January 10th, 2015

Chetti, komuniti kecil, unik

PENERIMAAN adat dan budaya Melayu bukan sahaja wujud dalam kalangan masyarakat dari negara China yang dipanggil Baba Nyonya malah warga India turut menerimanya menjadikan mereka sebuah komuniti bergelar Chetti.


ANAK-ANAK masyarakat Chetti tidak dihantar ke sekolah aliran Tamil menyebabkan mereka tidak mahir bahasa tersebut meskipun beragama hindu.

Chetti membawa maksud pedagang, gelaran sesuai dengan masyarakat dari India yang datang ke Tanah Melayu sekitar tahun 1330-an hingga 1340-an.

Sebelum mendalami sejarah Chetti, banyak gelaran telah diberikan kepada kumpulan pedagang itu seperti ‘setu’ dalam bahasa tamil yang turut membawa maksud pedagang. Kemudian, ia telah ditukar kepada Chitty dan akhirnya dipanggil sebagai Chetti.



AKORDION salah sebuah alat muzik masyarakat Chetti yang dimainkan dalam sambutan perayaan mereka

Menyingkap sejarah komuniti kecil ini, masyarakat Chetti merupakan pedagang yang datang ke Tanah Melayu dari sebuah daerah di negara India iaitu Kalinggapatinam.

Sejarah kedatangan masyarakat Chetti hampir sama dengan komuniti Baba Nyonya iaitu datang ke Tanah Melayu melalui Indonesia dan berdagang. Antara barang-barang yang didagangkan ketika itu ialah rempah-ratus, barangan tembaga, kain dan sebagainya.

Lebih menarik lagi, persamaan yang ketara dalam sejarah Chetti dan Baba Nyonya ialah semua yang terlibat dalam perjalanan dari negara masing-masing ke Tanah Melayu adalah kaum lelaki, sementara wanita dipercayai tidak ikut sama kerana cabaran dalam perjalanan dikatakan tidak sesuai bagi mereka.



K. Supramania Pillay

Melaka bukanlah satu-satunya tempat yang dituju, kerana menurut Pengerusi Persatuan Komuniti Chetti Melaka, K. Supramania Pillay (gambar), dalam kumpulan yang besar, para pedagang telah berpecah menuju ke Kedah dan Singapura.

“Semua kaum lelaki sahaja berlayar dan berdagang, dalam kelompok besar itu sebahagian sahaja yang datang ke Melaka berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap. Namun, ada juga yang tidak berkahwin dan pulang ke India.

“Setibanya masyarakat Chetti di Melaka, sebelum kedatangan Portugis, mereka telah membuka penempatan di pinggir Sungai Melaka dan diberi nama Kampung Keling.

“Apabila Portugis mendarat di Melaka, mereka telah berpindah ke kawasan penempatan sekarang ini yang dipanggil Kampung Chetti, sementara itu sumber ekonomi masyarakat Chetti turut berubah daripada perdagangan kepada pertanian,” katanya sewaktu ditemubual S2.

Tambah beliau, penempatan asal masyarakat Chetti kini telah berubah menjadi Lorong Hang Jebat terletak berhampiran dengan pasar malam Jonker Walk.



KAMPUNG Chetti pernah dilanda banjir pada tahun lepas ekoran pembangunan di kawasan sekeliling telah mengganggu sistem saliran.

Menurut K. Supramania, masyarakat Chetti tidak bermusuh dengan sesiapa, mereka sentiasa bekerjasama dengan kerajaan yang memerintah.

“Orang Chetti memang mengamalkan sikap berbaik-baik dengan semua orang sama ada Melayu, Cina, Indonesia ataupun bangsa-bangsa dari negara barat.

“Sebagai bukti, masyarakat Chetti berkahwin dengan wanita tempatan serta menerima adat-adat dan budaya orang Melayu termasuklah belajar bertutur dalam bahasa Melayu.

“Apabila kemasukan Portugis, mereka tidak bermusuh dengan kerajaan Portugis yang menjajah Melaka pada 1511 malah ada di antara komuniti kami dilantik sebagai Naina Chittu iaitu Bendahara masa pentadbiran Portugis,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, banyak nilai adat serta budaya masyarakat Melayu diterapkan dalam kehidupan seharian seperti pakaian, makanan dan ciri-ciri kebudayaan lain.

Penerimaan tersebut telah menjadikan mereka begitu unik dan berbeza dengan masyarakat India lain.

“Kami memakai baju Melayu labuh dan berkain sarung (pelekat) sementara wanita pula mengenakan kebaya labuh, kain batik dan bersanggul.

“Tentang makanan pula, kita semua dekat sini makan asam pedas, kari ayam, kuah pindang serta lauk campur-campur, cencaru goreng cili, sayur kacang goreng minyak, ikan parang goreng cili dan banyak lagi macam awak juga,” selorohnya.

Menceritakan lebih lanjut tentang keunikan Kampung Chetti, K. Supramania menambah, terdapat penganut agama Hindu, Islam dan juga orang Cina tinggal di kampung tersebut.

“Walaupun cuma terdapat lebih kurang 30 hingga 40 buah rumah, tidak semua yang tinggal disini adalah orang Chetti. Ada orang Melayu yang tinggal dekat sini sebab mereka berkahwin dengan penduduk asal kampung ini.

“Jadi, lantaran penerimaan dan perkahwinan dengan orang Melayu, di Kampung Chetti ini kami mengamalkan adat dan budaya orang Melayu termasuklah beberapa pantang larang seperti anak perempuan tidak boleh keluar malam dan sebagainya,” katanya sambil meninjau Kampung Chetti yang diwartakan sebagai Kampung Warisan pada tahun 2002.

Chetti dan Pantang Larang

Chetti bukan ceti

“Walaupun sama dari segi sebutan, tetapi kami bukan ceti peminjam wang seperti difikirkan oleh kebanyakan masyarakat.”

Demikian penjelasan Pengerusi Persatuan Komuniti Chetti Melaka, K. Supramania Pillay ringkas ditanya status masyarakat tersebut.

Jelasnya, tanggapan salah itu seharusnya diperbetulkan berdasarkan fakta sejarah kedatangan masyarakat Chetti ke Tanah Melayu pada awal kurun ke-14.



Kurator Muzium Chetti, Valliammai A. Sinnaperumal

Ujarnya lagi, kelompok pemberi pinjaman duit yang dimaksudkan ialah komuniti Chettiar, juga datang dari India.

