January 3rd, 2015

Perjuangan tak pernah kenal erti kekalahan

1 Januari 2015 adalah hari pertama tahun baharu selepas berakhirnya tahun 2014 kelmarin yang meninggalkan begitu banyak sejarah. Hari ini juga menandakan bahawa Malaysia semakin hampir dengan matlamatnya menjadi negara maju genap dalam tempoh lima tahun lagi.

Sejak lima tahun yang lalu, iaitu dari tahun 2010, negara menempuh perjalanan sejarah yang penuh onak dan duri. Bagi menghadapi lima tahun mendatang pula, pimpinan kerajaan juga terpaksa menghadapi keadaan yang getir berikutan perubahan landskap dunia sama ada dari segi pemikiran politik rakyat, cabaran ekonomi, kemajuan sains, kesan komunikasi yang tidak mengenal sempadan, keadaan sosial yang rakus, pengaruh kebebasan antarabangsa dan sebagainya.

Sudah tentu, peristiwa yang berlaku dalam tempoh lima tahun sebelum dan selepas ini akan tercatat dalam sejarah bahawa Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju selepas melalui cabaran dan perubahan yang sangat tragis. Ia bukanlah satu pencapaian yang mudah. Perjuangan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dilakukan menerusi perjuangan yang tidak pernah mengenal kalah.

Ditinjau kedudukan negara selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pimpinan kerajaan ketika itu sudah pun mula berdepan cabaran besar mengajak rakyat untuk mengisi kemerdekaan. Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman berusaha mengajak rakyat mengubah pemikiran supaya menjadi rakyat yang mampu mentadbir sebuah kerajaan yang bebas dan tidak terikat kepada pengaruh penjajah.

Kerajaan menggunakan pelbagai kaedah untuk menaikkan semangat rakyat supaya berusaha gigih bagi membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia mampu untuk mengurus dan mentadbir negaranya sendiri. Rakyat digalakkan membina sebuah bangsa yang bersatu padu.

Usaha itu tidaklah semudah yang disangka kerana dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, rakyat diberikan kebebasan untuk memilih parti yang mereka yakin boleh mentadbir negara setiap lima tahun sekali. Parti pembangkang tidak pernah berdiam diri untuk mempengaruhi pemikiran rakyat supaya mengundi mereka.

Beberapa peristiwa keganasan yang dilakukan anggota Parti Komunis Malaya (PKM) menakutkan rakyat menyebabkan mereka menolak parti yang berteraskan keganasan dan memecahbelahkan rakyat. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 jelas membuktikan bahawa tanpa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dianggotai parti mewakili semua kaum, sebelumnya Parti Perikatan akan menyebabkan negara kucar-kacir.

Pengenalan DEB

Pemerintahan negara di bawah pimpinan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein juga meneruskan perjuangan bagi membela nasib rakyat. Menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB), Tun Razak berusaha menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Bukanlah mudah untuk mengubah pemikiran rakyat yang dikongkong amalan lama ketika itu. Untuk menggalakkan mereka menggunakan jentera kubota di sawah bagi menggantikan kerbau pun terpaksa mengambil masa, inikan pula untuk menggalakkan mereka melakukan sesuatu yang baharu berbeza daripada cara hidup seharian selama ini. Ia adalah perjuangan amat besar yang dilakukan oleh Tun Razak kerana daripada DEB bermulanya proses untuk memaju dan memodenkan negara seterusnya menentukan landasan untuk menjadi sebuah negara maju.

Hutan diterokai dengan pembukaan tanah secara besar-besaran untuk penempatan rakyat mengusahakan pertanian menerusi FELDA, RISDA, FELCRA dan sebagainya. Malaysia tidak akan muncul sebagai sebuah negara maju tanpa tapak yang dimulakan oleh Tunku Abdul Rahman, diikuti Tun Razak dan kemudian oleh Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn.

Peranan yang dimainkan oleh Allahyarham Tun Hussein juga bukan kepalang pentingnya dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Mustahil negara ini boleh bergerak daripada sebuah negara miskin kepada negara membangun dan seterusnya negara maju tanpa kerjasama semua kaum di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Contohi sikap rakyat Jepun

Tugas yang diambil alih oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menjurus kepada usaha memaju dan memodenkan negara, selain meneruskan usaha menyatupadukan rakyat. Di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, rakyat turut diajak mengubah paradigma dengan mencontohi sikap rakyat Jepun yang bangkit dalam tempoh yang singkat selepas musnah peristiwa ledakan bom atom di Nagasaki dan Hiroshima.

Anjakan daripada negara pertanian kepada perindustrian dipergiatkan. Usaha ini juga tidak berjalan dengan lancar kerana pembangkang sentiasa mempertikaikan apa juga usaha yang dilakukan oleh kerajaan. PAS menggunakan pelbagai cara dengan menggunakan Islam bagi memburukkan setiap apa yang dilakukan kerajaan.

Tindakan pembangkang untuk memperkecilkan usaha kerajaan diteruskan ketika pimpinan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Parti pembangkang - DAP, PAS dan PKR bergabung untuk menjatuhkan kerajaan dengan mempertikaikan kewibawaan beberapa institusi seperti badan kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.

