January 11th, 2015

Perginya sebutir permata dengan jasa terbilang

DR. Jeniri Amir, 56, seorang pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ada nostalgia dengan Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub yang kembali ke rahmatullah kerana sakit tua dalam usia 87 tahun malam kelmarin.


Abdul Rahman Ya'kub

Pensyarah Program Kajian Komunikasi di Fa­kulti Sains Sosial Unimas itu masih ingat sekitar 70-an bagaimana dia seorang anak miskin dari Kampung Tellian, Mukah menulis surat kepada Abdul Rahman, yang ketika itu Ketua Menteri Sarawak untuk memohon biasiswa sebanyak RM15 sebulan daripada Ya­yasan Sarawak.

“Surat bertulisan tangan itu saya catatkan atas kertas buku latihan.

“Jawapannya dalam surat itu telah benar-benar mengubah nasib saya,” kata Jeniri kepada Mingguan Malaysia semalam.

Allahyarham akan diingati kerana kejayaannya meletakkan batu asas untuk pembangunan Sarawak setelah berjaya membentuk kerajaan campuran daripada pelbagai parti pada 7 Julai 1979, yang sebelum itu Allahyarham memujuk komunis kembali ke pangkuan masyarakat di negeri itu pada 1974.

Selain itu, antara yang paling diingati pastinya berkisar kepada Peristiwa Ming Court pada 1987 yang dianggap ramai sebagai 'pertembungan politik' antara Allahyarham dengan anak saudaranya, Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak ketika itu.

Di peringkat nasional, Tun Abdul Rahman melakar sejarah tersendiri apabila menjadi tokoh dari Sarawak yang bertindak meyakinkan rakyat Sarawak dan membina sokongan padu rakyat negeri itu dalam pembentukan Malaysia.

“Beliau dilantik ke peringkat Pusat untuk menyandang beberapa jawatan penting negara dan antara jasa besarnya ketika menjadi Menteri Pelajaran. Walaupun menyandang jawatan itu hanya setahun pada 1969, Allahyarham dengan langkah be­raninya melaksa­nakan per­alihan bahasa pengantar da­ripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu di sekolah dan institusi pe­nga­jian tinggi secara berperingkat melalui penggubalan Dasar Pelajaran Kebangsaan,” kata Jeniri.

Selain itu, atas komitmen dan penyeliaannya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan pada 1970 dan beliau juga yang mengilhamkan perlunya Malaysia mempu­nyai syarikat minyak sendiri, Petronas.

Generasi muda hari ini juga tidak tahu bahawa Allahyarham jugalah yang telah menghapuskan peperiksaan common entrance Darjah 6. Suatu ketika, mereka yang hendak melangkah ke tingkatan satu perlu melepasi peratusan tertentu dalam penilaian.

“Dasar tersebut mewujudkan sekatan dan ia didapati kurang sesuai untuk diteruskan. Sejak pemansuhannya, ribuan pelajar berjaya masuk ke tingkatan satu,” kata Jeniri.

Dalam satu temu bual de­ngan sebuah media pada 2008, Tun Abdul Rahman mengakui bahawa kesihatannya semakin merosot pada 1980 sehingga membawa kepada pembedahan jantung di London.

Dan beliau sendiri menyuarakan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri (1970-1981) kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn.

Empat tahun selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Ne­geri Sarawak ketiga pada 2 April 1981, Allahyarham tetap dengan keputusannya untuk berundur di­sebabkan faktor kesihatan.

Sejak bersara daripada politik, Allahyarham masih aktif dalam mengajar ilmu agama dan sering menganjurkan kegiatan dakwah di kediaman beliau di Surau Sri Bahagia, Kuching.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lapan anak perempuan. Seorang daripada anaknya, Datuk Norah merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Manis manakala seorang lagi, Khadijah adalah menantu kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Isteri pertama Allahyarham, Toh Puan Normah meninggal dunia 1983.

Jeniri yang sedang me­nyi­apkan biografi Allahyarham mem­beritahu, Tun Abdul Rahman harus menjadi cerminan inspirasi kepada anak muda masa ini tentang bagaimana anak kepada seorang nelayan, Wan Ya’kub Wan Yusuf dan pasa­ngannya, Siti Hajar Mohd. Tahir boleh bangkit sehingga menjadi seorang pemimpin berpengaruh.

Cucu Allahyarham, bekas Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya menitipkan kepada penulis:

“Arwah cukup kuat pegangan sunnahnya, diwasiatkan tiada pengebumian negara, disolatkan ikut sunnah, tiada perarakan, tiada bunga dan tiada bendera rasmi.”

Semoga roh Allahyarham di­tempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan para solihin. Al-fatihah.

Siapa sebenarnya Paul Phua Weng Seng?

Dua hari lalu seorang anak muda bertanya kepada saya “Salahkah kalau saya, seorang private citizen, tulis satu surat kepada FBI di Amerika Syarikat (AS)?”

Saya jawab secara spontan “Tak salah. Kalau anda ada perkara peribadi penting yang hendak disampaikan kepada agensi kerajaan AS itu, tak ada siapa yang boleh menghalang anda. Kecuali apa yang anda lakukan itu jelas dihalang oleh mana-mana undang-undang bertulis di negara ini."



Paul Phua Weng Seng

Anak muda itu bertanya lagi: “Habis tu, kenapa orang bising sangat bila ada seorang menteri kita tulis surat kepada FBI pada 18 Disember lalu?”

Setelah berfikir beberapa minit, saya jawab, “Anda tak sama dengan menteri. Anda seorang private citizen, manakala menteri ialah seorang member of the administration. Kalau dia menulis surat kepada FBI, dia bertindak secara rasmi mewakili kerajaan Malaysia, bukan atas sifat peribadi seperti anda.”

Lalu anak muda itu menegaskan "Ya lah. Menteri itu menulis menggunakan kepala surat kementeriannya. Itu urusan rasmilah. Kenapa orang bising.”

