October 24th, 2014

8 tip elak bazir elektrik

Ketika kos hidup kian meningkat, pasti ramai antara kita yang mencuba sedaya boleh untuk meminimumkan penggunaan elektrik dan air harian.

Secara amnya, menjimatkan penggunaan air adalah lebih mudah kerana tidak berkait penuh de­ngan keperluan perkakasan lain.

Berbanding elektrik, kita seolah-olah terikat dengan sumber tenaga yang satu ini dalam me­nyempurnakan keperluan perkakasan rumah.

Tidak kira peti sejuk, lampu, kipas, ketuhar gelombang mikro, penyaman udara, televisyen, pemanas air, telefon, waima periuk nasi dan cerek sekali pun memerlukan sumber elektrik untuk berfungsi.

Justeru, bagaimana hendak berjimat? Adakah kita perlu menjauhi semua peralatan ini?

Sebenarnya, banyak tip penjimatan dikongsi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk meringankan beban kos hidup rakyat yang kian terhimpit.

Sebagai langkah permulaan, anda boleh jadikan lapan tip utama berikut sebagai panduan harian.

1. Padamkan lampu dan perkakasan elektrik jika tidak digunakan, termasuk televisyen dan komputer yang sering ditinggalkan dalam keadaan 'sleep mode'.

2. Elakkan penggunaan penyaman udara pada suhu melampau. Selaraskan suhu antara 22 hingga 26 darjah Celsius untuk mencapai keselesaan optimum.

3. Jika kekerapan penggunaan penyaman udara tidak dapat dielakkan, pastikan penapis udara dalam keadaan bersih. Ini bagi mengelakkan unit penyaman udara menggunakan tenaga lebih untuk bekerja.

4. Pertimbangkan pemasangan langsir atau filem penapis haba pada cermin tingkap dan pintu bagi me­ngelakkan kemasukan cahaya matahari secara terus.

5. Pilih peti sejuk yang menepati keperluan keluarga serta mempunyai label tenaga. Label berkenaan adalah indikator penting untuk menilai kadar prestasi penggunaan sesuatu peralatan elektrik.

6. Elakkan menyimpan makanan yang masih panas ke dalam peti sejuk, kerana ia memaksa perkakasan anda untuk bekerja lebih keras.

7. Pertimbangkan penggunaan lampu LED untuk pencahayaan di dalam rumah kerana ia mampu menjimatkan tenaga elektrik sehingga 50 peratus.

8. Masak air menggunakan dapur gas kerana ia lebih murah dan efisien.

Selain tip di atas, anda juga boleh mengubah rutin harian seperti menggosok dan membasuh pakaian.

Umpamanya, seterika pakaian yang banyak sekali gus untuk mengelakkan pembaziran pemanasan semula seterika setiap kali digunakan.

Bagi kerja mencuci pakaian, anda mungkin patut membeli mesin basuh muatan depan sekiranya membasuh dengan kerap.

Ini kerana ianya 15 peratus lebih cekap tenaga dan menggunakan 40 peratus kurang air berbanding mesin basuh muatan atas.

Bagaimanapun, mesin basuh muatan depan lebih mahal daripada muatan atas. Selamat mencuba! myMetro Nuansa 24Oktober 2014

Sekolah perlu lahir pelajar cemerlang akademik, jati diri

BAGI pelajar Tingkatan Lima, minggu ini mereka diberi cuti seminggu, sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula minggu depan. Cuti seminggu atau apa yang dipanggil 'minggu belajar' menjelang hari peperiksaan itu, sama seperti diberikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi sebelum menduduki peperiksaan.

Dalam tempoh seminggu sebelum 'hari besar' itu, pelajar berpeluang membuat persediaan akhir. Ia menandakan mereka sudah menamatkan silibus pelajaran mereka. Ia juga menandakan tempoh alam persekolahan mereka di sekolah menengah sudah berakhir. SPM adalah penentu kepada perjalanan masa depan mereka sama ada meneruskan pengajian ke tahap lebih tinggi, memasuki alam pekerjaan dengan kelulusan paling minimum itu atau hanyut dalam dunia mereka sendiri.

Selama seminggu itu pelajar biasanya menggunakan sepenuh masa untuk membuat ulang kaji pelajaran yang diajar oleh guru masing-masing sejak mereka berada di sekolah menengah atas.

Majlis graduasi untuk pelajar

Minggu lalu atau minggu sebelumnya, banyak sekolah menengah mengadakan hari graduasi kepada pelajar Tingkatan Lima di sekolah masing-masing. Pada hari graduasi itu, pelajar menerima sijil masing-masing, menandakan mereka mengakhiri alam persekolahan sekolah menengah. Walaupun masih berada di sekolah menengah hari penyampaian sijil itu dinaikkan taraf seolah-olah mereka berada di alam universiti.

