September 21st, 2014

Jaga profesion perakaunan

PRESIDEN Institut Akauntan Malaysia (MIA) melalui laporan Utusan Malaysia, 17 September lepas mendakwa perlunya dibuat pindaan ke atas Akta Akauntan 1967. Kenyataan beliau adalah untuk menjustifikasi rancangan Pelan Induk Pendidikan MIA (MIA Education Blueprint) yang baharu.

Antara lain, Presiden MIA mengatakan cadangan pemindaan Akta Akauntan 1967 adalah berdasarkan saranan Bank Dunia melalui Report on the Observance of Standards and Codes (ROSC ) yang diterbitkan pada Februari 2012.

Sebenarnya, konflik ini tidak akan berlaku kalau pihak MIA benar-benar menghayati dan memahami kandungan ROSC yang setebal 56 halaman itu. Ringkasan Eksekutif laporan ini telah membuat saranan bagi memperkasakan MIA dalam beberapa aspek pendidikan.

Pertama, ROSC melaporkan bahawa pada masa kini MIA menerima masuk keanggotaan ahli daripada kalangan badan perakaunan profesional tertentu yang diiktiraf oleh MIA tanpa menduduki sebarang peperiksaan. Mereka ini disarankan supaya mengambil peperiksaan yang merangkumi pencukaian Malaysia dan undang-undang perniagaan Malaysia.

Kedua, ROSC juga melaporkan bahawa MIA dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah bersama-sama bertanggungjawab membangunkan standard atau piawaian yang boleh diguna pakai untuk menilai dan memantau program ijazah di universiti-universiti tempatan. Ini termasuklah dua perkara utama.

Perkara pertama bagi memantapkan Ijazah Sarjana Perakaunan adalah dengan penerbitan piawaian penilaian (Publishing standards for assessment). Piawaian ini sepatutnya dinilai oleh MIA dan Kementerian Pendidikan setiap lima tahun. Kali terakhir penilaian ini dilakukan dan diterbitkan adalah pada 2006 (Hala Tuju 2, laporan semak semula program perakaunan di universiti Awam).

MIA dan Kementerian Pendidikan telah pun memulakan Hala Tuju 3 dan draf laporan juga telah dikeluarkan. Dengan perkembangan signifikan dalam profesion perakaunan dan audit sepanjang lima tahun yang lalu, penerbitan piawaian terkini untuk program di universiti seharusnya diberi keutamaan oleh pihak MIA dan Kementerian Pendidikan.

Perkara kedua ialah mengadakan pemantauan dan penilaian ijazah program perakaunan. MIA dan Kementerian Pendidikan telah mengambil beberapa initiatif untuk menambah baik kualiti program ijazah perakaunan, khususnya penilaian ketat terhadap program baru yang ditawarkan agar mematuhi kualiti piawaian.

Bagaimanapun, hanya sedikit pemantauan atau penguatkuasaan berterusan berkenaan piawaian kualiti yang dilakukan selepas proses penilaian awal. Mengikut ROSC, pemantauan dan penguatkuasaan tentang piawaian kualiti harus dilakukan secara berterusan oleh MIA dan Kementerian Pendidikan.

Sekarang MIA telah mula melakukan pemantauan setiap lima tahun sekali mengikut kayu ukur yang dibangunkan MIA sendiri. Ini amat dialu-alukan dan tiada sebab mengapa dikatakan kualiti graduan institut pengajian tinggi tempatan masih rendah.

Begitu juga terdapat cadangan untuk diadakan satu standard competency test yang akan dijalankan oleh MIA sebagai kawalan kualiti. Ini boleh dilakukan ke atas semua lulusan Bahagian 1 dan 2, Jadual 1, Akta Akauntan 1967. Jadi tiada isu pendidikan bagi meminda akta tersebut.

Pemantauan

Laporan ROSC pula secara jelas menunjukkan bahawa ijazah sarjana muda universiti tempatan seperti tersenarai dalam Jadual 1, Akta Akauntan 1967, diiktiraf oleh Bank Dunia. Ia cuma menyarankan penambahbaikan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan piawaian kualiti yang diterima pakai (iaitu Hala Tuju 1, 2, dan 3).

Malah, MIA juga mempunyai wakil dalam jawatankuasa Hala Tuju 3 yang sepatutnya bersama-sama memantau dan mencadangkan penambahbaikan.

Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah cadangan Pelan Induk Pendidikan MIA dilihat tidak adil kepada universiti-universiti tempatan kerana mereka yang berkelulusan badan profesional luar negara yang sepatutnya menduduki peperiksaan (seperti yang disarankan oleh ROSC pada perenggan 50) tidak diambil tindakan tetapi pelajar-pelajar yang mendapat ijazah perakaunan tempatan diwajibkan pula mengambil peperiksaan walaupun ini tidak disarankan oleh ROSC.

MIA mengenakan tindakan kepada program ijazah sarjana muda universiti (tanpa berunding dengan Kementerian Pendidikan atau pihak IPTA) tetapi tiada pula tindakan terhadap lulusan badan-badan profesional luar. Perbuatan seperti ini menyebabkan pihak universiti menganggap MIA berat sebelah dan cuba mensabotaj ijazah universiti tempatan.

Sepatutnya ijazah tempatan dimartabatkan di tempat yang lebih tinggi seperti mana di kebanyakan negara lain antaranya Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Hong Kong dan Singapura seperti badan-badan profesional lain di Malaysia dan luar negara (dalam bidang perubatan, arkitek dan lain-lain) yang mensyaratkan pelajar mereka memperolehi ijazah sebelum menganggotai mana-mana badan profesional.

Malangnya, imej MIA sekarang akan lebih menonjol sebagai badan yang memperjuangkan kepentingan badan-badan profesional luar terutamanya dari England dan Australia. Malah, di Britain sendiri, Scotland dan Ireland mempunyai badan perakaunan profesionalnya sendiri dan tidak terikat pun dengan badan perakaunan England.

Memang sewaktu kemerdekaan dulu kita memerlukan bantuan mereka dalam membangunkan profesion perakaunan. Tetapi setelah 57 tahun merdeka, kita perlukan jenama perakaunan tempatan sendiri seperti di negara-negara lain.

Kami mewakili Persatuan Perakaunan Malaysia (MyAA) sangat-sangatlah berharap pihak MIA dan Committee to Strengthen Accounting Profession (CSAP) yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan dapat mengekalkan keharmonian profesion perakaunan seperti sedia ada di samping membuat penambahbaikan ke atas profesion perakaunan seperti yang disarankan oleh ROSC.

Banyak lagi perkara lebih penting yang disarankan oleh ROSC yang perlu ditangani oleh MIA khususnya dalam hal-hal pematuhan dan penguatkuasaan terhadap entiti swasta dan pemantauan ke atas juruaudit-juruaudit luar terutamanya yang besaiz kecil dan sederhana. Tetapi mengapa ia dilihat dalam suatu ruang yang sempit sahaja? * PROF. Dr. Ayoib Che Ahmad ialah Presiden Malaysian Accounting Association (MyAA) dan Profesor Perakaunan, Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140921

Stesen televisyen jadi bakul sampah

Sejak akhir-akhir ini Siti melihat semakin banyak sampah yang dilonggokkan di stesen televisyen. Tak cukup sampah dari Filipina, Amerika Latin, Indonesia, sampah dari negara ini pun tidak kurang juga banyaknya. Sampah-sampah yang busuk inilah yang dihidangkan kepada penonton. Tak sepadan dengan kecanggihan peti televisyen yang sekarang bukan lagi rata atau nipis malah melengkung pula. Kualiti gambar dan bunyi jangan cakaplah. Tercanggih.

Tapi perkakas yang canggih ini hanya untuk menonton sampah yang bagi Siti bukan sahaja tak berguna malah mendatangkan bahaya. Ada yang tak sampah tapi sikit sangat. Yang bukan sampah ditonton untuk mempertajamkan rasa manusia, insaf dan menjadi penyuluh masa depan. Yang banyaknya sampah yang maha sampah. Sampah ini mereka namakan drama. Ada yang berangkai-rangkai panjangnya dilakonkan oleh artis-artis kita yang kacak dan jelita tapi sesetengah-nya sampah jugalah.

Baru-baru ini tercetus kontroversi ada syarikat (sebenarnya tauke dari Indonesia) mendapat peluang membuat 130 episod drama. Apa lagi kalau bukan sampah kerana syarikat induk dari Indonesia memang mengeksport drama sampah kepada stesen televisyen di negara ini. Drama-drama dari Filipina yang sebenarnya tak bernilai apa-apa pun telah dihidangkan kepada penonton tempatan. Siti tau banyak drama yang baik dari Filipina tapi apa nak buat, orang jual sampah kata permata, stesen televisyen kita pun percaya. Macam tak ada otak dan berfikir sikit tentang maruah sebagai orang yang menilai dan kepada masyarakat.

