October 27th, 2014

Seni aliran ekspresionisme

Ekspresionisme adalah kecenderungan seorang seniman untuk merealisasikan kenyataan dengan efek-efek emosional. Istilah emosi ini biasanya lebih menuju kepada jenis emosi kemarahan berbanding emosi bahagia.

Aliran ekspresionisme berkembang sepanjang akhir abad 19 dan awal abad 20. Kemunculannya merupakan reaksi terhadap standart akademik yang berlaku di Eropah sejak Renaisans, terutama seni akademik di Perancis dan Jerman.

Pelukis aliran ini berusaha menghadirkan pengalaman emosional, mereka tidak tertarik pada realiti seperti yang dilihat mereka sendiri. Subjek lukisan seringkali mengalami perubahan bentuk, dilebih-lebihkan atau diubah untuk menekankan aspek pengalaman emosional.

Istilah ekspresionisme mulai diterapkan untuk menonjolkan lukisan sejak tahun 1911 ketika lukisan corak ini semakin banyak diciptakan oleh para seniman di beberapa negara.

Pada akhir abad 19 dan awal abad 20 pelukis Vincent Van Gogh dari Belanda, Paul Gauguin dari Perancis dan pelukis Edvard Munch dari Norwegia melukis dengan menggunakan warna garang dan garis berlebihan untuk menerangkan tentang aspek emosi dalam lukisan.


Composition with Two Cows.

Composition with Two Cows.

karya lukisan Rolf Nesch

Karya lukisan Rolf Nesch

Rider with Lasso.

Rider with Lasso.

Emil Nolde

Emil Nolde

Kelompok paling penting ekspresionisme abad 20 bermula di sekolah di Jerman. Gerakan dimulai oleh pelukis Ernst Ludwig Kirchner, Erich Heckel dan Karl Schmidt Rottluff yang mengorganisasikan sebuah kelompok yang disebut Die Brucke (jambatan) di Dresden pada tahun 1905. >>

>> Pada tahun 1912 kelompok ini mempamerkan lukisan bersama kelompok pelukis dari Munich yang disebut Der Blaue Reiter. Perkembangan selanjutnya para pelukis ekspresionis bertambah lagi, bergabung dengan pelukis Jerman seperti Franz Marc, August Macke, Gabriele Munter dan Heinrich Campendonk, Paul Klee (Swiss) dan Wassily Kandinsky (Rusia).

Abstrak Ekspresionisme

Lukisan abstrak ekspresionisme berkembang pada pertengahan abad ke-20. Lukisan ini menunjukkan aksi spontan individu dengan aksi melukis. Gaya dan karakteristiknya lebih bervariasi.

Lukisan abstrak ekspresionisme umumnya tidak berupa gambaran yang biasa dikenali seperti karya-karya lukisan sebelumnya.

Kedatangan sejumlah pelukis Eropah di New York, Amerika Syarikat (AS) pada masa Perang Dunia II (1939-1945) telah memberikan inspirasi baru kepada pelukis AS.

Pelukis Eropah seperti Max Ernst, Marcel Duchamp, Marc Chagall dan Yves Tanguy, menginspirasi sejumlah pelukis AS pada tahun 1940-an hingga 1950-an.

Pelukis AS juga dipengaruhi oleh abstraks subjektif pelukis Armenia, Arshile Gorky yang berpindah ke negara tersebut pada tahun 1920. Pelukis Jerman, Hans Hofmann dengan karyanya yang menekankan pada interaksi dinamik bidang warna juga menjadi inspirasi sejumlah pelukis AS.

Di Amerika, gerakan abstrak ekspresionisme berpusat di New York. Ada dua kecenderungan besar yang muncul pada gerakan ini, iaitu lukisan berdasarkan aksi pelukis (Action Painters) dan lukisan yang menekankan pada warna dan bentuk.

Aksi pelukis (Action Painters) berkaitan dengan tekstur cat dan gerakan pelukis dalam proses penciptaannya, lukisan diciptakan melalui aksi atau gerak tubuh pelukis. Jackson Pollock ialah tokoh dalam menciptakan lukisan dengan kaedah ini.

Pelukis lain Willem de Kooning dan Franz Josef Kline menggunakan sapuan berus lebar untuk menciptakan ritma abstraks, sehingga menciptakan kesan ruang tanpa batas.

Pelukis Mark Rothko menciptakan warna-warna dalam bentuk bujur pada karyanya. Pelukis lain seperti Bradley Walker Tomlin, Philip Guston, Robert Burns Motherwell, Adolph Gottlieb dan Clyfford Still pula berkarya dengan menggabungkan kaedah mengecat dan gabungan warna.