Saya jawab lagi, “Bila Menteri tulis surat secara rasmi kepada FBI, dia mewakili kerajaan Malaysia. Lazimnya komunikasi antara kerajaan kita dengan kerajaan asing dibuat oleh Ketua Kerajaan, iaitu Perdana Menteri, atau setidak-tidaknya oleh Menteri Luar sebagai mewakili kerajaan Malaysia. Dalam kes sekarang, orang awam tertanya-tanya apakah menteri itu telah mendapat kebenaran dari (atau telah diarahkan oleh) jemaah menteri menulis surat itu kepada FBI?

Anak muda itu berkata lagi “Ah, itu isu teknikal saja. Bila jemaah menteri nanti sahkan atau nyatakan persetujuannya, tak timbul masalah lagi.”

Menyedari anak muda itu tak punyai maklumat terkini, saya jelaskan “Bukan isu teknikal. Kerajaan Malaysia sudah pun menegaskan bahawa surat menteri itu tidak boleh dipakai dalam prosiding jenayah yang kini berjalan di sebuah mahkamah di Nevada, AS. Ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengetahui dan tidak pernah merestui apa yang dilakukan oleh menteri itu.”

Mengaut untung

Saya ingatkan dia pada pertengahan Julai 2014 lalu seorang individu (warganegara kita) bernama Paul Phua Weng Seng telah ditangkap oleh pihak berkuasa Amerika dan diheret ke mahkamah atas tuduhan melakukan jenayah llegal bookmaking di Las Vegas. Pasukan peguam individu ini kemudian berhasrat meminta menteri kita mengeluarkan surat dengan tujuan surat itu hendak diserahkan kepada Mahkamah Daerah di Las Vegas semasa prosiding berjalan. Pasukan peguam tersebut telah meminta bantuan seorang peguam tempatan, dan peguam ini telah berjaya membantunya.

Phua dan anaknya Darren kini berdepan dengan tuduhan menjalankan operasi judi haram di biliknya di Hotel Caesar’s Palace di Las Vegas semasa temasya Piala Dunia berlangsung di Brazil pada tahun lalu. Pasukan pendakwa mengatakan tertuduh mengaut untung sekitar AS$ 13 juta (RM45.5 juta) pada Jun dan Julai lalu hasil wang pertaruhan.

Pasukan peguam Phua tetap mempertahankan anak guam mereka tidak bersalah dan tidak pernah menjadi anggota 14K Triad di Malaysia. Surat menteri berkenaan ada menyatakan bahawa Phua “bukan ahli dan juga tidak pernah ada hubungan dengan 14K Triad di Malaysia” (Phua is neither a member nor is he associated with the 14K Triad in Malaysia).

Maknanya, sekiranya peguam Phua dibenarkan menyerahkan surat menteri ini semasa kes didengar di mahkamah, surat menteri ini diharap dapat menyokong hujah pasukan peguam tersebut bahawa anak guam mereka tidak bersalah. Malangnya bagi mereka, Putrajaya telah pun bertindak segera melarang surat itu diserahkan kepada mahkamah.

Saya ingatkan anak muda itu juga bahawa pada Jun 2014 lalu, Phua pernah ditangkap dalam satu operasi membanteras perjudian haram di Macau. Ekoran peristiwa itu, Phua telah dihalau keluar oleh kerajaan wilayah itu.

Mengikut laporan akhbar South China Morning Post keluaran 2 November 2014 lalu, pasukan peguam Phua mungkin berjaya mengetepikan pertuduhan ke atas anak guam mereka disebabkan “kesilapan prosedur penting” oleh pasukan FBI sewaktu menjalankan operasi menangkap Phua dan anak lelakinya. Mengikut laporan itu lagi, pegawai FBI yang menangkap dan menjalankan siasatan telah gagal memberikan “amaran Miranda” kepada mereka sebelum mengambil kenyataan mereka. (http://www.scmp.com/news/hong-kong/article/1630195/procedural-errors-may-kill-fbi-gambling-case-involving-asian-kingpin)

Kesimpulannya, Putrajaya perlu peka dan prihatin bahawa andainya kekeliruan serta kesangsian orang awam dalam hal ini berpanjangan dan keresahan mereka tidak segera ditenangkan, bersedialah untuk menerima lemparan tohmah dan buruk sangka terus dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu.

Politik kritik

Entah apa tujuannya, elit politik ini tiba-tiba membuat pusingan U yang memeranjatkan banyak orang. Sejak sekian lama beliau dan partinya bertungkus-lumus membina karisma supaya dikenal sebagai pejuang rakyat.

Politikus ini yang begitu diagung-agungkan dengan terbaharu diberi jawatan Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR kini mahu dilihat sebagai propengusaha. Sungguh berbeza sikap Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan ini, apatah lagi PKR yang selama ini tidak pernah gagal menggunakan rakyat sebagai benteng dan adakalanya topeng dalam gerakan politik mereka. Umum mengenal parti ini sebagai antikenaikan harga bahkan menjanjikan pendidikan dan tol percuma. Dalam isu penurunan harga minyak mentah dunia, PKR sendiri menguar-uarkan harga baharu petrol RON 95 sepatutnya pada kadar RM1.90 seliter.

PKR turut mengancam untuk menganjurkan demonstrasi besar-besaran jika kerajaan enggan menurunkan harga bahan api menjelang 1 Disember lalu. Demonstrasi itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan. Kerajaan akhirnya mengumumkan harga RM1.91 seliter bagi RON 95 mulai 1 Januari iaitu lebih tinggi berbanding yang diuar-uarkan oleh PKR. Pada mata rakyat, pakatan pembangkang dilihat lebih hebat membela rakyat daripada kerajaan BN kerana mencadangkan harga lebih rendah.

