January 29th, 2015

Rotan agar anak tak masuk neraka

SEJAK menteri buat mkenyataan mengenai isu rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah Sabtu lalu, saya terima macam-macam mesej dan komen berkaitan perkara itu melalui WhatsApp.

Ada yang luahkan perasaan tidak puas hati secara terus-terang, ada yang buat komen secara sindiran, sementara ada pula yang menceritakan pengalaman tentang kebaikan tindakan merotan anak-anak.





Antara yang menarik ialah cerita seorang ustaz tentang bagaimana seorang ayah mampu mendidik orang 18 anaknya daripada dua isteri dengan berkesan, sehingga sebahagian besar daripada anak-anaknya hafal semua 30 juz al-Quran.

Kata ustaz itu, beliau bertanya tiga orang adik-beradik dalam keluarga tersebut dan jawapan yang beliau terima sama sahaja, iaitu ayah mereka sangat tegas dalam usaha mendidik mereka.

Menurut mereka, ayah mereka sentiasa memegang rotan dan mereka selalu kena rotan jika membuat kesilapan. Mereka mengakui mereka sangat menghargai ketegasan ayah mereka. Kata mereka, kerana rotan itulah mereka dapat menjadi hafiz.

Satu lagi mesej melucukan tetapi meninggalkan kesan mendalam adalah sebuah karikatur menunjukkan seorang anak kecil yang memberi amaran kepada ibunya yang sedang memegang rotan.

“Mak nak masuk jel ke apa?,” kata si anak, sambil bercekak pinggang.

Spontan sahaja ibunya menjawab: “Biar mak masuk jel asal kau tak masuk neraka”, dan terus mengayun rotan mengejar anaknya yang lari lintang-pukang.

Teringat masa kecil-kecil dahulu, saya dan rakan-rakan sedarjah bukan setakat kena rembat dengan rotan, bahkan kena ketuk dengan pembaris, dibaling dengan kapur tulis dan pemadam papan hitam; semuanya sama ada kerana nakal dan tidak memberi tumpuan dalam kelas atau tidak mendapat markah yang sepatutnya.

Hari pertama menghantar saya ke sekolah, bapa saya meninggalkan secebis kata keramat kepada guru: “Saya serah anak saya ini pada cikgu. Rotanlah dia kalau perlu, asal tidak sampai cacat, sudahlah.”

Dari darjah satu hingga empat, guru besar kami ialah Cikgu Miah. Cikgu Miah tidak pernah tinggal pembaris panjang sedepa apabila melawat setiap kelas. Beliau akan merenung tajam pada setiap murid yang dihampirinya, tetapi seingat saya, belum pernah sekali pun pembaris gergasinya itu singgah ke badan mana-mana murid.

Kerana sikapnya yang tegas tetapi berhemah itu, semua murid hormat dan patuh pada setiap arahannya. Yang kerap ketuk kami dengan pembaris kerana lambat menjawab sifir sebenarnya ialah guru darjah, Cikgu Deris.

Kami takut apabila beliau ajar Kira-Kira, tetapi ketegasannya itu juga membuat kami semua berjaya menghafal sifir dengan lancar.

Hampir 20 tahun kemudian, saya jumpa kembali Cikgu Deris; masa itu beliau sudah menjadi setiausaha politik dan tidak lama kemudian, timbalan menteri.

Dalam darjah enam di sekolah Inggeris, guru Matematik kami adalah Mr Lim. Ketika mengajar, 'tidak ada maaf bagimu'. Semua murid gerun dan tumpu kepada mata pelajaran kerana takut kena rotan.

Setiap kali ujian, kami akan berusaha melepasi 50 markah, kerana beliau ada ‘undang-undang’; kalau kurang satu markah, hukumannya satu rotan di punggung.

Bayangkan, saya dapat 34 markah; berasap kena selinap 16 kali. Itu antara peristiwa yang saya tidak boleh lupakan. Makan di rumah terpaksa lapik bantal,

Saya berterus-terang kepada ibu dan bapa mengapa saya kena rotan. Mereka diam sahaja, tetapi saya percaya di belakang saya, tentu mereka gelak pecah perut.

