November 28th, 2014

Papa overexcited, UPSR 3C

APABILA anak telefon saya dengan nada malu dan sedih semalam, bahawa dia mendapat 2A dan 3C, saya terus ucapkan, “Alhamdulillah, tahniah! ALLAH SWT telah memberi peluang keemasan kepada kamu untuk menjadi insan yang jauh lebih hebat satu hari nanti!” Anak saya terkejut.

Bagaimana?

Seorang pelajar saya melahirkan rasa tidak puas hati kerana markah peperiksaan midtermnya gagal. Saya recheck kertas jawapannya dan ternyata sememangnya gagal.

Maka, dia bertanya, “Xifu, dari sekolah rendah sampai universiti semester lepas, saya tidak pernah gagal. Bahkan, keputusan saya sentiasa cemerlang. Saya istiqamah! Solat saya jaga. Mak ayah saya taat. Bagaimana berguru dengan Xifu, saya boleh gagal!”

Saya terus menghulurkan kembali kertas jawapannya lalu berkata, “Ok, kamu nilai semula kertas jawapan kamu sendiri dan bagi markah berdasarkan penilaian kamu sendiri. Kamu jadi pelajar dan kamu jadi pensyarah.

Silakan.Nanti saya akan cuba merayu kepada pihak universiti bahawa ini markah kamu yang baru berdasarkan penilaian kamu sendiri. Kalau universiti terima, I have got no problem!”

Adakah mahasiswi ini berjaya memanfaatkan kegagalannya untuk menjadi insan yang lebih hebat?

Baru-baru ini, seorang ahli politik mengadu mengapa terlalu ramai pelajar Cina mendapat ijazah kelas pertama dibandingkan dengan pelajar Bumiputera. Pelajar Cina lebih kurang 8,000 dan pelajar Bumiputera lebih kurang 2,000.

Akibatnya, lebih ramai graduan Cina daripada Bumiputera di IPTS dikecualikan dari membayar PTPTN. Adakah ini konspirasi Cina berpakat dengan IPTS secara berkompromi dari segi pemarkahan?

Jika Bumiputera setuju dengan gaya fikir ahli politik ini, adakah Bumiputera akan menjadi lebih hebat dengan mengambinghitamkan kejayaan bangsa lain?

Sahabat karib saya zaman persekolahan, Eng Huat, sentiasa mendapat wang sagu hati daripada kaum kerabat untuk setiap A yang beliau dapat score dalam peperiksaan.

Dari dulu lagi saya mempersoalkan, mengapa tidak beri wang sagu hati juga jika mendapat C? Bukankah sahabat saya ini sudah bertungkus-lumus untuk mendapatkan A? Bukankah yang lebih penting ialah beliau berusaha?

Bila setelah saya peluk Islam, baru saya sedar betapa istimewanya Islam sebagai agama yang benar kerana kalau berijtihad (membuat keputusan agama) betul, saya akan diberi dua pahala.

Kalau salah, saya akan diberi satu pahala. Kalau saya merancang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan haji, tetapi saya gagal untuk menunaikan haji kerana tempoh hidup saya tamat, ALLAH SWT tetap janjikan saya haji mabrur, iaitu saya tetap mendapat pahala penuh haji!

Budaya dan sistem pendidikan kita terlalu menyalahkan para pelajar dan guru jika keputusan tidak memuaskan. Tetapi jika keputusan memuaskan, adakah budaya dan sistem pendidikan mendengar nasihat para pelajar dan guru tentang kelemahan budaya dan sistem pendidikan itu sendiri?

Terlalu banyak kelemahan dalam budaya pendidikan kita. Saya guna perkataan budaya selain daripada sistem kerana budaya melibatkan pendidikan rasmi di sekolah dan juga tidak rasmi seperti media, keluarga, masjid, iklan-iklan di jalan raya, rakan-rakan sebaya dan lain-lain.

Kalau sekadar sistem persekolahan berubah tetapi dikekalkan paradigma biar mati anak, jangan mati adat atau zon selesa, adakah pelajar-pelajar kita akan berjaya menjadi insan yang lebih hebat?

Saya tidak setuju sekolah Cina ditutup, tetapi jika semua subjek cemerlang tetapi bahasa Malaysia hanya mendapat lulus, bolehkan ini dikatakan kejayaan sebenar?

Adakah Obama akan berjaya menjadi Presiden kulit hitam yang pertama Amerika jika beliau bercakap bahasa Inggeris seperti Pua Chu Kang?

Kalau para Mahasiswa di IPTA/IPTS mendapat ijazah kelas pertama, tetapi menjadi ateis iaitu golongan yang tidak percaya kepada Tuhan, adakah mereka ini boleh dikatakan rakyat Malaysia yang berjaya, sedangkan Rukun Negara kita yang pertama ialah Kepercayaan Kepada Tuhan?