Setelah harga minyak diturunkan, PKR berkata sebaliknya. Mereka sifatkan langkah kerajaan menurunkan harga bahan api menerusi kaedah Mekanisme Penetapan Harga Automatik itu bakal menyebabkan pengusaha stesen minyak kerugian besar. Kata mereka, dengan harga sekarang, pengusaha mengalami kerugian sehingga RM15,000 sehari dan bakal gulung tikar selewat-lewatnya Mac ini. Dalam hujahnya, Rafizi menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai tergopoh-gapah. Mana satu yang mahu diikut? Jadi, apalah halnya jika dulu pakatan pembangkang berdegar-degar menjanjikan tol percuma. Tidakkah mereka terfikir nasib pemegang konsesi yang tentunya terikat dengan kontrak dan mempunyai ramai pekerja?

Inilah wajah politik kita yang mengkritik semata-mata untuk kepentingan politik bukan demi kemaslahatan negara dan rakyat. Mereka berleluasa menggunakan kepakaran, kebijaksanaan serta kebebasan bersuara untuk memburukkan pihak lawan dan seterusnya berharap bakal mendapatkan laba politik. Semuanya mahu dikaitkan dengan politik. Begitukah sekali buruknya politikus kita?

Memang buruk. Ketua Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dalam menjawab tuduhan ke atas organisasi yang baru disertainya itu berkata, kritikan terhadap 1MDB didorong politik dan tidak mempunyai asas. Dan pihak yang membuat kritikan berbentuk serangan itu sekali lagi ialah pakatan pembangkang. Rafizi yang mengaku mengenali Arul Kanda, 38, sejak zaman sekolah adalah antara orang di barisan hadapan dalam membuat pelbagai tuduhan terhadap firma pembangunan strategik negara itu.

Masalah

Arul Kanda yang berpengalaman luas dalam bidang pelaburan antarabangsa ketika temu bual dengan sebuah portal berita menyatakan, sebahagian besar tuduhan bukannya atas pertimbangan perniagaan tulen. Memang jika mengikut versi pakatan pembangkang, 1MDB yang memang sedang berdepan dengan masalah akan menyebabkan Malaysia bankrap. Gambaran yang diberikan begitu buruk dengan manipulasi fakta bahawa kerajaan menyalahgunakan dana awam dalam jumlah yang luar biasa besarnya.

Kini dengan kemasukan Arul Kanda, yang bermodalkan kredibiliti dan prestasi cemerlang, sekali gus dapat menjawab segala tuduhan dan serangan bertali arus terutama yang dilemparkan oleh politikus. Beliau pun setakat ini terlihat berani menghadapi pengkritik mahupun yang menyerang 1MDB. Strategi seperti ini nampaknya penting dalam memastikan apa sahaja fitnah dan tipu helah dapat dipatahkan tanpa bertangguh-tangguh lagi.

Begitu juga dalam isu penggantian Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Yang peliknya pembangkang begitu takut jawatan itu jatuh ke tangan orang UMNO/BN. Ada udang di sebalik batukah dan apakah mereka ada kepentingan tertentu dalam SKMM? Selain kritikan bertali arus, supremo DAP, Lim Kit Siang seperti memberi kata dua bahawa kerajaan akan menjerumuskan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal jika melantik orang UMNO mengetuai suruhanjaya itu. Kata Kit Siang, pelantikan boneka UMNO menjadi Pengerusi SKMM bukan sahaja akan diperkudakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri yang bertanggungjawab, tetapi juga akan diperkudakan Utusan Malaysia dan pihak berkepentingan dalam UMNO.

Salahkah jika orang yang pro-UMNO atau pernah mewakili UMNO dalam pilihan raya dilantik ke jawatan itu jika beliau berkelayakan? Jika ini menjadi ukuran pakatan pembangkang, lihatlah siapa yang mereka lantik dalam organisasi penting di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Dalam keadaan apa pun kritikan memainkan peranan penting untuk meningkatkan lagi prestasi bagi kepentingan yang lebih luas. Tetapi nilailah dulu kritikan itu terutama jika datangnya daripada parti pembangkang. Ada sahaja yang tersirat dengan tujuannya untuk mengelirukan umum.

Barangkali mereka sudah terbiasa bahawa budaya kerja pembangkang ialah mengkritik kerajaan. Maka tak kira baik dan buruknya, apa sahaja yang kerajaan lakukan akan dikritik dan diserang kerana mengikut pemahaman mereka itulah kerja parti pembangkang. Yang penting juga pihak kerajaan tidak memberikan 'peluru’ yang sukar ditangkis. Misalnya, tidak telus dan tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai anggota kerajaan. Tidaklah musuh begitu mudah boleh memanipulasi realiti menjadi fitnah sehingga diterima umum sebagai fakta.

Janganlah terikut-ikut rentak permainan parti pembangkang yang penuh muslihat dan sandiwara. Konon membela rakyat tetapi apabila harga bahan api benar-benar dapat diturunkan, kerajaan juga yang dipersalahkan kerana menekan pengusaha stesen minyak. Bagi mereka, kerajaan langsung tidak boleh diberi kredit. Mereka mahu rakyat percaya kerajaan sekarang tidak cekap, menyalah guna kuasa serta membiarkan penyelewengan dan rasuah berleluasa.

Mereka kritik dan serang apa yang kerajaan lakukan sekarang. Tetapi kemudian apabila diberi kuasa, mereka akan lakukan hal yang sama. Mereka mahu tol percuma tetapi luluskan pembinaan lebuh raya Kidex di Selangor. Mereka begitu benci projek mega tetapi luluskan projek lebuh raya bawah laut di Pulau Pinang.

- Zulkefli Hamzah Utusan Malaysia Rencana 11 Januari 2015

'Kemudahan' bank mudahkan warga asing tinggal lama

Kisah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan warga asing yang ada permit kerja tidak akan berkesudahan. Nampaknya ada sesetengah tindakan kita bagaikan hangat-hangat tahi ayam. Kita suka guna perkataan gempur tetapi hasilnya tidak seberapa. Biasanya kalau kita kata ‘gempur’, tindakan yang diambil mestilah menghapus secara besar-besaran. Namun apa yang kita lihat, di sebaliknya yang berlaku. Apabila berlaku sesuatu peristiwa nasional yang agak besar, begitu cepat pihak berkuasa kita beralih kepada isu tersebut dan buat-buat lupa terhadap isu PATI yang belum berkesudahan.