Hikmahnya berbaloi; selepas itu markah saya dalam subjek Matematik tidak pernah kurang daripada 50. Masa belasan tahun di kampung, saya dihantar mengaji dengan Pak Leman.

Kami suka tengok Pak Leman sebab beliau mirip Ahmad Nisfu, pelakon watak lucu filem Melayu zaman silam, tetapi kami murid lelaki awas, silap bacaan, rotannya hinggap ke betis macam kilat.

Sebatannya tidak sakit pun, tetapi kami berwaspada supaya tidak tersilap; malu nanti dilihat murid perempuan.

Bagi saya, dirotan di sekolah atau di kelas mengaji tidak menjadi masalah pun, sebab di rumah, lagi teruk.

Kalau balik selepas azan Maghrib, umpamanya, yang hinggap bukan rotan lagi, tetapi kayu bakau atau senduk. Terima kasih ibu, terima kasih ayah, terima kasih cikgu.

Merotan anak bukan budaya Islam

SEHARI dua ini nampaknya rakyat diajak berpolemik dengan isu mengenai merotan anak. Termenung seketika memikirkan apakah punca isu sebegini dipolemikkan.

Seolah-olah Islam yang tertampil hari ini hanya berlegar sekitar isu-isu keganasan, kekerasan dan hukuman. Di manakah aspek kasih-sayang, kelembutan, keihsanan yang menjadi teras agama Islam selama ini?

Isu ini timbul apabila kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat disalah tafsir media dengan maksud untuk menjadikan tindakan merotan anak sebagai kesalahan jenayah.

Mujurlah pihak Kementerian segera menjernihkan suasana dengan menyiarkan penjelasan terhadap isu tersebut.

Penulis tidaklah bercadang untuk membahaskan kenyataan pencerahan yang diberikan oleh pihak Kementerian bahawa tidak timbul untuk menjadikan tindakan merotan anak sebagai kesalahan jenayah.

Ini kerana peruntukan undang-undang sedia ada telah pun menjadikan perbuatan merotan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental sebagai suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak- Kanak 2001 yang boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Namun apa yang penulis berasa kurang selesa apabila masyarakat begitu bersungguh-sungguh berhujah seolah-olah merotan anak ini sudah menjadi suatu budaya umat Islam dalam mendidik anak.

Benarlah merotan atau memukul merupakan sebahagian daripada kaedah mendidik sebagaimana yang dikhabarkan dalam banyak hadis, termasuklah seperti hadis berikut: “Ajar anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun, dan (sekiranya mereka enggan) pukul mereka apabila mencecah 10 tahun”. (Riwayat Abu Daud dan berstatus sahih)

Walau bagaimanapun, hadis di atas tidak boleh ditafsirkan secara simplistik dengan memberikan makna seolah-olah merotan atau memukul merupakan sebahagian daripada budaya Islam dalam mendidik anak-anak.

Sedangkan dalam konteks hadis tersebut juga jelas bahawa merotan atau memukul adalah pilihan terakhir setelah dilaksanakan pelbagai kaedah untuk memujuk, membelai dan menasihati anak dengan penuh kasih sayang tatkala dia sudah mumaiyiz iaitu berupaya menentukan yang mana baik dan buruk.

Bahkan aspek kasih sayang dan kasihan belas ini dinukilkan dalam ayat al-Quran berupa doa kepada kedua ibu bapa yang telah mendidik dan membesarkan anak dengan penuh kasih sayang. ALLAH berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 24: “Katakanlah: wahai Tuhanku kasihanilah kedua mereka (ibu bapaku) SEPERTI mana mereka membesarkanku semasa kecil”.

Kalaupun hendak mula memukul anak selepas umur mencecah 10 tahun, Islam meletakkan garis panduan yang jelas bahawa tidak boleh memukul sehingga boleh mendatangkan kecederaan.