“Nenek moyang kami dahulu datang ke Tanah Melayu melalui Sumatera dengan tujuan berdagang barang-barang seperti rempah-ratus, kain dan juga pinggan mangkuk dari India.

“Itulah bisnes nenek moyang kami, jadi mana ada duit untuk beri pinjam pada orang lain, tambahan pula mereka selalu berlayar, justeru tiada masa untuk memastikan peminjam bayar hutang,” katanya.

Sementara itu, Kurator Muzium Chetti, Valliammai A. Sinnaperumal menjelaskan, Chetti dan Chettiar sememangnya tiada kaitan sewaktu tiba di Tanah Melayu.

“Masyarakat Chetti adalah komuniti India terawal yang sampai di Tanah Melayu sekitar tahun 1330-an hingga 1340-an.

“Manakala Chettiar pula datang sewaktu penjajahan Jepun dan British untuk memberi pinjaman duit kepada penduduk tempatan.

“Dari segi sejarah hanya ada satu persamaan iaitu datang dari negara India dan kalau ada kaitan persaudaraan dengan orang Chetti pun itu cuma kebetulan,” katanya.

Justeru beliau berharap supaya masyarakat tidak mengaitkan lagi kaum Chetti dengan ceti.

Lebih teruk tambahnya, ada yang mengaitkan kaum itu dengan kegiatan memberi wang pinjaman haram.

“Mungkin nama komuniti kami sahaja hampir sama iaitu Chetti dengan ceti,” ujarnya.


Amal pantang larang budaya Melayu

Orang Melayu pasti menganggap pantang larang diwarisi daripada generasi terdahulu hanya ada dan diamalkan oleh masyarakat tersebut sahaja.

Namun siapa sangka, dalam kehidupan masyarakat Chetti di Melaka juga banyak mengamalkan pantang larang yang sama dengan orang Melayu khususnya pantang larang yang disebut sebagai kata orang tua-tua terdahulu.




K.Mohan Pillay

Antaranya, jangan makan waktu malam, potong kuku waktu malam, anak dara tidak elok menyanyi di dapur atau duduk di tangga dan bermacam-macam lagi.

Menurut seorang penduduk Kampung Chetti, K. Mohan Pillay (gambar), 66, beliau tidak pasti sama ada amalan tersebut sememangnya berasal dari kaum mereka ataupun sebab pengaruh masyarakat Melayu.

“Pantang larang ini telah pun diamalkan oleh nenek moyang dahulu, kemudian kita sedari amalan ini sebenarnya sama dengan orang Melayu.

“Sebagai contoh, kalau isteri sedang mengandung, suami tidak boleh pergi memburu kerana takut anak yang dikandung akan ditimpa malang.

“Selain itu, kalau bab makan pula, apabila cedok nasi, harus dikaut bahagian atas dahulu, tidak boleh cedok separuh hingga nampak dasar periuk,” ujarnya ketika ditemubual S2.

Tambahnya lagi, pantang larang diamalkan sebenarnya mempunyai maksud-maksud tertentu yang dapat mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak elok.

“Kalau kita fikir dan teliti dalam amalan pantang larang ini sebenarnya ada logiknya kenapa ia menjadi pantang larang. Sebagai contoh, jangan makan pada waktu malam.

“Kita pun sedia maklum pada zaman dahulu belum ada lampu dan kemudahan elektrik yang lain. Justeru, cahaya pada waktu malam hanya bergantung kepada pelita, obor dan sebagainya.

“Cahaya tersebut tidaklah secerah seperti lampu sekarang dan keadaannya agak samar-samar. Jadi, kalau makan pada waktu malam, risiko untuk tercekik tulang ayam atau ikan memang ada sebab tak nampak terutama tulang yang halus.

“Selain itu, kita tidak boleh makan tebu pada waktu malam sebab kandungan gulanya tinggi dan boleh menyebabkan kencing manis kerana malam adalah waktu kita tidur bukannya bekerja,” jelasnya.



ANAK perempuan masyarakat Chetti kini bebas bergaul dengan rakan-rakan namun mempunyai batasannya. -

“Sebagai contoh, ada pantang larang yang mengatakan anak perempuan tidak elok keluar pada waktu malam kerana dikhuatiri mengundang bahaya kepadanya.Sambil meninjau persekitaran Kampung Chetti, K. Mohan turut menceritakan amalan pantang larang itu semakin hilang ditelan pembangunan dan pemodenan sekarang.

“Atas faktor pembangunan sekarang, amalan tersebut dilupakan sebab anak-anak perempuan semuanya berpendidikan dan bekerjaya, ada masa mereka perlu pulang lewat malam sebab urusan kerja.

“Makan malam pun sekarang selepas pukul 8, kalau dahulu sebelum matahari terbenam dah siap makan. Mungkin faktor kesibukan kerja dan kemudahan elektrik untuk menghidupkan lampu pada waktu malam,” ujarnya.

Bahasa , Perkahwinan dan Agama Chetti

Pegang teguh ajaran agama

HINDU adalah agama yang menjadi pegangan utama buat komuniti Chetti dan mereka sangat berpegang teguh kepada amalan-amalannya sama seperti masyarakat India yang lain.

Walaupun mengamalkan sikap keterbukaan terhadap bangsa dan penganut agama lain, namun mereka tidak pernah ketinggalan untuk meraikan beberapa perayaan penting sebagai seorang beragama Hindu.

Cuma budaya dalam sambutan perayaan itu menjadikan kaum Chetti ini begitu unik dan berbeza dengan masyarakat India lazim.

Sama seperti komuniti India, masyarakat Chetti juga meraikan hari-hari penting dalam kalendar mereka seperti perayaan Pongal, Thaipusam, Festiaval Navarathiri, Deepavali dan sebagainya.

Menurut seorang pemuda Chetti T. Sithambaram Pillay, 28, cara sambutan perayaan oleh orang Chetti berbeza sedikit dengan masyarakat India lain.

“Mengenai sambutan perayaan, saya ambil contoh daripada sudut makanan. Banyak makanan orang Melayu turut menjadi warna-warni dalam budaya masyarakat Chetti seperti nasi lemak, kuih bangkit, koya kacang, dodol, wajik, urap kelapa dan sebagainya.

