January 12th, 2015

Siapa sebenarnya rasis atau ekstremis?

Orang Melayu dan umat Islam sedang diadu-domba menerusi strategi rencam, terselaras dan sistematik yang digerakkan oleh pelbagai pihak beragenda jahat terhadap Malaysia. Gerakan ini dilaksanakan menerusi tohmahan kononnya beberapa organisasi pribumi, Melayu dan Islam di Malaysia adalah ekstremis dan rasis.


Ibrahim Ali Katak

Di peringkat awal, usaha ini hanya dilakukan oleh sekumpulan parti alternatif tertentu dan pelbagai portal berita propembangkang.

Mulai akhir tahun 2014, gerakan ini turut didukung oleh sekumpulan 25 eminent persons Melayu dan Islam yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Mereka menyerang Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana kononnya mereka berpendirian liberal. Namun sebenarnya mereka jahil bahawa Perkasa mempertahankan kesucian Islam, keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, dan kesejahteraan sosio-ekonomi pribumi selaku bangsa teras di Malaysia.

Lebih jelas lagi, mereka jahil mengenai matlamat perjuangan Perkasa yang mempertahankan hak-hak pribumi dalam Perlembagaan Persekutuan dan menghormati hak-hak komuniti lain dalam perlembagaan yang sama.

Sebagai Presiden Perkasa sejak 2008, saya kemukakan soalan-soalan berikut. Siapakah yang mendalangi gerakan di atas? Tidakkah disedari bahawa gerakan ini menjejaskan perpaduan, kesejahteraan, keselamatan dan survival Malaysia yang majmuk?

Kenapakah kumpulan eminent persons hanya menghentam organisasi Melayu? Adakah dalang kepada gerakan di atas adalah organisasi anti-Islam, pertubuhan anti-Melayu, pendukung liberalisme universal, kapitalis domestik yang cuba mewujudkan imperialisme ekonomi terhadap pribumi Malaysia, atau kuasa-kuasa asing yang mahu menegakkan neoimperialisme politik di Asia Tenggara di abad ke-21?

Soalan-soalan ini saya timbulkan kerana istilah-istilah seperti di atas pernah digunakan oleh orientalis Barat untuk memecah-belahkan kumpulan nasionalis Nusantara yang memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya daripada penjajah Eropah di Asia Tenggara.

Mula 1990-an, istilah-istilah demokrasi liberal, hak-hak asasi manusia sejagat dan kesamarataan total pula digunakan oleh pihak Barat untuk mengharu-birukan beberapa negara membangun, termasuk di Asia Tenggara.

Tetapi, waima siapa dalangnya, strategi rencam di atas memang sedang disasarkan kepada Malaysia – keluhuran Perlembagaan Persekutuan dicabar, kesucian Islam dipersendakan, kedaulatan Raja-Raja Melayu diperlekehkan, hak ekonomi pribumi dipertikaikan, dan amalan politik perkongsian kuasa pimpinan Barisan Nasional (BN) cuba diharu-birukan.

Buktinya, wujudnya media yang tergamak mengiklankan hidangan babi panggang yang dikaitkan dengan amalan berbuka puasa di bulan Ramadan? Wujudnya eminent persons yang menyifatkan kuasa negeri untuk mengurus dan menegakkan undang-undang Islam sebagai mencanggahi Perlembagaan Persekutuan? Terdapat segelintir parti politik alternatif, menyokong kalimah “Allah” digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu. Adanya percubaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 setelah mereka berjaya mempengaruhi BN untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA?

Tetapi, walaupun fenomena di atas membahayakan Malaysia, pihak-pihak yang menggerakkannya pula menyifatkannya sebagai kelaziman akibat evolusi sosio-budaya, politik dan ekonomi.

Mereka beranggapan begitu supaya pemerintah Malaysia menitikberatkan kesamarataan, keadilan dan kesaksamaan mengikut piawaian universal, bukan berasaskan kemajmukan Malaysia yang dicipta oleh penjajah Inggeris.

