October 30th, 2014

Ambil iktibar kerapuhan hak asasi manusia

PARTI Konservatif yang kini memerintah Britain telah mengumumkan pada minggu pertama awal bulan ini mengenai rancangan baharu menghapuskan Akta Hak Asasi Manusia 1998 (“HRA 1998”) dan menggantikannya dengan ‘Bill of Rights and Responsibilities” menjelang akhir tahun ini.

Tindakan ini akan mengecualikan Britain dari tertakluk pada bidang kuasa dan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia. Ini mencetuskan siri perbahasan menarik dan mengundang respon pantas para peguam hak asasi manusia dan kumpulan-kumpulan pembela.

Bagi kita di Malaysia, ada iktibar yang boleh diambil, khususnya dalam mendepani sikap golongan yang terlalu mengagungkan fahaman barat dan mengenepikan kedaulatan negara dalam keghairahan memenuhi tuntutan hak asasi manusia.

Dari satu sudut, pihak Liberty menyifatkan rancangan Parti Konservatif tersebut sebagai ‘buta undang-undang’. Bermacam-macam bukti tentang kebenaran pendapat ini didedahkan secara terperinci. Jika rancangan Parti Konservatif itu buta undang-undang, maka sebaik-baik andaian adalah bahawa ini adalah suatu helah politik untuk meyakinkan para penyokong tentang sentimen bahawa mereka tidak berpihak kepada Eropah.

Di sisi lain pula, pihak yang menyokong HRA 1998 melihat bahawa jika tindakan itu dapat menghasilkan pembentukan kerajaan di bawah pentadbiran Parti Konservatif selepas pilihan raya umum pada Mei tahun depan, besar kemungkinan langkah-langkah akan diambil untuk melemahkan perlindungan undang-undang terhadap hak asasi manusia di Britain.

Tekanan politik untuk berbuat demikian akan meningkat lagi sekiranya kerajaan perlu bergantung pada sokongan golongan Pewaham Eropah dalam kalangan Ahli Parlimen untuk mendapatkan bahagian majoriti dalam Dewan Rakyat. Sama ada ini suatu helah politik ataupun tidak, ramai penganalisis berpendapat kerajaan pimpinan Parti Konservatif berkemungkinan besar akan membuat perubahan terhadap undang-undang hak asasi manusia selepas pilihan raya umum kelak.

Pada hemat penulis, sebarang percubaan untuk menentang tindakan sedemikian atas sebab-sebab institusi sudah semestinya akan gagal. Suara hati Britain amat kurang bersimpati terhadap institusi-institusi Eropah. Kenyataan rambang berasaskan sejarah memanglah berbahaya, tetapi tidaklah keterlaluan jika dihujahkan bahawa penglibatan Britain dengan Eropah lebih beralasan pragmatisme berbanding dengan idealisme.

Majlis Eropah, dan kemudiannya Kesatuan Eropah (EU), adalah beberapa kaedah mencegah peperangan dan mendapatkan laluan memasuki pasaran-pasaran Eropah. Ini tidaklah pula bermaksud mencadangkan bahawa institusi sedemikian tidak layak dipertahankan, tetapi wujud pandangan bahawa desakan supaya warga Britain menyokong Konvensyen Eropah mengenai hak asasi manusia semata-mata demi pertubuhan EU tersebut adalah sesuatu yang tidak wajar.

Percanggahan hujah-hujah antara pihak Parti Konservatif dan pihak Liberty menunjukkan betapa rapuhnya konsensus mengenai hak asasi manusia di Britain. Pada hakikatnya, hak asasi manusia dalam peradaban barat memang rapuh kerana tidak begitu jelas apa tujuannya. Di Britain kerajaan Parti Buruh yang menggubal HRA 1998 juga khususnya bertanggungjawab.

Bagi kerajaan Tony Blair, akta tersebut menjadi cara menghalang Britain dari melanggar Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah, dan bukannya penyelesaian yang baharu segi perlembagaan bagi ‘Kerajaan Buruh Baharu’ dan ‘Britain Baharu’. Akta itu adalah suatu strategi institusi dan undang-undang, dan dalam hal hak asasi manusia, sama seperti hal-hal lain berkaitan pentadbiran kerajaan, perdebatan mengenai institusi dan undang-undang kurang diutamakan. Ini tidaklah pula menganggapnya sebagai kurang penting tetapi sebaliknya, mengiktiraf bahawa institusi dan undang-undang memenuhi nilai-nilai politik, dan nilai-nilai itu perlu dinyatakan dahulu.

Di Britain, wujud pandangan mereka yang pro hak asasi manusia bahawa para pembela perlindungan undang-undang hak asasi manusia perlu mengaitkan hujah-hujah mereka dengan tradisi perlembagaan dan memastikan kesan balasnya terhadap masyarakat negara tersebut. Pilihan Raya Umum Britain pada tahun depan akan diadakan sebulan sebelum ulang tahun ke-800 perjanjian Magna Carta, iaitu apabila Raja John dipaksa menandatangani suatu pakatan di Runnymede untuk membendung kuasanya.

Bagi penganalisis, debat mengenai hak asasi manusia boleh dime­nangi dengan menghubungkan go­­longan Baron (bangsawan) di Runnymede, dengan kumpulan Suffragette (pejuang hak mengundi wanita) di Penjara Holloway, dengan setiap rakyat Britain hari ini, yang mungkin bergantung pada pertikaian kuasa pemerintah negara untuk menjamin kebebasan mereka. Menurut perspektif beberapa penganalisis, hak asasi manusia di Britain yang rapuh ini memerlukan sesuatu yang melebihi institusi dan undang-undang. Pada mereka, pembentukan nilai-nilai tersendiri hak asasi manusia Britain perlu disuarakan dengan tegas.

