January 13th, 2015

Isu yuran, sumbangan PIBG

SETIAP kali sesi persekolahan baharu, gendang berkaitan isu kutipan wang turut dipalu. Baru-baru ini, satu kenyataan dan peringatan daripada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, kepada Kementerian Pendidikan supaya memastikan sekolah tidak mengutip sebarang yuran ketika pembukaan sesi persekolahan atas alasan yuran persekolahan sudah dimansuhkan 2011.

Selain itu, katanya, langkah itu bertujuan memastikan ibu bapa tidak dibebankan dengan bayaran yang tiada kaitan dengan hal persekolahan. Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya pihak sekolah mendapatkan dana daripada sektor korporat dan pihak lain bagi membiayai kegiatan seperti kelas tambahan.



Setiap sen yang dibelanjakan untuk persekolahan dan pendidikan anak-anak sebenarnya adalah pelaburan untuk masa depan mereka. - Gambar hiasan

Memang yuran persekolahan sudah dimansuhkan. Kutipan yang dibuat oleh sekolah pada setiap tahun ketika ini adalah sumbangan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sumbangan bagi Program Peningkatan Akademik (PPA) yang dirancang pihak sekolah.

Sumbangan untuk PIBG adalah sinonim dengan yuran PIBG, seperti kelaziman persatuan lain mengenakan yuran kepada ahlinya. Kebiasaannya satu keluarga, satu yuran. Ada juga PIBG mengenakannya mengikut bilangan anak yang bersekolah. Bergantung kepada persetujuan dalam mesyuarat agung.

Sumbangan bagi PPA pula bertujuan membiayai semua kegiatan yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dalam pelajaran mereka.

Kebiasaannya dikenakan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Tingkatan 3, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Ada juga sekolah yang mengadakan program untuk pelajar tingkatan satu, dua dan empat, tetapi kadarnya jauh lebih rendah berbanding pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam.

Biasanya kadar sumbangan untuk PPA disyorkan oleh pihak sekolah dan dibentangkan dalam mesyuarat agung PIBG. Ada juga kadar yang disyorkan oleh ibu bapa sewaktu mesyuarat berkenaan. Apa pun kadarnya, ia juga adalah hasil persetujuan mesyuarat agung PIBG.

Selain itu, ada juga sekolah dan PIBG yang mencadangkan sumbangan lain seperti kegiatan kokurikulum dan sukan, surau dan koperasi. Ia juga bergantung pada persetujuan mesyuarat agung PIBG.

Pendek kata, semua keputusan mengenai membuat kutipan yang dibuat di sekolah telah dibincang, dibahaskan serta diputuskan dalam mesyuarat agung PIBG bagi memastikan ia ada kaitan dengan kepentingan persekolahan anak-anak.

Kutipan ini juga digunakan sepenuhnya untuk membiayai program yang dijalankan oleh pihak sekolah seperti kelas tambahan, bengkel dan seminar akademik, hari sukan dan kegiatan kokurikulum sejajar dengan hasrat merealisasikan impian ibu bapa yang mahu anak-anak berjaya dalam pelajaran dan membantu mencungkil potensi dan bakat dalam diri anak-anak.

Ini tidak pula bererti wang sumbangan ibu bapa sahaja yang digunakan untuk membiayai kegiatan berkenaan. Wang sumbangan ibu bapa hanyalah untuk menampung sebahagian kecil kos pelaksanaan program di sekolah, kerana selebihnya menggunakan wang peruntukan kerajaan kepada sekolah.

Jika pihak sekolah menggunakan wang peruntukan kerajaan sahaja untuk melaksanakan kegiatan di sekolah, jumlah aktiviti dan program yang boleh dilaksanakan adalah terhad kerana peruntukannya juga terhad berbanding harapan dan impian besar ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

Semua wang sumbangan ibu bapa digunakan sepenuhnya untuk membiayai program pelajar. Tiada satu sen pun untuk saku guru. Di kebanyakan sekolah, guru-guru tidak menerima sebarang imbuhan pun, baik dalam bentuk wang atau benda, sekalipun mereka menjalankan kelas tambahan di luar waktu persekolahan.

Bahkan sering terjadi, guru-guru menggunakan wang dan kenderaan mereka sendiri untuk membawa pelajar menyertai kegiatan kokurikulum di luar waktu dan kawasan persekolahan.

Mendapatkan sumbangan syarikat korporat dan pihak lain bagi membiayai kelas tambahan di sekolah, memang cadangan yang baik. Soalnya, berapa banyakkah syarikat yang bersedia berbuat demikian? Bukan tidak ada, tetapi jumlahnya boleh dibilang dengan jari.