Oleh itu mereka melaksanakan perang saraf dan strategi reversed psychology seperti mentohmah Perkasa sebagai ekstremis dan rasis. Tuntutan, tindakan dan kenyataan mereka yang mencanggahi status quo Perlembagaan Persekutuan pula digembar-gemburkan sebagai menepati prinsip hak-hak asasi manusia sejagat dan keadilan universal.

Fenomena di atas berbahaya kepada Malaysia. Ia berpotensi mencetuskan pertelingkahan kaum, konflik agama, keresahan budaya, pemberontakan ekonomi dan kekacauan politik; dan memudahkan campur tangan dalam politik dan lain-lain urusan domestik Malaysia.

Kelompok eminent persons serta puak liberal dan moderate inilah kelompok ekstremis dan rasis yang sebenar. Mereka bertopengkan pendirian sedemikian untuk menyembunyikan agenda ekstremis dan rasisnya daripada terdedah dan dikutuk oleh majoriti rakyat Malaysia.

Mereka tidak insaf bahawa gerakan mereka boleh menyebabkan BN hilang kuasa akibat kemerosotan sokongan bukan pribumi.

Kumpulan ini juga tidak sedar jika BN hilang kuasa, mudahlah kuasa-kuasa luar mencapai matlamat grand strategy mereka terhadap China, menerusi kekuasaan serta campur tangan dalam urusan domestik negara-negara strategik di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Dengan ini, Perkasa akan terus memerangi kemunculan fenomena-fenomena di atas, biarpun ia turut didukung oleh kumpulan `eminent persons’. Perkasa tidak gentar. Hari ini Perkasa mempunyai ratusan ribu anggota berdaftar yang memiliki kad keahlian yang sah.

Ini bukti perjuangan Perkasa positif dan mempertahankan kepentingan rakyat dan negara. Oleh itu, Perkasa dianggotai golongan cerdik pandai, termasuk berkelulusan PhD, dan pernah menjadi eminent persons dalam kerajaan Malaysia, baik dalam jurusan pengurusan undang-undang, kepolisan dan ketenteraan.

Perkasa juga dianggotai kumpulan profesional pelbagai bidang dan didukung oleh generasi muda, termasuk berpendidikan di universiti terkenal di seberang laut.

Kini Perkasa merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berorganisasi dengan struktur terselaras, dan tidak rasis seperti klu-klax-klan di Amerika Syarikat (AS). Perkasa sentiasa berhemah dan tidak pernah terlibat dengan demonstrasi jalanan seperti perhimpunan BERSIH yang menendang terajang anggota polis, mencederakan pasukan Polis, dan memusnahkan aset polis.

Perkasa memperjuangkan perpaduan rakyat dan keselamatan negara. Perkasa menjadi tulang belakang penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera dan Konvensyen Perpaduan Nasional yang turut didukung oleh lain-lain NGO pribumi dan Islam Malaysia.

Perkasa bukan rasis. Sebaliknya pihak-pihak yang memusuhi pertubuhan inilah yang ekstremis dan rasis sebenar di Malaysia.

Ibrahim Ali yang merupakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan ialah Presiden Perkasa Malaysia.

Antara pijat dan kelambu

SEMASA saya di sekolah dahulu, kami diperkenalkan dengan pelbagai peribahasa dan perumpamaan. Semua ada kaitan dengan kehidupan manusia, hubungan kita sesama sendiri, perangai dan tingkah laku manusia serta masyarakat dan dunia amnya.

Banyak yang begitu ringkas, tetapi penuh dengan pengertian dan makna, sungguhpun dalam konteks masa kini ada yang perlu diubahsuai untuk pengertian yang lebih jelas dan tepat.