Dalam satu hadis disabdakan: “Tidak boleh merotan melebihi 10 kali melainkan pada hukum hudud” (Hadith Riwayat Bukhari). Menurut Khalifah Umar Abdul Aziz: “Guru-guru tidak boleh merotan melebihi tiga kali, kerana ia boleh menimbulkan fobia dan kebimbangan kepada kanak-kanak”.

Menurut al-Dohak: Apa-apa sahaja pukulan atau rotan yang melebihi tiga kali, maka ia adalah qisas. Rotan itu tidaklah terlalu keras, tidak pula terlalu lembut atau basah/ lembab, sehinggalah boleh meninggalkan bekas dan kerosakan yang teruk pada kulit. Mengenai cara merotan pula, menurut Syeikh al-Faqih Shamsuddin al-Anbani:

i. Memukul di tempat yang berbeza, bukannya pada satu tempat di badan manusia sahaja.
ii. Memanjangkan tempoh rotan pertama dengan yang seterusnya.
iii. Tidak mengangkat tangan sehingga boleh kelihatan ketiaknya.

Namun, sekali lagi ingin ditegaskan tindakan memukul atau merotan seharusnya menjadi pilihan dan pendekatan terakhir setelah diusahakan pelbagai cara lain yang lebih diutamakan Islam.

Di dalam kitab masyhur bertajuk Tarbiyatul Awlad fil Islam (Pendidikan Anak-anak dalam Islam) telah disenaraikan langkah-langkah mendidik anak.

Antaranya, pertama, mendidik dengan menjadi Murabbi atau guru contoh ikutan yang baik; Kedua, mendidik dengan menanam akhlak dan nasihat yang baik; Ketiga, mendidik secara menasihati apabila kesalahan dilakukan;

Keempat, mendidik secara menegur dengan keras apabila kesalahan diulangi;

Kelima, mendidik dengan memberi silent treatment atau tindakan meminggirkan seketika apabila kesalahan tetap diulangi; dan jika masih dibuat juga maka barulah mendidik secara memukul mengikut batas-batas tertentu.

Maka jelaslah memukul merupakan JALAN TERAKHIR setelah segala ikhtiar berpandukan kelima-lima pendekatan di atas telah sudah dilaksanakan dengan cara terbaik.

Justeru tidak wajar sama sekali mengandaikan seolah-olah merotan atau memukul sudah menjadi akar umbi budaya Islam yang hakikatnya langsung tidak mencerminkan agama ini yang subur dengan kasih sayang, belas kasihan dan kelembutan.

* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Di antara roti dan rotan

DALAM tiga empat hari ini, kita berpolemik mengenai isu rotan apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kementeriannya sedang menggubal akta baharu yang mengenakan hukuman kerana merotan anak.

Katanya, akta itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara. Kenyataan beliau menerima banyak tentangan kerana hampir kesemua pihak mengatakan bahawa merotan itu adalah pendekatan dalam mendidik anak di Malaysia.

Rotanlah anak-anak kamu dengan roti

Gunalah kasih sayang untuk mendidik lepaih rotan dengan roti ni bagi makan roti ni ... win-win situation lah no ...


Ia juga adalah pendekatan yang dibolehkan oleh agama Islam. Tentangan yang sebenarnya maklum balas ini akan diperhalusi agar ia benar-benar adil supaya ibu bapa mahupun para guru tidak sewenang-wenangnya boleh dipenjarakan kerana menghukum dengan merotan.

Begitulah respons TPM, yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula. Merotan adalah suatu bentuk hukuman yang lazim dikenakan oleh ibu bapa, guru dan juga guru besar di atas sesebuah kesalahan seseorang pelajar.

Sebagai kanak-kanak, saya pernah dirotan oleh emak dan ayah. Saya masih ingat ada lima batang rotan yang tersisip di dinding. Apabila menakal seperti lambat pulang ke rumah selepas mengaji kerana melencong bermain dengan kawan-kawan, rotanlah hukuman yang menanti apabila pulang ke rumah melewati waktu Maghrib.