Apakah iktibar perkembangan ini buat Malaysia? Sebahagian masyarakat Britain menunjukkan kehendak untuk memelihara kedaulatan sesebuah negara diberikan keutamaan lebih tinggi dari kehendak pencapaian hak asasi manusia mutlak semata-mata. Kewujudan undang-undang mengenai hak asasi manusia belum tentu dapat menjamin perlindungan hak asasi manusia yang sebenar, sekiranya tidak didasarkan pada latar belakang keagamaan, sejarah, budaya dan nilai-nilai sesebuah negara.

Di Malaysia khususnya, perbahasan serta penerimaan nilai-nilai hak asasi manusia harus dibentuk menurut acuan Islam dan sejarah kebudayaan bangsa Melayu yang menjadi teras pembentukan Perlembagaan Persekutuan, di samping mengambil dengan serius hakikat kewujudan kepelbagaian kaum yang menghormati kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Hanya dengan nilai-nilai yang kukuh berdasarkan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan realiti sosio-politik, Malaysia akan dapat menjauhkan diri dari risiko dan dilema yang dihadapi Britain, yang setelah semenjak sekian lama menerima pakai Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah, akhir-akhir ini mula menolak peranan Konvensyen tersebut dalam menentukan nilai-nilai dan kedaulatan negara, dan sebaliknya beriltizam membentuk jati diri dan acuan sendiri hak asasi manusia negara tersebut. AZRIL MOHD. AMIN ialah seorang peguam dan pengarah eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA). Utusan malaysia Rencana 30/10/2014

Isu-Isu Akhbar Cina

ADENAN, CHIENG JEN PERLU TUNJUK BELANG DI SEMENANJUNG

AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 28 Oktober 2014 memuji Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang melawan arus apabila memberikan peruntukan kepada 14 sekolah menengah Cina di negeri itu semasa beberapa ahli politik dari Semenanjung mencadangkan supaya sekolah berkenaan ditutup.

Artikel bertajuk ‘Adenan Satem dan Chong Chieng Jen sepatutnya tunjuk belang di Semenanjung’ yang merupakan pandangan Koh Kok Wai dan disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlun halaman W3 telah menjadikan nama Ketua Menteri Sarawak itu masyhur, sekali gus melonjakkan namanya yang sebelum ini dianggap sekadar pengisi kerusi yang ditinggalkan oleh bekas peneraju negeri itu, Tun Abdul Taib Mahmud.

Kenyataan Adenan yang menyatakan cadangan ingin menutup sekolah Cina sebagai tindakan bodoh telah mendapat liputan hangat daripada akhbar-akhbar Cina, malah pemimpin-pemimpin DAP Semenanjung juga menyokong tindakan beliau itu.

Langkah itu mendapat sanjungan tinggi daripada pemimpin-pemimpin ‘roket’ Semenanjung, sekali gus mereka mengambil kesempatan memperli MCA, Gerakan dan UMNO. Namun tindakan ahli-ahli politik DAP itu semestinya bermatlamatkan politik, apa yang perlu ditunggu ialah reaksi pemimpin DAP Sarawak.



KERATAN akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 28 Oktober 2014.

Sebenarnya, langkah Adenan itu bukannya satu petanda elok untuk DAP Sarawak kerana dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu parti itu mengambil kesempatan daripada ‘angin membangkang’ masyarakat Cina terhadap Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hingga menyebabkan DAP menang besar.

Pada PRN akan datang, adakah SUPP mampu kembali berkuasa, ia masih belum dapat dipastikan lagi, dan tidak tahu apa yang bakal terjadi nanti, tetapi cara Adenan mengambil hati masyarakat Cina, bagi pemimpin-pemimpin roket di Sarawak bukan satu perkara yang enak.

Jika pada PRN Sarawak akan datang, BN Sarawak mengambil contoh sanjungan pimpinan DAP Pusat terhadap sikap Adenan, pasti DAP Sarawak akan jadi bisu tidak terkata apa-apa, adakah mereka masih boleh gunakan isu pendidikan Cina untuk menghentam Adenan?

Dalam pada itu, penulis turut memperli Pengerusi DAP Sarawak, Chieng Jen yang hanya berani untuk memutuskan hubungan dengan Pas Sarawak tetapi tidak dengan Pas Pusat yang turut berada dalam pakatan pembangkang.

Mungkinkah disebabkan realiti politik, iaitu di Sarawak tiada UMNO dan pengaruh Pas pula seperti sifar?

PERSEDIAAN MENTAL 
UNTUK ANWAR KE PENJARA

Sementara itu, akhbar China Press bertarikh 28 Oktober 2014 mendakwa kehangatan kes mahkamah ‘kepala gerabak kereta api’ pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seperti sebelum ini, seolah-olah menggambarkan semangatnya dan para pengikut semakin tidak bermaya.

Artikel bertajuk ‘Persediaan mental untuk Anwar Ibrahim ke penjara’ itu merupakan pandangan Lai Shao Kwang yang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15. Penulis mendakwa pemimpin itu seolah-olah mengetahui bahawa beliau akan dimasukkan ke dalam penjara berdasarkan beberapa petanda iaitu dalam kalangan pimpinan pembangkang sendiri tidak berani memberi jaminan memberangsangkan bahawa Anwar bakal terlepas.

Anwar juga dalam Facebooknya memaparkan gambarnya bermain dengan cucu lelaki dan menulis status seperti, adakah saya masih ada peluang untuk melihat cucu saya membesar? Semasa saya masuk penjara anak saya yang paling kecil hanya berumur 6 tahun, hari ini cucu saya juga berusia 6 tahun, mereka masih mahu penjarakan saya lagi.

Kali ini tidak nampak penyokong pembangkang memberi simpati kepada beliau, hanya beberapa hari lalu barulah kelihatan para penyokong mengadakan perjumpaan secara formal sahaja.

Malah sebelum ini, Menteri Besar Selangor yang juga orang nombor dua Parti Keadilan Rakyat, Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa kontrak air negeri itu tidak perlu dibatalkan, sesuatu yang menjadi antara masalah dengan bekas Menteri Besar sebelum ini.