Jika dihayati makna di sebalik setiap perumpamaan dan peribahasa itu, ia mampu memberi kita panduan dalam tindakan dan kehidupan, di samping memberi kesedaran tentang apa yang baik. Satu daripadanya ialah `jangan dibakar kelambu, kerana pijat seekor’.

Ia memberi erti bahawa jangan dimusnahkan segala yang melindungi kita dan yang baik untuk kita, semata-mata kerana ada masalah atau perkara yang tidak menyukai hati kita. Kelambu melindungi kita daripada nyamuk dan lain-lain serangga yang membawa penyakit. Dan memberi kita perlindungan dan kebaikan.

Pijat pasti ada, jika tilam dan bantal tidak bersih, atau tidak didedahkan secara berkala kepada panas matahari. Atau tidak dilakukan usaha mencari dan membasmi pijat-pijat tersebut.

Dalam konteks zaman sekarang, kita melihat bagaimana begitu cepat dan senang apa jua kebaikan telah dilakukan, begitu mudah dilupakan semata-mata ada masalah-masalah yang tidak menyenangkan kita. Atau pun yang sememangnya tidak betul. Contohnya dalam konteks kerajaan dan rakyat.

Tidak boleh dinafikan bahawa ada perkara-perkara yang berlaku yang tidak betul dan tidak menyenangkan rakyat. Penyelewengan terus diperkatakan. Dan rasuah masih terdapat dengan kes-kes pelbagai bentuk di ketengahkan untuk pendakwaan.

Ada juga kes-kes yang masih tertangguh dan ditunggu hasil siasatannya. Ada pula kekurangan-kekurangan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam yang menyebabkan kelewatan, kos-kos yang tidak sewajarnya dan juga kerugian pada pihak-pihak tertentu.

Dengan situasi-situasi begini, ada pihak-pihak yang mengutarakan slogan dan kempen menukar kerajaan iaitu membakar kelambu kerana terdapat pijat-pijat yang mengganggu. Dalam suasana politik dan ekonomi dunia yang begitu tidak menentu, serta kesan-kesan proses globalisasi, kestabilan politik dalam mana-mana negara jua, adalah sangat penting.

Menukar kerajaan tidak secara automatik menghilang atau meniadakan, apa jua perkara-perkara negatif yang merupakan masalah. Yang penting ialah dikesan di mana dan bagaimana punca setiap isu tersebut. Dan bagaimana ia bermanifestasi.

Biasanya setiap isu berpunca daripada sikap manusia, kesilapan, kelemahan, kurang memikir, tamak dan gelojoh dan tidak berpandu kepada prinsip integriti dan amanah serta bertanggungjawab. Kadangkala pegar pula memakan padi dan ada masanya tersalah letak musang untuk menjaga reban ayam.

Tetapi wajar diusahakan proses memperbetulkan, memperbaiki dan membersih. Pijat-pijat wajar dicari cara berterusan dan dibasmi. Jangan dibiarkan beranak-pinak dan bermaharajalela. Tilam, bantal, selimut dan kelambu juga perlu sentiasa dibersihkan supaya tidak lagi mendorong pijat untuk muncul. Dengan itu kelambu akan tetap berfungsi dengan efisien melindungi kita. Tidak perlu dibakar kelambu semata-mata kerana pijat mengganggu.

Begitu jugalah dengan kerajaan. Tidak perlu ditukar ganti kerajaan yang telah sekian lama menaungi negara dan rakyat dengan sebaik mungkin. Jauh lebih banyak yang positif daripada negatif yang telah dirasai oleh rakyat.

Kerajaan telah mampu menjadi kelambu yang berkesan dan melindungi rakyat dengan baik. Namun akan ada pijat-pijat yang tidak menyenangkan. Usaha sewajarnya fokus kepada membasmi pijat-pijat tersebut.

Orang tua-tua juga menyebut tentang `hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’. Saya yakin ini diperkatakan dalam zaman di mana negara ini sangat jauh ketinggalan dan dibelenggu oleh pelbagai bentuk penjajahan, sama ada politik ataupun ekonomi.