Dengan itu, jumlah sekolah dan program yang sanggup mereka taja juga terhad. Bahkan syarikat yang mendapat kontrak pembekalan dan perkhidmatan dengan pihak sekolah pun belum tentu sanggup memberi sumbangan ribuan ringgit setiap tahun! Itulah realitinya.

Begitu jugalah halnya dengan sumbangan persatuan bekas pelajar dan sumbangan peribadi bekas pelajar, boleh dibilang dengan jari kerana sangat terhad.

Sumbangan untuk PIBG, PPA dan program lain di sekolah sebenarnya dibuat setahun sekali sahaja, bukan setiap bulan. Tidak cukup dengan itu, ibu bapa diberi kelonggaran sama ada bayarnya sekali gus atau beberapa kali.

Jika dinisbah dengan tempoh persekolahan kira-kira 10 bulan setahun, jumlah wang yang disumbangkan setiap bulan bagi tujuan membantu menjayakan program persekolahan anak-anak kita adalah antara RM10 dan RM30 sahaja sebulan. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan lain pada setiap bulan.

Langganan Astro sahaja, paling minimum RM80 sebulan. Langganan wifi paling minimum RM60. Itu belum lagi mengambil kira perbelanjaan membeli rokok bagi yang merokok.


Malangnya, kita sering berkata, sumbangan setahun sekali untuk menyokong program persekolahan anak-anak kita sebagai membebankan.

Benarkah perbelanjaan untuk persekolahan anak-anak merupakan beban bagi kita? Tidak pernahkah kita terfikir bahawa setiap sen yang dibelanjakan untuk persekolahan dan pendidikan anak-anak sebenarnya adalah pelaburan untuk masa depan mereka?

Jika diteliti senario hari ini, semua pelajar tidak kira siapa pun ibu bapa mereka, mendapat bantuan buku teks percuma. Tidak cukup dengan itu, setiap pelajar turut mendapat wang bantuan persekolahan sebanyak RM100 setiap tahun, tidak kira berapa pun pendapatan ibu bapa mereka.

Bagi keluarga miskin pula, anak-anak mereka turut mendapat bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) antara RM450 dan RM900 seorang setiap tahun, bergantung pada tahap persekolahan dan kemiskinan.

Wang bantuan persekolahan dan KWAPM itu bertujuan membantu ibu bapa membiayai perbelanjaan persekolahan anak-anak, termasuklah untuk sumbangan kepada PIBG dan PPA. Soalnya, adakah wang itu digunakan seperti yang sepatutnya?

* Mohd Fuad Razali YDP PIBG SMK Dato Syed Omar, Alor Setar, Kedah

Awang Selamat dan Peperiksaan Awam

ALHAMDULILLAH, peringkat awal siasatan Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam berhubung kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 mendapati semua langkah perlu dalam mengendalikan peperiksaan awam telah diambil oleh Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Penemuan awal menunjukkan secara keseluruhan kes terbabit tidak begitu serius. Bagi Awang ini kerana pihak-pihak berkuasa berkenaan mengikuti prosedur standard dalam mengendalikan peperiksaan tersebut.

Namun kebocoran terbabit juga menunjukkan terdapat ruang untuk penambahbaikan prosedur yang Awang yakin boleh dan mudah diperkemaskan. Tinggal lagi, saranan jawatankuasa tersebut kelak perlu dihalusi dan digunapakai dalam usaha memperkasakan sistem peperiksaan awam di negara kita.

Langkah itu untuk memastikan semua peperiksaan awam di negara kita benar-benar mengukur pencapaian calon. Pada masa sama tahap keyakinan orang ramai terhadap bentuk peperiksaan tersebut perlu dipertahankan. Kita sedia maklum mereka yang disyaki terbabit dalam kes ini telahpun dibawa ke mahkamah untuk pengadilan dan tindakan segera ini memberi mesej jelas kepada rakyat bahawa kerajaan tidak bertolak ansur dalam isu ini.

Pada masa sama, Awang cukup yakin pihak-pihak berkenaan bersedia mendengar apa juga ulasan dan cadangan daripada jawatankuasa bebas itu dalam laporan lengkapnya kelak.

AWANG – Buat yang terbaik. Utusan Malaysia Rencana 13 Januari 2015

Pengajaran tsunami dan banjir

UMAT Islam percaya bahawa Allah SWT berkuasa berbuat sesuatu sekehendak-Nya. Tetapi, tidak ada manusia yang tahu mengapa Allah melakukan sesuatu kejadian yang tertentu, seperti banjir di Kelantan. Manusia boleh melihat kepada keadaan sekeliling dan memberi pendapat seperti keadaan diburukkan oleh penebangan hutan dan lain-lain. Namun manusia tidak boleh menjawab mengapa Allah menurunkan hujan yang banyak di kawasan itu.