Sebagai reaksi segera, Anwar terus bersuara me­ngatakan jika kontrak tersebut hanya menguntungkan segelintir individu, Azmin sepatutnya menghentikan projek tersebut yang dipercayai beliau telah mengetahui siapakah yang dimaksudkan Anwar kerana kontrak perjanjian sudah berada dalam tangan.

Dunia politik itu tiada penghujungnya, aura Anwar pada bila-bila masa sahaja boleh berubah mengikut keadaan dan mampu mengalami ketandusan. Jika pimpinan pembangkang mengambil kesempatan sempena Anwar dipenjarakan, maka ia bakal menjadi titik tolak untuk bangkit kembali, sekali gus mampu menjadi model kepada satu perjuangan.

Umpama orang yang mengeluh miskin sema­kin mengeluh semakin menjadi miskin, orang yang bertekad mahu jadi kaya akan berusaha berterusan, pasti akan berjaya, ini adalah lumrah alam, ataupun hari kegelapan Anwar menjadi lampu suluh kepada pembangkang dan orang ramai.

Hindarkan perasaan dan sikap rasa sedih dan rasa teraniaya, barulah nampak mana satu anak kunci untuk membuka pintu. Jika tidak dapat keluar dari sikap dan perasaan rasa teraniaya, selamanya akan anggap diri kita adalah papa dan kedana. Utusan Rencana 30/10/2014

Kontrak Sosial dan Perlembagaan

Beberapa insiden yang berlaku di negara kita mutakhir ini yang seolah-olah mencabar kesucian dan kedaulatan undang-undang serta agama Islam selaku agama rasmi negara cukup membimbangkan masyarakat kita yang berbilang agama, bangsa dan budaya.

Sejak 57 tahun lalu, rakyat negara ini hidup dalam harmoni, bersatu padu dan bertolak ansur dalam pelbagai aspek demi menikmati suasana kehidupan yang aman damai di sebuah negara majmuk yang pesat membangun dan menuju impian menjadi negara maju tidak lama lagi.

Dalam konteks ini para pemimpin negara yang lama mahupun yang baru terus menzahirkan komitmen untuk maju mengikut acuan sendiri. Ini bermaksud kita mahu menjadi negara maju dengan cara dan budaya kita sendiri yang menjadi nadi dan teras pembangunan serta penyatuan rakyat sekian lama terutamanya selepas merdeka.



Guru dan pelajar SMK Darul Ehsan melaungkan laungan Merdeka sambil mengelilingi Jalur Gemilang yang dihasilkan dari batu kerikil di Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu. - Gambar hiasan

Namun apa yang kita khuatir sekarang apakah masyarakat kita mampu mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi akhir-akhir ini yang dilihat cuba memecahbelahkan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang agama dan bangsa. Realitinya pada hari ini pelbagai usaha dilakukan oleh pihak tertentu dengan agenda tersembunyi untuk mewujudkan situasi tegang dalam masyarakat kita. Kumpulan ini seolah-olah begitu mencemburui perpaduan yang ada dan berusaha keras untuk mencetuskan konflik perkauman.

Pesta bogel, pesta arak dan terkini kempen menyentuh anjing serta tindakan sekumpulan individu yang mempertikaikan penguatkuasaan peraturan mewajibkan orang lelaki Islam menunaikan solat Jumaat adalah antara situasi yang sedang berlaku di negara kita yang dengan jelas memberikan satu isyarat yang kurang sihat terhadap hubungan kaum di negara ini.

Hakikatnya walau apapun alasan mahupun objektif program yang dianjurkan, kenapa ia tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam yang merupakan penduduk majoriti negara ini? Dan juga kenapa begitu sukar untuk memahami keperluan untuk menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini yang tertera dan terpateri dengan kemas dalam Perlembagaan Persekutuan?

Malah tindakan mencampuri urusan dalaman agama Islam yang hanya memfokuskan kepada orang Islam tanpa ‘mengganggu’ orang bukan Islam juga satu perkara yang cukup serius dan tidak wajar berlaku sama sekali. Sedar atau tidak kejadian seperti ini sudah mula mencetuskan situasi panik dalam kalangan masyarakat kita.

Misalnya gambar-gambar orang Islam yang memegang, memeluk, mencium dan bermesra dengan anjing dalam kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ yang tersebar secara viral dalam media sosial baru-baru ini sudah mula mengundang pelbagai reaksi negatif dan jelas tidak me­nyenangkan umat Islam negara ini.

Dalam konteks ini adalah sukar untuk kita menerima alasan ia dilakukan atas prinsip kebebasan, hak demokrasi mahupun tidak dise­ngajakan atau terlepas pandang. Isu membabitkan agama dan bangsa adalah satu soal yang cukup sensitif kerana ianya membabitkan rakyat kita yang berbilang agama dan bangsa.

Maka penganjuran program se­perti ini sewajarnya tidak berlaku atau menjadi ancaman kepada umat Islam. Kita khuatir situasi seperti ini jika di­biarkan berlarutan boleh meng­undang pelbagai tindak balas negatif yang mengancam perpaduan kaum di negara kita.

Apakah kita mahu peristiwa 13 Mei berulang kembali? Kenapa masih ada yang gagal mengambil iktibar daripada peristiwa yang menggoncang perpaduan rakyat dan keselamatan negara itu? Segeralah kita bermuhasabah sebelum nasi menjadi bubur.

Penulis berpandangan kesemua kejadian ini berlaku malah seolah-olah semakin menjadi-jadi kerana generasi yang ada pada hari ini gagal menghayati roh dan semangat kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.