Saya disuruh untuk memilih rotan mana yang saya mahu. Pilihlah di antara yang paling halus, kira-kira setebal penyedut minuman, atau yang tebal sebesar ibu jari.

Yang halus, pedihnya membakar bila terkena betis. Yang tebal menimbulkan rasa sengal dan kebas. Di zaman sekolah pun begitu. Saya dan kawan-kawan sekolah pun pernah dirotan guru dan guru besar.

Sakit memanglah sakit. Ia menghentikan kami daripada melanggar sesebuah peraturan. Tetapi seketika sahaja. Sebagai budak-budak yang mudah lupa akan kesilapan, esok lusa kesalahan bising dalam kelas diulangi kembali dan kami dibelasah lagi.

Pendek kata, serik tetapi tidak semestinya sudah bertaubat. Sekali pandang, memanglah tidak elok bila kesalahan lalu itu diulang sampai dihukum lagi.

Tetapi moral yang lebih utama daripada kedegilan itu ialah sikap berani buat, berani tanggung. Ertinya, bila tidak siap kerja rumah dan dipanggil cikgu ke hadapan kelas, masing-masing sudah sedia menghulur tangan ke hadapan untuk dilibas dengan rotan.

Ataupun menyediakan punggung yang sudah dilapik buku. (Biasanya cikgu akan tahu dan si pembuatnya akan mendapat hukuman dua kali).

Kami semua bersikap gentleman. Tidak pernah lari daripada hukuman apabila melakukan sesebuah kesalahan. Tidak pernah juga berbohong dengan menafikan kesalahan yang telah sendiri lakukan.

Apatah lagi menuduh orang lain pula yang melakukan kesalahan yang tertuduh ke atas kami. Rotan tetap menjadi kenangan sampai bila-bila. Alat itu memudahkan kami ingat yang mana jalan tidak betul yang telah kami lalui. Malah ia adalah alat yang paling sederhana buat kami.

Alat pembaris yang digunakan untuk memukul itu tidak menakutkan. Alat lain seperti tali pinggang mahupun kerengga itu dikira sebagai tahap mendera.

Seelok-eloknya biarlah rotan sahaja digunakan sebagai alat yang sederhana untuk menghukum. Apabila direnungkan, ia adalah alat bantu yang membentuk saya dan kawan-kawan menjadi orang.

Kita membesar dengan rotan sebagai alat mendidik melalui peraturan dan hukuman. Ia adalah classical conditioning. Pendekatan mendidik melalui peraturan dan hukuman sudah sebati dengan kita.

Rotan adalah metaforanya. Pihak penguat kuasa lebih banyak mendisiplinkan kita dengan cara classical conditioning ini.

Malah, pendekatan dalam didikan agama pun lebih banyak memperkatakan mengenai dosa dan larangan dalam mencari jalan yang lurus. Topik neraka lebih banyak diperkatakan daripada syurga.

Apakah ini bagus? Tidak semestinya. Namun, ia adalah cara yang paling praktikal buat masa ini. Seandainya rotan sebagai alat mendidik ingin diketepikan melalui undang undang dengan menjadikan si perotan sebagai penjenayah, kita perlu memperbanyakkan pula pendekatan memberi roti sebagai cara mendisiplinkan seseorang.

Yang melanggar peraturan lampu merah dihukum, yang bergerak bila lampu hijau mesti diberi hadiah. Yang tak bayar bil elektrik menerima notis pemotongan, yang membayar tepat pada masanya perlu diberi diskaun.

Yang habiskan makanan di pinggan restoran diberi minuman percuma, yang tidak habiskan nasi perlu bayar tambahan 10 peratus.

Kita sedang melalui jalan yang masih jauh. Rotan tidak perlu terburu-buru diketepikan atau dilihat sebagai objek mendera. Dalam pada itu, kita perlu cepat-cepat rangsang masyarakat untuk mendapat roti sebagai insentif apabila mereka mematuhi sistem, bukan setakat sebagai hadiah apabila berjaya mencapai sesuatu tahap yang diinginkan.