Berikutan beberapa peristiwa politik yang berlaku ketika itu, pembangkang mula mendapat ruang untuk bertapak di beberapa negeri dengan menggunakan platform perkauman untuk mendapatkan undi. Pilihan raya pada tahun 2008 di bawah Abdullah adalah begitu sengit sekali, yang mana kesan berpanjangannya terpaksa ditanggung Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak.

Gagasan 1Malaysia

Najib menghadapi pelbagai cabaran daripada pelbagai penjuru. Menerusi pentadbirannya, Najib mahu memastikan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju sebagai satu realiti, bukan retorik politik. Sebelum matlamat itu dicapai, beliau menganjak pemikiran rakyat dengan melakukan pelbagai transformasi dari segi pentadbiran, ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya.

Tanpa perubahan ketara rakyat terutama dari segi pemikiran dan pemahaman terhadap kemajuan, cara bertindak, gerak kerja dan sebagainya mereka tidak dapat menikmati kemajuan dari segi pembangunan negara.

Dari segi penyepaduan rakyat, Najib menjadikan Gagasan 1Malaysia sebagai asas pengukuhan perpaduan rakyat. Jika semangat Gagasan 1Malaysia ini tidak dihayati, kejayaan Malaysia menjadi sebuah negara maju, tidak bermakna. Apa gunanya menjadi negara maju sedangkan rakyat pelbagai kaum hidup berceramuk dan saling syak wasangka antara satu dengan lain.

Lima tahun mendatang adalah penentuan kepada kejayaan yang disusun rapi oleh pemimpin terdahulu bermula daripada Tunku Abdul Rahman sehinggalah kepada pimpinan Najib.

Mior Kamarul Shahid Berita Harian Kolumnis 2 Jan 2015

Melayu wajar bermuhasabah bina kekuatan ekonomi

Kekuatan ekonomi adalah satu tuntutan agama, justeru wajib hukumnya bagi setiap umat Islam berusaha memajukan diri dalam semua bidang demi mengukuhkan ekonomi seterusnya memperkasakan kedudukan mereka.

Tambahan pula dengan perkembangan semasa yang mana dunia dijangkakan akan berdepan keadaan pahit getir pada tahun 2015 ini, kita perlu menangani masalah ekonomi secara bersama untuk menghadapi permainan kuasa dunia dalam memanipulasikan keadaan ekonomi.

Mengikut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, pengukuhan ekonomi, terutama dalam kalangan orang Melayu perlu dilakukan pada semua peringkat bermula dengan individu, organisasi, korporat dan kerajaan.

Katanya, ia dapat dilakukan melalui proses rombakan sistem dan pendidikan kerana kemakmuran ekonomi bukan dinilai daripada perbandingan dalam penambahan peratusan setiap tahun tetapi mengambil kira kualiti manusia sebagai fungsi penting.

"Kita perlu lahirkan orang yang ada rasa tanggungjawab, masyarakat yang mempunyai perasaan kekitaan. Daripada itu barulah kita dapat membina kekuatan. Kekuatan itu bukan untuk kepentingan sendiri tetapi demi manfaat bersama," katanya pada pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini.

Mengikut beliau, apa yang melanda orang Melayu (yang juga Islam kerana Melayu dan Islam adalah sinonim) ialah mereka sering berasa tercabar atau tergugat dengan kemajuan ekonomi bangsa lain, tetapi tidak melakukan apa yang sepatutnya, iaitu mengukuhkan ekonomi mereka sendiri.

Sebab itu, katanya, orang Melayu sentiasa berasa curiga terhadap bangsa lain dan bersikap suka menyalahkan sedangkan mereka sepatutnya bermuhasabah diri kerana jika orang Melayu kuat, mereka akan dihormati serta disegani.

Melayu kena berani

Mengikut Nik Mustapha lagi, bersandarkan kepada asas membina kekuatan ekonomi sebagai memenuhi tuntutan agama, orang Melayu tidak sepatutnya takut untuk melakukan perubahan, menguatkan kedudukan seterusnya menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Tidak dinafikan bukan mudah untuk melakukan perubahan tetapi tegasnya, orang Melayu tidak mempunyai pilihan. Mereka perlu diberikan pendedahan serta dididik mengenai kepentingan meningkatkan tahap ekonomi bermula dengan diri sendiri.

Begitu juga pada peringkat kerajaan dan jabatan kerajaan, perubahan hendaklah dimulakan serta dilaksana secara perlahan-lahan supaya dapat diterima secara positif. Kata kunci kepada usaha itu ialah semua orang perlu jujur dan ikhlas.

"Kita perlukan satu sama lain dan orang Islam mempunyai pilihan, jadi kenapa takut untuk berubah. Anbia datang untuk merombak sistem dan Nabi Muhammad SAW sendiri mencabar sistem di Makkah yang menindas masyarakat ketika itu.

"Baginda berhijrah kerana nampak peluang di Madinah dan di sana Baginda membina peradaban. Kemudian Nabi Muhammad SAW menakluk Makkah. Sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW, jika perlu ubah, kita ubah," katanya.

