February 1st, 2015

Trend ugut, rogol, bunuh

BARU-BARU ini saya berkesempatan berjumpa dengan seorang blogger bukan Melayu yang seringkali ber­sikap lantang bercakap mengenai kebenaran tentang apa yang berlaku melibatkan parti pembangkang.

Beliau yang sememangnya konsisten menulis ten­tang muslihat serta pembohongan DAP serta pakatan pem­bangkang sering sahaja mencetuskan kontroversi yang ak­hirnya membuatkan pihak ini tidak senang duduk. Namun keberaniannya menulis dan mendedahkan perkara sebenar selain sering bersikap sinis terhadap pihak pembangkang serta sebuah akhbar Inggeris yang padanya semakin tersasar dari landasan sememangnya perlu dihormati.

Ini kerana walaupun beliau bukan berbangsa Melayu tetapi begitu berani mendedahkan perkara tidak popular dan tidak bertujuan untuk menarik simpati atau meraih populariti. Akibat sikapnya yang berani ini telah memberi kesan yang bukan sedikit. Beliau dikatakan telah mendapat ugutan bunuh, pukul malah rogol akibat tulisannya yang kerap mendedahkan kepincangan dalam kalangan pembangkang.

Banyak pihak melihat keberanian beliau menulis sikap sebenar DAP dan pembangkang sebagai tindakan yang melawan arus. Apatah lagi penulisannya lebih rasional dan tidak terlalu terikut-ikut beberapa penulis sebangsanya yang adakalanya dilihat keterlaluan. Beliau menulis tidak terlalu terikut-ikut tentang agenda perkauman dan agama seperti yang sering dilakukan oleh pemimpin dan penyokong pembangkang yang sarat dengan fitnah keterlaluan terhadap orang Melayu dan Islam.

Walaupun beliau bukan Melayu dan beragama Islam tetapi penulisannya selalu mempertahankan kedudukan orang Melayu, agama Islam serta menempelak pemikiran jumud dalam kalangan anggota DAP dan PKR. Beliau juga selalu mendedahkan tentang cubaan pihak-pihak tertentu yang semakin berani menyebarkan agama tertentu malah hingga ke peringkat memurtadkan orang Melayu seperti mana yang pernah berlaku di sebuah negeri tidak lama dahulu.

Akhir-akhir ini akibat penulisannya itu telah men­da­tangkan bahaya kepada di­ri­­nya sehingga menerima ugu­tan daripada pihak tidak bertanggungjawab. Malang bagi­nya kerana terpaksa berhadapan dengan tindakan pihak yang berfikiran sempit malah sanggup pula mengugut sehingga ke tahap membunuh.

Apabila mendengar cerita beliau ini saya teringat kisah sama yang pernah dilalui melibatkan seorang penulis muda yang juga bukan berbangsa Melayu. Penulis muda ini lebih popular dengan nama gelaran SYA atau nama se­benarnya Shen Yee Aun, juga per­nah menerima ugutan pukul dan bunuh selain salah seorang rakannya menerima ugutan ro­gol hanya kerana menyatakan so­kongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Syee Aun merupakan seorang blogger dan penganalisis politik selain pernah menjadi kolumnis di akhbar ini.Nampaknya permainan ugut-mengugut sehingga ke tahap sanggup membunuh dan merogol kini sudah menjadi seperti satu trend atau mungkin budaya yang berbahaya serta menjijikkan jika tidak dikawal.

Ia seolah-olah sudah menjadi antara tindakan yang se­ring dilakukan terhadap mereka yang berfikiran ra­sio­nal dan tidak terlalu berfikiran perkauman terutama melibatkan mereka yang berbangsa bukan Melayu. Keli­hatannya apabila mereka menulis tentang perkara sebenar, pelbagai ugutan dan ancaman akan dilakukan supaya mereka tunduk dan akhirnya menyerah kalah.

Namun melihat kepada semangat dan iltizam Syee Aun dan blogger yang sengaja saya rahsiakan namanya ini, mereka masih belum mengalah dan tetap teguh dengan pendirian. Ini kerana blogger ini semakin cekal ma­lah semakin berani mendedahkan tentang percubaan memurtadkan orang Islam yang kini semakin berleluasa dan menakutkan.

Mungkin bagi sesetengah orang, jika menerima ugutan sebegini mereka akan berfikir untuk menghentikan usaha dan tindakan yang dilakukan sebelum itu. Tetapi berbeza pula dengan blogger ini yang mana beliau semakin berani mendedahkan tentang gerakan pihak-pihak tertentu yang dikatakan semakin berani menyusup dan menyamar hing­ga ke tahap memeluk Islam untuk mengelirukan orang Islam lain terutama mereka yang lemah dan tidak mempunyai fahaman agama yang kuat.

Malah ujarnya lagi, ada juga dalam kalangan mereka yang cuba menyelami budaya dan cara hidup orang Melayu selain belajar Bahasa Melayu untuk memudahkan usaha penyebaran agama mereka dalam kalangan orang Islam dan Melayu.

Amat malang bagi seorang yang berfikiran rasional tentang realiti kehidupan di negara ini akhirnya dilayan dan diugut sebegitu teruk hanya kerana pendapat dan pemikirannya tidak sehaluan dengan beberapa pemimpin pembangkang. Mungkin ugutan dan tindakan sebegini ada kaitannya dengan Red Bean Army yang sering bertindak bacul di belakang tabir alam siber dengan melakukan tindakan mengugut sebegini.

Namun saya tetap yakin bahawa majoriti rakyat bukan Melayu di negara ini masih rasional dan berfikiran waras untuk tidak sama terlibat dalam budaya bacul sehingga ke peringkat ugut-mengugut sebegini. Kebanyakan me­re­ka berpendirian seperti blogger ini serta Syee Aun, namun akibat dakyah keterlaluan yang disebarkan pihak pembangkang mengakibatkan terdapat mereka yang keliru dan takut untuk menyuarakan pandangan serta sokongan.

Oleh itu saya juga berharap pihak berkuasa perlu bertindak melindungi orang sebegini supaya keselamatan dirinya dan haknya sebagai rakyat Malaysia untuk hidup bebas lebih terjamin. Kita juga mahu supaya hak bersuara dan kebebasan penulis-penulis ini lebih terjamin dan telus bukan hanya terarah kepada pihak pembangkang.

Kalau mereka boleh memperjuangkan soal kebebasan bersuara dan hak asasi manusia atas asas demokrasi, apakah mereka ini tidak mempunyai hak sebegitu hanya kerana lebih condong berfikiran rasional dan di luar batasan kaum. Maka akhirnya sudah jelas siapa sebenarnya yang berselindung dan hanya memperjuangkan hak tertentu hanya untuk kepentingan serta agenda peribadi pihak yang pandai bermuka-muka.

- Hafizahril Hamid Utusan Malaysia Rencana Februari 1, 2015

Melayu dalam jiwa Zakharov

KITA ada temu bual dengan orang putih yang fasih bercakap bahasa Melayu?" Itu soalan yang terpacul daripada mulut jurugambar apabila mendapat tugasan bersama penulis untuk mewawancara bekas kolumnis Utusan Malaysia, Svet Zakharov.


Bekas kolumnis Utusan Malaysia

Svet Zakharov

Zakharov merupakan warganegara Rusia yang fasih berbahasa Melayu. Lelaki itu yang kini menginjak usia 84 tahun, merupakan tenaga pengajar Bahasa Melayu/Indonesia di Institut Hubungan Antarabangsa, Rusia.

Anak bongsu daripada dua adik-beradik itu dilahirkan pada 14 Julai 1930 di Ukraine. Bapanya yang merupakan seorang pegawai tentera Rusia bertemu dan bercinta dengan ibunya yang merupakan warga Siberia, di medan tempur.

Selepas menamatkan persekolahan pada 1938, lelaki itu melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa Indonesia di Institut Ketimuran Moscow di Rusia. Apabila institut tersebut dibubarkan pada 1954, Zakharov menyambung pengajiannya di Institut Hubungan Antarabangsa di bawah Kementerian Luar Kesatuan Soviet.

Sebaik menamatkan pengajiannya di institut tersebut, Zakharov ditawarkan mengajar Bahasa Indonesia di institut tersebut pada 1955 kerana kecemerlangannya dan mempunyai penguasaan bahasa Indonesia yang amat baik.

Namun, beliau hanya menjadi tenaga pengajar di institut tersebut selama tiga tahun iaitu sehingga 1957. Zakharov yang amat meminati bidang penulisan dan berita kemudian menceburi kerjaya baharu sebagai wartawan dan pengarang di Novosti Press Agency yang merupakan sebuah agensi berita di Rusia.

Kagum bangsa Melayu

Selain menjadi wartawan, Zakharov pernah dilantik sebagai Pegawai Penerangan Kesatuan Soviet dan beberapa jawatan lain berkaitan penerangan di Jakarta, Indonesia. Oleh sebab telah menetap agak lama dan bercampur di Indonesia, rasa kasih dan cintanya terhadap budaya dan bangsa Melayu mula berputik.



Svet Zakharov bersama anak angkatnya, Lena Korchagina.

Menurut beliau, budaya Melayu yang ada di Indonesia dan Malaysia merupakan budaya yang cukup unik dan tidak mampu ditemukan di mana-mana pelosok dunia. Katanya, budaya Melayu seharusnya dikekalkan dan dipelihara oleh orang Melayu itu sendiri dan juga bangsa-bangsa lain agar keunikan yang ada mampu dilihat dan dipelajari oleh generasi baharu.

“Saya cukup kagum dengan jiwa pemimpin Malaysia yang berjaya membawa negara ini mencapai kemerdekaan dan terus maju. Apa yang dilakukan oleh pemimpin Malaysia selama ini terutamanya Tun Dr. Mahathir Mohamad, membuktikan bahawa orang Melayu yang berkulit sawo matang mampu berada sama tahap, bahkan dapat menyaingi orang kulit putih,” jelasnya.