“Jadi, cara kita sambut perayaan juga dengan menghidangkan makanan seperti pada Hari Pongal. Kami akan hidangkan makanan antaranya nasi lemak kukus, kuah terung, sambal timun, acar cili, sambal taik minyak.

“Semua hidangan akan disediakan beberapa hari sebelum sambutan Hari Pongal dan ia akan dilakukan dengan teliti kerana kami tidak mahu sebarang kecacatan dalam kemeriahan sambutan hari tersebut,” katanya ketika ditemui S2 dalam majlis berinai di hari perkahwinannya.




Tinjauan masyarakat Chetti di Melaka baru-baru ini . Gambar : Zakaria Idris / Pemberita : Ahtir-S2

Berbicara tentang perkahwinan masyarakat Chetti, pasangan komuniti unik ini akan melalui upacara yang sama seperti penganut Hindu lain.

Beliau yang mesra disapa sebagai Jivan menjelaskan walaupun melalui upacara yang sama, namun terdapat perbezaan dari segi pakaian dan beberapa adat lain.

“Kita komuniti archipelago mempunyai budaya yang hampir sama dengan masyarakat Baba Nyonya dan mempunyai pengaruh budaya orang Melayu tempatan.

“Justeru, ketika majlis perkahwinan berlangsung, kedua-dua mempelai akan mengenakan pakaian tradisional masyarakat Chetti yang sama dengan Baba Nyonya iaitu baju Melayu labuh, kain sarung serta talapa (penutup kepala) bagi lelaki dan kebaya labuh bagi wanita. Kedua-dua pakaian tersebut diperbuat daripada kain songket.

“Kemudian, selepas ‘Thali’ diikat pada pasangan pengantin, mereka akan bermain congkak dan siapa yang kalah akan disuapkan dengan pisang,” seloroh Jivan yang baru melangsungkan perkahwinan dengan isterinya berketurunan Baba Nyonya.

Tambah beliau lagi, suatu perkara penting dalam masyarakat Chetti ialah hal-hal berkaitan kahwin campur.

“Isteri saya berketurunan Baba Nyonya, jadi dia perlu melalui beberapa upacara dipanggil ‘masuk Hindu’ sebelum dibenarkan berkahwin.

“Pasangan kita perlu melalui upacara penyucian di kuil khususnya Kuil Sivan bagi pengikut Dewa Siva kemudian perlu melakukan upacara ‘Sadanggu’ iaitu ritual bagi seorang gadis yang telah mencapai akil baligh. Begitulah uniknya komuniti kecil Chetti ini,” ujarnya.



Kahwin Campur amalan Chetti

LAZIMNYA kahwin campur selalu mendapat tentangan oleh ahli keluarga terutama dalam kalangan masyarakat Melayu beragama Islam.

Pantang orang tua mendengar kalau ada anak mereka menjalin hubungan mesra dan berhasrat untuk berkahwin dengan pasangan yang berlainan agama, bangsa ataupun negara.




Pengantin lelaki Chetti berkahwin dengan pasangannya berketurunan Baba Nyonya pada 1960an. -

Hal ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu, malah bangsa-bangsa lain turut berfikiran sedemikian. Mungkin sukar bagi mereka untuk menerima ‘orang asing’ menjadi sebahagian daripada keluarga.

Walau bagaimanapun, amalan kahwin campur ini tiada masalah bagi dua komuniti unik di Malaysia iaitu Chetti dan Baba Nyonya, malah mereka amat menggalakkan ahli keluarga untuk mencari pasangan daripada bangsa yang berbeza.

Penduduk Kampung Chetti, S. Thuraisingam Pillay, 64, memberitahu amalan kahwin campur merupakan sejarah penting bagi komuniti tersebut.

“Wujudnya masyarakat Chetti ini sebab para pedagang dari India datang ke Tanah Melayu dan berkahwin dengan wanita tempatan yang dipanggil archipelago.

“Kemudian anak-anak mereka ada yang berkahwin dengan wanita tempatan lain serta para pedagang dari India yang baharu sampai ke Tanah Melayu.

Justeru, melihat nenek moyang kami mengamalkan kahwin campur lantas menunjukkan penerimaan amalan ini dalam masyarakat Chetti dan tiada masalah bagi kami untuk menerima bangsa lain menjadi sebahagian daripada ahli keluarga,” katanya ketika ditemubual S2 sewaktu majlis perkahwinan anaknya di Kampung Chetti baru-baru ini.



Tinjauan masyarakat Chetti di Melaka baru-baru ini . Gambar : Zakaria Idris / Pemberita : Ahtir-S2

Beliau menambah, tiada halangan dari segi agama, adat dan budaya serta keturunan untuk membenarkan generasi Chetti berkahwin dengan pasangan berbangsa dan agama yang berlainan.

“Masyarakat Chetti, rata-ratanya beragama Hindu terutama yang tinggal di perkampungan ini, justeru dalam amalan agama kami memang tiada masalah untuk berkahwin dengan pasangan beragama lain.

“Isteri saya sendiri pun berketurunan Baba Nyonya yang jelas berbeza agama, tetapi kami boleh berkahwin dengan melalui upacara-upacara tertentu termasuklah menukar agama.

“Bagi anak Chetti yang ingin berkahwin dengan orang yang bukan beragama Hindu, pasangan tersebut perlu memeluk agama Hindu terlebih dahulu serta melalui upacara-upacara tertentu sebagai saudara baharu.

“Kecuali pasangan mereka beragama Islam, kalau anak kami hendak berkahwin dengan wanita Muslim, mereka harus memeluk agama Islam. Walaupun berbeza agama, keluarga tetap terus menjadi keluarga,” ujar bapa kepada pengantin lelaki, T. Sithambaram.



Tidak Bertutur Bahasa Tamil

MUNGKIN faktor pernah tinggal sementara di Sumatera, Indonesia sebelum tiba di Tanah Melayu menjadikan masyarakat Chetti yang datang dari Kalinggapatinam, India ini fasih berbahasa Melayu.

Lantaran itu, sesuatu yang mengejutkan ialah komuniti kecil beragama Hindu ini tidak fasih berbahasa Tamil malah sebahagian mereka pun tidak tahu menulis nama sendiri dalam tulisan Tamil.

Meskipun mereka fasih berbahasa Melayu, namun terdapat perbezaan dalam beberapa perkataan diucapkan seperti ‘engko’, ‘ateh’ dan ‘mama’ yang merujuk kepada ‘awak’, ‘mak cik’ dan ‘pak cik’.