Nik Mustapha menegaskan, umat Islam perlu belajar daripada kejayaan yang dicapai Rasulullah SAW dengan mengkaji formula yang digunakan Baginda dan bukan menyalahkan orang lain kerana kejayaan mereka membina serta mengukuhkan ekonomi.

Bina kekuatan anak bangsa

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang sudah memberikan peluang seluas-luasnya kepada anak Melayu melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah strategi membina kekuatan bangsa Melayu menerusi ilmu pengetahuan.

Justeru, pemimpin perlu berusaha untuk melihat perubahan yang berlaku bagi membina kekuatan anak bangsa, termasuk dalam bidang ekonomi kerana setiap kita mempunyai fungsi masing-masing dalam membina negara bangsa.

"Tidak ada jalan pintas mengumpul harta, justeru berhenti merungut dan bina diri sendiri. Semua kena mulakan usaha itu dengan optimis dan melihat perubahan yang ingin dilakukan secara positif. Insya Allah kita mampu melakukannya dan dapat mengurangkan ketidaksempurnaan," katanya.

Nik Mustapha baru-baru ini menerima Anugerah Buku Negara 2014 bagi kategori ekonomi untuk buku tulisan beliau bertajuk An Islamic Paradigm in Economics: Vision and Mission. Buku 156 halaman itu membincangkan kegiatan ekonomi bermula daripada individu, masyarakat, organisasi dan sesebuah negara.

Pastinya Islam mempunyai elemen penting yang boleh memacu pembangunan secara menyeluruh sesebuah negara bersandarkan kepada paradigma terkandung dalam al-Quran dan sunah bagi menjawab kepada kesusahan dihadapi dunia disebabkan oleh ideologi sekular.

Hasliza Hassan Berita Harian Kolumnis 2 Jan 2015

Cari pokok jumpa tapak ‘bigfoot’

HUTAN bukan tempat yang asing bahkan sudah menjadi ‘pejabat kedua’ bagi bekas kakitangan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Abdul Razak Ali (gambar), 71.


Gambar : Zakaria Idris / Pemberita : Halim Hadi-S2

Ketika kebanyakan hutan di negara ini masih berstatus dara, beliau sudah lama menjelajah ke serata ceruk belantara untuk mengumpul maklumat dan bahan yang diperlukan untuk kajian.

Pengalaman seperti terserempak dengan binatang buas, meredah sungai dan bermalam di tengah hutan sudah menjadi sebahagian daripada tugasnya.

Namun pengalaman menemui kesan tapak kaki yang dipercayai milik ‘bigfoot’ di hutan Endau-Rompin, Johor tidak mungkin dilupakan oleh Abdul Razak.

Beliau berkata, kejadian berlaku semasa beliau dan beberapa orang rakan setugas mengikuti ekspedisi kajian di Gunung Petawai pada 1971.

“Bentuknya sama seperti tapak kaki manusia cuma saiznya luar biasa. Kira-kira sekali ganda saiz tapak kaki manusia.

“Agak mustahil untuk kata ia tapak kaki manusia kerana kawasan itu jarang dimasuki orang,’’ katanya yang berkhidmat dengan FRIM antara tahun 1964 hingga 1998.

Tambahnya, selain penemuan kesan tapak kaki, beliau turut melihat julai-julai (sulur) pokok yang dipatah-patahkan serta tiga batu yang tersusun untuk dijadikan tungku memasak berhampiran lokasi tapak kaki itu ditemui.

“Saya tengok banyak julai pokok pada ketinggian kira-kira dua meter patah terkulai seperti diretus-retus.

“Berdasarkan kesan itu, saya yakin kawasan itu adalah bekas tinggalan bigfoot,’’ katanya ketika ditemui di Kampung Melayu Kepong, baru-baru ini.

Malangnya kata Abdul Razak, gambar-gambar yang dirakam ketika itu tidak dapat diproses.

“Ia bukan sesuatu yang pelik sebab Orang Asli pun percaya ada orang mawas.

“Apatah lagi kawasan hutan Johor yang bersempadan dengan Pahang itu memang jarang diterokai,’’ tambahnya.

Mengimbau kenangan bertugas di institusi penyelidikan perhutanan terawal negara itu, Abdul Razak turut terlibat dalam program penanaman semula pokok-pokok hutan di kawasan FRIM.

Di sebalik penat lelah yang ditanggung ketika itu, beliau merasa berbaloi selepas melihat perubahan dan ‘kehijauan’ FRIM yang kini dipenuhi hutan.

“Saya masih ingat masa itu, kami disuruh menanam lebih kurang 60 batang pokok setiap hari di sekitar FRIM.

“Anak-anak pokok diangkut menggunakan ambung iaitu sejenis bakul galas yang diperbuat daripada rotan,’’ jelas Abdul Razak lagi.

Selain penanaman semula FRIM, beliau juga terlibat dalam projek penanaman ujian spesies pokok meranti, kapur dan mahagoni di sekitar Sungai Buluh, Kanching, Simpang Pulai, Mantin, Batu Arang dan Bukit Tinggi.