Katanya, bangsa Melayu merupakan bangsa yang celik pemikiran dan ternyata setanding dengan cerdik pandai bangsa-bangsa lain. Jelas beliau, buktinya bangsa Melayu mampu untuk mencipta pelbagai produk bagi kegunaan masyarakat dunia ketika ini.


Zakharov bersama Ahmad Supardi Adiwijaya (kiri) dan Rektor Institut Ketimuran Universiti Moscow, Prof. Nelly (tengah).

Beliau juga menyatakan slogan Malaysia Boleh sangat bagus kerana mampu memberikan suntikan semangat yang tinggi kepada rakyat negara ini. Katanya, antara cabaran besar yang berjaya dilakukan oleh rakyat Malaysia ialah ekspedisi ke Kutub Utara.

Di samping itu, Zakharov menghargai usaha yang dibawa oleh kerajaan negara ini dalam memelihara tamadun Melayu termasuk menggabungkan seni bina Melayu dalam pembinaan bangunan-bangunan moden.

"Ini secara langsung membawa keindahan yang unik dan pemandangan yang cukup sihat di Kuala Lumpur yang merupakan antara bandar dalam taman di dunia," ujar beliau.

Menurut Zakharov, orang Rusia cukup memandang tinggi cara pentadbiran pemimpin-pemimpin Malaysia kerana berjaya membawa negara ini ke tahap sekarang. Malah, nama Malaysia dan produk-produk negara ini terutama barangan elektronik cukup terkenal di Rusia.

Katanya, situasi ini sihat untuk hubungan Malaysia dan Rusia yang kini semakin erat dari semasa ke semasa dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi dan pendidikan.

"Saya mungkin tidak mengenali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara dekat tetapi saya nampak beliau mempunyai kehebatan yang ada pada diri bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.

“Saya mengenali ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan, ketika di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi. Bagi saya, beliau telah membuat banyak perubahan selain membawa dimensi baharu kepada sistem pertahanan Malaysia.

Daripada sudut pandangan wartawan luar seperti beliau, Zakharov amat menyukai Najib dan menyifatkan Perdana Menteri sebagai seorang pemimpin yang bersikap sederhana tetapi mempunyai pengetahuan yang cukup mendalam.

“Najib tidak pernah membanggakan diri seperti pemimpin lain. Beliau sangat berkarisma dan pengetahuan yang luas tetapi orangnya sangat bersederhana. Beliau juga tidak pernah menolak ketika ingin diwawancara oleh wartawan antarabangsa," jelas Zakharov sambil memuji sistem pengangkutan di Malaysia sebagai antara yang termoden di dunia.

"Cinta" Siti Nurhaliza

Satu lagi perkara yang menarik mengenai Zakharov ialah lelaki ini amat meminati penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Menurut Zakharov, dia sudah jatuh cinta terhadap keunikan suara Siti Nurhaliza ketika kali pertama mendengar nyanyian penyanyi itu dalam satu majlis sains dan teknologi di Sumatera, Indonesia.

“Saya pernah membeli album Siti Nurhaliza ketika saya bertugas sebagai pengantara dalam majlis tersebut. Semasa saya memasang lagu Widuri nyanyian Siti Nurhaliza kepada seorang rakan dari Rusia, dia terus mengalirkan air mata.

Menurut Zakharov, beliau ingin sangat melihat Siti Nurhaliza atau mana-mana artis Malaysia menjadi wakil orang Melayu untuk menyebarkan budaya Melayu yang cukup unik ini di Rusia.

Jelas Zakharov, orang Rusia sebenarnya cukup suka dan menghargai muzik klasik termasuk muzik tradisional Melayu dan ia mesti dipertahankan, walaupun muzik moden semakin berkembang.

Minat bekas kolumnis Utusan Malaysia ini terhadap bahasa dan budaya orang Melayu dapat dilihat apabila bila bersama rakan-rakannya pernah menghasilkan kamus poket Bahasa Rusia - Bahasa Melayu. Menurut Zakharov, beliau dan rakan-rakannya kini sedang menyiapkan dan ingin menerbitkan sebuah buku tentang pemikiran yang dibawa oleh Mahathir.

"Pertukaran budaya perlu dilakukan agar kita lebih mengenali budaya masing-masing. Karya-karya hebat dari Rusia seperti buku serta karya seni perlu lebih banyak diterjemah ke dalam bahasa Melayu dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Kecerdasan emosi tentukan tindakan

Kecerdasan emosi penting untuk kita mendapatkan sesuatu matlamat dan tujuan kehidupan. Magnet diri kita bergantung kepada kecerdasan emosi kita. Untuk mencapai matlamat dalam kehidupan, kita mesti tahu apa yang kita hendak, dan spesifik apakah yang menjadi matlamat kita?

Contohnya, sebagai Mukmin, kita mesti spesifik dengan matlamat kita; iaitu mahu menjadi orang yang kuat akidah, taat beribadah dan baik akhlak, untuk menjadi ahli syurga. Sebagai seorang isteri, kita berniat hendak menjadi isteri seperti Siti Khadijah, isteri Rasulullah SAW, yang kaya, baik, pemurah, menjaga kedudukan dan maruah suami. Setiap yang kita laksanakan, mesti ada garis panduan atau penanda aras secara spesifik, kita hendak apa dan hendak menjadi macam mana? Barulah jelas tindakan dan sasaran kita, serta akan memberangsangkan emosi kita.



Berubah menjadi EISQ

Emosi yang perlu ada hanyalah emosi positif, barulah sasaran dan matlamat kehidupan kita mudah dicapai. Emosi positif itu ialah, pertama, emosi cergas dan kasih sayang. Kedua, emosi menghormati orang. Ketiga, emosi menghargai orang lain. Jika kita ingin dihargai, tetapi tidak suka menghargai orang, sukar untuk mencapai matlamat yang disasarkan, kerana kita tidak akan mendapat kerjasama dan kesepakatan daripada orang lain. Keempat, emosi murah hati dan penuh belas kasihan. Orang yang tua daripada kita, kita hormat. Orang yang kurang daripada kita, kita belas kasihan. Automatik apabila kita jumpa orang tua, orang miskin, kanak-kanak kita kasihan. Kesemua emosi yang baik ini akan memberikan kecerdasan emosi dan menentukan kecerdasan tindakan.

Bagaimanakah hendak menangkis secepat mungkin emosi negatif yang datang dalam fikiran kita? Apa pun emosi kita, sama ada positif atau negatif, kita mesti bersyukur. Terutama untuk emosi negatif, contohnya kita berada dalam kesusahan dan kesedihan, tangkiskan emosi negatif itu dengan kesyukuran. Mensyukuri apa yang kita ada, bukan fokus kepada kesukaran yang kita hadapi atau fokus kepada kehilangan apa yang kita ada.

Seterusnya kalau kita berada dalam emosi negatif hendak marah, cara mengawalnya, bayangkan orang yang kita hendak marah itu, kanak-kanak umur lima tahun. Pasti kita tidak tergamak untuk memarahinya dan kita akan memandangnya dengan rasa kasih sayang dan rasa kasihan. Manusia yang mempunyai sifat kuat marah biasanya berpunca daripada dua sebab sahaja. Pertama, kerana kita berasa tidak cukup kasih sayang. Kedua, kerana kita berasa cukup baik.

Manifestasi emosi orang yang berasa dirinya cukup baik ini, biasanya kita seorang yang terlalu betul dan cerewet? Kita berasa kita betul, kita baik dan kita sahaja yang positif, sedangkan pada hakikat sebenarnya tidak. Setiap kali kita katakan hendak “membuktikan” bermakna kita sedang sibuk mengharapkan penghargaan daripada orang sekeliling kita. Apa yang kita harapkan kalau kita hendak “membuktikan”? Maknanya kita mengharapkan sanjungan, pujian dan pasti mewujudkan suasana persaingan, bukan kerja sama, serta masing-masing hendak tunjuk dia paling hebat.

Romantik

Bagi emosi orang yang kurang disayangi pula, kita akan suka mencari perhatian. Dalam Facebook kita akan melakukan perkara yang pelik-pelik, dan ini bermakna kita kurang perhatian dan kita meminta diberikan perhatian. Ini adalah tanda emosi orang yang kurang disayangi.

Contohnya dalam rumah tangga, sebagai suami kalau lihat isteri memakai pakaian yang terlebih sangat fesyennya dengan barang perhiasan yang serba terlebih, bermakna isteri sedang mencari perhatian di luar daripada orang lain, kerana dia kurang mendapat perhatian daripada orang yang terdekat dengannya, iaitu orang dalam rumahnya, iaitu suaminya sendiri. Suami perlu memeluk isteri dan membelai isteri serta katakan bahawa anda sebagai suami menyayanginya.

Jadilah suami yang romantik seperti Rasulullah SAW. Para suami, berapa kali anda katakan kepada isteri, bahawa anda menyayanginya? Jangan tunggu hari ulang tahun perkahwinan atau hari kelahiran baru suami hendak menyatakan kasih sayang kepada isteri. Jangan bermusim untuk menyatakan sayang, masa yang penting masa sekarang, orang yang penting orang yang terdekat dengan kita, perkara penting berbuat baik. Orang yang sukses hidupnya akan menggunakan masa sekarang dan melupakan masa silam. Emosi yang positif antara suami dengan isteri akan menarik magnet positif kepada anak-anak, dan seterusnya memberikan kesan positif kepada keluarga dan seterusnya kepada negara.

Sesuatu yang dilakukan dengan emosi yang positif lebih cepat atau mudah tercapai matlamatnya. Kalau sesuatu yang kita 'hendak' dengan sesuatu yang kita ‘hendak sangat’, mana satu yang kita akan dapat? Tentulah kita akan dapat yang kita ‘hendak sangat’ atau ‘yang paling kita hendak’.

Kita mesti fokuskan emosi kita. Kalau kita hendak sangat, sesuatu itu, kita mesti dapat. Hal ini adalah kerana emosi kita yang paling kuat itulah, yang akan datang kepada kita. Ertinya, kalau emosi kita positif maka, perkara positiflah yang akan datang dan demikianlah sebaliknya jika kita beremosi negatif. Oleh sebab itu kita fokus apa yang kita mahu dengan mengawal emosi kita ke arah yang positif, bersangka baik dan berharap yang baik-baik daripada Allah, selain berdoa dan bertawakal.