Generasi hari ini gagal menghayati pengorbanan dan tolak ansur yang diwariskan oleh para pejuang kemerdekaan dan nenek moyang kita. Pengorbanan dan tolak ansur yang telah dibudayakan oleh pemimpin dan generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan serta memateri kontrak sosial dan Perlembagaan dilihat semakin dilupakan dan sudah ditelan zaman. Akibatnya pada hari ini kita sedang berhadapan dengan senario perhubungan kaum yang cukup kompleks dan menyulitkan. Tambahan pula keadaan menjadi semakin rumit apabila ada pihak yang se­ngaja mencetuskan pelbagai provokasi ibarat mencurah minyak ke dalam api demi kepentingan peribadi.

Memang benar kita negara majmuk. Memang benar kita mempunyai hak untuk mengamalkan anutan agama dan budaya masing-masing.

Tetapi janganlah sampai sengaja menyalah guna hak dan kebebasan yang diberikan sehingga mengancam hak orang lain dan juga sehingga gagal untuk menghormati agama orang lain. Sedarlah bahawa yang menjadi tunjang kejayaan negara kita ialah aspek perpaduan kaum yang jitu dan kukuh.

Masyarakat dunia juga sering men­cemburui kemampuan kita me­nguruskan sebuah negara majmuk sehingga berjaya seperti pada hari ini.

Dan satu-satunya formula mujarab yang boleh memastikan keadaan itu berlaku ialah sejauh mana kita mampu mengembalikan, me­nge­kal­kan serta menghayati roh dan semangat kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan. Ingat negara kita tanggungjawab kita. Inilah satu-satunya negara yang kita ada. Maka sama-samalah kita pertahankan perpaduan dan keamanan yang ada.   NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia. Utusan Malaysia Rencana|  30 Oktober 2014 2:28 AM

Pantau ‘aliran’ pengurusan universiti

Selepas pagar Uni­versiti Malaya (UM) roboh di­rem­puh dan diceroboh oleh kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ib­ra­him semata-mata mahu Ketua Pembangkang itu ma­suk ke Dewan Tunku Canselor (DTC) untuk menyampaikan pidatonya, kita sedar be­tapa lemahnya pengurusan isu oleh pihak universiti. Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya perkara itu diurus secara tegas, bijaksana dan ditangani lebih awal.

Kerosakan telah berlaku dan ia turut merosakkan imej kerajaan. Kerajaan perlu melakukan sesuatu selepas insiden ini.

Pada pendapat penulis, jika kita mahu pengurusan sesebuah universiti bagus, ada misi visi dan tahu tugas mereka selepas dilantik oleh menteri seperti termaktub dalam AUKU 1971 (Pindaan 2009) yang selari aspirasi kerajaan, lihatlah perkara-perkara berikut;




Sebahagian penyokong Anwar Ibrahim bertindak ganas memecahkan pintu pagar utama Universiti Malaya (UM) bagi membolehkan Ketua Pembangkang itu berpidato di Dewan Tunku Canselor (DTC) dalam program yang tidak diluluskan oleh pihak universiti itu, malam kelmarin. – utusan/IRWAN MAJID

Pertama, empat jawatan pengurusan tertinggi universiti iaitu Naib Canselor (NC), Timbalan Naib Canselor Akademik (AA), Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pembangunan (P). Naib Canselor dan TNC-TNC yang berpura-pura ‘neutral’ tapi sebenarnya ada aliran fikrah (sama ada parti atau pertubuhan dalam dan luar negara). Kerajaan mesti menyemak latar belakang mereka sebelum melantik ke jawatan berkenaan.

Aliran atau fikrah biasanya akan mempengaruhi cara mereka be­kerja, menjaga kerahsiaan dan kesetiaan kepada kerajaan yang memerintah. Sebab itu tidak hairanlah kita melihat pelantikan pegawai khas NC dan TNC serta jawatan utama di dalam kampus mereka daripada golongan sealiran dengan fikrah mereka.

Kalaupun ada NC dan TNC jenis ‘tidak ambil tahu’ biasanya mereka ini tidak kisah pun latar belakang pegawai khas mereka. Sebab itu dalam beberapa situasi NC dan TNC kelihatan nampak diberi nasihat yang salah dan bertentangan dengan kerajaan. Malah tidak keterlaluan ada kalangan pegawai mereka ialah anggota parti pembangkang yang secara terang-terangan mempunyai jawatan parti yang penting.

Kedua, lihat program-program universiti yang mereka anjurkan atau bakal luluskan kepada mahasiswa. Kadang-kala kononnya atas kebebasan akademik maka sesebuah program dianjurkan tanpa ambil kisah tentang sensitiviti dalam universiti dan pengaruhnya kepada masyarakat luar.

Mereka jenis ‘sudah terhantuk baru tengadah! Sudah jadi isu atau viral barulah kelam-kabut hilang punca menyelesaikan masalah. Mereka tidak pandai membuat keputusan penyelesaian malah menyebabkan kerajaan terpaksa kelihatan campur tangan akibat kedangkalan gerak kerja mereka. Atau mereka sendiri terlibat dalam ‘game’ isu itu yang akhirnya menyebabkan kerajaan terpalit.

Ketiga, mahasiswa di dalam kampus boleh menjadi mata dan telinga. Mereka seperti ‘jauhari juga yang mengenal manikam’ tanyakan apa usaha dan gerak kerja pengurusan universiti mereka. Cenderung kepada siapa? Dari sini kita akan tahu siapa NC, TNC-TNC dan para pegawai yang punya elemen songsang dan ada agenda sendiri dalam politik mereka

Keempat, kita boleh menyemak sumber-sumber agensi yang me­ngenali mereka yang ada maklumat mereka sejak zaman mahasiswa, belajar ditaja keluar negara hinggalah bekerja sebagai pensyarah atau pegawai. Amat mustahil maklumat mereka tidak diperoleh lebih awal.

Oleh itu, sepatutnya sumber-sumber pelbagai maklumat itu dimanfaatkan sebaik-baiknya sebelum melantik mereka ke jawatan itu. Dari­pada berharap mereka yang dilantik ini mengejar ranking universiti yang nampak amat payah mereka capai, lebih baik kerajaan menumpukan kepada mereka yang benar-benar fokus dan ambil peranan terhadap dasar kerajaan. Syarat-syarat ketat perlu dikenakan ketika hendak menyambung kontrak mereka se­mula sebagai NC, TNC dan pegawai utama universiti.