Anakku yang tersayang, ALLAH SWT telah memberi peluang keemasan untuk membuktikan yang anak mampu menempuh cabaran kegagalan untuk menjadi insan yang kesempurnaannya terletak pada ketidaksempurnaannya.

Kejayaan menempuh kegagalan adalah jauh lebih baik daripada mendapat semua A dalam kehidupan!

* Abdul Naser Abdul Rahman ialah tokoh pendakwah Perak XIFU NASER Sinar Harian Kolumnis 28 November 2014

Apa kesalahan yang dilakukan pemimpin, ahli Umno?

1. Perutusan ini ditulis kerana saya tidak dapat hadir di Mesyuarat Agong Umno kerana berada di luar negara. Tetapi kerana saya kurang sihat untuk keluar negara, saya mungkin hadir insya-ALLAH! Walaubagaimanapun saya ingin membuat kenyataan ini juga.

2. Sebagai orang tua dan orang tua Umno pula, izinkanlah saya memberi sedikit pandangan.



Tun Dr Mahathir Mohamad


3. Semua tahu Umno sekarang tidak popular seperti Umno dahulu. Ada yang berkata Umno tidak lagi relevan.

4. Sedikit sebanyak pandangan ini berasas. Jika Umno dikalahkan dan hilang dari muka bumi, kepimpinan dan ahli Umno tidak boleh nafi sumbangan mereka kepada kejatuhan parti yang begitu berjasa kepada Melayu dan negara Malaysia.

5. Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh pemimpin dan ahli Umno?

6. Pada pandangan saya, yang pertama ialah kerana menganggap Umno sebagai batu loncatan untuk perkaya diri sendiri.

7. Umno hanya menerima ahli baru yang tidak mengancam kedudukan pemimpin yang sedia ada di semua peringkat.

8. Cawangan tidak terima sesiapa yang berkebolehan mencabar Ketua Cawangan. Ini adalah oleh kerana ada habuan bagi Ketua Cawangan.

9. Oleh itu yang dapat masuk Umno hanyalah orang Melayu yang kurang berbakat daripada Ketua Cawangan. Apabila Ketua Cawangan meninggal, penggantinya ialah orang yang lebih lemah daripadanya.

10. Pengganti pun demikian. Hanya yang tidak punyai kebolehan yang lebih daripadanya sahaja yang diterima. Apabila dia kembali ke rahmatullah, yang mengganti lebih lagi lemah.

11. Dan seterusnya. Kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian semakin lama semakin lemah dan tidak berupaya memimpin. Sebab itulah apabila ditanya siapa yang akan jadi Menteri Besar Selangor jika Barisan Nasional menang, tidak ada jawapan. Walhal Selangor penuh sesak dengan Melayu yang terpelajar, berbakat, sudah kaya dan tidak perlu memperalatkan Umno untuk perkaya diri sendiri. Mereka ini tidak boleh masuk Umno. Yang sedikit yang dapat masuk akan disekat kenaikan sebagai pemimpin.

12. Budaya war lord (kepala perang) sudah meresap kedalam Umno. “Umno saya punya.” “Bahagian ini saya punya.”

13. Kerana kecewa ada yang berbakat dan berjiwa Umno menyertai parti lain. Maka akan merosotlah Umno dan akan hilanglah parti keramat ini.

14. Yang kedua ingin saya tekan akan pentingnya menegur pemimpin. Tunku, Tun Razak, Tun Hussein bukan sahaja ditegur bahkan dicabar. Saya diserang dan hampir kalah dalam pertandingan.

15. Tanpa teguran pemimpin akan percaya segala yang dilakukan olehnya betul belaka. Tetapi sebenarnya ada yang dilakukan olehnya salah dan tidak baik.

16. Saya dinasihat supaya tidak membuat teguran terbuka. Sebenarnya sudah saya tegur secara tertutup berkali-kali, terutama berkenaan masalah Bumiputera dan Umno. Tetapi tidak berkesan. Teguran secara terbuka terpaksalah dibuat.

17. Harapan orang Melayu ialah wakil-wakil ke Perhimpunan Umno akan buat teguran terhadap beberapa perkara yang hangat dibincang ramai sekarang.

18. Pemimpin pula perlu dengar teguran ini dan ambil berat pandangan wakil. Janganlah selalu mendengar orang tertentu yang dikeliling kita sahaja. Yang mengeliling orang yang berkuasa tidak baik bagi mereka.

19. Orang Melayu mungkin tidak pandai seperti pakar-pakar rujuk, tetapi saya percaya orang Melayu tidak bodoh. Mereka yang membangunkan negara dari sebuah negara miskin kepada negara yang memberi banyak nikmat kepada semua.

20. Selamat Bersidang Umno. Mudah-mudahan diberi petunjuk oleh ALLAH SWT.