Sesetengah peneraju stesen televisyen memang mata duitan. Tak berperikemanusiaan. Tamak dan menindas masyarakat dengan memberikan santapan minda yang beracun. Kalau mereka berperikemanusiaan, Siti yakin drama-drama yang dilonggokkan tidaklah bertaraf sampah sarap. Drama itu pula kononnya diangkat daripada novel yang lebih kurang jugalah sampahnya.

Akhirnya mahu tidak mahu kita terpaksa kehebatan RTM dan TV3 pada zaman awal dulu. Walaupun drama tak banyak tapi tidak seperti sekarang. Siti cakap TV3 zaman awal dulu, TV3 sekarang sudah tak tau apa nak kata. Macam-macam sampah yang ditayangkan, asalkan dapat mencatat penonton tertinggi, belasah sajalah. Anak bangsa menjadi mangsa, peduli apa.

Walaupun zaman TV3 mula-mula dulu peti televisyen teknologi lama, kelabu dan tak secanggih sekarang tapi drama-drama yang kita tonton dari peti televisyen itu bernilai tinggi. Dramanya jauh berkali ganda dibandingkan dengan sebahagian besar filem kita sekarang. Tapi itu dulu. Sekarang TV3 dengan agenda duitannya, nak kata tak ada pemikir berlambak pemikir di TV3. Cuma tak mahu fikir atau malas nak fikir.

Banyak saluran di Astro juga dua kali lima. Malah lebih teruk. Program lawak dan pencarian bakat tidak menyumbang kepada pembangunan manusia. Di Astro semuanya hendak disantaikan, tapi malangnya program lawak yang sepatutnya santai pun jadi tragis. Tragis mengenangkan penonton terutama Melayu diperbodohkan. Sedih mengenangkan orang Melayu, apa sahaja disuap semua dikunyah.

Siti yakin kalau pengagum Maharaja Lawak dengan segala lawak-lawaknya lagi, peminat sekian banyak drama busuk - jangan cakap tentang generasi masa depan. Kerosakan telah dilakukan dengan pesatnya oleh stesen televisyen dan inilah generasi yang akan memacu negara pada masa depan. Bolehkah kita nak harapkan peminat Akademi Fantasia, Mentor dan macam-macam lagi yang sebenarnya tak bermacam-macam pun (satu bentuk saja) untuk memajukan negara pada masa depan?

Sepatutnya dalam keadaan sebahagian besar orang Melayu yang sangat malas membaca bahan-bahan serius, siaran televisyen adalah satu-satunya santapan minda terutama menerusi drama dan hiburan. Sebelum ini Siti membayangkan biarlah orang Melayu malas membaca, tapi menonton bahan siaran yang mampu membawa mereka berfikir tentang hidup dan masa depan. Nampaknya hanya sia-sia, sudahlah malas membaca, menonton pula bahan yang bertaraf sampah. Di mana kita selepas 2020 nanti? Cubalah fikir wahai anak muda Melayu.    SITI JARUM: Harap ada yang marah. Apabila marah, mereka menyoal diri. Siti Jarum Facebook: siti.jarum9 siti_jarum2009@yahoo.com Utusan/Rencana/20140921

Novel terlaris abad ini

BEBERAPA purnama mengambang ini, saya sedang menyiapkan sebuah buku. Pembetulan - sedang merancang. Sebenarnya, masih dalam peringkat memasang angan-angan... sambil berbaring atas sofa.

Banyak juga cabaran perlu difikirkan dan dikaji sedalam-dalamnya. Hal penting ialah ada lagikah orang membaca buku hari ini? Ramai lebih gemar baca bahan-bahan ringkas dalam Facebook, Twitter, tengok gambar Instagram. Baca tajuk saja, kemudian terus bagi ulasan. Mereka tidak peduli topik keluar tajuk.

Buku yang laris pun hanya berbentuk soalan serkap jarang peperiksaan atau 'mirip-mirip' soalan sebenar peperiksaan. Tetapi soalan seumpamanya diedar menerusi WhatsApp. Itu yang senang dikesan pihak berkuasa. Sangat kurang pandai.

Hal kedua ialah memilih tajuk dan jalan cerita. Formula mudah sekarang ialah menulis tentang isu politik atau kisah cinta remaja. Mana tahu dapat terjual 10,000 unit, hasil jualannya sudah boleh sediakan bayaran wang pendahuluan beli Alfa Romeo Geulietta.

Kena ada watak hero, heroin dan dua watak pembantu. Dan dua samseng Kampung Dusun. Satu watak pelawak spontan. Satu watak pekerja asing. Bangladesh lagi bagus sebab cara mereka bercakap, berjalan dan berpakaian memang ada ciri-ciri yang tiada kedapatan pada kumpulan warga asing lain di Malaysia.

Mana tahu dengan jualan laris buku ini, akan dapat menarik perhatian David Teoh untuk menerbitkan filem adaptasi daripada novel ini. Jangan bimbang, satu watak disediakan untuk beliau. Cuma watak kena lain daripada kelaziman. Mungkin jadi Wakil Rakyat di kawasan pengundi Melayu. Oopsss... filem cinta mana boleh selit cerita politik. Sila backspace. Padamkan.

Bermakna jika sudah berangan buku tulisan saya ini disasarkan jadi filem, saya harus membangunkan watak dalam cerita dengan wajah pelakon yang khusus. Orang nasihatkan saya supaya memilih artis yang ada aura, yang dapat menarik penonton ke panggung. Siapakah pelakon terlaris hari ini? Aaron Aziz semestinya.

Tetapi untuk projek angan-angan saya ini, tidak boleh ambil Aaron Aziz. Saya tiada isu dia berasal dari Singapura. Itu isu orang lain. Saya pun tiada isu dia jadi model mi segera. Sekali-sekala makan mi kari memang terbayang muka Aaron.

Cuma masalah pemilihan Aaron untuk filem adaptasi buku saya nanti, tidak sesuai disebabkan dia lebih dikenali dalam filem samseng. Banyak sungguh filem samseng lakonan Aaron hinggakan sudah tidak boleh dibezakan filem mana. Seelok-eloknya Aaron amalkan pemilihan skrip supaya dapat bawa watak yang bukan cliche.

Diperlakukan

Jadi tidak mengapa. Aaron Aziz tiada dalam senarai. Lagipun buku yang bakal saya tulis ialah novel cinta remaja. Kena cari muda sikitlah. Azizan Raja Lawak tidak boleh jadi hero. Mungkin sesuai bawa watak Bangla. Tetapi Shahrol Shiro amat efektif bawa watak Mujibur. Tak susah. Wujudkan dua watak Bangla.

Nanti sekejap, watak hero belum dimuktamadkan. Bagaimana kalau buat luar biasa sikit? Ambil pelakon Korea, Song Joong Ki sebagai pelajar kolej swasta. Jangan bimbang Joong Ki tidak fasih bahasa Melayu. Ramai lagi yang tidak fasih bahasa Melayu, tidak hormat Negaraku dan Raja Melayu tetapi dapat jadi pengarah filem dan ahli politik di negara ini.

Watak Joong Ki akan jatuh cinta dengan rakan sekelas yang berasal dari Kampung Baru. Watak itu sesuai Nora Danish bawa. Cuma pastikan dia tiada adegan dalam lif.

Kalau tidak mahu kisah cinta remaja, bagaimana kalau tulis tentang politik? Macam-macam boleh difikirkan jika hendak menulis perihal politik. Satu daripadanya ialah adegan presiden parti diperlakukan tidak ubah sekadar bertaraf ahli politik kedai kopi oleh timbalan parti.

Dalam mana-mana struktur organisasi (kecuali DAP yang teras kuasanya terletak pada Setiausaha Agung), kata-kata presiden adalah berbentuk kenyataan rasmi pendirian parti. Senang-senang pula ditepis oleh timbalan sebagai 'kenyataan peribadi' presiden.

Plot cerita dalam buku boleh didramakan bila wujud dua puak dalam parti. Satu penyokong setia parti dan satu lagi penyokong setia parti lain. Apa sahaja presiden parti sendiri cakap, semua dipertikai dan dibandingkan dengan pendirian parti lain.

Boleh juga sentuh aspek 'kebebasan bersuara.' Selalu meneriak pada orang lain agar mansuhkan Akta Hasutan, maka terimalah kebebasan bersuara dalam parti sehingga ada kalangan pemimpin sendiri menyatakan presiden tiada kuasa veto dalam parti. Kalau ini bukan insubordination (ingkar), apakah ini praktis kebebasan bersuara yang sihat kepada parti? Lagi sakit hati, individu yang berucap itu sepatutnya menasihatkan presiden secara tertutup, bukan terbuka dalam mesyuarat agung depan khalayak ramai.

Siapa boleh saya bayangkan memegang watak presiden dan timbalan bila buku saya ini dijadikan filem kelak? Mungkin watak presiden boleh dipegang oleh Rahim Mat Ali atau dulunya dikenali sebagai Rahim R2; dan timbalannya dilakonkan Yussry Edoo atau Yus Jambu. Kedua-duanya memiliki skil meniru percakapan ahli politik. Mereka diyakini akan membawa dimensi baharu dalam kebebasan bersuara dan kebebasan buat lawak ke atas ahli politik di Malaysia.

