October 23rd, 2014

Kuasai sains, matematik

Lahirkan ramai saintis supaya maju dalam bidang angkasa

Saat Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menjejakkan kaki ke Stesen Satelit Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007 merupakan catatan kejayaan besar Malaysia dalam menceburi ilmu angkasa dan penyelidikan saintifik.

“Harus diingat bahawa kejayaan Sheikh Muszaphar pergi ke ISS hanyalah sebagai penumpang dan jika tiada kemajuan yang dapat dicapai oleh rakyat kita, sampai bila-bila pun kita hanya sebagai penumpang,” katanya.



Dr. Mahathir Mohamad melakukan gimik pelancaran Hari Angkasawan Negara Ke-7 sambil diperhatikan Dr. Noor Azlan Ghazali (kiri), Sheikh Muszaphar Shukor (tiga dari kiri), Chiaki Mukai (dua dari kanan), Salizhan Shakirovich Sharipov (kanan) dan Klaus-Dietrich Flade di UKM, Bangi, Selangor, semalam. – Utusan/JEFFRI IRAN

Kejayaan itu sewajarnya menjadi sejarah yang tidak akan dilupakan namun hakikatnya masih banyak yang perlu dipelajari Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dalam pelbagai bidang termasuk ilmu.

Menjelaskan perkara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia masih perlu bekerja keras melahirkan lebih ramai saintis dalam bidang sains dan matematik untuk lebih maju dalam bidang angkasa jika tidak mahu terus ketinggalan.

“Angkasawan itu penting tetapi tidak kurang pentingnya orang yang berada di bumi ini bagi memastikan semasa Sheikh Muszaphar dihantar ke angkasa, dia tidak hilang dan kenderaan yang dinaiki boleh sampai dengan selamat ke ISS.

“Untuk melakukan perkiraan seperti itu memerlukan ilmu fizik, matematik dan sains yang tinggi sehingga tiada seorang pun rakyat Malaysia mampu mencapainya ketika ini,” katanya ketika berucap pada Hari Angkasawan Negara Ke-7 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali; Pengarah Institut Perubahan Iklim UKM, Prof. Datuk Dr. Sharifah Mastura Syed Abdullah dan Sheikh Muszaphar.

Program bertemakan UKM Di Angkasa itu yang dibuat sempena kejayaan Sheikh Muszaphar berada di ISS turut dihadiri angkasawan wanita Jepun, Dr. Chiaki Mukai; angkasawan Rusia, Salizhan Shakirovich Sharipov dan angkasawan Jerman, Klaus-Dietrich Flade.

Dr. Mahathir berkata, untuk menjadikan Malaysia antara peneraju bidang ilmu, perkara asas adalah mendidik golongan muda agar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik sejak dari peringkat sekolah.

Katanya, tanpa mengabaikan kepentingan bahasa Melayu, semua pihak perlu mengakui hanya dengan menguasai bahasa Inggeris barulah Malaysia mampu melahirkan cendekiawan atau saintis dalam bidang matematik, sains dan fizik.

“Dalam usaha menjadi negara maju, sepatutnya menyedarkan kita bahawa ilmu itu penting untuk dimiliki kerana dari situlah perkembangan yang signifikan mampu dicapai tidak kira bidang mana sekali pun.

“Harus diingat bahawa kejayaan Sheikh Muszaphar pergi ke ISS hanyalah sebagai penumpang dan jika tiada kemajuan yang dapat dicapai oleh rakyat kita, sampai bila-bila pun kita hanya sebagai penumpang,” katanya. RODELIO JUNJUN TAUCAN DAN FITRIE ZARIQ (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) Utusan Nasional| 21 Oktober 2014 3:33 AM

Malaysia miliki pakar kaji selidik untuk ganti Nielsen

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mempunyai ramai pakar kaji selidik yang boleh digembleng untuk membantu syarikat penerbitan dan penyiaran mendapatkan rating pembaca dan penonton berikutan kegagalan firma The Nielsen Company (Malaysia) Sdn. Bhd. (Nielsen) menyediakan maklumat yang tepat.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Ismail Sualman berkata, pakar yang bergabung di bawah firma atau institut kaji selidik itu perlu diselia Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya tidak bias serta dipengaruhi oleh pihak berkepentingan.

“Belum ada lagi syarikat tempatan yang menjalankan kajian pasaran dan kebanyakannya masih bergantung kepada khidmat Nielsen yang menggunakan kayu ukur ketinggalan zaman.

“Kaji selidik rating memerlukan pengumpulan data dan pemilihan responden bagi menitik beratkan aspek kebolehpercayaan supaya data yang diperoleh dapat menggambarkan situasi sebenar kajian melalui instrumen yang betul,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff mengenai cadangan mewujudkan firma kaji selidik tempatan berikutan dakwaan bekas Menteri Pe­nerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang menyatakan hasil kajian Nielsen mempunyai agenda tersembunyi.

Nielsen yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat, merupakan sebuah syarikat global dalam bidang penilaian dan maklumat pasaran dalam segmen kepenggunaan, pemasaran, penilaian televisyen dan media.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Syed Agil Syed Alsagoff berkata, penubuhan firma kaji selidik tempatan sudah lama ditunggu kerana firma luar kurang arif mengenai demografi sebenar selain tidak memenuhi aspirasi negara.

“Firma kaji selidik itu kelak mestilah mengambil sumber dan nasihat pakar akademik dan golongan profesional dalam industri supaya hasil kajian akan lebih tepat sekali gus memperoleh kajian pemasaran yang lebih baik,” katanya.

Syed Agil berkata, penubuhan firma tersebut kemudian boleh diperluaskan ke rantau Asia untuk memberi khidmat kaji selidik kepada organisasi luar yang seterusnya akan membanggakan negara.

Utusan Nasional 23 Oktober 2014