September 14th, 2014

Syahid atau sia-sia

KONFLIK yang meletus di Syria sejak 2011 mengejutkan banyak pihak kerana terdapat ramai umat Islam dari seluruh dunia termasuk Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pergi berjuang dan terkorban di sana. Kebanyakan mereka ini menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dan Jabhat al-Nusra yang merupakan serpihan daripada al-Qaeda.

Dianggarkan ribuan rakyat Eropah termasuk lebih 100 rakyat AS, 500 rakyat Britain dan beratus-ratus rakyat Perancis menyertai kumpulan militan berperang di Syria.

Mereka ini dikatakan pergi berperang di sana kerana ingin memerangi kerajaan Syiah Syria yang didakwa menzalimi golongan Sunni serta mahu mati syahid. Sebahagian besar daripada mereka ini pergi berperang tanpa pengetahuan keluarga dan penglibatan mereka dalam kumpulan militan hanya diketahui menerusi status dalam media sosial.



Haru ssani Zakaria

Pancarwarna minggu ini melihat kepada penglibatan rakyat Malaysia dan Eropah dalam konflik di negara bergolak itu serta status peperangan itu dari sudut agama.

Syahid atau mati katak?

SEHIGGA kini, status perjuangan umat Islam yang pergi berjuang menentang kerajaan Syria boleh dikatakan sebagai jihad dan kematian mereka yang terkorban dianggap syahid masih tidak jelas.

Walaupun peperangan tersebut dikatakan antara golongan Sunni dan Syiah, ramai menganggap ia sebenarnya perang saudara sesama umat Islam. Apatah lagi, kumpulan-kumpulan pejuang kini bukan hanya berperang dengan kerajaan Syria, malah sesama mereka sendiri.

Tindakan ganas mereka seperti memenggal leher musuh, menzalimi mayat dan merogol membuatkan ramai mempersoalkan sama ada mereka ini benar-benar berjihad. Apatah lagi, mereka bukan hanya bertindak ganas terhadap golongan Syiah, malah kepada golongan Sunni sendiri.

Lagipun, tidak ada satu kerajaan Islam pun mengisytiharkan peperangan dan membenarkan rakyatnya pergi berperang ke Syria atas nama jihad.

Tokoh-tokoh agama di Malaysia berpendapat bahawa umat Islam di negara ini perlu melihat jihad dalam pengertian lebih luas dan bukan hanya sekadar berperang mengangkat senjata.

Menurut mereka, jihad yang lebih utama ialah memenuhi tanggungjawab kepada ibu bapa serta negara terutamanya dalam meningkatkan ekonomi umat Islam yang masih jauh ketinggalan.

Mereka juga menyatakan bahawa umat Islam yang mahu pergi berjuang di Syria perlu mengesahkan sama ada berperang di negara berkenaan merupakan jihad serta perlu mendapat keizinan daripada ibu bapa dan pemerintah negara sebelum pergi ke sana.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria misalnya, berkata, berjihad di dalam negara adalah wajib diutamakan dan berdakwah di sini juga adalah jihad yang amat dituntut. Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut pula menyatakan, satu hadis Rasulullah SAW menyebut bahawa barang siapa menyertai perbalahan antara dua kumpulan Islam, kedua-dua pihak yang membunuh dan terbunuh akan masuk neraka.

Pejuang dari Malaysia

Abu Faz

SEORANG rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Abu Faz, 20-an, dipercayai rakyat Malaysia pertama yang terkorban dalam pertempuran di Syria.

Pemuda tersebut maut selepas terkena tembakan penembak tepat dalam satu pertempuran dengan tentera kerajaan Syria di Damsyik pada 11 Mei lalu.

Menurut sumber keselamatan, Abu Faz yang belum dikenal pasti identiti sebenarnya pergi berjuang di negara tersebut bersama-sama Akel Zainal yang merupakan bekas pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air pada 1990-an sejak tahun lalu.

Mohamad Fadlan & Ustaz Lotfi



Mohd. Lot fi

SEORANG pemuda Malaysia, Mohamad Fadlan Shahidi, 21, atau lebih dikenali sebagai Abu Muhajir, terkorban selepas dibedil jet pejuang tentera Syria dalam satu pertempuran di wilayah Hama pada 9 September lalu.

Lima lagi rakyat Malaysia yang turut berjuang di Syria termasuk bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd. Lotfi Ariffin dan seorang yang dikenali sebagai Abu Afghan serta tiga lagi yang belum dikenal pasti cedera parah dalam pertempuran tersebut.

Mohd. Lotfi yang mendapat panggilan 'ustaz' dikatakan dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri. Mohd. Lotfi yang berasal dari Baling, Kedah, sebelum ini sering memuat naik status dan klip video tentang penglibatannya di Syria ke laman media sosial.

Beliau dipecat daripada Pas pada 11 Mei kerana terlibat dalam kegiatan militan di Syria.

Pejuang dari Barat

Deso Dogg

Bekas penyanyi rap Jerman, Deso Dogg atau nama sebenarnya Denis Mamadou Gerhard Cuspert, 39, maut dalam dua serangan berani mati oleh Jabhat al-Nusra di timur Syria pada 20 April lalu.

Dogg dikenali sebagai Abu Talha al-Almani di Syria. Almani dalam bahasa Arab bermaksud Jerman.

Semasa bergelar artis, Dogg menghasilkan tiga buah album iaitu Schwarzer Engel (2006), Geeni'z in collaboration with Jasha (2008) dan Alle Augen auf mich (2009). Selepas memeluk Islam, Dogg tidak lagi aktif dalam dunia hiburan dan menukar namanya kepada Abou Maleeq.

Selain Dogg, lebih 15 rakyat Jerman yang menyertai IS termasuk seorang remaja berusia 19 tahun, David G. yang dikenali sebagai Abu Dawud al-Almani, dilaporkan telah terkorban dalam konflik di Syria.

Andre poulin

ABU Muslim al-Canadi atau nama sebenarnya Andre Poulin, 24, merupakan seorang rakyat Kanada yang memeluk Islam. Dia menyertai IS berjuang di Syria pada 2012 dan dilaporkan terkorban selepas ditembak oleh penembak tepat pada 2013. Dia meninggalkan seorang isteri dan anak kecil di Syria.

Sebelum berjuang di Syrian, Poulin yang berasal dari Timmons, Ontario, bekerja sebagai penyelenggara bangunan dengan pendapatan yang agak baik di negaranya. Namun, Poulin dikatakan tidak gembira tinggal di negara bukan Islam.

Dalam satu dokumentari, Poulin menyatakan keluarganya gembira kerana dia menemui jalannya dan melakukan apa yang disukainya iaitu menolong orang tetapi pada masa sama mereka tidak memahami tujuan dia berada di Syria.

Ketika berusia 20 tahun, Poulin membentuk satu personaliti diri, menggelarkan dirinya sebagai `Uncle Umar' dan tanda tangannya dalam bahasa Arab bermaksud: "Syahid,

Insya-Allah".

Douglas McCain

Rakyat AS, Douglas McAuthur McCain, 33, dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di Syria pada 24 Ogos lalu. Dia dipercayai menyertai kumpulan IS dan terkorban selepas bertempur dengan kumpulan militan lain di negara berkenaan.

Menurut rakannya, McCain yang meminati muzik rap dan bola keranjang dipercayai pergi berjuang di Syria kerana ingin melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidupnya. Penglibatannya dalam kumpulan IS mengejutkan ramai ahli keluarga dan rakannya kerana dia merupakan seorang yang merendah diri dan penyayang. Tambahan, keluarganya menyangkakan McCain berada di Turki.

McCain dilahirkan di Illinois dan dibesarkan Minneapolis. Dia pernah disabitkan dengan kesalahan mencuri, memiliki dadah dan memandu selepas lesennya dibatalkan. McCain memeluk Islam pada 2004 selepas bergaul dengan komuniti Islam Somalia yang ramai menetap di Minneapolis.

Sebelum ini, dua lagi rakyat AS, Nicole Lynn Mansfield, 33, dan Moner Mohammad Abu-Salha, 22, terbunuh dalam konflik di Syria. Mansfield yang memeluk Islam terbunuh pada Mei 2013 ketika cuba menyerang tentera Syria manakala Moner memandu trak yang membawa bahan letupan ke dalam restoran yang dipenuhi tentera Syria sehingga membunuh 37 orang pada 25 Mei lalu.   Utusan/Bicara_Agama/20140914

Mao Tse-tung dan 'tahaluf siyasi' komunis

Saya hendak memulakan pengisahan tentang Lin Biao dengan 'memperkenalkan' istilah 'tahaluf siyasi'. Dalam bahasa Melayu, ia lebih kurang bermakna kerjasama atau kesepakatan politik atau dipendekkan 'pakatan politik'. Parti UMNO dahulu, apabila mula-mula menjalin 'kesepakatan politik' dengan parti MCA dan MIC, memberi nama 'Perikatan' dengan simbol perahu layar sebagai logo Parti Perikatan. Tahaluf siyasi bernama Perikatan ini kemudiannya bertukar nama menjadi Barisan Nasional dengan penyertaan lebih banyak parti politik lain. Sekarang kita lihat ada satu lagi bentuk tahaluf siyasi yang dibilang Pakatan Rakyat atau ringkasnya pakatan gabungan kerjasama politik tiga buah parti iaitu DAP, Pas dan PKR.

Saya hendak memberi sedikit pandangan tentang tahaluf siyasi ini. Mengikut Kamus Dewan, 'siasah' bermakna (1) pengetahuan yang bersangkutan dengan hal-hal kenegaraan, (pemerintahan dll), politik. (2) Kebijaksanaan (kebolehan, muslihat) untuk mencapai sesuatu maksud : (contoh ayat) sekarang ia sedang mengatur siasah hendak membalas sakit hatinya; siasah perang muslihat (tipu helah) peperangan.