Tambahnya, penanaman spesies dari luar negara seperti pain juga dilakukan untuk memenuhi permintaan kayu yang dijangka meningkat selepas kerajaan merancang pembinaan kilang kertas di Pekan, Pahang ketika itu.

Sementara itu, Abdul Razak mengakui pemilihan tapak FRIM yang dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong itu satu keputusan yang tepat.

“Kalau ikutkan dahulu, pejabat FRIM ini dikira tempat ‘jin bertendang’. Nak sampai ke sini, saya terpaksa berjalan kira-kira lima kilometer setiap hari kerana perhentian bas terakhir terletak di pekan Kepong,’’ ujarnya.

Gedung kayu FRIM

XYLARIUM atau gedung spesimen kayu milik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) merupakan antara bukti sejarah penyelidikan perhutanan negara bermula sejak lebih 100 tahun lalu.

Antara koleksi terawal yang tersimpan di situ adalah blok-blok kayu daripada spesies keruing, balau dan chempaka hutan yang berusia antara 107 hingga 112 tahun.

Walaupun sudah menjangkaui usia seabad, kesemua kepingan kayu yang dipotong menyamai saiz buku novel itu masih berada dalam keadaan baik tanpa tanda-tanda serangan kulat dan serangga.

Xylarium FRIM kini menempatkan 10,036 sampel kayu daripada 1,578 spesies. Koleksi itu merupakan jumlah spesimen terbesar di negara ini.

Melangkah masuk ke bilik penyimpanan spesimen kayu itu tidak ubah seperti berada di dalam sebuah perpustakaan. Bezanya cuma rak-rak yang biasanya diisi buku digantikan dengan kepingan-kepingan kayu.

Peluang yang diberikan itu secara tidak langsung mengubah persepsi penulis tentang betapa terperinci dan sistematik penyelidikan kayu di negara ini dijalankan.

Di dalam bilik yang diselubungi aroma kayu itu, saya memerhatikan setiap satu daripada spesimen yang dicetak nombor siri dan maklumat lengkap.

Sebahagian besar daripadanya adalah nama-nama yang asing dan tidak pernah diketahui.

Pengarah Bahagian Keluaran Hutan, Dr. Rahim Sudin berkata, xylarium FRIM yang lebih dikenali sebagai ‘Koleksi Kepong’ di peringkat antarabangsa berfungsi sebagai pusat rujukan bagi penyelidikan perhutanan dan kajian industri berkaitan kayu.

“Seperti juga di herbarium, semua spesimen kayu yang ada di sini direkod secara saintifik untuk memastikannya menjadi bahan rujukan yang baik.

“Setiap satu daripadanya juga mempunyai padanan maklumat dengan artifak di herbarium,’’ katanya yang memegang jawatan itu sejak 2011.

Rahim yang memulakan kerjaya di FRIM sebagai pengawai penyelidik sejak 1981 berkata, xylarium FRIM juga menjadi sumber rujukan penting dalam kepakaran anatomi kayu yang diperlukan oleh industri.

“Di sini, kami menawarkan khidmat anatomi kayu kepada pengamal industri untuk membuat pengesahan spesies kayu pada sesuatu produk dan binaan,’’ jelas tokoh Pekerja Lelaki Kebangsaan 2004 dan Penyelidik Terbaik FRIM itu.

Selain untuk tujuan industri, beliau berkata, kepakaran anatomi kayu juga digunakan dalam pendakwaan kes-kes pembalakan haram sebagai salah satu kaedah forensik.

Hutan FRIM hutan buatan 
terbesar dunia

Hutan buatan 
terbesar dunia

MELIHAT pada keindahan landskap yang dihiasi pokok berusia ratusan tahun, siapa sangka hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, Selangor sebenarnya adalah hutan buatan manusia.

Dibangunkan di atas tapak bekas lombong, hutan FRIM merupakan bukti kejayaan penanaman semula pokok hutan yang dijalankan antara tahun 1923 sehingga 1967.


Terdapat jenis pokok - pokok yang berada di FRIM dah juga menjangkau usia lebih 100 tahun semasa di Sesi temuramah bersama
Ketua Pengarah FRIM. Dato' Dr Abd Latif Mohmod mengenai keunikan serta ke indahan di sekitar FRIM Kepong , di sini hari ini.
Gambar : MOHD AZIM ABD RAHMAN / PEMBERITA : HALIM HADI (S2 MEJA KHAS)

Pejabat FRIM juga telah berusia hampir 80 tahun semasa di Sesi temuramah bersama Ketua Pengarah FRIM. Dato' Dr Abd Latif Mohmod
mengenai keunikan serta ke indahan di sekitar FRIM Kepong , di sini hari ini.
Gambar : MOHD AZIM ABD RAHMAN / PEMBERITA : HALIM HADI (S2 MEJA KHAS)

Sesi temuramah bersama Ketua Pengarah FRIM. Dato' Dr Abd Latif Mohmod mengenai keunikan serta ke indahan di sekitar FRIM Kepong ,
di sini hari ini. Gambar : MOHD AZIM ABD RAHMAN / PEMBERITA : HALIM HADI (S2 MEJA KHAS)

Sesi temuramah bersama Ketua Pengarah FRIM. Dato' Dr Abd Latif Mohmod mengenai keunikan serta ke indahan di sekitar FRIM Kepong ,
di sini hari ini. Gambar : MOHD AZIM ABD RAHMAN / PEMBERITA : HALIM HADI (S2 MEJA KHAS)

Pada masa sekarang, hutan yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong itu mempunyai kira-kira 15 juta pokok, menjadikannya hutan buatan terbesar dan tertua di dunia.