S. Kanajalingam Pillay

Menurut seorang komuniti Chetti, S. Kanajalingam Pillay (gambar), 50, bahasa yang digunakan dalam perbualan harian adalah bahasa Melayu.

“Memang kami sekeluarga tidak pandai berbahasa Tamil, malah nenek moyang saya dahulu pun bertutur dalam bahasa Melayu.

“Mungkin faktor perkahwinan dengan orang tempatan menjadikan masyarakat Chetti lebih banyak bertutur dalam bahasa Melayu kerana hendak bercakap dengan isteri atau suami,” ujarnya kepada S2.

Bercerita lebih lanjut mengenai bahasa campuran dipanggil ‘kreol’ ini, terdapat kelainan sedikit dalam cara percakapan mereka seperti bunyi-bunyi yang agak sengau.

Kurator Muzium Chetti, Valliammai A. Sinnaperumal berkata, faktor perubahan pertuturan dari bahasa Tamil kepada Melayu menjadikan beberapa perkataan disebut secara berbeza.

“Beza cara sebutan kami ialah apabila menyebut ‘sampai’, ‘limau’, ‘ramai’, ‘engkau’ dan ‘kalau’ yang menjadi ‘sampe’, ‘lemo’, ‘rame’, ‘engko’, dan ‘kalo’.

“Selain itu, banyak lagi perkataan-perkataan lain yang berbeza cara sebutannya. Kalau awak berbual lama dengan orang Chetti mesti perasan perbezaannya, bukan pelik tapi unik.

“Kalau berbual pula, selain sebutan yang berbeza, kami turut menggunakan bahasa kiasan dalam menegur” jelasnya.

Tambah beliau, faktor utama kaum itu tidak boleh berhasa Tamil ekoran ibu bapa tidak menghantar anak-anaknya ke sekolah Tamil.



Perkakasan dapur daripada tembaga seperti periuk, pinggan dan mangkuk antara barang dagangan masyarakat Chetti satu ketika dahulu.

“Sebagai contoh, bahasa pertuturan saya di rumah bahasa Melayu.

“Emak dan ayah juga tidak pernah menghantar saya dan adik-beradik lain ke sekolah Tamil, jadi kami ke sekolah British dan diajar pula bertutur bahasa Inggeris,” katanya.

Menurut beliau lagi, kreol Chetti ini semakin dilupakan oleh anak muda yang lebih terdedah dengan bahasa Melayu asal dan Inggeris.


Kampung di ancam pembangunan

PEMBANGUNAN tanpa kawalan di sekeliling Kampung Chetti boleh melenyapkan kampung tersebut satu hari nanti.

Pengerusi Persatuan Komuniti Chetti Melaka, K. Supramania Pillay, berkata, kebimbangan penduduk sangat berasas jika situasi semasa diambil kira.

“Saya tidak faham, kerajaan sudah wartakan penempatan ini sebagai Kampung Warisan lebih 10 tahun lalu, tetapi pengiktirafan itu seolah-olah dipandang sepi pihak berkenaan.

“Di sebelah kuil dalam kawasan ini, akan dibina beberapa buah rumah dan kedai dua hingga lima tingkat, menjadikan Kampung Chetti semakin kecil setiap hari.

“Jadi bila dihimpit bangunan tinggi, lama-kelamaan hilanglah tanah dan tinggalan sejarah yang kami pertahankan selama ini,” tegasnya kepada S2.

Tambah beliau, akibat pembangunan tersebut, tahun lepas beberapa kali Kampung Chetti dilanda banjir kilat.

“Justeru, saya menyeru semua pihak bertanggungjawab hentikan aktiviti pembangunan dan bantu kami pelihara warisan sejarah negara ini,” ujarnya yang sudah lebih 70 tahun tinggal di Kampung Chetti.

Dunia Islam makin kacau-bilau

Hina sungguh hina dan tercabar jadi orang Islam sekarang. Negara sendiri kacau-bilau, agama dipermainkan dan gerak-geri disyaki. Kita boleh salahkan konspirasi Barat dan jarum beracun Yahudi. Tapi minta maaflah kalau Kunta Kinte kata, yang buat nama Islam busuk adalah orang Islam sendiri.


Kalau orang Islam ikut ajaran agama dan amal apa yang disuruh, tak ada siapa pun boleh laga-lagakan orang Islam dan lepas itu tuduh orang Islam ekstrem dan ganas.

Umat Islam boleh terus salahkan Barat, Yahudi, Zionis, Kristian, ateis, liberal dan segala macam lagi. Tapi selagi mereka jahil, miskin dan suka bergaduh selagi itulah dunia Islam akan terus jadi medan perang, lemah dan terjajah. Semakin banyak negara orang Islam gagal. Dah jadi neraka dunia. Pada masa yang sama Barat makin bimbang dengan orang Islam yang bercempera di negara-negara mereka.

Tengok saja orang Islam Timur Tengah dan Afrika yang berduyun-duyun lari ke Eropah secara haram melalui Itali sampai sanggup sabung nyawa. Tahun lepas saja lebih 3,000 mati lemas dalam percubaan itu. Pada tahun 2013 seramai 60,000 mendarat dan dalam masa sembilan bulan pertama tahun lepas naik jadi 130,000.

Itali tu negara kafir, pusat pentadbiran mazhab Roman Katolik pula. Tapi di situlah orang Islam jejak kaki bila lari dari bumi sendiri. Pelik dan malu.

Jadi pelampau di negara orang

Lepas itu tak sedar diri pula. Nak terus hidup macam di negara sendiri dan bawa perangai buruk mereka ke negara orang. Bila dapat taraf pelarian atau pemastautin jadi pelampau dan pengganas pula.

Pasal itulah Kunta Kinte selalu bagi amaran, kita di Malaysia pun kena jaga-jaga bila ada orang berjanggut berjambang, berserban, berketayap dan berjubah dari benua Arab, Afrika, India, Pakistan, Bangladesh dan macam-macam lagi tempat masuk negara kita.

Jangan asalkan kerana Islam kita terima dengan tangan terbuka. Kena kaji latar belakang mereka. Dah jadi pun yang mereka ini bawa macam-macam ajaran sesat dan sebar kepada orang kita yang jahil.