Bandar Kota Bharu di Kelantan lumpuh apabila dinaiki air bah akhir bulan lalu.

Ada manusia yang cuba memberi alasan sendiri terhadap ‘soalan Tuhan’ itu. Maka dikemukakan teori ‘cubaan’, ‘balasan’ dan lain-lain. Tetapi, semua itu, adalah induksi sendiri. Tiada sesiapa pun, termasuk mereka itu sendiri, yang boleh membuktikan ianya betul atau tidak.

Maka, dalam keadaan sekarang, adalah lebih baik kita berhenti membuat induksi sendiri, terutama sekali jika ia dipengaruhi oleh pegangan politik dan kepentingan diri. Kita lihat kepada apa yang jelas dan nyata di hadapan mata kita dan cuba berfikir dengan rasional cara mengatasi masalah itu.

Apa yang kita lihat ialah kerosakan yang dahsyat dan kerugian berbilion ringgit. Kita tahu Kerajaan Pas Kelantan tidak mampu membangunkan semula negeri itu secara bersendirian. Solat hajat sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah. Wang ringgit dan usaha yang banyak adalah diperlukan. Kerajaan Pas Kelantan sendiri tidak mampu mengadakannya.

Kerajaan-kerajaan sekutu Pas, Selangor dan Pulau Pinang tidak mahu atau tidak mampu membantu secukupnya. Parti-parti sekutu Pas, PKR dan DAP berdiam diri. Pemimpin-pemimpin besarnya juga tidak nampak kelibat. Ke mana pergi Majlis Peguam, sahabat baik Datuk Mujahid Yusof Rawa semasa menggubal Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional tidak lama dulu? Kita juga tidak berapa nampak NGO-NGO bukan Melayu membantu mangsa banjir di Kelantan.

Yang nampak bertungkus lumus membantu adalah Kerajaan Pusat yang diterajui oleh UMNO dan BN, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang pernah ‘dikafirkan’ oleh ulama-ulama dan pemimpin-pemimpin Pas dan NGO-NGO Me­layu/Islam termasuk Perkasa.

Itulah hakikat yang pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong Pas mesti sedar dan terima. Mereka patut sedar sekarang, semasa dalam kesusahan, siapakah yang tampil membantu mereka dan kepada siapakah mereka berpaling untuk meminta bantuan?

Saya merasa sedikit gembira kerana semenjak rencana pertama saya atas tajuk yang sama disiarkan oleh Utusan Malaysia, perkembangan yang menggalakkan mula dapat dilihat. Pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas telah mula memberi sokongan kepada syor supaya UMNO dan Pas bersama-sama berganding bahu untuk memulihkan Kelantan. Emel yang saya terima daripada orang yang saya kenali dan tidak kenali juga menyokong saranan saya supaya UMNO dan Pas bekerjasama. Tetapi, semuanya menyuarakan bahawa Paslah yang susah dibawa berbincang dalam hal ini.

Memanglah, pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas itu hanya memandang kepada usaha pemulihan akibat banjir itu sahaja. Biar apa pun, itu adalah satu petanda baik. Sementara UMNO mungkin sanggup berfikir lebih jauh dari itu, saya harap Pas tidak akan melihatnya semata-mata sebagai satu helah untuk mendapat bantuan tanpa perlu ‘berterima kasih’.

Pas telah lama mengajar pengikut-pengikutnya budaya ‘ambil dan lari’: ambil apa sahaja bantuan yang diberi tetapi undi Pas. Saya harap kali ini ulama-ulama dan pemimpin-pemimpin Pas akan mengajar pengikut-pengikut mereka supaya lebih berbudi, bukan semestinya untuk mengundi UMNO tetapi untuk bekerjasama demi Melayu dan Islam.

Sementara usaha segera untuk memulihkan Kelantan secara bersama itu diteruskan, saya mengulangi saranan supaya UMNO dan Pas berfikir untuk bekerjasama, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan, bagi mengelak malapetaka yang lebih dahsyat kepada orang Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak dan agama Islam.