Selain itu, kawasan institut penyelidikan perhutanan seluas 544.3 hektar itu juga berperanan sebagai penampan dan ‘bank’ bagi lebih 20 spesies tumbuhan terancam di negara ini.

Ketepikan seketika fakta-fakta berbentuk rekod dan pencapaian yang membuktikan FRIM sebagai pusat penyelidikan hutan terulung kerana sejarah penubuhannya juga mempunyai cerita yang menarik.

Kajian dan penyelidikan FRIM mengenai kayu-kayan di negara ini direkod bermula sejak lebih 100 tahun lalu khususnya dalam pengumpulan maklumat, ketahanan dan kekuatan kayu.

Pada peringkat awal penubuhannya, penyelidikan FRIM yang ketika itu dikenali dengan nama Institut Penyelidikan Perhutanan (IPP) tertumpu pada kajian kayu yang digunakan sebagai bahan utama dalam industri.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod (gambar) berkata, kajian awal IPP tertumpu pada penyelidikan untuk mendapatkan jenis kayu terbaik bagi pembuatan pelapik landasan keretapi.

Bagi memenuhi permintaan pembinaan sistem rel kereta api di seluruh negara, pusat penyelidikan di bawah pentadbiran Inggeris ketika itu ditempatkan berhampiran depoh Keretapi Tanah Melayu di Sentul sebelum dipindah ke Kepong.

Selain itu, beliau berkata, kepakaran IPP dalam bidang perkayuan turut digunakan bagi pemilihan kayu untuk tiang elektrik, infrastruktur kerajaan seperti jambatan dan bangunan sebelum penggunaan konkrit.

Kemajuan yang dicapai dalam penyelidikan kayu pada masa itu jelasnya turut membawa kepada teknologi penghasilan kertas yang digunakan dalam penghasilan wang dan kertas peperiksaan.

“IPP juga terlibat dalam ujian ketahanan meja dan kerusi sekolah yang diperbuat daripada kayu,’’ katanya.

Dari Sentul katanya, operasi IPP yang merupakan unit di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dipindahkan ke Kepong pada 1925 sebagai usaha meluaskan penyelidikan dan memanfaatkan tapak yang bersesuaian dengan bidang perhutanan.

Selain kisah penyelidikan, IPP yang dibangunkan oleh pentadbiran Inggeris juga pernah menjadi saksi penaklukan tentera Jepun antara tahun 1942 sehingga 1945.

Pentadbiran kejam tentera Jepun yang mengambil alih pentadbiran Jabatan Perhutanan di situ dikatakan telah mengorbankan 38 orang kakitangan IPP.

Selain membunuh mereka yang yang disyaki menjadi tali barut Inggeris, penjajahan Jepun turut meninggalkan kesan buruk kepada alam semula jadi di kawasan itu.

Menurut Abdul Latif, bagi memenuhi matlamat ketenteraan, sebahagian daripada hutan FRIM turut ditebang oleh tentera Jepun.

Antara yang menjadi ‘mangsa’ adalah 97 batang pokok daripada 363 batang pokok spesimen yang ditanam di arboretum.

Bagaimanapun katanya, di bawah pentadbiran Jepun, fungsi dan peranan institusi Jabatan Perhutanan itu tetap dikekalkan.

“Mereka tukar nama IPP jadi Ringyo Shinkenjyo yang bermaksud stesen penyelidikan hutan dalam bahasa Jepun.

“Penekanan masa itu diberikan kepada pembuatan kraftangan dan pelapik landasan kereta api,’’ kata Abdul Latif yang memulakan karier di institusi itu sejak 1985.

Tambah pemegang ijazah perubatan yang beralih arah ke bidang perhutanan itu lagi, selepas zaman penaklukan Jepun berakhir, usaha pemulihan dan pembaikan FRIM tidak berjalan seperti diharapkan kerana negara ketika itu menghadapi kekurangan kakitangan yang berkelayakan khususnya untuk mengisi jawatan dari zaman pentadbiran Inggeris.

Pada masa itu juga katanya, peluang pekerjaan seperti pengawas hutan dan pengawai penyelidik yang ditawarkan tidak begitu mendapat sambutan.

Bagaimanapun katanya, FRIM berjaya mengembalikan kredibiliti sebagai pusat penyelidikan hutan melalui kajian dan penyelidikan yang meningkatkan kualiti kayu.

