December 20th, 2014

Siri Baba dan Nyonya ~ Kaya adat resam

Baba untuk lelaki manakala Nyonya pula perempuan. Itulah gelaran untuk komuniti yang terkenal dengan adat dan adab yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Kewujudan kelompok masyarakat Baba Nyonya bukanlah suatu cerita baharu di Malaysia, bahkan komuniti ini cukup dikenali ramai sejak ratusan tahun lalu.

Dari aspek sejarah, kebanyakan pendatang Cina yang terawal berhijrah ke Tanah Melayu adalah daripada kelompok Hokkien. Justeru, kebanyakan Baba Nyonya berasal daripada etnik Hokkien dan mereka masih menganggap diri mereka sebagai orang Hokkien walaupun kebanyakannya tidak pandai bertutur dalam loghat Hokkien. Ada juga Baba Nyonya berasal daripada keturunan Kantonis, Hakka dan lain-lain.


Budaya Baba Nyonya dikenali ramai berasal dari Melaka tetapi Pulau Pinang dan Singapura (ketika itu dikenali Negeri-Negeri Selat) semakin berkembang, justeru banyak daripada mereka berpindah ke kedua-dua negeri itu terutama Singapura.

Dalam pada itu, Baba Nyonya hari ini bertutur dalam bahasa Baba iaitu sejenis dialek Melayu yang difahami oleh kebanyakan orang Melayu.


MASYARAKAT Baba Nyonya gemarkan perabot dan barangan hiasan dalam rumah bermotifkan corak burung Phoenix, naga, angsa dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, masakan mereka juga dipengaruhi masakan Melayu, selain mereka biasa makan menggunakan tangan sebagaimana orang-orang Melayu.


Dalam pada itu, walaupun mereka telah lama terpisah daripada komuniti asal di China, namun pandangan hidup Baba Nyonya masih bersifat kecinaan.

Ini dapat dilihat dalam aspek kebudayaan seperti sistem kekeluargaan dan agama yang masih kekal, kecuali tocang yang dianggap sebagai lambang pengabdian kepada kerajaan Manchu, serta tradisi mengikat kaki kaum wanita yang dianggap sebagai adat yang tidak bertamadun.

Uniknya, masyarakat Baba Nyonya masih mengamalkan sebahagian adat resam budaya Cina yang tidak dihiraukan lagi oleh masyarakat Cina Malaysia yang lain seperti adat istiadat perkahwinan Cina tradisional yang memperlihatkan kedua-dua pengantin memakai pakaian indah dan berwarna-warni yang diwarisi daripada budaya Cina tradisional.Mengulas lanjut, generasi keenam komuniti peranakan ini, Cedric Tan, 49, berkata, amalan masyarakat Baba Nyonya adalah warisan asal dari negara China.

“Adab dan adat dalam kehidupan masyarakat kami telah diamalkan sejak zaman dahulu lagi.“Ia turut dipengaruhi oleh adat-adat tempatan seperti kepercayaan terhadap amalan orang Melayu contohnya anak dara tidak elok sering keluar rumah dan sebagainya.“Selain itu, kita juga mempercayai kebaikan pada hari Jumaat seperti diamalkan oleh orang Islam yang bersembahyang Jumaat.

“Tidaklah sampai kita ikut mereka ke masjid, cuma kami ada cara tersendiri untuk bersembahyang di rumah,” jelasnya ketika ditemubual S2.

Menambah lagi keunikan adab dan budaya komuniti minoriti ini, penulis berpeluang melawat muzium Baba Nyonya yang terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock di Bandaraya Melaka.Muzium tersebut merupakan rumah asal komuniti Baba Nyonya yang telah berusia ratusan tahun. Sambil melawat, penulis sempat berbual dengan seorang pembantu yang berketurunan Baba.

Cedric Tan

Menyokong kenyataan Cedric Tan, Penolong Kurator Muzium Baba dan Nyonya, Lee Yuen Thien, 27, menjelaskan adab dan budaya yang diamalkan mereka berasal dari negara China tetapi telah dipengaruhi oleh adat-adat masyarakat Melayu.

