January 15th, 2015

Selagi Melayu berpecah

Selagi orang Melayu ber­pecah belah, selagi itulah orang akan buat macam-macam dekat kita dan agama Islam.’’ Reaksi spontan itu diberikan oleh seorang teman yang semakin rimas menyaksikan dari semasa ke semasa seolah-olah wu­jud keberanian luar biasa dalam kalangan sesetengah pihak untuk menguji kesabaran orang Melayu dan umat Islam.

Mungkin majoriti orang Melayu berasa kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku termasuklah tindakan-tindakan yang dilihat menyentuh sensitiviti mereka – satu perbuatan yang suatu ketika dahulu begitu 
asing bagi rakyat negara ini.

Tetapi sekarang senario sudah berubah, orang Melayu bukan la­gi dilihat kelompok digeruni. Ke­wu­judan kumpulan-kumpulan ter­­tentu yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan atas nama demokrasi menyulitkan lagi keadaan. Malangnya, mereka juga terdiri daripada orang Melayu dan sudah berasa nikmat hasil perjuang­an orang Melayu.

Lebih buruk lagi ada pula yang berbuat demikian terdiri dalam ka­langan pemimpin politik parti Me­layu yang sepatutnya dalam apa keadaan mesti meletakkan kepen­tingan bangsa dan agama di hada­pan. Sememangnya demokrasi mem­benarkan mereka menyokong sesiapa sahaja dan demokrasi juga mengizinkan mereka menyebelahi mana-mana juga pihak, tetapi biarlah berpada-pada.

Orang Melayu tidak perlu gundah gulana apatah lagi menuding jari menyalahkan orang lain jika ada pihak menyentuh sensitiviti mereka. Sebaliknya apa yang mereka perlu lakukan ialah bermuhasabah mencari punca kenapakah wujud­nya keberanian luar biasa tersebut.

Apa yang diminta daripada orang Melayu bukanlah bermusuh dengan kaum lain tetapi memastikan mereka berada dalam satu barisan mempertahankan hak dan kepentingan mereka. Bagaimanapun setakat ini semua itu sekadar mimpi yang masih belum kesampaian.

Perbezaan politik masih menjadi tembok kukuh yang menghalang sebarang usaha menyatukan orang Melayu. Ada pihak tidak keruan apabila wujudnya saranan supaya dua parti induk Melayu iaitu UMNO dan Pas bekerjasama. Mereka membentangkan hujah memualkan sehingga dalam soal membantu mangsa banjir di Kelantan sekali pun awal-awal lagi ada pihak sudah memberi peringatan ia sekadar kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat, bukannya kerjasama politik.

Tidak kisahlah apapun untuk ditafsirkan berhubung kerjasama ber­kenaan tetapi apa yang pasti majoriti orang Melayu menarik nafas lega apabila melihat Pengerusi Perhu­bungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed duduk semeja bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob bagi membincangkan usaha memulihkan negeri itu yang ditimpa musibah banjir.

Rata-rata orang Melayu dalam respons yang disampaikan dalam media-media sosial melafazkan ke­syukuran kepada Allah SWT apabila melihat kerjasama tersebut. Perasaan itu sekaligus membuktikan majoriti orang Melayu sudah bosan dengan perpecahan yang berterusan antara mereka.

Masih ramai orang Melayu sama ada yang mempunyai fahaman politik atau tidak mahukan penyatuan Melayu berlaku secara total. Bagi mereka, soal untuk berbalah dalam isu-isu politik adalah soal kedua dan ia hanya perlu difikirkan dalam musim pilihan raya, tetapi pada masa lain Melayu perlu bersatu.

Tidak boleh ada fobia atau kebimbangan melampau kononnya jika berlaku penyatuan orang Me­layu, sokongan politik kepada parti-parti induk Melayu akan tergugat atau kaum lain akan berasa takut. Sedangkan sejarah negara membuktikan perpaduan kukuh dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam menjadi teras keamanan dan keharmonian negara ini.

Hujahnya ialah apabila orang Melayu bersatu mempertahankan hak-hak dan kepentingan mereka tidak akan ada pihak yang akan berani bermulut celupar atau gatal tangan melalui laman-laman sosial untuk membuat kenyataan yang dilihat mengganggu gugat orang Melayu dan umat Islam. Tetapi sekarang situasi itu tidak berlaku malah dalam soal mempertahankan kalimah Allah se­ka­lipun orang Melayu tidak sepakat. Ada antara mereka yang me­ngaku dirinya Islam terus mempertahankan kewajaran orang bukan Islam menggunakan kalimah suci itu.