Penyelidikan FRIM ketika itu katanya turut dimantapkan dengan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Menurut Abdul Latif, selepas mendapat tanah sendiri di Kepong, fokus utama penyelidikan IPP ditumpukan ke arah kajian industri seiring dengan keperluan dan pembangunan ekonomi negara.
Pada masa itu, kita sudah memiliki bengkel dan makmal ujian yang teknologinya jauh lebih baik dari negara-negara di rantau ini,’’ ujar saintis negara yang sudah menerima berpuluh-puluh penghormatan tertinggi dalam bidang perhutanan di peringkat dunia.
Beliau memberitahu, sebahagian daripada ‘bahan eksperimen’ yang digunakan dalam penyelidikan ketahanan kayu itu masih kekal di FRIM sehingga hari ini.

“Kita ada rumah kayu Akasia yang dijadikan asrama kakitangan, rumah kayu getah dan masjid yang dibina menggunakan teknologi gam.

“Semua itu merupakan sebahagian daripada bahan ujikaji dan penyelidikan FRIM untuk menguji ketahanan kayu,’’ ujarnya yang telah menghasilkan lebih 300 makalah penyelidikan sains berkaitan perhutanan.

Katanya, antara pencapaian terbesar yang dicapai FRIM adalah penyelidikan yang membawa kepada pengkomersialan kayu getah dengan menyelesaikan masalah kumbang dan kulat.

“Usaha menjadikan kayu getah sebagai sumber komoditi kayu berkualiti menjadi kenyataan pada 1985 selepas kajian dan cadangan mengenainya dilakukan,’’ katanya.



Hutan FRIM semakin rimas

KEUNIKAN
hutan dan ekosistem yang dimiliki oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah membawa masuk kira-kira 850,000 pelawat setiap tahun.

Sekiranya dibahagikan secara bulanan, jumlah itu sudah melebihi 70,000 orang. Dan jika dipuratakan mengikut hari, dianggarkan tidak kurang 500 pelawat memasuki kawasan itu setiap hari.

Itu belum mengambil kira kepadatan yang berlaku secara mendadak pada hujung minggu dan hari-hari cuti. Pada sebelah pagi khususnya, FRIM mungkin menjadi kawasan hutan paling sesak di negara ini.

Kesesakan di FRIM bukan hanya disebabkan oleh bilangan kenderaan pelawat yang datang bersenam, bahkan turut menjadi lokasi ‘popular’ sebagai destinasi perkelahan.

Bersandarkan kiraan itu, jumlah kemasukan pelawat di FRIM dijangka mencecah sejuta orang pada bila-bila masa sekiranya langkah sepatutnya tidak diambil.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod berkata, pihaknya akan mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan dan pelawat ke kawasan itu dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadinya.

“Walaupun keputusan ini sesuatu yang ‘tidak popular’ untuk dilaksanakan, kita terpaksa buat kerana hutan di sini semakin rimas.

“Demi memelihara ekosistem, kami terpaksa mengehadkan jumlah kenderaan yang menyebabkan kesesakan dan kadar pengeluaran karbon yang tinggi,’’katanya.

Beliau berkata, kajian yang dilakukan oleh penyelidik FRIM juga mendapati berlaku kerosakan struktur tanah pada denai-denai yang kerap dimasuki pejalan kaki dan mereka yang berbasikal.

“Antara cadangan yang bakal dilaksanakan nanti termasuk penutupan denai dan laluan selama beberapa tahun untuk memulihkan tanah kepada keadaan asal.

“Kalau boleh, kita mahu mengembalikan suhu asal kawasan ini seperti tahun 1980-an. Suhu di sini dahulu sejuk, bayangkan jika minyak masak pun boleh membeku,’’ tambahnya.

Abdul Latif berkata, langkah yang sama juga dilakukan dalam usaha untuk mendapat gelaran Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Untuk mendapat gelaran itu, kita harus mematuhi syarat dan piawaian alam sekitar yang ditetapkan,’’ katanya.

‘Hutan’ dalam almari

TERSIMPAN rapi tanpa diancam pereputan, herbarium Institusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menempatkan kira-kira 350,000 spesimen tumbuhan yang menjadikannya antara koleksi terbesar di rantau ini.

Herbarium merupakan pusat pengumpulan spesies tumbuhan yang dikering, diawet dan dikatalogkan dengan maklumat terperinci.

Tanggungjawab menyimpan dan mendokumentasi spesimen itu merupakan sebahagian daripada peranan yang dipikul FRIM sejak 1968.

Pada masa kini, koleksi artifak di herbarium itu termasuk 4,000 spesimen yang disimpan di dalam cecair spirit.

Ketua Program Biodiversiti Flora Bahagian Biodiversiti Hutan, Dr. Richard Chung berkata, herbarium berfungsi sebagai pusat rujukan yang menyediakan akses dan maklumat mengenai spesimen.


Beliau berkata, kewujudannya penting sebagai pusat penyelidikan biodiversiti tumbuhan, selain menyediakan bukti asal-usul sesuatu spesies.

“Fungsi herbarium sama seperti perpustakaan. Ia penting dalam penyelidikan ekologi, inventori, pertanian, pengurusan hutan dan pengecaman,’’ katanya kepada S2, baru-baru ini.

Richard selaku Pegawai Penyelidik Kanan di bahagian itu berkata, sejarah pengumpulan spesimen di negara ini sebenarnya bermula seawal tahun 1915 di Taiping, Perak.

“Sebelum pembinaan herbarium FRIM di Kepong, kita mempunyai sebuah herbarium di Taiping. Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, ia dipindahkan ke Singapura.

“Apabila Singapura berpisah dengan Malaysia, simpanan itu kekal di sana. Ia satu ‘kehilangan’ yang sangat besar,’’ katanya.

Pada peringkat awal katanya, fokus utama pengumpulan artifak dan dokumentasi herbarium di negara ini melibatkan tumbuhan berkayu daripada jenis balak untuk memenuhi kehendak industri.

Katanya, menyedari keperluan sebuah herbarium yang lengkap, kerajaan mengangkat herbarium FRIM sebagai Herbarium Kebangsaan Malaysia.

Menceritakan secara ringkas proses penghasilan spesimen, Richard berkata, setiap spesies yang dikutip di lapangan akan dikeringkan di dalam ketuhar sebelum disejukkan, direndam di dalam larutan spirit dan disimpan.

“Bagi memastikan spesimen menepati kehendak sains, ciri-ciri penting pada sesuatu tumbuhan harus dipelihara dan dikekalkan.

Selepas proses pengawetan spesimen, setiap artifak akan dilampirkan bersama maklumat penting seperti jenis spesies, lokasi dan koordinat ditemui, nama penyelidik, warna dan saiz.

Proses seterusnya adalah penyimpanan spesimen ke dalam almari yang direka khas untuk memastikan artifak itu bebas daripada ancaman kemusnahan.

“Penyimpanan spesimen juga merupakan proses yang kritikal dan perlu dilakukan secara sistematik bagi membolehkannya dicari semula apabila diperlukan,’’ jelasnya.

Richard berkata, selain disimpan dalam bentuk fizikal, penyimpanan setiap spesimen turut direkod secara berkomputer menggunakan perisian khas iaitu Sistem Pengurusan Herbarium dan Penyelidikan Botani (Brahms) yang membolehkan rujukan dilakukan secara dalam talian.

“Sehingga kini, herbarium FRIM sudah memasukkan dan mengemaskini lebih daripada 20,000 koleksi ke pangkalan data Brahms.

“Kita jangka dalam masa lima tahun lagi, proses pengumpulan ini akan selesai,’’ katanya.

Richard berkata, selain menghasilkan artifak untuk koleksi herbarium FRIM, setiap spesimen akan dihasilkan sebanyak tujuh salinan untuk dihantar ke herbarium-herbarium yang menjalinkan kerjasama dengan herbarium FRIM.

Antaranya adalah herbarium Kuching, Sandakan, Royal Botanic Gardens Kew (United Kingdom), Herbarium Kebangsaan Leiden (Belanda), Arnold Arboretum (AS), Herbarium Tropika Australia dan Taman Botanikal Singapura.

“Selain untuk tujuan perkongsian, ia juga menjadi salinan pendua untuk tujuan keselamatan,’’ katanya.

Perginya Sasterawan Sejati

SASTERAWAN Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain, 94, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada Rabu lalu sebenarnya ialah seorang saste­rawan sejati yang telah menga­badikan sepanjang hidupnya untuk menulis.

Itu diakui sendiri oleh anaknya, Thariq ketika timbulnya kontroversi pada 2011 apabila ada pihak yang mahu novel Interlok karyanya diharamkan daripada digunakan oleh pelajar Tingkatan Lima sebagai komponen kesusasteraan bagi subjek Bahasa Malaysia kerana didakwa mengandungi unsur rasis.

Menurut Thariq, ayahnya hanya berminat menjadi sasterawan dan tidak berminat untuk menjadi ahli politik dan sebab itu beliau merasa kecewa apabila ada pihak cuba mempolitikkan novel berkenaan.


ABDULLAH HUSSAIN menunjukkan beberapa novel yang pernah dihasilkannya dalam satu temu bual di kediamannya di Petaling Jaya pada 2011. – UTUSAN/RIDUAN RIZAL

“Ia langsung tiada unsur politik, apatah lagi bertujuan me­nyakiti hati mana-mana kaum di negara ini. Sebaliknya ia adalah realiti kehidupan kaum Melayu, Cina dan India.

“Saya cuma kasihankan ayah saya kerana beliau tertekan de­ngan isu tersebut, sedangkan sebelum menulis novel tersebut, beliau telah pun membuat kajian terlebih dahulu,” katanya

Novel yang diterbit pada 1971 adalah karya Abdullah yang me­maparkan tema integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India se­awal 1900-an sehingga merdeka.

Pandangan Thariq turut di­kongsi oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan yang pernah memberi komen menyifatkan Abdullah ialah seorang penulis yang menghasilkan karya berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman-zaman yang dilalui dan disaksikannya sendiri.

“Novel Interlok merupakan gambaran realiti sosial pada zaman berkenaan dan pengisahan yang melibatkan penghijrahan kaum pekerja dari luar, termasuk orang dari India, memang terakam dalam karya-karya ilmiah. Kewujudan kasta yang dimaksudkan itu bukan suatu bentuk penghinaan, malah merupakan realiti di India.