Bagi banyak orang Islam Malaysia, asal berjanggut dan berjambang, berserban dan berjubah alimlah orang itu. Yang mereka tak tahu, orang ini adalah daripada jenis Islam fanatik, Islam songsang dan Islam cari makan.

Inilah ironi zaman sekarang. Barat dalam keadaan serba salah. Di satu pihak mereka curiga terhadap negara Islam yang bertamadun dan di pihak yang lain pula mereka takut kepada fanatik Islam. Lagi teruk bila ramai fanatik dan pengganas yang bertopengkan Islam itu rakyat mereka sendiri.

Mereka buat angkara lemahkan negara Islam dan jadikan negara Islam boneka. Tapi permainan politik mereka dah jadi senjata makan tuan. Negara yang mereka takluk kacau-bilau dan rakyat jelatanya lari ke Barat.

Bila mereka nampak ramai orang Islam di negara mereka, mereka panik. Maka timbullah gerakan anti-Islam dan kumpulan neo-Nazi (Nazi baru) macam Patriotic Europeans against the Islamization of the West (PEGIDA). Kalau Kunta Kinte terjemah, berbunyinya lebih kurang Patriot Eropah Bagi Menentang Pengislaman Barat.

Mereka adakan tunjuk perasaan di beberapa buah bandar raya di Jerman. Tapi bukan semua orang Barat macam itu. Ramai yang buat tunjuk bantah PEGIDA.

Tapi konflik Islam-Barat tambah rumit dan ganas. Dua hari lepas tunjuk perasaan di Jerman, tiga orang bersenjata yang namanya bunyi macam nama orang Islam Perancis keturunan Afrika Utara serang pejabat majalah satira Charlie Hebdo di Paris dan bunuh 12 orang kakitangan serta anggota polis. Majalah itu baru saja siar karikatur Nabi Muhammad (SAW).

Satu hal lagi Barat takut kepada Islam sebab ideologi Yahudi-Kristian (Judeo-Christian) yang mereka amal makin terancam. Makin ramai orang Kristian tidak lagi amalkan agama.

Surat khabar Wall Street Journal pada 5 Januari kata, beribu-ribu gereja kosong dan ada yang ditawarkan untuk dijual. Di England kira-kira 20 gereja tutup setiap tahun. Di Denmark 200 dikira tak berdaya maju atau tak digunakan sepenuhnya. Di Jerman 515 gereja Katolik tutup dalam tempoh sedekad lalu. Paling parah di Belanda di mana lebih 500 gereja Katolik dan 700 Protestan akan tutup dalam masa empat tahun akan datang.

Kunta Kinte harap kita janganlah seronok sangat dengan kedudukan istimewa Islam di negara kita. Kita pun boleh jadi macam negara-negara Islam yang porak-peranda itu kalau kita tak berjaga-jaga dan asyik hukum menghukum satu sama lain kerana agama.

Kerajaan kena bertegas

Sebab itulah Kunta Kinte tak habis-habis cakap yang kerajaan wajib tegas dan cepat bertindak terhadap segala bentuk keganasan dan sikap melampau tak peduli agama, ideologi, kaum atau bangsa.

Bukan Barat saja nak jadikan orang Islam hamba, tapi sudah ada orang Islam sendiri yang buat kerja itu atas alasan akidah. Kesudahannya makin ramai orang Islam jadi orang buangan di negara sendiri, miskin, melarat dan akhirnya dah tak kenal dosa dan pahala. Wallahuaklam.

Pelajar cemerlang aset berharga negara

Jika kita mengunjungi beberapa laman sesawang, kita dapati ada antara pelajar pintar dari negara ini mengecam sistem pendidikan negara kerana mendakwa konon berlakunya ketidakadilan terhadap mereka.

Kecemerlangan mereka dalam peperiksaan seolah-olah tidak diiktiraf kerana dinafikan peluang melanjutkan pelajaran menggunakan biasiswa kerajaan. Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa melanjutkan pengajian di negara lain dengan perbelanjaan sendiri atau tajaan pihak lain. Benarkah dakwaan mereka atau sejauh mana `ketidakadilan' itu wujud?


Pelajar menunjukkan uji kaji sains dalam makmal di hadapan Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan (dua dari kiri) dan Rosmah, di Pusat PERMATA Pintar Negara, UKM Bangi. - Foto Abdullah Yusof

Mereka mendakwa keputusan peperiksaan mereka lebih baik berbanding beberapa pelajar Bumiputera yang lain. Bagaimanapun, disebabkan polisi kerajaan sedia ada serta hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, maka hak untuk mereka mendapatkan layanan sama rata, telah diketepikan. Lebih mendukacitakan ialah menjadikan kepemimpinan kerajaan sedia ada sasaran melepaskan ketidakpuasan hati mereka.

Dalam konteks ini, penulis bukanlah hendak menyebelahi mana-mana pihak. Bagaimanapun, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan patuh kepada undang-undang, perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, usahlah dipertikaikan. Malah itu adalah antara syarat ditetapkan dan dipersetujui semua kaum ketika mendapatkan kemerdekaan daripada British dahulu.

Apa-apapun, biarlah pihak berwajib yang menyelesaikan isu ini. Penulis yakin kerajaan mempunyai justifikasi serta mekanisme tertentu bagi menangani perkara ini.


Program PERMATA diwujudkan selari dengan keperluan pelajar pintar dan berbakat. - Gambar hiasan

Takrif pelajar pintar

Sebenarnya, dalam hal ini, penulis lebih berminat menyentuh berkaitan pelajar pintar atau cerdas ini. Justeru, eloklah kalau kita melihat apakah yang ditakrifkan sebagai pelajar pintar atau pelajar cerdas ini?.

Pelajar pintar adalah mereka yang mempunyai beberapa kelebihan tertentu sejak kecil lagi. Ciri-ciri ini tidak ada pada kanak-kanak lain yang sebaya atau lebih kurang seusia dengan mereka. Antara ciri-ciri itu ialah:

l Memiliki sikap ingin tahu yang tinggi;

l Bersikap kritis kepada diri sendiri dan orang lain;

l Berupaya melihat hubungan yang wujud antara beberapa pendapat atau pandangan berbeza, dan menghasilkan pelbagai idea dari satu rangsangan yang spesifik yang memerlukan persekitaran pembelajaran yang sangat mencabar;

l Sukar menerima kenyataan tidak konkrit, jawapan atau penilaian yang diberi atau dibuat orang lain;

l Memiliki persepsi berlainan terhadap persekitaran dan

l Peka kepada ketidakadilan pada tahap peribadi dan global.