Berpandukan makna itu, saya menyimpulkan, tahaluf siyasi atau kesepakatan politik tidak terhad kepada kerjasama antara beberapa buah parti politik. Ia boleh diertikan juga kesepakatan dalam kalangan pemimpin sesebuah parti yang berpuak-puak untuk mencapai tujuan masing-masing. Yang pertama itu bersifat kerjasama politik antara parti, yang kedua jenis intra-parti. Misalnya, dalam soal perlantikan Menteri Besar Selangor yang kita hadapi sekarang, sangat jelas ada banyak unsur yang saya sebutkan itu, terutama dalam kalangan tiga buah parti yang membentuk tahaluf siyasi bergelar Pakatan Rakyat itu.

Tadi, saya mencedok Kamus Dewan untuk memberi makna 'siasah' atau 'siyasi'. Tetapi, tidakkah dalam coretan sulung saya di Mingguan Malaysia pada 2 Mac 2014 saya ada berkata, perbilangan Inggeris menyebut, "Politics is the art of the impossible made possible?" Kalau anda masih ingat, tulisan itu adalah usaha saya untuk memahami kenapa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau lebih terkenal dengan panggilan Mat Sabu, dalam satu ceramah berkata, dia menganggap gerombolan komunis yang membaham Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 itu sebenarnya adalah tindakan komunis untuk menghalau penjajah Inggeris demi kemerdekaan negara. Saya berkata, pendapat sebegitu adalah pendapat 'menentang arus.' Mat Sabu, sebagai orang politik, menepati erti 'politik' yang saya sebutkan dalam bahasa Inggeris itu. Berilah ia nama apa sekalipun - 'kebolehan', 'tipu helah', 'putar belit', 'putar alam' atau 'muslihat' - ia adalah seni kepintaran orang politik yang membolehkan mereka menzahirkan sesuatu yang impossible menjadi possible, seperti mana halnya dengan Mat Sabu yang boleh berkata komunis telah membakar Balai Bukit Kepong untuk menghalau Inggeris demi kemerdekaan.

Patut saya katakan juga, dalam kes sivil di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang antara Mat Sabu melawan Utusan Malaysia dan Ketua Pengarangnya, ada pihak-pihak melontarkan pendapat bahawa Mat Indera, yang ikut terlibat dalam serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong itu, telah mati syahid bila mati di tali gantung setelah didapati bersalah oleh mahkamah.

Penyekutuan

Beginilah hujah orang-orang ini: Mat Indera ialah orang agama kerana pendidikan agama Islamnya. Dia juga bekas guru agama di kampungya. Dia kemudian masuk politik memperjuangkan kepentingan Islam menerusi kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Itulah sebabnya dia masuk hutan, ujar mereka. Penyekutuan Mat Indera dengan komunis ini, menurut para 'pak lebai' itu, adalah suatu tahaluf siyasi yang diredai Allah SWT demi Islam, kata mereka. Saya tidak berhasrat mengkritik pendapat itu walaupun ia sangat bertentangan dengan fakta sebenar, jauh sekali mengecam mereka sebagai bebal. Tetapi, saya ingin bertanya: kenapakah istilah 'tahaluf siyasi' dikaitkan dengan perjuangan menegakkan negara Islam?

Katakanlah kita ini berada dalam sebuah negara Arab di Asia Barat - Mesir, Jordan, Iraq dan Libya, misalnya. Saya jangka, sesuatu pakatan kerjasama politik antara beberapa buah parti mungkin menggunakan istilah tahaluf siyasi - selain istilah-istilah lain dalam bahasa Arab yang memberi makna sama. Ini walaupun tiada satu pun parti politik yang tergabung dalam pakatan politik itu ingin menegakkan negara Islam (seperti parti Pas, misalnya). Ini di tengah-tengah bumi Arab, tempat lahirnya Islam. Kenapa pula orang di Malaysia semacam menganggap istilah tahaluf siyasi semestinya dikaitkan dengan pakatan untuk menegakkan negara Islam? Sampai Mat Indera pun, setelah menyekutukan dirinya dengan perjuangan komunis, patut dikatakan telah menjalin tahaluf siyasi dengan orang komunis?

Sekarang, saya kembali kepada kisah Lin Biao. Dia lahir pada 1907 di Huanggang provinsi Hubei dan menyertai Parti Komunis China (PKC) pada 1925. Dia ikut bersama Mao Tse-tung semasa Long March (1934-1936). Selepas negara komunis China ditubuhkan pada 1949, Lin Biao dilantik sebagai salah seorang daripada sepuluh marsyal dalam tentera China kerana pengalaman dan jasa besarnya semasa Parti Komunis berperang dengan Jepun dan Parti Kuomintang. Lin Biao berada di kedudukan ketiga terkanan dalam kalangan sepuluh marsyal itu selepas Zhu De dan Peng De-huai.

Boleh dikatakan Lin Biao seorang pemimpin parti yang sangat dipercayai oleh Mao. Semasa persidangan parti Komunis di Lushan pertengahan tahun 1959 di mana Mao Tse-tung telah dikritik hebat oleh Marsyal Peng De-huai kerana kegagalan dasar Great Leap Forward yang dilancarkannya, Lin Biao dilantik Mao menggantikan Peng sebagai Menteri Pertahanan China. Peng dipecat kerana kritikannya itu. Lin juga dilantik menjadi salah seorang Naib Perdana Menteri mengambil tempat Peng. Sebagai Menteri Pertahanan, Mao semakin tertarik dengan kebolehan Lin Biao, terutama selepas kejayaan China dalam Peperangan China-India pada tahun 1962.

Tidak seperti Peng De-huai, Lin Biao bijak mengenali hati perut dan pemikiran Mao. Sebaik-baik sahaja mengambil alih jawatan itu, Lin Biao segera membuat transformasi angkatan bersenjata China (Tentera Merah)mengikut landasan dan pertimbangan politik. Dibuangnya sistem menggunakan pangkat-pangkat dan dihapuskannya semua faedah istimewa atau sampingan berbentuk wang atau barang-barang keperluan yang sebelum itu dinikmati oleh pegawai-pegawai tentera - yakni daripada Jeneral setinggi-tingginya sampai ke bawah. Tiada sesiapa pun menyanggah Lin Biao kerana memikirkan itulah kemahuan Mao.

Indoktrinasi

Lin Biao juga menyingkirkan pegawai-pegawai tentera yang dianggap menyukai dasar Soviet. Dalam soal ini pun, Lin Biao sedia mengetahui pendirian Mao Tse-tung yang mahu memutuskan hubungan akrab China dengan Soviet menjelang penghujung tahun 1950-an. Tetapi, yang cukup disukai Mao ialah langkah Lin Biao memperkenalkan dasar setiap tentera kena bekerja secara separuh masa di kilang dan ladang. Juga, dasar Lin Biao mengindoktrinasi angkatan bersenjata dengan ideologi yang dinamakan Pemikiran Mao. Sistem indoktrinasi ini, bagi Lin, boleh menjamin penguasaan PKC ke atas angkatan bersenjata. Ke arah itu juga, Lin Biao mengarahkan komisar-komisar politik, yang diwujudkan dalam unit-unit angkatan bersenjata, diberi kuasa dan status lebih tinggi daripada kepimpinan tentera. Tentulah ini untuk menentukan arahan-arahan Lin, dalam kedudukannya sebagai pemimpin politik, dipatuhi tentera dengan ketat. Mao bukan saja sangat suka dengan langkah-langkah Lin itu, malah dia memberinya kedudukan yang lebih tinggi.

Lin Biao juga menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Pertahanan untuk meningkatkan pemujaan diri Mao Tse-tung (Mao's cult of personality). Dalam kerancakannya mempromosi cult of personality Mao Tse-tung, Lin Biao melancarkan beberapa siri kempen propaganda ke atas rakyat China mengikut cerita yang direka-reka dalam Diari Lei Feng yang palsu itu. Satu siri yang sangat memberi kesan ialah kempen bertemakan "Belajar daripada Lei Feng" yang dibuat oleh Lin Biao menggunakan aset-aset tentera. Ramai rakyat China berkata, oleh sebab Lin Biao sendiri yang mempelopori kempen itu, mereka percaya Lin Biao disuruh Mao mereka-reka Lei Feng's Diary.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, Lin Biao bukan melukut di tepi gantang atau membuta tuli mengikut telunjuk Mao Tse-tung. Kata Jung-Halliday, "Lin lauded Mao to the skies in public, although he felt no true devotion to Mao and at (his) home (he) would often make disparaging and even disdainful remarks about him (Mao), some of which he entered in his diary. It was out of pure ambition that Lin stood by Mao and boosted him - the ambition to be Mao's no. 2 and successor … With the Great Purge, which had Liu (Shao-chi), as its primary target, Lin Biao could expect his advancement (halaman 524)."

Kata Jung-Halliday lagi, "Lin was a man, as his own wife observed in her diary, 'who specialises in hate, in contempt (friendship, children, father and brother - all mean nothing to him), in thinking the worst and basest of people, in selfish calculation … and in scheming and doing other people down' (halaman 525)."

Kata Jung-Halliday lagi, "Mao had Lin Biao brought to Hangzhou, and on the night of 1 December (1965) the two men had an ultra-secret talk. Mao told Lin about his plans for the Great Purge, and promised to make Lin his no. 2 and successor. He told Lin to make sure the army was fully under control - and be ready to assume a completely new role: to step in and take over the jobs of the huge number of Party officials Mao intended to purge (halaman 525)."

Dalam coretan minggu hadapan saya akan memulakan cerita Revolusi Kebudayaan atau Great Purge. Akan saya ceritakan juga bagaimana tahaluf-tahaluf siyasi dalam kalangan pemimpin peringkat tertinggi PKC itu saling mengesyaki dan bertindak terhadap satu sama lain untuk mendapat kedudukan yang lebih kukuh di dalam parti. Sedang Mao Tse-tung pula, dia 'seronok' melihat mereka berantakan sambil mengukuhkan kedudukannya dengan melaga-lagakan puak-puak yang saling bertahaluf siyasi itu.   Abdul Rahim Noor Utusan/Rencana/20140914

Jargon serlahkan kepintaran?

RAMAI tidak percaya bila saya katakan membeli kamus istilah ekonomi, demi untuk memastikan saya faham jargon atau istilah khusus dalam bidang ekonomi.

Hampir melayang semangat semasa menghadiri sesi wawancara bersama syarikat-syarikat perniagaan apabila mendengar istilah-istilah yang disebutkan bunyinya macam bahasa Inggeris, tetapi mengandungi definisi berbeza.

Istilah turn around, definisi standardnya ialah berpaling atau menoleh ke belakang. Dalam dunia korporat, ia bermaksud suatu proses pemulihan syarikat. Bleeding edge bukan judul filem tetapi bermaksud teknologi paling baharu, lebih baharu berbanding yang sedia ada hari ini.

Returning to the black tidak boleh diterjemahkan sebagai 'kembali ke zaman hitam'. Ia adalah definisi bermaksud sesebuah syarikat itu sudah kembali mengaut keuntungan. Warna hitam dalam buku kira-kira adalah untung, dan merah untuk rugi.

Ini belum dikira lagi istilah yang bunyinya macam jenama minyak hitam atau air soda seperti Synergy, Quantum Leap, Vertical dan banyak lagi. Tetapi paling sakit kepala bila membaca laporan atau analisis tentang bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Bukan sekadar kena memahami teks asal dalam bahasa Inggeris, tetapi kena juga mengolahnya menjadi berita berbahasa Melayu.

Semasa meletusnya era Langit Terbuka pada awal 1990-an, banyak istilah Internet berlegar tanpa dapat dicari terjemahan bahasa Melayunya. Ini kerana istilah tersebut belum wujud pun dalam perbendaharaan kosa kata Melayu. Maka, web site ditukar mudah menjadi 'laman web'. Istilah ini diguna pakai lama dan diiktiraf dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Baru-baru ini, cendekiawan bahasa telah mempromosikan penggunaan 'laman sesawang'.

Istilah

Saya tanya Munshi Bahasa. Oleh kerana istilah laman web telah diguna meluas dan diterima pakai dalam kamus DBP, penggunaan 'laman sesawang' tidak bermakna kita perlu menghapuskan sama sekali 'laman web'. Saya pilih 'laman web' kerana ia sudah lebih dua dekad dipakai dan hurufnya hanya ada tiga berbanding lapan untuk 'sesawang'.

Ketika pertama kali melangkah masuk ke meja berita ekonomi pada Januari 2001, ia adalah situasi maha sulit. Pertamanya, saya bukan lulusan ekonomi. Dari sekolah menengah, jurusan pendidikan saya ialah sastera. Kedua, saya menyertai Utusan Malaysia bukan hendak jadi wartawan ekonomi tetapi politik.

Tetapi saya, dan hampir 99 peratus spesies wartawan, tidak memiliki kemewahan untuk meminta ditukar ke bidang pemberitaan lain jika tidak sukakan pemberitaan ekonomi. Satu peratus lagi ialah mereka yang berhenti daripada organisasi.

Dan ketika mula menyertai meja berita ekonomi, saya tidak tahu saya akan berada di situ hampir tujuh tahun, sebelum ditukar ke dua unit lain dan tujuh tahun kemudian, ditempatkan kembali ke meja ekonomi pada Januari lalu. Dan ya, pening istilah khusus ekonomi ini turut sama kembali menghantui. Mujur sekarang ada kamus dalam talian!

Dalam perbualan bersama seorang sahabat yang memiliki kelulusan MBA atau Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan, dia memberitahu memang wujud keperluan menggunakan jargon seumpamanya semasa menyiapkan tesis dan harus menguasainya semasa sesi soal jawab dengan profesor-profesor.

''Apa untungnya menggunakan jargon yang hanya orang korporat faham?'' soal saya. Sahabat itu menjawab, konsep jargon ini sama dengan bidang disiplin lain. Misalnya perubatan. Ramai yang menggunakan istilah perubatan seperti Cardiact Arrest walaupun ada istilah 'jantung terhenti', kardiovascular (berkaitan saluran darah dan jantung) atau sclerosis (keras) sebab bunyinya boleh membuatkan anda kelihatan lebih 'pandai' untuk menerangkan penyakit yang anda sendiri hadapi,'' hujah beliau.

Pengasas dan Pengarah Urusan rangkaian sosial MBAconnect.net, Colette Symanowitz berpendapat jargon hanya mewujudkan ketidakpercayaan.

Jargon merosakkan hubungan anda dengan pelanggan, sesama rakan dan orang yang berkepentingan. Sama ada anda seorang doktor, jurutera atau graduan MBA, setiap disiplin mempunyai lingo dan ringkasan masing-masing.

Ini mungkin macam penting - dan bagaikan bahasa rasmi sebuah kelab elit yang anda mahu sertai tetapi realitinya, ia tidak membawa apa-apa makna.

Bila berkomunikasi dengan orang bukan dalam bidang yang sama, menggunakan jargon tidak akan mempamerkan kepakaran anda. Sebaliknya ia mencetuskan perasaan terpinggir dan pendengar berasa tidak pandai. Mereka ini tidak mahu bekerja dengan orang terlalu pandai menggunakan jargon.

Symanowitz juga mengingatkan bahawa bahasa rumit (jargon) hanya menyebabkan mesejnya hilang sama sekali.

Saya tidak pasti berapa ramai CEO atau jurucakap syarikat membaca tulisan Symanowitz ini. Namun, saya harap penasihat imej dan perunding media agar Google nama Colette Symanowitz 'Jargon makes you look stupid' dan beri CEO baca teks penuh.

Lagipun, bertindak pandai tidak sama makna dengan bercakap pandai. Johardy Ibrahim Utusan/Rencana/20140914

Pusaka adat: Patah tumbuh hilang berganti

BERITA pulangnya ke Rahmatullah Undang Luak Jelebu Ke-15, Datuk Menteri Akhirulzaman Hj. Musa Wahab, 77, beberapa hari lalu hanya menerima sedikit liputan dalam media tempatan. Sebagai salah seorang pemerintah adat di negeri beradat, perihal itu dilihat kurang setimpal dengan kedudukannya sebagai pemegang tampuk adat di wilayahnya khasnya dan di Negeri Sembilan amnya. Sementelahan pula seseorang Undang itu ditakrif sebagai 'pemerintah bersama' dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di sisi Perlembagaan negeri itu.

Allahyarham Musa yang telah menduduki kerusi Undang Luak Jelebu hampir 34 tahun, merupakan Undang yang paling kanan dalam barisan Datuk-Datuk Undang yang memegang pusaka adat di Negeri Sembilan. Beliau aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan pembelajaran, sifat yang sesuai baginya sebagai seorang bekas guru besar yang aktif. Beliau merupakan salah seorang penghulu adat yang mengambil berat tentang pendidikan adat, hal ehwal budaya dan perimbangan Islam dengan subjek persekolahan yang lain. Pemergiannya barang sudah tentu membawa kesan muram bukan saja kepada penduduk luak Jelebu tetapi juga kepada warga adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Dikatakan begitu kerana seseorang Undang itu merupakan 'Pemerintah bersama' dengan Yang Dipertuan Besar atau co-Ruler di Negeri Sembilan. Setiap seorang daripada Undang Yang Empat di luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau adalah tunggak adat di luak masing-masing. Semua tugasan rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan juga mempunyai kuasa-kuasa tertentu di sisi Perlembagaan Negeri Sembilan 1959. Empat orang ketua adat itu yang diberi panggilan sekutu Undang Yang Empat berkuasa tentang hal-ehwal adat dan kesejahteraan budaya Melayu di Negeri Sembilan, di samping menentukan seseorang calon Yang Dipertuan Besar manakala jawatan Di Raja itu menjadi kosong akibat kemangkatan atau pelanggaran syarat. Undang juga merupakan pemutus mana-mana pertelingkahan adat di dalam wilayah atau luak adatnya sendiri.

Dengan kemangkatan Undang Jelebu Ke-15 itu, berulanglah mekanisme memilih ketua adat di luak Jelebu semula. Datuk Menteri Tarmizi Selamat selaku Datuk Menteri Raja Sehari kini telah diumumkan oleh Datuk Ombi bagi pihak Datuk-Datuk Lembaga Delapan sebagai pemangku Undang sehingga seorang Undang yang sesuai dapat dicalon dan diterima sebagai Undang Jelebu yang Ke-16. Perihal ini mungkin memakan masa sekiranya mekanisme pemilihan itu tidak berjalan dengan lancar. Ada ketikanya pada tahun 1967, Jelebu telah tidak berundang hampir dua tahun akibat gagalnya Datuk Menteri Raja Sehari mendapatkan benih yang sesuai.

Mutakhir munculnya konflik pemilihan Undang Jelebu kali kedua ialah semasa Allahyarham Musa mula-mula hendak dilantik sebagai Undang Luak Jelebu pada tahun 1980. Pada masa itu penulis berkhidmat sebagai Menteri Besar yang tiba-tiba terpaksa menghadapi krisis adat di Jelebu ketika itu. Datuk Musa pada masa itu dicadangkan oleh beberapa orang Datuk Lembaga, khasnya Datuk Menteri Osman Raja Sehari yang ketika itu mengetuai Lembaga Adat Luak Jelebu. Beliau dan Datuk Ombi Syed Alwi, pegawai adat nombor dua dalam hierarki adat di Jelebu, berselisih faham tentang siapa yang lebih layak dilantik menjadi Undang Jelebu Ke- 15 susulan kemangkatan Datuk Abu Bakar Maamor Undang Jelebu Ke-14.

Musa (pada masa itu 'Cikgu Musa') beroleh sokongan Datuk Menteri Osman Raja Sehari yang di sisi adat bertanggungjawab menabalkan calon Undang yang paling sesuai setelah menerima beberapa pencalonan daripada Datuk Ombi, ahli Lembaga Adat yang tanggungjawabnya ialah "mencari benih" (calon) yang menurut hematnya sesuai menjadi Undang. Tergolong dalam 'mencari benih sesuai' itu ialah sifat-sifat sahsiah terbaik yang ada pada seseorang itu, gemar membantu masyarakat, berkelulusan adat yang memuaskan seperti tiada 'cacat-cida' padanya selain sah mewakili perut atau keturunan keluarga yang layak mengemukakan calon Undang.

Restu

Di Jelebu ada tiga perut berundang yang menentukan siapa layak jadi Undang apabila penggantian diperlukan. Pertama Perut Ulu Jelebu, kedua Perut Sarin dan ketiga Perut Kemin.

Allahyarham Datuk Musa yang mewakili Perut Sarin dicabar kedudukannya di mahkamah. Hujah Syed Zain yang dibantu Datuk Ombi ketika itu menghujahkan bahawa Musa tidak mewakili perut Sarin yang sah lalu mencernakan rentetetan sejarah adatnya. Malang baginya, kerajaan negeri ketika itu memutuskan supaya 'restu' Dewan Keadilan dan Undang diperolehi. Tuanku Jaafar selaku Yang Dipertuan Besar dan Pengerusi Dewan Keadilan bersetuju memberi restu itu lalu direkodkan. Pada masa sama Kerajaan Negeri terus membayar gaji dan elaun Datuk Undang Luak Jelebu sejumlah RM6,004 pada masa itu. Tindakan restu ini dianggap oleh Mahkamah Persekutuan sebagai endorsmen di samping menyatakan dalam penghakiman bahawa mahkamah tiada hak atau kuasa mencampuri hal ehwal pemilihan adat di luak masing-masing dan dengan restu yang diberikan itu selesailah kes yang diselangi Syed Zain dan rakan-rakannya. Cikgu Musa Wahab pun mulalah melangkah ke alam adat yang memberi kuasa dan pangkat serta peranan tradisional kepadanya.

Oleh kerana kuasa pemutus 'menanam benih' pada tahun 1980 ada pada Datuk Menteri Osman Raja Sehari, beliau mendapati Musa dari Perut Sarin lebih berkelayakan, beliau telah tidak menerima Syed Zain, calon yang dikemukakan oleh Datuk Ombi selaku pencari benih kepada Datuk Menteri yang bertindak selaku pemutus pencalonan. Akibat perselisihan itu Jelebu terpaksa menghadapi krisis adat hampir dua tahun (1980-1982).

Pengganti Musa akan datang ini ialah calon Undang daripada perut Kemin. Salah satu kelayakan utama ialah seseorang calon Undang itu mesti menerima pengiktirafan anak buah dan ibu bapak serta seka keluarga 'Biduanda'. Dengan pengertian lain seseorang calon Undang mesti berdarah orang asli sebelah ibu manakala punca bakanya daripada keturunan Minangkabau. Di keempat-empat luak berundang Negeri Sembilan inilah asasnya.

Zaman beredar, pusaka bergilir - realiti kata-kata adat ini menelusuri kepada keadaan kini yang dikuasai Datuk Menteri Tarmizi Selamat setelah beliau diisytiharkan oleh Datuk Ombi menjalankan tugas Yang Teramat Mulia Datuk Undang Luak Jelebu selama dan selagi benih tak terdapat, dan benih tak ditanam.

Tempoh yang terlibat untuk menentukan calon Undang yang terbaik mungkin menelan masa enam bulan atau dua tahun. Datuk Menteri Raja Sehari berhak kini ke hulu ke hilir sebagai pemangku Undang, sesuai dengan Perlembagaan adat tempatan serta dokongan Perkara 14 Perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.   Tan Sri Dr. Rais Yatim ialah Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan.   Utusan/Rencana/20140914

Semakin susah memiliki rumah

Kira-kira 25 tahun lalu, dengan pendapatan tetap RM800 hingga RM1,200 sebulan sudah mampu memiliki rumah teres tiga bilik berharga RM55,000.


Sekarang kakitangan lepasan universiti dengan pendapatan tetap RM2,500 hingga RM2,800 pun belum mampu membeli sebuah rumah.

Harga rumah sekarang amat mahal. Sudah tiada harga rumah murah seperti RM25,000 hingga RM42,000 lagi. Tidak ada lagi rumah teres dua tingkat yang berharga RM80,000 hingga RM125,000. Rumah-rumah yang tidak banyak berbeza dengan reka bentuk 25 tahun lalu itu sekarang tidak ada yang berharga bawah RM500,000.

Di kawasan pinggir Kuala Lumpur pun harga rumah dua tingkat melambung hingga RM600,000. Kalau yang dibina tiga tingkat pula berharga RM800,000 hingga RM2 juta.

Apa yang menghairankan ialah walau bagaimana tinggi harganya, ia dilaporkan habis dibeli. Entahlah betul dibeli orang atau hanya mainan spekulasi pemaju dan agensi hartanah. Jadi berebut-rebutlah orang ramai mencari projek rumah baharu sekarang sebab takut harganya akan melambung tinggi lagi.

Cuba lihat bila rumah siap untuk diduduki, naiklah kain rentang yang mengiklankan rumah untuk dijual. Bukan satu tapi banyak yang diuruskan oleh agensi hartanah.

Sejak tahun 2007, aliran kenaikan harga rumah bagaikan tak terkawal. Dahulu bila Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mencadangkan untuk menaikkan harga rumah murah dalam kawasan projek mereka, kerajaan akan cuba menghalangnya.

Tetapi kini tak siapa yang menghalang, dibiarkan sahaja pasaran yang menentukan harganya. Inilah harga yang kita lihat sekarang hingga orang Melayu tidak mampu lagi membeli rumah di kawasan bandar. Projek perumahan rakyat miskin atau rumah murah sudah lama tidak kelihatan.

Baru-baru ini saya bertemu seorang usahawan hartanah, beliau mengatakan orang Melayu tak berani berhutang dan pinjam wang untuk beli rumah atau ruang niaga. Hal ini berbeza dengan kaum bukan Melayu yang berani melabur beli hartanah.

Tak bayar hutang

Sambil ketawa beliau mengatakan kalau bukan Melayu itu tak bayar hutang, dia masih boleh lari ke Hong Kong atau Taiwan. Tapi kalau orang Melayu tak bayar hutang, mahu lari ke mana?

Baru-baru ini REHDA menjangka harga rumah akan naik antara tiga hingga empat peratus berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus bermula 1 April 2015.

Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, kenaikan tersebut berlaku selaras dengan peningkatan kos membina rumah sebanyak kira-kira 20 peratus yang kini ditanggung oleh pemaju berikutan kenaikan harga bahan binaan seperti pasir, simen, konkrit, premium tanah dan sebagainya.

Bayangkan kalau harga rumah sekarang paling murah pun RM500,000, bila naik tiga peratus bermakna kos rumah itu boleh naik RM15,000 lagi. Lagi mahal harga rumah itu maka bertambah mahal kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli.

Dalam hal ini, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertanggungjawab menguatkuasakan GST tahun depan menyangkal dakwaan REHDA. Namun hakikatnya kenaikan tetap berlaku walaupun kecil iaitu sekitar satu hingga dua peratus bergantung kepada kedudukan perumahan itu sendiri.

Saya membayangkan bagaimana anak-anak Melayu dan bumiputera hendak memiliki rumah sendiri jika begini trend harga rumah.

Harga rumah lama di Lembah Klang sekarang, kalau 25 tahun lalu berharga RM42,000 kini harganya meningkat daripada RM75,000 hingga RM115,000. Rumah teres tiga bilik yang dibeli 30 tahun lalu pada harga RM28,000 kini mencecah lebih RM260,000.

Apakah anak-anak muda hanya layak untuk membeli rumah lama sahaja?

Setakat ini kita hanya mendengar banyak keluhan pembeli, tapi langkah-langkah memudahkan untuk memiliki rumah belum menyeluruh.

Pembeli tidak boleh hanya mengharap Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) kerana mereka yang layak pun begitu ramai. Kalau golongan berpendapatan rendah dibela untuk membeli rumah, bagaimana golongan berpendapatan sederhana?

Selama berlaku harga rumah mendadak tinggi, hanya digembar-gemburkan kos itu dan ini naik. Rakyat pun ingin tahu, tak mungkin harga simen satu kampit melambung sampai RM200. Begitu juga harga bahan-bahan binaan lain.

Setakat ini rakyat belum diberitahu secara jelas - fakta dan faktor - yang menyebabkan harga rumah melambung.

Perkara yang sering dihebahkan ialah faktor spekulasi harga hartanah. Azman Anuar Utusan/Rencana/20140914

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

Iktibar dan hikmah


Pada usia kanak-kanak, 473,000 murid tahun enam sudah dicemari dengan kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Rata-rata murid menanggung tekanan sementara ibu bapa dan guru resah serta kecewa. Seawal usia itu, generasi tersebut sudah menjadi mangsa kepada isu integriti peperiksaan. Apa yang berlaku, dua subjek bocor iaitu Sains dan Bahasa Inggeris dalam tempoh 48 jam, adalah sejarah hitam dalam pendidikan negara yang kini rancak menjalani tranformasi. Ia cukup memalukan dan seolah-olah kita tidak pernah belajar daripada sejarah. Kejadian soalan peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bocor sudah acap kali berlaku sejak zaman Awang bersekolah lagi. Kini berjangkit pula ke peringkat UPSR. Moga kali ini, semua pihak terutama Kementerian Pendidikan dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan mengambil iktibar. Sudah sampai masanya kita belajar daripada sistem badan peperiksaan negara luar yang lebih efisien, berwibawa dan tidak bocor. Belajarlah, jangan malu.

Sebaik-baik sahaja diketahui berlaku kebocoran peperiksaan UPSR, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan, tanpa berlengah memohon maaf kepada semua. Beliau mengambil tangunggjawab tersebut atas dasar akauntabiliti, walaupun ramai mengharapkan pegawai kanan lain lebih terdahulu berbuat demikian terutama Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak.

Inilah antara beban yang terpaksa dipikul oleh seorang menteri atas sebarang kecuaian dan kelemahan di peringkat bawahan. Tindakan Muhyiddin dengan cepat memohon maaf meredakan sedikit sebanyak ketegangan dan tekanan. Bukan itu sahaja, beliau memperlihatkan ketegasan dan mencari jalan keluar agar kejadian tersebut tidak berulang pada masa depan.

Memandangkan isu ini mempunyai nilai besar dari segi kepentingan awam, diharap siasatan dapat diselesaikan segera. Apa pun pada tahap ini, MPM mesti bertanggungjawab. Tindakan menggantung tugas Dr. Nai'mah dan Timbalan Pengarah Operasi, Dr. Wan Illias Wan Salleh adalah sangat tepat bagi memberi mesej yang jelas kepada semua.

Awang juga tidak faham mengapa tiada set soalan ganti disediakan oleh MPM sebagai pelan kontigensi. Akibatnya, ia membawa implikasi besar daripada soal kos, tenaga guru bahkan soal keyakinan terhadap MPM dan kementerian. Pada tahap sekarang apa yang perlu diberi perhatian besar ialah menyuntik semula semangat dan motivasi kepada murid-murid yang terpaksa mengambil semula peperiksaan dua subjek tersebut pada 30 September. Apa yang terjadi ini mungkin ada hikmahnya. Semua pihak harus bertenang dan lihatlah ke hadapan.

Derhaka

Jika Penasihat PKR, Anwar Ibrahim mahu menjadikan isu calon menteri besar baharu sebagai eksperimen untuk menguji sokongan rakyat ke atas Sultan Selangor, beliau sudah dapat rumusannya. Rakyat negeri itu terutama di akar umbi teguh bersama baginda.

Jika Anwar mahu menguji pula sejauh mana ketegasan Sultan Sharafuddin Idris Shah, beliau telah faham mesejnya. Biarpun ditekan dan diasak oleh PKR dan DAP dalam isu tersebut, baginda tidak goyah. Sekali lagi Sultan Selangor tampil menzahirkan rasa duka cita terhadap kedua-dua parti itu. Malah tindakan PKR dan DAP itu, titah baginda menggambarkan kebiadapan terhadap institusi raja dan suatu perbuatan derhaka. Sudah lebih tiga minggu isu calon menteri besar masih belum dapat diselesaikan kerana Anwar tetap mencalonkan satu nama sahaja iaitu isterinya, Wan Azizah Wan Ismail. Walaupun pelbagai pihak termasuk pemimpin Pas menyifatkan Wan Azizah tidak berkebolehan selain pandangan umum bahawa beliau sekadar boneka Anwar, namun Penasihat PKR itu bermati-matian mahukan isterinya. Boleh diberi jolokan Raja Nepotisme, berbeza daripada Raja Gelek macam M. Daud Kilau.

Tersentak dengan titah Sultan Selangor yang menyifatkan PKR dan DAP derhaka, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memohon ampun sambil menyatakan kesetiaan. Melihat Guan Eng ke hadapan menjaga sensitiviti pada situasi tersebut, barulah Anwar menyusul memohon ampun, itu pun nampak bersyarat. Tidak wajar bagi beliau menggunakan istilah SEANDAINYA bagi memohon ampun ke atas baginda. Awang lihat ia masih dalam lingkungan kebiadapan dan seolah-olah mahu mengajar Sultan Selangor tentang Undang-Undang Tubuh Negeri. Sedangkan Sultan mempunyai kuasa untuk mendapatkan lebih daripada satu nama calon sebagaimana menjadi amalan sejak dahulu lagi dan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan negeri. Perbuatan tersebut boleh ditafsir sebagai membuka lebih luas pintu penderhakaan selain mahu mencorakkan pandangan rakyat agar mempersoalkan kuasa raja.

Semut kecil

Bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad telah menulis surat kepada Awang sebagai respons kepada tulisan dalam ruangan ini dua minggu lalu. Beliau telah memberikan perspektifnya mengapa bertindak menegur Perdana Menteri, Najib Tun Razak secara terbuka.

Sebahagian hujah telah biasa dibaca menerusi laman sosial dan blog beliau.

Awang tidak berhajat untuk menyiarkan surat Dr. Mahathir itu kerana menganggap isu tersebut sudah reda. Lebih-lebih lagi ramai yang 'sejuk' melihat Najib dan Mahathir berjabat tangan pada upacara sambutan Hari Merdeka sambil berharap agar beliau terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri. Apa pun, Awang berterima kasih atas surat tersebut dan menghormati pandangan Dr. Mahathir. Juga menerima dengan baik apa sahaja teguran terhadap Awang, yang umpama semut kecil di tengah-tengah dua ekor gajah.

Boleh pun...

Ramai yang memberikan maklum balas positif terhadap pendekatan baharu pejabat Peguam Negara yang lebih agresif menangani kenyataan-kenyataan bersifat hasutan dan penghinaan di laman sosial. Awang pun bersemangat. Ternyata ketegasan dan kepantasan bertindak seperti budaya penguatkuasaan di Singapura, boleh dilaksanakan di negara ini asalkan ada kemahuan yang tinggi. Paling menarik perhatian ialah kes penyelia tapak binaan, Chow Mun Fai, 37, yang dijatuhi hukuman penjara maksimum satu tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Beliau dituduh menggunakan aplikasi Facebook untuk menghina Ramadan dan Aidilfitri dengan niat menyakitkan hati orang Islam.

Hukuman itu cukup setimpal dengan perbuatannya. Seperti peringatan Hakim Azman Mustapha, ia bukan sahaja menjadi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga peringatan kepada orang ramai supaya tidak berselindung di sebalik kemudahan Internet untuk menyiarkan kata-kata jelik yang mencetuskan kemarahan dan meruntuhkan keharmonian negara. Turut menjadi tumpuan ialah pendakwaan ke atas penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin, 32, atas tuduhan menerbitkan kenyataan menghasut bagi menghina Sultan Selangor, baru-baru ini. Kedua-dua tindakan tersebut memberi mesej jelas yang Awang lihat dapat membantu menangani ancaman ekstremisme melalui laman sosial. Cuma harapan Awang, ia tidak hangat-hangat tahi ayam, sekadar bermusim atau hanya menanti majoriti rakyat bangkit bersuara.

Tiada perubahan

Harapan orang ramai untuk melihat perubahan pucuk pimpinan dalam Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak kesampaian apabila Ahmad Ismail mengekalkan jawatan Presiden yang disandang lebih 12 tahun. Keputusan pemilihan PSM itu disambut muram oleh para peminat sukan sepaktakraw termasuk ramai ikon sukan itu yang mahukan pembaharuan. Semua orang tahu, prestasi sepaktakraw negara jatuh dan terus jatuh sehingga menjadi pasukan belasahan negara yang bukan dalam lingkungan tradisi sukan itu.

Setakat ini, tiada tanda-tanda pencapaian skuad negara akan melonjak malah makin buruk dalam setiap temasya yang disertainya. Namun Awang akur dan hormati keputusan pemilihan semalam. Harapan rakyat dan politik persatuan sukan, adalah dua perkara berbeza. Semoga Ahmad akan mengubah nasib sukan sepaktakraw negara sepenggal lagi (2014-2017), yang reaksi awal - ramai senyum sinikal. Tafsirkanlah sendiri.

Tahniah pengantin

Awang ingin mengucapkan tahniah kepada seorang sahabat, Azhar Abdul Malek yang melangsungkan pernikahannya bersama wanita pilihan, Mek Nik Taib di ibu negara, semalam. Selamat pengantin baharu. Inilah perkahwinan pertama Azhar, 50 ketika hampir semua rakannya sudah berumah tangga malah ada yang telah bercucu.

Yang membuatkan Awang teruja untuk menzahirkan rasa syukur dalam ruangan ini bukanlah semata-mata kerana statusnya yang begitu lama membujang tetapi lebih daripada itu.

Azhar dikenali dalam kalangan rakan dan jiran tetangga sebagai seorang anak yang memuliakan ibunya. Dia sanggup berhenti kerja di bank semata-mata mahu menjaga sepenuh masa ibunya yang sudah lama lumpuh dan terlantar uzur.

Soal mencari teman hidup sudah menjadi perkiraan terkemudian. Masa, wang dan kudratnya hanya untuk ibu. Azhar tidak pernah merungut bahkan tidak menganggap ia suatu pengorbanan, sekadar menginsafi itu tanggungjawab seorang anak. Akhirnya, jodoh Azhar tiba jua, biarpun lewat. Alhamdulillah. Sebaik-baik sahaja upacara akad nikah selesai, ada teman yang hadir kelihatan bergenang air mata - hiba dan syahdu buat insan yang benar-benar telah berbakti kepada ibunya.   Utusan/Rencana/20140914

'Melayu perlu jujur, ubah mentaliti'

SETIAP kali berkesempatan mewawancara bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau tidak pernah berhenti daripada membicarakan tentang nasib dan masa depan orang Melayu.

Jelas bagi beliau walaupun sering sahaja mengkritik pedas tentang sikap dan mentaliti orang Melayu, namun itu semua hanyalah ingatan dan nasihat ikhlas beliau yang tetap berusaha mahu melihat bangsa yang disayanginya itu maju dan berkemampuan seperti bangsa-bangsa hebat lain.

Wartawan Mingguan Malaysia AZMAN ANUAR, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI yang menemubual beliau Jumaat lalu, Dr. Mahathir tetap menekankan supaya orang Melayu lebih rajin, ikhlas dan menguasai bahasa Inggeris supaya nasib mereka lebih terbela bukan sahaja di bumi sendiri tetapi juga di peringkat antarabangsa.

MINGGUAN: Semasa Tun hendak melepaskan jawatan Perdana Menteri, antara faktornya kerana Tun gagal mengubah sikap dan budaya orang Melayu. Setelah 11 tahun berlalu, bagaimana Tun melihat minda orang Melayu sekarang?

MAHATHIR: Saya bukan letak jawatan pasal saya gagal untuk mengubah minda orang Melayu tetapi sebab sudah terlalu lama. Sebenarnya banyak lagi kerja hendak kena buat tetapi kalau kita duduk terlalu lama, orang naik bosan. Ada orang bercakap bila lagi orang tua ini hendak pergi. Sebab itu saya letak jawatan. Kalau saya boleh, saya masih hendak berusaha tukar minda orang Melayu kerana bagi saya - berjaya atau tidak seseorang atau sesuatu bangsa atau negara, bergantung kepada nilai hidup yang dia pegang dan dia amal. Bukan pegang, amal sama. Antara terima dengan amal, berlainan. Kita terima, kita tahu ini baik, ini tidak baik. Kadang-kadang kita larang yang ini jangan buat, kita buat juga. Tidak apa, orang tidak tahu. Itu yang jadi masalah.

Saya punya fokus satu sahaja. Yang pertama, rajin. Rajin bekerja dan dalam apa kerja pun kita buat, mesti rajin. Sebab itu, saya cuba tunjuk masa saya jadi Perdana Menteri, 'Kepimpinan Melalui Teladan.' Kalau pemimpin malas, jangan harap orang yang di belakang dia hendak jadi rajin. Sebab itu, saya kerja lebih daripada orang lain. Ini sudah pencen 11 tahun. Saya mula kerja bila orang lain pencen, umur 56. Orang lain (umur) 56 berhenti kerja. Saya umur 56 mula kerja (jadi Perdana Menteri). Lepas itu, hendak kena tunjuk kepada orang pula, kena kerja, mesti kerja kuat. Siang malam saya kerja. Saya sebagai Perdana Menteri, tidak ada 'time' (waktu kerja) pukul 8 (pagi) sampai 5 (petang) atau pukul 9 (pagi) sampai 4 (petang). Tidak ada. Bagi saya, sepanjang masa, saya Perdana Menteri. Keluarga pun tidak ada (masa).

Sebab itu saya, kadang-kadang orang tanya, macam mana baharu balik dari luar negeri, tiba-tiba kerja. Pergi luar negeri, hari ini saya sampai, hari itu juga saya kerja atau esok saya kerja. Dahulu kalau pergi luar negeri, balik kena cuti dua minggu. Itu membazir. Sebab itu saya hendak tunjuk, tidak mati dengan kerja kuat. Mati kerana lain, bukan kerana kerja kuat.

Melihat kepada suasana sekarang, adakah Tun melihat orang Melayu masih belum rajin?

MAHATHIR: Belum rajin. Umpamanya tidak rajin belajar. Kalau kita pergi universiti, 70 peratus perempuan. Budak-budak jantan (lelaki), apa dia buat? Jadi mat rempit. Itu saya kata tidak rajin. Bila pergi universiti pula, tidak belajar betul-betul. Tidak baca buku, baca setakat disuruh sahaja. Cuti sekolah pun macam itu. Masa zaman dahulu, bila naik 'standard' (kelas), dapat buku teks baharu, saya habiskan buku teks itu tidak sampai sebulan. Ini baca setakat itu sahaja. Sepatutnya, kalau kita hendak dapat pengetahuan, kita tidak boleh baca buku teks sahaja. Kena baca macam-macam buku. Saya baca berpuluh buku terutama dalam bahasa Inggeris.

Saya malu, budak-budak Cina belajar tiga bahasa tetapi cakap bahasa Inggeris lebih fasih daripada budak-budak Melayu. Kita belajar dua bahasa sahaja, Melayu dengan Inggeris tetapi orang-orang Melayu cakap cukuplah apa hendak belajar Inggeris lagi. Cara hendak belajar Inggeris dengan membaca. Saya bukan tahu sangat grammar (tatabahasa) ini semua. Saya baca banyak. Jadi, bila saya tulis sesuatu, saya berasa tidak kena pasal sudah baca buku bahasa Inggeris. Kalau kita baca buku banyak, rajin dan kalau boleh, kita kena sebut apa yang kita baca. Bukan baca sahaja. Insya-Allah kita akan menguasai bahasa Inggeris dengan mudah. Kita seronok pula sebab kita baca buku cerita. Dalam bahasa Inggeris, banyak buku cerita. Kadang-kadang kita pegang itu, kita mula baca, hendak berhenti tidak boleh pasal seronok. Dia pandai atur. Dari bab ini kepada bab ini, ada sesuatu yang kita tertanya-tanya apa jadi. Kalau tidak baca lagi, tidak dapat jawapan.

Apabila saya kena kendali krisis kewangan hari itu (1998), saya tidak tahu pasal perbankan. Saya kena belajar pasal perbankan, kena baca buku pasal perbankan. Kalau kita rajin baca dan kalau kita boleh baca, orang Kedah kata derah-derah (nada kuat), mereka boleh acquire (dapat). Mungkin sebutan kita tidak kena tetapi sekarang ini kita boleh tengok televisyen dan dengar. Kalau kita ambil cakera padat yang ajar bahasa, kita boleh tahu macam mana hendak sebut sesuatu perkataan. Orang putih ini tidak pandai eja. Dia eja lagu lain tetapi sebut lagu lain, tidak sebagaimana kita. Kalau kita tidak dengar mereka bercakap, kita tidak tahu cakap.

Tun berusaha laksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tetapi sudah pun dimansuhkan. Sekarang pula, kerajaan menetapkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mesti lulus Bahasa Inggeris dan pelajar universiti mesti lulus Bahasa Inggeris sebelum tamat pengajian. Macam mana Tun melihat perubahan dasar untuk mengukuhkan bahasa Inggeris?

MAHATHIR: Kita pisahkan, satu penguasaan bahasa, satu penguasaan ilmu. Kita pergi ke sekolah, bukan hendak belajar bahasa sahaja. Baik bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Kita hendak dapat ilmu. Ilmu yang kita dapat itu, yang datang kepada kita, kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Dalam primary level, adalah dalam bahasa Melayu tetapi dalam bidang sains dan matematik, ini jenis ilmu yang bergerak. Ia bukan statik. Ilmu lain statik macam Geografi dan Sejarah. Macam sejarah, kalau tahun ini ada peperangan, dia tidak boleh tukar tahun lain. Geografi pula, kalau negeri itu sempadan ia macam itu, tidak tukar. Tetapi sains, tiap-tiap hari ada orang buat penyelidikan dan dia keluar keputusan penyelidikan. Kalau cari dalam buku tidak ada, kena baca. Jadi, kalau kita tidak tahu bahasa Inggeris macam mana kerana semua kertas penyelidikan datang kepada kita dalam bahasa Inggeris, tidak datang dalam bahasa Melayu. Sebab itu, saya perkenal pembelajaran Bahasa Inggeris dalam dua subjek. Yang lain semua tidak ada dalam bahasa Melayu sebab tidak berubah. Sekarang kegunaan matematik begitu terkehadapan.

Kalau hendak hantar seseorang ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), kena tahu matematik sebab tapak pelancaran ini bergerak. Sebab itu, matematik amat penting, sains amat penting dan ini adalah ilmu yang bertambah setiap hari. Penggunaan kalkulator umpamanya, kita dahulu tulis dalam banyak huruf. Kita punya Jawi 36 dan rumi kurang sedikit tetapi kita guna nombor binari yang boleh eja sebarang. Kita kena belajar pasal ini. Kalau tidak macam mana, dalam kalkulator kita, kita tekan-tekan nombor, ia keluar nombor. Ia pakai nombor binari. Bila kita tekan, kuncinya cuma ya atau tidak sahaja, 'zero and one' (0 dan 1) tetapi dengan 0 dan 1, kita boleh eja lebih banyak benda daripada menggunakan abjad. Kita guna abjad, kita tidak boleh eja semua. Umpamanya, cakera padat video (VCD) kamu. Kamu dengar suara dengan gambar itu sempurna sebab setiap satu benda, setiap satu warna, ia ada kodnya, hanya 1010110. Ini nombor binari. Kita tidak faham benda ini.

Dalam dunia yang guna nombor binari yang boleh hasilkan komputer dan telefon. Telefon merupakan satu benda yang hebat. Dahulu kita ada stesen penyiaran. Buat rumah besar dan macam-macam kita pasang, hendak buat penyiaran dan kita ada radio hendak dengar. Sekarang dalam poket kamu, ada stesen penyiaran dan stesen penerima. Ini hasil daripada nombor binari dan sains. Kita tidak jadi orang putih kalau guna bahasa Inggeris. Saya jadi orang Melayu, lebih Melayu daripada kebanyakan orang Melayu lain.

Mengenai mesti lulus Bahasa Inggeris dalam SPM, kena belajar kalau tidak, kita tidak lulus, apa guna kita belajar. Kena ada sukatannya. Kalau kita duduk darjah satu dengan darjah lain, tentulah ada sukatan. Kalau tidak ada sukatan, macam mana kita hendak tahu. Kita juga harus ingat, hari ini bahasa dunia ialah bahasa Inggeris. Kita perlu tahu bahasa kita tetapi kita perlu tahu bahasa Inggeris. Dalam dunia sekarang, manusia mesti ada dua bahasa iaitu bahasa ibunda dan bahasa ilmu. Bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu. Bila dia (kerajaan) kata kena lulus Bahasa Inggeris, saya sokong.

Baru-baru ini, ada 300 pemohon minta kerja di Cyberjaya. Dia ditanya dalam bahasa Inggeris tetapi minta tanya "boleh tak tanya dalam bahasa Melayu." Jadi gagallah dia, sebab orang itu hendak guna bahasa Inggeris tetapi kamu tidak faham bahasa Inggeris. Jadi dalam 300 orang, cuma tiga orang dapat kerja. Tetapi daripada 300 orang ini, apabila diberi kursus dalam bahasa Inggeris sehingga dia boleh tulis dan bercakap, dapat kerja. Hakikatnya ialah bahasa Inggeris ialah bahasa untuk kita dapat kerja dan pendapatan bagi kita. Bukan bermakna bahawa kalau kita guna bahasa Melayu, kita tidak Melayu, kita masih Melayu. Saya masih Melayu walaupun saya boleh guna bahasa Inggeris, saya ingat baik juga, bolehlah hendak bercakap dengan siapa pun dan buat ucapan pun boleh tetapi saya tidak jadi orang putih. Ini bila cakap sahaja, kata kita semua hendak bahasa Melayu. Saya ingat rugi dan bangsa kita boleh jadi bangsa yang hanya boleh bercakap tetapi bodoh. Kalau macam itu tidak apalah, tetapi semasa saya jadi Perdana Menteri, saya tidak mahu orang Melayu jadi bodoh.

Tun ada kata kaum Melayu masih kurang integriti dan bersifat malas, adakah begitu teruk pada pandangan Tun sendiri atau sudah banyak berubah berbanding dahulu?

MAHATHIR: Kalau banding dengan orang yang lebih malas, diri kita tidak teruklah. Tetapi kita kena banding diri kita dan mesti kena bersaing dengan orang, orang lain kerja kuat tetapi kita tidak kerja kuat. Kalau kita banding dengan orang malas, kita rajin tetapi kalau kita banding dengan orang lebih rajin, kita malas. Kita sekarang berlumba. Kalau kita datang daripada belakang dengan sama kelajuan dengan orang di depan, kita tidak boleh catch up (kejar). Kalau kita lebih perlahan, kita semakin lama semakin jauh. Jadi, kita kena lebih cepat daripada orang yang di hadapan kita. Kalau tidak, sampai bila kita tidak dapat kejar. Kita kena kerja lebih tekun, lebih kuat dan lebih rajin. Macam saya perkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pasal saya perhati orang Jepun rajin bekerja. Kalau kena masuk kerja pukul 8 pagi, dia datang pukul 7.30 pagi. Masa kita perkenalkan etika kerja Jepun dalam Proton, pekerja datang awal, runding sesama mereka tentang apa sasaran hari ini dan apabila masuk waktu kerja, dia masuk kerja. Masa saya makan tempura, saya perhati orang Jepun tidak pernah duduk diam. Dia basuh yang ini dan gilap yang itu. Hendak kata dia duduk melanguk, tidak ada. Tetapi kita, tidak ada apa kerja, hisap rokok dahululah. Orang yang bekerja ada sahaja kerja. Kalau berjalan pun, dia berjalan cepat. Dia tidak ada berjalan mundar-mandir.

Generasi sekarang dibekal dengan kemudahan teknologi yang menyebabkan orang menjadi lebih malas. Adakah orang Melayu boleh bersaing?

MAHATHIR: Teknologi tidak menjadikan kita malas. Teknologi hanya memudahkan proses. Kalau mudah, kita boleh buat lebih kerja berbanding tidak ada teknologi. Kalau hendak kabad (karbaid) pokok, tidak ada tangga susah sedikitlah. Kalau ada, boleh naik lima pokok sehari atau lebih banyak lagi. Itu teknologi bukan mengurangkan beban kerja tetapi meningkatkan beban kerja pasal teknologi mempermudahkan proses. Ini kita tidak faham. Tengok sekarang orang guna telefon, dahulu hendak telefon hendak cari rumah dan dail. Kita boleh telefon sehari 10 kali mungkin. Sekarang kita boleh telefon sehari 100 kali. Ini teknologi. Bukan bermakna kita jadi lebih malas tetapi kita lebih produktif kerana ada teknologi. Kamu tidak harus jadi lebih malas tetapi harus jadi lebih produktif. Kalau hendak kejar ilmu sekarang, dalam telefon pintar ada ilmu. Semua ada. Tinggal lagi kena tekan. Kalau malas hendak tekan yang itu, kamu tidak dapat ilmu. Ini orang Melayu belum faham. Bukan bermakna dengan ada teknologi, kerja kita jadi ringan, sebaliknya dengan kerja kita ringan, kita boleh buat lebih kerja.

Jadi Tun yakin teknologi ini akan membantu orang Melayu jadi lebih berjaya?

MAHATHIR: Dia mesti rajin. Kena rajin belajar macam mana hendak guna teknologi. Dia boleh buat kerja lebih banyak daripada dahulu. Dahulu kalau hendak bercakap dengan satu orang, kena naik motokar pergi jumpa orang itu. Sekarang sudah tidak ada, cakap sahaja. Kamu boleh kendalikan satu syarikat tanpa perlu keluar rumah. Bukan bermakna kita malas duduk di rumah tetapi kita buat kerja di rumah. Kita kena rajin guna masa untuk produktiviti pengeluaran yang lebih banyak kerana kemudahan.

Kedua, berkenaan kejujuran, ikhlas dan amanah. Sekarang ini saya ada kedai roti. Saya hendak kata terus terang, saya amat malu kerana di antara pekerja Melayu, Cina atau Myanmar atau mana-mana, pekerja Melayu kadang-kadang kalau tengok duit, dia lupa, dia tak jujur. Dia nampak duit, kalau boleh sapu, dia sapu. Saya kena buang banyak orang Melayu kerana sikap ijni. Orang Cina tidak begini. Kita orang Islam. Kita tahu apa makna amanah, apa makna ikhlas. Kalau kita janji buat kerja betul, kita kena buat. Ada seorang kita lantik jadi pengurus, dia cuba kongsi dengan pekerja-pekerja, kalau buat macam ini (menipu), kita boleh sapu duit. Pekerja beritahu kita, kita buang dia. Ada juga jadi pengurus, duit dapat, tidak masuk dalam bank, sapu. Ada yang bila jual barang, dia jual barang terima duit tetapi dia rekod jualan itu batal, duit dia ambil. Ini berlaku. Tidak ada amanah.

Kalau kita ada amanah, apabila kita hendak hutang duit, orang akan beri sebab orang tahu kita akan bayar. Berapa banyak orang Melayu bila hutang, tidak bayar. Dapat biasiswa, tidak bayar balik. Bukan tidak ada duit, tetapi tidak bayar. Kita kena amanah. Apabila kita amanah, kita hutang kita bayar, orang punya duit kita urus dengan baik, kita tidak curi, orang Melayu akan jadi cukup berjaya. Kita mesti amanah supaya apabila orang beri kontrak kepada kita. Kita hendak beri kontrak, kita beri kepada Cina sebab kita tahu dia buat elok. Ini kelemahan kita, tidak amanah. Saya tidak pernah hendak tipu diri. Kalau malas, saya kata malas. Kalau orang tidak suka, tidak sukalah. Sepanjang saya jadi Presiden UMNO, saya berleter sepanjang masa.

Macam mana dengan penglibatan orang Melayu Islam dalam aktiviti jihad. Sekarang mereka sudah berani pergi ke negara lain untuk berperang dengan orang Islam sendiri. Apa pandangan Tun?

MAHATHIR: Ia bermula dengan ajaran Islam yang salah. Apa kita belajar dalam bidang agama? Macam mana hendak sembahyang, puasa, zakat, buat kerja haji. Yang ini kita kata wajib. Tetapi Islam adalah ad-din, cara hidup. Dalam cara hidup itu ada banyak perkara yang dilarang dan banyak perkara disuruh. Yang ini tidak ajar. Umpamanya dalam al-Quran disebut, orang Islam tidak boleh bunuh orang terutamanya orang Islam lain.

Kita tidak boleh persoal keislaman atau taraf keislaman orang semata-mata kerana dia berbeza sedikit daripada kita. Ya, kita tidak suka orang Syiah datang sini. Kita tidak ada masalah. Alhamdulillah, kita semua orang Melayu, Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut Imam Syafie. Imam Syafie cukup ketat. Kita tidak tolak Maliki, Hambali dan Hanafi tetapi kita tolak Syiah. Kita tidak bersetuju dengan dia, kita tidak mahu dia datang sini tetapi kita tidak boleh kata dia ini kafir. Ini sudah sampai kepada satu tahap, orang Syiah ini kafir, kita bunuh dia. Itu salah. Dia mengucap dua kalimah syahadah, dia sembahyang, dia terima nabi, dia terima Allah SWT. Sebab itu saya kata sebabnya orang ini pergi berjihad kerana tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Sebaliknya, mereka ajar supaya orang Islam bermusuh dengan orang Islam.

Orang ini kata, Oh! Jihad. Bunuh orang Islam jihad. Kamu berdosa dan kamu akan pergi ke neraka pasal kamu bunuh orang Islam. Kamu tengok macam mana mereka bunuh. Letak berderet, tembak dengan pistol. Adilkah? Tidak ada bicara dan tidak ada apa. Islam mengutamakan keadilan. Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Berkali-kali disebut dalam al-Quran. Adilkah dengan tidak ada bicara, kamu bunuh dia kononnya dia bukan Islam. Tetapi orang Syiah yang dibunuh ini semua sembahyang dan orang Syiah pula bunuh orang Sunni. Di mana dalam al-Quran, disuruh Syiah dengan Sunni ini berperang. Dalam al-Quran, ada satu Islam sahaja. Kita yang buat tiga Islam, empat Islam. Sekarang ini, ada 1,000 Islam. Islam `Ayah Pin' pun ada. Benda ini semua tidak betul.aya tidak jadi orang putih.   Utusan/Rencana/20140914

Obses gred 'A', ranking dan integriti

ISU berkenaan soalan Sains dan Bahasa Inggeris dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bocor menjadi bualan hangat pada masa ini. Biarkanlah pihak yang berwajib menjalankan tugas mereka untuk menyiasat siapakah dalang di sebalik kejadian ini.

Namun setiap isu yang berlaku pasti ada hikmah dan kita perlu mengambil ibrah daripada apa yang berlaku sebagai sempadan agar perkara yang sama tidak berulang.

Sejak dari bangku sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti, gred A merupakan idaman dan matlamat setiap individu yang bergelar pelajar. Sebahagian besar ibu bapa juga sanggup berbelanja besar untuk menghantar anak ke pusat tuisyen bagi memastikan anak mereka mendapat gred A bagi semua mata pelajaran kerana hanya dengan 5A akan menjamin tempat mereka untuk ke sekolah berasrama penuh.

Dalam banyak peperiksaan, UPSR dianggap peperiksaan 'hidup atau mati' bagi sesetengah daripada masyarakat kita.



CALON UPSR perlu kembali ke bilik peperiksaan untuk menjawab kertas Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini. - Gambar hiasan.

Itulah sistem kita yang ada pada hari ini, seandainya seseorang pelajar itu cemerlang sepanjang tahun sehingga peperiksaan percubaan tetapi jika dalam UPSR dia tidak mendapat kesemua A maka pelajar tersebut tidak boleh memohon untuk memasuki sekolah berasrama penuh.

Oleh sebab itulah 'memaksa' semua pihak terlalu obses untuk mendapatkan gred A bagi setiap mata pelajaran yang diambil dan bukannya kepada pencapaian holistik yang benar-benar membina individu yang kamil secara keseluruhannya.

Pihak sekolah termasuk guru-guru dan pentadbiran akan merasa bangga jika ramai muridnya mendapat 5A. Malah, ranking dan prestasi akan dinilai berdasarkan gred yang diperolehi oleh murid.

Apabila keputusan diumumkan semua mata tertumpu untuk mengetahui sekolah mana yang mendapat tempat terbaik di Malaysia, sekolah mana yang terbaik dalam negeri dan sebagainya. Sekolah yang mendapat tempat yang kurang baik akan merasa rendah diri.

Oleh kerana sistem atau proses yang ada begitu menjulang ranking dan prestasi berdasarkan keputusan gred maka pihak yang berkenaan akan terlalu obses untuk memastikan murid-murid mereka mendapat gred A.

Dalam keghairahan kita mengejar gred A, ranking dan prestasi, kita kadang-kadang terlupa soal integriti dan nilai kejujuran serta nilai-nilai murni yang perlu kita tanamkan dalam setiap diri anak-anak.

Tidak perlu kita menuding jari kepada mana-mana pihak mencari siapa yang harus dipersalahkan? Ibu bapa juga kadang-kadang alpa dalam mencorak masa depan anak-anak sehinggakan kita sanggup mencari soalan ramalan, 'soalan bocor' dan sebagainya sehingga terlupa apalah ertinya 5A kalau sekadar anak-anak menghafal, membuat latih tubi soalan ramalan dan akibatnya ada sesetengah pelajar tidak boleh mengekalkan prestasi mereka apabila melangkah ke peringkat menengah.

Sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata ternyata akan 'membunuh' kreativiti dan minda anak-anak kita kerana fikiran mereka diracuni dengan hanya fokus kepada peperiksaan dan gred A semata-mata.

Pihak sekolah juga kadang kala alpa dalam menjaga ranking dan prestasi sehingga kita sanggup melakukan apa sahaja, tetapi yang menjadi mangsa ialah mereka yang betul-betul menumpukan kepada peperiksaan tanpa ambil peduli soalan ramalan, bocor dan sebagainya. Dek kerana seekor atau dua kerbau membawa lumpur habis terpalit kesemuanya.

Integriti dan kejujuran sangat penting ditanam dalam diri kita terutamanya anak-anak. Generasi anak-anak ini merupakan generasi pelapis yang akan menerajui negara suatu hari nanti.

Tertipu

Jangan kita dibutakan dengan sistem yang mementingkan gred dan ranking sehingga terlupa soal integriti yang lebih penting daripada segalanya. Bayangkan jika pelajar ini berjaya dengan soalan bocor dan seterusnya suatu hari nanti mendapat pekerjaan hasil daripada soalan bocor, rezeki yang tidak berkat itu bukan sahaja dimakan oleh mereka tetapi seluruh keluarga mereka. Siapa yang akan bertanggungjawab dan menjawab di akhirat kelak?

Apa yang penting sekarang kita semua terutamanya guru-guru, guru-guru kaunseling, ibu bapa dan masyarakat harus menenangkan seramai 473,175 orang calon UPSR 2014. Pastinya ada sebahagian daripada mereka yang tertekan, rasa kecewa, rasa tertipu dan sebagainya. Bantu mereka untuk menduduki peperiksaan semula untuk subjek Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September nanti dengan tenang.

Sudah sampai masanya sistem kemasukan ke sekolah berasrama penuh perlu diubah yang bukan sahaja dinilai berdasarkan gred tetapi gred hanyalah sebagai salah satu syarat. Perlu juga dinilai keputusan percubaan murid, laporan dan cadangan daripada pihak sekolah serta satu ujian saringan khas. Ini untuk mengelakkan pelajar yang tidak berkebolehan semasa peperiksaan disebabkan perkara tertentu, tercicir sedangkan mereka sebenarnya cemerlang.

Kita semua perlu ingat, gagal UPSR bukan bererti dunia sudah kiamat. Belum ada sejarah murid yang mendapat 5A terus menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO), terus menjadi doktor, peguam, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Sebaliknya ada yang tidak cemerlang semasa UPSR tetapi bangkit daripada kegagalan dan akhirnya mereka berjaya di peringkat universiti.

Perjalanan hidup anak-anak kita masih jauh, jangan kita terlalu jumud dan dibutakan oleh sistem yang kita cipta. Berlapang dadalah dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT walaupun anak-anak kita tidak mendapat keputusan cemerlang. Bersamalah kita menegakkan dan menanamkan sifat integriti kerana nilai kejujuran dan integriti ini telah lama dibocorkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 27 yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan rasulnya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diserahkan kepada kamu, sedang kamu mengetahui."

Junjunglah tugas yang diberikan sebagai satu amanah dengan penuh integriti kerana integriti bukan satu opsyen tetapi wajib diamalkan dalam memikul amanah Allah SWT yang diberikan. Kegagalan mengamalkan integriti mengakibatkan pelbagai masalah timbul dan berlakulah apa yang terjadi pada hari ini. Jangan disebabkan nilai setitik, habis rosak susu sebelanga. Jangan sampai matlamat menghalalkan cara. Dr. Mohammad Ismail  ialah Prof. Madya dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Utusan/Rencana/20140914

UPSR bocor: Empat guru ditahan di Pulau Pinang, Perak

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat guru, masing-masing tiga di Pulau Pinang dan seorang di Parit Buntar, Perak hari ini berhubung kes kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi subjek Sains dan Bahasa Inggeris.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata tiga guru lelaki dan seorang guru wanita itu ditahan dalam operasi yang bermula kira-kira jam 3.30 petang tadi.

"Sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPPKL) membuat serbuan di kawasan utara dan menangkap empat orang guru iaitu tiga lelaki dan seorang wanita.

"Semua mereka berumur dalam lingkungan 30 hingga 54 tahun. Tiga ditahan di Pulau Pinang dan seorang di Perak. Polis turut merampas gajet komunikasi dalam serbuan itu untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Setakat ini, seramai 10 individu sudah diambil keterangan yang terdiri daripada enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), seorang wartawan dan tiga guru.

Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan selepas murid menduduki peperiksaan itu Khamis lalu manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 turut ditangguhkan.

LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan Pengarah LPM, Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi LPM, Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas peperiksaan itu selesai. Berita Harian Jenayah AHAD, 14 SEPTEMBER 2014 @ 6:56 PM