Ok, watak dah ada. Pilihan plot cerita pun ada. Esok selepas mandi saya tetapkan sama ada hendak menulis kisah politik atau cinta remaja. Memang saya tidak ikut tertib penulisan novel. Patut mulakan dengan plot cerita, kemudian kembangkan watak. Ini songsang. Ah, suka hati sayalah. Angan-angan saja pun.

Johardy Ibrahim johardyibrahim@twitter.com Utusan/Rencana/20140921

Oh Kastam, jawablah

Dalam kejadian yang jarang-jarang berlaku, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp., Datuk Azhar Abdul Hamid meletakkan jawatan ekoran kemalangan yang meragut tiga nyawa pekerja dari Bangladesh di tapak pembinaan MRT di Kota Damansara pada 18 Ogos lalu.



"Sebagai peneraju MRT Corp., saya mengambil tanggungjawab peribadi atas insiden yang berlaku dan ini tindakan yang betul untuk dilakukan," katanya dalam sidang akhbar sehari selepas insiden itu. Walau bagaimanapun lembaga pengarah menolak hasrat Azhar itu dan beliau kekal sebagai CEO sehingga hari ini.

Sikap mengambil tanggungjawab seperti ditunjukkan oleh Azhar ini masih asing di Malaysia. Sebagai ketua, beliau menjawab kecuaian sehingga menyebabkan kematian dengan menawarkan peletakan jawatan, bukan menuding jari menyalahkan orang lain untuk menyelamatkan leher sendiri.

Pada 12 September lalu sebagai langkah menjaga integriti Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) berikutan kebocoran kertas soalan UPSR, Pengarah Lembaga LPM, Dr. Naimah Ishak digantung tugas berkuat kuasa serta-merta. Yang turut digantung tugas Timbalan Pengarah Operasi LPM, Dr. Wan Illiyas Wan Salleh sehingga selesai siasatan tentang kebocoran kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris UPSR 2014 itu.

"Kementerian mesti mengambil tindakan segera dan tegas kerana insiden seperti ini sudah pasti membangkitkan persoalan integriti Lembaga Peperiksaan dan keseluruhan sistem peperiksaan awam negara," kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin menjawab keresahan rakyat dengan mengambil langkah berani. Yang jelas seseorang mesti dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berlaku dan individu itu ialah orang yang paling dekat dengan masalah tersebut.

Jangan hanya pandai menerima puji-pujian tetapi menyembunyikan diri dan berpura-pura tidak tahu apa-apa apabila timbul masalah. Dua kejadian itu menjadi duluan yang baik tentang bagaimana mahu mengurus kepercayaan awam.

Barangkali inilah juga yang seharusnya dilakukan dalam menangani isu rasuah dalam Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Bau rasuah begitu menyengat malah didakwa dilakukan secara berkumpulan. Cerita daripada orang dalam sangat menggerunkan.

Saban waktu kita mendengar berita kes rasuah oleh kastam yang berkait dengan penyeludupan pasir, kereta mewah dan terbaharu rokok serta arak. Walaupun tidak ditahan, ada yang didakwa di mahkamah. Paling tragis apabila Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak mati pada 26 April lalu.

Rosak susu sebelanga

Benar, mereka adalah segelintir tetapi yang sedikit itu telah merosakkan susu sebelanga. Yang sedikit itu telah menenggelamkan semua khidmat bakti cemerlang dan dedikasi pegawai kastam mengutip cukai bernilai bilion ringgit setiap tahun untuk negara.

Hasil daripada operasi khas melibatkan pelbagai agensi diketuai SPRM itu setakat ini lapan pegawai termasuk Pengarah JKDM Perak didakwa di mahkamah. Dalam pertuduhan disebut mereka menerima rasuah bulanan secara berkumpulan. Empat lagi akan didakwa Isnin ini.

Susulan daripada itu, sebanyak 13 lagi pegawai dan kakitangan JKDM termasuk seorang lagi pengarah negeri direman tujuh hari bagi membantu siasatan sindiket seludup arak dan rokok membabitkan kerugian lebih RM4 bilion kepada negara sejak 2011.

Tangkapan besar-besaran seperti ini bukan baharu. Kes paling dekat ialah pada April 2011. Dalam operasi itu, SPRM merampas jutaan ringgit daripada sekurang-kurangnya lima pegawai kastam daripada 61 orang yang ditangkap.

Jumlah wang yang mereka ada di luar kemampuan gaji masing-masing. Dalam serbuan itu, SPRM menjumpai jongkong emas disorok di rumah salah seorang pegawai yang ditangkap sementara seorang lagi memiliki RM600,000 yang disimpan dalam beberapa beg di rumahnya.

Tidak sampai empat tahun, virus jijik itu muncul semula dalam tubuh pasukan kastam. Operasi tangkapan termasuk berjawatan kanan bermula 3 September lalu begitu menyedihkan. Yang juga mengejutkan, penemuan dadah bernilai RM25,000 di rumah salah seorang pegawai kanan JKDM. Dia dipercayai turut terlibat dalam sindiket pengedaran dadah kerana menurut polis mustahil syabu, candu dan ketamin yang dijumpai untuk kegunaan sendiri.

Sebab itu mengatasi masalah rasuah dalam tubuh JKDM tidak lagi boleh menggunakan cara biasa - bukan sekadar ditukarkan, rombakan atau ditahan dan dakwa di mahkamah. Hasil daripada operasi besar-besaran yang sedang berlangsung sekarang menunjukkan cara biasa itu kurang berkesan.

Bagaimanakah untuk meyakinkan orang awam apabila sebegitu ramai pegawai kanan kastam terpaksa diheret ke mahkamah? Selain prosedur operasi standart (SOP) diperbaiki, cara yang pedih tetapi terhormat harus dilakukan umpamanya seperti kes MRT Corp. atau kebocoran UPSR.

Ada pihak yang harus 'menjawab' dalam semua insiden ini agar integriti JKDM tetap terpelihara apatah lagi mulai April tahun depan jabatan ini akan mengurus hal lebih besar iaitu cukai barangan dan perkhidmatan (GST). ZULKEFLI HAMZAH warungrakyat.mingguan@gmail.com Utusan/Rencana/20140921

Padah Revolusi Kebudayaan makan tuan

Menurut Dr. Li Zhisui dalam bukunya The Private Life of Chairman Mao, Lin Biao dan Jiang Qing menjalin pakatan kerjasama pada awal 1966. Menerusi satu pertemuan dua minggu pada Februari 1966 di Shanghai, mereka mengatur strategi menjelang pelancaran Revolusi Kebudayaan pada pertengahan tahun itu.

Menurut Dr. Li Zhisui, "What surprised me ... was the new relationship between Jiang Qing and Lin Biao: Lin Biao's route to power would be through the Chairman's wife. He would win Mao's support by first winning his wife's… By calling upon Jiang Qing to serve as a publicist for her husband, Lin Biao was also deliberately catapulting the chairman's wife into power. I was uneasy from the start. Jiang Qing with political power could be dangerous indeed (halaman 452)."

Menurut Dr. Li juga, Mao Tse-tung, "…was pursuing a two-pronged attack. He was calling the Politburo standing committee to criticize leading bourgeois intellectuals. At the same time, he was going outside the standing committee and the party hierarchy to foster a rival group centering around his closest allies - Jiang Qing and Kang Sheng in particular - whose task was to attack Mao's enemies within the standing committee and the central secretariat of the party. The move was unprecedented. Never before had Mao launched an all-out attack against such high-level officials (halaman 452)."

Panduan

Mao mengaturkan mesyuarat jawatankuasa tetap politburo Parti Komunis pada 24 April 1966 khusus untuk meluluskan satu dokumen yang disediakan oleh Chen Bo-da atas arahan Mao. Dokumen itu menjadi panduan Revolusi Kebudayaan dan seluruh China mengenali dokumen itu sebagai Pekeliling 16 Mei mengambil sempena tarikh ia diluluskan iaitu pada 16 Mei 1966. Menurut Dr. Li, fokus Revolusi Kebudayaan seperti yang dinyatakan dalam pekeliling itu, "…was not about academic issues. Mao was launching what he called a "vigorous attack" on bourgeois elements within the party, the government, and the army… But when he (Mao) showed me the list of members or the new Central Cultural Revolution Small Group, my heart sank. The leftist Chen Bo-da was the head, and Kang Sheng was advisor. Jiang Qing had been appointed first deputy director. The sycophantic Wang Ren-zhou and Shanghai leader Zhang Chun-qiao were deputy directors. The members, Wang Li, Guang Feng, Qi Ben-yu and Yao Wen-yuan were all radical leftists. The initial suggestions Mao said had been made by Lin Biao (halaman 458)."