Bagi menjaga kecerdasan emosi mesti; pertama ada ilmu. Kedua, amal. Ketiga, istiqamah. Emosi yang mesti ada cuma kasih sayang, hormat, murah hati, ceria, dan banyakkan senyum. Emosi adalah segala-galanya, dan jangan menuduh wanita emosional. Apabila wanita emosional, bermakna ada yang tersirat di hati isteri yang tidak kena, yang perlu suami fahami isteri. Suami layani isteri dan hargai isteri, seperti mula-mula berkahwin dahulu, yang saling sayang menyayangi.

Para isteri juga, kawal emosi. Respons yang positif kepada peristiwa negatif akan memberikan hasil kehidupan yang positif. Orang berbuat baik kepada orang yang berbuat baik kepadanya; fitrah/biasa. Orang berbuat jahat kepada orang yang berbuat baik kepada; kejam. Orang berbuat baik kepada orang berbuat jahat kepadanya; sunnah. Para isteri kalau sabar dengan kezaliman suami; sunnah. Jom, fikir dan nilai emosi kita.Apabila kita menjaga emosi, kita juga boleh menjaga emosi orang sekeliling kita. Interaksi manusia dengan komponan yang sangat besar datang daripada hati. Banyak orang terlalu menggunakan dan tidak mengambil berat tentang nilai hati, maka berlaku banyak kepincangan dalam kehidupan kita.

Dari segi kecerdikan minda positif atau negatif pula, bergantung pada pilihan kita setiap hari, yang menentukan emosi kita positif atau negatif. Lihat pada diri kita apakah pilihan pembacaan kita? Adakah kita memilih bahan bacaan yang positif atau negatif? Apabila kita suka membaca perkara yang negatif bererti dalaman (hati) kita akan menjadi tidak elok. Semua pillihan itu menentukan emosi kita dan menjadi filter system atau tapisan ke arah kebaikan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Ke mana akhirnya Anwar? Penghakiman 10 Februari ....

Kita kini di awal Februari 2015. Selasa minggu depan (10 Februari) ialah Judgment Day (hari penghakiman) mutakhir untuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Jumaat 7 November 2014 lalu, Mahkamah Persekutuan selesai mendengar rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan terhadapnya pada Mac 2014 lalu.

Prosiding di Mahkamah Persekutuan itu bermula pada 28 Oktober tahun lalu. Pada mulanya mahkamah menetapkan dua hari sahaja untuk prosiding rayuan peringkat terakhir ini, tetapi pasukan peguam Anwar seramai 14 orang itu memerlukan lapan hari sebelum prosiding tamat.

Pengadu dalam kes ini, Saiful Bukhari Azlan, memberitahu wartawan bahawa kes ini telah berjalan selama lebih enam tahun, dan Anwar telah membuat lebih daripada 100 permohonan untuk melambat-lambatkan prosiding. Namun, Saiful yakin Mahkamah Persekutuan akan akhirnya membuat satu keputusan yang adil bagi pihaknya; meskipun begitu dia bersedia jika keputusan mahkamah itu nanti menyebelahi Anwar.

Kes terbaru melibatkan Anwar ini dipanggil media sebagai “Liwat II” (Sodomy II) kerana pada 8 Ogos 2000 Anwar telah pun disabitkan dengan kesalahan meliwat seorang individu lain bernama Azizan, dan telah dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun. Pada 18 April 2003, Mahkamah Rayuan telah mengukuhkan sabitan dan hukuman itu, tetapi pada 2 September 2004 Mahkamah Persekutuan telah memutuskan (dengan keputusan majoriti) bahawa Anwar tidak bersalah dan telah membebaskannya. Kes itu disebut sebagai “Liwat I”.

Kes sekarang (Liwat II) bermula apabila Saiful membuat laporan polis pada 28 Jun 2008, mendakwa bahawa dia telah diliwat oleh Anwar di satu kondominium di Damansara dua hari sebelumnya. Kes ini mula didengar di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008. Bagaimanapun tujuh bulan kemudian, pada 5 Mac 2009 Mahkamah Tinggi memerintahkan bahawa kes ini hendaklah didengar di Mahkamah Tinggi. Hampir satu tahun berlalu sebelum kes didengar.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi bermula pada 3 Februari 2010 bila Saiful memberi keterangan sebagai saksi pasukan pendakwaan. Pasukan pendakwaan mengambil masa lebih satu tahun untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap Anwar. Pada 16 Mei, 2011 (iaitu hampir tiga tahun selepas Saiful membuat laporan polis) hakim bicara memutuskan ada kes prima facie terhadap Anwar, lalu memanggilnya untuk membela diri.

Dua tahun lagi berlalu apabila pasukan peguam bela Anwar berhempas pulas berusaha membuktikan anak guam mereka tidak bersalah dan memohon agar hakim bicara melepas dan membebaskannya. Usaha dan kerja keras mereka berjaya bila akhirnya pada 9 Januari 2012, hakim bicara (Hakim Mohamad Zabidin) membuat satu keputusan yang dramatik, mengisytiharkan Anwar tidak bersalah dan membebaskannya.

Hakim Bicara memutuskan adalah tidak selamat untuk mensabitkan kesalahan tertuduh kerana dia tidak yakin 100 peratus tentang integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu. Terkilan dengan keputusan hakim bicara itu, pasukan pendakwaan telah merayu ke Mahkamah Rayuan.

Sekali lagi, dua tahun berlalu sebelum Mahkamah Rayuan dapat mengumumkan keputusannya. Pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan keputusan hakim bicara dan mendapati Anwar sabit kesalahannya meliwat Saiful dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya. Mengikut Mahkamah Rayuan, hakim bicara telah melakukan kesilapan bila dia memutuskan tentang integriti sampel DNA tersebut.

Terkejut dengan sabitan Mahkamah Rayuan inilah Anwar kemudian telah memohon izin untuk merayu ke Mahkamah Persekutan. Izin diberi dan prosiding di Mahkamah Persekutuan bermula pada 28 Oktober 2014 lalu.

Prosiding di Mahkamah Persekutuan bermula dengan pasukan peguam bela Anwar membuat hujah mereka kepada panel hakim. Sewaktu prosiding hendak bermula, penyokong Anwar membawa masuk dua tokoh politik dari Indonesia dan Filipina (Dave Laksono, Ahli Parlimen dari Jawa Barat Indonesia, dan Bebot Bello, Ahli Kongres Filipina).

Kedua-dua individu ini mendesak agar segala pertuduhan terhadap Anwar digugurkan. Mereka juga mendakwa prosiding jenayah yang dibuat terhadap Anwar ini adalah satu cubaan untuk menamatkan kerjaya politiknya dan “satu pencabulan hak asasi manusia yang bertentangan dengan Artikel 14 Piagam ASEAN tentang hak asasi manusia.”

Sementara itu, pada 13 Ogos 2014 (iaitu kira-kira lima bulan selepas Mahkamah Rayuan mensabitkan kesalahan Anwar), Saiful telah memfailkan satu tuntutan sivil menuntut ganti rugi RM50 juta terhadap Anwar, mendakwanya telah meliwatnya pada 2008 dan selepas itu memfitnahnya.

Penghakiman 
10 Februari?

Negara kita mengamalkan sistem adversarial. Di bawah sistem begini, tiada sesiapa pun boleh meramalkan dengan keyakinan 100 peratus pihak tertentu akan menang.

Jika kita tanya pengamal undang-undang di negara ini, apakah Mahkamah Persekutuan akan mengukuhkan keputusan Mahkamah Rayuan (mensabitkan Anwar ) atau akan memilih keputusan Hakim Bicara (mendapati Anwar tidak bersalah), pastinya kita akan mendengar jawapan yang berbeza.

Apa pun, pada hari terakhir prosiding di Mahkamah Persekutuan pada awal November 2014 lalu, Anwar Ibrahim telah menyatakan (dengan penuh yakin) bahawa pasukan peguam belanya telah berjaya memusnahkan kes pasukan pendakwaan.

“Saya belum lagi dalam keranda” (I’m not in the coffin), katanya kepada wartawan.

Ramkarpal Singh, salah seorang peguam bela Anwar, memberitahu media bahawa pasukan peguam bela berterima kasih kepada panel hakim Mahkamah Persekutuan kerana mereka telah menunjukkan sikap penuh kesabaran sewaktu mendengar segala hujah mereka. Dia yakin pada akhirnya keadilan akan berlaku (justice will prevail at the end of the day).

Seorang lagi peguam bela Anwar, Gobind Singh Deo, dipetik sebagai berkata “Kita yakin akan berjaya” (We are confident of success).

Datuk Seri Gopal Sri Ram, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan ketua pasukan peguam bela Anwar, berhujah pada hari terakhir prosiding bahawa Saiful adalah “seumpama batang kayu yang patah, seorang saksi yang tidak ada nilai, tidak boleh dipercayai sama sekali” (a broken reed, a worthless witness, a man devoid of any credibility).

Pada 26 Januari 2015 lalu, akhbar The Star memetik Anwar sebagai berkata “Saya yakin saya akan dibebaskan”.

Andainya Anwar, kini 67 tahun - kecundang kali ini dan rayuannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari depan ini, dia akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Kerjaya politiknya akan berakhir di sini.

Andainya dia berjaya dan Mahkamah Persekutuan meluluskan rayuannya, ramai pemerhati politik tempatan berpendapat kehadirannya terus dalam arena politik negara ini tidak akan memberi apa-apa kesan langsung. - Salleh Buang ialah penganalisis undang-undang. Utusan Malaysia Rencana 01 Februari 2015 12:53 AM

Kedudukan kita di WP KL ....

Hari ini, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur berusia 41 tahun, Labuan 31 tahun dan Putrajaya 14 tahun berdasarkan tarikh penubuhan status masing-masing. Antara tiga buah WP ini, tumpuan sambutan pasti kepada Kuala Lumpur.