“Kalau ingin tahu budaya masyarakat Cina sebenar, lihat cara hidup Baba Nyonya sama ada dalam kehidupan seharian dan juga perkahwinan.


“Adab dan budayanya umpama protokol yang telah diamalkan oleh nenek moyang dahulu waima sejak berada di negara China.

“Ia meliputi kelahiran, perkahwinan, kematian dan juga perayaan,” ujarnya sambil membawa kru S2 melihat Muzium Baba dan Nyonya.

Tambahnya lagi, komuniti nusantara ini begitu menghormati adat-adat tempatan dan ia boleh diumpamakan “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.

“Banyak adab dan tatacara orang Melayu turut diamalkan oleh masyarakat Baba Nyonya sebagai contoh pakaian, makanan dan juga budaya agama,” tambahnya.

Siri Baba dan Nyonya ~ Rumah yang membawa tuah

Ekoran kehidupan penuh dengan adab dan amalan pekerti yang tinggi serta saling hormat-menghormati, komuniti Baba Nyonya mempunyai kediaman yang unik sesuai dengan budaya mereka.



RUMAH Baba Nyonya yang berusia ratusan tahun kini dijadikan muzium untuk kunjungan orang ramai.

Jika anda ingin melawat tempat-tempat bersejarah di Melaka, suatu tempat yang perlu dikunjungi ialah Jalan Tun Tan Cheng Lock.

Di situ terdapat rumah dan peninggalan warisan Baba Nyonya yang masih boleh dilihat hingga ke hari ini.

Rumah kediaman masyarakat Baba Nyonya itu sangat berkaitan dengan budaya dan adat dalam kehidupan seharian mereka.

Menurut Penolong Kurator Muzium Perhiasan Cina Selat Melaka yang mahu dikenali sebagai Yang (gambar), 22, uniknya rumah ini adalah terdapat bahagian-bahagian tertentu selain daripada bilik tidur, dapur dan sebagainya.

“Dalam rumah ini terdapat ruang tamu, halaman, ruang gelap dan ruang makan.

“Apabila ada tetamu lelaki datang ke rumah, anak perempuan tidak dibenarkan berada di ruang tamu dan mereka dikehendaki duduk di ruang gelap.

“Nama sahaja ruang gelap, tetapi ada lampu dan juga diterangi cahaya dari halaman,” ujarnya sambil menunjukkan bahagian-bahagian dalam rumah Baba dan Nyonya.

Tambahnya lagi, komuniti Baba Nyonya sangat menjaga anak perempuan, malah bakal suami tidak pernah melihat wajah bakal isteri sehinggalah mereka berkahwin.

Selain bahagian yang berkaitan kekeluargaan, terdapat sebuah ruang yang dikaitkan dengan kekayaan dan tuah.

“Dalam rumah ini ada dua ruang halaman (court yard). Ruang ini dibiarkan terbuka dan tidak berbumbung.

“Jika awak lihat, terdapat perigi dan mural ikan emas pada dinding serta paip untuk air keluar dari mulutnya.

“Jumlah ruang halaman dalam rumah melambangkan kekayaan sesebuah keluarga,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kekayaan serta tuah dimaksudkan ialah apabila hujan, air akan masuk menerusi ruang tidak berbumbung itu dan keluar menerusi mulut ikan emas.

“Selain itu, perigi akan turut dipenuhi dengan air hujan. Ini kerana menurut kepercayaan nenek moyang kami, air hujan itu umpama duit.

“Apabila air hujan masuk ke dalam rumah, ia dianggap seperti tuah dan kekayaan yang datang,” ujarnya.

Siri Baba dan Nyonya ~ Warna-warni perkahwinan

Ramai yang menyangka bahawa warna merah adalah pembawa tuah, kebahagiaan dan kekayaan dalam masyarakat Cina.



PASANGAN Baba dan Nyonya mengenakan pakaian tradisional mereka dan dihiasi dengan perhiasan emas.

Namun hakikatnya, warna merah itu sejarahnya berasal dari seorang maharaja pemerintah negara China suatu masa dahulu yang suka dengan warna tersebut.

Lantaran itu, komuniti Baba Nyonya tidak terlalu fokus pada warna merah sewaktu melangsungkan hari-hari perayaan terutamanya majlis perkahwinan.