Jangan ketepikan rotan selagi roti tidak cukup.

Kualiti akademik harus jadi ukuran

HAK berpolitik merupakan salah satu daripada hak-hak peribadi setiap rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia. Sokongan terhadap parti-parti tertentu tidak seharusnya menjadi kayu ukur terhadap kebolehan seseorang itu untuk berkhidmat kepada negara.

Yang wajar dijadikan kayu pengukur ialah mutu perkhidmatan diberikan (merit), bukannya kecenderungan ataupun kesetiaan politik.

Justeru, kita dikejutkan dengan laporan media alternatif berkait Prof Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya yang telah tidak disambung perkhidmatannya, didakwa kerana tidak menyokong sesebuah parti politik.

Jika ia benar, ini bukti zahir wujud campur tangan politik dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia.

Prof Syeikh Yusuf Al-Qardhawi mengingatkan bahawa perbezaan pendapat bukanlah sesuatu yang buruk, malah perbezaan itulah yang mendukung dan menyokong antara satu sama lain.

Perkembangan idea-idea yang bernas tidak boleh disandarkan kepada sesebuah pihak sahaja. Kata-kata pujangga: “You have your way. I have my way. As for the right way, the correct way, and the only way, it does not exist.”

Kata-kata ini menggambarkan bahawa kita tidak boleh sama sekali mengetepikan idea-idea yang mungkin berlainan daripada idea-idea kita sendiri. Sikap terbuka ini membuka ruang bagi kita menerokai dimensi-dimensi baharu, yang kita tidak mungkin terfikir tanpa bantuan daripada orang lain.

Bayangkan sekiranya sehingga hari ini kita bersikap tertutup, dan tidak menerima telahan daripada sarjana seperti Aristotle atau pun Khalifah Abu Ja'far Abdullah al-Ma'mun ibn Harun, mungkin barangkali kita masih lagi berfikir bahawa dunia ini bukan sebuah sfera. Sudah tentu banyak inovasi moden yang kita nikmati pada hari ini tidak wujud.

Perbezaan pendapat ini juga membuka ruang untuk kita menilai kekuatan atau kelemahan yang ada pada idea-idea kita sendiri. Pak-pak turut yang cuma tahu untuk mengangguk akan setiap tindak-tanduk pemimpin mereka akan gagal untuk memberikan gambaran sebenar akan kesesuaian sesebuah idea tersebut untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sebagai contoh, Malaysia sedang mengalami masalah yang mana pasaran minyak sedunia semakin menurun, yang memberikan kesan mendalam terhadap ekonomi dan nilai Ringgit.

Seharusnya, kerajaan memberikan peluang kepada pihak-pihak yang berkepentingan, terutamanya kepada badan legislatif terunggul iaitu Parlimen untuk membincangkan pemotongan terhadap belanjawan negara.

Kita bimbang sekiranya pemotongan belanjawan ini akan melibatkan pemotongan terhadap perkhidmatan-perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan, dalam masa sama belanjawan terhadap Jabatan Perdana Menteri langsung tidak diusik.

Kita mesti ingat, kawan yang sebenar ialah kawan yang mengingatkan serta menegur kesilapan yang kita lakukan, bukannya yang hanya mengangguk, menunggu kemusnahan yang bakal berlaku.

Justeru, demi masa depan negara yang lebih baik, kita mestilah meraikan perbezaan pendapat. Campur tangan politik demi kepentingan politik pemerintah perlu dihentikan dengan segera.

Dalam kes Prof Dr Mohd Hamdi, aspek kecenderungan politik tidak boleh dijadikan alasan sama ada dikekalkan perkhidmatan beliau dalam universiti.