Sebagai abang sulung, banyak cabaran dan ranjau dilaluinya sebelum mengecapi kedudukan seperti sekarang. Syabas kepada tenaga kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan warga kota metropolitan yang sama-sama memajukan kota ini hingga menjadi pusat ekonomi, budaya, pendidikan, pelancongan, kesihatan yang terbaik di rantau ini.

Namun sekian banyak kejayaan dan kemajuan dikecapi, satu perkara yang mesti di lihat oleh pentadbir kota ini. Jangan sekali-kali lupa kepada 'orang kerdil' bila mahu menjadikan Kuala Lumpur bertaraf dunia menjelang 2020. Beberapa projek pembangunan sejak satu atau dua dekad yang lalu, dilihat semakin pesat kemajuan, semakin terpinggir golongan orang bahawahan.

Begitu juga perihal tanah-tanah milik kerajaan apabila di­ma­jukan menjadi pusat komersial, tidak lagi mengambil kira geo­polotik penduduk. Golongan orang bawahan bagaikan ‘ti­dak layak’ untuk bermastautin dan berumah tangga di dalam kawasan pusat bandar. Senario ini mungkin akan terus berlaku sebab tiada agenda untuk golongan bawahan dan pertengahan. Atas tuntutan komersial, fenomena itu dianggap satu tindakan wajar.

Saya sudah melihat pembangunan ibu kota sejak zaman rumah kilat (setinggan) 1970-an hingga pertumbuhan begitu banyak kondominium. Siapa yang mendiami kawasan projek har­tanah ini? Saya pun seperti warga kota lain, ada harapan amat besar kepada orang besar yang mentadbir WP Kuala Lumpur.

Selagi pentadbir yang ada kuasa itu Melayu, maka pandang dan telitilah kedudukan bangsa kita di dalam kota ini. Orang kita memang kurang berkemampuan dari segi kuasa beli hartanah, tetapi jika diwujudkan dasar-dasar perumahan yang sesuai, orang kita pasti beli dan mempertahankannya.

Cuba pandang kiri dan kanan jalan di Kuala Lumpur, ke­banyakan bangunan dan hartanah milik siapa. Siapa yang tinggal di bangunan tinggi. Kalau boleh dicabut bangunan komersial dan kediaman di Kuala Lumpur, berapa banyak hartanah Melayu.

Sebab itu ketika DBKL meran­cang pembangunan melalui Pelan Strategik Kuala Lum­pur dengan lima strategi iaitu ‘Bandar Raya Milik Warga Kota’, ‘Ke­mak­mur­an Ekonomi’, ‘Bandar Raya Sa­­ling Bersaring’, ‘Bandar Ra­ya Eko’ dan ‘Bandar Raya Tadbir Urus Cekap’ pastikan pelan itu tidak ting­gal pelan sahaja.

Kalau boleh kita tidak mahu ke­­se­­sakan lalu lintas di Kuala Lumpur terus berlaku bagaikan tia­da kesudahan, walhal dahulu pem­bi­naan LRT, Komuter dan RapidKL menjanjikan pengurangan masalah yang wujud seja­k tahun 1970-an. Bas mini yang dikatakan punca kesesakan di bandar raya pun sudah lama tiada. Tapi sesak juga.

Saya percaya selepas siap MRT laluan Sg. Buloh - Kajang, masalah kesesakan tidak akan berakhir. Akan ada projek pembinaan ja­lan atau lebuh raya dalam ban­dar dilakukan se­bab jalan raya kita sempit. Lihatlah laluan di KL Sentral yang penuh dengan bangunan pejabat dan kediaman. Begitu juga dengan jalan raya di pusat komersial lain dalam kota ini.

Hari ini hingga 3 Februari (Hari Thaipusam), penghuni Kuala Lumpur akan bertukar apabila dibanjiri warga asing termasuk pekerja asing tanpa dokumen sah. Kalau kita berkunjung ke beberapa lokasi di ibu kota, seolah-olah kita berada di negara lain dan bukannya Kuala Lumpur kerana terlalu ramai warga asing. Mereka pula bebas melakukan apa saja tanpa peduli rakyat tempatan.

Apakah DBKL ada cara untuk mengawal kota raya ini agar ke­kal dengan wajah Malaysia dan bukan wajah Bangladesh, In­donesia, Vietnam, Nepal dan Afrika? Usahakanlah sesuatu su­paya kita tidak malu kepada pelancong asing yang ingin mengenali wajah sebenar Kuala Lumpur.

Tiada siapa peduli BM?

Minggu lalu saya menulis tentang ‘Berilah DBP bisa dan sengat.’ Saudara Zainal Ahmad mengirimkan e-melnya kepada saya memberitahu tidak akan ada sesiapa pun yang akan ambil peduli isu kedaulatan bahasa Melayu di Malaysia. Katanya, mengharapkan pemimpin-pemimpin Melayu yang ada, ibarat mengharap mimpi indah sahaja. “Berani saya ka­ta­kan bahawa tidak ada seorang pun pemimpin Melayu yang mempunyai jiwa untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Saya faham dengan tindakan berdiam diri orang berkenaan sebab mereka pun setakat boleh menulis sahaja,” kata Zainal.

Saudara Shamsuddin Jusoh dalam e-melnya pula berkata, tak usahlah timbulkan isu tiada usaha mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan orang Melayu, ataupun isu penggunaan bahasa rojak. “Ramai graduan kita tidak mahir dan gagal bila ditemu duga kerja. Ke arah mana graduan tersebut jika tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Mereka yang mahir berbahasa Melayu hanya layak jadi pakar bahasa di universiti, di sekolah ataupun DBP. Tanpa mahir bahasa Inggeris, pelajar Melayu tidak akan ke mana.

“Apa salahnya bahasa rojak jika orang yang bercakap dengan kita selesa dan faham. Mereka yang pakar bahasa saja sibuk. Di syarikat swasta takkanlah nak mesyuarat guna bahasa Melayu,” itu kenyataan di dalam e-mel Shamsuddin. Anda setuju? - Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 1 Februari 2015

Komplot membunuh MaoTse-tung

Jika rancangan kudeta yang diberi nama Projek 571 itu gagal, atau tidak dapat digerakkan kerana sebab-sebab tertentu, Lin Biao cuba merampas kuasa dengan cara membunuh Mao Tse-tung.

Awalnya, anaknya, Lin Li-guo, lebih setuju rancangan kedua ini. Bukan saja kerana kebencian Li-guo terhadap Mao cukup mendalam, dia memberitahu bapanya bahawa cara pertama itu berisiko kerana ia memberi ruang dan masa kepada Mao Tse-tung untuk bertindak balas. Kata Li-guo, akhirnya ini boleh mematahkan tujuan Lin Biao mengambil alih kuasa daripada Mao. Malah Li-guo mengesyaki, bahawa Mao sudah pasti sedang memerhatikan setiap gerak laku keluarga Lin Biao – secara jelas atau sulit. Kata Li-guo, ‘mata dan telinga’ Mao Tse-tung berada di mana-mana. Ibunya, Ye Qun, sependapat dengan Li-guo. Ye Qun berhujah, angkatan tentera China adalah besar, tidak mudah mendapatkan kesetiaan padu seluruh kepimpinan tentera China pada setiap masa jika pun rancangan pertama itu berjaya dilaksanakan. Dalam ketiadaan Mao Tse-tung, tentera China akan berpecah-belah dan ini pasti menimbulkan keadaan kacau-bilau seluruh negara, malah mendedahkan negara China kepada ancaman kuasa-kuasa luar seperti Amerika Syarikat dan Rusia.

Perbincangan tiga beranak itu membuat keputusan membunuh Mao Tse-tung. Mengikut Dr. Li Zhi-sui, doktor peribadi Mao, menjelang bulan Ogos 1971, syak wasangka Mao terhadap Lin Biao telah sampai ke puncaknya apabila Mao diberitahu oleh Xie Jing-yi (wanita), timbalan pengarah jawatankuasa revolusi yang mentadbir Universiti Qinghua, bahawa ada ‘desas-desus’ tentang penubuhan sebuah badan sulit dalam kalangan pegawai tentera udara yang diketuai anak Lin Biao, Li-guo. (Semasa Revolusi Kebudayaan, semua universiti di China diletakkan di bawah pentadbiran apa yang dinamakan Jawatankuasa Revolusi Pentadbir Universiti berkenaan. Peranan Naib-Canselor dan Majlis Universiti dihapuskan). Bagaimana Xie Jing-yi tercium bau kewujudan badan itu? Suaminya, Xiao Su ialah pegawai tentera udara yang bertugas sebagai pegawai staf di ibu pejabat tentera udara. Xiao Su menyuruh isterinya memberitahu Mao, komplot itu bertujuan merampas kuasa dengan membunuh Mao. Dia menyeru Mao supaya “…..to shore up his (Mao) own support in the military” (halaman 533, buku Dr. Li Zhi-sui berjudul The Private Life of Chairman Mao).


Hasrat Mao untuk menyingkirkan (purged) Lin Biao menjadi semakin kuat dengan adanya maklumat komplotan itu. Menurut Dr. Li Zhi-sui, pada 14 Ogos 1971, walaupun tidak terjadual lebih awal, dia ikut Mao Tse-tung menaiki kereta api khas – memang diadakan khas untuk kegunaan Mao – menuju ke bahagian selatan China. Mereka singgah di beberapa buah bandar seperti Wuhan, Changsa, Nangchang, Hangzhou dan Shanghai untuk mengadakan pertemuan-pertemuan sulit dengan pemimpin-pemimpin tempatan daripada parti, kerajaan dan komander-komander tentera.