Sebagai tanda keikhlasan, eloklah para ulama dan pemimpin Pas yang pernah ‘mengkafirkan’ ahli-ahli dan penyokong-penyokong UMNO menarik balik kata-kata mereka dan meminta maaf. Mereka patut berhenti berlagak atau beranggapan seolah-olah mereka adalah kumpulan Muslimin yang dipimpin oleh Rasul Allah manakala para pemimpin dan penyokong UMNO adalah ibarat kumpulan Musyrikin yang dipimpin oleh Abu Jahal dan Abu Suffian.

Penulis ialah bekas Ketua Hakim Negara. www.tunabdulhamid.com

Lapangan terbang negara islam

SETIAP kali pulang semula ke tanah air menggunakan syarikat penerbangan Malaysia, penulis tidak akan lupa untuk membaca akhbar harian berbahasa Melayu yang disediakan dalam pesawat sepanjang penerbangan. Kerinduan terhadap tanah air sedikit terubat apabila dapat membaca akhbar harian negara sendiri walaupun hanya beberapa hari di negara ‘hujan emas’. Walaupun kini berita semasa boleh dicari dengan hanya menggunakan hujung jari, namun ia tidak memberikan rasa puas sebagaimana membaca senaskhah akhbar sambil menghirup kopi panas dalam pesawat.



GAMBAR fail menunjukkan beberapa buah pesawat Penerbangan Malaysia berbaris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada 30 Mac 2014. – AGENSI

Pada penerbangan antarabangsa baru-baru ini, penulis duduk bersebelahan seorang usahawan perhotelan Arab yang sangat peramah. Walaupun tidak memahami bahasa Melayu, dia cuba menyelak beberapa muka surat akhbar harian yang diminta daripada penulis lantas tertarik dengan iklan dalam akhbar tersebut kerana dua sebab. Pertama kerana saiz akhbar yang besar serta iklan yang menarik dan kedua, kerana jenama akhbar yang tertera perkataan Malaysia.

Menurut buku The Advertised Mind: Groundbreaking Insights into How Our Brains Respond to Advertising tulisan Erik Du Plessis, 89% pembaca akan tertarik untuk melihat kepada iklan sebesar ¾ muka surat atau lebih besar, berbanding hanya 67% pembaca akan melihat iklan sebesar separuh muka surat.

Berdasarkan buku itu, terdapat dua perkara yang harus diambil perhatian mengenai iklan dalam akhbar, iaitu kemampuan iklan untuk menarik perhatian pembaca dan kemampuan iklan untuk mengekalkan minat pembaca tersebut. Malah iklan yang langsung tidak mempunyai ayat atau perkataan yang sedikit, akan memberi 100% kesan pengecaman dan lebih mudah diingati pembaca dalam jangka masa panjang.

Buku The Advertised Mind menyim­pulkan banyak perkara mengenai iklan, antaranya iklan yang hampir memenuhi muka surat saiz akhbar yang besar lebih mendapat perhatian pembaca daripada iklan pada saiz akhbar yang kecil. Fakta-fakta ini harus diambil perhatian oleh agensi-agensi pengiklan­an yang memasarkan produk atau perkhidmatan dalam akhbar.

Sebelum pesawat berlepas, penulis terus berbicara dengan usahawan Arab tersebut. Perbualan kami tertumpu kepada kesibukan lapangan terbang. Majalah Airliner World keluaran Jun 2014 ada membincangkan mengenai 30 lapangan terbang paling sibuk di dunia berdasarkan statistik sepanjang 2013. Lapangan terbang adalah pilihan utama pintu masuk antarabangsa ke sesebuah negara selain pelabuhan dan jalan darat. Lapangan terbang dan kawasan persekitarannya menjadi tempat strategik untuk tujuan pengiklanan.

Apa yang menarik mengenai fakta-fakta pada 2013, daripada 30 lapangan terbang antarabangsa utama di seluruh dunia, hanya tiga lapangan terbang yang mencatatkan pertambahan peratusan dua angka berdasarkan jumlah trafik penumpang. Lapangan terbang itu ialah di Kuala Lumpur 19.1%, di Dubai 15.2% dan di Istanbul 13.6% (Sumber Airliner World). Ketiga-tiganya adalah lapangan terbang di dalam negara Islam. Dubai sememangnya terkenal sebagai bandar udara terpenting dunia dan tidak perlu diperdebatkan lagi. Mengenai Istanbul, lapangan terbang negara Turki itu menjadi ibu pejabat kepada beberapa buah syarikat penerbangan penting seperti Pegasus Airlines dan Turkish Airlines.