RASDAN AHMAD (RASDAN_UTUSAN@YAHOO.COM) Utusan Malaysia Rencana 26 Oktober 2014 9:31 PM

Rumah mampu milik atau mampu tengok?

MENGIKUT portal har­tanah Global Property Guide, pada suku ke­­tiga tahun 2013, harga rumah di Kuala Lumpur adalah tertinggi di negara ini dengan harga purata sebuah rumah mencecah RM 620,758. Ini diikuti oleh Sabah dan Selangor, dengan harga purata masing-masing RM413,187 dan RM405,826.

Menurut seorang pekerja swasta yang menyewa rumah di Shah Alam dan bekerja di Subang Jaya, Futra Hurairah, - “Kalau keadaan begini  berterusan, 10 tahun lagi pun belum tentu  mampu membelinya.”
Portal yang sama menyatakan dalam suku ketiga tahun 2013, harga purata sebuah rumah teres di negara ini adalah sekitar RM238,337 manakala harga sebuah rumah berkembar adalah RM421,622 dan harga sebuah rumah banglo adalah RM458,858.
Pastinya harga sebenar sebuah rumah itu berbeza mengikut lokasi, dan tertakluk juga kepada elemen bekalan dan permintaan. Apa pun, secara mudah bolehlah kita katakan bahawa harga sebuah rumah teres sudah mencecah suku juta ringgit manakala jenis lain sudah mencecah setengah juta ringgit ke atas.
Tak hairanlah kita kenapa ramai orang  muda yang penulis temui di Lembah Klang memberitahu bahawa rumah yang dibina oleh pemaju sudah tidak lagi berkategori “mampu milik”. Mereka berpendapat rumah yang dibina sekarang ditujukan kepada pembeli asing. Akibatnya, bagi golongan muda, rumah yang ada sekarang hanyalah rumah “mampu tengok” sahaja.
Mereka tidak mengatakan kerajaan tidak melakukan sesuatu meng­atasi masalah ini. Mereka tahu bahawa pada Januari 2010, harga lantai yang ditetapkan oleh kerajaan bagi pembeli asing adalah RM500,000 manakala pada Januari 2014 lalu, tahap ini telah dinaikkan lagi ke paras RM1 juta.
Hanya rumah kediaman yang berharga melebihi harga lantai itu sahaja yang boleh dibeli oleh pembeli asing.
Persoalannya, apakah langkah kerajaan menetapkan harga lantai ini sudah memadai mengekang selera pembeli asing membeli dan memiliki rumah kediaman di negara ini?
Tidak bolehkah pemaju perumahan kita dipaksa membina sekian peratus rumah mampu milik (mi­salnya di bawah RM250,000) bagi setiap projek perumahan yang mereka ingin bangunkan?
Kalau pada satu masa dulu, kerajaan ada dasar memaksa pemaju perumahan membina misalnya 30% rumah kos murah atau rumah kos sederhana, kenapakah dasar sedemikian itu tidak boleh dilaksanakan pada masa ini berhubung kes rumah mampu milik?
Pada Mei 2012 lalu, media me­laporkan kerajaan Sabah me­ran­cang mewujudkan satu dasar ba­­haru di mana setiap pemaju perumahan dikehendaki membina 30% rumah mampu milik sebelum dibenarkan membina rumah jenis mahal yang lain. Langkah ini segera dibantah dan ditentang oleh syarikat pemaju perumahan.
Sebuah portal berita tempatan baru-baru ini melaporkan bahawa di Johor Bahru, Johor  harga satu unit kondominium yang ditawarkan oleh pemaju kini mencecah RM800,000 bagi unit bersaiz 800 kaki persegi dan ke bawah,  manakala bagi unit bersaiz 1,000 kaki persegi dan berhadapan dengan laut, harganya melebihi RM1 juta.
Penduduk Johor Bahru meng­gelar kategori rumah sedemikian sebagai rumah “mampu tengok”, kerana pastinya rumah sedemikian itu di luar kemampuan sebahagian besar warga tempatan.
Warga Johor berharap mereka akan bernasib baik dapat membeli salah satu rumah yang akan dibina di bawah program Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) tajaan Kerajaan Negeri Johor atau rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) tajaan Kerajaan Persekutuan.
Malangnya, menurut portal itu lagi,  projek perumahan yang diusahakan  Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri  itu “berjalan amat perlahan”, manakala kuantiti rumah yang ditawarkan di Johor Bahru tidak akan dapat menampung permintaan tinggi dari penduduk tempatan.
Pada 19 Oktober lalu, pengendali sebuah portal yang melakukan tinjauan di Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex 2014) yang berlangsung di Midvalley, Kuala Lumpur, mendapati hampir semua projek hartanah yang dipamerkan di situ adalah “Rumah Mampu Tengok”, memandangkan kesemuanya dijual dengan harga RM400,000 ke atas sehinggalah berjuta-juta ringgit. (Sila lihat http://www.eyriqazz.com/2014/10/laguna-biru-sungai-buloh-fasa-2.html)
Pada April lalu, Setiausaha Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong dipetik sebagai berkata, apabila HBA mencadangkan program rumah mampu milik dulu, HBA mahu kerajaan menggunakan bank tanahnya yang sedia ada dan membina rumah dengan kos yang paling minimum.
Malangnya, tujuan asal ini sudah diketepikan dan program PRIMA kini membolehkan usahasama dijalankan dengan pemaju swasta – yang pastinya berorientasikan matlamat keuntungan.
PRIMA ditubuhkan pada 2012 dengan matlamat utamanya membina rumah mampu milik untuk rakyat.
Sehingga April 2014, sudah ada 500,000 permohonan untuk mendapatkan 80,000 unit rumah. Pastinya angka ini bertambah sejak tarikh itu hingga akhir tahun ini.
 Pada 1996, ketika penulis berhijrah ke Alor Setar, Kedah, penulis bernasib baik dapat membeli sebuah rumah sederhana besar setingkat, dengan keluasan tanah tak sampai 6,000 kaki persegi, dengan harga RM105,000.
Pada masa ini, kalau pun masih ada rumah seperti itu yang dibina dan dijual oleh pemaju, harganya pasti antara RM400,000 hingga setengah juta, apatah lagi jika dibangunkan atas tanah bukan Tanak Rizab Melayu dan loka­sinya begitu hampir dengan pusat bandar.
Presiden Institut Ejen Harta­nah Malaysia (MIEA), Siva Shanker menyatakan harga rumah kini terus melambung tinggi. Sebuah rumah berkembar yang pada tahun 2008 dijual dengan harga antara RM650,000 dan RM800,000 sudah melambung ke paras RM1.6 juta.
Lalu dia bertanya - “Macam mana harga rumah boleh melambung 100% dalam masa 5 tahun?”
Maka, kerajaan perlu mencari jawapannya. Andainya ia gagal menyelesaikan masalah “rumah mampu tengok” ini,  negara berdepan dengan kewujudan satu  generasi tanpa rumah (homeless generation), terdiri dari anak-anak kita sendiri. Ia satu gambaran yang mengerikan.

