November 30th, 2014

Hubungan antara ketua dengan pekerja

Sesebuah institusi, organisasi atau syarikat memerlukan seorang ketua yang memimpin arah tuju dan matlamat yang ingin dicapai. Tiga perkara yang perlu dijaga oleh ketua dalam menerajui kepemimpinannya. Pertama, jangan berasa kita yang paling hebat. Kedua, mesti ada ilmu. Ketiga, mesti ada sikap dan niat untuk hubudiyah dan berdakwah.



Pertama, bagi mengelak berasa diri yang paling hebat, hubungan baik antara ketua dengan pekerja perlu terjalin secara ikhlas dan jujur. Ingatlah, setiap kebaikan akan mendatangkan kebaikan. Kalau kita sebagai ketua, banyak kebaikan dalam diri kita, pasti akan dapat melihat kebaikan dalam diri orang lain. Timbulkan suasana, pekerja/staf suka dengan kebaikan kita sebagai ketua; menghormati kita, bukan takut kepada kita.

Jadilah ketua yang baik hati; mudah memberikan kasih sayang, nasihat, serta murah hati dari segi kewangan dan pertolongan. Ini kerana pekerja/staf ini ibarat kereta; perlu diservis, diberikan minyak, pelincir dan gris. Pekerja/staf memang sangat memerlukan perhatian daripada ketuanya, oleh sebab itu bermurah hatilah untuk membelanja staf makan dan minum atau menghadiahkan sesuatu sebagai tanda kita memberi perhatian kepada mereka, dengan tujuan untuk membahagiakan mereka.

Dalam hal ini juga, mengenali dan mengingati nama pekerja/staf juga penting, walaupun nampak perkara ini kecil sahaja. Ia menjadi penting, kerana ini menunjukkan sebagai ketua kita tahu tentang pekerja/staf. Barulah mereka berasa seronok bekerja kerana berasa dirinya penting, hingga dikenali ketua.

Sentuhan peribadi dari hati ikhlas ketua terhadap pekerja/staf amat penting sebagai tanda mereka dihargai. Apabila mereka berjaya menyelesaikan kerja dengan baik, segala kepenatan dan stres mereka diang­gap berbaloi, se­telah mendengar ketua mengucapkan terima kasih, memuji dan menghargai usaha mereka. Hargai pekerja/staf apabila mereka memberi idea, walaupun idea itu daripada pekerja/staf bawahan. Cuba dengar dahulu mereka mengemukakan idea, bukan mencatas peluang mereka bersuara.

Jalinkan hubungan silaturahim dengan pekerja; sentiasa rapat dan ramah dengan mereka. Jangan kerana tekanan kerja dan terlalu tertumpu kepada sasaran serta pencapaian kerja, hubungan ketua dengan pekerja/staf menjadi tegang dan renggang. Hubungan baik dan selesa antara ketua dengan pekerja/staf sangat penting; tidak boleh terputus, kerana mereka adalah eset kita yang akan membantu merealisasikan sasaran dan pencapaian kerja kita.

Ketua yang memimpin, mesti adil dan saksama kepada semua pekerja/stafnya. Jika kita sebagai ketua, berhadapan dengan pekerja/staf yang bermasalah; contohnya malas, pekerja/staf tersebut tidak boleh dibiarkan dengan sifat malasnya. Pastikan pekerja/staf kita yang pemalas itu melaksanakan tugasnya. Kalau tidak boleh diperbetulkan sikapnya, sekurang-kurangnya kita sebagai ketua, buat dia berasa tidak selesa dan malu menjadi staf yang pemalas. Kalau kita tidak memberikan perhatian dan menyelesai masalah pekerja/staf yang pemalas ini, dia akan menjadi sumber masalah atau contoh yang tidak baik kepada pekerja/staf yang lain. Kalau sebagai ketua, kita tidak boleh adil kepada staf, jangan harap Allah akan adil dengan kita.

Ada waktunya sebagai ketua kita perlu bertegas dan berani, tetapi bukan untuk menjadi sombong dan bongkak, dengan menganggap kita orang nombor satu dalam organisasi. Jauhi sifat ‘kesedaran keegoan’; suka menunjukkan kuasa, suka dan berbangga melihat orang takut dan mendengar arahan kita, serta suka melihat orang susah dan stres kerana kita.

Perasaan

Begitu juga, kalau kita seorang ketua yang sombong, sibuk suruh orang hormatkan kita sedangkan kita tidak menghormati perasaan pekerja/staf, jangan harap mereka menghormati kita. Ingat formula ‘Reset Minda’, ADA – BERI – DAPAT, sebagai ketua, hormat perasaan pekerja/staf kita dahulu, barulah staf akan hormati kita.

Kedua, mesti ada ilmu. Kalau sebagai ketua, kita tidak cukup ilmu, kemahiran dan pengalaman, kita akan kehilangan keyakinan diri untuk memimpin. Orang bawahan kita juga akan hilang keyakinan kepada kita dan lebih parah lagi mereka tidak menghormati kita, sebagai ketua kerana hilang kepercayaan kepada pimpinan kita.

Walaupun, sebagai ketua kita tidak menguasai bidang yang kita tangani atau bidang yang kita diberi tanggungjawab memimpinnya, sekurang-kurangnya kita mesti mempunyai kemahiran mengawal, mengurus, dan yang lebih penting boleh membuat keputusan. Ketua yang baik sepatutnya menganggap kita bekerja untuk mereka, sebagai orang yang setaraf dengan mereka, bukan sebagai orang bawahan. Gunakan kuasa dengan hati-hati dan tidak mengongkong sehingga menghalang kebebasan dan kemerdekaan pekerja/staf, kecuali apabila benar-benar perlu.

Hakikatnya tidak ada orang yang suka dikongkong dan sentiasa diperintah. Sebagai ketua, cubalah kita letakkan diri di tempat mereka, sebagai pekerja/staf. Kalau kita tidak suka orang memberi layanan negatif kepada kita, begitu jugalah kita mesti melayan pekerja/staf kita sebagaimana kita mengharapkan mereka menerima kita secara positif. Ketiga, ketua yang baik mesti ada sikap dan niat untuk hubudiyah dan berdakwah. Tunjukkan sifat ‘kesedaran ketuhanan’ yang tinggi dengan sifat hubudiyah. Iaitu mempunyai sifat kehambaan kepada Allah, jiwa bersih, dan kuat beribadah. Sikap kehambaan kepada Allah itu akan menjadikan kita pemimpin yang tidak bongkak, dan sentiasa ingat bahawa kuasa yang kita miliki hanya sementara, yang benar-benar berkuasa hanya Allah SWT.

Ketua mempunyai tanggungjawab yang besar, kerana jika tersilap langkah memimpin kedua-dua kakinya ke neraka. Tetapi, jika betul arah tuju langkahnya, kedua-dua kakinya ke syurga. Ketua bukan bertanggungjawab kepada hubungan dirinya dengan Allah sahaja, tetapi ketua juga bertanggungjawab kepada orang sekelilingnya; membimbing ke arah kebenaran dan ketaatan kepada Allah, memberikan manfaat, kebajikan dan kepuasan kepada mereka. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Mao Umpama Tuhan

Kalau anda masih ingat, coretan saya di dalam Mingguan Malaysia pada 3 Ogos 2014 ada menceritakan bagaimana Mao Tse-tung telah diperangkap oleh Liu Shao-chi semasa persidangan terbesar Parti Komunis China yang dinamakan Conference of the Seven Thousand Cadres yang berlangsung di Beijing sekitar Januari dan Februari 1962.



LIU Shao-chi diherdik dan dimaki oleh anggota Red Guards sambil buku kecil Red Books dihulurkan di hadapan beliau.

Hasrat Mao Tse-tung telah dicantas oleh Liu Shao-chi. Semasa memberi ucapan pembukaan persidangan pada 27 Januari, dengan Mao duduk di sebelahnya, Liu Shao-chi tidak membaca teks yang telah diluluskan oleh Mao tetapi teks yang ditulis oleh Liu sendiri dengan bantuan pemimpin yang rapat dengannya. Di hadapan 7,000 kader kanan parti dari seluruh China, Liu Shao-chi mengecam habis-habisan Dasar Great Leap. Di depan Mao Tse-tung yang kebingungan, kader-kader parti yang hadir telah bangun beberapa kali memberi tepukan tanda sokongan terhadap ucapan Liu Shao-chi. Ucapannya yang di luar dugaan itu menyebut satu persatu kesilapan-kesilapan Dasar Great Leap. Apabila di penghujung ucapannya Liu Shao-chi menyeru supaya Dasar Great Leap dihentikan segera, dewan persidangan bergemuruh dengan pekikan suara para kader parti yang menyatakan persetujuan mereka. Suara-suara yang menyimpulkan: ‘Kami setuju’. Mereka seperti baru dikejutkan bahawa Presiden negara komunis China – jawatan yang dipegang Liu Shao-chi ketika itu– berdiri di belakang mereka. Mereka sedar perangkap yang dimainkan oleh Liu Shao-chi kerana teks ucapan yang diizinkan oleh Mao telah pun diedarkan kepada mereka sehari sebelum bermulanya persidangan.

Walaupun Liu Shao-chi telah mematahkan hasratnya, Mao tidak serta-merta membalas tindakan Liu Shao-chi. Dia merancang langkah balas secara tidak terburu-buru. Mao merasakan dia telah ditempelak dan dihina dengan hebatnya oleh Liu Shao-chi di persidangan Conference of The Seven Thousand Cadres itu. Mao Tse-tung kemudian ada memberitahu isterinya, Jiang Qing, yang dia juga mungkin telah disingkirkan daripada jawatan Pengerusi Parti Komunis China semasa persidangan itu kalaulah tidak kerana kedatangan Lin Biau pada 29 Januari iaitu hari pertama selepas persidangan dilanjutkan beberapa hari kemudian. Lin Biau pada asalnya tidak dikehendaki menghadiri persidangan itu. Lin Biau telah bergegas datang atas arahan Mao Tse-tung.

Ucapan Lin Biau pada hari itu telah memberi kesan face saving kepada Mao Tse-tung. Lin Biau digeruni kerana, sebagai Menteri Pertahanan, tiga juta anggota tentera China berdiri di belakangnya. Mao mengambil masa empat tahun mempersiapkan strategi melenyapkan penentang-penentangnya seperti Liu Shao-chi. Maka terhasillah Revolusi Kebudayaan, kononnya untuk ‘membersihkan’ masyarakat China daripada amalan-amalan ‘kuno’ orang Cina yang dibilang Mao Tse-tung sebagai “Four Olds – old thoughts, old culture, old customs and old habits (halaman 236),” buku Harrison Salisbury.

Revolusi Kebudayaan yang kononnya bertujuan menghancurkan Four Olds itu sebetulnya tipu-helah dan putar-belit politik Mao Tse-tung. Tujuan sebenar Mao adalah untuk membersihkan parti komunis dari pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan dengan Mao Tse-tung. Malangnya, walaupun ia bersifat peribadi di antara Mao dengan penentangnya, Revolusi Kebudayaan telah mengheret bersama rakyat China yang tidak berdosa. Penubuhan Red Guards telah menyebabkan semua sekolah, maktab dan universiti di seluruh China ditutup, guru dikasari oleh murid mereka sendiri, polis tidak lagi berkuasa sehingga menjadi seperti golok kayu, pembunuhan dan penyeksaan manusia tak berdosa berlaku di sana sini di China.

Jika diperhalusi peristiwa keganasan dan tunjuk perasaan yang melonjak-lonjak di jalan-jalan raya di China oleh Red Guards pada pertengahan tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an itu, kita dapat menyimpulkan, semacam ada persamaan antara apa yang berlaku di China itu dengan yang berlaku di tempat lain dalam dunia apabila pemimpin politik suka mengheret rakyat khususnya muda-mudi ke dalam sesuatu perkara yang bersifat peribadi dan menyentuh diri pemimpin politik itu sendiri.

Digeruni

Perlu saya katakan juga, setelah menjadi pemimpin utama Parti Komunis China sejak awal tahun 1930-an dan mengetuai negara komunis China sejak 1949, Mao bukan saja digeruni, ditakuti dan menjadi sumber segala macam ‘penawar’ untuk mengubati ‘penyakit’ masyarakat Cina bersandarkan ajaran komunis, dia juga dianggap memiliki sifat-sifat separuh Tuhan oleh rata-rata rakyat China yang buta huruf, dan sangat ketinggalan dari segi ilmu pengetahuan.

Cengkaman mendalam Mao Tse-tung terhadap jentera Parti Komunis China – di peringkat pusat, provinsi, daerah, bahkan di mana-mana pertubuhan pun yang ada menubuhkan bahagian atau ranting parti – semua ini telah membantu memperkukuh pemujaan dan ketaksuban terhadap Mao.

Penulis Salisbury, untuk bukunya The New Emperors: Mao and Deng, pada 1987 telah menemu bual Chen Han-sheng, seorang pejuang seangkatan dengan Mao dan telah mengabdikan hampir seluruh hidupnya untuk revolusi komunis China. Chen mendapat pendidikan di Pomona College, California, kemudian meneruskan pelajaran dalam bidang ekonomi di Universiti Chicago, Amerika Syarikat pada tahun 1920-an. Dia memasuki Parti Komunis China pada awal tahun 1930-an. Dia merupakan kenalan rapat Mao Tse-tung.

Chen Han-sheng menjadi salah seorang mangsa Red Guards semasa Revolusi Kebudayaan. Chen percaya ini angkara Mao kerana dia telah turut hadir dan menyokong ‘sepenuh jiwa’ ucapan Liu Shao-chi yang 'membaham' Mao semasa persidangan 7,000 kader pada awal 1962 itu. Dia berumur 91 tahun semasa ditemui Salisbury, matanya sudah hampir buta gara-gara perbuatan Mao memerintahkan doktor supaya tidak mengubati penyakit mata glaukoma yang dihidapi Chen semasa dia dalam tahanan Red Guards.

Sebelum saya menghuraikan secara luas kisah bagaimana Mao Tse-tung menghukum Liu Shao-chi, elok saya petik halaman 222 buku Salisbury yang menceritakan: “…Chen Bo-da, Mao’s personal secretary and alter ego (sahabat karib) for nearly thirty years, the man who personified Mao’s most evil impulses. Chen Bo-da (with Mao’s blessing) personally gave the orders that led to the death of President Liu Shao-chi and to the brutal treatment of Liu’s wife, Wang Guang-mei, and the rest of the family…” Chen Bo-da, ialah salah seorang anggota Kumpulan Kecil di pejabat Mao Tse-tung yang diberi tugas oleh Mao melaksanakan Revolusi Kebudayaan – anggota lain ialah Chao En-lai, Jiang Qing, Kang Sheng, Lin Biau dan tiga orang lagi daripada kumpulan Gang of Four pimpinan Jiang Qing.
 Kata Salisbury lagi : “That Mao was a true ‘person of hatred’, in the words of the nonagenarian Chen Han-Sheng, would now be demonstrated on a scale that would eclipse even the savagery of his (Mao’s) role model, Emperor Qin (halaman 222).”

Anjakan baharu kepimpinan Indonesia

BIARLAH kali ini kita membicarakan secara jujur tentang Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang baharu lebih sebulan menjadi orang nombor satu di negara jiran kita itu.



Presiden Indonesia itu juga sepanjang masa dilihat lebih menggemari baju batik rekaan tempatan berbanding mengenakan suit yang berjenama antarabangsa.

Sengaja saya mengajak pembaca akhbar ini ber­­bincang secara terus-terang tentang Jokowi kerana pe­­mimpin yang menjadi bahan perbincangan ini dikenali sebagai seorang yang jujur.

Imej Jokowi digambarkan sebagai seorang pemimpin yang sangat merendah diri dan tidak gemar berlebih-lebihan dalam menonjolkan dirinya di hadapan khalayak.

Gambaran kesederhanaan Jokowi yang dipaparkan di media massa sangat terkesan di hati rakyat Indonesia.

Minggu lalu, Jokowi dan isterinya, Iriana memilih menaiki pesawat Garuda kelas ekonomi ke Singapura un­tuk memberi sokongan dan berkongsi kegembiraan pada hari konvokesyen anak bongsu pasangan itu, Kaesang Pangarep.

Presiden Indonesia itu juga sepanjang masa dilihat lebih menggemari baju batik rekaan tempatan berbanding mengenakan suit yang berjenama antarabangsa.

Jokowi tidak pernah terpengaruh dengan kemewahan dan keistimewaan sekalipun pada kedudukannya hari ini beliau mampu untuk memilikinya.

Sebaliknya, kebajikan rakyat adalah keutamaan dalam kepimpinannya dan tugas itu akan terus dilaksanakan sebagaimana ikrarnya semasa mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia ketujuh.

Barangkali, kerana beliau ialah Presiden Indonesia yang datang daripada keluarga sederhana dan bukannya keluarga bangsawan atau elit menjadikan beliau senang didekati sesiapa sahaja kerana terdapat keserasian.

Seperkara lagi, dalam usaha mendekatkan diri dengan rakyat dari pelbagai lapisan pula, bekas Gabenor Jakarta itu juga memperkenalkan amalan turun padang atau di Indonesia dikenali sebagai ‘blusukan’.

Dalam aktiviti ‘blusukan’, Jokowi sering mengadakan tinjauan secara mengejut yang bertujuan untuk mendengar masalah rakyat dan pada masa sama berusaha mencari penyelesaian tanpa menunggu lama.

Inilah formula kejayaannya kerana selama ini masyarakat sudah begitu bosan dengan janji-janji yang dibuat oleh ahli politik. Ada masanya janji hanya tinggal janji, penyelesaian kepada masalah tidak pernah ditunaikan.

Populariti ‘blusukan’ turut mendapat perhatian penga­sas laman sosial popular Facebook, Mark Zuckerberg yang menyertai Jokowi turun padang di pusat beli-belah popular, Tanah Abang ketika berkunjung ke Jakarta pertengahan Oktober lalu.

Dasar pemerintahan Jokowi - Jusuf bagi penggal 2014 -2015 juga meletakkan rakyat di kedudukan paling teratas dan hasrat kedua-dua pemimpin ini ialah mengubah nasib penduduk di negara itu.

Menyedari nasib orang mis­kin seramai lebih 28 juta di Indo­nesia harus dibela, Jokowi mem­perkenalkan Kad Indonesia Pintar (KIP), Kad Indonesia Sihat (KIS) dan Kad Keluarga Sejahtera (KKS).

Pengenalan ketiga-tiga kad ini ini diharap Jokowi akan memberi akses pendidikan dan kesihatan serta kesejahteraan rakyat Indonesia khususnya dalam kalangan yang kurang mampu.

KIS bertujuan untuk meri­ngankan beban masyarakat mis­kin terhadap kemudahan kesihatan sementara KIP pula memperuntukkan bantuan ke­pa­da keluarga miskin yang tidak mam­pu membayar yuran pengajian anak-anak mereka.

Sementara KKS pula diperke­nalkan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat yang kurang mampu atau dalam erti kata mudah bantuan kewangan.

Sebetulnya, dalam tempoh lebih sebulan memimpin negara yang mem­punyai penduduk Islam paling ramai di dunia ini, terlalu awal untuk kita merumuskan pencapaian Jokowi.

Kalau ada kesimpulan sekalipun, tanpa perlu teragak-agak kita boleh memberi jaminan dengan imej kesederhanaan serta tumpuan utama beliau terhadap kebajikan rakyat, Jokowi diyakini akan membawa Indonesia ke fasa baharu sebagai sebuah negara kuasa besar di rantau ini.

Dengan sumber alam yang luar biasa selain kedudukannya sebagai sebuah negara kepulauan, Jokowi awal-awal lagi sudah melihat potensi negara yang dipimpinnya itu berupaya membawa kemakmuran yang bukan sedikit kepada rakyat Indonesia khususnya bahkan juga buat negara-negara jirannya.

Justeru, pengenalan dasar pemerintahannya yang mahu memajukan Indonesia sebagai negara maritim se­hingga meningkatkan penguatkuasaan di perairan negara itu adalah manifestasi terhadap keseriusan Jokowi dan Naib Presiden, Jusuf Kalla untuk benar-benar memastikan hasil laut dimanfaatkan sepenuhnya.

Sebagai seorang presiden yang memiliki latar belakang perniagaan, Jokowi turut tidak terlepas daripada memasarkan Indonesia sebagai pusat pelaburan dan perdagangan kepada pelabur-pelabur asing.

Pada kesempatan berucap pada forum perniagaan yang diadakan sempena Kerjasaa Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Beijing baru-baru ini, Jokowi membuktikan kemampuan (di sebalik kelemahan penguasaan bahasa Inggeris) beliau sebagai seorang Ketua Eksekutif yang dinamik dan memiliki hala tuju.

Ketika sebilangan pengkritik begitu skeptikal dengan kemahiran Jokowi menguasai bahasa komunikasi utama dunia itu, namun Pesiden Indonesia itu membuktikan beliau bukan ketua negara yang boleh diperkotak-ka­tik­kan.

Apa lagi dengan aspirasinya untuk memastikan pemerintahannya mampu menghasilkan pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus dicapai berbanding sasaran pemerintahan sebelum beliau yang menyasarkan sekitar enam peratus untuk tahun ini dan tahun hadapan.

Jokowi ialah pemimpin baharu untuk rantau ini dan beliau juga rakan akrab bagi negara kita Malaysia.

Bisik-Bisik Awang Selamat

Apa selepas perhimpunan?

Perhimpunan Agung UMNO berakhir petang semalam dengan ucapan penggulungan Presiden UMNO, Najib Tun Razak yang cukup signifikan. Ternyata ucapan beliau tanpa teks (dan klip video) lebih menarik serta lebih meyakinkan berbanding ucapan dasar pada hari pertama.



Apa selepas perhimpunan ?

Nama jalan dan Raja

Beliaulah yang sepatutnya bertukar kepada bidang sukan yang kurang tekanan seperti bola jaring.















Seperti tahun lalu, Najib lebih menyerlah pada sesi penggulungan. Ternyata, beliau tidak mengecewakan malah menyuntik keyakinan kepada perwakilan di sebalik pelbagai tafsiran dan analisis politik yang berlegar. Bagi kedua-dua ucapannya itu Najib menjawab segala keresahan orang Melayu sambil mengekalkan keyakinan beliau terhadap realiti politik masyarakat majmuk bagi menjamin kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Paling melegakan para perwakilan adalah penegasan Najib terhadap pengekalan Akta Hasutan 1948 sebagaimana dalam ucapan dasar. Begitu juga mesej lantang serta tegas bahawa agama Islam, Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan tidak boleh dipertikaikan lagi.

Awang teruja apabila Najib menegaskan bahawa tiada lagi amaran bagi apa sahaja kenyataan dan insiden penghinaan terutamanya terhadap Islam dan Melayu seperti yang banyak terjadi sebelum ini. Semoga ia benar-benar diterjemahkan oleh pihak berkuasa dan agensi-agensi berkenaan supaya ia tidak sekadar tinggal sebagai retorik perhimpunan semata-mata. Ketegasan itulah yang selama ini didahagakan oleh majoriti rakyat. Jaminan Najib bahawa tanah rizab Melayu akan dilindungi dan dimajukan untuk kepentingan Melayu, juga cukup bermakna.

Awang bersyukur kerana perhimpunan agung kali ini sarat dengan semangat memeriksa diri dan penambahbaikkan dalam kalangan UMNO. Daripada persidangan tiga sayap, perbahasan perwakilan reaksi pemerhati hinggalah kepada ucapan Timbalan Presiden, Muhyiddin Yassin dan Najib. Sebagai Presiden, Najib telah mendengar segala keluh kesah dan kebimbangan orang Melayu dan masyarakat bumiputera. Persoalannya sejauh mana UMNO serius untuk melakukan perubahan drastik seperti yang sangat diharapkan oleh ahli-ahli UMNO dan majoriti orang Melayu yang menyokong parti tersebut?

Realiti dan cabaran UMNO adalah di luar, bukan di Dewan Merdeka. Inilah yang akan diperhatikan dan dinilai selepas ini. Jika dalam tempoh suku tahun pertama, tiada tanda perubahan meyakinkan dilakukan oleh UMNO maka parti itu akan berdepan dengan masalah krisis keyakinan dalam kalangan ahli dan para penyokongnya.Awang berharap Najib dengan dibantu oleh Muhyiddin akan melakukan banyak kejutan. Buatlah keputusan-keputusan yang berani, biarpun tidak popular demi masa depan parti. Najib tidak boleh lagi membenarkan dirinya diambil mudah sesiapa sahaja. Nada ketegasan beliau di Dewan Merdeka harus terserap dalam setiap tindakan tanduk mengukuhkan parti. Tentu beliau sedar pemimpin bukan sahaja dinilai dengan ucapan dan kata-kata, yang lebih penting hasil dan kesannya.

Antara yang diharapkan oleh ahli UMNO adalah rombakan di ibu pejabat parti, rombakan kecil Kabinet bagi menyuntik kesegaran, campur tangan di bahagian yang lesu dan bermasalah, membetulkan kelemahan kepimpinan UMNO negeri, gantikan pemimpin yang sudah tidak relevan, penambahan ahli dan daftar pengundi muda secara besar-besaran dengan kaedah tersusun, mewujudkan KPI kepada semua negeri dan bahagian yang dipantau rapi dan gerakan peremajaan parti secara lebih mikro.

Tentu yang lebih diharapkan, UMNO perlu ke hadapan menyalakan agenda menjayakan bumiputera dan Melayu dalam semua sektor dan bidang sebagaimana suara para perwakilan. Usaha tersebut harus digerakkan sebagai agenda nasional. Lagi pun orang Melayu telah membuktikan sumbangan besarnya memastikan kuasa politik Islam dan Melayu tidak tumbang pada pilihan raya umum lalu. Ketika UMNO dikhianati dan dimalukan ketika itu, orang Melayulah yang menjadi penyelamat. Ambillah iktibar dan terjemahkanlah penghargaan itu dengan penuh yakin dan tanpa sedikit pun gentar.

Nama jalan dan Raja

Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menukar nama lapan batang jalan di ibu negara sempena nama Raja Melayu yang pernah ditabal sebagai Yang Di-Pertuan Agong, mencetuskan bantahan sebahagian pihak terutama DAP.

Pertukaran tersebut melibatkan Jalan Duta kepada Jalan Tunku Abdul Halim, Jalan Khidmat Usaha kepada Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Ipoh (antara Jalan Segambut dan persimpangan Jalan Pahang) kepada Sultan Azlan Shah, Persiaran Duta kepada Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Jalan Khidmat Setia dan Jalan Ibadah kepada Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin, Lebuh Raya Mahameru kepada Lebuh Raya Sultan Iskandar, Persiaran Mahameru kepada Persiaran Tuanku Jaafar dan Jalan Semarak kepada Jalan Sultan Yahya Petra.

Awang sedih dan cukup terganggu apabila Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng mahukan pungutan suara (referendum) di atas pertukaran tersebut. Begitu juga dengan reaksi penyokong DAP dan Red Bean Army (RBA) yang terzahir sebahagiannya menerusi laman sosial. Macam tidak percaya, langkah kerajaan DAP Pulau Pinang menukar nama jalan kepada tokoh seperti mendiang Karpal Singh di Pulau Pinang dibolehkan tetapi Ketua Negara dibantah. Apakah DAP merasakan pemimpinnya lebih besar dan agung berbanding Yang Di-Pertuan Agong?

Mana-mana warga negara Malaysia tidak sewajarnya mempersoalkan perkara tersebut. Di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung. Apa guna menjadi warga negara jika tidak menjunjung institusi raja. Sebarang bantahan dan tindakan serong bukan sahaja dilihat derhaka kepada Raja-Raja Melayu bahkan boleh dibaca sebagai membawa semangat untuk menjadikan Malaysia negara republik. Apa yang berlaku ini adalah satu lagi petunjuk jelas bahawa usaha menghakis kedaulatan Raja-Raja Melayu semakin ketara – ancaman yang tidak boleh diambil mudah.

Awang juga hairan dengan kenyataan dan komen yang mengaitkan pertukaran nama jalan itu kononnya dengan agenda Melayu. Ternyata ia hujah amat dangkal. Institusi Raja harus dilihat dalam konteks untuk rakyat semua kaum, bukannya Melayu semata-mata.

Pun begitu, Awang musykil dengan kenyataan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Senator J. Loga Bala bahawa pertukaran nama tersebut adalah sebagai memenuhi permintaan Majlis Raja-Raja. Setahu Awang, tiada permintaan seperti yang dinyatakan. Hal ini perlu dijelaskan supaya tidak menimbulkan salah faham dan kekeliruan seolah-olah Majlis Raja Raja mengharapkan itu semua. Di samping itu, DBKL perlu memastikan penggunaan nama Ketua Negara hanya melibatkan jalan utama. Apakah kesemua lapan batang jalan itu merupakan jalan utama dan bertaraf lebuh raya? Apakah Jalan Semarak dan Jalan Khidmat Usaha misalnya adalah jalan utama di Kuala Lumpur? Janganlah nanti jalan lain yang menggunakan pelbagai nama, kelihatan lebih prominen berbanding jalan nama Yang Di-Pertuan Agong. Dengan kata lain, penggunaan nama jalan itu mesti mencerminkan rasa hormat yang tinggi atas kedaulatan kepada institusi raja. Jika sekadar jalan kecil, jalan susur dan bukan jalan utama, lebih baik tidak perlu tukar kepada nama Raja.

Tahniah Harimau Malaya

Kejayaan Harimau Malaya menewaskan Singapura 3-1 dalam Piala Suzuki AFF yang berlangsung di republik itu malam tadi, adalah berita gembira buat rakyat Malaysia. Para pemain mempamerkan aksi yang cemerlang. Awang ucapkan tahniah kepada pasukan negara atas kejayaan tersebut, yang cukup manis. Ia memecahkan batas psikologi bahawa skuad Malaysia bukan sahaja sekadar mampu seri (selain kerap kalah). Apa pun, perjalanan masih jauh. Menjadi harapan agar kita menjuarai Piala AFF. Itu sebenarnya ukuran kejayaan yang lebih ditunggu.

Penyerang negara, Safee Sali turut bermain cemerlang malam tadi sehingga menyumbang satu gol. Syukurlah. Bagaimanapun Awang berharap beliau tidak lagi mengeluarkan komen yang keras terhadap peminat yang mengkritik prestasi hambarnya ketika tewas 2-3 kepada pasukan Thailand, baru-baru ini.