Menurut laman web Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Hamdi telah menumpukan kehidupan profesional beliau dalam menggalakkan lagi bidang penyelidikan dan telah menjadi mentor kepada seramai 112 pelajar pascasiswazah dalam bidang mesin dan biomaterial.

Kejayaan beliau yang terbesar ialah menubuhkan Centre of Advanced Manufacturing and Material Processing (AMMP Centre) pada 2003, yang telah berjaya membuat penyelidikan dari peringkat asas hingga ke peringkat pra-komersial, bernilai RM14 juta sehingga kini.

Laman tersebut juga menyatakan Prof Dr Mohd Hamdi  juga berjaya menjadikan fakulti kejuruteraan sebagai salah satu yang paling berjaya di Universiti Malaya, sewaktu bertugas sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan dari tahun 2009 hingga 2011.

Jelas, sumbangan Prof Dr Mohd Hamdi  ini amat bernilai kepada negara, dan seterusnya kepada rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang politik, bangsa ataupun agama.

Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai SInar Harian Rencana 28 Januari 2015

Membina kemahiran fikir aras tinggi

KEMAHIRAN Berfikir Aras Tinggi (Kebat) telah menjadi isu penting sejak diperkenalkan PBS (Pentaksiran berasaskan sekolah). Ibu bapa telah diberi jaminan bahawa anak-anak mereka akan dibina Kebat melalui sistem pentaksiran yang baharu.

Namun keputusan PT3 amat mengecewakan. Salah satu sebab yang sering diperkatakan oleh ibu bapa tentang kegagalan ini ialah kerana pelajar tidak biasa dengan format baharu peperiksaan.




Sebenarnya guru-guru tidak pernah bersedia secukupnya untuk membolehkan mereka mengajar kandungan mata pelajaran dan pada sama menerapkan Kebat.

Keadaan ini berlaku sejak pelajar ini di tingkatan satu lagi, di mana guru hanya menumpukan banyak masa mereka kepada memasukkan eviden bagi tujuan pentaksiran.

Contoh Kebat ialah seperti pemikiran kritis dan pemikiran kreatif. Memang kedua-dua kemahiran berfikir ini nampak sangat mudah untuk dipelajari dan diajar. Namun untuk menerapkan Kebat dalam kandungan mata pelajaran tidaklah begitu mudah.

Ada tiga cara untuk mengajar pelajar berfikir. Cara pertama ialah dengan mengajar berfikir tanpa merujuk kepada kandungan mata pelajaran tertentu.

Cara kedua ialah dengan merangsang pelajar berfikir melalui pengajaran sesuatu kandungan pengetahuan yang disampaikan. Namun pemikiran pelajar dan pengajar tidak dijelmakan secara jelas.

Cara ketiga ialah dengan menerapkan Kebat seperti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif ke dalam kandungan  pengetahuan.

Salah satu bentuk pedagogi yang digunakan bagi tujuan ini ialah melalui pendekatan TBL (Thinking-based learning) yang idea asalnya daripada Profesor Robert Swartz.

Melalui pendekatan ini, guru bukan sahaja perlu tahu apa itu Kebat, tetapi juga dapat merancang bagaimana menerapkan Kebat ke dalam setiap tajuk dalam kandungan mata pelajaran yang perlu diajar.

Hasil pembelajaran harus dinilai bukan sahaja daripada kefahaman pelajar dalam sesuatu tajuk, tetapi juga daripada bentuk kemahiran berfikir yang digunakan atau dijelmakan dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Profesor David Perkins (Harvard Graduate School of Education) menyatakan, bahawa pelajar boleh dilatih untuk  menjelmakan pemikiran mereka dengan mendedahkan kepada bahasa-bahasa pemikiran (Tishman & Perkins, 1997) seperti hipotesis, penaakulan induktif, penaakulan deduktif dan lain-lain serta aplikasinya dalam penyelesaian masalah.

Kebolehan pelajar mengetahui bentuk pemikiran yang digunakan membolehkan pelajar lebih memahami pemikiran mereka, membuat refleksi dan menilai strategi-strategi pemikiran yang pernah digunakan dan menambahbaikkannya, seterusnya membantu pelajar dalam membentuk satu lagi aspek Kebat yang dikenali sebagai kemahiran metakognitif.