Mereka yang bersikap demikian hakikatnya berhasrat mencari populariti dengan menonjolkan diri sebagai pemimpin yang memperjuangkan kesederhanaan dan kesamarataan. Memang benar kesederhanaan itu digalakkan Islam tetapi ia jangan sampai menggadaikan segala-galanya sehinggakan dalam soal Islam pun mahu dikompromi.

Usaha untuk menyatukan orang Melayu akan menjadi bertambah sukar apabila ada dalam kalangan orang Melayu sendiri biarpun tidak mempunyai apa-apa fahaman politik begitu taksub mengkritik atau ada antaranya sampai ke tahap menghina pemimpin Melayu. Malah mereka juga sanggup memandang sinis sesuatu usaha yang dilakukan oleh pemimpin itu seolah-olah mereka mempunyai ‘ilmu’ atau kepakaran membaca hati dan fikiran orang lain.

Kelompok atau individu yang wujud dalam kalangan orang Me­layu seperti inilah yang menyebabkan hasrat untuk menyatukan orang Melayu hanya akan menjadi satu impian. Biarpun kita melangkah ke masjid yang sama, mengadap kiblat yang sama dan menyembah Allah yang satu namun ia masih gagal mewujudkan ke­satuan dalam hati bagi menamatkan episod perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Malang sekali, firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 sekadar menjadi bacaan bagi sesetengah pihak dan bukannya amalan. Dalam surah itu Allah SWT berfirman: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (di­sebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Percayalah selagi firman Allah itu sekadar menjadi bacaan tetapi tidak dilakukan usaha melaksanakannya sampai bila pun akan ada pihak-yang terus membangkitkan perkara menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam.

Kenapa ia berlaku? Kerana ada pihak melihat orang Melayu semakin lemah dan tidak berupaya bersatu padu. Dalam soal ini, penulis teringat catatan seorang bloger antara lain mencoretkan, “Sampai bila harus marah-marah? Tidak guna jika umat Islam hanya bangkit menyuarakan kemarahan apabila ada orang mengusik tidur mereka, dan selepas itu, kita ‘tidur’ semula.’’

Sememangnya masih ramai orang Melayu masih ‘tidur’ ter­utamanya kelompok yang sentiasa ‘bermimpi’ untuk ‘menawan Put­rajaya’. Kelompok ini kalaupun ‘terkejut’ daripada ‘tidur’ tetap berada dalam dunia mimpi sebab itulah mereka menganggap satu mimpi ngeri jika ada usaha untuk me­nyatukan orang Melayu.

Namun begitu harapan tetap disandarkan agar ada jalan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan Melayu tanpa mengira fahaman politik atau pertubuhan apa yang mereka sertai. Ini penting bagi mengelakkan, orang Melayu seperti mana dipesan oleh Rasulullah SAW “Ibarat buih di lautan, ramai tetapi tidak mendatangkan manfaat.’’

- Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 16 Jan 2015

Mana silapnya masyarakat kita?

ADAKAH budaya keganasan sudah menular di negara ini? Persoalan ini sering bermain dalam fikiran saya apabila membaca berita pembunuhan kejam dan mengerikan yang sering disiarkan dalam media tempatan.

Tidak dinafikan kejadian ngeri dan menyayat hati yang berlaku di sekeliling kita seperti pembunuhan, rogol dan penganiayaan kerap kali menjadi berita menarik pihak media.



Seorang warga emas A.Kamalam,79 dipercayai dibunuh kejam oleh sekumpulan lima remaja sehingga mati di rumahnya di Kampung Cegar, Bidor dekat sini pagi ini.

Ada juga kritikan bahawa laporan sedemikian akan menimbulkan rasa takut orang ramai malah ada juga yang begitu paranoid tentang publisiti jenayah.

Ada juga yang berfikiran tidak ma­suk akal. Ini mengingatkan saya tentang sikap pengusaha salah sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur. Pihak Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) telah memohon tempat untuk menjalankan kempen anti-ragut tetapi ditolak bulat-bulat dengan alasan ia akan menjejaskan jumlah pengunjung walaupun hakikatnya pusat membeli-belah tersebut adalah tempat sasaran peragut.

Sikap cuba berselindung bahawa masalah jenayah ini tidak pernah wujud tidak membawa penyelesaian. Sebaliknya, ia akan lebih memburukkan keadaan dan lebih ramai akan menjadi mangsa akibat kurangnya kesedaran dan prihatin pihak pengusaha pusat beli-belah ini.

Dalam pada itu, kita tidak boleh menghalang pihak media untuk melaporkan kejadian jenayah tetapi dengan laporan media yang lebih seimbang dapat membantu menimbulkan kesedaran dan menjadikan masyarakat berasa lebih selamat.

Ia sekali gus akan menyedarkan pihak berkuasa bahawa mereka tidak boleh leka dan perlu sentiasa meningkatkan prestasi dalam usaha membasmi dan mencegah jenayah.

