November 29th, 2014

Pantai asal Kuala Pak Amat kini ‘laut’

PANTAI Kuala Pak Amat yang terletak di Pengkalan Chepa, Kota Bharu pernah merakam detik sejarah penting 73 tahun dahulu. Di situ bukan sahaja menjadi lokasi pendaratan dan serangan pertama Jepun di Tanah Melayu, malah merupakan permulaan Perang Dunia Kedua di kawasan Pasifik pada 8 Disember 1941.



Zakaria Hussein

Pada tengah malam itu, Mejar Jeneral Hiroshi Takumi, yang mengetuai bala tentera hampir 6,000 orang terdiri daripada pelbagai unit dengan lapan buah kapal iaitu lima kapal perang dan tiga kapal pengangkut memilih kawasan pantai itu sebagai lokasi pendaratan sebelum berjaya menakluk Kelantan sepenuhnya setelah pasukan tentera Briged India Kelapan di bawah pimpinan Jeneral B. S. Key berundur ke Singapura.

Menurut salah seorang penduduk kampung, Zakaria Hussein, 71, sungguhpun pantai tersebut pernah meninggalkan kesan sejarah seperti kubu-kubu pertahanan British, namun kesemuanya sudah tidak kelihatan. Kubu-kubu kebal yang pernah menjadi monumen penting sudah ‘bersemadi’ di dasar laut akibat hakisan pantai. Pinggir pantai asal juga telah ditenggelami Laut China Selatan.



Serangan Jepun di Pantai Kuala Pak Amat di sini, hari ini.

Serangan Jepun di Pantai Kuala Pak Amat di sini, hari ini.














Fenomena alam itu turut mengakibatkan banyak rumah yang dibina di beberapa perkampungan berhampiran persisiran pantai ditenggelami air menyebabkan penduduk kampung asal terpaksa mencari penempatan baharu.

“Ini kerana tanahnya sejauh beberapa kilometer dari pantai ‘ditelan’ air laut. Begitu juga dengan pokok-pokok dan sawah padi telah dimasuki air masin menyebabkan penduduk tidak dapat menanam padi seperti dahulu.Banyak perubahan berlaku akibat hakisan pantai yang amat teruk.


Sisa-sisa rumah yang musnah akibat hakisan di pantai Kuala Pak Amat.

“Penempatan yang masih ada walaupun tidak ditenggelami air laut namun, fenomena air pasang besar pernah berlaku empat tahun lalu menyebabkan kawasan perumahan mengalami banjir,” katanya.

Dalam pada itu, rumah kediaman milik Omar Senik, 87, yang asalnya terletak di Kampung Pulau Pak Amat sudah lama ditenggelami air. Di kampung tersebut terdapat kira-kira 40 buah rumah kediaman, namun kesemuanya sudah tiada.

“Hakisan pantai menyebabkan keseluruhan pulau sudah ditenggelami laut. Dahulunya terdapat daratan kini sudah bertukar menjadi lautan. Penduduk tidak mempunyai pilihan selain berpindah ke tempat lain,” katanya.

Tokoh intelektual Melayu merentasi zaman

SEORANG pemikir Islam yang berani, progresif dan berkesan. Selain itu, ada juga pengkaji yang menyifatkan Syed Syeikh Al-Hadi sebagai reformis dan tokoh sastera Melayu.

Walau apapun label yang diberikan, jasa Syeikh Al-Hadi kepada kemajuan Islam dan perubahan minda orang Melayu sukar untuk dinafikan.

Kegigihannya dan semangatnya yang percaya bahawa Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan maju dan bukannya sekadar soal ibadat dan mati, terserlah mendasari perjuangannya sepanjang hayat meskipun ada ketikanya menerima tentangan yang amat hebat.





Syed Syeikh Al Hadi bersama keluarga di hadapan rumah di Jelutong.
Gambar ARKIB

Ahli akademik, Prof. Madya Dr. Fadhlullah Jamil berkata, Syed Syeikh Al-Hadi melihat berlaku banyak kepincangan dalam masyarakat Melayu yang disebabkan salah faham tentang ajaran Islam. Sehubungan itu, beliau berusaha mengubahnya menerusi pelbagai pendekatan sama ada dengan mengajar agama, membina madrasah, menerbitkan akhbar, majalah, buku agama dan novel.

Katanya, apa yang mengkagumkan adalah kebanyakan usaha itu dilakukan menggunakan wang sendiri atau bantuan rakan-rakan yang sealiran dengannya.

“Dia bukannya kaya, tetapi dia berusaha dalam perniagaan dan hasil itu, kemudiannya digunakan untuk melakukan aktiviti dakwah termasuk penerbitan akhbar, majalah dan buku,” ujarnya kepada S2 baru-baru ini.