Pembelajaran begini akan lebih bermakna dan menyeronokkan serta pelajar dapat mengaitkan aktiviti dalam bilik darjah kepada kehidupan harian.

Bagaimana sebenarnya untuk membentuk pelajar yang mampu berfikir pada aras Kebat? Apa yang pasti bukan hanya cara menyediakan soalan-soalan Kebat tanpa pelajar dilatih belajar menjelmakan pemikiran kritis dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu diberi latihan untuk menerapkan Kebat dalam kandungan mata pelajaran.

Pendekatan Kebat juga harus digunakan untuk mempertimbangkan perkara-perkara seperti siapa yang patut melatih guru-guru, bentuk latihan dan masa program latihan yang sesuai untuk menguasai kemahiran yang diperlukan.

Dengan cara ini pelajar lebih bersedia untuk menjawab soalan-soalan Kebat dan memberi laluan yang positif untuk pelajar-pelajar Malaysia bersaing dalam PISA dan TIMMS.

Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan asalkan kita berfikiran terbuka.

Zahari Othman Ketua Unit TBL & Problem Solving Center For teaching Thinking Institute Of Education, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM)  

Bercakap benar, biarpun pahit

BIJAK dan berkepimpinan menjadi kelebihan bagi personaliti Kampus Legend ini, Datuk Khairul Anwar Rahmat, 38. Beliau yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) turut bergiat aktif dalam bidang politik.

Buku menjadi teman paling baik dan jujur buat Khairul Anwar.


Antara jawatan beliau dalam bidang politik ialah Ketua Sekretariat Perundangan Umno Malaysia, Naib Ketua Pemuda Umno Johor dan Ketua Pemuda Umno Kluang.

Anak kelahiran Kampung Melayu, Kluang ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Tunku Mahmood 1, Kluang dan Sekolah Tinggi Kluang. Di zaman persekolahannya, beliau menyandang jawatan ketua kelas dan ketua pengawas. Selain aktif dalam bidang sukan olah
raga dan bola sepak hingga ke peringkat negeri, beliau juga bergiat dalam acara pidato dan bahas.

“Sejak dulu, emak saya, Kamariah Arifin dah sebut setiap daripada kami sembilan beradik bila besar nanti nak jadi apa. Kami pilih berlainan bidang supaya boleh tolong antara satu sama lain. Kini masing-masing dah jadi doktor, jurutera, akauntan, guru, peguam, dan pakar teknologi maklumat.

“Emak saya sangat tegas dalam soal agama dan mengaji. Hal pelajaran diserahkan kepada Allahyarham ayah saya, Rahmat Sulaiman, yang juga bekas guru, imam dan amil. Dia sangat terbuka dan penuh kata-kata hikmah,” katanya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ini sejak kecil diasuh peka dengan keadaan sekeliling. Beliau melihat pendekatan bapanya, bekas Ketua Umno Cawangan Kampung Melayu, Kluang dalam mentadbir dan membantu masyarakat.

“Politik tidak pernah memberikan apa-apa imbuhan kepada ayah saya. Dari situ saya melihat Umno sebagai gerakan masyarakat, bukan parti politik.

“Saya tidak pernah anggap politik itu sebagai kerjaya, sebaliknya memberi khidmat bakti kepada masyarakat. Umno, gerakan massa sekarang semakin luntur kerana terlalu lama di puncak kuasa, sehingga ada yang buat duit.

Sering mendapat perhatian pihak media untuk mendapatkan pandangan beliau dalam bidang undang-undang.


“Tidak hairanlah jika ada yang berebut jawatan, malah merajuk apabila namanya tidak tersenarai. Bagaimanapun sehingga kini, Umno adalah paling baik untuk membela kaum Melayu,” ujar pasangan kepada Datin Yuskiahniza Md Yusof.