Tujuan Mao adalah untuk menentukan supaya semua – terutama komander-komander tentera – menyebelahi Mao apabila dia memecat Lin Biao daripada jawatan dalam parti dan kerajaan (sebagai Naib Pengerusi parti dan Menteri Pertahanan China). Menurut Dr. Li Zhi-sui, mesej Mao semasa pertemuan-pertemuan itu ialah: dengan tidak menyebut nama Lin Biao, Mao berkata kononnya, semasa persidangan parti di Lushan Ogos 1970, ada seseorang yang sangat tidak sabar-sabar lagi untuk menjadi Pengerusi atau Presiden negara China. Orang itu, kata Mao, tidak sedar tingkah-lakunya boleh menyebabkan parti berpecah-belah.

Rakus

Sungguhpun Mao tidak menyebut nama Lin Biao, semua yang hadir tahu sasaran bedilan Mao Tse-tung ialah Lin Biao. Ini terutama apabila Mao berkata, ada seseorang yang walaupun sudah bersumpah mahu menyokong dan mempertahankannya, dalam hatinya dia menyokong dirinya sendiri. Kata Dr. Li Zhi-sui lagi, semasa pertemuan-pertemuan itu, Mao menyelar juga perangai isteri Lin Biao, Ye Qun, yang katanya bersikap lebih rakus kuasa daripada suaminya. Ye Qun, kata Mao, mengaturkan siapa yang boleh dibenar atau tidak dibenarkan menemui Lin Biao.

Pada pandangan Dr. Li Zhi-sui, walaupun Mao mengkritik sikap Lin Biao, dia menaruh harapan untuk memperbaiki hubungannya dengan Lin Biao. Mao, malah, telah membayangkan kepada hadirin kemungkinan dia berkompromi dengan Lin Biao. Mao mahu "mengubati penyakit untuk menyelamatkan si pesakit". Mao banyak menekankan perlunya wujud perpaduan dalam parti dalam menyelesaikan soal Lin Biao. Pada pandangan saya pula, ini adalah gambaran tipikal sikap putar-belit politik Mao.

Penjelajahan Mao Tse-tung ke selatan China itu memakan masa hampir satu bulan. Dia pulang ke Beijing pada 12 September. Sementara itu, walaupun Mao telah meminta butir-butir pertuturannya tidak disampaikan kepada Lin Biao, segala tutur kata dan buah fikiran Mao cepat sampai kepada Lin Biao sebelum pun Mao pulang ke Beijing. Pengikut-pengikut setia Lin Biao, yang menghadiri pertemuan-pertemuan sulit itu, tidak menunggu masa lama untuk menyampaikan maklumat berkenaan kepada Lin Biao. Semasa itu, Lin Biao sekeluarga berada di bandar resort Beidaihe, 150 kilometer ke timur Beijing. Di Beidaihe itulah Lin Biau, Ye Qun dan anak mereka, Lin Li-guo membuat perbincangan terakhir. Lin Biao tahu, tiada harapan baginya mendapatkan sokongan angkatan tentera China jika pun dia meneruskan rampasan kuasa. Lin juga tahu, Mao tidak akan mengampunkan semua ahli keluarganya. Dia pernah memberitahu anaknya, apabila Mao sudah menentukan seseorang itu adalah musuhnya, dia tidak akan berhenti membenci orang itu selagi orang itu tidak dihapuskan. Mao pantang disanggah, dia akan menyeksa orang itu sampai musnah – dan menuduh mangsanya bertanggungjawab terhadap jenayah yang sebetulnya Mao yang bertanggungjawab.

Keluarga Lin Biao mengambil keputusan untuk melarikan diri ke luar negara menerusi Lapangan Terbang Shanghaiguan yang terletak berdekatan. Untuk tujuan itu, Li-guo telah pergi ke Beijing pada 8 September untuk mendapatkan sebuah pesawat tentera udara. Dia membawa ‘surat kuasa’ daripada bapanya, sebagai Menteri Pertahanan. Surat itu menyatakan “Sila ikuti perintah Li-guo dan Yu-chi (rakan karib Li-guo)”, ditandatangani oleh Lin Biao bertarikh 8 September. Pegawai bertugas di lapangan terbang tentera udara di Beijing meluluskan pesawat jenis Trident berkuasa tiga motor untuk diterbangkan ke Beidaihe di mana Lin Biao dan Ye Qun menunggu. Pesawat itu sampai di Shanghaiguan pukul 5 petang, 12 September. Pesawat itu sebenarnya telah dikhaskan untuk kegunaan VIP China dan mempunyai tiga kru tetap yang berpengalaman. Li-guo memberitahu kru, Lin Biao akan menggunakan pesawat pada keesokan hari (13 September). Mereka diperlukan bersiap sedia seawal pukul 8 pagi untuk terima arahan lanjut daripada Lin Biao. Tetapi, kru tidak diberitahu ke mana Lin Biao akan pergi. Kehadiran pesawat Trident di Shanghaiguan pada malam 12 September itu telah dicatatkan oleh kawalan udara lapangan terbang seperti lazimnya.

Sementera itu, pada malam hari yang sama, Perdana Menteri China, Chow En-lai, bekerja lebih masa di pejabatnya yang terletak di Bilik Fujian, Dewan Besar Rakyat. Dikatakan bahawa, Chow telah mengubah jadual asalnya untuk menemui delegasi dari Jepun pada malam itu kerana dia mahu menyiapkan satu laporan tentang rancangan mengadakan persidangan Dewan Rakyat.


Pada pukul 10.20 malam hari tersebut, setiausaha Chow memberitahu, bahawa Setiausaha Unit 8341 hendak bercakap dalam telefon dengan Chow. Unit 8341 ialah nama rejimen tentera yang mengawal keselamatan wilayah Beijing. Chow mengangkat ganggang telefon, Setiausaha Unit 8341, dalam suara yang tergesa-gesa, memberitahu Chow bahawa Lin Biao, Ye Qun dan Lin Li-guo sedang bersiap-siap untuk berangkat ke luar negara. Ini sama sekali di luar jangkaan Chow. Ikutilah kisah selanjutnya dalam coretan saya pada minggu hadapan. - Rahim Noor Utusan Malaysia Rencana 1 Februari 2015

Jadikan Integriti satu tanggungjawab

MUKADIMAH: RAKYAT di mana-mana negara mengharapkan supaya soal integriti dan ketelusan diangkat menjadi agenda utama sesebuah kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang lebih baik dan dihormati.

Melihat kepada usaha yang dilakukan kerajaan untuk memulihkan keyakinan rakyat dalam soal integriti, sudah tentu perkara ini yang menjadi sebahagian agenda nasional di bawah Barisan Nasional (BN) akan terus dipertingkatkan. Ini penting supaya dalam era masyarakat yang semakin berilmu dan mempunyai akses mudah kepada dunia Internet yang memungkinkan kita semua mendapat pelbagai maklumat, tetapi merasa terpedaya kerana tidak dibekalkan maklumat yang lengkap atau mencukupi tentang beberapa isu berbangkit. Bagi mendapatkan penerangan lanjut, wartawan MINGGUAN MALAYSIA HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewawancara Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), DATUK NUR JAZLAN MOHAMED. Ujar beliau walaupun PAC ialah badan berkecuali di peringkat Parlimen namun amanah bagi memastikan perbelanjaan kerajaan yang dibentangkan dalam bajet dibuat dengan cara berhemat, telus dan tanpa unsur-unsur rasuah dan sebagainya akan tetap disanjung. "Namun kami tetap akan bersuara lantang jika timbul isu atau sebarang perkara yang memusykilkan seperti mana yang dilakukan dalam kes melibatkan klia2 dan soal penstrukturan semula Malaysia Airlines (MAS)," katanya ketika ditemui Jumaat lepas

MINGGUAN: Selama menjadi Pengerusi PAC, sejauh mana Datuk melihat penilaian yang dibuat oleh PAC adalah berintegriti?

NUR JAZLAN: PAC ialah badan berkecuali di peringkat Parlimen dan keanggotaannya terdiri daripada ahli Parlimen parti kerajaan dan parti pembangkang. Kita buat kerja kita bagi memastikan perbelanjaan kerajaan yang dibentangkan dalam bajet dibuat dengan cara berhemat, telus dan tanpa unsur-unsur rasuah dan sebagainya. Kita juga melihat kepada kes-kes yang boleh melibatkan kepentingan rakyat seperti projek klia2, walaupun di luar skop bajet itu.

Meskipun di luar bidang kuasa Jabatan Audit Negara dan PAC tetapi projek itu dekat dengan rakyat. Berjuta-juta rakyat dan orang asing akan menggunakan lapangan terbang tersebut. Sudah terbukti ada isu mendapan, kualiti pembinaan dan isu reka bentuk berlaku sepanjang pembinaan klia2. Sebab itu kita panggil pihak-pihak berkepentingan dalam klia2 walaupun di luar lingkungan bajet persekutuan yang dibentangkan setiap tahun dan sepatutnya kita audit.

Mungkin persepsi orang, integriti PAC dipersoalkan kerana ketuanya Ahli Parlimen daripada parti kerajaan. Apa komen Datuk?

NUR JAZLAN: Perkara ini menyebabkan kerja saya susah juga kerana banyak di negara lain yang mengamalkan sistem berparlimen Komanwel, Pengerusi PAC datang daripada pembangkang. Walaupun keahlian mengikut pecahan yang dipegang setiap parti tetapi pengerusi lazimnya daripada wakil rakyat pembangkang. Di Malaysia, kita belum lagi mengikut kelaziman tersebut dan tanggungjawab terletak kepada saya walaupun saya daripada parti kerajaan.

Tetapi kita di PAC ada satu kesedaran. Kita jalankan tanggungjawab dengan ikhlas tanpa ada apa-apa perbezaan politik. Kita membuat audit untuk memastikan bahawa wang rakyat dibelanjakan dengan sebaik-baik mungkin. Selalunya laporan yang kita buat itu dibuat secara sebulat suara. Maknanya, tak pernah ada belah-bahagi kerana tidak ada persetujuan tentang penemuan yang kita buat dalam laporan tersebut.

Jabatan Audit Negara lebih popular daripada PAC kerana orang melihat jabatan tersebut lebih telus dalam pendedahan yang dibuat?