Beliau yang pernah menghasilkan kertas kerja bertajuk Syed Syeikh Al-Hadi: Pemikirannya Terhadap Islam dan Perubahan memberitahu, antara kejayaan awal dakwahnya apabila berjaya menentang bidaah yang terdapat pada ajaran Tarekat Naqshabandiyah di Singapura.

“Kemudian di Pulau Pinang bersama rakannya, Syeikh Abdullah Al-Maghribi dan Syeikh Tahir Jalaluddin, mereka berjaya menghapuskan pengaruh ajaran Taslim atau agama matahari setelah menjalankan penyelidikan selama tiga bulan.

“Sehubungan itu dalam satu perhimpunan di Masjid Jelutong, beliau membuktikan ajaran tersebut salah dan seterusnya kitab-kitab berkaitan ajaran itu di bakar,” ujarnya.

Fadhlullah menambah, pemikiran lain Syeikh Al-Hadi berkaitan Islam adalah menolak tanggapan solat lima waktu menyebabkan umat Islam sukar bekerja dan bersaing dengan kaum lain.

“Syeikh Al-Hadi berpendapat umat Islam tertinggal kerana menyertai tarekat-tarekat dan membuang terlalu banyak masa berzikir serta memenuhi hambatan tasawuf yang lainnya.

“Justeru beliau menuntut perubahan yakni orang Melayu kembali kepada Islam yang tulen dan meninggalkan amalan tarekat,” tambahnya.

Beliau berkata, dalam soal berpakaian semasa solat pula, Syeikh Al-Hadi mengambil sikap liberal.

“Ulama tradisional berpegang, seorang lelaki Muslim bersolat mesti mengenakan kain sarung, baju dan memakai kopiah tetapi Syeikh Al-Hadi berpendirian, seorang lelaki Muslim boleh bersolat selagi beliau memakai pakaian yang menutup tubuhnya dari pusat ke lutut. Ini termasuk memakai seluar, kot, kemeja dan tali leher.

“Pendapat ini menjadi kontroversi hebat dalam kalangan masyarakat ketika itu dan hanya diterima umum selepas lewat tahun 1960-an,” ujarnya.

Aspek lain yang diperjuangkan Syeikh Al-Hadi ialah kepincangan pengurusan zakat dan keperluan membetulkannya, persamaan hak dan taraf umat Islam tanpa mengira darjat, menyarankan supaya umat Islam menjaga dan memperkemaskan keseimbangan duniawi dengan ukhrawi bagi memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Sementara itu, Pensyarah di Fakulti Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sohaimi Abdul Aziz berkata, Syeikh Al-Hadi seorang reformis yang lantang menegur dan mengkritik tingkah laku orang Melayu melalui penulisan.

“Tulisan dalam akhbar Al-Ikhwan mengajak orang Melayu mencari ilmu pengetahuan dan bekerja keras bagi memartabatkan bangsa. Selain masalah kemiskinan dan kejahilan orang Melayu, Syeikh Al-Hadi juga mengajak orang Melayu memikirkan tentang masa depan mereka di tangan penjajah iaitu Inggeris. Beliau menyedarkan orang Melayu tentang kelicikan penjajah yang bukan hendak membantu orang Melayu, sebaliknya menjaga kepentingan mereka sahaja.

“Majalah Al-Imam yang diterbitkan lebih awal membincangkan soal kefahaman agama, menggalakkan orang Melayu berijtihad dan mengelak daripada melakukan taklid buta, mengadakan sistem pendidikan yang moden berteraskan pendidikan Islam progresif dan mempelajari ilmu-ilmu lain seperti bahasa Inggeris, Arab dan Matematik,” katanya.

Sementara itu, Talib Samat dalam kajiannya bertajuk Syed Syeikh Al-Hadi: Kehidupan dan Pandangan Hidupnya Yang Terpancar Dalam Karya Sastera, memberitahu Syeikh Al-Hadi mempunyai sifat semula jadi yang tidak mudah tertarik dengan apa-apa ajaran gurunya yang dianggap tidak logik, bertentangan dengan akal fikiran dan prinsip kebenaran. Beliau begitu berhati-hati dan kritis dengan segala hujah yang dilontarkan oleh gurunya.

Menurutnya, Syeikh Al-Hadi turut menyampaikan pendiriannya menerusi karya sastera seperti novel saduran Hikayat Faridah Hanom atau Hikayat Setia Ashek kepada Maashok-nya (1925-26) dan Taman Chinta Berahi atau Mahir Afandi dengan Iqbal Hanom (1925-1926) yang memancarkan pandangan Syeikh Al-Hadi terhadap wanita.

Melalui novel itu Syeikh Al-Hadi mahu wanita diberikan kedudukan yang lebih baik dalam masyarakat seperti mendapat taraf pendidikan sama dengan lelaki, bercita-cita tinggi dan berani mengeluarkan pendapat yang bernas.

Sementara itu, cinta tokoh itu kepada dunia penulisan dan penerbitan tiada tandingan apabila di penghujung hayatnya masih mengambil berat akan hal itu.

Abdul Rahman Ismail dalam kajiannya, Syed Syeikh Al-Hadi: Penggerak Kebangkitan Melayu Abad Ke-20 memberitahu, dalam satu tulisan rencana pengarang akhbar Saudara yang ditulis Mohd. Yunos Abdul Hamid menceritakan pengalamannya bekerja dengan Syeikh Al-Hadi yang masih mengorbankan masa, tenaga dan fikiran dalam kerja ‘karang-mengarang’ meskipun sudah berusia 70 tahun.

Bukan Madrasah Al-Hadi



Mohamad Yaahya menunjukkan rumah yang pernah menjadi madrasah mengaji al-Quran dan ilmu agama pada awal abad ke-20.

LAPORAN awal mengatakan sebuah rumah terbiar di pekarangan Masjid Melayu Lebuh Acheh Pulau Pinang merupakan tinggalan Syed Syeikh Ahl-Hadi kurang tepat.

Penduduk asal Kampung Melayu Lebuh Acheh, Mohamad Yaahya, 76, memberitahu, sepanjang ingatan serta maklumat daripada generasi terdahulu, rumah tersebut merupakan madrasah mengaji al-Quran.

“Syeikh Al-Hadi mengajar di sini, bukan dia mengasas atau madrasah ini milik dia. Setahu saya rumah ini milik keluarga Syed Zakaria Basheer,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Beliau yang tinggal di rumah sebelah madrasah berkenaan memberitahu, pada asalnya madrasah al-Quran itu terletak di luar pekarangan masjid.

“Dulu di kawasan Dewan Belia Perbandaran banyak rumah Melayu. Orang keturunan Arab ada membuka madrasah mengaji al-Quran dan ilmu agama tetapi penyertaannya terhad kepada masyarakat Arab.

“Selepas dipindahkan ke rumah di pekarangan masjid baru penyertaannya terbuka sehingga sesak yang menyebabkan timbul usaha membuka madrasah baharu” katanya.

Beliau menambah, selepas dipindahkan, madrasah tersebut pernah menjadi pusat transit jemaah haji kerana di zaman pergi ke Mekah menaiki kapal, pusat operasi haji adalah di sekitar Lebuh Acheh.

“Saya masih ingat jemaah dari Kelantan dan Terangganu akan datang lebih awal, sebab mereka jauh. Lagipun datang awal sebab mereka perlu membeli kelengkapan dan tidak membawa kelengkapan dari tempat sendiri kerana menyusahkan perjalanan.

“Selalunya mereka datang ditemani seorang guru dan setiap kali selesai solat kita melihat kemeriahan kumpulan ini berguru dengan guru masing-masing atau makan masakan yang dimasak sendiri. Apa yang saya sedar, jemaah dari Kelantan tidak boleh menerima nasi kandar yang banyak dijual di sini,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahman Ismail dalam tulisannya bertajuk Syed Syeikh Al-Hadi: Penggerak Kebangkitan Melayu Abad Ke-20: menyatakan Syeikh Al-Hadi terlibat secara langsung mendirikan sekolah-sekolah Arab-agama cara moden seperti Madrasah Al-Iqbal di Singapura pada tahun 1907.

Pada 1915, dia membuka Madrasah Al-Hadi di Melaka dan Madrasah Al-Mashoor di Pulau Pinang pada tahun 1919.

Walaupun Madrasah Al-Iqbal dan Madrasah Al-Hadi terpaksa ditutup setelah kira-kira dua tahun kerana masyarakat belum bersedia menerima unsur-unsur baru yang diperkenalkannya, Madrasah Al-Mashoor kekal dan terus berperanan hingga ke hari ini.

Sheikh Syed Al-Hadi berkhidmat membina dan membimbing Al-Mashoor hingga 1926 sebelum beliau sekali lagi menumpukan perhatian penuh pada penerbitan dan penulisan.

Menurut Abdul Rahman, semua madrasah itu didirikan dengan matlamat mengatasi kelemahan dan kekolotan orang Melayu pada masa itu.