Sebab itu saya agak terkilan apabila membaca laporan khas tentang pendatang asing di Cameron Highlands, Pahang dilihat tidak gentar untuk terus beroperasi di tanah tinggi itu walaupun pihak berkuasa telah menjalankan serbuan besar-besaran sebelum ini. Apa yang kita baca di dalam laporan Utusan Malaysia baru-baru ini ialah pendedahan taktik baharu pencerobohan tanah oleh pendatang asing di Cameron Highlands menerusi penemuan ladang-ladang yang terselindung di lereng bukit.

Kisah lambakan warga asing yang bergerak bebas dan melakukan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan serta terlibat dalam kegiatan tidak bermoral sebenarnya belum ditangani dengan berkesan.

Kalau kerajaan tidak tunjukkan kesungguhan yang jitu dalam memerangi isu yang rakyat pun resah dan gelisah dibuatnya, jangan salahkan orang awam jika mereka menanam persepsi mungkin pihak berkuasa kita terlibat dalam melindungi PATI terbabit.

Selain persepsi itu, ada perkara yang kita sendiri biarkan ia berlaku di depan mata. Hal ini tidak pernah dibangkitkan oleh sesiapa. Sebab itu dalam ruangan ini beberapa minggu lalu saya katakan kita sendiri memudahkan PATI atau warga asing ‘berkeliaran’ di dalam negara ini dengan bebas. Akhirnya kita sendiri yang tidak dapat mengawalnya.

Sebab, semua pihak hanya memikirkan soal keuntungan dan perniagaan. Soal kegiatan atau urusan itu melibatkan keselamatan dan pengawalan terhadap kebanjiran warga asing kurang diberikan perhatian.

Sebagaimana biasa saya menerima e-mel daripada pembaca. J’mal, seorang juruaudit atau auditor di sebuah bank berkaitan kerajaan (bank GLC) berkata punca sebenar yang memudahkan kehidupan warga asing dan PATI di negara kita adalah kerana kemudahan melakukan transaksi perbankan.

Terlalu mudah untuk mereka membuka akaun simpanan dan menghantar wang ke negara asal. Barangkali untuk mem­buka akaun memerlukan syarat tertentu seperti seseorang yang memperkenalkan penyimpan kepada bank berkenaan, tetapi bagaimana pula dalam urusan kiriman wang ke luar negara yang begitu mudah diuruskan oleh pihak bank atau ejen kiriman wang termasuk oleh syarikat pengurup wang?

Kelalaian

Kelemahan sistem perbankan kata J’mal, berpunca daripada ke­la­laian dan sikap tidak apa pi­hak pengurusan dan pegawai bank. Mereka tidak bersungguh-sung­guh mengenal pasti status warga asing sama ada mempunyai permit kerja atau berstatus PATI ketika membuka akaun bank.

Warga asing dan PATI ini boleh hidup di Malaysia (mungkin sukar di negara lain) kerana sudahlah mereka dapat bekerja secara haram berterusan, malah tidak perlu risau tentang keselamatan wang mereka. Wang yang disimpan dalam akaun atau dikirim ke negara asal mereka sudah cukup menjamin ke­se­lamatan dan tempoh mereka tinggal di sini.

Yang peliknya, akaun simpanan mereka banyak dibuka dengan bank-bank GLC. Agak susah ba­gi warga asing dan PATI untuk mem­buka akaun simpanan dalam bank yang dimiliki oleh tauke Cina. Cu­ba anda fikir, mengapa?

Kebanyakan warga asing dari rantau Asia Selatan seperti India, Pakistan dan Bangladesh begitu ju­ga China amat mudah mempunyai akaun simpanan dalam bank GLC. Visa lawatan sosial yang dikeluarkan oleh Imigresan Malaysia tidak membenarkan mereka bekerja di negara ini, dan visa kerja pula hanya membenarkan bekerja dalam sektor tertentu. Tetapi transaksi perbankan yang mereka lakukan tidak mencerminkan tahap pekerjaan mereka.

Sebagai contoh, mana mungkin warga asing yang pegang visa (permit kerja) sektor perladangan boleh berada di kawasan perniagaan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur dan melakukan banyak transaksi harian yang bernilai puluhan ribu ringgit dalam tempoh berbulan-bulan lamanya.

Mana mungkin ‘pelajar asing’ dari Afrika dan Asia Barat yang diragui status mereka sebagai pelajar, boleh melakukan pemindahan wang ratusan ribu ringgit?

Tidakkah transaksi ini wujud unsur-unsur penyucian wang aktiviti haram (money laundering)?

Kemudahan perbankan seperti ATM, CDM dan perbankan Internet menyebabkan penyeliaan kawalan sistem perbankan di Malaysia diperlekehkan. Mereka menggunakan kemudahan-kemudahan ini sehinggakan bank tidak dapat mengesan aktiviti salah laku money laundering.

Kegiatan ini semua tidak berlaku sekiranya pihak bank mematuhi kawalan selia Bank Negara Malaysia (BNM). Pihak BNM sepatutnya membuat satu arahan kepada bank tempatan untuk mengehadkan tempoh akaun simpanan warga asing. Kalau untuk pelajar asing, akaun simpanan mereka patut ditutup oleh bank setelah tamat tempoh pengajian seperti tertera dalam surat pusat pembelajaran mereka.

Kebanyakan Awang Hitam Afrika datang sebagai pelajar dan dapat membuka akaun simpanan kerana atas permintaan pusat pembelajaran mereka. Masalahnya, pusat pembelajaran mereka ini bukannya kolej atau universiti tetapi hanya pusat pembelajaran yang menawarkan kursus jangka pendek seperti program/kursus Bahasa Inggeris, pelancongan dan masakan. Tetapi mereka berjaya menetap lama di negara kita kerana wang kegiatan haram mereka terjamin dalam simpanan bank sebelum wang itu dipindahkan ke negara luar.