NUR JAZLAN: Ini melibatkan soal struktur PAC. Sebab itu saya, mesti ada pemisahan tanggungjawab dan kuasa bagi memastikan Jabatan Audit Negara dan PAC masing-masing membuat kerja secara berkecuali. Kalau PAC bertanggungjawab kepada Jabatan Audit Negara, maka akan berlaku konflik kepentingan kalau kita buat penyiasatan dan lepas itu kita juga buat penilaian.

Sebenarnya kerja Jabatan Audit Negara lebih penting kerana jabatan itu melakukan kerja penyiasatan. Jabatan itu perlu memastikan penyiasatan yang dibuat mengikut prosedur dan memberikan bukti yang boleh digunakan oleh PAC untuk membuat penemuan kita. Kalau ada kes rasuah, bukti yang dibekalkan boleh disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memudahkan penyiasatan mereka dan kalau betul ada rasuah, perkara tersebut boleh dibawa ke mahkamah dan berguna untuk mendapatkan penghakiman.

Jadi, peranan Jabatan Audit Negara amat penting dalam membuat penyiasatan untuk memastikan dapat mengeluarkan laporan yang boleh memberikan tambah nilai kepada kerja PAC. Oleh sebab PAC ini jawatankuasa Parlimen yang bertanggungjawab kepada bajet dan tidak terikat dengan kerajaan, jadi sebarang penemuan kita dianggap sebagai berkecuali. Jadi, tidak ada pertandingan antara PAC dan Jabatan Audit Negara kerana kita sama-sama menjalankan kerja kita tetapi bagi saya tugas Jabatan Audit Negara lebih penting.

Dalam isu klia2 begitu banyak kelemahan dikesan oleh PAC. Apa syor Datuk untuk mengatasi masalah ini?

NUR JAZLAN: Dalam isu klia2 ini, PAC dan Jabatan Audit Negara tidak mempunyai akses tetapi PAC telah menggunakan syarat kepentingan rakyat untuk memanggil pihak Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), AirAsia Bhd., konsultan terlibat dan sebagainya untuk mengetahui apakah masalah yang berlaku dalam pembinaan klia2 ini. Masalah dari segi perancangan, peningkatan kos, mendapan tanah yang berlaku di sekitar kawasan terminal itu. Sudah terbukti, sekarang memang ada mendapan dan sebagainya.

klia2 ini penting kerana berjuta-juta rakyat kita dan pelancong antarabangsa menggunakan lapangan terbang ini. Mereka dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman di klia2 ini. Kalau ada kecacatan di sini, biar PAC menyiasatnya lebih awal dan mendapatkan maklumat tentang kelemahan tersebut.

Walaupun PAC dan Jabatan Audit Negara tidak ada mandat untuk menyiasat isu dalam klia2 ini tetapi apa yang penting kepada rakyat ialah maklumat. Kalau perkara ini tidak disiasat oleh PAC, rakyat pun tidak tahu. Penemuan itu kita telah bukukan dalam laporan PAC tetapi laporan itu tidak dibuat atas asas tertentu.

Dari segi prosedur, biasanya apa yang disiasat oleh Ketua Audit Negara, baru serah kepada kita. Maknanya, Ketua Audit Negara sudah ada penemuan dan kita gunakan itu sebagai asas penyiasatan. Dalam kes klia2 ini pula terbalik. PAC panggil semua pihak terlibat. Mereka beri keterangan, lepas itu ada percanggahan dan percanggahan ini kita minta kerajaan benarkan Jabatan Audit Negara untuk menyiasat atau mengesahkan percanggahan tersebut.

Apakah kelemahan yang dikesan dalam projek klia2 ini dan apakah syor yang dibuat oleh PAC dalam laporan tersebut?

NUR JAZLAN: Paling nyata perancangannya berubah. Daripada Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) kepada terminal hibrid. Kenapa jadi begitu? Selain itu perubahan skop projek. Untuk tapak terminal itu sendiri diubah sehingga akhirnya membawa kos yang lebih tinggi. Kita hendak tahu juga kenapa perkara ini berlaku. Selepas itu dari segi pemilihan reka bentuk nampak banyak rungutan daripada pengguna lapangan terbang itu seperti terlalu jauh dan lambat dapat beg kerana lapangan terbang itu terlalu besar, rumit dan tidak direka bentuk dengan lebih baik. Bukan kita hendak komen pasal reka bentuk lapangan terbang itu, kita juga hendak tahu sebab apa MAHB ambil keputusan buat lapangan terbang macam itu. Adakah cara lain yang lebih baik untuk membina lapangan terbang tersebut dengan kos lebih rendah, kadar kecekapan lebih tinggi serta utamakan keselesaan penumpang.

Jadi, sekurang-kurangnya laporan PAC memberikan pencerahan kepada sesiapa yang baca laporan, bahawa ini isu-isunya selain maklumat bagaimana perkara ini boleh dibuat lebih baik. Sebab itu, apabila timbul percanggahan dalam keterangan MAHB, AirAsia, kementerian dan sebagainya, kita minta kerajaan benarkan Ketua Audit Negara untuk masuk dan mengesahkan percanggahan tersebut. Kalau kita buat penilaian berdasarkan laporan Ketua Audit Negara senang sebab dia dah tunjuk kepada kita tujuan ke sini. Sekarang ini pula, kita panggil orang beri keterangan dan hantar laporan tersebut kepada Ketua Audit Negara untuk siasatan lanjut.

Mungkin sudah sampai masanya Jabatan Audit Negara perlu dibenarkan membuat audit terhadap semua projek berimpak tinggi terutama syarikat milik kerajaan (GLC) yang tersenarai di Bursa Malaysia?

NUR JAZLAN: Ada entiti kerajaan yang tidak termasuk dalam bajet Persekutuan dan ini bermakna entiti itu tidak perlu diaudit oleh Jabatan Audit Negara. Sebabnya kerana syarikat ini sudah disenaraikan (Bursa Malaysia), ada juruaudit antarabangsa, ada lembaga pengarah yang dianggap lebih pandai dan berupaya. Jadi, dianggap tadbir urus dalam syarikat-syarikat ini lebih baik daripada syarikat-syarikat yang tidak disenaraikan.

Saya juga perlu bertanya, kalau lembaga pengarah MAHB dan jawatankuasa audit dalaman MAHB sudah menjalankan tugas dengan baik, kenapa boleh timbul masalah dalam klia2. Kenapa berlaku mendapan dan direka bentuk sebegitu rupa.

Walaupun entiti ini diaudit oleh firma antarabangsa tetapi itu hanyalah audit kewangan. Tanggungjawab untuk buat audit prestasi itu adalah kepada jawatankuasa audit syarikat itu sendiri. Tetapi dalam kes Klia2 ini, nampak ada kelemahan. Jadi, dalam kes-kes seperti ini, tidak salah untuk Jabatan Audit Negara dibenarkan membuat audit atas asas projek berimpak tinggi yang ramai orang gunakan, walaupun projek itu dilaksanakan oleh GLC yang disenaraikan.

Saya pernah menjadi Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA). Walaupun UDA tidak disenaraikan, UDA masih terletak dalam lingkungan GLC, kita dikenakan audit kewangan dan audit prestasi oleh Jabatan Audit Negara. Jabatan kerajaan pun begitu. Jadi, kalau jabatan kerajaan dan GLC yang tidak disenaraikan diaudit oleh Jabatan Audit Negara, tidak salah kalau GLC lain yang telah diberikan keistimewaan ini dikenakan audit untuk projek secara selektif.

Banyak lagi GLC lain seperti yang terlibat dalam pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang tetapi masalah yang sama juga timbul kerana Jabatan Audit Negara tidak mempunyai akses untuk membuat audit ke atas projek ini. Macam sekarang ini projek Transit Aliran Massa (MRT), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan projek Syarikat Prasarana Negara Bhd. (Prasarana) yang melibatkan kos berbilion-bilion membina infrastruktur yang digunakan oleh rakyat. Jadi, tidak salah kalau Jabatan Audit Negara diberikan peluang mengaudit projek-projek seperti ini.

Akses kepada maklumat dengan kecanggihan teknologi sekarang membuatkan rakyat mudah mengetahui masalah yang timbul. Apakah sudah sampai masanya kerajaan perlu lebih telus dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat?

NUR JAZLAN: Ada video disebarkan di Internet yang menampakkan staf MAHB sedang menimba air keluar daripada lopak-lopak atas permukaan akibat mendapan di landasan klia2. Dunia Internet sekarang, kalau ada kelemahan, ia disebarkan terus ke seluruh dunia. Oleh itu, ketelusan perlu ada. Sekurang-kurangnya semua fakta itu telah disiarkan dan diaudit oleh Jabatan Audit Negara serta PAC. Maka, sedikit sebanyak dapat memberikan lebih keyakinan kepada rakyat. Kalau Jabatan Audit Negara dan PAC ada akses, perkara ini tidak akan timbul. Dalam kes klia2, perkara ini masuk dalam Facebook dan Twitter.

Dalam hal ini, bagaimana keseriusan kerajaan untuk berubah ?

NUR JAZLAN: Kerajaan kena lihat nilai tambah yang dibawa oleh Jabatan Audit Negara dan PAC sendiri. Apabila sesuatu perkara telah disiasat dan dilaporkan oleh PAC, kita anggap perkara itu telah dilaporkan kepada rakyat kerana PAC adalah wakil daripada kerajaan dan pembangkang yang memakili rakyat.

Saya beri satu contoh, syarikat Prasarana yang ada dua tiga kemalangan melibatkan kematian di tapak pembinaan, kita patut buat audit kenapa kontraktor yang tidak mementingkan keselamatan diberikan projek tersebut. Mungkin kontraktor tersebut sudah ambil jalan pintas dalam melaksanakan projek tersebut yang menyebabkan kemalangan itu. Itu belum cerita kualiti projek.

Dahulu, orang fikir pasal kos sahaja. Sekarang ini, PAC hendak bawa konsep berbaloi dengan nilai wang dibelanjakan. Adakah RM1 yang dibelanjakan mendapat manfaat RM1.50 atau RM2 dengan kualiti yang baik, bukan belanja RM1 tetapi tidak kira kualiti bagaimana dan projek itu efisien atau tidak.