Jung Chiang dalam bukunya Wild Swans berkata, politburo Parti Komunis pada Februari 1966 telah membuat resolusi tentang Revolusi Kebudayaan. Ketika itu, Mao Tse-tung tidak berada di Beijing. Resolusi itu memenuhi kehendak majoriti ahli politburo yang mahukan Revolusi Kebudayaan tidak menjadi senjata untuk Mao menghapuskan musuh-musuh politiknya. Ia patut menumpukan "…academic discussions (which) must not degenerate into persecutions … No wild accusations should be allowed. Everyone is equal before fourth. The party must not use force to suppress intellectuals. But, as the document was about to be published in early May, it was suddenly blocked. There was to be a new Politburo decision (16 May) … Mao tore up the February resolution and declared that all dissident scholars and their ideas must be eliminated.

"He emphasized that it was officials of the communist party who had been protecting the dissident scholars and other class enemies. He termed these officials as 'those in power following the capitalist road', and declared war on them. They became known as 'capitalist roaders'. The mammoth Cultural Revolution was formally launched (halaman 349)."

Bergolak

Menurut Dr. Li lagi, selepas sahaja Pekeliling 16 Mei (1966) itu diluluskan, Mao Tse-tung 'mengundurkan diri' (went into retreat). Begitulah tabiatnya, kata Dr. Li, sebagai langkah strategi. Dia berundur ke Hangzhou di selatan Shanghai dan membiarkan keadaan politik kencang bergolak di Beijing. Kata Dr. Li, "It was his way of allowing the snakes - his enemies - to come out of their holes. We were going to stay in Hangzhou for a while, away from political trouble (halaman 459)."

Semasa berada di Hangzhou itu, Liu Shao-chi dan Deng Xiao-peng datang menemui Mao untuk memaklumkan perkembangan Revolusi Kebudayaan yang telah digerakkan mulai Jun 1966 dan meminta nasihatnya. Tetapi, kata Dr. Li, Mao tidak memberi apa-apa nasihat. " 'Let them handle the problems of the movement by themselves', Mao said to me after the two leaders had left (halaman 459)." Mao thoroughly enjoyed the upheaval his movement had unleashed in Beijing. With Mao withdrawn, his enemies were showing their hands, making it easier for him to strike them down … As Mao's suspicious about as many others around him worsened, his political faith in Jiang Qing grew. Mao wrote to her (Jiang Qing) from our retreat in Wuhan. 'Great chaos will lead to great order. This cycle appears every seven or eight years. The demons and monsters will come out by themselves. Their class character dictates it.' (halaman 461)."

Pada pendapat Dr. Li, Mao sebetulnya tidak pasti apakah Revolusi Kebudayaan akan mencapai kejayaan yang disasarkan. Dia juga tidak pasti sosialisme akan kekal di China untuk selama-lamanya. Puak-puak dalam parti yang berhaluan kanan, katanya akan muncul semula dan merampas kuasa dan dia (Mao) sendiri mungkin dihancurkan (smashed to pieces). Mao Tse-tung juga, kata Dr. Li, telah memberi ingatan kepada isterinya, Jiang Qing, " 'Don't let victory intoxicate you,' he cautioned. 'Think often of your weakness, short comings and mistakes. I don't know how many times I have told you this' (halaman 462)."

Jiang Qing sangat gembira menerima surat Mao yang dimaksudkan itu. Walaupun surat itu menyelitkan kritikan-kritikan Mao terhadap dirinya, Jiang Qing mengarahkan surat itu dicetak semula untuk edaran kepada semua pihak. Bagi Jiang Qing, surat itu ialah bukti Mao menaruh kepercayaan penuh kepadanya. Kesannya, ia memperkukuhkan kedudukan Jiang Qing semasa Revolusi Kebudayaan.

"She (Jiang Qing) had already begun sharing the letter with members of the inner circle when Mao found out, and (Mao) had the copies recalled … I (Dr. Li) have thought often of that letter in the quarter century since (1966-1990). To this day, even with all that has happened, I still see it as evidence that Mao was more politically prescient than even he knew. Lin Biao, whom Mao never fully trusted and whom he was using temporarily in his struggle against his other enemies in the party, did turn against him, and - following Mao's death (1976) - the rightists did return to power (halaman 462)."

Kisah-kisah Revolusi Kebudayaan selanjutnya akan menyusul dalam coretan saya di Mingguan Malaysia minggu hadapan dengan paparan tindakan-tindakan ganas Red Guards yang terdiri daripada murid-murid sekolah yang telah menjadi 'gila' setelah dirasuk pemikiran-pemikiran gila Mao Tse-tung. Abdul Rahim Noor Utusan/Rencana/20140921

Mana penguatkuasaan Dasar Perumahan Negara?

Minggu lalu saya menulis tentang 'Semakin susah memiliki rumah'. Dalam ruangan itu saya membayangkan bagaimana anak-anak Melayu dan bumiputera pada masa kini dan akan datang hendak memiliki rumah sendiri jika trend harga rumah sentiasa meningkat.

Harga rumah lama di Lembah Klang sekarang kalau 25 tahun lalu berharga RM42,000 kini harganya daripada RM75,000 hingga RM115,000. Rumah teres tiga bilik yang dibeli 30 tahun lalu pada harga RM28,000 kini mencecah harga lebih RM260,000. Itu belum harga rumah teres dua tingkat.

Apakah anak-anak muda hanya layak untuk membeli rumah lama sahaja yang dijual oleh pemiliknya. Sekarang pun semakin banyak orang menjual rumahnya kerana nilai yang berganda-ganda daripada harga asal.

Setakat ini kita hanya mendengar banyak keluhan pembeli, tapi langkah-langkah memudahkan untuk memiliki rumah belum menyeluruh.

Pembeli tidak boleh hanya mengharap Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) kerana mereka yang layak pun begitu ramai. Kalau golongan berpendapatan rendah dibela untuk membeli rumah, bagaimana golongan berpendapatan sederhana?

Saya menerima beberapa e-mel yang memberi maklum balas tentang isu pemilikan dan harga rumah ini.

Mashuri Zainal minta saya lihat pada Dasar Perumahan Negara. Menurut Mashuri, telah ada dasar untuk meletakkan syarat pemaju membina rumah harga murah, sederhana murah dan harga sederhana dan harga mahal.

Masalah yang berlaku sekarang yang kita lihat tidak banyak lagi projek perumahan berkos rendah disebabkan penguatkuasaan yang lemah.

Bukalah laman web Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan: http://www.kpkt.gov.my/kpkt_2013/fileupload/dasar/DRN_BM.pdf

Syarat-syarat untuk memajukan sesebuah kawasan perumahan sudah disebutkan dalam Dasar Perumahan Negara itu. Itulah jawapannya.

Sebagai contoh dahulu, disebutkan berkali-kali bahawa setiap pemaju projek perumahan mesti membina rumah harga murah dahulu baharulah projek mereka boleh diluluskan.

Tidak bina

Contoh di Subang Jaya tempat Mashuri tinggal, yang mana katanya sekarang pemaju boleh beri seribu satu alasan untuk tidak bina rumah murah. Kementerian yang keluar dasar ini - apa yang mereka buat?

Siapa yang mahu ambil peduli tentang isu harga rumah ini sekarang.

Setelah beberapa tahun sahaja dasar itu tidak dikuatkuasakan maka sekarang baharu kita terasa akibatnya. Harga murah melambung tinggi. Rumah murah pula boleh dibilang jumlahnya.

Kita sudah banyak merintih tapi oleh sebab tidak siapa yang ambil berat soal penguatkuasaan Dasar Perumahan Negara, maka hal ini akan berterusan. Percayalah...

E-mel daripada Rose83 pula melontarkan pendapat, jika begitu situasi sekarang rata-rata orang Melayu tidak mempunyai peluang memiliki hartanah yang tetap.

Rose yang berasal dari Melaka memberitahu harga rumah di negeri itu sama seperti di negeri-negeri lain. Tidak banyak beza.

Namun begitu, dia bersyukur dengan pendapatannya sekarang, dia mampu membeli rumah yang berharga RM300,000 ke atas.

"Saya mencari rumah dalam tempoh dua tahun ini dengan perasaan malu. Kenapa saya kata malu? Hal ini kerana kebanyakan pemaju di negeri bersejarah ini merupakan pemaju bukan berbangsa Melayu. Bagi mereka, anak-anak Melayu seperti saya tidak mampu membeli rumah yang berharga ratusan ribu ringgit.

"Boleh dikira di sini berapa banyak anak Melayu yang dapat membeli rumah berbanding bangsa bukan Melayu. Keadaan projek-projek perumahan yang berharga ratusan ribu hingga mencecah jutaan ringgit menyebabkan kawasan perumahan bakal didiami bangsa bukan Melayu.

"Hanya mereka sahaja yang mampu membeli harga rumah seperti itu. Bila projek perumahan dibina, akan ada rumah yang tanah hak milik kekal terbiar tanpa pembeli."

Kita mengharapkan apa yang sedang berlaku dalam negara ini diambil perhatian berat oleh mereka yang diberi amanah. Ambillah tindakan segera sebelum terlewat.

Penutup kata daripada Rose: "Ini tanah air kita. Sekiranya harga rumah ini tidak dikawal melalui campur tangan pihak kerajaan pasti bangsa Melayu akan teraniaya di bumi sendiri." Azman Anuar azman_selasih@yahoo.com Utusan/Rencana/20140921

Analisis Mingguan ~ Bisik-Bisik Awang Selamat

Banyak mesej

Muktamar Pas Ke-60 yang berakhir semalam, telah menyerlahkan siapa sebenarnya lebih berkuasa dan berpengaruh dalam parti itu - ulama atau Anwarinas. Terbukti, perwakilan yang membawa suara akar umbi ahli dan penyokong Pas memilih untuk terus memberi sandaran kepada golongan ulama. Maka cakap-cakap kononnya puak Anwarinas bakal menguasai dan mencorakkan muktamar tersebut mengikut agenda mereka, tidak kesampaian. Sebaliknya para perwakilan mengambil kesempatan mengkritik dan mempersoalkan para pemimpin Anwarinas yang cuba mengkhianati dasar dan perjuangan parti. Gelombang penentangan itu begitu jelas, yang seharusnya membuka mata para pemimpin 'berbadan' Pas tetapi 'berkepala' PKR dan DAP.

Sebenarnya terlalu banyak mesej daripada muktamar tersebut. Paling ketara Hadi dan Nik Aziz masih ada kawalan ke atas parti. Perwakilan juga mahukan Majlis Syura Ulama tidak lagi dicabar, dihina dan diperlekehkan sama ada oleh pemimpin DAP, PKR mahupun puak Anwarinas. Gerakan Anwarinas menubuhkan badan ulama serpihan, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) turut ditolak selain menentang tindakan dua ADUN Pas di Selangor yang mengkhianati parti.

Mesej yang lain - mengkaji semula tahaluf siyasi (kerjasama) dengan PKR dan DAP; dan tidak mahu Pas dibuli serta dikawal oleh kedua-dua parti itu. Dengan perkembangan terbaharu ini, Anwar ada banyak sebab untuk resah. Pelaburan beliau dalam Pas menerusi Anwarinas nampaknya tergugat. Hadi dan Nik Aziz serta majoriti perwakilan tidak mengizinkan Pas terus dirobek dari dalam oleh penasihat PKR itu.

Kini yang dinantikan dalam masa terdekat apakah Pasma akan dibubarkan dan dua ADUN Pas berkenaan, menarik balik tindakan mereka. Awang tertanya-tanya apakah puak Anwarinas akan bertaut kembali sepenuhnya di bawah Presiden dan Majlis Syura atau bertindak balas dengan lebih membawa obor Anwar. Awang yakin berdasarkan sentimen perwakilan dan akar umbi, Pas tidak menghadapi masalah besar untuk menamatkan tahaluf siyasi. Tetapi cabaran lebih utama adalah untuk membersihkan parti itu daripada puak Anwarinas, yang kini sudah menjadi wabak. Bukan mudah malah ada tokoh Pas melihatnya sebagai agak mustahil. Itulah kejayaan Anwar.

Kastam dan rasuah

Sebagai rakyat Malaysia, Awang lega dengan tertangkapnya puluhan pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ekoran rasuah dan salah guna kuasa.

Menyedihkan kerana gejala tersebut masih berleluasa dalam Kastam. Walaupun jabatan itu pernah digemparkan dengan rampasan jutaan ringgit yang turut melibatkan lima pegawai Kastam pada 2011, ia nampaknya tidak diambil sebagai iktibar.

Awang ucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kejayaan membongkar kegiatan tersebut yang turut melibatkan Pengarah Kastam Negeri. Semoga ia dapat membantu dalam usaha untuk membersihkan Kastam dan mengelakkan ketirisan. Khabarnya, lebih ramai pegawai terbabit menerima sogokan yang setakat ini tidak dapat dipastikan. Kadangkala terdetik untuk mencadangkan agar pegawai dan kakitangan beragama Islam bersumpah al-Quran untuk tidak melakukan rasuah, sebagai langkah tambahan. Walau apa pun, sokongan dan keyakinan Awang kepada Kastam tetap jitu. Majoriti pegawai dan kakitangan masih menjaga integriti. Janganlah hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Menjadi harapan Awang juga agar SPRM dapat merisik dan menyiasat lebih agresif beberapa jabatan lain, yang dikatakan serius dilanda gejala rasuah. Ini termasuk ketua pengarah yang licik melindungi salah laku mereka. Apa jabatan itu? Tidak perlu Awang sebut, orang ramai pun boleh teka. SPRM tentu sudah menghidu tetapi janganlah lama sangat sampai penjawat bersara dengan kaya raya.

Makin teruk?

Awang sudah tidak larat geleng kepala dengan perkhidmatan teksi terutama di Kuala Lumpur dan sekitarnya. Kelmarin, beberapa pelancong dari Arab Saudi mengeluh pengalaman buruk menaiki teksi di ibu negara. Ditipu, dimaki dan diugut adalah perkara biasa. Menurut salah seorang daripada mereka, dia dikenakan caj RM50 dari pusat beli-belah KLCC ke Pavillion, yang tidak sampai 10 minit perjalanan. Ada lagi teruk. Seorang pelancong mendakwa dipaksa membayar RM200 ketika menaiki teksi dari Subang ke KL Sentral.

Sebenarnya banyak lagi aduan berkaitan perbuatan 'potong leher' segelintir pemandu teksi. Itu belum kisah pemandu berpakaian selekeh, bersubang, berSMS ketika memandu, teksi yang berbau busuk dan memilih penumpang.

Ketika khidmat teksi di negara-negara lain semakin berkualiti, berwibawa dan selamat, Malaysia seperti berundur ke belakang. Imej perkhidmatan teksi Malaysia merudum teruk dan menjadi bahan sinikal ramai pelancong asing. Salah satu yang Awang selalu dengar. "Negaranya menarik, pelbagai dan makmur tetapi waspada dengan pemandu teksinya.'' Begitu juga dengan ungkapan; "Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina jauh lebih baik." Masalahnya, pihak penguat kuasa kita tidak efisien dan tindakan bermusim. Lebih berorientasikan menunggu aduan. Kalau beginilah caranya, Awang tidak nampak jalan keluar kepada masalah pemandu teksi kita. Biarlah merudum lagi!

Dilihat bersih

Siapa bakal Menteri Besar Selangor yang baharu akan diketahui dalam masa terdekat sebelum upacara angkat sumpah pada Selasa ini. Tiga nama telah disenarai pendek dengan didahului Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan dua Exco daripada Pas iaitu Iskandar Samad dan Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Difahamkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memanggil mengadap ketiga-tiga calon berkenaan dalam proses terakhir melihat calon terbaik Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim.

Cuma Awang berharap sesiapa sahaja yang dilantik mesti kelihatan bersih dari segi moral dan integriti. Itu harus menjadi prinsip utama dalam pelantikan menteri besar. Tiada kompromi dalam soal tersebut. Jika tidak, ia akan memberi isyarat yang salah kepada semua.

Apatah lagi, Selangor bukan sebarangan negeri dan institusi kesultanannya disanjung tinggi.

Isterinya sahaja

Sudah hampir pasti, Presiden boneka PKR, Wan Azizah Wan Ismail tidak akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor walaupun Penasihat PKR, Anwar Ibrahim masih berdegil mahukan jawatan itu untuk isterinya. Kepada Anwar dan Wan Azizah, terimalah realiti. Elaklah daripada terus dilihat menderhaka kepada Sultan Selangor. Letakkan kepentingan umum mengatasi nafsu politik untuk diri dan keluarga. Ternyata Langkah Kajang yang digerakkan oleh Anwar hanya makan tuan dan menambah liabiliti kepada PKR dan pakatan.

Sepatutnya Anwar segera memohon maaf kepada ahli-ahli PKR, pakatan dan rakyat terhadap segala mudarat daripada Langkah Kajang (yang asalnya beliau mahu menjadi menteri besar). Sudah tentu juga memohon ampun kepada Sultan Selangor tanpa syarat ekoran keingkarannya ke atas titah baginda.

Berdasarkan laporan media semalam, Anwar tidak berubah nafsunya. Beliau membayangkan PKR dan DAP akan mengasak supaya akhirnya diadakan pilihan raya negeri biarpun jika Azmin daripada PKR dilantik sebagai menteri besar. Dengan kata lain, selagi isterinya tidak menjadi menteri besar, misi beliau tidak akan berhenti. Awang melihat nilai Azmin sekadar budak suruhan Anwar, bukan pemimpin kepercayaan. Hebatnya nepotisme Anwar dan kasihan orang seperti Azmin.

Terima kasih Khalid

AWANG ingin terlebih dahulu merekodkan penghargaan dan tahniah kepada Khalid atas sumbangannya kepada negeri dan rakyat Selangor. Walaupun ramai Menteri Besar Selangor termasuk beliau dilanda kontroversi sebelum kejatuhan atau pengunduran mereka, namun Khalid boleh berbangga dengan rekod bersih dan pencapaiannya.

Khalid juga menteri besar pertama diwajibkan melafaz ikrar secara terbuka sewaktu mengangkat sumpah jawatan bagi penggal keduanya di Istana Alam Shah, pada 14 Mei 2013. Upacara yang berlangsung di hadapan Sultan Selangor itu dilihat unik dan merupakan sesuatu yang baharu. Menteri besar akan memegang Sang Buana - sebatang tombak yang matanya berbalut kain kuning dan melafazkan 10 aku janji untuk dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Daripada pemerhatian Awang, ternyata Khalid telah berpegang kepada aku janji tersebut bagi penggal kedua perkhidmatannya. Jangan sesekali melanggar aku janji Sang Buana. Khabarnya upacara itu tidak boleh diambil mudah kerana ada 'ikatan dan rahsia' tersendiri demi menjaga kepentingan negeri dan rakyat. Wallahualam.   Utusan/Rencana/20140921

Akta Hasutan perlu dikekalkan, gunalah cara berhemah

Ada pihak mendesak kerajaan supaya memansuhkan Akta Hasutan 1948. Kata mereka, akta ini sudah lapuk dan mencabul hak asasi manusia. Desakan mereka sebelum ini sudah berjaya apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat 1969 dan Akta Kediaman Terhad telah dimansuhkan pada 2011 walaupun kerajaan mengatakan itu bukan kerana desakan tetapi satu 'transformasi'.

Pihak yang lain pula melihat Akta Hasutan 1948 tetap relevan untuk mengekang anasir-anasir yang membangkitkan isu-isu menyentuh empat teras dalam Perlembagaan meliputi hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Raja-raja Melayu. Isu yang menyentuh teras ini ibarat bom jangka yang boleh meletup apabila disentuh suisnya.

Saya seperti majoriti rakyat negara ini berpendirian bahawa Akta Hasutan 1948 perlu dikekalkan. Sebabnya selepas berlaku tsunami politik, golongan proanarki bertindak melampau menyentuh perkara yang menjadi teras Perlembagaan. Ini menggugat kestabilan politik dan kaum apabila kedudukan orang Melayu, Raja-raja Melayu dan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dicabar.

Majoriti rakyat tidak terganggu dengan akta ini. Tetapi ada puak minoriti yang memberi alasan mereka terganggu dan tiada kebebasan kalau Akta Hasutan 1948 terus dikekalkan. Walaupun kewujudan akta ini tidak mengganggu kehidupan rakyat tetapi kalau ditiadakan mereka akan menerima kesannya. Maka yang perlu difikirkan sebelum membuat keputusan memansuhkan Akta Hasutan 1948 ialah kepentingan majoriti rakyat bukannya segelintir yang mempunyai agenda tersembunyi.

Pihak yang mendesak supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan sebahagiannya ada kepentingan tertentu. Mereka ini menggunakan bermacam-macam hujah terutama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia untuk mewajarkan akta berkenaan dimansuhkan. Tujuannya apabila sudah dimansuhkan, kerja-kerja onar mereka yang menyentuh empat teras dalam Perlembagaan itu terlepas daripada tindakan undang-undang.

Tetapi pada masa yang sama Akta Hasutan 1948 perlu digunakan secara berhemah, tidak melulu hingga menimbulkan persepsi ia dikekalkan untuk tujuan kelangsungan politik pihak tertentu. Perkara ini perlu diberi perhatian kerana persepsi yang tidak tepat juga boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat. Persepsi ini tercetus daripada cara bagaimana undang-undang itu digunakan dan tujuannya.

Misalnya ada sesetengah kes, bertali arus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis dan mendesak supaya Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan. Ini kerana hasutan individu tertentu boleh menggugat kestabilan politik dan kaum di negara ini. Tetapi seperti kura-kura, lambat untuk diambil tindakan. Malah ada yang langsung tidak diambil tindakan.

Satu contoh klasik kes budak Cina, Wee Meng Chee atau Namewee yang menyiarkan klip video mencerca seorang guru Melayu di Johor yang didakwa menyuruh seorang muridnya seorang Cina balik ke China. Klip video itu satu provokasi kaum dan polis sudah menyiasat kes ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 pada 2010. Tetapi sehingga kini habuk pun tidak ada. Saya berprasangka baik, Jabatan Peguam Negara sedang mengumpul fakta walaupun hampir empat tahun lamanya.

Tetapi ada sesetengah kes pula tindakan diambil terlalu pantas dan sedikit tergesa-gesa. Salah satunya kontroversi penahanan pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Dr. Azmi Sharom di bawah Akta Hasutan 1948. Dr. Azmi ditahan kerana memberi kenyataan dalam sebuah portal berita pada Ogos lalu yang bertajuk, Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told. Namewee empat tahun senyap, tiba-tiba kes ini pantas sangat. Baguslah bertindak pantas.

Tetapi yang menjadi persoalan ialah selepas dituduh, Pejabat Peguam Negara berjanji akan menyemak semula tuduhan yang dikenakan ke atas Dr. Azmi. Dalam satu kenyataan media, Peguam Negara, Gani Patail berkata, menyemak semula pertuduhan ke atas seseorang individu adalah prosedur biasa. Eh, macam itu pula? Tetapi saya sangat meragui ini satu prosedur.

Saya harap semua pihak jelas bahawa saya tidak memperjuangkan Dr. Azmi. Tolong jangan mempolitikkan saya. Pertuduhan yang dibuat mesti disertakan fakta yang kukuh. Sebab itulah menjadi persoalan apabila Gani berjanji menyemak semula selepas mendapat banyak bantahan. Ini memberikan persepsi bahawa akta itu digunakan secara tidak berhemah. Walaupun Gani menganggap bahawa menyemak semula selepas didakwa adalah "prosedur biasa" tetapi bagi bekas Peguam Negara, Abu Talib Othman, Gani memberi gambaran keputusan mengenakan tuduhan dibuat tanpa pertimbangan teliti dan serius terhadap semua fakta yang ada.

Tambah beliau kepada portal itu, "Mendakwa seseorang adalah perkara yang sangat serius kerana ia memberi kesan kepada kredibiliti, kedudukan dan maruah tertuduh. Ia akan menyebabkan tertuduh terganggu emosi. Malah, jika pertuduhan ditarik balik pun, kerosakan sudah berlaku."

Saya membangkitkan perkara ini kerana mempertahankan Akta Hasutan 1948. Sebabnya gelombang mendesak dimansuhkan Akta Hasutan 1948 semakin kuat. Jumaat lalu dalam mesyuarat agung luar biasa Majlis Peguam mengambil ketetapan mendesak dimansuhkan akta tersebut. Walaupun kita tahu Majlis Peguam memihak kepada fahaman politik tertentu tetapi tetap memberikan tekanan kepada kerajaan. Janganlah ditambah pula dengan misteri "semak semula" yang membuka ruang kepada pihak tertentu menjadikan hujah bahawa akta ini disalah guna. Bacalah yang tersirat, bukan tersurat.   Ku Seman Ku Hussain Utusan/Rencana/20140921

Ganti balik tanah yang hilang

ISU penghakisan Tanah Rizab Melayu bukan baharu. Ia telah lama berlegar-legar dalam kalangan orang Melayu yang tertanya-tanya sendiri berapa banyak tanah berkenaan yang masih tinggal dan adakah tanah-tanah yang ditukar statusnya telah digantikan berikutan kerancakan pembangunan yang berlaku di negara ini selepas 57 tahun mencapai kemerdekaan. Sekian lama, tidak kedengaran ada pemimpin kerajaaan negeri yang mendedahkan statistik kedudukan Tanah Rizab Melayu di negeri masingmasing, seolah-olah isu tersebut terlalu sensitif untuk diperkatakan. Namun, laporan Khas Tanah Rizab Melayu yang mula disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 17 September lalu membuatkan banyak orang Melayu tersentak apabila didedahkan bahawa kajian yang dijalankan pada 2009 mendapati keluasan tanah itu menyusut kepada hanya kira-kira 12 peratus daripada 12.9 juta hektar keseluruhan tanah Semenanjung Malaysia tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka. Bagi melihat isu tersebut secara lebih mendalam, kenapa masalah tersebut boleh berlaku sedangkan Tanah Rizab Melayu sepatutnya terpelihara kerana dilindungi Perlembagaan Persekutuan dan enakmen negeri, wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI mewawancara bekas Hakim Mahkamah Rayuan,DATUK MOHD. NOOR ABDULLAH yang arif tentang Perlembagaan Persekutuan.

MINGGUAN: Boleh Datuk ulas kedudukan Tanah Rizab Melayu dalam perundangan negara. Sejauh mana Tanah Rizab Melayu ini dilindungi Perlembagaan?

Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu antara lain menyatakan, "Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain." Tanah Rizab Melayu dinobatkan di bawah Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Tanah Rizab Melayu di setiap negeri yang beraja.

























Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, DATUK MOHD. NOOR ABDULLAH
yang arif tentang Perlembagaan Persekutuan.