Selagi ada kemudahan bank dan memudahkan warga asing menyimpan wang, selagi itulah mereka akan tinggal lebih lama dan melakukan kegiatan pelik-pelik yang membebankan rakyat tempatan.

- Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 11 Januari 2015

Kemelut dalam Harakah, kebebasan akhbar satu "utopia"

Saya sangat bersimpati dengan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang diminta meletakkan jawatan kerana masalah “kesihatan” oleh Lembaga Pengarah lidah rasmi Pas itu. Tetapi pada masa yang sama saya tidak terkejut perkara itu berlaku kepada akhbar termasuk Harakah.

Secara peribadi yang berlaku ke atas Ahmad Lutfi adalah suatu yang mengecewakan kerana beliau seorang penulis yang kritis, ada pemikiran dan lantang. Walaupun kami kerap berbeza prinsip dan pandangan tetapi kebolehan beliau tidak dinafikan.

Bagaimanapun yang berlaku ke atas beliau adalah bukti kuasa politik bebas mencampuri hal ehwal editorial.

Keadaan politik negara kita berbeza dengan beberapa negara lain seperti Britain atau Australia. Di sana bukan politik yang mengawal akhbar tetapi taikun akhbar yang mengawal orang politik.

Taikun seperti Rupert Murdoch misalnya berkuasa mengatur kemenangan parti tertentu. Dalam pilihan raya umum 1992 misalnya, akhbar Sun milik Murdoch secara terang-terang mengaku menyumbang kemenangan kepada Konservatif.

Tetapi situasi di negara kita berbeza, akhbar selalunya terpaksa mengalah kepada politik. Saya percaya Ahmad Lutfi juga menyedari hakikat ini.

Ini membuktikan bahawa gagasan sesetengah pihak memperjuangkan kebebasan akhbar mutlak tidak lebih sebagai modal politik. Kebebasan sebagaimana yang diperjuangkan itu tidak wujud, ia satu utopia.

Tetapi penyokong tegar sesebuah parti termakan rasukan bahawa akhbar langsung tidak ada kebebasan dan semuanya dikawal oleh parti. Saya harap apa yang berlaku ke atas editorial Harakah membawa mereka berpijak di bumi nyata.

Kawalan politik ke atas akhbar berlaku di mana-mana. Jangan terpengaruh kepada idealisme gerombolan yang turun ke jalan raya memperjuangkan kebebasan akhbar cara mereka, itu kerja sia-sia. Mereka tidak tahu apa-apa tentang kebebasan akhbar.

Kontroversi Harakah kini menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong dan ahli Pas. Mereka macam tidak percaya Pas bertindak sedemikian. Maka ada yang bangkit menyuarakan bantahan. Saya tidak berminat untuk mengulas politiking dalam Pas dan Harakah.

Saya membangkit isu ini sebagai satu kajian kes yang membuktikan kawalan politik ke atas editorial suatu perkara biasa. Pemimpin editorial bukan sahaja perlu “menjaga” parti tetapi juga golongan tertentu yang dominan dalam parti.

Daripada beberapa sumber, kontroversi “ubah” Ketua Pengarang itu tercetus akibat beberapa tulisan kolumnis yang juga penyair dan aktivis budaya, Che Shamsudin Othman (Dinsman) yang mengkritik golongan ulama dalam Pas. Ironinya kerajaan BN memberikan kebebasan kepada Harakah tetapi Pas pula mencengkam akhbarnya sendiri.

Sebelum Ahmad Lutfi, dua pengarang kanan Harakah telah ditamatkan perkhidmatan. Yang Dipertua Pas kawasan Batu, Ishak Surin membantah pemecatan “terhormat” Ahmad Lutfi serta dua pengarang kanan, dan menyifatkan tindakan itu tidak mencerminkan sikap sebuah parti Islam. Beliau mungkin terlupa bahawa Pas sebuah parti politik.

Saya percaya pemimpin politik pun tidak mahu kebebasan akhbar. Yang dilaungkan itu hanya drama sahaja. Akhbar digunakan untuk memperlahankan musuh dalam dan luar parti. Tetapi perkara ini tidak banyak diketahui oleh penyokong.

Saya selalu ditanya oleh rakan-rakan yang totok Pas tentang kebebasan akhbar. Tetapi jawapan saya tidak menggembirakan kerana menganggap mereka telah tersihir oleh kepetahan orang berjaja di pasar politik. Di situlah munculnya dakwaan sesetengah akhbar dikawal oleh parti tertentu. Ada yang betul dan juga tidak dalam soal ini.

Kebebasan

Rasanya lebih elok kalau penyokong Pas atau PKR bertanya kepada ketua mereka Anwar Ibrahim tentang kebebasan akhbar. Beliau lebih mahir terutama ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu. Tanya juga bagaimana cara dia mengawal editorial akhbar dan media elektronik untuk menonjolkan diri dan memperlahankan dan sekali gus “membunuh” musuh politiknya dalam UMNO.

Tetapi bagi saya yang dilakukan Anwar bukanlah salah atau luar biasa. Ini perkara biasa. Malah dihalalkan dalam etika berpolitik negara ini. Maka dalam konteks isu kontroversi Harakah, ia memperjelaskan kepada kita bahawa kawalan politiklah yang membunuh gagasan kebebasan akhbar. Ini bukan sahaja berlaku di Harakah malah di akhbar-akhbar lain yang dinaungi parti. Di bawah naungan taikun pun tidak ada kebebasan juga kerana taikun ada agenda.

Saya ingin mengatakan bahawa yang melanda Harakah tidak sepatutnya menjadi isu. Saya percaya Ahmad Lutfi pun sedar hakikat Pas ialah sebuah parti politik. Maka sifatnya sama dengan parti politik lain yang memastikan kelangsungan parti dan orang politiknya.