Penjimatan pun satu perkara lagi. Sama ada anggaran nilai projek yang digunakan oleh kerajaan dan konsultan itu betul atau tidak. Mungkin boleh jimat lagi tetapi jangan sampai kualiti projek itu terjejas. Jadi, perlu ada keseimbangan iaitu berbaloi dengan nilai wang dibelanjakan.

Bercakap tentang isu Malaysia Airlines (MAS) yang mengalami kerugian besar setiap tahun dan melibatkan wang rakyat. Pada pandangan Datuk, apakah langkah terbaik yang perlu diambil oleh kerajaan dalam isu MAS ini?

NUR JAZLAN: Syarikat pengangkutan termasuk penerbangan mempunyai nilai-nilai keselamatan. Kalau kita swastakan, kerajaan akan hilang aspek keselamatan. Cuma zaman untuk kita swastakan MAS bagi saya sudah berlalu. Jadi, langkah memulihkan MAS selepas ini perlu kerajaan pastikan. Kita hendak kekalkan kerana kebangsaan kita, keselamatan kita dan sebagainya tetapi siapa hendak biaya. Kita sudah pernah swastakan tetapi gagal. Sekarang, kita perlu tengok ke hadapan apakah dasar kerajaan untuk mengekalkan MAS ini.

Bercakap tentang integriti, bagaimana Datuk melihat tahap integriti dalam kalangan wakil rakyat dan kakitangan kerajaan pada masa ini?

NUR JAZLAN: Dari segi soal integriti, kerajaan sudah melaksanakan banyak langkah untuk mengukuhkan integriti dalam perkhidmatan awam serta projek-projek kerajaan. Contohnya, SPRM ada buat Ikrar Integriti. Maknanya, sesiapa yang memegang tanggungjawab dalam sesuatu projek dan sebagainya, dia akan angkat sumpah tidak akan buat rasuah.

Kedua, Akta Anti Penggubahan Wang Haram. Dahulu banyak wang haram bertukar tangan secara fizikal tetapi sekarang ini jumlah wang yang boleh bertukar tangan secara fizikal ini sudah dikurangkan dan semua transaksi mesti melalui bank. Apabila sudah melalui bank, senang untuk pihak berkuasa kesan. Jadi, susah hendak buat amalan rasuah melibatkan wang tunai ini kerana kerajaan sudah kurangkan peluang dan boleh kesan dengan senang.

Ketiga, kerajaan membuat perjanjian dengan negara-negara asing untuk memastikan pemindahan wang ke luar negara dapat dikenal pasti dan dikesan. Maknanya, lompong yang ada pada sistem lama yang membuatkan perbuatan rasuah ini senang, makin lama makin ditutup. Kita lihat gejala rasuah ini meningkat selepas kejayaan Malaysia dari segi perindustrian apabila apabila negara lebih maju dan banyak duit pada 1990-an dahulu. Namun sekarang ini, lompong-lompong yang membolehkan pembayaran rasuah itu dibuat semakin ditutup. Bukan rasuah tidak berlaku tetapi tidak berlaku dengan mudah seperti dahulu dari segi aliran wang ini dan langkah-langkah yang diambil. Harapannya, integriti ini akan dipertingkat apabila sumber dan aliran wang ini dapat dikurangkan atau dikesan. - Utusan Malaysia Rencana 01 Februari 2015 12:53 AM

Hemat berbelanja, cukup-cukuplah acara potong reben

Ketika negara berhadapan dengan kegawatan ekonomi yang teruk pada 1997 dan 1998, kerajaan telah mengambil langkah penjimatan di sektor awam seperti mengurangkan program-program di hotel mewah. Sebelum itu perkara ini seolah-olah perlumbaan antara agensi dan kementerian-kementerian. Banyak program anjuran kerajaan diadakan di dewan mewah hotel lima bintang padahal di kementerian tertentu mempunyai dewan yang lengkap.

Saya tidak menganggap itu sebagai penjimatan sebaliknya mendidik berbelanja secara bertanggungjawab. Sepatutnya sikap ini bukan sahaja pada waktu tertentu ketika dalam kesempitan. Ini adalah satu amanah dan kebolehpercayaan terhadap kementerian dan agensi kerajaan.

Peruntukan itu sebahagiannya datang daripada cukai yang dibayar oleh rakyat termasuk cukai pendapatan. Maka sebaik-baiknya “pelaburan” rakyat itu dinikmati secara menyeluruh dan bukannya kelompok kecil dan lebih teruk lagi menjadi “pelaburan” politik pihak tertentu. Oleh kerana itu, yang perlu ditekankan bukan penjimatan tetapi berbelanja dengan bertanggungjawab.

Kalau “penjimatan” sifatnya hanya sementara. Selepas musim ikat perut tamat, mereka akan berbelanja sakan di kementerian dan agensi tertentu. Sikap berbelanja dengan bertanggungjawab hanya tinggal dalam lipatan sejarah apabila ekonomi kita pulih dan keluar daripada kegawatan. Sikap boros membelanjakan duit rakyat kembali menjadi-jadi hingga dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu ada disebut supaya dikurangkan “acara potong reben”. Isunya bukan memotong reben tetapi belanja acara potong reben. Maknanya boros berbelanja sudah menjadi virus dalam sektor awam.

Ketika ini keadaan ekonomi kita tidak berapa baik berbanding sebelumnya, walaupun ada pihak menafikan negara berada dalam kegawatan ekonomi. Ini disebabkan kejatuhan harga minyak dunia pada paras terendah di bawah AS$50 setong. Ekoran itu kerajaan telah melihat semula Belanjawan 2015 yang dibentangkan tahun lalu ketika harga minyak dunia berada pada keadaan stabil.

Kerajaan telah mengambil 11 langkah penjimatan di sektor awam. Saya sangat mengalu-alukan langkah ini walaupun ada beberapa perkara yang digariskan agak remeh seperti pemotongan elaun RM100 atau RM200 kepada pegawai gred tertentu dalam sektor awam.

Tetapi saya sangat tertarik dengan saranan supaya mengurangkan acara-acara keraian, mengupah jururunding serta pemberian cenderamata kepada tetamu kenamaan. Saya melompat kegembiraan kerana akhirnya sesetengah daripada kita sudah mengakui bahawa selama ini kita boros. Memanglah pengurusan acara atau jururunding akan marah kerana menyekat duit mengalir ke poket mereka. Tetapi membiarkan duit mengalir dengan cara begini tidak bertanggungjawab kepada rakyat.

Sebenarnya tidak perlu pun menggunakan khidmat pengurusan acara atau jururunding kepada program yang boleh dibuat sendiri. Tetapi disebabkan duit berlambak, dan "bukan duit aku" belanja sajalah. Sepatutnya pemikiran lapuk yang mengutamakan acara perasmian berbanding isi kandung program sudah berubah. Tetapi inilah yang terus berlaku misalnya programnya sehari suntuk, setengah hari untuk acara perasmian sahaja. Bayangkan.

Marilah kita sama-sama berubah dan mengurangkan acara memotong reben, memberi cenderamata yang mahal kepada tetamu dan diikuti dengan “makan besar.” Rakyat melihat semua ini menerusi televisyen. Ironinya mereka diminta supaya berjimat dalam berbelanja. Watak seperti Pak Uteh dan Mak Uteh dalam puisi Sasterawan Negara, Usman Awang saling berpandangan sesama sendiri. Hendak jimat apa lagi, kata mereka. Sepatutnya apabila menyuruh Pak Uteh dan Mak Uteh berjimat, pemimpin organisasi di sektor awam menunjukkan teladan baik dan tidak berlumba-lumba memperagakan kemewahan.

Mengambil iktibar daripada cuaca ekonomi yang tidak begitu cerah ini, eloklah mulai tahun ini kementerian dan agensi kerajaan bersederhana dalam menganjurkan majlis berbuka puasa. Tidak perlulah berebut menempah di hotel lima bintang untuk "berbuka puasa". Buatlah majlis berbuka puasa dengan belanja yang kecil tetapi dinikmati oleh jumlah tetamu yang lebih besar dan yang penting orang yang selayaknya. Begitu juga majlis rumah terbuka yang sudah acara sosial, bermewah-mewah dan menyimpang daripada konsep Aidilfitri. Cukup-cukuplah. Sektor swasta tidak menjadi masalah kerana mereka yang berkerja keras mencari duit.

Sebaik-baiknya yang perlu dirai ialah golongan kurang kemampuan dan bukannya tetamu-tetamu kenamaan yang hidup mereka pagi, petang, siang dan malam menjamu selera di hotel mewah. Memanglah ada mengundang anak-anak yatim tetapi biasanya satu atau dua meja sahaja. Itu pun sebagai props untuk bergambar.

Saya mempunyai pengalaman yang agak menyedihkan apabila diundang berbuka puasa di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur. Saya bertanya kepada pekerja hotel bayaran untuk seorang? Dia memberitahu lebih RM100 + +. Saya mencongak dalam dewan itu lebih 500 tetamu korporat dan politik, tidak termasuk 20 anak yatim. Saya berasa sangat bersalah apabila rakyat membayar lebih RM100 untuk saya berbuka puasa.

Dari jendela hotel mewah itu saya perhatikan golongan yang lebih memerlukan dan RM100 itu sepatutnya untuk mereka. Siapalah saya yang layak menikmati hasil cukai daripada rakyat sebanyak itu?

Memang saya agak kolot kerana menganggap RM100 untuk berbuka puasa itu terlalu besar. Tetapi yang lebih penting duit sebanyak itu sepatutnya digunakan untuk tujuan lain yang manfaatnya dinikmati oleh rakyat bukan acara sosial yang menjurus kepada politik.