Salleh Buang ialah penganalisis undang-undang Utusan Malaysia Rencana 27/10/2014

Bahasa, sastera, dunia cetak dan budaya membaca





Gaya Kemala semasa mendeklamasi sajak pada Malam Bacaan Puisi Wasatiyyah sempena Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 di Bandar Darul Aman Jitra, Kedah, malam kelmarin. – UtUSAN/ismail kamadin

TAHNIAH kepada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang berjaya menghimpunkan penulis-penulis seluruh negara di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM). Begitu juga sokongan yang diberikan Bina Darulaman Berhad (BDB), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM). SKPM bermula Jumaat dan berakhir semalam menghimpunkan penulis-penulis tersohor negara.

Banyak yang diperkatakan se­panjang SKPM termasuk isu-isu berkaitan nasib penulis, masa depan penulisan/penerbitan, isu-isu bahasa, perpaduan, memartabatkan sastera dan macam-macam lagi. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula meng­umumkan penubuhan Yayasan Pe­nulis Malaysia semasa merasmikan SKPM itu. Banyak perkara yang dibincangkan sepanjang sidang itu. Sudah tentu fokus tidak dapat lari daripada kebimbangan tentang masa depan bahasa dan sastera.

Adakah masyarakat akan terus menerima sastera atau sastera akan terhakis dalam ledakan teknologi maklumat pada hari ini. Tidak ada ertinya kita mempunyai penulis tetapi tidak ada pembaca. Begitu juga sebaliknya pembaca ada penulis tiada. Harus diberi perhatian, calon yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM dan STPM semakin berkurangan. Maka timbul resolusi supaya mata pelajaran Kesusaste­raan ini diwajibkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Dalam soal bahasa, Sasterawan Negara, Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) membangkitkan tentang semangat setiakawan dan silaturahim bagi mendokong misi dan visi juga aspirasi kesusasteraan nasio­nal dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Harapannya ketepikan perbezaan aliran dan ideologi politik.

Selepas lima dekad, bahasa dan budaya Melayu seolah-olah belum diterima dan dihayati oleh rakyat. Bangsa Malaysia yang utuh masih dalam imaginasi pemimpin dan budayawan dan sasterawan. Perlembagaan Persekutuan yang meng­aktakan kedudukan bahasa Melayu masih terumbang-ambing. Maka isu ini menjadi agenda parti politik tahun demi tahun.