"Yang komen negatif kat sini pernah ke main di peringkat antarabangsa, kalau tidak pernah baik diam dan jangan hendak perlekehkan usaha orang menjaga maruah negara, jika berasa malu menyokong Harimau Malaya, lebih baik tukar bendera negara lain, '' demikian komen beliau menerusi Instagram seperti yang dipetik oleh akhbar.

Amboi kerasnya. Awang harap Safee menerima hakikat bahawa sukan tersebut menuntut pemainnya mempunyai minda yang lasak selain sentiasa menghargai peminat biar apa pun keadaannya.

Jika Safee tidak memahami prinsip tersebut, janganlah meminta peminat tukar bendera. Beliaulah yang sepatutnya bertukar kepada bidang sukan yang kurang tekanan seperti bola jaring.

Jangan pertikai hak melayu

Sedutan ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-68 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.



Assalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia!

Alhamdulillah kita sudah sampai kepada penghujung Perhimpunan Agung bagi 2014. Kalau kita lihat dalam masa empat hari ini, dalam semua media cetak, dalam semua channel televisyen dan media sosial, memang cerita Perhimpunan Agung ini menjadi berita utama.

Apakah ini bukan tanda dan bukti bahawa platform politik yang terpenting, platform politik yang amat dinanti-nantikan pada saban tahun, tidak lain dan tidak bukan ialah Perhimpunan Agung parti UMNO kita ini.

Ini membuktikan bahawa walaupun kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, tidak ada sesiapa pun yang dapat menafikan gah parti UMNO kita sehingga hari ini.

Saya ingin memulakan ucapan penggulungan saya dengan menunjukkan edisi surat khabar salinannya yang telah diterbitkan pada tanggal 1 September 1957.

Tajuknya ialah pada masa itu dalam bahasa Inggeris ‘Look to the past with gratitude, look to the future with confidence’ kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman. Pada pendapat saya, kata-kata ini masih relevan dan masih tepat pada masa ini.

Melihat masa lampau dengan penuh kesyukuran dan memandang masa depan dengan penuh keyakinan. Dan inilah hasil perjuangan parti keramat parti UMNO kita. Saya berterima kasih kepada sidang perwakilan dan saya berterima kasih kepada semua jurucakap yang hampir semua telah menyambut tema ucapan dasar saya.

Makna Solidariti

Saya memilih perkataan..apa dia? SOLIDARITI. Saya boleh pilih perkataan lain, satu muafakat. Ada wakil yang tanya nak balik kampung macam mana nak cerita dengan orang kampung. Nak cerita pada mak long, pak long, mak ngah, pak ngah. Macam mana nak terangkan apa itu solidariti.

Solidariti bermakna bersatu dalam satu angkatan yang kukuh dan padu, itu dia solidariti dan apabila saya lihat akhbar tahun 1957 yang dimuatkan cerita kisah sambutan hari kemerdekaan, bagaimana kemerdekaan itu telah dicapai, asas dia apa?

Asas British bagi kita kemerdekaan dengan agak mudah kerana kekuatan yang kita perlihatkan atas semangat solidariti. Saya tengok wakil daripada Permatang Pauh dia gunakan perkataan keautentikan, tapi keautentikan belum masuk dalam Kamus Dewan.

Tapi solidariti dah masuk dan kalau kita sebut dengan intonasinya, SOLIDARITI...kita akan masukkannya dalam jiwa, dalam roh kita kerana inilah yang akan menjamin kita akan terus berjaya dalam masa pilihan raya umum akan datang dan selanjutnya.

Saya ucap terima kasih kepada sidang perwakilan kerana menyentuh banyak perkara. Oleh kerana Pengerusi Biro Agama tidak berucap, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dia minta saya mengulas sedikit tentang maqasid syariah.

Indeks Syariah

Saya dah pernah kata, bahawa kalau kita menganggap Malaysia ini di bawah pimpinan UMNO, berada di atas landasan perjuangan mengikut syariat Islam dan hukum syarak, dan ada orang kata sebaliknya pula, bagaimana kita nak cari satu penilaian yang boleh menggambarkan bahawa negara Malaysia ini hala tuju yang dibawa oleh UMNO dari dulu sampai sekarang ini adalah berpandu kepada tuntutan Islam sebenarnya. Maka, lahirlah cadangan supaya kita buat satu indeks syariah.

Indeks syariah ini akan membuat penilaian sejauh mana negara ini bawah UMNO telah menjaga agama kita, menjaga akal, menjaga keturunan, menjaga nyawa dan menjaga harta benda. Lima tuntutan maqasid syariah.

Saya telah minta supaya satu `task force’ ditubuhkan. Dikendalikan oleh UIA (Universiti Islam Antarabangsa) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jadi urus setianya, terdiri daripada pakar-pakar agama dan indeks syariah ini untuk negara Malaysia akan dibentangkan pada bulan dua tahun hadapan tidak lama lagi.

Apabila kita sudah bentangkan indeks syariah ini untuk Malaysia, kita boleh juga berbuat demikian untuk negara-negara Islam yang lain, supaya dengan ini mudah-mudahan, insya-Allah kita boleh gambarkan dan tunjukkan supaya tiada sesiapa boleh sangkal sama sekali bahawa negara yang di bawah pimpinan UMNO ini telah benar-benar menegakkan dan mengembangkan Islam di bumi yang bertuah ini.

Agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera

Bercakap sedikit tentang soal ekonomi, ada orang kata apabila ekonomi negara kita pertumbuhannya 6.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, kadar pencapaian Malaysia adalah tertinggi dalam kalangan negara Asia, satu pencapaian yang boleh dibanggakan, tapi ada orang kata dia tidak rasa angka 6.1 peratus ini, tiada apa-apa relevannya kepada dia.

Saya mahu beritahu bahawa kalau tidak dapat 6.1 peratus itu, kata dapat dua peratus, tiga peratus, tentu sekali kita semua akan merasai tekanannya, apatah lagi, dalam tahun 1997 kalau kita masih ingat lagi apabila ekonomi merudum pada masa itu, apa berlaku? Kita terpaksa potong peruntukan semua kementerian, jabatan kerajaan sampai tuntutan untuk penjawat awam pun terpaksa kita hadkan.

Kalau tidak ada pertumbuhan yang tinggi, macam mana kita boleh agihkan kekayaan? Macam mana kita boleh beri peruntukan yang amat diperlukan? Untuk siapa? Untuk kawasan-kawasan luar bandar yang mesti kita utamakan, untuk bidang pendidikan yang harus kita utamakan, untuk aspek-aspek yang penting kerana hasil negara amat wajar kita tokok tambah dan dengan ini maka kita bolehlah melaksanakan termasuk apa yang dihasratkan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Ramai yang cakap pasal Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tambahan GST. Apabila kita tambah GST, saya tidak dapat ramalkan lagi. Dengan rasionalisasi subsidi, kita tidak tahu, mungkin RM5 bilion, RM10 bilion tambahan dan kalau ada peruntukan tambahan saya ambil semangat dan hasrat Perhimpunan Agung UMNO ini. Hasrat perhimpunan ini apa? Supaya peruntukan ini dibelanjakan untuk kawasan luar bandar yang mesti kita utamakan.

Untuk bidang pendidikan, disebut oleh Timbalan Presiden mesti kita tambah lagi. Untuk apa? (golongan) pendapatan rendah, orang-orang Melayu kerana apa? Kerana kebanyakannya kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kita bagi latihan `upskilling’, ini kita tambah.

Untuk perumahan, orang muda minta tambah rumah transit. Wakil daripada Bahagian Kuala Kedah minta Projek Perumahan Rakyat (PPR) lagi. Ini semua kita kena tambah peruntukan melalui tambahan GST.

Saya nak buktikan GST tidak membebankan rakyat, GST akan membela rakyat. Siapa kata GST tidak menguntungkan kita? 160 lebih negara dah buat GST, takkan mereka ini semua salah, betul tidak? Takkanlah negara Burkina Faso yang miskin buat GST, yang kaya pun buat GST, sebab apa kita perlu GST? Sebab banyak orang yang berniaga tidak bayar cukai. Betul tuan-tuan? Apakah adil tuan-tuan bayar cukai? Tuan-tuan ini yang kerja, tiap-tiap bulan ada slip gaji, tidak boleh elak bayar cukai. Yang berniaga yang ada satu, kadang dua, kadang tiga buku, yang dikatakan `black economy’ ini, tidak bayar sampai ada `tax gap’ 30 peratus dalam negara kita. Mereka dapat perkhidmatan daripada kerajaan secara percuma, maknanya mereka tidak bayar apa.

Tidak adil, mereka patut bayar cukai kerana mereka patut menampung perbelanjaan untuk rakyat. Inilah konsepnya, sebab itu kita jangan politikkan GST ini. Kalau GST tidak baik tuan-tuan, saya tidak buat. Cerita GST ini sudah 20 tahun punya cerita.

Beberapa Menteri Kewangan termasuk Ketua Pembangkang. Dia pernah cadang GST, tarik balik, lepas itu. Oleh itu yakinlah, yakinlah niat kita tidak lain dan tidak bukan. Macam mana saya nak cari hasil? Tiap kali perhimpunan minta lagi peruntukan luar bandar ditambah, kerana di luar bandarlah kubu kuat untuk UMNO.

Peruntukan Mara

Tiap-tiap kali saya pandang pada muka Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dia tak nak sebut, dia segan tapi saya boleh baca dia nak (peruntukan) dan apabila saya dengar bibit-bibit perbahasan. (Majlis Amanah Rakyat) Mara mesti kita tambah (peruntukan) kerana Mara apa? Mara itu institusi lambang Melayu bumiputera. Banyak lagi anak-anak kita nak pergi luar negara tak ada biasiswa, anak sebahagian daripada saudara-saudari sekalian juga tak ada biasiswa lagi nak pergi ke Mara, kita tambah peruntukan daripada mana? Takkanlah kita nak pinjam lagi. Kalau kita pinjam daripada institusi kewangan dari luar negara kita akan kehilangan kedaulatan sebagai sebuah negara, ini kita tak boleh benarkan, kita mesti berdiri di atas kaki kita sendiri.

Ada wakil yang cakap tentang ramai graduan yang tak ada pekerjaan. Ini ada beberapa sebab. Antaranya kebolehan berkomunikasi umpamanya, bukan sahaja kelulusan ijazah itu tetapi kebolehan dia berkomunikasi kurang, mungkin personaliti dia, sebagainya. Jadi apa caranya, saya dah minta supaya Skim Latihan Satu Malaysia untuk graduan yang tak ada pekerjaan ini kita tambah 100 peratus lagi.

Saya dah cakap pagi tadi dengan Tan Sri Azman Mokhtar (Pengarah Urusan Khazanah Nasional), saya kata semua GLC kalau tahun depan rancangan 4,000 orang (untuk menyertai skim), kita jadikan 10,000 orang untuk graduan yang tak ada kerja. Saya buat ini sekali lagi kerana apa? Kerana hasrat para perwakilan dalam perhimpunan ini. Lagi apa?

Tanah Rizab Melayu.

Tanah Rizab Melayu mestilah kita pertahankan jadi minta semua menteri besar di negeri-negeri yang dikuasai oleh kita, pastikan tanah rizab itu kalau dibuka untuk pembangunan diganti dengan yang lain sahaja.

Yang kedua, saya nak sebut, tanah rizab ini jangan rizab sahaja mesti dibangunkan. Apabila nak bangunkan mesti ada sumber kewangan. Sekarang ini saya diberitahu bahawa ada kesukaran dari segi perundangan nasional land code dan juga enakmen-enakmen negeri untuk membolehkan akses kepada instrumen pinjaman Islam memajukan tanah-tanah rizab Melayu. Satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan laporannya telah disediakan.Saya minta semua undang-undang yang perlu dipinda dibuat pindaan supaya tanah-tanah rizab Melayu ini boleh dibangunkan dengan nilai yang menguntungkan pemilik-pemilik. Kita tak boleh bangga dengan jumlah tanah, tapi pulangan kepada pemilik tanah rizab yang penting.

Pengundi Cina

Ada yang kata kita tak perlukan pengundi orang Cina. Saya nak beritahu bahawa kalau kita tengok dari segi sejarah kenapa Tunku Abdul Rahman buat Perikatan kalau tak menguntungkan kita? Tuan-tuan ingat Tunku buat Perikatan untuk apa? Kalau pada tahun 1974 Tun Razak buat Barisan Nasional tak menguntungkan kita? Kalau lepas Tun Razak, Tun Dr. Mahathir (Mohamad), Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), sampai zaman sekarang kita pertahankan Barisan Nasional kenapa? Mestilah ada sebab. Kalau kita tak perlukan undi mereka, mengapa kita wujudkan Perikatan dan Barisan Nasional?

Saya masih ingat lagi beberapa kali Tun Dr. Mahathir sebut mengapa dia kalah dulu. Dia terangkan bahawa dalam `straight fight’ satu lawan satu, kalau dicabut 3,000 undi (bukan Melayu) daripada kita, diberi kepada pembangkang 3,000 defisitnya bukan 3,000 tetapi 6,000 undi. Sebab itulah dia kata dia kalah (kerana) undi orang Melayu tak cukup nak ditampung. Dia terkeluar ayat dia tak perlu undi Cina dan dia kalah. Itu satu pengajaran pada dia.

Tengok baru-baru ini di Pengkalan Kubor, saya pergi Pengkalan Kubor saya tanya berapa banyak kita menang tambah majoriti. Saya tanya undi orang Siam berapa? Dia kata lebih 1,700 undi. Kalau pindah pada Pas, terjongkang (tersungkur) Barisan Nasional, rebah kita.

Inilah yang dikatakan jangan menang sorak kampung tergadai. Gunalah akal sikit. Sebab itulah penting bagi kita menjaga Barisan Nasional ini, tapi tidaklah sampai mengorbankan prinsip-prinsip yang dekat di hati pada orang Melayu. Sebab semua orang kata orang Melayu adil, orang Melayu tegas. Tegas tapi adil pada orang lain. Kita nak tengok bukan sahaja soal pilihan raya tapi kita nak membina sebuah negara Malaysia, negara bangsa yang berjaya, ini hasrat kita.

Akta Hasutan 1948

Persidangan pada kali ini agak lain daripada biasa sebab boleh dikatakan hampir-hampir menjadi perhimpunan satu isu. Isunya Akta Hasutan 1948.

Saya selalu sebut bahawa sebagai seorang ahli politik kita mesti merasai denyut nadi rakyat. Saya mengikuti perkembangannya. Saya dengar pendapat, saya boleh pilih untuk mengumumkan keputusan kerajaan di Dewan Parlimen, tapi saya tahu bahawa ada satu lagi platform yakni perhimpunan agung.

Kenapa saya pilih Perhimpunan Agung UMNO nak umumkan keputusan? Kerana saya nak semua ahli UMNO sedar bahawa sebagai Presiden parti, saya bertanggungjawab kepada semua ahli-ahli parti. Kalau suara UMNO hendakkan supaya Akta Hasutan ini dikekalkan, maka saya memilih untuk menerima hasrat ahli-ahli UMNO seluruhnya. Tambah lagi bila saya bincang dengan Timbalan Presiden, dengan pemimpin-pemimpin UMNO semua kata bahawa itulah pendirian yang sebaik-baiknya. Dan ini bukan bererti bahawa kita takkan berlaku adil pada orang lain. Akta Hasutan ini melindungi semua orang. Melindungi orang Islam dan juga yang bukan Islam.

Saya dah sebut dalam ucapan saya, kita tak boleh menyakiti hati orang lain. Saya nak ingatkan bahawa pernah dalam tahun 1978, Mark Koding buat ucapan dalam Dewan Parlimen, bukan di luar supaya sekolah-sekolah Cina semua ditutup, sekolah India ditutup. Tahun 1978, kerajaan buat apa? dakwa dia dan Mark Koding telah didapati bersalah. Jadi kalau orang kata bahawa Akta Hasutan ini tidak demokratik, saya nak beritahu. Akhbar antarabangsa sehari dua ni serang saya. (Kata) Saya dah mungkir janji, saya dah guna cara kekerasan.

Saya nak beritahu bahawa tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri menjaga keamanan dan keselamatan dalam negara kita. Apa gunanya kita nak kata ini kebebasan? Kebebasan pun ada hadnya. Kebebasan bukan kebebasan mutlak. Tak boleh menghina agama Islam, tak boleh mencabar hak istimewa Melayu, tak boleh persoalkan sistem raja-raja Melayu, askar Melayu dan kita jaga juga kepentingan kaum-kaum lain.

Jadi amanlah kita. Asyik berbalah memanjang, kerja lain tak jadi. Saya nak kita melihat apa? Memberi fokus memajukan negara Malaysia kita yang tercinta ini. Kita nak bawa Malaysia ke hadapan. (Bukan) Asyik nak berbalah sahaja. Saya nak maklumkan bahawa Akta Hasutan negara ini bukan saja kita kekalkan, kita tokok tambah dan akan dibawa dalam sidang Parlimen yang akan datang ini.

Saya tak boleh arahkan sebab dalam Perlembagaan, Peguam Negara ada kuasa mutlak menentukan pendakwaan. Tapi kita minta ketegasan daripada Peguam Negara. Kita minta pihak polis buat siasatan yang rapi. Kita minta SKMM membuat siasatan yang sewajarnya juga supaya kita memberi isyarat yang jelas tak ada sesiapa yang harus takut dan bimbang kalau dia tidak melanggar undang-undang dalam negara kita.

Tak ada siapa yang harus takut kalau dia tidak mahu untuk mengapi-apikan, menghasut orang. Kalau kita ini bukan penghasut, tak ada apa yang kita harus bimbang. Jadi batu api sikit-sikit tak apa. Jangan jadi batu penghasut antara kaum agama dalam negara kita. Ini jelas, dah tak ada warning (amaran) lagi selepas ini. Kita nak pastikan keamanan dalam negara kita. Kita nak memastikan bahawa setiap orang, setiap kaum, setiap agama menghormati antara satu sama lain.

Pemimpin pembangkang

Saya tertarik pada ucapan wakil dari Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin. Dia kata, kalau tengok pada pembangkang, dia jaga pemimpin dia macam nak rak. Pemimpin tak betul pun dia bela habis-habisan. Dah keluar video, dia boleh kata “Eh tu bukan saya, perut saya tak boroi”. Terlepas, senang saja. Kalau kena pada orang UMNO, bukan saja pembangkang, orang UMNO sendiri pun dah hulur.

Itulah yang saya nak katakan bahawa kalau parti nak kuat, jagalah pemimpin-pemimpin kita. Kalau dia bersalah pun, tegurlah dengan baik supaya parti kita kuat, kita boleh ke depan. Kita ni semua manusia biasa, tiada yang sempurna sepenuhnya. Orang yang kata kat kita pun dia tak sempurna. Jadi kita sesamalah jaga sesama kita, baru parti kita kuat. Kita nak menang pilihan raya umum, sebab itulah saudara sekalian, kita mesti faham pembangkang lagi teruk daripada kita.

Ini saya nak buka lagi satu cerita. Dua hari lalu, cuba tengok akhbar ini (paparkan) Datuk Seri Anifah Aman ditawar RM100 juta lompat parti. Pada PRU Ke-12, 16 September 2008, beliau ditawar RM100 juta (untuk) bawa 10 ahli Parlimen Barisan Nasional masuk pembangkang, nak tubuh kerajaan. Cerita ini dah keluar dalam mahkamah, saya petik dalam akhbar sahaja. Jangan kata saya subjudis. Saya dah cek dengan peguam dah, boleh.

Saya petik apa ditulis dalam akhbar dan Datuk Seri Anifah sudah pun disoal balas RM100 juta nak tubuh kerajaan, bukan ke ini ibu segala rasuah? Kita UMNO dituduh macam-macam, tapi yang buat angkara yang dahsyat ialah parti pembangkang. Sebab itulah saudari sekalian jangan sangat fikir kita ni teruk, tidak, pembangkang lagi teruk. Boleh pula suruh wakil rakyat letak jawatan, isteri nak bertanding. Suruh pulak menteri besar yang tiada kesalahan letak jawatan sebab isteri kena jadi menteri besar.

Cuba bayangkan kalau saya suruh menteri besar Negeri Sembilan letak jawatan, isteri saya nak jadi menteri besar Negeri Sembilan, mati saya. Dia pun tak nak jadi menteri besar, jadi ketua wanita bahagian pun dia tak nak. Apa yang dia (pembangkang) kata kita ni teruk? Ini apa dia? Nepotisme yang terbesar. Kenapa kita tak persalahkan dia?

Jangan serang kita, serang pembangkang. Saya setuju Datuk Zahid kata bloggers kita ni kadang-kadang dia tembak kita dalam istilah perang, ‘friendly fire’. Saya beritahu anda, serang rakan bukan secara mesra, bloggers kita ni dia cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang, Itu cara kita nak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri, tak masuk akal.

Peremajaan UMNO

Ini semua sebabkan kita ni lemah. Kita lemah sebab kita sendiri buat masalah, cuba kita tak buat masalah, cuba kita menghayati `Solidariti’. Parti UMNO akan sentiasa kuat, insya-Allah, betul tuan-tuan? Saya nak cakap sikit tentang peremajaan, saya setuju Ketua Pemuda, saudara Khairy Jamaluddin dah bagi penjelasan. Saya tahu, saya bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya tahu zaman saya pun, saya ingat puluhan bahagian ketua pemuda ada masalah dengan ketua bahagian.

Apabila UMNO diharamkan, bila nak lantik ketua pemuda bahagian yang sedia ada, ada rombongan ketua bahagian datang dekat saya, desak jangan lantik ketua pemuda bahagian, (Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi) saksi, (Datuk Seri Mohd) Shafie (Apdal) pun tahu.

Saya tahu banyak masalah. Sebab bila kita kata peremajaan parti, kita meremajakan parti. Kita mesti faham bahawa kita ada tiga golongan dalam UMNO. Kita perlu ketiga-tiga golongan ini untuk bekerjasama satu haluan. Tapi kalau kita asyik tengok belakang kita, dia nak serang kita ke? tak serang kita ke? sampai bila pun kita takkan wujud satu keadaan Solidariti.

Tapi dalam pada itu bagilah peluang. Mana yang patut bagi peluang pada orang muda, kita bagi. Kita akan bagi lebih banyak peluang pada orang muda, tetapi mesti layak, mesti berdasarkan merit, mesti menepati JIL UMNO. Itu mesti ada kriteria-kriterianya, bukan sembarangan orang boleh. Hari ini masuk (UMNO) nak bertanding tak boleh.Mungkin kita uji dia dulu, jadi perdana fellow ke, jadi setiausaha politik ke, jadi apa ke, barulah sampai masanya dia bertanding. Ada masanya kita perlu orang lama macam di (kerusi Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Kubor.

Ada masa kita perlu orang muda, kita tengok saudara Irmohizam bertanding di Kuala Selangor, giant killer, dia kalahkan Dr. Zul (Dr. Dzulkefly Ahmad), dia jadi calon, tak ada duit, pergi kenduri bagi sumbangan RM30. Saya fikir dalam UMNO ni, RM30 tak pandang pun. RM30 bagi dekat orang kahwin, sebab apa dia tak mampu, sebab dia menampakkan dia autentik, orang kesian dekat dia, dia menang, dia lain, cara dia lain, dia tak pakai stoking merah, ada orang pakai merah belang lagi, bukan sahaja merah, belang lagi tu, seluar bukan main ketat. Ada stail masing-masing, saya tak berani nak ikut stail dia. Sebab itulah saya nak kata bahawa kita perlukan semua orang. Bila berlakunya soal peremajaan ini dan sebagainya, banyak panggilan saya dapat, ada yang SMS dekat saya, eh saya ini patut berhenti ke?

Kalau yang dari Utara kata kat saya, ‘Najib, hang tak mau dah ke kami yang tua-tua ini?’ dia cakap macam itu dekat saya. Yang dari Kelantan pula ghoyak ‘demo tak nak ke aku?’ Saya kata sabar, bila pula saya tak nak, siapa kata? Semua kita nak.

Yang dari Pantai Timur pula (saya jawab), `buke lagu tu, dok eh, kito nak blako, kito nak semuo,’’ yang pentingnya ialah apanya? Kita remajakan jasad. Jadi, jasad remaja. Macam mana? kita remajakan lagi akal.

Akal kita ini perlu diremajakan, mesti ada `stigi’, sebab orang Pekan tidak boleh sebut strategi, dia sebut `stigi’. Mesti ada `stigi’, ada pelan, moden, mesti pandai guna media sosial dan sebagainya dan remajakanlah roh perjuangan UMNO, roh parti.

Saya tertarik kepada dua orang dalam perhimpunan ini. Yang pertama saya tertarik kepada Datuk Rahmah Kassim, 90 tahun, yang jual gelang biayai perjalanan Tunku Abdul Rahman (ke London), sanggup datang ke perhimpunan kita. Maknanya roh dia kuat, roh UMNO kuat. `Spirit of UMNO is strong’, sampai dia kata bila teringat Tunku dan Tun Abdul Razak dia menitis air mata dia. Inilah peremajaan UMNO yang kita maksudkan, roh kita ini.

Seorang lagi saya tertarik Dr. Mohammad Nawar Ariffin, wakil dari Kedah berucap, orang Pokok Sena. Apa dia kata? Dia kata setiap butir nasi yang dia makan itu adalah hasil perjuangan UMNO. Saya tersentuh perasaan. Kerana UMNOlah dia jadi seorang `Orthopedic Surgeon’ (Pakar bedah) hari ini. Sebab UMNO dia dapat sara keluarga dia. Sebab UMNOlah dia akan terhutang budi seumur hidup pada UMNO dan akan terus berjuang untuk UMNO. Inilah peremajaan UMNO yang sebenarnya. Bukan orang dapat pada kekayaan lupa pada UMNO, dapat jawatan dalam UMNO dan tinggalkan UMNO, dapat serba-serbi daripada UMNO, tikam UMNO dari belakang. Ini bukan peremajaan UMNO, ini pengkhianat UMNO.

Yakini perjuangan UMNO

Marilah kita bersama-sama meneruskan perjuangan kita. Perjuangan kita ini, ingatlah saudara-saudara sekalian jika rosaknya UMNO, maka tersingkirlah kita. Jika terbuangnya UMNO, maka hanyutlah kita. Percayalah jika kuatnya UMNO, maka terjaminlah kita. Jika hebatnya UMNO pasti berjayalah kita. Maka yakinlah saudara-saudara sekalian, yakinlah dengan mata hati, kerana segala tindakan telah diperhalusi. Usahlah dipertikai mahu pun diragui. Berilah kepercayaan sepenuh hati, hilangkan resah, hilangkan gelisah, janji yang kita lafazkan pasti tidak akan dimungkiri. Segala keputusan dan tindakan kepentingan Melayu dan bumiputera tidak pernah kita lupakan.

Saudara perwakilan sekalian,

Tariklah nafas kita, tariklah bersama roh perjuangan, tariklah bersama nafas keberanian, tariklah bersama nafas keyakinan. Jadilah kita barisan hadapan untuk mempertahankan tindakan dan keputusan yang dibuat oleh parti. Jadilah kita barisan hadapan untuk pertahankan maruah parti dan usah biarkan ia dicemari. Berjanjilah, berjanjilah selagi hayat dikandung badan, selagi mentari masih menyinar, parti UMNO kita perkukuhkan, Melayu dan bumiputera kita pertahankan, agama Islam kita muliakan, Malaysia tercinta kita makmurkan.

Perkasa Pendidikan Perkukuh Ekonomi

Sedutan ucapan penggulungan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perhimpunan Agung UMNO Ke-68 di Dewan Merdeka, PWTC semalam.

Assalamualaikum Waramatullah Hiwabarakatuh.

Alhamdulillah marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana dapat sama-sama berada di Perhimpunan Agung UMNO ini sebagai menunaikan tanggungjawab kita terhadap parti kita iaitu UMNO yang kita kasihi ini demi kesejahteraan bangsa, agama dan negara.


Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan parti, izinkan saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh perwakilan yang telah pun berkampung selama lima hari di sini untuk terlibat bersama-sama membahaskan perkara-perkara yang dianggap penting bagi kelangsungan parti ini.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini juga untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua wakil-wakil negeri yang telah pun tampil untuk membahaskan usul-usul yang telah pun dibentangkan, dan saya ucapkan terima kasih kerana semua usul penting itu telah diterima dan diluluskan dengan sebulat suara.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh pegawai di peringkat urusetia yang diketuai oleh Setiausaha Agung dan juga Setiausaha Kerja yang saya tahu telah pun bekerja keras lebih sebulan yang lalu menyiapkan segala kelengkapan dan menentukan agar proses perhimpunan agung ini berjalan dengan licin dan lancar.

Tan Sri Pengerusi Tetap, saya tidak hendak mengambil masa yang panjang kerana kita juga sedang menunggu ucapan penggulungan yang akan disampaikan sebentar lagi oleh Yang Amat Berhormat Presiden parti.

Namun, saya akan menyentuh hanya beberapa perkara yang saya anggap penting sahaja. Pertamanya ialah isu-isu yang telah pun dibangkitkan menyentuh aspek pendidikan negara. Saya telah pun mengikuti perbahasan yang agak begitu mendalam, yang telah pun dibawa oleh wakil-wakil yang menyentuh isu-isu pendidikan di negara kita khususnya yang menyentuh tentang sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama, soal yang berkaitan dengan kualiti guru, demikian juga yang berkaitan dengan infrastruktur untuk sekolah-sekolah kita, pemerkasaan bahasa Melayu, peranan sekolah kebangsaan kita dalam memupuk perpaduan nasional.

Saya ingin menyatakan bahawa kita menerima banyak usul yang datang daripada bahagian-bahagian yang menyentuh tentang aspek ini yang menunjukkan betapa prihatinnya ahli UMNO di semua peringkat tentang betapa pentingnya soal pendidikan itu sentiasa diberikan perhatian dan diberikan keutamaan.

Sebagai contoh, daripada 638 usul yang telah pun dibawa oleh bahagian-bahagian, 121 usul ataupun hampir 20 peratus adalah yang berkaitan dengan isu pendidikan.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Presiden parti sebagai Perdana Menteri, yang sejak dahulu sampailah waktu kini meletakkan pendidikan sebagai agenda utama negara kita dengan menyediakan sebuah peruntukan yang begitu besar.

Bagi 2015 sebagai contoh, bajet yang baru telah diluluskan di peringkat Parlimen dua hari yang lalu, Kementerian Pendidikan telah pun diberi peruntukan sejumlah RM56.6 bilion iaitu sebanyak 20.11 peratus daripada keseluruhan bajet yang telah pun diluluskan baru-baru ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, cumanya bagaimana suara-suara yang telah pun banyak saya dengar dalam perbahasan yang menyentuh tentang soal pemerkasaan sekolah kebangsaan, meningkatkan infrastruktur, melatih guru-guru supaya lebih berkualiti dan lain-lain perkara yang telah pun disarankan tadi, saya berharap waktu mana di tahun-tahun hadapan sebagaimana Datuk Shafie (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) pun sebutkan tadi, dengan adanya pelaksanaan GST dan juga proses rasionalisasi subsidi, ada penjimatan dan juga pengumpulan dana baru, maka kita harapkan peruntukan akan terus diberikan dengan lebih banyak lagi kepada aspek pendidikan di negara kita. Terima kasih, insya-Allah kita harapkan begitu.

Ada beberapa wakil yang telah menyentuh tentang aspek pendidikan vokasional dan teknikal. Sebenarnya dalam Dasar Pendidikan Negara kita sekarang, aspek ini kita berikan suatu perhatian yang cukup penting. Dimaklumkan kepada saya bahawa hampir 80 peratus daripada sejumlah 10 juta pekerja dalam sektor awam dan swasta hanya berkelulusan SPM sahaja.

Maka pendapatan mereka dalam bentuk gaji dan lain-lain lagi adalah amat rendah dan ini tidak akan menjamin satu masa depan yang lebih baik untuk mereka. Maka sebab itulah antara inisiatif yang sudah pun mula diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan ialah memperkenalkan program transformasi pendidikan vokasional dan teknikal sebagai satu langkah untuk menambah ilmu dan kemahiran terutamanya bagi anak-anak kita bumiputera ataupun orang Melayu yang saya kira kalau ini dapat kita usahakan dengan lebih banyak lagi dalam tempoh yang mendatang maka mereka bukan sahaja peroleh kemahiran, soal yang berkaitan dengan peluang pekerjaan yang lebih baik dan pendapatan yang lebih tinggi dan lebih terjamin akan dapat kita laksanakan. Insya-Allah.

Sebab itu dalam Bajet 2015 sebagai contoh, kementerian saya telah pun diperuntukkan satu peruntukan yang jauh lebih besar oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu sebanyak RM1.2 bilion untuk membolehkan kita menyediakan lebih banyak prasarana sekolah-sekolah vokasional, kolej-kolej vokasional dan Perdana Menteri bermurah hati untuk tahun hadapan, menyediakan peruntukan RM100 juta untuk membolehkan kita membeli tempat-tempat di sekolah-sekolah swasta untuk menampung sekurang-kurangnya 10,000 pelajar kita dan keutamaan akan kita berikan kepada anak-anak Melayu yang memerlukan latihan teknikal dan vokasional ini.

Isu berkaitan bahasa yang juga diperkatakan oleh banyak pembahas terutama tentang penguasaan bahasa Melayu bukan sahaja di sekolah kebangsaan yang menjadi bahasa pengantar, tetapi yang tidak kurang penting ialah sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Ada yang telah memetik Prof. Dr. Teo Kok Seong yang mengkaji tentang tahap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan anak kita di sekolah ini yang mendapati sebahagian daripada mereka tidak berupaya untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan walaupun sudah lama berada dalam sistem pendidikan persekolahan kita.

Oleh itu, saya telah mengarahkan supaya aspek kokurikulum dan guru yang terlatih yang hendak dihantar ke sekolah-sekolah akan kita tingkatkan baik dari segi jadual waktunya, baik dari segi content (kandungan) kokurikulumnya, baik dari segi bentuk peperiksaannya supaya dalam tempoh yang lebih munasabah daripada apa yang kita laksanakan sekarang ini akan dapat menghasilkan kualiti bahasa Melayu yang lebih tinggi dalam kalangan anak-anak yang belajar di sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Yang bercakap tentang soal bahasa ketiga, ada yang menyarankan supaya diperkenalkan bahasa ketiga. Saya ingin memaklumkan dalam sistem sekolah kita sudah ada dasar itu dan sebahagian daripada anak-anak kita sudah pun mengambil bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol. Kesemua ini kita telah sediakan dalam sistem pendidikan kita, tetapi bilangan yang terlibat dalam pengambilan subjek ini sebagai bahasa ketiga adalah amat kecil sekali.

Sebab itu saya menyokong usul supaya bahasa ketiga ini yang juga disarankan oleh Datuk Seri Shahrizat, dijadikan sebagai satu pilihan elektif di mana seramai mungkin terutamanya anak-anak Melayu dapat menguasai lebih daripada dua bahasa dan kalau boleh bahasa Mandarin dikuasai oleh anak-anak Melayu, dapat mengetahui apa yang dibicarakan oleh rakan-rakan mereka dalam kalangan anak-anak Cina atau bahasa Tamil dalam kalangan anak-anak India yang ada di sekolah kita ini.

Ini adalah satu langkah yang akan kita ambil, tetapi saya ingin memperingatkan kepada perwakilan supaya menjadikannya sebagai ruang baharu di mana lebih ramai anak kita mengambil bidang ini. Maka saya perlu melantik sekurang-kurangnya 30,000 guru bahasa-bahasa ketiga yang disebutkan tadi kerana kita mempunyai sejumlah 10,000 sekolah. Dalam satu sekolah pun ada tiga orang guru bahasa yang pakar, maka pastinya jumlahnya adalah sangat besar.

Diharapkan dengan sokongan perwakilan sekalian dan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan, jawatan-jawatan baharu dapat diwujudkan, maka akan mudahlah kita laksanakan dasar baharu yang saya sebutkan tadi.

Langkah Drastik

We are very serius, saya sebutkan do or be dead, kalau tak buat kita akan mati. Sebab itu dalamsoal ini kita kena ambil langkahlangkah yang drastik. Saya dah beritahu kepada Presiden parti, saya akan memantau keadaan ini. Kalau satu kawasan yang tergolong dalam golongan 44 tadi dalam kategori yang dikatakan kelabu dah menjadi hampirhampir hitam, maka saudara tahu apa yang harus kita buat. Saya nak tengok siapa ketua bahagian di situ. Apa masalah ketua bahagian dengan Pemudakah, Wanitanya kah atau tak ada program langsung dilaksanakan atau dia syok sendiri buat program tetapi tidak melibatkan rakyat jelata yang sepatutnya memberi sokongan kepada kita. Jadi sebab itu saudara, saya nak mengingatkan, mulai awal tahun hadapan inisiatif ini akan kita laksanakan dan kita akan turun ke setiap peringkat dan saya nak minta supaya kerjasama daripada semua pemimpin bahagian termasuklah sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri untuk tampil ke depan bergerak sebagai satu saf untuk tempur mana-mana musuh politik kita dan pastikan kawasan-kawasan kita ini terus dipertahankan. Mana-mana agak yang kurang sokongan perlu dipertingkatkan lagi dan inisiatif-inisiatif baharu mesti diambil untuk mengatasi masalah di peringkat kawasan masing-masing.

Cabaran Pilihan Raya Umum

Saya dalam ucapan perasmian di Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri telah menyebut sepotong ayat al-Quran dan saya bacakan di sini yang bertujuan memberi peringatan kepada kita semua yang bermaksud: “Jika kamu dalam Peperangan Uhud mendapat luka atau tercedera, maka sesungguhnya kaum musyrik yang mencerobohi kamu itu telah tercedera juga dan mendapat luka yang sama dalam Peperangan Badar. Dan itulah keadaan hari-hari dunia ini dengan peristiwa kemenangan-kemenangan dan kekalahan, kami gilirkan di antara sesama manusia supaya menjadi pengajaran dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman dan yang sebaliknya supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang yang mati syahid dan ingatlah Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.”

Bacaan ayat ini adalah sebagai satu peringatan tentang apa yang Allah nyatakan dalam al-Quran iaitu penggiliran kerajaan dan pemerintahan di satu peringkat. Kadang-kadang Islam menjadi kerajaan, di peringkat lain Islam kalah dan diambil oleh pihak-pihak musyrikin dan sebagainya. Ini adalah satu lontaran penting khususnya bagi kita orang Melayu atau pimpinan yang ada dalam masyarakat kita terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO tentang pentingnya kita berlapang dada dan sanggup untuk melihat ke hadapan bahawa ada cabaran-cabaran lebih besar yang akan kita hadapi dalam tempoh ke hadapan ini.

Saya ingin menunjukkan tentang adanya situasi umumnya orang sudah tahu untuk memperingatkan di mana kita berada. Ini adalah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13. Bukan satu perkara sulit, umum mengetahui dan kita perlu mengingatkan di mana kedudukan kita. Ada warna putih, kelabu putih, kelabu dan kalau dilihat, 44 kawasan Parlimen kelabu di mana kita menang antara 0.1 peratus sehingga 5.9 peratus majoriti.

Sebahagian yang hadir di sini adalah mereka yang tergolong dalam bahagian yang saya sebutkan. Yang kat bawah (hitam) tak payah tengok lagilah memang yang sudah kita kalah. Yang saya hendak sebutkan adalah situasi di mana kita berada sekarang selepas Pilihan Raya Umum Ke-11, kita ada 198 (Parlimen) turun kepada 140 dan yang terakhir kita ketahui adalah 134 sebenarnya, sebab kita memenangi Teluk Intan baru-baru ini. Tahniah kepada Ahli Parlimennya.

Suruhan Jaya Kepelbagaian Sekolah

Saya juga ingin mengucapkan, kerana dalam usul tadi disarankan penubuhan sebuah Suruhanjaya Kepelbagaian Sekolah. Maka, dengan penubuhan suruhanjaya ini kita akan dapat meneliti sejauh mana dalam sistem persekolahan yang lain daripada aliran sekolah kebangsaan dapat menghasilkan anak-anak kita yang dikatakan terdidik dengan semangat patriotisme dan nasionalisme. Jadi, kalau ada aspek-aspek yang dikenal pasti oleh suruhanjaya ini dan diperakukan oleh pihak kementerian, maka saya harap ada langkah-langkah proaktif yang kita ambil untuk menyelesaikan masalah atau isu yang berbangkit nanti. Saya ingin menyatakan bahawa ada satu berita baik yang saya ingin umumkan di sini selepas berbincang dengan Perdana Menteri di sebelah pagi tadi. Di atas saranan beberapa wakil tentang perlunya kita beri sokongan kepada usahausaha yang dibuat oleh persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di sekolah-sekolah di seluruh negara, saya ingin maklumkan Perdana Menteri telah bersetuju menubuhkan Yayasan Tabung PIBG Nasional. Idea ini telah dikemukakan oleh Datuk Seri Idris bersama-sama saya dan beliau dengan cepat mengatakan boleh umum, tetapi umum sahaja tidak memandai, maka kita perlukan satu dana. Beliau kata kita boleh usahakan. Saya berharap  tidak kurang daripada RM200 juta sebagai dana permulaan, sebahagiannya sumbangan daripada pihak kerajaan yang lain kita akan usahakan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) dan sumbangan sektor swasta dan akan diagihkan ke semua sekolah terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dua peratus , bukannya banyak

Tapi saya sebutkan di sini untuk menunjukkan kalau situasi kita tidak bertambah baik dengan perbahasan, peremajaan dan perbicaraan yang panjang lebar, yang kita buat dalam dewan hari ini untuk membangkitkan kesedaran hanya dengan dua peratus sahaja penurunan undi, ke bawah paras bahaya menjadi hanya 103 kawasan. Kalau 103, kurang dari 112, bermakna Barisan Nasional pastinya kalah, nauzubillah. Dua peratus, bukannya banyak. Kalau saudara mengira setiap kawasan Parlimen di mana saudara berada, kalau jumlah undinya sekian banyak, kiralah kalau dua peratus menurun daripada keadaan sedia ada, maka kita akan berada dalam satu tahap yang amat berbahaya. Saya tidak tahu kalau kita boleh bersidang tiga tahun akan datang selepas pilihan raya, sama ada kita boleh panggil Presiden kita sebagai Perdana Menteri atau tidak. Tak usah cakap fasal Timbalan Perdana Menterilah. Dan kalau sekiranya usaha ini hendak diatasi bermakna inisiatif kita mesti kita ambil secara bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kalau dua peratus kita naikkan kepada 141 kawasan Parlimen. Saya tidak tahu sama ada bolehkah kita naik kepada 141? (Sorakan boleh). Tidak kuat (bertambah kuat sorakan boleh). Kurang yakin... Yakin atau tidak? (Sorakan kuat boleh). Barulah confident (yakin) sikit. Kalau kitakerja kuat sikit, naik lima peratus, 159 kawasan, dua pertiga kita sasarkan insya-Allah kita tercapai. Sebab itu bila ada dibincangkan keadaan di sini, saya telah mengingatkan diri saya sebagai Pengarah Pilihan Raya, saya percaya masih kekal jadi pengarah agaknya. Bila Presiden mengumumkan akan mengadakan pilihan raya untuk yang ke-14 nanti. Maka soalnya, hanya dengan lebih kurang 39 bulan sahaja saudara, pilihan raya pasti diadakan. Soalnya dalam tempoh begini singkat, apakah inisiatif baharu yang boleh kita laksanakan untuk mengembalikan sokongan dan memperbetulkan persepsi yang telah dibahaskan usulnya pada peringkat Pemuda dan Wanita? Tentang soal sikap orang muda, pandangan orang muda, bukan saya kata, yang saya sebutkan hari itu berjela-jela lamanya. Selepas itu dibahas dan dipersetujui. Kalau tiada apa-apa inisiatif untuk membawa satu pembaharuan dalam tempoh segera, kita akan berada dalam satu keadaan yang cukup berbahaya. Untuk itu, saya dan Presiden parti, boleh saya sebutkan di sini, di mana beliau sendiri telah menunjukkan komitmen yang begitu tinggi untuk meluangkan lebih banyak masa untuk parti dalam tempoh tiga tahun yang akan datang. Kita ucapkan terima kasih. Bermakna Perdana Menteri sendiri akan mengorbankan masa selain daripada tugas-tugas rasmi untuk melihat urusan parti, membantu saya dan rakan-rakan yang lain, untuk turun ke setiap kawasan. Sebab itu ucapan saya di peringkat Pemuda dan saya hendak ulang di sini, bahawa kita akan melihat secara lebih rapi dan terperinci dengan menubuhkan apa yang saya sebutkan sebagai Badan Naziran Politik UMNO, di mana saya akan melantik orang yang tidak semestinya daripada kalangan ahli parti yang memegang jawatan, tetapi ada kelayakan diberikan tugas untuk memantau setiap peringkat bahagian. Kalau dahulu kita serahkan kepada Ahli Majlis Tertinggi, sebahagian jadi menteri, timbalan menteri, jadi tak banyak masa.

Tumpuan Agenda Ekonomi Bumiputera

Presiden juga telah berkata dalam ucapan dasar beliau iaitu beliau bukan setakat Perdana Menteri ataupun Presiden UMNO sahaja, tetapi sebagai penyambung lidah warisan perjuangan Melayu bumiputera. Inilah untuk menentukan supaya agenda ekonomi bumiputera terutama yang kita amati memerlukan perhatian dan tumpuan yang lebih istimewa.

Saya telah memberi pandangan dan pendapat saya walaupun sudah ada inisiatif yang telah diambil oleh tidak lain daripada Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi Bumiputera, tetapi tumpuan yang lebih patut diberikan kepada sekumpulan besar 40 peratus daripada golongan yang dikatakan di peringkat bawah yang sebahagiannya bumiputera adalah mesti diberikan perhatian dan pembelaan yang seadil-adilnya supaya kedudukan ekonomi bumiputera akan terus dapat dimaju dan dibangunkan. Saya yakin dengan adanya keputusan ini, maka insya-Allah masa depan bumiputera khasnya Melayu akan terus terpelihara.

Penambahbaikan Akta Hasutan 1948

Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Presiden sekali lagi, walaupun tanpa disebut ulang-ulang secara peribadi atas keputusan beliau bersetuju untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948, ada pihak menyatakan kenyataan yang telah saya buat awal sedikit daripada keputusan Presiden itu sebagai satu desakan.

Saya katakan itu bukan desakan, itu peranan yang bertanggungjawab untuk mengemukakan apa jua yang saya dapati hasil daripada penemuan dan perbincangan pelbagai pihak supaya Presiden dapat mentakrif dan saya ucapkan syukur kerana dengan keputusan ini maka Akta Hasutan bukan saja terus dikekalkan tapi diperkukuh, dikuatkuasakan, dilaksanakan dengan penambahbaikan yang akan dilakukan dalam masa terdekat ini. Terima kasih dan tahniah diucapkan. Kita berikan tepukan kepada Presiden kita.

Buluh sembilu rumpunnya keras,

Dibuat orang pancang penanda,

Bangsa Melayu bangsa teras,

Namun adil kepada semua.

Pasang pelita di tepi tangga,

Penerang halaman penyinar cahaya,

Habuan dunia manfaatkan bersama,

Usah kita lupakan lunas agama.

Besi disepuh dibuat senjata,

Di bawa berjuang tiadakan alah,

Melayu teguh berteraskan agama,

Di dunia dan akhirat dikurniakan barakah.

Bagaimana bermula parti politik

KEWUJUDAN parti politik bukan bermula di zaman Greek (Yunani) kuno. Meskipun perkataan demokrasi berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘demos’ yang bermaksud rakyat dan ‘kratos’ yang bermaksud kekuasaan, pada masa itu tidak ada struktur parti politik seperti hari ini.

Parti politik juga tidak bermula di Rom kuno walaupun Rom mempunyai dewan senat dan dewan perhimpunan. Pada zaman Rom kuno, terdapat dua kumpulan yang mewakili rakyat dengan kepentingan berbeza.

Kumpulan Patrician mewakili keluarga bangsawan manakala Plebeian mewakili rakyat biasa, namun kedua-dua kumpulan ini biasanya membuat pengundian secara berasingan atas kepentingan masing-masing.


Kumpulan Patrician dan Plebeian ini bukan parti politik tetapi hanya pecahan kumpulan yang menyokong keluarga bangsawan dan rakyat kelas rendah. Buktinya, selepas kejatuhan kerajaan Rom pada 476 Masehi, masyarakat Eropah masih mempunyai sedikit suara dalam politik.

Parti politik sebenarnya bermula di England selepas Popish Plot pada 1678. Popish Plot merupakan cerita rekaan kononnya golongan Roman Katolik merancang membunuh Raja Charles II dan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada adiknya, Duke of York, James II yang menganut fahaman Roman Katolik.

Walaupun rancangan pembunuhan itu sebenarnya hanya khabar angin yang tidak benar, Parlimen England telah meluluskan undang-undang yang melarang orang Roman Katolik menyertai perkhidmatan awam dan cuba merampas hak James II untuk mewarisi takhta.

Namun, Raja Charles II yang melihat tindakan Parlimen itu seperti cuba mencabar kuasa raja, telah mengarahkan supaya Parlimen dibubarkan. Ekoran arahan itu, wujud dua kumpulan, sama ada menyokong atau menentang tindakan Raja Charles II itu.

Kumpulan yang menyokong tindakan raja itu dipanggil Abhorrers kerana mereka tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk mengawal kuasa raja manakala kumpulan yang menentang tindakan Raja Charles II dan mendesak baginda memanggil Parlimen baharu digelar Petitioners. Tidak lama kemudian, dua kumpulan itu mendapat nama baharu dengan pihak yang menyokong dipanggil Tories manakala pihak yang menentang digelar Whigs.

Perbezaan antara kedua-dua kumpulan pada 1600-an adalah dari segi pandangan tentang fungsi dan kuasa sebuah kerajaan. Tories mahu sebuah kerajaan diketuai raja yang kuat manakala Whigs mahu rakyat biasa diberikan lebih banyak hak dan kawalan dalam kerajaan. Tories dan Whigs kemudian berkembang menjadi parti politik yang tersusun selepas Parlimen mempunyai kuasa lebih kuat dalam pentadbiran England dan United Kingdom (UK).

England mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan yang kekal sehingga sekarang selepas Revolusi Glorious pada 1688 yang menyaksikan King James II diturunkan daripada takhtanya.