Sekarang keadaan telah berubah. Kita sudah jauh maju ke hadapan. Kita wajar bersyukur dan menghayati hakikat bahawa negara dan rakyat berada di saf hadapan di antara negara-negara di dunia.

Yang pentingnya ialah kita jangan hanya nampak kuman di seberang laut dan tidak melihat gajah di depan mata. Dan kita wajar juga menjaga supaya kelambu yang telah berjasa dalam melindungi kita sekian lama dijaga dengan baik, sambil bersama-sama membasmi pijat yang merupakan masalah kepada kita.

Jangan kita bersikap sudah terhantuk baru tengadah, dan jangan dibiarkan nasi menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Tan Sri Rafidah Aziz pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio. - Utusan Malaysia Rencana 12 Jan 2015

Bapa Perpaduan Sarawak

Di sebalik tubuhnya yang kecil, mungkin tidak ramai mengetahui Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub berkemahiran tinggi dalam pelbagai seni mempertahankan diri, termasuk Aikido dari Jepun.

Kecenderungan terhadap seni mempertahankan diri itu turut membawa kepada pertemuannya dengan pengasas Aikido, Morihei Ueshiba.

Malah, seni mempertahankan diri itu juga membentuk keperibadiannya, selain menjadikan beliau seorang yang berjiwa kental dan cekal dalam menghadapi jatuh bangun dalam arena politik sehingga muncul sebagai tokoh disegani.


Tun Abdul Rahman Ya'kub(3 Januari 1928 hingga 9 Januari 2015) - Foto BERNAMA

Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-4 menghembuskan nafas akhirnya di Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya pada jam 9.30 malam kelmarin kerana sakit tua, genap seminggu selepas meraikan ulang tahunnya ke-87 pada 3 Januari lalu.

Sumbangan besar kepada negeri dan negara

Pemergian Allahyarham, yang memegang jawatan itu dari 2 April 1981 hingga 2 April 1985, bukan saja dirasakan oleh anggota keluarganya, bahkan segenap lapisan rakyat berikutan sumbangan besarnya kepada negeri dan negara.

Ketika dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-3 dari 7 Julai 1970 hingga 2 Mac 1981, tokoh kelahiran Kampung Jepak, Bintulu ini banyak menyumbang kepada perubahan landskap negeri, terutama dalam konteks pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi rakyat.

Era kepemimpinan beliau juga disifatkan paling mencabar berikutan 'usia kemerdekaan' Bumi Kenyalang yang masih muda ketika itu, selain turut dibelenggu isu kemiskinan, masalah konfrontasi dan ancaman komunis.

Dilahirkan pada 3 Januari 1928, Allahyarham adalah tokoh yang memiliki episod hidup yang menarik dan warna-warni sejak kecil sehingga menjadikan beliau pemimpin politik berjiwa kental.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Anchi, Miri. Ayah Allahyarham mahukannya menjadi tokoh agama dan belajar di Madrasah Arab Al-Juned pada tahun 1939, tetapi dibangkang oleh ibunya yang tidak dapat berjauhan dengannya. Beliau kemudian ditukarkan ke Sekolah St Joseph, Miri, tetapi pembelajarannya terbantut berikutan meletusnya Perang Dunia Kedua.

Abdul Rahman pernah bekerja sebagai penguji minyak untuk Syarikat Shell Sarawak dan menjadi guru sandaran di Kuching sebelum diterima sebagai Pegawai Hal Ehwal Bumiputera dalam Perkhidmatan Awam Sarawak pada tahun 1948.


Abdul Rahman rapat dengan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Southampton, England dalam jurusan undang-undang sebelum muncul sebagai Bumiputera pertama Sarawak yang lulus sebagai peguam daripada Lincoln's Inn pada tahun 1958. Sekembalinya ke tanah air, Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Undang-Undang Sarawak dari tahun 1959 hingga 1963.

Potensi Allahyarham menarik minat Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman hingga membawanya ke bidang politik apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Galian.

Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Pelajaran, dengan sumbangan terbesarnya mengilhamkan penukaran medium Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu bagi sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) melalui 'Laporan Rahman.' Malah, Allahyarham juga antara individu yang menyumbang idea kepada penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970.

Beliau juga antara pemimpin yang lantang mencadangkan perlunya Malaysia mempunyai syarikat minyak sendiri hingga menyaksikan penubuhan PETRONAS pada tahun 1976 yang membawa kemakmuran ekonomi negara hingga kini.

Di bawah kepemimpinan Tun Abdul Razak, Allahyarham diarahkan kembali ke Bumi Kenyalang bagi 'menyelamatkan' kerajaan negeri berikutan pemecatan Ketua Menteri, Datuk Stephen Kalong Ningkan lantaran krisis politik ketika itu.

Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 1969 (yang diadakan pada 1970) atas tiket Parti Bumiputera Sarawak (Bumiputera) yang menjadi sekutu Perikatan Sarawak.

Tokoh berkarisma

Selepas pilihan raya itu, tiada parti yang bertanding memperoleh majoriti kukuh dan Abdul Rahman dengan kebijaksanaan, karisma dan sokongan Kerajaan Persekutuan meyakinkan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) untuk menyertai gabungan Perikatan Sarawak. Kejayaan itu meletakkan Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-3 - seorang Melayu-Melanau beragama Islam untuk kali pertama.

Perintis usaha perdamaian dengan pihak komunis

Pada peringkat pentadbiran negeri, antara sumbangan terbesar Allahyarham yang direkodkan ialah kejayaan merintis usaha perdamaian dengan pihak komunis di Sarawak. Melalui Operasi Sri Aman pada tahun 1974, Abdul Rahman berjaya meyakinkan Bong Kee Chok, pemimpin Parti Rakyat Kalimantan Utara untuk bersama 482 gerila komunis diketuainya meletak senjata.

Pada tahun 1981, akibat desakan politik dan selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di London, Allahyarham mengumumkan persaraannya daripada politik. Difahamkan, pengunduran itu juga bagi memberi laluan kepada anak saudara kesayangan beliau yang juga anak didiknya, Tun Abdul Taib Mahmud untuk menerajui kepemimpinan negeri.

Abdul Rahman dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Ke-4 menggantikan Tun Abang Salahuddin Abang Barieng yang tamat tempoh perkhidmatannya ketika itu.

Ia juga detik bermulanya episod 'percakaran dalaman' Abdul Rahman dan Abdul Taib disebabkan percanggahan pendapat dan salah faham sehingga membawa perubahan besar kepada senario politik negara, sekali gus pada tahun 1987, beliau menubuhkan parti baharu, Parti Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) yang berusaha menyingkirkan Abdul Taib dan bergabung dengan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) yang juga serpihan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Ketika semua pihak menyangka hubungan bapa dan anak saudara ini begitu keruh, mereka bertemu dan berpelukan pada sambutan ulang tahun Abdul Rahman ke-80 di Hotel Hilton Kuching pada tahun 2008.

Abdul Rahman menyifatkan hubungan darah kedua-duanya adalah lebih pekat berbanding air, malah tidak akan sesekali terputus walaupun pelbagai isu politik dan percanggahan pendapat berlaku antara mereka.

Legasi politiknya kini diwarisi anak perempuannya, Datuk Norah Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Tanjung Manis.

Pemergian Allahyarham meninggalkan legasi kepemimpinan gemilang, malah kehilangannya amat dirasai anggota keluarga, pengikut setia dan anak murid beliau. Al-Fatihah.