Perjuangan di kampus

Berkongsi pengalaman di zaman kampus, Khairul Anwar menjadi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) UIAM, 1997 hingga 1999. Beliau bersama pemimpin pelajar sering berbincang mengenai perjuangan masyarakat, dakwah dan politik.

Beliau pernah ditahan polis ketika berdemonstrasi bersama pelajar PKPIM seluruh negara di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah konsert Saleem Cool Planet yang menampilkan artis luar negara pada Disember 1999. Mereka tidak bersetuju dengan budaya hedonisme iaitu hiburan yang melampau.

“Dari situ, saya berkenalan ramai pimpinan mahasiswa dan sehingga kini masih berhubungan. Mereka sudah pun berada di kedudukan strategik dalam kerajaan. Kita pernah duduk dan berkata, suatu hari nanti mesti berada di tempat strategik untuk mengubah landskap politik dan kemasyarakatan negara.

“Pemimpin mahasiswa 1990an ini akan menjadi pemimpin utama negara dalam semua bidang dan kita boleh bersatu atas dasar Islam dan umat seperti yang dilaungkan hampir 20 tahun lalu,” katanya.

Bantu masyarakat

Selepat tamat pengajian, Khairul Anwar berkecimpung dalam bidang kewartawanan di New Straits Times selama lima tahun. Beliau dan rakannya, Mohd Yusof Sulaiman dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kajai 2002.

“Artikel kami berjaya membongkar hal birokrasi pejabat tanah, yang menyebabkan tanah 50 tahun tak keluar geran. Akibat pembongkaran isu tersebut, saya pernah dapat surat ugutan dan kenderaan kena baling.
Bersama isterinya, Yuskiahniza (berdiri, kanan).

“Prinsip saya mahu lakukan yang terbaik. Apabila kerjaya wartawan sudah sampai kemuncak, saya kembali ke bidang guaman saya dengan membuka firma sendiri pada 2004. Selepas itu, saya bertemu beberapa pemimpin yang pernah saya kenal semasa jadi wartawan.

“Kata mereka, kalau nak berjuang masuk arena politik. Saya melakukan solat istikharah dan sertai Umno di Johor. Sebagai bekas pemidato, saya berpegang kepada bercakap benar walaupun pahit di sebelah pihak dan jujur mengatakan sesuatu.

“Menjadi pentadbir dan pemerintah perlu tadbir dengan adil dan saksama. Kita perlu berani menongkah arus, buat sesuatu yang tidak popular pada masa itu tetapi tepat dan berhasil. Ini dapat dilihat beberapa faktor fikiran termaju seperti bekas Perdana Menteri Tun dr Mahathir.

“Itu semua perlukan banyak membaca dan ia menjadi teman ilmu paling baik dan jujur. Dari situ saya mengetahui sejarah zaman Nabi Muhammad SAW dan khalifah. Ini menukilkan perjuangan dalam konteks berani tegur pemimpin tetapi tidak sampai pecah organisasi,” ujar bapa tiga anak ini.

Beliau sebagai Pengerusi firma guaman Khairul A. & Co dan firma syariah KA Syariah Advisory, kini mempunyai tujuh cawangan, 70 staf dan 30 peguam di seluruh negara. Di SukaGuam, beliau memberikan khidmat kemasyarakatan terutama berkaitan literasi undang dan bantuan guaman.

“Saya pilih kerjaya peguam kerana ia adalah fardu kifayah bagi umat Islam dalam memberikan nasihat guaman terbaik untuk masyarakat. Bidang guaman ini mendekatkan kita dengan masyarakat. “Undang-undang ialah satu set peraturan yang menentukan tatacara hidup masyarakat. Keluhuran undang-undang perlu dihormati sebagai tanda aras negara bertamadun.

“Lebih ramai orang muda perlu menyertai bidang ini untuk memberikan dimensi yang lebih segar terhadap undang-undang. Orang muda juga secara semula jadinya amat berminat dengan isu keadilan,” katanya.