Media bukan sahaja perlu melaporkan kejadian jenayah tetapi juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan yang berkaitan untuk mendidik masyarakat tentang pencegahan jenayah dan khususnya dalam menangani isu keganasan dan jenayah kekerasan di negara kita.

Kejadian jenayah kejam dan ganas yang kerap berlaku merupakan satu peringatan serius kepada kita semua bahawa sesuatu yang drastik perlu dilakukan, selain daripada penguatkuasaan undang-undang untuk menanganinya.

Di mana silapnya masyarakat kita? Adakah kita dikatakan hidup bertamadun jika kejadian pembunuhan kejam terus berlaku di negara kita? Adakah kita sudah hilang pertimbangan dan belas kasihan?

Setiap hari yang dilalui kini disajikan dengan pelbagai bentuk keganasan sama ada di rumah atau di luar. Adakah ini disebabkan oleh kecenderungan sesetengah pihak untuk melakukan kekejaman sebagai satu cara penyelesaian masalah. Jika demikian, apakah puncanya?

Atau adakah ia berpunca daripada golongan dewasa dan kanak-kanak yang sudah biasa disogokkan dengan keganasan?

Aksi kekejaman, balas dendam dan kezaliman menjadi norma di dalam kebanyakan filem dari kaca televisyen yang ditonton oleh kita. Kartun untuk kanak-kanak juga mempunyai adegan-adegan ganas.

Apa yang telah berlaku kepada nilai-nilai murni dan pendidikan moral yang kita terapkan untuk memupuk generasi muda agar mereka dapat membezakan apa yang baik dan buruk?

Sudah tiba masanya untuk kita menilai semula secara serius tentang usaha-usaha yang telah dilaksanakan setakat ini bagi memupuk nila-nilai murni dalam kalangan rakyat Malaysia dan ke arah masyarakat penya­yang. Sejauh mana kita dapat mendidik generasi muda supaya mereka menolak keganasan dan kezaliman dalam kehidupan mereka.

Sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat kita harus sedar bahawa kehidupan remaja hari ini adalah amat mencabar sejajar dengan arus pemodenan dan pembangunan.

Pengaruh persekitaran seperti budaya Barat dan media massa ter­utamanya media sosial amat mempengaruhi pemikiran remaja masa kini.

Kesedaran pelajar akan implikasi negatif terhadap perlakuan jenayah perlu dipertingkatkan agar mereka tidak terjerumus dalam kegiatan negatif dan masalah sosial.

Konsep ’melentur buluh biar dari rebungnya’ harus menjadi matlamat kita dan harus ditujukan kepada para pelajar dan remaja agar mereka dapat membesar dan menjadi generasi yang benar-benar cemerlang serta berguna.

Kemajuan yang kita kecapi hari ini, tidak akan bertahan lama seandainya generasi muda yang bakal menerajui pimpinan negara nanti rapuh akhlaknya dan hilang nilai-nilai positif kemanusiaan.

Oleh itu, adalah menjadi harapan saya agar kita sama-sama dapat menghayati dan saling bantu-membantu menjayakan program pencegahan jenayah ini.

Kecemerlangan akademik yang dipertaruhkan dalam diri para pelajar dan remaja masa kini biarlah seiring dengan kesedaran membina jati diri yang kukuh daripada hentakan arus kemajuan yang tidak dapat disekat alirannya.

Tan Sri Lee Lam Thye ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Isu-Isu Akhbar Cina

KENAPA PERLU SWASTAKAN PENGURUSAN AWAM?

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 9 Januari 2015 meminta kerajaan agar menarik balik penswastaan semua urusan pembaharuan pas lawatan kerja sementara bagi pekerja asing secara manual yang dihentikan berkuatkuasa 5 Januari lalu dan digantikan dengan pendaftaran secara dalam talian melalui perkhidmatan MyEG Services Berhad (MyEG) dengan dikenakan caj tambahan sebanyak RM38.

Artikel bertajuk ‘Kerajaan sepatutnya basmi orang tengah cari untung’ merupakan pandangan editorial akhbar itu yang disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlun halaman W3 menegaskan bahawa perkhidmatan awam tidak sepatutnya diserahkan kepada pihak swasta, kerana ia bakal membebankan rakyat.

Kerajaan sepatutnya mengelak tindakan itu yang memberikan peluang kepada orang tengah untuk mengaut keuntungan. Alasan Jabatan Imigresen kononnya bagi mengatasi masalah kesesakan di kaunter tidak begitu kukuh dan kenapa kontrak itu diberikan secara monopoli kepada MyEG sahaja? Kenapa tidak dilakukan secara tender terbuka dengan menggunakan prosedur yang sepatutnya?