Kerajaan mesti serta-merta menyemak semula apa yang tidak kena khususnya pada AUKU (Pindaan) 2009 dan AUKU (Pindaan) 2012 iaitu;

i) Seksyen 4A Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2009 mengenai kuasa menteri me­lantik jawatankuasa untuk menasihati menteri mengenai pelantikan NC atau bagi mana-mana jawatan lain yang menteri mempunyai kuasa untuk melantik di bawah Akta ini dari semasa ke semasa.

ii) Subseksyen 4C (1) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012, menteri hendaklah melantik seorang Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan apa-apa bilangan Timbalan Ketua Pengarah.

Kerajaan melalui Menteri Pendidikan Tinggi perlu memastikan pelantikan individu Ketua Pe­ngarah Pendidikan Tinggi, Timbalan-timbalan Ketua Pengarah dan jawatankuasa menasihat menteri pelantikan NC dalam jawatankuasa penasihat adalah individu yang sesuai dan mempunyai aspirasi kerajaan.

Jika kita gagal di peringkat pelantikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan jawatankuasa menasihat menteri pelantikan NC maka ia akan mempengaruhi pelantikan pengurusan universiti di 20 IPTA sekarang. Tidak perlulah kita bercerita panjang mengenai misi, visi dan usaha seorang pemimpin universiti jika pe­ringkat ini kita gagal.

Insiden UM adalah satu contoh kegagalan pengurusan menangani isu dari awal secara tegas yang akhir­nya memberi persepsi buruk kepada kerajaan. NC terkapai-kapai seolah-olah tiada ‘stand’ sehingga terpaksa melihat anak buahnya TNC HEP membuat keputusan yang dianggap menggambarkan kelemahan kerajaan.

Apakah untungnya selepas ini kepada gerakan mahasiswa dan menghadapi pilihan raya kampus? Apakah peristiwa di UM ini mencerminkan 20 IPTA yang lain sedia ada sekarang? Semoga perkara ini tidak merebak ke IPTA lain. JABDIN JUHAT ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA) Utusan Malaysia Rencana 30 Oktober 2014 2:28 AM

Jangan pakai topi keledar jika kepala sekeras keluli!

SALAH satu perangai pelik penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini ialah malas memakai topi keledar dan yang paling jelek sanggup pula diletakkan dalam raga, mungkin bagi menjaga keselamatan ‘raga’ itu daripada tercalar berbanding kepala sendiri.

Itu belum dikira penunggang dan pembonceng motosikal yang melakukan aksi berani mati merempit tanpa memakai topi keledar, seolah-olah kepala mereka diperbuat daripada besi keluli dan tidak lut sekiranya terhentak pada jalan raya.

Secara puratanya ketebalan tengkorak lelaki dewasa mencapai sekitar 6.5 milimeter (mm) manakala wanita sekitar 7 mm yang bermakna anggota badan manusia yang mempunyai kulit kepala dan rambut itu tidaklah begitu kebal sekiranya terhantuk. Semestinya, tengkorak yang turut mempunyai otak itu akan pecah atau sekurang-kurangnya retak apabila terhempas atau terseret apabila kenderaan yang dinaikinya itu terbabas.

Pada masa ini semacam sudah menjadi trend kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah de­ngan motosikal tidak memakai topi keledar, mungkin alasannya jarak dekat tetapi perlu diketahui bahawa malang itu tidak berbau seperti buah durian yang dari jauh sudah dapat dihidu semerbaknya, ini bermakna kecelakaan boleh berlaku dalam sekelip mata.

Dalam kes ini, amat adil jika semuanya termasuk ibu atau bapa dan anak-anak tidak memakai topi keledar yang bermakna risiko kebarangkalian berlakunya kecederaan ‘secara adil’ adalah amat tinggi. Namun, apa yang kurang menyenangkan dalam kebanyakan kes, penunggangnya sanggup pula memakai topi keledar tetapi pada masa sama membiarkan anak-anak mereka dalam keadaan ‘dogol’ tanpa alat keselamatan itu. Adakah ibu bapa spesies ini tidak sayangkan anak-anak mereka?

Tidak perlu penulis untuk menjawabnya, terpulanglah kepada pembaca untuk memberikan jawapan seikhlas mungkin.

Menurut statistik Jabatan Keselamatan Jalan Raya, penunggang dan pembonceng motosikal ialah penyumbang utama kemalangan maut dengan 4,294 daripada 6,000 kematian di jalan raya pada tahun lalu melibatkan golo­ngan berkenaan. Sebanyak 1,300 mangsa di bawah umur 20 tahun.

Sekiranya penunggang motosikal di negara ini masih berkeras enggan memakai topi keledar, disarankan agar menuntut ‘ilmu kepala keras’ daripada seorang ahli gusti profesional Amerika Syarikat, John Ferraro yang turut ter­kenal dengan nama gelanggangnya, Gino Martino.

Beliau yang berasal dari Boston bukan sahaja hebat dalam gelanggang tetapi turut mampu memecahkan pelbagai objek keras dengan hanya menggunakan kepalanya, malah pernah menunjukkan demonstrasi mengetuk paku sepanjang sembilan inci hanya menggunakan dahinya.

Pada 19 Ogos 2010, Ferraro muncul dalam rancangan televisyen Stan Lee’s Superhumans. Menerusi program itu, tengkorak Ferraro diperiksa dengan mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) oleh pakar dari Harvard Medical School selepas menunjukkan aksi ngeri, hasilnya adalah tengkoraknya begitu istimewa iaitu mencapai ketebalan 16 mm, tiga kali ganda lebih tebal berbanding manusia biasa.