Menurut Penolong Kurator Muzium Baba dan Nyonya Melaka, Lee Yuen Thien, 27, majlis perkahwinan komuniti mereka merupakan acara penting dan mempengaruhi masa hadapan sesebuah keluarga.

“Sebagai sebuah majlis yang penting, ia seharusnya disambut dengan penuh kemeriahan dan mengikut kepercayaan agama kami iaitu Taois.

“Justeru, rumah pengantin akan dihiasi dengan perhiasan yang berwarna-warni, tidak semestinya kena padankan dengan warna merah sahaja.

“Pada hari tersebut juga tidak dibenarkan meletak warna-warna yang melambangkan kematian seperti warna biru-putih, hijau-putih, hitam dan warna-warna suram lain,” katanya kepada S2.

Jelasnya lagi, uniknya perkahwinan Baba Nyonya ini, bakal pengantin lelaki tidak pernah melihat wajah bakal isterinya.

“Ini adalah satu adat yang hampir mustahil untuk diamalkan pada zaman ini. Yalah...kata orang tak kenal maka tak cinta. Ia sebenarnya bertujuan menjaga maruah kedua-dua keluarga sebelum anak mereka berkahwin.

“Beberapa bulan sebelum berkahwin, keluarga bakal pengantin lelaki akan datang merisik di rumah pihak perempuan.

“Tetapi, bakal pengantin perempuan tidak boleh berjumpa pihak lelaki melainkan ibu bapa mempersembahkan hasil jahitan manik yang dipelajarinya kepada pihak lelaki.

“Kata orang tua-tua, jika cantik dan halus hasil jahitan manik maka baik rupa paras dan pekerti penjahitnya,” sambil menunjukkan jahitan manik pada selipar Nyonya.

Tambahnya lagi, dalam meraikan pasangan pengantin, terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi terutama ahli keluarga.

“Dalam tempoh beberapa hari sebelum dan selepas majlis perkahwinan, rumah pengantin tidak boleh dihias dengan warna-warna yang suram.

“Pengantin dan ahli keluarga tidak boleh melawat upacara pengebumian dan berkabung. Selain itu, ahli keluarga perlu berhati-hati sewaktu berada di rumah untuk mengelak daripada berlaku sebarang kemalangan sama ada pinggan pecah dan sebagainya.

“Ini kerana, perkara tersebut dipercayai mengundang nasib malang pada keluarga dan pasangan pengantin,” katanya.

Terdapat seperkara lagi yang menarik tentang komuniti minoriti ini, apabila masuk hari ke-12 perkahwinan, pasangan pengantin akan balik ke rumah keluarga pihak lelaki dan menghidangkan nasi lemak.

Nasi lemak turut menjadi sebahagian daripada pengaruh Melayu yang diterima dalam adat serta budaya Baba Nyonya.

Siri Baba dan Nyonya ~ Baju kebaya warisan 
dua bangsa

BAJU kebaya sememangnya merupakan pakaian tradisional masyarakat Melayu Nusantara yang masih dipakai hingga hari ini.


KUALA LUMPUR 20 NOV 2014 - Tinjauan masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka di sini baru-baru ini . Gambar : Zakaria Idris / pemberita : Athir-S2

Tampak cantik dan anggun si pemakai dengan mengenakan kain sarung dan barangan perhiasan lain menjadikannya lebih menarik.

Mungkin dek kecantikan dan keunikan baju tersebut, ia mendapat tempat di hati kaum wanita Cina Peranakan Nyonya untuk memakainya dan terus sinonim dengan komuniti tersebut.

Kurator Muzium Baba dan Nyonya Melaka, Melissa Chan memberitahu, kebaya Nyonya kini mempunyai identiti sendiri.

“Sejarah kebaya ini berasal dari Indonesia apabila nenek moyang kami yang datang dari China pernah tinggal sementara di sana.

“Apabila mereka datang ke Tanah Melayu, mereka bawa sekali pakaian tersebut dan memakainya.

“Namun, kebaya asal yang dipakai oleh nenek moyang kami adalah labuh dan lebih besar,” katanya sambil ditemani rakan sekerjanya yang mengenakan kebaya.