Penyokong-penyokong Pas tidak boleh terlalu ideal melihat Harakah bebas daripada campur tangan politik, tidak kira sama ada politik dalam atau luar Pas. Ini kerana musuh orang politik datang dari dua sudut, dalam dan luar parti.

Tengoklah, walaupun Harakah tidak menyokong UMNO, Ketua Pengarangnya dinasihatkan meletakkan jawatan. Sebabnya mungkin beliau kurang disenangi dengan golongan tertentu dalam Pas sendiri.

Ini dapat dilihat apabila ada pemilihan parti wujud puak-puak tertentu. Walaupun parti yang sama tetapi jangan terkejut kalau kumpulan yang menguasai akhbar menggunakannya untuk “membunuh” musuh sesama parti. Saya ingin menyarankan kepada ahli-ahli parti politik atau penyokong supaya melihat parti dari pelbagai saluran maklumat. Penyokong Pas tidak boleh bergantung kepada Harakah sahaja untuk melihat dan menilai Pas dan pemimpin-pemimpinnya. Mereka perlu melihat dari sudut pandangan “cermin belakang” iaitu akhbar yang tidak dikuasai oleh Pas.

Sudah tentu yang kurang baik tentang pemimpin Pas tidak ada dalam Harakah dan mungkin ada dalam akhbar lain walaupun secara prinsipnya mereka sangat menyampah. Kenalah membezakan rasa menyampah dengan fakta yang tidak ada dalam Harakah.

Begitu juga penyokong parti-parti lain, mereka boleh sahaja mengutip kritikan dalam Harakah untuk melihat kepincangan parti dan pemimpin-pemimpinnya. Itupun kalau mereka sanggup menerima kenyataan yang pahit.

- Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana Anekdot Ahad 11 Januari 2015

Tindak-tanduk kartunis Barat

Drama serangan ke atas pejabat akhbar satira Charlie Hebdo di Paris, Rabu lalu berakhir kelmarin (9 Januari 2015) apabila polis Perancis menembak mati dua beradik yang disyaki menembak mati 12 orang; masing-masing dua anggota polis dan 10 wartawan dan kartunis akhbar mingguan itu.

Ketua Pengarang akhbar mingguan itu, Stephane Charbonnier (juga dikenali sebagai Charb) serta kartunis Cabu, Tignous dan Wolinski adalah antara 10 kartunis yang terbunuh dalam serangan itu. Tetapi, kenapa golongan kartunis pula yang menjadi sasaran?

Pasti ada sebab dan akibat yang dilakukan oleh Charlie Hebdo atau dalam bahasa Inggeris dikenali Charlie Weekly.

The Washington Post dalam laporannya menyebut beberapa kes terdahulu pernah mencetuskan kemarahan umat Islam antarabangsa terhadap kartunis.

Hakikatnya ada tindakan segelintir kartunis yang dianggap biadap dan menghina Islam melalui lakaran atau karikatur yang memaparkan wajah yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Contohnya kontroversi membabitkan gambaran grafik wajah Nabi Muhammad yang dihasilkan oleh kartunis Belanda, Kust Westergaard pada tahun 2008, dan kemudian diikuti oleh artis Lars Vilks yang diterbitkan akhbar Nerikes Allehanda di Sweden.

Pada tahun 2005, akhbar Belanda, Jylland Posten pernah menyiarkan 12 karikatur Nabi Muhammad termasuk satu hasil lakaran Westergaard yang menunjukkan Nabi Muhammad guna bom sebagai serban. Pada tahun 2007, akhbar Charlie Hebdo menerbitkan semula karikatur tersebut dan ditambah dengan koleksi lukisan mereka sendiri.

Artis Sweden, Vilks turut timbulkan kontroversi apabila melukis gambar Nabi Muhammad sebagai satu ukiran jalanan dan diberi tajuk A Roundabout Dog pada tahun 2007. Pada tahun 2010, pencipta kartun terkenal Amerika Syarikat, South Park telah menerima ugutan apabila dia beberapa kali memaparkan kartun Nabi Muhammad. Paling berani, kartunis Amerika, Molly Norris yang mengisytiharkan 20 Mei setiap tahun sebagai ‘Hari Melukis Muhammad’.

Berdasarkan rekod perbuatan akhbar dan kartunis Barat, terutama Eropah maka nama akhbar Charlie Hebdo turut tidak asing dalam isu penghinaan terhadap Islam. Akhbar mingguan itu sering mempermain-mainkan sentimen dan ideologi agama, resipi yang sudah cukup untuk menjadikan akhbar itu sebagai fokus ketidakpuasan hati banyak pihak. Apa yang berlaku kini berkisar daripada apa yang telah dipaparkan di dada penerbitan mereka. Kebiadaban dan provokasi mereka akhirnya memakan diri sendiri.

Pada 2011, mereka menerbitkan beberapa karikatur menghina Nabi Muhammad dan menukar nama akhbar kepada ‘Charia Hebdo’ yang bertujuan mengejek perkataan ‘syariah’. Setahun kemudian (2012), pejabat Charlie Hebdo dibom dan laman sesawangnya digodam. Namun tiada nyawa yang terkorban dalam serangan tersebut. Dalang di sebalik kejadian berkenaan masih bebas dan kerajaan Perancis beranggapan ia dilakukan pihak militan.

Dendam

Namun, selepas tragedi itu, akhbar berkenaan sebaliknya memperhebatkan lagi penghasilan kartun yang memaparkan Nabi Muhammad. Karikatur tentang Nabi Muhammad yang dimuat di dalam Charlie Hebdo membangkitkan lagi perasaan dendam.

Dalam Twitter terbaru mingguan Charlie Hebdo disiarkan kartun mempersendakan Abu Bakr al-Baghdadi, pemimpin kumpulan yang menamakan diri sebagai Negara Islam atau ISIS. Rasa sakit hati itu akhirnya terkumpul dan meletuskan kemarahan hingga berlaku pembunuhan ke atas 12 sidang pengarang akhbar itu pada 7 Januari lalu.

Insiden serangan di pejabat Charlie Hebdo membuka mata banyak pihak tentang kebebasan media. Masyarakat antarabangsa mengutuk tindakan keganasan itu. Persoalannya, bagaimana dengan amalan budaya Barat yang meletakkan nilai terendah dalam menghasilkan karya kartun atau karikatur. Di mana etika sosial yang dikatakan bertamadun itu?

Kebebasan media bukan tiket untuk menghina orang lain dan pegangan mereka. Golongan kartunis juga perlu menggunakan budi bicara sewajarnya dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat untuk mengelak terjadinya perkara yang tidak diingini.

Sidang pengarang Charlie Hebdo mungkin sudah jauh terkeliru. Mereka telah melanggar nilai-nilai moral berkarya. Mereka sudah hilang rasa hormat serta tidak lagi mempunyai rasa peka atas nama agama. Mungkin akar umbi seni karikatur pun mereka tidak faham.

Bukankah karikatur ialah seni rupa yang dilukis dengan tujuan untuk mengkritik atau menyindir dengan melakar wajah seseorang yang berkaitan dengan topik. Keunikan karikatur dibuat dengan melakar kelucuan pada wajah seseorang supaya mendapat perhatian pembaca.

Dalam konteks ini adakah pelukis karikatur atau kartunis Barat pernah melihat wajah Nabi Muhammad? Sudah pasti tidak. Apa yang mereka lakukan hanyalah bermain dengan imaginasi. Apa yang dilakukan oleh akhbar Barat sebenarnya melakukan pembohongan dalam seni karikatur.

Seni karikatur tersebut tidak memberikan apa-apa makna, sebaliknya elok dibuang sahaja, tanpa perlu dilawan dengan kekerasan. Walau apa pun bentuk provokasi yang dilemparkan, umat Islam tidak seharusnya menggunakan kekerasan bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

Tindakan menyerbu dan menembak mati kartunis dan wartawan di Paris Rabu lalu hanya akan meningkatkan lagi sentimen anti-Islam oleh masyarakat dunia kepada umat Islam yang dahagakan keamanan.

Kebebasan akhbar di Barat berbeza dengan trend di negara kita, walaupun banyak suara mahukan kebebasan akhbar. Kebebasan akhbar di Malaysia masih mengikut kod etika kewartawanan Malaysia yang mempunyai peraturan tertentu.

Walaupun ada pihak yang rasa tersinggung dengan laporan akhbar tetapi media Malaysia berpendirian terbuka apabila dikritik. Masyarakat kita memahami hal ini, hingga tidak berlaku pun serangan fizikal seperti di Paris kerana tolak ansur media Malaysia masih tinggi.

- Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 11 Januari 2015

Analisis Mingguan ~ Bisik-Bisik Awang Selamat

Lagi provokasi, penghinaan

Adalah tidak masuk akal bagi mana-mana individu dan pihak mendakwa atau mengaitkan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dengan penyebaran fahaman ekstrem. Apatah lagi menuduh fahaman itu disebarkan pada setiap hari Jumaat yang boleh ditafsir sebagai khutbah ketika solat Jumaat. Inilah pertama kali dalam sejarah ada dakwaan sedemikian terhadap Jakim. Awang hairan bagaimana peguam hak asasi, Eric Paulsen boleh membuat kenyataan fitnah dan berbau hasutan itu menerusi Twitter. Jika khutbah Jumaat yang dimaksudkan, beliau sudah melampau dan salah. Buatlah kajian, khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jakim selama ini sentiasa menyeru umat Islam kepada kesederhanaan, perpaduan, saling menghormati sesama agama dan kaum serta nilai-nilai murni sejagat biarpun kerap menyentuh soal menjaga kesucian Islam dan akidah. Malah bagi beberapa sarjana Islam tempatan, khutbah Jakim dilihat agak 'lembut' dan adakalanya tidak reflektif kepada tekanan yang dihadapi oleh umat Islam. Lalu Awang tertanya-tanya apa motif Paulsen dan siapa di belakangnya? Apakah beliau mahu menguji sejauh mana reaksi umat Islam dengan provokasi berbahaya seperti itu? Maka tiada sebab untuk Paulsen menggesa kerajaan menangani Jakim berhubung dakwaannya itu. Jakim bukan organisasi militan seperti Boko Haram di Nigeria, yang mengganas lagi semalam. Sebaliknya yang sepatutnya ditangani segera ialah diri beliau. Kalau di Singapura, tidak perlu tunggu esok hari, pihak berkuasa sepantas unit tindakan khas bergegas mencari individu seperti  itu sebaik-baik sahaja kenyataan hasutan terdedah kepada umum. Pada Awang, kenyataannya itu sendiri sudah ekstrem atau melampau yang datang daripada pemikiran ekstremisme. Ini satu lagi penghinaan ke atas Islam di negara ini, yang tidak boleh diterima sama sekali. Bagi mengelakkan sebarang kemudaratan, sememangnya beliau perlu disiasat oleh polis di samping tampil memohon maaf secara terbuka. Awang berharap Paulsen tidak terlepas dan mesti mengambil tanggungjawab terhadap kenyataannya itu. Beliau seharusnya faham tentang sensiviti agama dan mengambil pengajaran dalam banyak insiden termasuk yang terbaharu di Paris. Awang berpegang kepada keyakinan semua bentuk keganasan perlu dikutuk dan ekstremisme pula ditolak. Namun provokasi yang keterlaluan terutama menghina agama boleh mengundang tindak balas yang akhirnya boleh juga bertukar menjadi keganasan. Tolong jangan undang dan percikkan keganasan di negara yang aman dan harmoni ini.

Jiwa Tunku Azizah

Bencana banjir yang melanda Pantai Timur menyaksikan keprihatinan rakyat Malaysia terutama gerakan sukarelawan dalam membantu mangsa-mangsa banjir. Kini, kawasan-kawasan yangpernah ditenggelami air dan pusat-pusat penempatan mangsa banjir terutama di Kelantan dan Pahang dibanjiri pula dengan rombongan sukarelawan daripada pelbagai pihak. Awang tersentuh dan bersyukur. Ia mencetuskan harapan baharu ke arah membudayakan kesukarelaan atau gotong-royong dalam kalangan masyarakat negara ini. Salah seorang yang Awang tabik kerana jiwa kesukarelaannya ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah. Penglibatannya konsisten sejak dulu lagi dan sudah sinonim termasuk dengan kerja-kerja memasak dan mencuci. Tidak kira musim banjir mahupun masa-masa lain. Di Pahang, nama Tunku Azizah selalu menjadi sebutan penduduk negeri. Penampilannya sederhana, merendah diri dan mudah mesra dengan orang kampung. Agaknya kerana sudah biasa melakukan kerja-kerja kesukarelaan bersama rakyat, Tunku Azizah tidak kelihatan kekok membantu mangsamangsa banjir di Pahang. Ini termasuk ketika memasak dan menyediakan makanan di pusat pemindahan Paloh Hinai, Pekan, baru-baru ini. Banyak mangsa banjir dan petugas di situ terharu dengan pembawaan baginda sambil teruja menikmati air tangan masakannya. Walaupun berstatus Tengku Puan Pahang dan memang berasal daripada keluarga diraja, baginda begitu ringan tulang seolah-olah tiada istilah mencemar duli dalam jiwanya. Semoga baginda menjadi inspirasi buat kita semua – untuk menjadi insan yang lebih prihatin.

Contohi Indonesia

Tiada apa yang menggemparkan dengan tindakan pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini yang meletupkan sebuah bot nelayan Malaysia yang didakwa menceroboh perairan negara itu di Selat Melaka pada Disember lalu. Bot itu diletupkan sebagai sebahagian daripada proses menenggelamkannya, yang insiden itu mendapat liputan meluas media di Indonesia. Awang melihat ia sebagai hal biasa. Di Malaysia, terdapat juga bot nelayan asing yang selepas didapati bersalah oleh mahkamah kerana menceroboh, dimusnahkan atau ditenggelamkan, cuma dilakukan tanpa heboh. Ia lebih kepada soal pematuhan terhadap perundangan di bawah negara masing-masing. Maka tiada sebab untuk memberikan reaksi berlebihan yang boleh mencetuskan sentimen ketegangan. Isu-isu melibatkan Malaysia-Indonesia selalunya cepat menjadi panas, lebih-lebih lagi ada pihak yang suka menangguk di air keruh dan mahu melihat hubungan dua negara serumpun itu tegang serta bergolak. Pun di sebalik insiden itu, ada hikmah yang perlu kita renungkan. Belajarlah daripada Indonesia dalam memperlihatkan ketegasan terutama dalam soal kedaulatan. Tiada kompromi walaupun menyentuh sensitiviti negara jiran. Lain pula cerita di negara kita. Selama ini, bumi Malaysia menjadi sasaran jutaan warga asing termasuk dari Indonesia dengan pelbagai salah laku antaranya kemasukan tanpa izin,  pencerobohan nelayan dan jenayah. Penguatkuasaan lemah dan bermusim selain adakalanya kendur kerana mengambil kira bantahan negara jiran. Awang harap pihak berkuasa kita buka mata, kedaulatan Malaysia tidak lagi boleh diambil mudah oleh warga asing. Tirulah Indonesia yang bersungguh-sungguh utamakan kedaulatan. Kenapa tidak kita, ini negara kita dan kedaulatan kita.

Alwi, balak dan suruhanjaya

Ketika berada di Kelantan barubaru ini, Awang terserempak dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Md. Alwi Che Ahmad. Beliau yang sibuk dengan kerja-kerja membantu mangsa banjir sempat bercerita tentang tunggul balak yang terdampar di depan balai polis simpang pekan Lakloh,Kuala Krai ketika musibah banjir, baru-baru ini. Tunggul balak itu adalah antara banyak batang balak yang dibawa arus banjir, dipercayai akibat hakisan di kawasan pembalakan dan penerokaan tanah secara berleluasa di Kelantan. Selepas keadaan banjir pulih, pada 2 Januari lalu, Alwi membawa tunggul balak besar seberat empat ton itu dengan menggunakan kenderaan pengangkut ke kawasan rumahnya. "Saya sedang memikirkan kemungkinan untuk menjadikannya seumpama tugu peringatan banjir 26.12.14,'' kata Alwi bersahaja tetapi jelas kesungguhannya mahu musibah tersebut dijadikan pengajaran oleh semua pihak. Beliau turut membangkitkan soal lumpur dan selut tebal kesan banjir, yang menghantui fikiran penduduk Kelantan terutama mangsa banjir. Bukan di Kelantan sahaja, di Pahang, itu juga keadaannya. Kerja-kerja membersihkan rumah, masjid, sekolah dan premis lain berdepan dengan cabaran lumpur. Inilah akibat kita enggan bersahabat dengan alam apatah lagi mengkhianatinya dengan jenayah seperti penggondolan hutan dan penerokaan kawasan bukit secara keterlaluan. Awang sudah bosan dengan retorik demi retorik. Hakikatnya kerakusan terus menjadi-jadi disebabkan kegagalan penguatkuasaan dan kelemahan kerajaan negeri serta banyak faktor lain. Kalau di negara-negara Barat, pihak yang memberikan kelulusan dan pihak yang gagal menjalankan penguatkuasaan terhadap pengurusan alam yang membawa mudarat, dihadapkan ke mahkamah dengan cepat. Di Malaysia, golongan ini nampaknya bernasib baik. Mereka terlepas dan bebas. Sudahlah begitu, tiada pula suruhanjaya siasatan diraja. Inilah putaran ganas yang menjadikan isu pokok berkaitan alam sekitar tidak dapat diselesaikan malah berulang makin buruk. Peringatan kayu balak yang banyak hanyut dan limpahan lumpur nampaknya tidak cukup untuk diambil iktibar yang serius. Sampai bilakah begini...

- Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 11 Januari 2015