Selain perangai ‘segan’ memakai topi keledar, perangai pelik lain penunggang motosikal di negara ini yang sewajarnya diubah adalah:

 Tabiat memakai topi keledar tetapi tidak pandai mengikatnya. Jika terlibat dalam kemalangan, kecederaannya sama seperti mereka yang tidak memakai topi ke­ledar.

 Menyarung jaket secara terbalik semasa menunggang. Bahagian zip atau butang jaket itu secara paksa diletakkan di bahagian belakang badan yang boleh menyebabkan kibaran jaket yang tidak disisip dengan kemas tersangkut pada kenderaan lain atau cermin sisi kereta semasa ‘mencilok’.

Maslahat di sebalik undang-undang pemakaian topi ke­ledar adalah bagi menjaga kepala daripada tercedera. Walau semahal mana harganya tetapi jika tidak diikat dengan kemas, bermakna roh undang-undang itu tidak kesampaian.

Akhir sekali, jagalah kepala anda kerana tempurungnya tidak dijual di mana-mana kedai.   TARMIZI ABDUL RAHIM Utusan Malaysia Rencana  30 Oktober 2014

Pemberian subsidi naikkan semangat penanam padi bukit

Eilin Podok, 49, petani wanita berbangsa Dusun dari Kampung Logub, Kiulu, Sabah, hampir setiap tahun menanam padi bukit atau dalam bahasa Dusun disebut 'parai tidong' untuk menampung keperluan beras keluarganya.

Walaupun keluasan dan hasilnya tidak seberapa, Eilin bersama suami, Diris Lomboting, 54, tetap gigih mengusahakannya kerana bagi mereka menanam padi bukit adalah aktiviti tradisi yang menjadi sumber untuk menyara hidup.



Padi bukit aktiviti tradisi masyarakat pedalaman Sabah. - Foto Lano Tan

Pasangan memiliki lapan anak itu tidak pernah mengeluh atau berasakan aktiviti berkenaan membebankan, malah gembira dapat mewarisinya daripada generasi terdahulu.

Mereka sedar, bukan mudah menanam padi bukit atau turut disebut 'mangasok' kerana semua kerja bermula daripada penyediaan tapak hingga penuaian menggunakan tenaga tulang empat kerat sepenuhnya.

Memerlukan kekuatan fizikal

Lebih membebankan, keadaan muka bumi yang bercerun curam turut memerlukan kekuatan fizikal petani, terutama apabila mengangkut guni padi balik ke rumah di kawasan yang tiada kemudahan jalan raya.

Berbanding padi sawah yang banyak dibantu penggunaan jentera di semua peringkat, selain diringankan dengan bantuan subsidi baja dan pembajakan, penanam padi bukit sebelum ini tidak menerima apa-apa bantuan.

"Tiada bantuan menanam padi bukit yang kami terima. Kalau ada bantuan, khususnya baja, racun serangga perosak dan subsidi penanaman dapatlah juga meringankan beban kami," kata Eilin mengulas nasib penanam padi bukit ketika ini.

Bagaimanapun, dalam pembentangan Bajet 2015, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian subsidi sebanyak RM70 juta untuk penanaman padi bukit di Sabah dan Sarawak.

Ia disifatkan sebagai berita gembira kepada penanam padi bukit di kedua-dua negeri itu kerana mulai tahun depan mereka bakal menerima bantuan atau subsidi.

Eilin turut menyifatkan berita itu sebagai hadiah yang bermakna kepada penanam padi bukit dan berharap ia dapat disalurkan segera demi menjaga kebajikan golongan berkenaan.

"Penat bah menanam padi bukit. Sebelum benih padi ditanam, kami kena tebang pokok, menebas belukar dan membersihkan tanah. Kena panjat bukit lagi, berjalan kaki jauh dari jalan raya untuk ke tapak penanaman.

"Apabila menuai, padi masih diketam satu-persatu kerana tiada jentera boleh digunakan untuk menuai padi di kawasan berbukit. Kalau ada bantuan, setidak-tidaknya dapatlah juga mengurangkan kepenatan kami," katanya.

Subsidi mampu tingkat hasil

Beliau berkata, pemberian subsidi juga dapat meningkatkan semangat penduduk untuk meluaskan lagi kawasan tanaman bagi meningkatkan hasil agar dapat dipasarkan untuk menambah pendapatan keluarga.

Ketika ini, katanya, penanaman padi bukit lebih untuk kegunaan sendiri selain dijual secara kecil-kecilan di tamu mingguan di Kiulu, Tamparuli, Tuaran atau Telipok.

"Beras bukit mahal kerana nasinya lebih enak dan harum berbanding beras biasa. Paling mahal ialah beras bukit berwarna hitam yang harganya RM20 sekilogram.

"Jika simpanan beras bukit semakin sedikit, saya jual beras bukit hitam di tamu dan duitnya saya gunakan untuk membeli beras biasa bagi menampung keperluan keluarga sementara menunggu padi bukit yang ditanam dapat dituai," katanya.

Ketika ini, Eilin berkata, kebanyakan masyarakat Dusun, khususnya sekitar Kiulu, Tamparuli dan Tuaran menanam tiga jenis padi bukit yang diwarisi daripada nenek moyang mereka iaitu 'tadong' yang berasnya berwarna hitam, 'sorongot' (merah) dan 'bandar' (putih).

Tahun ini, Eilin dan suaminya mengusahakan seekar atau kira-kira 0.4 hektar tanah untuk penanaman padi bukit, sama seperti keluasan pada tahun lalu.

Selepas dituai, tapak berkenaan ditanam dengan nanas dan tahun depan satu tapak baharu akan dibuka di kawasan bersebelahan untuk meneruskan tradisi menanam padi bukit.


Eilin menunjukkan lingaman yang digunakan untuk menuai padi bukit.

Pengusaha padi bukit di Long Pasia, Andrew Laban, 45, berkata hampir 80 peratus penduduk kawasan itu terbabit dalam aktiviti pertanian termasuk padi bukit.

Sehubungan itu, katanya, subsidi berkenaan mampu merancakkan aktiviti penanaman padi bukit kerana ia boleh digunakan untuk aktiviti pembersihan, membeli baja dan racun serangga.

"Lebih 2,000 penduduk dari Kampung Long Pasia, Long Mio, Maligan, Ulu Bol dan Kiburu terbabit dalam penanaman padi bukit. Pemberian subsidi itu juga menggalakkan orang muda untuk mengusahakannya," katanya yang juga bekas pemain bola sepak Sabah sekitar tahun 1990-an.

Keluasan tanaman padi bukit di Sabah

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin, berkata berdasarkan perangkaan Jabatan Pertanian, keluasan tanaman padi bukit di Sabah ketika ini dianggarkan antara 7,000 hingga 11,000 hektar.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, berkata keluasan itu diusahakan kira-kira 15,000 petani dengan purata hasil antara 1.5 hingga dua tan sehektar setahun.

"Berdasarkan perangkaan itu, kita menganggarkan hasil tahunan padi bukit yang dikutip petani di Sabah adalah antara 10,500 tan hingga 22,000 tan setahun.

"Dengan adanya peruntukan subsidi untuk sektor penanaman padi bukit, kita berharap hasil yang dapat dikutip oleh petani di negeri ini akan terus bertambah sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran beras bagi menampung keperluan penduduk di Sabah," katanya.

Beliau berkata, bantuan yang julung kali diumumkan menerusi belanjawan negara itu adalah satu pengiktirafan kepada sektor penanaman padi bukit dalam membekalkan beras khususnya kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, galakan kerajaan dalam usaha membangunkan sektor penanaman padi bukit dan padi sawah mampu melonjakkan sektor penanaman padi agar dapat mengurangkan kebergantungan beras import.

Info: Padi bukit di Sabah

Penanaman bermula antara Jun hingga Julai dan mula dituai pada Disember hingga Januari.

Kawasan penanaman di lereng bukit dan kebanyakannya diusahakan di daerah pedalaman berbukit bukau.

Kebanyakannya diusahakan masyarakat Kadazandusun, Murut dan Lundayeh.

Pelbagai varieti ditanam, antaranya `tadong' yang berasnya berwarna hitam, `sorongot' (merah) dan `bandar' (putih).

Seekar atau 0.4 hektar kawasan padi bukit boleh menghasilkan 12 guni padi bersih atau kira-kira setengah tan.

Masalah utama padi bukit ialah serangan ulat daun dan burung pipit.

Keluasan tanaman padi bukit di Sabah ketika ini dianggarkan antara 7,000 hingga 11,000 hektar.

Kira-kira 15,000 petani terbabit dalam penanaman padi bukit di Sabah dengan purata hasil antara 1.5 hingga dua tan sehektar setahun. Mohd Izham Unnip Berita Harian Rencana 30/10/2014

Memupuk keberanian sebagai prinsip kehidupan

Pemimpin terkenal Britain, Sir Winston Churchill pernah berkata bahawa keberanian adalah kemampuan untuk berdiri dan menyuarakan pendapat bahkan keberanian juga dituntut untuk duduk diam dan mendengar. Saya ingin berkongsi pemikiran saya tentang tajuk 'keberanian' ini, iaitu nilai yang sangat berkait rapat dengan etika dan integriti mana-mana insan atau organisasi.

Fokus saya adalah pada keberanian moral bukan keberanian fizikal dan saya juga akan rujuk kepada pengalaman peribadi dalam mengamalkan keberanian yang kemudiannya akan membawa saya bercakap mengenai bagaimana keberanian dapat dipupuk sebagai prinsip kehidupan.

Penulis, Ambrose Redmoon melihat keberanian bukannya sebagai kehilangan rasa takut, tetapi lebih kepada pertimbangan ke atas sesuatu yang lebih penting daripada rasa takut. Ketika Mark Twain melihat keberanian sebagai halangan kepada rasa takut, Samuel Johnson pula menganggapnya sebagai prinsip kehidupan teragung melainkan sekiranya kita tidak mempunyai nilai ini, maka kita tidak akan berupaya memelihara prinsip kehidupan yang lain. Seiring dengan pendapat cendekiawan tadi mengenai keberanian, saya ingin membuat refleksi ke atas pengalaman peribadi saya dalam menangani rasuah.

Ini adalah untuk memberi inspirasi kepada pemimpin sekolah untuk menerima dan mengamalkan prinsip keberanian, kejujuran dan integriti. Pada tahun 1996, saya ditugaskan memulihkan Sekolah Menengah Teknik Tawau. Sekolah ini hanya berupaya mendapat 28.28 peratus lulus dalam Peperiksaan Sekolah Menengah. Dengan keputusan sebegitu teruk, ini dengan jelas menunjukkan bahawa pengurusan sekolah secara keseluruhannya memerlukan perekayasaan. Saya begitu memerlukan semangat dan keberanian untuk berkhidmat di sekolah itu dan pada masa yang tidak boleh buat sebarang jangkaan.

Insiden ditawar komisen

Saat paling mencemaskan ialah apabila didatangi seorang lelaki yang menuntut pihak sekolah membuat pembayaran kepadanya untuk barangan yang tidak pernah dihantar ke sekolah dan juga projek yang tidak pernah dilaksanakan. Dia bercakap begitu kasar sambil menekan-nekan dua jarinya di atas meja. Dengan rasa kehairanan, saya bertanya kepadanya maksud dia berbuat begitu.

Menurutnya, itulah isyarat yang dia akan gunakan untuk menawarkan komisen kepada saya sekiranya saya membuat pembayaran kepadanya. Dengan menunjukkan dua jari saya seolah-olah isyarat 20 peratus tadi, saya terus berteriak menyatakan bahawa ia adalah 'duit haram'. Setelah melihat saya tidak termakan pujukannya, dia menjadi ganas dan mengancam akan membunuh saya dalam dialek Hakka 'ngai sart ngi!'

Pada ketika itu, saya mengumpulkan kekuatan untuk membalasnya secara agresif. Saya bingkas bangun dari kerusi untuk memenuhi cabaran itu dan terus beraksi seolah-olah saya akan membuka langkah kungfu (seni bela diri Cina) dan berteriak 'SART! (Bunuh!) Lalu saya berkata: "Ingat kita ada polis dan mahkamah. Paling penting, tuhan memerhati apa yang anda lakukan kepada saya!" Terkejut melihat reaksi saya, lelaki itu meninggalkan pejabat dengan tergesa-gesa tetapi dia menghentam meja, kerusi dan pintu sambil mencarut mengeluarkan kata-kata kesat dengan kuat dan lantang ketika keluar.

Keberanian moral yang positif

Analisis insiden itu membuktikan bahawa tuhan akan melindungi saya daripada penjahat dengan melalui pelaksanaan keberanian moral yang positif. Apabila berhadapan dengan keadaan yang bahaya, ugutan dan godaan, saya berjaya menggunakan keberanian untuk mempertahankan integriti Kementerian Pendidikan Malaysia serta prinsip pengurusan kewangan sekolah yang betul.

Sekiranya kelakuan buruk tidak ditangani, ia akan terus menjadi-jadi dan akan bertambah buruk. Kita akan sukar untuk berhadapan dengan perkara sebegini sekiranya kita membenarkan diri melupakan atau tidak menghiraukannya. Oleh itu, keberanian bukan saja harus dipraktikkan di medan perang, tetapi juga dalam kehidupan dan kerjaya lazimnya. Seseorang itu mesti ada naluri menegakkan keadilan moral apabila berurusan dan berhadapan dengan kelakuan tidak beretika. Sekiranya saya terima rasuah lelaki itu, saya sememangnya akan dicaj untuk rasuah!

Stephen Covey pernah mengatakan, kesabaran itu ibu kepada kebijaksanaan, manakala keberanian adalah bapa kepada kebijaksanaan kerana nilai ini wujud dalam harmoni bersama nilai teras lain seperti amanah dan kejujuran. Kini, kita memasuki era globalisasi dan dunia hari ini sangat berbeza.

Kita menghadapi pelbagai cabaran dan kerumitan baharu, bukan saja dalam kehidupan peribadi bahkan juga dalam hubungan bersama keluarga, rakan dan komuniti terutama di tempat kerja. Dalam buku bertajuk Memperkukuhkan Penyampaian Khidmat Awam (Strengthening the Public Delivery Service) yang disunting oleh Datuk Dr Malek Mohamad Yusof, bekas Pengarah INTAN, adalah jelas dinyatakan bahawa keberanian itu diperlukan dalam setiap organisasi. Kita perlukan keberanian untuk membawa perubahan, membuat keputusan penting yang perlu walaupun tidak popular, bersuara, berdiri berseorangan apabila berlaku salah faham untuk mengatakan 'tidak' dan juga memohon maaf.

Saya berasa bangga dan rasa hormat, apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kebocoran kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang disifatkan sebagai aib nasional.

Merujuk kepada buku Jim Collins' bertajuk Good to Great (Bagus kepada Hebat), Muhyiddin memaparkan keperibadian pemimpin yang hebat iaitu apabila sesuatu masalah timbul, beliau akan menghadapi kesukaran realiti itu dan mengambil tanggungjawab ke atasnya. Memohon maaf, terutama kepada seluruh negara, bukannya sesuatu yang mudah dan hanyalah pemimpin hebat berupaya sedemikian. Memohon maaf bukan sekadar rendah hati atau kesopanan, tetapi juga memerlukan keberanian, tekad dan ketabahan tinggi untuk membuat apa saja yang perlu untuk meningkatkan kredibiliti kepada sistem.

Lebih-lebih lagi, beliau telah menggabungkan budaya disiplin bersama etika profesional apabila memohon maaf dan ini adalah sesuatu yang berharga kepada negara terutama Kementerian Pendidikan, kerana Timbalan Perdana Menteri sendiri menekankan nilai moral yang penting buat semua guru dan pelajar.

Keberanian moral adalah sesuatu yang jarang dilihat dan berasal daripada pendirian kukuh pada diri seseorang. Menegakkan prinsip kendiri memerlukan keberanian moral dan etika terutama apabila berhadapan dengan kesusahan, bahaya, ataupun ketidakpastian. Sebagai pemimpin di dalam organisasi tersendiri, kita wajib memainkan peranan yang berkesan dalam memberi tunjuk ajar kepada pekerja bagaimana keberanian itu boleh dipraktikkan.

Berani untuk tujuan baik

Dalam melaksanakan keberanian, ada peringatan yang perlu dinyatakan di sini. Paradok yang wujud daripada penyemaian nilai haruslah diperjelaskan dan diurus dengan baik. Keberanian hanya diterima sebagai nilai positif apabila ia digunakan untuk tujuan baik dan mulia seperti mempertahankan maruah dan integriti negara, ataupun untuk tujuan perkembangan dan pembangunan. Keberanian boleh menjadi sesuatu yang buruk sekiranya digunakan untuk tujuan peribadi yang jahat seperti menipu, rasuah atau mengamalkan aktiviti tidak bermoral seperti gangguan seksual, mencuri, membunuh, rogol dan sebagainya.

Kesimpulannya, keberanian adalah teras kepada nilai murni dan rasional dan ia harus dipraktikkan hanya dengan keperibadian positif dan kesedaran diri yang betul. Oleh itu, sebagai pemimpin organisasi, kita harus menggunakan keberanian sebagai nilai untuk memperteguh dan mengangkat integriti perkhidmatan awam dan negara. Mary Yap Kain Ching ialah Timbalan Menteri Pendidikan I Berita Harian Rencana 30/10/2014