Kemala mengulangi kenyataannya yang pernah dibuat sebelum ini mengenai tindakan mengangkat bahasa Inggeris bagi melihat Malaysia menjadi negara maju. Beliau bertanya: Adakah selama ini Jepun, Korea, China, Perancis, Jerman, Rusia mengorbankan bahasa ibunya kerana semata-mata mahu menjadi negara maju? Tidak, bukan? Mereka hadir dengan bahasa ibunda atau bahasa nasionalnya plus bahasa Inggeris. Kata Kemala, semua orang berkata “Kami tidak anti kepada bahasa Inggeris! Tapi kita mesti mendukung Perlembagaan kita. Kita dukung amanat Kongres Persuratan Johor Bahru 1956; daulatkan dan martabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional kita. Di situlah letaknya maruah diri, sahsiah, dan jati diri kita. Lidah ibu kami janganlah digunting,”

Isunya adakah generasi hari ini tahu apa itu Perlembagaan Negara. Adakah mereka sedar kedudukan bahasa dan agama Islam seperti termaktub di dalam Perlembagaan? Mungkinkah mereka juga sudah dikelirukan dengan pelbagai ke­nyataan dan tindakan terutama oleh segelintir umat Melayu yang beragama Islam itu sendiri? Melalui bahan yang diperoleh melalui media sosial, ada ketikanya maklumat berkaitan Perlembagaan Negara mengelirukan sehingga pembaca terpedaya tanpa merujuk kepada sumber lain yang lebih diyakini.

Bak kata orang belajar tanpa berguru. Disebabkan lebih ramai ge­nerasi hari ini lebih berminat dengan maklumat di hujung jari ini, maka mereka malas membaca buku-buku ilmiah yang lebih bermaklumat dan tepat. Walaupun ada juga bahan berkaitan dalam web tertentu tetapi minat membaca bahan-bahan seumpama ini makin berkurangan kecuali keperluan bagi mereka yang sedang menuntut ilmu. Akhirnya maklumat ringkas yang tidak tepat menjadi pilihan yang tersebar melalui medium se­perti Facebook, Twitter, YouTube, WhatsApp dan sebagainya. Kemun­culan media baharu seumpama ini memburukkan lagi keadaan kerana selama ini tabiat membaca belum lagi menjadi budaya dalam kalangan semua pe­ringkat lapisan masyarakat. Apakah inisiatif yang boleh dilakukan untuk membuda­yakan tabiat membaca?

Prof. Dr. Ibrahim Bajunid dalam kertas kerjanya di SKPM antara lain berkata, tabiat membaca sepanjang hayat boleh dipupuk melalui se­nantiasa membawa buku, sediakan senarai buku, kurangkan menonton televisyen dan melayari internet, membaca buku kepada anak-anak dan menjadikan masa membaca masa kegemaran/kesukaan.

Mampukah kita melakukannya? Anwar Ridhwan dalam kertas bertajuk ‘Pengarang dengan dunia sekitarnya’ berkata: Kini lihatlah Generasi Y kita. Adakah mereka menggunakan jari untuk menyelak lembaran buku, akhbar atau majalah? Atau mereka menggunakan jari untuk menyelak halaman-halaman skrin peranti elektronik mo­den mereka? Generasi Y ini secara anakronisme dibawa ke masa lampau untuk memasuki budaya cetak hanya dalam situasi yang formal, umpamanya membaca buku teks sekolah atau situasi kurang formal umpamanya membaca novel-novel remaja kegemaran mereka.

Saya setuju dengan pandangan beliau bahawa sekarang ini kita terbiasa melihat ibu bapa menyediakan iPad untuk anak-anak mereka. Di restoran sambil menunggu makanan yang dipesan sampai, anak-anak ini leka menggerak-gerakkan jari di atas skrin iPad. Mereka leka akan permainan, bukan membaca. Ertinya mereka tidak lagi berada dalam tradisi budaya cetak. Benarlah dunia teks semakin mengecil berbanding dunia visual yang semakin membesar.

Keazaman politik diperlukan. Lihat sama ada kita kekurangan buku untuk dibaca, kekura­ngan penulis menghasilkan karya bermutu, buku kita terlalu mahal atau elit atau memang minat membaca dalam kala­ngan masyarakat sudah tidak ada.

Akhirnya sekali lagi tahniah kepada peneraju-peneraju institusi yang menganjurkan SKPM ini ter­­utama Mohd Khair Ngadiron (ITBM), Izham Yusoff (BDB), Mohamad Saleeh Rahamad (Pena) dan Pengarah IWM, Mohd Yusof Din. HASSAN MOHD. NOOR Utusan Malaysia Rencana 27 Oktober 2014 12:22 AM