Dikatakan bahawa rezeki jatuh dari langit jarang berlaku tetapi jika ditunggu rezeki seperti itu tetap berlaku. Dalam masyarakat kapitalis, terdapat segelintir manusia yang tidak melakukan kerja sebenar tetapi masih boleh duduk dengan senang lenang mengaut keuntungan.

Perkara seperti ini yang kini sedang berlaku di negara kita, dalam sesetengah perkhidmatan kerajaan sepatutnya diberikan secara percuma kepada rakyat, jika hendak swastakan juga elakkan daripada pemberian monopoli hanya kepada syarikat tertentu sahaja.

NEGARA PERLU AKTA KEGANASAN

Sementara itu, akhbar Sin Chew Daily News bertarikh 12 Januari 2015 menegaskan bahawa negara amat memerlukan Akta Keganasan bagi menjaga keselamatan nyawa rakyat daripada ancaman keganasan yang semakin bercambah dan berleluasa.

Artikel bertajuk ‘Negara kita amat memerlukan Akta Keganasan’ itu merupakan pandangan editorial akhbar berkenaan yang disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlun halaman 26 turut menyatakan banyak negara di dunia termasuk Amerika Syarikat dan Australia telah menggunakan akta dan undang-undang baharu untuk menangani ancaman keganasan.

Sekiranya Malaysia mahu pertahankan keselamatan dan nyawa rakyat, aktiviti keganasan tidak boleh dibiarkan terus bertapak, sebab itulah perlunya akta ini dipercepatkan yang bakal memberikan kuasa lebih luas kepada penguatkuasa melaksanakan tugas-tugas mereka.

Namun terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, antaranya ialah kebimbangan mengenai pelanggaran hak asasi manusia apabila menjatuhkan hukuman atau keputusan sebelum dibicarakan. Dikatakan juga akta itu tidak membantu untuk menangani keganasan, penyalahgunaan kuasa oleh penguatkuasa, penahanan bagi mencegah tidak telus sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem tersebut.

Pada hakikatnya, akta keganasan bukan sahaja untuk mengatasi keganasan malah ia juga perlu menepati hak asasi manusia, namun mustahil untuk dilaksanakan kedua-dua pada masa sama. Dari segi undang-undang dan hak asasi manusia apabila menghukum sebelum hukuman dijatuhkan, ia tidak menepati keadilan, tetapi apabila kita hadapi ancaman keganasan yang semakin hari semakin kuat, adakah nyawa pengganas lebih penting daripada keselamatan dan nyawa rakyat?

PAKATAN PEMBANGKANG 
BAKAL BERKUBUR?

Dalam pada itu, akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 13 Januari 2015 membuat andaian bahawa perpaduan pakatan pembangkang bakal rosak dan hasrat melangkah ke Putrajaya mungkin berkubur sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah atas tuduhan liwat oleh Mahkamah Persekutuan.

Artikel bertajuk ‘Kes Anwar berkait rapat dengan pegangan pakatan rakyat’ itu merupakan pandangan editorial akhbar tersebut yang disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlun halaman W3 bagaimanapun menyatakan keadaan adalah sebaliknya jika Anwar diputuskan tidak bersalah, iaitu hasrat Pas untuk menjadi Perdana Menteri bakal tertutup terus.

Pembangkang sebelum ini menetapkan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Pas seperti tidak begitu setuju, Ramai pemerhati politik beranggapan kebarangkalian Pas untuk menagih jawatan itu memang wujud. Jika mahkamah membebaskan Anwar, beliau yang mempunyai kepintaran dalam politik pasti mempunyai cara untuk menundukkan Pas, sekali gus mengiktiraf beliau sebagai bakal Perdana Menteri seperti yang ditetapkan oleh pakatan pembangkang.

Ceritanya lain pula dengan DAP dan PKR jika Anwar didapati bersalah, kedua-dua parti itu akan kehilangan hala tuju politik kerana kehilangan pemimpin yang dianggap sebagai berwibawa. Perlu diingatkan hubungan Pas dengan kedua-dua parti itu tidak lagi seperti dulu, dengan ketiadaan Anwar pastinya hubungan mereka tidak dapat diselamatkan dan sekiranya ia berlaku, pastinya struktur dwi kuasa yang diinginkan penyokong mereka tidak lagi menjadi realiti.

Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dalam jamuan makan malam baru-baru ini menyatakan, jika Pas terus berdegil mahu laksana hukum Hudud, struktur dalam pakatan pembangkang akan mengalami perubahan, parti itu juga tidak menafikan akan mencari rakan kongsi parti lain untuk bergabung, ataupun gabungan parti itu hanya tinggal dua sahaja iaitu DAP dan PKR.

- Utusan Malaysia Rencana 15 Jan 2015