Kisah Tun Rahman dan 'Tok Uban'

Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pernah melahirkan hasrat untuk menjadikan salah seorang anak Tun Abdul Rahman Ya'kub sebagai anak angkatnya. Rahman mempunyai lapan anak bersama Toh Puan Normah, semuanya perempuan dan Tun Razak pula mempunyai lima anak, semua lelaki. Bagaimanapun, hasrat itu tidak jadi apabila Normah tidak bersetuju.

Normah meninggal dunia pada tahun 1984 dan secara kebetulan dan ketentuan, beberapa tahun kemudian anak Rahman, Khadijah berkahwin dengan anak Tun Razak, Datuk Mohd Nizam.

Sebenarnya, Rahman begitu rapat dengan Abdul Razak yang pernah disifatkannya sebagai 'orang yang mengajar saya dalam politik' dan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pula yang membawanya ke dunia politik. Malah, Rahman pernah ditawarkan untuk bertanding salah satu kerusi Parlimen di Kelantan, mungkin kerana imejnya sebagai orang kuat berdakwah.


Namun, apabila Sarawak berdepan masalah ancaman komunis, Razak mengarahkannya untuk kembali ke negeri asalnya itu dan menyandang jawatan Ketua Menteri Sarawak ketiga pada tahun 1970 sebelum bersara pada tahun 1981.

Abdul Rahman rapat dengan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Jawatan itu kemudian diambil alih anak saudaranya, Tun Abdul Taib Mahmud yang juga dikenali dengan panggilan 'Tok Uban' (rambut putih) dan dalam kalangan masyarakat Cina dipanggil 'Pek Moh'. Emak Taib adalah kakak Rahman.


Namun, pada babak awal Taib memerintah, bayangan Rahman masih wujud dan ramai terutama generasi tua masa itu masih teringatkannya, apatah lagi Rahman memang dikenali sebagai seorang pemidato. Beliau boleh berucap berjam-jam di depan khalayak dan pendengar tidak jemu.

Pada tahun 1987, tercetus episod pahit dalam sejarah politik Taib apabila bapa saudaranya itu dikatakan mahu menggulingnya, yang kemudian dikenali sebagai peristiwa 'Ming Court', mengambil sempena nama hotel di Kuala Lumpur - tempat berkumpulnya sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Sarawak untuk menjatuhkan beliau.

Taib terpaksa membubar DUN lebih awal dan selamat apabila menang pilihan raya negeri tetapi dengan majoriti tipis. Sejak itu, hubungan Rahman-Taib dikatakan amat dingin sehinggalah satu majlis meraikan hari jadi Rahman ke-80 di sebuah hotel di Kuching pada Januari 2008. Majlis itu menyaksikan kedua-duanya saling berpeluk, sekali gus memberi gambaran berakhirnya episod bermusuh selama 20 tahun.

Dalam satu temuramah, Tun Rahman menafikan perbalahan itu dan berkata bahawa ia sebenarnya bukan isu besar. Katanya, ada yang buat laporan kepada Taib bahawa beliau akan menggulingkannya dan itu tidak benar sama sekali.

Pernah dalam satu majlis, Rahman berkata bahawa beliau menganggap Taib sebagai anak sendiri - mendukungnya ketika kecil dan pernah kencing atas riba, bagi duit untuk makan minum, belanja sekolah hingga mendesak anak saudaranya itu mengambil jurusan undang-undang meskipun pada mulanya Taib bercita-cita menjadi seorang doktor.

Umur kedua-duanya berbeza lapan tahun dan Rahman lulusan undang-undang dari University of Southampton, United Kingdom iaitu anak Bumiputera Sarawak yang pertama lulusan sebagai peguam, manakala Taib, juga seorang peguam lulusan dari University Adelaide, Australia.

Rahman digelar sebagai 'Kancil Sarawak' kerana kebijaksanaannya tetapi selepas bersara daripada politik, beliau lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti keagamaan, mengajar mengaji dan membuka kelas agama. Beliau amat meminati Aikido. Al-fatihah!