MOHD. NOOR: Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu antara lain menyatakan, "Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain." Tanah Rizab Melayu dinobatkan di bawah Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Tanah Rizab Melayu di setiap negeri yang beraja. Menurut Perlembagaan Persekutuan, Tanah Rizab Melayu terbahagi kepada dua bahagian iaitu zaman pramerdeka dan zaman pasca merdeka. Tanah Rizab Melayu yang diisytiharkan demikian di bawah enakmen negeri masing-masing sebelum hari merdeka iaitu sebelum 31 Ogos 1957 tetap kekal sebagai Tanah Rizab Melayu selagi ada bulan dan matahari atau dalam erti kata lain, sampai ia berterusan. Tanah Rizab Melayu tidak boleh dipindah milik kecuali kepada orang Melayu. Ini menunjukkan betapa pentingnya Tanah Rizab Melayu dikekalkan.

Di samping Tanah Rizab Melayu, ada tanah dipanggil Tanah Adat Negeri Sembilan dan Naning yang tidak boleh bertukar tangan kecuali kepada anak perempuan dan turun-menurun kepada anak perempuan. Enakmen Tanah Rizab Melayu negeri itu tidak boleh dimansuhkan kecuali dengan satu enakmen atau undang-undang yang dibahaskan dan diluluskan oleh majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dan mendapat undi dua pertiga daripada ahli yang hadir dan mengundi. Kemudian dengan usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan perlu mendapat persetujuan suara majoriti serta dua pertiga undi ahli yang hadir mengundi. Ini bermakna, Enakmen Tanah Rizab Melayu ini tidak boleh dimansuhkan di sidang DUN sahaja tetapi perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini menunjukkan Perlembagaan hendak menjamin Tanah Rizab Melayu kekal turun-temurun. Maka, enakmen itu sendiri tidak boleh dimansuhkan kecuali dengan dua cara ini.

Hendak memansuhkan enakmen ini bukan mudah kerana perlu mendapat sokongan suara majoriti. Kalau DUN sesebuah negeri itu ada 56 ahli dewan, ia mesti mendapat sokongan 29 ahli dewan. Kalau 20 orang sahaja yang hadir dan mendapat sokongan dua pertiga tetapi tidak cukup 29 orang menyokong, maka ia tidak sah. Ini menunjukkan betapa susahnya hendak memansuhkan enakmen ini. Kalau di Dewan Rakyat, antara 222 undi, mesti mendapat 113 yang menyokong. Bukan sekadar 113 orang yang menyokong tetapi mendapat dua pertiga yang hadir mengundi dan jumlahnya mesti lebih daripada 113 undi itu. Kalau dimansuhkan pun, Tanah Rizab Melayu yang sudah sedia ada iaitu sebelum merdeka, tidak boleh dibatalkan. Hanya Tanah Rizab Melayu yang diisytiharkan selepas merdeka boleh dibatalkan. Sekiranya, Tanah Rizab Melayu dicabut keluar atau atas apa jua sebab tidak lagi menjadi Tanah Rizab Melayu, kerajaan negeri mesti dengan segera mengisytiharkan mana-mana tanah lain yang sekata, senilai dan sama luasnya. Ini menunjukkan Tanah Rizab Melayu tidak boleh berkurangan atau dikurangkan. Adalah tidak sah sekiranya Tanah Rizab Melayu di bandar dicabut keluar tetapi diganti dengan tanah lain di desa atau di pedalaman.

Bagaimana pula dengan tanah-tanah yang diisytiharkan selepas merdeka? Tanah yang bagaimana boleh diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu?

MOHD. NOOR: Menurut Enakmen Tanah Rizab Melayu, kerajaan negeri boleh mengisytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu, mana-mana tanah yang boleh dimajukan tetapi belum atau tidak dimajukan lagi. Begitu juga dengan tanah pertanian yang belum dan tidak dimajukan lagi. Kerajaan negeri boleh mengisytiharkan mana-mana tanah sebagai Tanah Rizab Melayu. Kalau tanah itu ada potensi untuk dimajukan, isytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu supaya orang Melayu boleh memajukannya. Itu yang penting. Kalau tanah itu tanah pertanian yang boleh digunakan untuk bercucuk tanam, isytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu untuk orang Melayu berladang, berkebun dan sebagainya. Adakah kerajaan buat semua ini? Istilah boleh mengisytiharkan tanah yang belum dimajukan sebagai Tanah Rizab Melayu bermakna tanah yang boleh dimajukan dan dicucuk tanam, bukan tanah yang tidak laku. Sebagai contoh, kalau Gunung Angsi di Negeri Sembilan boleh dimajukan, Kerajaan Negeri Sembilan mesti isytiharkan Gunung Angsi sebagai Tanah Rizab Melayu supaya orang Melayu boleh majukan sebagai kawasan pelancongan. Orang Melayu boleh cari rakan kongsi dari Arab untuk majukan kawasan itu.

Satu lagi contoh, kalau di Lenggeng, Negeri Sembilan, ada banyak bukit yang ada banyak batu, kerajaan Negeri Sembilan patut isytiharkan bukit-bukit itu sebagai Tanah Rizab Melayu untuk orang Melayu majukan kuari. Ini eloknya Tanah Rizab Melayu, ia boleh dibangunkan oleh orang bukan Melayu tetapi tidak boleh dimiliki. Maknanya, Tanah Rizab Melayu digunakan untuk kepentingan orang Melayu. Kalau ada tanah liat atau mineral, kerajaan isytiharkan kawasan itu sebagai Tanah Rizab Melayu. Undang-undang tadi mengatakan kerajaan negeri mengisytiharkan tanah yang belum dimajukan dan dicucuk tanam, inilah maksudnya. Namun masalahnya, kerajaan negeri memberi kepercayaan kepada syarikat bukan Melayu untuk memajukan tanah-tanah ini kerana beranggapan orang Melayu tidak berduit. Inilah yang saya katakan menggadaikan Tanah Rizab Melayu dan maruah orang Melayu. Kita tidak mahu pemimpin macam ini.

Kalau kedudukan Tanah Rizab Melayu ini begitu terjaga dalam undang-undang negeri dan negara, kenapa Tanah Rizab Melayu boleh terhakis sehingga kajian pada 2009 mendapati keluasan tanah berkenaan hanya kira-kira 12 peratus daripada 12.9 juta hektar keseluruhan tanah Semenanjung Malaysia tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka?

MOHD. NOOR: Sebelum merdeka, sudah ada Tanah Rizab Melayu dan tanah itu kekal sampai bila-bila dan tidak boleh dipindah milik kepada orang bukan Melayu. Berapa luas tanah itu, kita perlu buat kajian. Jika tanah ini dicabut keluar dan tidak lagi menjadi Tanah Rizab Melayu, tanah ini mesti diganti dengan tanah lain yang sama sifat atau nilai dan luasnya. Ini yang tidak dibuat. Di samping itu, Tanah Rizab Melayu berkurangan kerana ditukar milik atau dijual kepada syarikat, koperasi, pertubuhan atau bank yang diisytiharkan sebagai Melayu yang kemudiannya bertukar tangan kepada pemilik atau pemegang saham bukan Melayu. Enakmen Tanah Rizab Melayu membuat peruntukan yang membenarkan kerajaan negeri 'memelayukan' bank, koperasi, perbadanan dan syarikat sebagai orang Melayu yang dijadualkan di bawah enakmen tersebut. Dalam enakmen itu tadi, kerajaan negeri boleh mengisytiharkan bank, koperasi, perbadanan dan syarikat tertentu sebagai orang Melayu dan ia disenaraikan dalam jadual. Apabila diisytiharkan sebagai orang Melayu, organisasi itu boleh memiliki dan membangunkan Tanah Rizab Melayu. Orang yang merancang itu baik tetapi malangnya apabila syarikat itu bertukar tangan kerana saham dan pengarah boleh berpindah milik daripada orang Melayu kepada bukan Melayu. Tanah tadi masih kekal menjadi milik syarikat itu walaupun pemegang saham bertukar kepada orang bukan Melayu. Kerajaan tidak dapat memantau pertukaran saham atau pemilikan Tanah Rizab Melayu itu.

Inilah penghakisan Tanah Rizab Melayu. Siapa yang memantau Tanah Rizab Melayu tidak lagi dibangunkan oleh syarikat Melayu. Tanah Rizab Melayu yang dikeluarkan ini sepatutnya diganti balik tetapi tidak diganti. Kalau diganti pun, dengan tanah yang tidak laku, tidak sekata dan tidak senilai. Kalau tanah yang diganti itu lebih luas tidak apa tetapi mesti sama nilai. Kerajaan juga boleh merampas tanah berkenaan yang telah bertukar milik kepada bukan Melayu kerana melanggar syarat. Apabila dirampas, tanah ini tidak lagi menjadi Tanah Rizab Melayu tetapi menjadi tanah kerajaan, namun ini juga tidak diganti. Ada juga Tanah Rizab Melayu yang dirampas dan tidak lagi menjadi Tanah Rizab Melayu selepas diambil bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan raya, landasan kereta api dan sebagainya. Ini bermakna, Tanah Rizab Melayu sudah terhakis. Mana gantinya? Itu juga tidak dibuat. Bermakna, Tanah Rizab Melayu sebelum merdeka yang diambil tadi tidak diganti semula supaya keluasannya kekal sampai bila-bila. Kajian hendaklah dibuat berapa banyak Tanah Rizab Melayu pupus dan rakyat boleh menghukum mereka yang bertanggungjawab.