Beliau turut memberitahu kebaya Nyonya mempunyai ciri-ciri tertentu dan telah melalui beberapa perubahan.

“Kebaya panjang berubah menjadi singkat dan kecil mengikut bentuk tubuh.

“Sementara coraknya pula bermotifkan bunga dan haiwan seperti rama-rama atau burung Phoenix serta mempunyai pelbagai warna.

“Kebaya itu akan dipadankan dengan kancing, kerongsang, kain sarung dan kasut manik. Jika orang kaya, mereka akan memakai perhiasan emas,” ujarnya.

Menurutnya sekitar kurun ke-15 hingga awal kurun ke-19, kebaya sangat popular dalam kalangan masyarakat Cina termasuk Baba Nyonya. Selepas Perang Dunia Kedua, baju cheongsam menjadi terkenal namun komuniti peranakan tetap mengenakan kebaya sehingga hari ini.

Siri Baba dan Nyonya ~ Kemajuan pengaruhi budaya Baba Nyonya

SEJARAH telah menunjukkan kedatangan masyarakat Cina di Malaysia dan kewujudan komuniti Baba Nyonya telah wujud sejak kurun ke-15.



BILIK tidur utama ini mempunyai sofa yang telah berusia hampir 200 tahun.

Melalui aktiviti perdagangan dan sosio budaya, Laksamana Cheng Ho telah membawa kira-kira 200 buah kapal yang membawa hampir 27,000 orang lelaki bujang dari negara China untuk berhijrah ke Tanah Melayu.

Namun begitu, hanya separuh daripada jumlah tersebut terus menetap di Tanah Melayu dan berkahwin dengan wanita tempatan, manakala selebihnya pulang ke negara asal.

Itulah hubungan diplomatik yang erat terjalin pada zaman pemerintahan kerajaan Parameswara yang menerima pedagang dari China di Melaka.

Sejak itu berkembanglah komuniti Baba dan Nyonya sehingga hari ini. Namun, masyarakat itu telah melalui beberapa fasa permodenan termasuklah menerima pengaruh British.

Menurut generasi keenam komuniti Peranakan ini, Cedric Tan, 49, pengaruh budaya masyarakat Melayu dan penjajah banyak menyumbang kepada pemodenan masyarakat Baba Nyonya.

“Kebanyakan orang Peranakan khususnya Cina datang ke Malaysia melalui Indonesia, namun ada juga sebahagiannya datang melalui laut dengan menyeberang Selat Melaka.

“Justeru, dari negara tersebutlah munculnya budaya berbaju kebaya seperti yang kita lihat hari ini.

“Dari situ, bermulalah era permodenan dan setelah mereka tiba di Tanah Melayu, banyak lagi permodenan yang telah dialami,” katanya ketika ditemubual S2.

Menyingkap permodenan masyarakat Baba Nyonya, komuniti tersebut pernah digelar sebagai Cina Raja pada suatu ketika dahulu.

Cedric Tan menjelaskan, gelaran tersebut wujud ketika zaman British khususnya di Melaka.

“Kebanyakan masyarakat Baba Nyonya berpandangan jauh dan demi kebaikan dan masa hadapan, mereka berbaik-baik dengan semua orang termasuk British.

“Sewaktu penjajahan British, banyak perubahan berlaku seperti cara berpakaian, pertuturan dan sebagainya.

“Nenek moyang kami dahulu menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris, sementara mereka pula belajar bahasa Inggeris di rumah.

“Jadi, mereka mahir berbahasa Inggeris dan diterima bekerja dalam kerajaan sewaktu pentadbiran British. Sejak itu, masyarakat Baba Nyonya digelar Cina Raja kerana banyak orang kami bekerja sebagai kakitangan kerajaan British,” jelasnya.

Siri Baba dan Nyonya ~ Merak, angsa, 
naga hiasi seramik

Makanan sudah dijamah, kuih sudah dirasai, namun satu yang menarik perhatian penulis ialah penggunaan perkakasan seramik yang begitu popular dalam kalangan masyarakat Baba Nyonya.


KENNY Loo menunjukkan perkakasan seramik yang terdapat di kedainya.

Tarikan ini sudah mula disedari ketika berada di Muzium Baba dan Nyonya apabila rumah yang dijadikan pusat pameran budaya komuniti tersebut dihiasi dengan pelbagai perkakasan daripada seramik termasuklah pinggan mangkuk serta pasu bunga.

Uniknya hiasan ini, ia mempunyai fungsi tertentu terutama warna yang banyak memainkan peranan dalam meraikan dan menghormati hari-hari tertentu.

Seorang pengusaha kedai barangan seramik berketurunan Baba Nyonya, Kenny Loo berkata, perkakasan ini sangat sinonim dengan masyarakat tersebut.

“Ini biasa sahaja, macam orang Melayu dan India yang gemar menggunakan pinggan kaca, plastik dan sebagainya.

“Cuma, menjadi tarikan pada seramik ini ialah coraknya yang 100 peratus buatan tangan dan berwarna-warni.

“Warna-warna pada seramik ini pula mempunyai maksud tersendiri dan mesti digunakan bagi meraikan ataupun menghormati hari-hari tertentu.




CORAK dan warna-warni turut menghiasi sudu seramik Baba Nyonya

“Misalnya, warna-warni yang ceria sesuai untuk pesta perayaan seperti sambutan tahun baharu, perkahwinan dan sebagainya.

“Manakala warna biru dan putih pula dikhususkan untuk perkabungan bagi menghormati kematian ahli keluarga,” jelasnya.

Sambil menunjukkan beberapa koleksi seramik di kedainya, Kenny turut memberitahu perkakasan tersebut berbeza dengan masyarakat Cina yang lain.

“Perbezaan seramik orang Cina dengan Baba Nyonya ialah warna dan corak. Lazimnya, orang Cina gemar warna biru dan putih, sedangkan kami tak boleh suka-suka guna warna tersebut.

“Sementara coraknya pula, masyarakat Baba Nyonya memilih burung phoenix (merak), angsa dan naga yang menjadi motif popular serta mempunyai maksud tertentu yang tidak sama dengan orang Cina.

“Itulah perbezaannya, meskipun diimport dari negara yang sama, namun seramik Baba Nyonya ini ditempah di kedai-kedai tertentu di negara China,” ujarnya.

Siri Baba dan Nyonya ~ Keunikan Baba Nyonya Melaka

BABA Nyonya, ramai orang mengenali komuniti masyarakat minoriti yang berasal dari negara China ini. Meskipun membawa budaya hidup dan agama dari negara tersebut, namun proses penyerapan budaya yang berabad lamanya telah menjadikan masyarakat Baba Nyonya tergolong dalam kelompok yang tersendiri.




Nyonya mengenakan pakaian tradisional Baba Nyonya iaitu kebaya pendek dan kain sarung.

Hasil daripada proses tersebut, banyak budaya dan adat-adat Melayu nusantara telah meresap masuk ke dalam peradaban dan gaya hidup seharian masyarakat tersebut. Ia sekali gus menjadikan kelompok masyarakat ini begitu unik sehingga ke hari ini.

Selain dikenali kerana pemakaian baju kebaya pendek yang bersulam yang dipadankan dengan kain batik lepas, lagu dondang sayang dan bahasa Melayu Baba Nyonya menjadikan masyarakat itu memiliki identiti baharu yang jauh berbeza dengan budaya negara asal mereka. Malah, banyak lagi budaya Melayu yang diterima mereka termasuklah makanan serta kepercayaan.

Baru-baru ini, wartawan S2, Mohamad Athir Ismail bersama jurufoto Zakaria Idris dan Nur Aisyah Mazalan berpeluang melihat sendiri amalan kehidupan seharian masyarakat Baba Nyonya ini di Melaka.

Antaranya adalah keunikan reka bentuk rumah Baba Nyonya, sejarah kelahiran baju kebaya, penggunaan seramik dan makanan tradisional mereka.

Di samping itu, terdapat juga penafian kepercayaan terhadap warna merah yang dikatakan membawa tuah.

Ikuti kisah lanjut tentang komuniti Baba Nyonya dari aspek budaya sehinggalah transformasi pemodenan gaya hidup mereka hari ini.