“Semua pihak perlu membuat renungan yang rasional dan ilmiah dalam membuat sesuatu rumusan dan perlu menghayati teks sastera dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berdasarkan sentimen sempit yang tidak ilmiah, apatah lagi jika berkaitan dengan perhitungan politik sempit pula,” katanya.

Dalam pada itu, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pula menyifatkan pemergian Allahyarham sukar dicari ganti dan sangat-sangat dirasai terutama dalam ka­langan sasterawan seangkatannya.

“Arwah seorang yang sangat produktif. Beliau sangat menghormati golongan sasterawan seangkatan beliau malah juga daripada golongan yang muda,” katanya yang mengenali Abdullah sejak 1950-an lagi.

Abdullah menerima Anugerah Sasterawan Negara, anugerah ter­tinggi dalam bidang itu pada 1996 dan Anugerah SEA Write daripada kerajaan Thailand pada 1981.

Sepanjang hidupnya, beliau menghasilkan lebih 25 novel, tiga kumpulan cerpen, sembilan terjemahan, sebuah autobiografi dan enam biografi.

Dua adiknya, Allahyarham Datuk Ibrahim pula seorang pelukis tersohor manakala Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ismail pula seorang pejuang bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Sementara itu, dalam ruangan biografi Sasterawan Negara yang terdapat dalam laman web Klik Web DBP, Abdullah disifatkan sebagai seorang penulis yang cukup prolifik lagi konsisten.

Beliau juga ialah seorang penulis Malaysia yang kaya dengan pelbagai pengalaman sehingga membolehkannya menghasilkan karya dengan pelbagai tema dan latar belakang yang berbeza-beza dalam karya-karyanya.

Malah kita juga dapat menik­mati dalam bahasa Melayu karya penulis antarabangsa yang diterjemahnya seperti Orang Tua dengan Laut (Ernest Hemingway), Bumi Bertuah (Pearl S. Buck), Mutiara (Johan Steinbeck) dan Lorong Midaq (Naguib Mahfouz).

Di samping itu, Allahyarham menghasilkan biografi tentang P. Ramlee dan Pendeta Za’ba, yang masing-masing ialah seniman dan ahli bahasa Melayu terulung. Abdullah juga menulis biografi tokoh sastera, Harun Aminurrashid.

Namun, sumbangannya yang cukup bererti dalam kesusaste­raan Melayu adalah dalam bidang cerpen dan novel. Antara novel berkenaan adalah Intan, Noni, Imam dan Konserto Terakhir.

Abdullah dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Pada 1926, Abdullah mula belajar di Sekolah Melayu Sungai Limau dan Sekolah St. Mic­hael, Alor Setar.

Pekerjaan awalnya ialah penolong penjaga stor dalam sebuah perusahaan lombong bijih di Pahang pada 1939. Beliau kemudiannya berhijrah ke Pulau Pinang dan be­kerja di beberapa syarikat akhbar di sana sehingga 1940 yang menyaksikan beliau mula menggilap bakat menulisnya dengan menghasilkan dua novel terawal iaitu Kasih Isteri dan Dia … Kekasihku.

Semasa tentera Jepun menduduki Tanah Melayu dan Si­ngapura pada 1943, Abdullah sempat belajar di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan Pegawai-pegawai Tinggi) di Singapura selama tiga bulan.

Selepas itu beliau ke Aceh, tempat asal orang tuanya. Sema­sa di Banda Aceh, beliau ikut mendirikan surat khabar Acheh Shimbun dan menjadi koresponden beberapa akhbar lain.

Setelah Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, Abdullah terlibat dalam kepimpinan pe­ringkat daerah di Indonesia dan turut terbabit dalam perjuangan menuntut kemerdekaan republik itu daripada Belanda.

Mulai 1961, Abdullah pindah dan bekerja di Kuala Lumpur. Beliau bertugas di syarikat Oxford University Press sebagai pembantu pengarang kanan yang terlibat menterjemahkan beberapa karya sastera dunia.

Pada 1968, Abdullah mula bertugas di DBP sebagai Penolong Pengarang dan jawatan terakhir sebagai Karyawan Tamu DBP dari 1993-1994 serta dari 1995-1996.

Allahyarham seorang yang bersuara lembut dan pada saat-saat akhir hayatnya terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda kerana uzur.

Beliau yang pernah ditanya mengapa novelnya banyak me­maparkan watak pelbagai kaum telah menjelaskan itulah realiti masyarakat negara ini dan kerana beliau sedar perpaduan kaum hanya dapat dicapai melalui penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Melayu.

Hasil kesungguhan dan ke­gigihan beliau berkarya membolehkan novel Imam terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1994/95 dan sebelum itu novel sama menang Hadiah Novel Nasional (mengingati Pak Sako) 1992/94 yang dianjurkan bersama oleh Utusan Melayu dan Public Bank Berhad.

Sempena hari ulang tahun keputeraan Sultan Kedah, beliau te­lah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk pada 1995.

Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.