Rumah kini jadi tokong

SELEPAS mengetahui sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan Syed Syeikh Al-Hadi kepada agama dan bangsa, pasti kita akan berasa sedih melihat nasib bekas kediaman tokoh itu yang beralamat di 410, Jalan Jelutong, Pulau Pinang.



Sohaimi Abdul Aziz menunjukkan buku tentang Syed Syeikh Al-Hadi yang pernah dihasilkannya.

Tiada lagi bangunan Jelutong Press yang banyak menghasilkan akhbar dan buku bagi membangkitkan kesedaran orang Melayu tentang kefahaman Islam sebenar dan pentingnya ilmu pengetahuan.

Khabarnya bangunan Jelutong Press itu telah bertukar menjadi kedai cat sebelum kedai itu dirobohkan baru-baru ini bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan raya.

Bangunan rumah pula sudah terdapat papan tanda bertulis tulisan Cina yang menandakan ia kini sudah menjadi pusat ibadat kaum tersebut selepas hak miliknya berpindah tangan lebih 60 tahun dahulu.

Presiden Karyawan Pulau Pinang, Profesor Dr. Sohaimi Abdul Aziz berkata, status rumah itu pada hari ini seolah-olah seperti tidak mengiktiraf jasa-jasa besar pemiliknya sebelum ini.

“Jelutong Press adalah lambang visi Syeikh Al-Hadi dalam percetakan, iaitu mahu menerbitkan bahan bacaan secara lebih murah dan banyak untuk keperluan masyarakat yang inginkan bahan-bahan bacaan yang lebih maju kandungannya,” ujarnya.




Banglo milik tokoh Melayu, Syed Syeikh Al Hadi di Jalan Jelutong, Pulau Pinang kini menjadi tempat sembahyang penganut agama Buddha selepas hak milik bertukar tangan 60 tahun lalu. – S2/AZMAN ASMAYATIM

Sohaimi berkata, melalui kajiannya, rumah banglo tersebut dipajakkan kepada seorang ceti pada 1930-an akibat kesempitan wang ekoran kemelesetan ekonomi dunia pada 30-an hingga 40-an.

Rumah itu tidak dapat ditebus dan dilelong pada 1942. Seorang penganut Buddha, Khoo Kim Kee membeli rumah tersebut.

Bagaimanapun pembelian itu berdepan masalah kerana tanah dan bangunan milik orang Melayu. Kim Kee akhirnya mendapat geran tanah banglo itu pada 1947 dan menjadikan ia tempat ibadat penganut Buddha dengan nama Pak Ee Tong atau Tokong Pakaian Puteh. Seterusnya pada 1952, Kim Hee mendapat hak milik rumah terbabit.

Sehingga hari, ini belum ada usaha serius untuk mengembalikan warisan Melayu itu dan meletakkan ia di tempat yang sewajarnya.

Sementara itu, cucu Syed Syeikh Al-Hadi, Sharifah Nadia Syed Alwi berkata, tidak arif tentang syarat pajakan menyebabkan pihak keluarga pada masa itu tidak berbuat apa-apa sehingga pajakan itu lupus dan bertukar tangan.




PREMIS di Jalan Jelutong yang sudah dirobohkan bagi membina jalan raya, dahulunya merupakan bangunan operasi Jelutong Press yang ditubuhkan oleh Syed Sheikh Al Hadi. -

“Malah apabila arwah abang, Dr. Syed Mohammad Alwi Al-Hadi pulang belajar dari luar negara dan cuba membetulkan keadaan, ia sudah terlambat,” katanya.

Ada alasan kukuh

Sementara itu Sohaimi berkata, kerajaan mempunyai alasan kukuh untuk menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi mengembalikan semula rumah Syeikh Al-Hadi kepada kedudukan sewajarnya.

Katanya, ini kerana rumah berkenaan membawa makna besar dalam sejarah perjuangan orang Melayu dan Arab yang menjadi identiti Pulau Pinang.

“Rumah ini wajar digazetkan menjadi warisan sebagai simbol pemikiran positif masyarakat Melayu Pulau Pinang yang sudah wujud pada 1920-an lagi. Syed Syeikh Al-Hadi adalah seorang tokoh besar,” katanya.

Contohi Hagia Sophia

Beliau menambah, jika berjaya diwartakan sebagai bangunan warisan, rumah tersebut boleh dijadikan muzium atau Pusat Dokumentasi Persuratan dan Budaya Pulau Pinang.

Katanya, dalam menangani kemelut itu, cara Turki menyelesaikan status Hagia Sophia boleh dicontohi.

“Hagia Sophia asalnya gereja tetapi ditukar kepada masjid. Selepas itu, dijadikan muzium untuk semua orang,” katanya.