Pada pertengahan 2014, Turkish Airlines memaparkan iklan Lionel Messi (duta syarikat penerbangan tersebut) pada Menara Kawalan Udara di Lapangan Terbang Vienna/Schwechat yang boleh dilihat oleh semua pengunjung lapangan terbang tersebut. Ia adalah salah satu cara pengiklanan menarik yang ditumpukan kepada golongan muda serta turut dipopularkan dalam media sosial. Turkish Airlines melakukan pengiklanan tersebut pada 2014 sebagai kesinambungan promosi walaupun Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul telah mengalami pertambahan jumlah penumpang pada 2013.

Berdasarkan pertambahan peratusan dua digit ketiga-tiga lapangan terbang tersebut, ia menunjukkan bahawa negara-negara Islam mempunyai kekuatan tersendiri dalam industri pengangkutan udara, pelancongan, pengiklanan dan sektor-sektor lain yang ada kaitan dengannya. Kejayaan pertambahan peratusan penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2013 itu mencecah 47,498,127 orang di tangga ke-20, memintas Shanghai di tangga ke-21 seramai 47,189,849 penumpang dan San Francisco di tangga ke-22 (44,945,760 penum­pang) - Sumber daripada Airports Council International.

Namun kejayaan Kuala Lumpur itu pastinya akan dilupakan begitu sahaja apabila dua tragedi pesawat MH370 dan MH17 berlaku dan menjadi sebahagian sejarah hitam bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga kepada dunia. Malah kemalangan pesawat AirAsia QZ8501 di Laut Jawa turut dikaitkan dengan jenama penerbangan tambang murah Malaysia yang menjadi saingan beberapa syarikat penerbangan tambang murah lain. Pihak-pihak berkenaan seperti kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan/badan berkanun (GLC) yang ada kaitan dengan pelancongan serta pengangkutan udara harus melakukan tindakan lebih aktif untuk memulihkan semula imej penerbangan negara.

Sementara itu International Institute for Management Development yang berpusat di Switzerland me­laporkan dalam World Talent Report 2014, Malaysia menduduki tangga kelima terbaik di dunia daripada 60 negara yang berjaya dalam pendekatan serta komitmen cemerlang terhadap pendidikan dan pemba­ngunan bakat tempatan/modal insan. Tangga pertama jatuh kepada Switzerland, Denmark di tempat kedua dan Jerman menduduki tempat ketiga.

Saingan terdekat Malaysia di rantau Asia Tenggara iaitu Singapura hanya mampu menduduki tempat ke-16. Kedudukan kelima Malaysia itu jelas menunjukkan pengiktiraf­an dunia terhadap bakat tempatan dan modal insan negara yang unggul dalam pelbagai bidang. Malangnya, masih kedengaran (GLC) dan badan-badan berkanun mengurniakan kontrak serta peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat asing/multinasional khususnya dalam industri pengiklanan serta media. Apakah kepakaran syarikat-syarikat bumiputera masih diragui serta tidak setanding dengan syarikat asing?

Berdasarkan pekeliling yang ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 26 Disember 2014 yang lalu, Kementerian Kewangan (MOF) telah meminta GLC dan badan-badan berkanun supaya berhenti daripada membeli aset-aset asing berikutan harga komo­diti merudum selain menghalang daripada pengaliran keluar modal. Menurut kementerian itu lagi, syarikat-syarikat bersekutu kerajaan juga perlu menyemak semula dasar-dasar pelaburan bagi menyokong inisiatif untuk memberi keutamaan kepada aktiviti pelaburan domestik serta menangguhkan atau menghentikan sementara pelaburan di luar negara. Kenyataan MOF itu turut disokong penganalisis-peng­analisis kewangan tempatan yang berpandangan bahawa langkah tersebut sewajarnya membantu negara untuk menangani pengaliran keluar modal.

Sejak zaman penjajah sehingga kini masyarakat Malaysia masih dibelenggu tanggapan bahawa semua dari Barat itu baik berbanding yang ada di depan mata. Pada zaman media sosial dikuasai Internet 24 jam yang turut dikuasai Barat, persepsi seperti itu seolah-olah telah berakar umbi. GLC dan badan berkanun yang diwujudkan dengan tujuan utama membantu kumpulan sasar tertentu harus mempunyai jati diri lebih kuat untuk menolong anak bangsa de­ngan mengambil tahu permasalahan ekonomi mereka di bawah.

Peneraju-peneraju GLC dan badan berkanun harus banyak membaca bahan-bahan tempatan seperti akhbar harian dan buku-buku ilmiah dari dalam negara agar tidak cenderung serta lebih dipengaruhi propaganda halus Barat. Surah Al-Baqarah ayat 120 telah memberi peringatan bahawa, “Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”.

Abu Bakar Abdul Jalal ialah perunding bebas dan bekas pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia.