September 16th, 2014

Mendalami watak dan sifat jiwa merdeka

SABAN tahun, sejak 1957, rakyat Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan Negara pada penghujung Ogos.


Beberapa tahun kebelakangan ini, tempoh keraian tersebut merangkum bulan September, sempena peringatan ulang tahun penubuhan rasmi Malaysia.

Selain acara-acara peringatan tersebut, yang sering berupa pesta raya, turut sesekali kedengaran penegasan bahawa kemerdekaan hakiki ialah kebebasan budi pekerti dan kemandirian akal-fikri dalam menentukan hala tuju diri sendiri.

Malang sekali sekiranya keriangan berbentuk pesta itu acap kali meminggirkan atau menenggelamkan ragam sambutan yang lebih menampilkan serta mengingatkan kandungan batin kemerdekaan.

Kemerdekaan yang lebih bersifat dalaman itu, meskipun pasti akan zahir terjelma pada pelbagai wajah perlakuan luaran, sesungguhnya merujuk kepada akal insan.

Dalam Islam, sebagaimana yang dihuraikan kitab-kitab akidah tasawwuf muktabar, akal itu mata hati insan; akal itu ilmu insan; dan akal itu juga diri insan.

Maka, bagi memberi makna yang betul kepada kemerdekaan agar sentiasa disedari, dihargai dan dipelihara supaya terus berpanjangan, pengisian yang bersifat akliah dan bercirikan pemikiran perlu diperhebatkan.

Pengisian akliah dan pemikiran yang dimaksudkan di atas itu pasti melibatkan usaha melakukan muhasabah terhadap sebarang langkah dan usaha kita selama ini dalam memastikan bangsa kita merdeka zahir dan batin, bebas dalam berfikir sekali gus bertindak.

Tanpa dapat dinafikan, pendidikan dalam pelbagai bentuk dan pada tahap-tahap yang berbeza merupakan wahana terbaik untuk menjamin kemerdekaan yang menyeluruh itu.

Sejak sekian lama, kerajaan Malaysia yang bertunjangkan bangsa Melayu-Islam dan berpendekatan persepakatan dan muhibah antara pelbagai suku bangsa dan anutan agama, serius memperhebatkan mutu pendidikan.

Malah, disebabkan pendidikan yang tuntas dan seimbang didasari dan berpaksikan pemupukan akal budi, maka akhir-akhir ini penekanan semakin ketara diberikan terhadap pengasuhan akal dan penajaman fikiran, sebagaimana yang terzahir pada usaha pemupukan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam pendidikan rendah serta menengah dan seterusnya pada peringkat pengajian tinggi.

Namun, agar usaha tersebut betul-betul dapat memperhebatkan mutu akal generasi pewaris demi kelangsungan kemerdekaan yang penuh bermakna, langkah serta usaha yang diambil kerajaan itu, khasnya Kementerian Pendidikan, perlu dicirikan oleh sifat-sifat akal yang merdeka.

Soalnya, bagaimanakah dapat kita atau pihak-pihak berkepentingan tahu bahawa langkah-langkah sedemikian itu terhasil daripada diri yang merdeka?

Dalam hal ini, sekurang-kurangnya dua soalan berikut perlu dijawab dengan ikhlas dan jujur oleh pihak-pihak yang terlibat:

Pertama, apakah langkah-langkah yang diambil itu - seperti pengisytiharan 2010 sebagai Tahun Kreativiti dan Inovasi Malaysia (selepas pemasyhuran 2009 sebagai Tahun Kreativiti dan Inovasi Eropah oleh Kesatuan Eropah), penggalakan Strategi Lautan Biru, penekanan terhadap KBAT, pengembalian jiwa Institusi Pengajian Tinggi dan seumpamanya - terhasil daripada usaha penelitian dan pemikiran asli para pengkaji dan perancang dalam Malaysia, ataupun sebenarnya lebih terikut-ikut apa yang sedang giat dicanang dan diusahakan oleh pihak-pihak lain di luar negara?

Meskipun tidak salah dalam mencontohi apa sahaja yang baik dan bermanfaat, namun perlu disedari dan diakui, usaha mencontohi itu sebenarnya usaha menuruti (yang lebih sesuai dengan sifat taqlid) dan sama sekali berbeza dengan usaha meneroka, merekacipta dan merintis yang semuanya lebih mencirikan akal yang merdeka!

Kedua, sekiranya memang patut kita menuruti suri teladan yang baik daripada luar, maka apakah pelaksanaan contoh teladan tersebut juga lebih bersifat pinjaman semata-mata dari luar (dengan segala istilah yang menggemparkan!) atau lebih bercirikan ubah suai yang sangat bertepatan dengan matlamat, tuntutan dan sifat pembawaan kita sendiri?

Yang pasti, baik yang diusahakan itu asli mahupun satu pengubahsuaian yang serasi dengan diri sendiri, kedua-duanya menuntut agar diri sendiri terlebih dahulu dikenali dan difahami dengan baik. Malah, akal yang sihat pasti menuntut agar semua itu perlu berpadanan dengan diri yang bakal mengalaminya kerana baik buruknya, sama ada yang segera ataupun yang kemudian, yang kelihatan mahupun yang tersembunyi, akan ditanggung oleh diri yang berkenaan itu.

Merujuk kepada KBAT dan orang Islam, misalnya, malang sekali sekiranya ilmu berfikir pelbagai bentuk yang giat lagi halus yang sudah sedia sebati dalam pengajaran dan pembelajaran akidah - sebagaimana yang dipamerkan dalam karya-karya utama jurusan tersebut seperti Sharh al-Aqa'id al-Nasafiyyah, Sharh al-Mawaqif dan Sharh al-Maqasid - sama sekali tiada diketahui; atau jika disedari sekalipun, tidak pula dipedulikan dan betul-betul dikaji agar yang salah dapat diperbaiki, yang kurang dapat ditambahi, yang kuat makin diperkasakan, manakala yang kabur tambah diterangi.

Kurangnya kesedaran, ataupun melatanya kejahilan yang sedemikian bukannya sifat jiwa merdeka, sebaliknya alamat lupa diri atau lebih parah lagi, watak jiwa hamba nan kerdil yang hina menuruti!

Pandangan IKIM  ialah Felo Utama yang juga Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), IKIM. Utusan/Rencana/20140915

Saya anak Malaysia! Selamat Hari Malaysia!

HARI ini 16 September, Hari Malaysia.

Menariknya bumi bertuah bernama Malaysia ini kerana kita menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu - iaitu hari pembebasan negara daripada belenggu penjajah.

Dan hari ini seluruh negara meraikan satu lagi tarikh yang cukup bermakna iaitu detik penggabungan Sabah dan Sarawak dengan Tanah Melayu yang memungkinkan kewujudan nama Malaysia.

Tidak kiralah bagaimana cara kita meraikannya, sama ada turut serta dalam acara sambutan yang dianjurkan, menyaksikan lintas langsung di kaca televisyen atau mengambil kesempatan daripada cuti umum dengan keluar beriadah bersama teman dan keluarga mahupun sekadar lepak-lepak di rumah - yang pastinya kita ialah warga yang merdeka dan bebas berbuat apa sahaja (asalkan tidak menyalahi undang-undang negara).

Tidak seperti kita, malang bagi rakyat sesetengah negara kerana tidak mengecap erti merdeka. Penduduk Palestin di Gaza, Rohingya di Rakhine, Myanmar, etnik Uighur di China dan penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah di Iraq, ialah antara yang tidak mengenal erti kebebasan hidup sebagai warganegara.

Tanah air mereka bukan milik mereka. Kampung halaman bahkan rumah mereka bukan lagi syurga. Ramai yang terpaksa hidup sebagai pelarian di negara sendiri.

Kita bersyukur kerana selepas 57 tahun merdeka dan 51 tahun membentuk Malaysia, negara tercinta ini terus aman dan makmur di bawah pemerintahan yang stabil berpayungkan Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun ada episod berdarah yang menggugat keamanan dan kestabilan negara, Malaysia berjaya membentengi dan mempertahankan ibu pertiwi daripada terjebak ke kancah pergolakan.

Justeru sebarang anasir jahat yang cuba mengancam keselamatan negara baik secara fizikal seperti tragedi Lahad Datu mahupun secara lisan dan maya seperti cadangan jahat mahu mengeluarkan Sabah dari Malaysia, perlu ditentang habis-habisan.

Culprit atau pelakunya perlu diheret ke muka pengadilan. Jika pelakunya rakyat Malaysia, dia ialah pengkhianat negara. Jangan ada pula sesiapa yang cuba mempertahankan tindakan puak-puak pengkhianat ini.

Soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi apatah lagi diperlekeh dan diperjudikan.

Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab mempertahankan negara daripada sebarang ancaman. Tidak kiralah dalam bentuk lisan yang cuba mencemar dan menghina negara termasuk di laman-laman sosial, apatah lagi secara langsung keluar dari mulut atau dalam bentuk fizikal.

Walau di mana kita berada, jangan malu mengaku sebagai anak Malaysia. Jangan pula hanya patriotik apabila berada di bumi Malaysia tetapi menjadi 'kacang lupakan kulit' apabila berada di luar negara.

Seorang teman yang sedang mengembara di benua Eropah meluahkan betapa sakit hatinya bertemu rakyat Malaysia yang bermastautin di sana, malu mengaku Malaysian malah berpura-pura pula menjadi warganegara lain. Selepas puas berborak, terbongkar juga asal-usulnya.

Lebih malang apabila ada rakyat Malaysia yang pergi ke seberang laut sama ada menyambung pengajian atau bertugas, mengutuk negara 'sampai tak ingat dunia'. Sedangkan pemergian mereka ke sana adalah atas tajaan kerajaan mahupun agensi berkaitan.

Tidak kiralah apa pun fahaman politik kita, apa salahnya menunjukkan kesetiaan sebagai rakyat Malaysia. Bagaimana hendak mempertahankan negara jika kita sendiri yang sama-sama menjadi 'gunting dalam lipatan' mencemarkan reputasinya?

Nama Malaysia sejak sekian lama harum di merata dunia sebagai antara negara yang paling pesat membangun, stabil dari segi sosioekonomi dan politik selain menjadi negara Islam contoh termasuk kepada negara-negara Arab.

Jadi kenapa pula kita sebagai rakyat tidak berbangga bahkan lebih jelik mahu menjadi orang yang melempar najis ke rumah sendiri?

Jika bukan kita sebagai warga yang mempertahankan Malaysia, siapa lagi?

Jangan tunggu sehingga nasi sudah menjadi bubur baharu hendak bertindak. Jangan selepas Malaysia hanya tinggal nama baru hendak menyesal. Ketika itu segalanya sudah terlambat.

Marilah kita memperkuatkan semangat patriotik dan nasionalisme demi ibu pertiwi yang tercinta.

Selamat Hari Malaysia! Coretan Marhaen Utusan/Rencana/20140916

Sejarah merdeka negara berdaulat

SEJARAH pembentukan dan kemerdekaan sesebuah negara sangat penting diketahui dan fahami oleh rakyatnya terutama kalangan generasi muda. Fakta sejarah membuktikan bahawa negara yang bebas merdeka dan berdaulat akan menjadikan sesebuah negara itu aman, maju dan makmur.

Semangat cintakan negara dengan semangat patriotisme mendorong sambutan hari kebangsaan tahun ini iaitu 57 tahun negara merdeka dan 51 tahun penubuhan Malaysia bertemakan, 'Malaysia...Di sini lahirnya sebuah cinta.' Tema ini membawa maksud mendalam tentang kelahiran cinta yang agung kepada sebuah negara bernama Malaysia.

Memerdekakan sebuah negara memerlukan pengorbanan dan idea yang jelas serta wawasan yang bijaksana daripada seorang pemimpin. Matlamat pembentukan Malaysia untuk mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan keharmonian sosial.

Pembentukan Persekutuan Malaysia pada mulanya terdapat pelbagai reaksi yang pro dan kontra, tetapi dapat diatasi melalui Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju untuk menyertai Malaysia.

Sebagai rakyat negara ini, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan pada 16 September 1963 dikenali Malaysia.

Justeru, setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara sampai bila-bila.

Tarikh 31 Ogos 1957 pula penting dan bermakna kepada semua rakyat Malaysia kerana detik ini menandakan negara kita mula bebas daripada penjajahan British.

Persekutuan Tanah Melayu - menyambut baik gagasan Malaysia. Namun, terdapat perbezaan pendapat tentang cara pelaksanaannya.

Sejarah telah membuktikan bahawa bagi Singapura, sebelum keluar dari Malaysia, mengalu-alukan gagasan Persekutuan Malaysia. Sabah dan Sarawak menyokong gagasan Malaysia. Brunei pula menarik diri daripada menyertai Persekutuan Malaysia.

Idea dan cadangan Gagasan Persekutuan Malaysia adalah untuk menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei dalam sebuah kerajaan persekutuan yang dinamakan Persekutuan Malaysia. Tetapi akhirnya Singapura keluar dari Malaysia dan Brunei mengundur diri daripada menyertai Malaysia untuk menentukan masa depan negara sendiri.

Jika diteliti idea pembentukan Persekutuan Malaysia bukanlah suatu yang baharu. Ura-ura untuk menggabungkan Tanah Melayu dengan wilayah British yang lain telah kedengaran sejak akhir kurun ke-19 lagi.

Mengikut catatan sejarah, gagasan tersebut telah dikemukakan dalam suatu majlis makan tengah hari Persatuan Wartawan Luar Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.

Dalam Majlis itu Tunku Abdul Rahman menyatakan: " … Lambat laun Tanah Melayu harus bersefahaman dengan Britain dan rakyat-rakyat Singapura, Borneo Utara, Brunei, dan Sarawak. Adalah agak terlalu awal untuk saya menyebutkan cara bagaimana persefahaman itu dapat dicapai, namun tidak dapat dielakkan bagaimana kita perlu mencapai objektif ini dan memikirkan satu rancangan bagaimana wilayah-wilayah ini dapat dibawa kepada satu kerjasama politik dan ekonomi yang rapat."

Akhirnya, kira-kira dua tahun kemudiannya, gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman ini telah dapat direalisasikan apabila Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963 walaupun terdapat reaksi kurang senang Indonesia dan Filipina terhadap gagasan Malaysia.

Sejarah membuktikan bahawa pada 16 September terbentuk Malaysia dengan penggabungan Sabah, Sarawak dan Singapura. Apabila nama Malaysia diberikan secara tidak langsung, nama Melayu pada Persekutuan Tanah Melayu hilang dan secara beransur-ansur nama Melayu semakin hilang.

Justeru, Hari Malaysia pada 16 September mestilah disambut oleh semua rakyat dan kaum di negara ini bagi menyatakan rasa syukur atas kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati selama ini. Idea daripada kepimpinan yang berwibawa, bijaksana dan berpandangan jauh ini telah menjadikan Malaysia terkenal di mata dunia.

Perlu diingatkan kejayaan Tunku Abdul Rahman menggabungkan beberapa buah negeri dalam sebuah persekutuan dengan kaedah diplomasi sukar dilakukan oleh pemimpin negara lain di dunia. Malah idea-idea penggabungan oleh pegawai tinggi British sebelumnya menemui kegagalan.

Pembentukan Persekutuan Malaysia telah mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, keseimbangan serta perpaduan kaum di samping keharmonian sosial dan juga keselamatan dalam kalangan penduduk di negeri-negeri di bawah Malaysia.

Selain itu, Persekutuan Malaysia terbukti telah memajukan sosioekonomi negeri-negeri yang menganggotainya. Kawasan pasaran ekonomi yang luas telah dapat diwujudkan di samping sumber tenaga manusia serta sumber asli dalam kalangan negeri anggota dapat disatukan.

Pembentukan Persekutuan Malaysia dapat menghapuskan sekatan cukai dalam kalangan negeri anggota dan memudahkan usaha untuk menarik pemodal dari luar.

Semua ini telah menjadi elemen penting memajukan taraf hidup rakyat khususnya di Sarawak dan Sabah.

Selain itu, pengaruh komunis di Sarawak yang boleh membahayakan kehidupan rakyat dapat dihapuskan. Persekutuan Tanah Melayu mempunyai banyak pengalaman dalam membanteras pengaruh komunis semasa zaman darurat dan akhirnya dapat menjamin keselamatan dan kestabilan dalam kalangan negeri anggota.

Lantaran itu, bukti sejarah ini sangat penting dan harus difahami serta dimanfaatkan oleh kalangan generasi muda terutama mereka yang lahir selepas merdeka dan selepas Hari Malaysia pada 16 September 1963 bagi mengisi dan membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, aman, makmur dan stabil dari segi ekonomi dan keselamatan.

Di sinilah akan lahirnya cinta kepada negara Malaysia, tanah tumpah darah dan terus berusaha memupuk semangat perpaduan, menyatupadukan pelbagai kaum, memperkukuhkan kerjasama sosial dan ekonomi dalam sebuah negara yang merdeka.

Dr. Aminudin Mansor ialah pengamal media, Ph.D Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Utusan/Rencana/20140916

UPSR bocor: Jurutera direman 4 hari

KUALA LUMPUR: Mahkamah membenarkan perintah reman selama empat hari terhadap seorang jurutera berusia 34 tahun bagi membantu siasatan kes pembocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) subjek Bahasa Inggeris dan Sains, bermula hari ini.

Jurutera berkenaan yang ditahan di Kemaman, Terengganu, pada jam 1.30 tengah hari semalam, dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, ke Lokap Berpusat Balai Polis Jinjang, di sini, bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut.

Semalam, di Putrajaya, empat individu iaitu seorang guru besar, dua guru dan seorang ejen insurans ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes sama. Berita Harian Jenayah SELASA, 16 SEPTEMBER 2014 @ 1:22 PM

UPSR bocor: Tun Zaki Azmi dilantik pengerusi jawatankuasa bebas

TUMPAT : Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa bebas untuk mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Pelantikan itu dimaklumkan sendiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sidang media di Kampung Simpangan di sini, sebentar tadi.

Beliau menjelaskan, lapan lagi anggota jawatankuasa itu akan dilantik dalam masa terdekat.

Beliau juga memaklumkan tempoh tiga bulan diberi kepada jawatankuasa itu untuk mengemukakan cadangan
berkaitan penambahbaikan kepada SOP itu.