Sikap orang Melayu sendiri yang cepat gelap mata antara punca utama masalah ini. Mungkin Datuk boleh huraikan perkara ini?

MOHD. NOOR: Salah satu puncanya ialah kerajaan negeri hendakkan pembangunan supaya diperlihatkan kepada Perdana Menteri bahawa menteri besar dan barisan exconya bekerja. Pembangunan merupakan keutamaan untuk menujukkan petunjuk prestasi utama (KPI) mereka. Pihak yang membangunkan ini ialah syarikat pemaju yang mencadangkan kepada kerajaan negeri bagaimana untuk membuat sesuatu pembangunan. Pemaju mengatakan kononnya Tanah Rizab Melayu tidak bernilai dan tidak ada sambutan sekiranya dimajukan serta beberapa propaganda lain. Soalnya, ada atau tidak Tanah Rizab Melayu di pinggir-pinggir bandar yang telah dibangunkan tetapi rumahnya tidak terjual? Tidak ada lagi. Orang Melayu sekarang mampu, malah mampu membeli unit kediaman yang terbuka pemilikan umum. Satu lagi, kenapa tanah yang diberi dan ditukar milik kepada majlis agama Islam negeri atau perbadanan pembangunan ekonomi negeri (SEDC), kemudiannya badan ini memajukan tanah itu dengan kerjasama syarikat bukan Melayu. Soalnya, apabila dimajukan dengan kerjasama syarikat-syarikat bukan Melayu, pemaju yang menentukan lot-lot pilihan untuk dijual. Lot-lot pilihan ini seperti unit bawah atau lot tepi. Pemaju yang menentukan dan mereka kata lot ini sudah dijual, menyebabkan pembeli Melayu mendapat lot-lot di belakang. Jadi, keuntungan diraih oleh majlis agama Islam negeri dan SEDC atau pemaju? Maknanya, kita beri tanah kepada badan ini untuk kerjasama dengan orang lain. Siapa yang menjadi penasihat badan ini untuk memastikan kerjasama itu berpihak kepada orang Melayu? Kenapa tidak jalinkan kerjasama dengan syarikat pemaju Melayu supaya kita dapat mengawal rumah, kedai dan gedung ini agar dimiliki oleh orang Melayu. Kenapakah majlis agama Islam negeri dan SEDC tidak memberikan kepada syarikat pemaju Melayu untuk memajukan tanah-tanah ini supaya orang Melayu mendapat lot-lot yang strategik, bukannya sisa-sisa diberi kepada orang Melayu oleh pemaju bukan Melayu?

Biasanya, kalau kita hendak beli rumah, kita tengok banyak papan tanda lot-lot rumah yang strategik sudah terjual. Kalau sudah terjual, jual kepada siapa? Rumah ini dijual kepada mereka yang ada kepentingan. Orang Melayu menggadaikan bangsa dan maruah Melayu dengan disogok membeli lot-lot pilihan dengan tujuan untuk menjual semula dalam tempoh enam bulan dan meraih keuntungan. Mereka ini ialah orang Melayu yang tidak bermaruah yang sanggup menggadaikan bangsa dan maruah Melayu. Undang-undang kata selepas merdeka, kerajaan mengisytiharkan Tanah Rizab Melayu dengan syarat disediakan tanah untuk pemilikan umum. Sediakan Tanah Rizab Melayu dahulu sebelum pemilikan umum tetapi sebagai contoh di Negeri Sembilan, kita lihat berapa banyak tanah disediakan untuk pemilikan umum tetapi tidak ada Tanah Rizab Melayu untuk mengimbangi tanah pemilikan umum ini. Misalnya, Seremban 2 dan Seremban 3 dibangunkan untuk semua orang. Sekarang ini sudah disediakan tanah untuk umum tetapi di mana lawannya iaitu menyediakan Tanah Rizab Melayu? Tidak ada. Sepatutnya disediakan Tanah Rizab Melayu dahulu dan selepas itu, baharulah tanah pemilikan umum. Sepatutnya, sebelum ada Seremban 2 dan Seremban 3, tanah di Sendayan dibangunkan terlebih dahulu untuk orang Melayu. Saya sudah lapan tahun menjelajah negara ini, berucap kepada orang awam tentang Perlembagaan termasuk Tanah Rizab Melayu di setiap negeri tetapi tidak didengar oleh pemimpin-pemimpin negeri. Sama ada mereka tidak faham atau faham tetapi buat-buat tidak faham.

Apakah langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk memulihkan Tanah Rizah Melayu ini?

MOHD. NOOR: Tanah Rizab Melayu dalam undang-undang adil kerana bukan hanya beri kepada orang Melayu tetapi juga kepada orang lain. Orang Melayu sudah ada Tanah Rizab Melayu sebelum merdeka, yang itu berterusan. Selepas merdeka, kerajaan isytihar Tanah Rizab Melayu lagi tetapi kerajaan mesti sediakan tanah lain untuk pemilikan awam yang sama jumlahnya. Maknanya, di sini letak keadilan. Tanah Rizab Melayu selepas merdeka sekian banyak, beri pula kepada semua orang seluas itu. Tanah untuk pemilikan awam itu termasuk orang Melayu kerana orang Melayu pun orang awam. Maka, orang Melayu boleh bersaing dengan orang lain untuk memiliki tanah awam tadi. Kalau itu pun tidak cukup dan kerajaan sudah tidak ada tanah, kerajaan boleh mengambil/beli tanah bukan kerajaan dan mengisytiharkan tanah itu sebagai kawasan penempatan orang Melayu atau bukan Melayu atau penempatan bersama. Selain itu, bagi menambah Tanah Rizab Melayu, kerajaan boleh mengisytiharkan Tanah Rizab Melayu di atas permohonan individu pemilik Melayu supaya tanah itu tidak dipindah milik kepada bukan Melayu. Kerajaan boleh menggalakkan orang Melayu menukar status tanah putih atau tanah bebas ini kepada Tanah Rizab Melayu. Ini untuk menambah bilangan Tanah Rizab Melayu. Ada kerajaan buat macam itu?

Hak ketuanan Tanah Rizab Melayu pramerdeka campur lagi dengan Tanah Rizab Melayu pasca merdeka dan campur seluas mana orang Melayu mampu memiliki tanah bukan Melayu yang disediakan untuk hak milik awam serta campur lagi Tanah Rizab Melayu yang dipaksa ambil oleh kerajaan dengan persetujuan dan campur lagi tanah yang dipohon oleh pemiliknya supaya ditukar kepada Tanah Rizab Melayu, sepatutnya kita sudah ada lebih daripada 50 peratus. Sepatutnya, kerajaan beri kepada majlis agama Islam negeri dan isytiharkan tanah ini sebagai Tanah Rizab Melayu. Majlis agama Islam negeri boleh diisytiharkan sebagai orang Melayu dalam senarai jadual siapa Melayu. Dengan itu, tanah yang diisytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu boleh dibangunkan. Sepatutnya, Tanah Rizab Melayu boleh dibangunkan dan dimajukan di sekitar bandar dan bandar raya untuk menyusun semula masyarakat atau memastikan Tanah Rizab Melayu dimajukan dan dimiliki oleh orang Melayu supaya orang Melayu berada dalam keadaan majoriti di kawasan pilihan raya ramai Melayu.

Kita tengok Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) hendak buat kawasan perumahan rakyat di Pulau Pinang tetapi kerajaan negeri tidak luluskan walaupun sudah lapan tahun permohonan dibuat. Apa sebabnya? Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak luluskan kerana tidak mahu orang Melayu duduk sekelompok agar mereka tidak boleh menentukan keputusan pilihan raya. Sebab itu di Singapura, orang Melayu tidak dibenar duduk berkelompok, sebaliknya bertaburan supaya undi berpecah. Itu kita cakap pasal negara yang mempunyai 90 peratus orang Cina. Itu juga yang dilakukan di sini dan dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ditaburkan penduduk Melayu di sini supaya tidak boleh menentukan kemenangan dalam pilihan raya. Kita sepatutnya taburkan orang Melayu tinggal di kawasan Tanah Rizab Melayu yang dibangunkan oleh kerajaan atau swasta bagi memastikan pengundi Melayu menjadi majoriti atau melebihi 50 peratus supaya dapat memastikan kemenangan orang Melayu dalam pilihan raya. Kerajaan hendaklah menggunakan Tanah Rizab Melayu sebagai senjata untuk menempat dan memperkasakan orang Melayu di kawasan strategik supaya boleh menang di kawasan-kawasan tertentu semasa pilihan raya. Jangan tengok sahaja tetapi perluaskan lagi Tanah Rizab Melayu ini.

Utusan/Rencana/20140921