatkan selalu. Lantaran sifat manusia yang pelupa. Ditegaskan dengan sungguh-sungguh agar sentiasa berkawan dan bersahabat dengan orang yang baik-baik saja. Berilmu pengetahuan dan istiqomah dalam mengamalkan apa yang diketahuinya. Tidak hanya pandai bercakap tetapi langsung tidak bertindak atas apa yang diperkatakan. Apa tujuannya? Tidak lain tidak bukan, untuk pastikan individu itu tetap dan sentiasa dalam kerangka pemikiran yang baik serta bertindak dengan rasional.

Bukan kali pertama Kes soalan peperiksaan bocor ini bukan kali pertama. Sudah berlaku sebelumnya lagi. Malah, beberapa kali. Apabila kes ini timbul semula, kedengaran juga dalam kalangan masyarakat yang bercakap mengenai persoalan KPI yang ada. Sebahagiannya amat bersetuju dengan konsep dan matlamat yang hendak dicapai. Dengan menetapkan piawaian, angka dan objektif tertentu, secara langsung akan memotivasikan kakitangan dalam sesebuah institusi dan organisasi bergerak dengan lebih bersemangat dan bersepadu. Namun, tidak semua manusia atau institusi boleh jujur dalam semua tindakan. Apa yang dekat dan dikejar ialah memenuhi tuntutan angka KPI semata-mata. Sedang hakikat kekurangan dan ruang kelemahan yang ada tidak dapat ditampung dengan sempurna. Maka, sentuhan kerohanian dan kemanusiaan makin luntur. Sebahagian anak UPSR kita di sebahagian sekolah dikerah hingga ke petang tanpa rehat. Aktiviti persatuan dan kurikulum disukat dengan kadar seminimum mungkin. Agar fokus pada pelajaran katanya. Tetapi sains juga katakan pada kita bahawa makin kita bergerak, makin ligat dan aktif saraf otak kita. Jadi, bukankah sentuhan kejiwaan itu mula diabaikan? Sifat mekanikal jasad juga akan mula menyusut. Tidaklah bermaksud kita mesti buang sistem KPI ini. Bukan itu perspektifnya. Isu yang perlu kita tangani sekarang bukan isu luaran. Bukan soal kuantiti sebenarnya. Walaupun ada keperluan ke arah angka untuk dijadikan sebagai satu bukti pencapaian bagi satu-satu perkara, namun semua angka ini mesti diseimbangkan dengan paksi dan dasar yang tidak kosong pada sifatnya. Paksi dan dasar itu nilai agama dan nilai hidup sebenar mengikut acuan serta perspektif Islam. Kejiwaan dan kerohanian individu mesti diperkasakan dengan nilai Islam.

Media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp, Wechat dan sebagainya hanya platform yang mati sifatnya. Hanya medium. Pelayar Internet dan pengguna aplikasi inilah yang menghidupkan medium ini. Baik dari segi pengisian kandungan mahu pun jangkauan sebaran maklumatnya, penggunalah yang jadi penentunya. Soal kesahihan maklumat, bersifat fakta atau palsu bukan soal utama. Yang dicari ialah kemeriahan berinteraksi dan bersosial di alam maya.

Sebab itu kita dapat lihat pelbagai versi dan bentuk penceritaan yang disebarkan dalam media sosial ini tatkala hampirnya hari peperiksaan UPSR tempoh hari. Ada yang menamakannya sebagai soalan ramalan. Ada yang mensifatkannya sebagai “kalau sayang anak, inilah peluang yang mesti diguna.” Naluri mereka sendiri sebenarnya mengakui bahawa bahan sebaran itu tidak wajar dipanjang-panjangkan lagi. Namun, fahaman perspektif dan fahaman pada nilai yang dipegang mengatakan ia masih wajar untuk disebarkan. Maka apa yang pasti, golongan yang sama-sama menyebarkan versi sebegini hakikatnya sedang bersekongkol dengan perkara yang bertentangan dengan nilai agama. Ini belum diambil kira lagi pada pelbagai versi dan bentuk amalan yang kononnya mesti atau sewajarnya diamalkan oleh anak dan keluarga dalam menghadapi peperiksaan ini. Hinggakan ada yang bersifat syirik penghujungnya. Namun, ia tetap disebarkan. Walaupun mungkin sebahagian kecilnya tidak meluaskan sebaran mesej palsu dan menyeleweng daripada fakta Islam, nisbahnya amat kecil.

Majoritinya beranggapan masih wajar untuk disebarkan. Lagi-lagi jika penghujung mesej berbunyi, “adakah anda sanggup membiarkan kebaikan ini berada saja dalam telefon anda?” Justeru, pemerkasaan ke atas nilai integriti dan soal akauntabiliti mesti digembeleng dengan sesempurna mungkin. Tidak boleh lagi bertolak ansur. Bukan hanya pada bentuk hukumannya tetapi fahaman kukuh pada dasar dan akar pemikiran agar nilai yang terbentuk, benar-benar menepati tuntutan agama. Penulis pensyarah di Universiti Multimedia, Melaka. Harian Metro Minda 12 September 2014