Hari graduasi mula diadakan sejak beberapa tahun lalu sebagai persediaan dan galakan kepada pelajar untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi. Ia juga menjadi hari kenang-kenangan dan bersejarah kepada pelajar kerana selepas peperiksaan nanti mereka akan berpisah dan menentukan haluan masing-masing.

Pada hari graduasi, pelajar memakai jubah seolah-olah mereka menerima skrol seperti di universiti. Guru sekolah juga memakai jubah seperti majlis graduasi di universiti untuk memberi gambaran yang mereka berada di sebuah universiti.

Ada sekolah, khasnya di bandar besar, mengadakan majlis itu di hotel untuk memberi inspirasi kepada pelajar bahawa mereka dihargai. Ada juga yang mengadakan majlis itu di dewan sekolah. Mungkin majlis seperti ini boleh diadakan di universiti untuk merapatkan diri mereka dengan suasana di menara gading.

Persatuan Ibu-Bapa Guru biasanya menjadi penggerak utama menjayakan majlis seperti itu. Untuk memeriahkan majlis, ibu bapa dijemput meraikan hari graduasi untuk anak mereka.

Bagi ibu bapa kepada pelajar berkenaan, mereka mungkin tidak pernah mempunyai pengalaman menerima sijil pada hari graduasi seperti itu. Majlis graduasi seperti itu tidak pernah diadakan ketika mereka berada di sekolah menengah. Jika ada pun hanya hari penyampaian hadiah bagi meraikan mereka yang berjaya dalam pelajaran dan pertandingan diadakan. Bagi ibu bapa, mereka meninggalkan sekolah tanpa majlis yang dianggap bersejarah.

Pada majlis ini, pengetua sekolah mengambil kesempatan memberi nasihat kepada pelajar, sebelum mereka masuk ke dalam dewan peperiksaan nanti. Pengetua meletakkan harapan yang tinggi agar pelajar dapat menjawab soalan peperiksaan SPM dengan baik. Guru hanya mampu mengajar berasaskan kepada silibus yang ditetapkan. Selebihnya adalah usaha pelajar sendiri menerusi pembacaan daripada buku teks, didikan guru dan sumber serta bahan bacaan yang lain.

Mengharap pencapaian cemerlang

Sudah tentu pengetua sekolah mahukan pelajar mereka berjaya dengan cemerlang. Begitu juga dengan guru dan ibu bapa. Bagi pelajar sendiri, sudah tentu mereka juga mahu berjaya dan mendapat semua A bagi setiap mata pelajaran. Nasihat daripada pengetua itu amat berguna untuk pelajar sebagai tangkal dan azimat supaya dapat menjawab soalan dengan lebih yakin.

Pengetua dan guru mengharapkan ramai pelajarnya mencapai kejayaan yang cemerlang kerana ia akan meningkatkan pencapaian Indeks Utama Prestasi (KPI) sekolah berkenaan. Namun, ada yang berpendapat, kemajuan bidang pendidikan tidak sewajarnya berasaskan kepada pencapaian KPI semata-mata. Paling penting, setiap sekolah perlu menghasilkan pelajar berkualiti. Tidak ada ertinya jika mereka mendapat keputusan yang baik, tetapi mempunyai kelemahan daripada pelbagai ciri-ciri penting lain seperti kemampuan berkomunikasi, disiplin diri, tinggi nilai jati diri dan sebagainya.

Sudah menjadi kebiasaan, di setiap sekolah, kumpulan pelajar mempunyai latar belakang berbeza khasnya penduduk di bandar. Ada antara mereka daripada kalangan anak orang kaya yang dihantar mengikuti tuisyen dan tidak kurang juga anak orang miskin. Namun, mereka belajar bersama dalam satu kelas dan berkawan tanpa mengira bangsa dan agama.

Bagi pelajar, jika mereka dilahirkan miskin, itu bukanlah kesalahan mereka, tetapi jika mereka mati miskin, itu adalah kesalahan mereka. Ini menunjukkan betapa pentingnya pelajaran bagi kehidupan seseorang. Jika pelajar tidak berusaha mengubah kehidupan mereka, tidak ada siapa yang boleh dipersalahkan, melainkan diri sendiri.                 Mior Kamarul Shahid Berita Harian Rencana JUMAAT, 24 OKTOBER 2014 @ 8:26 AM

Peruntukan RM1.3b perkasa penyelidikan IPT tempatan

Warga akademik, khususnya di institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara tentunya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperuntukkan RM1.3 billion kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada Bajet 2015 untuk program pembangunan inovasi dan pengkomersialan.

Walaupun peruntukan berkenaan disalurkan kepada MOSTI, tidak bermakna penyelidik di institusi pengajian tinggi awam dan lain-lain institusi penyelidikan yang tidak bernaung di bawah MOSTI tidak mendapat peruntukan.