Memang tidak dinafikan, pendidikan adalah antara bidang yang paling utama dalam pembangunan negara. Malaysia memerlukan rakyat yang berpendidikan tinggi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Memiliki ramai rakyat yang genius adalah aset besar kepada negara.

Namun, pada masa sama keadaan ini memberikan sedikit 'cabaran', bukan sahaja kepada ibu bapa, malah juga kepada kerajaan bagi menyediakan pelbagai infrastruktur untuk pelajar pintar ini.

Golongan pelajar pintar ini memerlukan sistem pendidikan yang berbeza dengan pelajar lain. Tahap kecekapan serta IQ (Intelligent Quotient) yang tinggi menyebabkan ada antara mereka sukar menyesuaikan diri dengan komuniti sekeliling. Sebahagian besar mereka cepat bosan dengan sistem pendidikan sedia ada kerana tidak dapat memenuhi cita rasa serta cabaran yang mereka perlukan. Disebabkan itu, pelajar berkenaan memilih belajar sendiri di rumah kerana ada ibu bapa berasakan sistem pendidikan sedia ada tidak cukup mencabar, tidak memenuhi keperluan anak mereka.

Bagaimanapun, memiliki ciri-ciri sedemikian belum tentu menjanjikan masa depan yang cerah. Kesilapan diri sendiri atau tiadanya kawalan mahupun bimbingan daripada pihak tertentu, pelajar pintar boleh menemui kegagalan dalam hidup. Ibarat kata pepatah `kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari'. Cermin muka yang sentiasa berkilat dan setiap hari digunakan, lama kelamaan akan pudar juga jika tidak dijaga dan dibersihkan.


Pelajar pintar miliki bakat berbeza dengan pelajar biasa.

Tahap pendidikan berbeza

Bukan sahaja tahap pendidikan mereka berbeza, malah cara mereka berkomunikasi juga sudah tentu mempunyai pendekatan berbeza. Harus diingat, komunikasi bukanlah setakat berinteraksi bersemuka atau tidak bersemuka dengan seorang individu atau lebih, malah ia lebih daripada itu. Bahkan jika dalam sesebuah organisasi, komunikasi berlaku dari atas ke bawah, bawah ke atas, dan sama aras. Ini belum lagi mengambil kira mengenai halangan lain, seperti rasa tertekan, rasa marah dan sebagainya.

Justeru, pelajar sebegini memerlukan individu atau kumpulan tertentu yang dapat membimbing mereka dalam menangani beberapa kekurangan serta tekanan yang dihadapi. Bantuan lebih berupa teknik atau kaedah selain tunjuk ajar yang betul secara lebih efektif.

Dalam hal ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sudah mengambil inisiatif dengan mewujudkan Pusat PERMATA Pintar Negara pada tahun 2010. Objektif penubuhannya ialah membantu pelajar terbabit menghargai kelebihan serta bakat yang mereka miliki dengan lebih sistematik.

Penekanan akan lebih difokuskan kepada pengaplikasian pemikiran kritis dan kreatif serta penyelesaian masalah. Ini bertujuan memberi kebebasan kepada pelajar pintar mempraktikkan pembelajaran sendiri dengan bimbingan guru terlatih yang bertindak sebagai fasilitator untuk membangun dan mengembangkan personaliti mereka.

Ketika menyampaikan ucap utama dalam Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan Untuk Pelajar Pintar dan Berbakat 2014 di Pusat PERMATA Pintar Negara, UKM, baru-baru ini, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, berkata pelajar pintar mempunyai kepelbagaian dimensi serta memerlukan bentuk pembelajaran berbeza, justeru tidak sepadan jika mereka ditempatkan dalam sistem pembelajaran dan persekitaran yang biasa bersama dengan pelajar lain.

Rosmah yang juga Penaung Program PERMATA menegaskan, pendekatan pembelajaran yang diguna pakai melalui Program Permata adalah selari dengan keperluan pelajar pintar dan berbakat kerana program itu bukan setakat memberi tumpuan kepada silibus, malah turut memfokuskan proses pembelajaran dan persekitaran yang mampu membantu pelajar itu bagi menghargai bakat yang dimiliki mereka.

Apa yang perlu difikirkan oleh Kementerian Pendidikan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan pula ialah bagaimana untuk menyediakan platform pula kepada pelajar pintar ini untuk meneruskan pengajian mereka kelak.

Cukupkah sekadar dengan prasarana pendidikan, termasuk jumlah serta kualiti pensyarah sedia ada, sudah boleh memenuhi keperluan yang diinginkan oleh pelajar terbabit? Bagaimana pula dengan bidang pengajian yang perlu ditawarkan?


Pelajar menerima biasiswa pendidikan di Pusat PERMATA Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. - Gambar hiasan

Ambil kira masa depan pelajar pintar

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan, IPTA dan IPTS perlu duduk semeja dan meneliti kembali segala perancangan yang terkandung dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN). Jika ada keperluan, PSPTN sewajarnya diberikan sedikit penambahbaikan atau pengubahsuaian dengan turut mengambil kira masa depan pelajar pintar.

Setiap IPTA atau IPTS, tidak kiralah sama ada universiti penyelidikan, universiti pengajaran, atau universiti teknikal, masing-masing perlu meletakkan visi pendidikan yang lebih jauh serta ruang lingkup yang lebih luas demi penjanaan bakat pelajar-pelajar pintar ini. Mereka adalah permata negara dan jika gemerlap mereka, maka bergemerlapanlah pendidikan negara. Kita tidak mahu bakat dan kelebihan yang mereka miliki, tidak diuruskan dengan sewajarnya. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kita menggigit jari jika permata yang dimiliki ini, akhirnya dimanfaatkan oleh negara lain.

The power of different courts

In a country with a supreme Constitution, the courts cannot be ousted on issues of constitutionality.

LIKE most legal systems, Malaysia has many streams of justice. The Magistrates Courts, Sessions Courts, High Courts, Court of Appeal and Federal Court constitute our “civil court” system. Side by side with civil law, other systems of law and mechanisms for dispute resolution exist.

> Each State has its own hierarchy of Syariah Courts. These courts apply enacted

Islamic law and Malay adat in spheres limited and defined by Schedule 9, List II, Paragraph 1.

> Sabah and Sarawak have native laws enforced by Native Courts.

> Under Articles 182-183 of the Federal Constitution, a Special Court exists to try cases by or against Malay Rulers.

> There are scores of statutory tribunals known by a variety of names like Industrial Court, Court Martial, Valuation Tribunal, Commissioner of Income Tax and Disciplinary Committees and Tribunals.

> Private sector organisations like clubs, businesses and industries have their own domestic tribunals.

Such “legal pluralism” beautifully recognises the multiplicity of fountains from which our law emanates. But it also creates conflicts of jurisdiction. Up to now, the general statutory and judicial approach was to respect the separateness of parallel streams of justice and to accept that a valid decision of a special court or tribunal was final and conclusive and not appealable to the ordinary civil courts.

To this separateness and autonomy, one exception was always in place. By virtue of the supreme Constitution and many statutes like the Specific Relief Act, the superior civil courts retained a supervisory, “review power” to examine the constitutionality and legality of all determinations by inferior courts, tribunals and quasi-judicial bodies.

In the years since the insertion of Article 121(1A) which states that civil courts “shall have no jurisdiction in respect of any matter within the jurisdiction of the Syariah courts”, the supervisory power of the High Court in relation to syariah laws and syariah court decisions has come under severe questioning.

There are views that the Federal Constitution “does not limit the Islamic code”, that “syariah courts are not subject to the Constitution” and are of equal status to civil courts.

These views have undoubted populist appeal but questionable legal basis.

They fail to distinguish between what is aspirational and what is the legal reality. The Federal Constitution’s scheme of things is quite different.

Constitutional supremacy: According to Article 4(1), the Constitution is the supreme law of the Federation. No person, authority or institution, including a State Assembly or a syariah court, is above the Constitution.

Judicial review: Any law, whether federal or state, primary or secondary, civil or religious, pre-Merdeka or post-Merdeka, is subject to constitutional review by the superior civil courts in accordance with Articles 4(1) and 162(6). It is established law in Latifah Mat Zin v Rosmawati Sharibon (2007) that questions of constitutionality are for the civil and not the syariah courts to adjudicate upon.

Islam: Though Islam has a most exalted position as the religion of the Federation, the syariah is not the basic law of the land. In Che Omar Che Soh (1988), it was held that the Constitution and not the syariah is the litmus test of legality.

Article 3(1) on Islam as the religion of the Federation is qualified by Article 3(4), which clearly states that “nothing in this article derogates from any other provision of the Constitution”. This means that Article 3(1) does not override any other provision of the Constitution.

Article 121(1A): Under Article 121(1A), the syariah courts are immune from interference only as long as they remain within their jurisdiction, i.e. within powers conferred on them by state enactments. State Enactments in turn must confine themselves to the 26 topics allocated to them by Schedule 9 List 2 Paragraph 1.

Thus, a Muslim marriage or divorce is outside the purview of the civil courts. But if the State Enactment violates the Federal Constitution, the civil courts can invalidate it. Take, for example, the recent Negri Sembilan cross-dressers’ case.

If a Syariah Court acts unconstitutionally, e.g. it tries a non-Muslim for a syariah offence or it dissolves a civil marriage in which one party is a non-Muslim as in the Indira Gandhi case, the High Court is empowered to declare otherwise.

Likewise, if syariah officials act illegally as in the 2013 Borders Bookstore case, where they unlawfully seized a book that was not yet banned and then interrogated a non-Muslim employee of the bookstore which they have no power to do, the civil courts can issue the necessary declaration.

In a country with a supreme Constitution, the courts cannot be ousted on issues of constitutionality. For example, under the Second Schedule of the Constitution, Part III, Para 2 “A decision of the Federal Government (on deprivation of citizenship) shall not be subject to appeal or review in any court”. Despite such explicit language, courts have been willing to examine the exercise of the minister’s discretion.

Status of syariah courts: The status of syariah courts is determinable by looking at the mode of their creation; matters within their jurisdiction; persons subject to their control; and penalties they may impose.

The High Court, the Court of Appeal and the Federal Court are established by the Federal Constitution. In the appointment of judges to these courts, the Prime Minister, the top judges, the Yang di-Pertuan Agong and the Conference of Rulers are involved.

In contrast, syariah courts are not created by the Federal or State Constitutions but are established by ordinary State Enactments. Most of the safeguards available to superior court judges are not conferred on syariah judges.

Syariah courts do not have a general power to try all issues of Islamic law. According to Schedule 9, List II, Para 1 only the following are within their jurisdiction: 25 personal law matters plus power to punish offences against the precepts of Islam except in relation to matters in the Federal List or covered by federal law. Almost all hudud offences like murder, robbery, theft and rape are triable by federal courts and, therefore, outside the jurisdiction of syariah courts. Likewise, homosexuality, gambling and betting are penal code offences.

Syariah courts have jurisdiction only over persons “who profess the religion of Islam”. A non-Muslim is not subject to the syariah court. His acquiescence is irrelevant. Jurisdiction comes from law, not from consent.

Under the Syariah Courts Criminal jurisdiction Act 1965, Syariah courts have the power to impose six strokes of the rotan, RM5,000 fine and three years’ jail. In comparative terms, this is lesser than the jurisdiction of a Magistrates Court!

It should be clear, therefore, that on existing law it is not correct to attribute to enacted Islamic law or to syariah courts a legal superiority over constitutional provisions and total immunity from constitutional review by the civil courts.

Of course such an aspiration may come to pass one day, if the pace and range of Islamisation continues. But we are not there yet. The Constitution is still supreme. Proponents of “one country, two systems” or two equal and parallel legal systems have to be level-headed about the legal, political, economic and social implications of such a significant change to the constitution’s basic structure.

Any proposal for change must be accomplished in accordance with constitutional procedures and not simply by the might of public opinion. Under Articles 159(5) and 161E, the consent of the Conference of Rulers and the Governors of Sabah and Sarawak will be needed.

> Prof Shad Faruqi is Emeritus Professor of Law at UiTM. He wishes all readers a Happy New Year. The views expressed here are entirely the writer’s own. The STAR Home News Opinion 8 Jan 2015

Tun Abdul Rahman Ya’kub meninggal dunia

KUCHING 9 Jan. - Bekas Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya’kub, 87, yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah di sini sejak beberapa minggu lalu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 malam ini.

Bekas Setiausaha Sulitnya, Datuk Khir Busrah berkata, tokoh politik veteran itu difahamkan meninggal dunia akibat sakit tua.

Abdul Rahman yang dilahirkan pada 3 Januari 1928, telah dilantik sebagai Ketua Menteri menggantikan Datuk Tawi Sli pada 7 Julai 1970.

Kemudian pada 26 Mac 1981 Allahyarham meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada anak saudaranya, Tun Abdul Taib Mahmud (kini Yang Dipertua Negeri Sarawak).

Beliau kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak Ketiga pada 2 April 1981 dan memegang jawatan itu bagi tempoh empat tahun.

Pada peringkat Persekutuan, beliau pernah menganggotai Kabinet Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dengan memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Perlombongan pada 1960. - UTUSAN ONLINE Berita 9 Jan 2015


'Peristiwa Ming Court' masih diingati

KUCHING - Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya'kub yang dilahirkan pada 3 Januari 1928 di Bintulu, merupakan Ketua Menteri Sarawak yang ketiga (1970-1981) dan bapa saudara kepada Yang Dipertua Negeri sekarang, Tun Abdul Taib Mahmud.
Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub


Terkenal dengan kehebatannya berpidato, Allahyarham meninggalkan kesan cukup besar dalam agenda pendidikan negara walaupun menjawat jawatan sebagai Menteri Pelajaran dalam tempoh yang hanya setahun pada 1969, dengan langkah beraninya menukar bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi dalam negara kepada bahasa kebangsaan, Bahasa Malaysia.

Beliau adalah tokoh utama dari Sarawak yang dipilih Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj dalam usaha meyakinkan rakyat Sarawak, sekali gus mendapat sokongan padu rakyat negeri itu dalam pembentukan Malaysia.

Pada tahun 1963, beliau dilantik sebagai Menteri Muda di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan, sebelum ke jawatan menteri Muda Kementerian Kehakiman pada tahun berikutnya, Menteri Tanah dan Galian Persekutuan pada tahun 1965 dan Menteri Pelajaran pada tahun 1969.

Allahyarham mendapat mandat ke jawatan Ketua Menteri pada tahun 1970 selepas memenangi pilihan raya pertama Sarawak pasca pembentukan Malaysia dan menerajui kepimpinan negeri selama 11 tahun, sebelum dinobatkan sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang keempat antara tahun 1981 dan 1984.

Bermula dengan kerjaya sebagai Pegawai Bumiputera (percubaan) dalam perkhidmatan tadbir Sarawak pada tahun 1948, Allahyarham meniti arus pentadbiran kerajaan satu persatu, sebelum meletak jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Jabatan Undang-undang Sarawak, pada tahun 1963 untuk menceburi politik.

Allahyarham merupakan bumiputera pertama dari Sarawak memiliki kelulusan Barrister-at-law dari Lincoln’s Inn, London pada tahun 1958, dan terlibat secara langsung dalam membimbing ramai pemimpin serta tokoh politik semasa di Sarawak dalam arena politik negeri.

Antara peristiwa besar yang dikaitkan dengan Allahyarham di bumi Kenyalang termasuk penglibatannya dalam usaha memujuk kumpulan komunis di Sarawak kembali ke pangkuan masyarakat, sekali gus melakar sejarah kejayaan Operasi Sri Aman, yang menyaksikan ancaman komunis dipatahkan pada tahun 1974.

Selain itu, antara yang paling diingati pastinya berkisar kepada "Peristiwa Ming Court" pada tahun 1987 yang dianggap ramai sebagai pertembungan antara Allahyarham dengan Abdul Taib, Ketua Menteri Sarawak ketika itu.

Sejarah yang terpahat menyaksikan Allahyarham mengetuai sekumpulan Adun berhimpun di Hotel Ming Court, Kuala Lumpur dan meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Abdul Taib sebagai ketua menteri ketika itu.

Rentetan peristiwa berikutnya menyaksikan Allahyarham mengetuai gabungan pembangkang yang melibatkan Pertubuhan Rakyat Malaysia Sarawak (Permas) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bagi mencabar Barisan Nasional negeri diketuai Abdul Taib dalam pilihan raya negeri 1987, namun mereka tewas, dan Abdul Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak paling lama menerajui kepimpinan negeri, dari tahun 1981 sehingga 2004.

Dalam satu temu bual dengan sebuah media pada tahun 2008, Allahyarham mengakui bahawa kesihatannya semakin merosot pada tahun 1980 sehingga membawa kepada pembedahan jantung di London dan beliau sendiri menyuarakan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn.

Empat tahun selepas dilantik sebagai Yang Dipertuan Negeri, Allahyarham tetap dengan keputusannya untuk berundur disebabkan faktor kesihatan dan tahun-tahun berikutnya menyaksikan beliau lebih memberi tumpuan kepada acara-acara keagamaan.

Perdamaian dengan anak saudaranya, Abdul Taib dilihat semakin ketara menjelang ketibaan alaf baru, sebagaimana yang pernah diungkap oleh Allahyarham sendiri "Air dicincang tidak akan putus".

Pada tahun 2003, satu laporan Bernama menyebut bahawa kebanyakan jemaah di Masjid Jamek Petra Jaya di Kuching hampir tidak percaya apabila melihat Allahyarham bersalaman dan berpelukan dengan Abdul Taib selepas menunaikan solat Jumaat, dan ia dilaporkan sebagai "dipercayai kali pertama kedua-dua bersaudara itu dilihat saling bertegur sapa dan bersalaman di khalayak ramai selepas sekian lama".

Allahyarham juga merupakan Yang Dipertua BINA (Angkatan Nahdatul Islam Bersatu Sarawak) dari tahun 1969 hingga 1986 dan Ahli Majlis Tertinggi RABITAH ALAM ISLAMI selain menjadi anggota Muslim World Congress, Karachi, Pakistan.

Semenjak bersara daripada politik, Allahyarham masih aktif dalam mengajar ilmu-ilmu agama dan sering menganjurkan kegiatan dakwah di kediaman beliau di Surau Sri Bahagia, Kuching.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lapan anak perempuan.

Seorang daripada anaknya, Datuk Norah, merupakan Adun Tanjung Manis, manakala seorang lagi, Khadijah, merupakan menantu kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Isteri pertama Allahyarham, Toh Puan Normah meninggal dunia pada tahun 1983. - Bernama