Satu pelaburan bijak ???



Untuk kayakan kroni lagi ka ?
Rujuk Artikel:
http://kheru2006.livejournal.com/1101420.html




Oleh itu, penyelidik yang waras, tidak akan membuang masa, tenaga dan wang ringgit melakukan penyelidikan hanya untuk syok sendiri














lawan

Warga akademik yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan turut mendapat manfaat kerana institusi pengajian tinggi diakui banyak menyumbang kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan di negara ini.

Justeru, kerajaan memberi status Universiti Penyelidikan kepada Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Status berkenaan sebagai mengiktiraf peranan institusi berkenaan yang mencapai tahap tertinggi dalam memperkasakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan di negara ini.

Sebagai Universiti Penyelidikan, pusat pengajian tinggi berkenaan turut mendapat peruntukan tahunan khusus untuk program enyelidikan dan pembangunan.

Satu pelaburan bijak

Walaupun diberi peruntukan, warga akademik dari universiti berkenaan masih boleh mendapatkan pembiayaan daripada MOSTI bagi menjalankan penyelidikan dengan mengemukakan permohonan untuk dipertimbangkan.

Peruntukan sebanyak RM1.3 billion kepada MOSTI adalah satu pelaburan yang bijak. Menerusi peruntukan berkenaan lebih banyak projek penyelidikan dan pengkomersialan dapat dijalankan.

Bagi tempoh tahun 2007 hingga tahun 2013, lima buah Universiti Penyelidikan itu berjaya menjana pendapatan RM3.6 billion menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh di UTM, baru-baru ini.

Pendapatan berkenaan diperolehi menerusi pengkomersialan produk penyelidikan bernilai RM1.25 billion, selain sumbangan RM205.14 juta melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang berfokuskan kepada 12 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Ketika negara menuju ke arah negara maju, Malaysia memerlukan pembangunan modal insan berpengetahuan tinggi pada peringkat Doktor Falsafah (PhD). Hampir keseluruhan pengajian pada peringkat PhD, terutama dalam bidang kejuruteraan dan teknologi dijalankan menerusi kaedah penyelidikan.

Pelbagai pengajian diperkenalkan untuk melahirkan tenaga kerja mahir berpendidikan tinggi, antaranya MyBrain 15 dan PhD Industri. Mereka yang mengikuti program PhD Industri tidak perlu hadir ke kuliah, sebaliknya bekerja seperti biasa dan pada masa sama menjalankan kajian bagi mencari penyelesaian kepada masalah di tempat kerja.

Hasil yang diperolehi melalui program itu bukan berbentuk produk, sebaliknya pengetahuanbaharu, penambahbaikan proses dan penjimatan kepada industri terbabit.

Bantu selesai masalah industri

Sepanjang tempoh tahun 2005 hingga 2013, 1,153 produk penyelidikan, termasuk projek perundingan dan penyelesaian kepada masalah industri telah berjaya dilaksanakan. Di samping itu, PhD Industri dapat mengukuhkan lagi hubungan antara universiti dan industri, memperbanyak aktiviti penyelidikan dan membantu menjayakan hasrat kerajaan menyediakan 60,000 graduan PhD menjelang tahun 2023.

Langkah berkenaan dapat membantu kerajaan menjayakan pelaburan berkualiti tinggi yang berasaskan teknologi, inovasi dan pengetahuan membabitkan pekerja berkelayakan tinggi dan berpengetahuan dengan gaji yang tinggi, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi Tindakan Ketujuh: Pelaburan Berkualiti Tinggi dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini. Dalam menjalankan penyelidikan, tidak semua kajian dengan sekali percubaan akan berakhir dengan kejayaan. Thomas Edison menjalankan kajian lebih seribu kali sebelum berjaya menghasilkan lampu.

Namun, sesetengah pihak sering menganggap penyelidikan akan berakhir dengan penghasilan produk untuk pengguna. Bagaimanapun, hasil kajian adalah pelbagai termasuk dalam bentuk penerbitan, formula dan paten. Dalam keghairahan untuk mengkomersialkan produk yang dihasilkan, ada industri yang tidak jujur. Mereka membeli paten yang dihasilkan penyelidik dan melakukan blanketing bagi melindungi produk mereka yang sedia ada di pasaran.

Hakikatnya, penyelidikan ambil masa yang lama, memerlukan ketekunan, kesabaran, selain dana yang mencukupi untuk membeli peralatan dan membayar gaji kepada pembantu penyelidik. Oleh itu, penyelidik yang waras, tidak akan membuang masa, tenaga dan wang ringgit melakukan penyelidikan hanya untuk syok sendiri. Rujuk kheru2006.livejournal.com/1101420.html

Sabri Ahmad Berita Harian Rencana RABU, 22 OKTOBER 2014 @ 7:01 AM