Saya percaya banyak juga yang berfikir begini tetapi tidak menyuarakan kerana tindakan ini tidak popular. Menegur begini boleh membuatkan sesetengah pihak tidak suka kepada kita. Kacau daun, kata mereka. Kacau orang dapat kontrak pengurusan acara dan cari artis untuk menyanyi. Malah ada yang mempertahankan sikap bermewah-mewah begitu dengan alasan sudah diberi peruntukan. Memang benar sudah ada peruntukan tetapi kita semua ini bukan robot yang telah diprogramkan. Kewarasan dan tanggungjawab membezakan kita dengan robot.

Maka saya pun tertanya-tanya, di mana hilangnya mutiara kata orang tua-tua, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah?

- Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana 1 Februari 2015

Ada lesen tapi takut memandu? ... mukan takut tapi tak mahu memandu ... kuang! kuang! kuang!

RAMAI dalam kalangan wanita yang memiliki lesen memandu, memperbaharuinya saban tahun tetapi diperam dalam simpanan.

Pendek kata, lesen tersebut tidak dimanfaatkan untuk kegunaan sebenar. Situasi ini bukan asing malah kebanyakan kita hanya bersungguh-sungguh mempelajari teknik pemanduan untuk berjaya mendapatkan lesen.


Tetapi untuk memandu kereta sendiri selepas memiliki lesen besar pun, kita jadi takut.

Ada sesetengah wanita lesen diperam kerana faktor situasi. Kemungkinan selepas memperoleh lesen, wanita belum berkeupayaan membeli kereta sendiri atau memandu kereta ahli keluarga.

Sudahnya, skill dan pengetahuan memandu luput ditelan masa. Ketakutan mula menerpa setiap kali mahu memandu semula.

Ia ibarat bermula dari bawah. Jadilah wanita seperti pada pertama kali memegang stereng kenderaan dek kerana keterbiasaan tidak memandu semasa tiada kereta dahulu.

Tinjauan WOW mendapati, rata-rata wanita yang ditemu ramah bukan sengaja mahu memeram lesen memandu. Ia berpunca dari perkataan takut atau rendah keyakinan diri.

Wanita mengakui kepentingan memiliki lesen dan kebolehan memandu, tetapi ketakutan dan faktor kebergantungan terhadap orang lain seperti suami dan ahli keluarga lebih mendahului. Sebab itulah mereka menduduki kelas dan ujian memandu. Semuanya kerana sedar akan kepentingannya.


Elak jejas fokus

Sememangnya hendak memandu kenderaan, perlukan keyakinan dan semangat diiringi sikap peka dengan keadaan sekeliling. Jika gusar fokus memandu hilang, mulakan dengan mengosongkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan fokus.

Contohnya, bunyi bising radio. Sesetengah orang terganggu dengan bunyi-bunyian. Jadi tidak perlu mendengar radio ketika memandu.

Ada pula yang takut memandu kereta kecil. Cuba pula memandu kereta besar. Lihat keyakinan anda. Jika gugup semakin menurun bererti anda perlu memiliki kereta besar untuk menambahkan keyakinan diri semasa memandu.

Perasan berdebar, gementar, darah gemuruh dan trauma selalunya disebabkan oleh pengalaman sendiri atau pemerhatian sekeliling yang mempamerkan perkara negatif seperti kemalangan jalan raya.

Emosi ini terbawa-bawa sehinggakan pada saat tangan memegang stereng pun, ia masih diigaukan. Ketegangan atau trauma sebegini boleh dikurangkan dengan cara memandu secara berteman.

Pastikan seseorang yang anda yakin boleh menenteramkan atau menyelamatkan anda sekiranya anda cemas ketika memandu. Perlahan-lahan, keberanian dan aura positif yang ada pada teman anda boleh meresap dan menguasai fikiran anda pula. Pokok pangkalnya kemahuan.

Ada juga wanita mengakui selepas beberapa tempoh beliau hilang keyakinan diri untuk memandu, tiba masa apabila dia berkeinginan, segala-galanya berjalan lancar tanpa halangan.

Niat yang tekad mahu memberi kejutan buat si suami akhirnya memberikan kemudahan atas cubaannya. Terbukti, seseorang yang tersayang boleh menjadi inspirasi kepada seseorang yang lain dalam hal memandu kenderaan.

Reaksi 1

“Nama saya Ieja. Di rumah saya hanya ade sebuah kereta dan kereta tu digunakan oleh adik. Saya memang teringin sangat memandu kereta tetapi mak saya tak izinkan.

Padahal saya dah mengemaskini dan membuat bayaran untuk lesen saya selama lima tahun. Kadang-kadang apabila saya cuba alihkan atau undur kereta, emak saya akan keluar rumah dan pesan jangan buat.

Biar adik yang buat. Saya cuma dibenarkan untuk start enjin dan panaskan enjin kereta sahaja. Bab memandu, diserahkan kepada adik. Kadang-kadang saya mengomel asyik-asyik start enjin kereta je.

Tapi mak saya akan jawab, kira untung dapat start enjin kereta, ada orang lain langsung tak dapat apa-apa. Mungkin sebab mak bimbangkan keselamatan saya.”- SITI FARIZAH ABD AZIZ, 27, PELAJAR.



Reaksi 2

"Burung hantu macam akak ni (waktu bekerja sebelah malam) kekadang cuma ada kesempatan untuk berbual panjang dgn suami masa dalam kereta. Jadi kalau memandu sendiri, hilanglah kesempatan terbaik itu. Tengah malam waktu suami bawa pulang dari pejabat dan tengah hari, waktu suami hantar ke pejabat. Itu semua kesempatan terbaik dan kebaikan simpan lesen memandu. Kalau pandu kereta sendiri, kesempatan itu pasti direntap masa." - MAZLINDA MOHD NOR, 45, EDITOR AKHBAR.


“Saya simpan lesen memandu saya selama lapan tahun sejak tahun 2000. Saya beli kereta tapi tak nak memandu. Saya parker di pejabat dan tak lama lepas itu saya minta tolong kawan memandu. Hampir setengah tahun macam tu kemudian baru bawa semula kereta.

Jangankan bawa kereta, nak isi petrol pun saya akan minta tolong kawan. Saya takut bila melihat beberapa kes kemalangan yang melibatkan kemalangan nyawa di depan mata saya dan di media massa.

Tapi memandangkan memandu kereta ini satu keperluan, akhirnya membuat saya nekad untuk melupakan ketakutan. Saya juga banyak terima sokongan kawan-kawan." - HASHIMAH CHE MAT DIN, 40 USAHAWAN


PENGAKUAN 1

Selesa guna pengangkutan awam

Saya menduduki ujian lesen memandu pada tahun 2010 dan Alhamdulillah berjaya mendudukinya tanpa halangan. Tujuan saya ketika itu tak lain dan tak bukan untuk tujuan masa hadapan.

Saya memang nak sangat memandu dan saya yakin ada keperluan untuk saya memiliki lesen memandu apatah lagi saya seorang isteri dan ibu yang bekerja.

Tapi entah di mana silapnya saya takut pula nak memandu. Selepas mendapat lesen, saya tetap selesa menggunakan pengangkutan awam seperti monorel, LRT dan teksi. Kebetulan lokasi rumah saya mudah untuk mendapatkan perkhidmatan awam.

Ada banyak perkara yang membuatkan saya takut untuk memandu dan alasan paling utama tentulah sebab takut kemalangan. Sekarang pun kalau saya duduk sebelah kerusi pemandu saya pula yang cuak dan takut setiap kali suami atau pemandu tekan brek mengejut atau berselisih dengan kenderaan berat. Seolah-olah saya yang memandu.

Saya akan pijak kuat-kuat lantai kereta seolah-olah menekan brek untuk mengurangkan perasaan takut. Perkara tu berlaku secara automatik. Apa yang saya boleh rumuskan tidak memandu sendiri ini, atau tidak memanfaatkan lesen memandu sendiri ini ada pro dan kontranya.

Di mana saya perlu disiplin dengan jadual pengangkutan awam supaya tidak terlepas bas dan dapat sampai ke tempat kerja mengikut waktu yang dimahukan. Ada masanya saya perlu menunggu lebih lama. Kalau orang memandu kereta sendiri tentu mereka mempunyai kelebihan dari segi masa.

Perkara lain yang saya rasakan positif bila dapat bertemu kawan dalam bas atau ketika menunggu bas. Saya dapat perhatikan dan pelajari berbagai-bagai karenah manusia sepanjang perjalanan menuju ke tempat kerja.

Saya tak pernah trauma seperti mengalami kemalangan ketika memandu. Cuma keluarga saya sudah biasa memanfaatkan pengangkutan awam jika hendak ke mana-mana. Famili tak ada kereta.

Jadi mungkin sebab itu saya dah terbiasa dan selesa dengan pengangkutan awam. Lagi pun saya rasa ada banyak masa untuk buat aktiviti lain semasa dalam perjalanan ke sesuatu destinasi. Saya boleh berbual, membaca atau pun tidur. - Umi Nateera, 32, eksekutif kreatif.


PENGAKUAN 2

Kemalangan buat saya trauma


Saya mengambil lesen memandu pada 2013 atas saranan suami. Ketika itu tiada masalah untuk saya memandu walaupun dalam keadaan takut-takut. Tapi apabila lesen dah lulus, saya mula takut untuk berhadapan atau berselisih dengan kereta yang lebih besar. Saya juga takut untuk memandu dalam keadaan sesak.

Dua tahun lepas saya pernah kemalangan sewaktu memandu ke majlis pertunangan abang. Perasaan ngeri tu masih wujud sampai hari ini.

Saya masih teringat bagaimana kejadian itu berlaku. Ketika kemalangan berlaku jalan raya dalam keadaan sesak berdekatan Sungai Pahang.

Tiba-tiba lori yang berada di hadapan berhenti tepi jalan tanpa bagi isyarat. Abang yang sedang memandu secara automatik turut menekan brek tapi malangnya dia tak sempat mengelak kenderaan di hadapan.

Mujur kami semuda tak cedera teruk. Jika tidak kereta boleh terjunam dalam Sungai Pahang. Perasaan berdebar itu hanya ALLAH yang tahu. Suasana ketika kereta menghentam kenderaan di depan juga buat dada saya berdebar laju. Wajah pucat lesi dan tak dapat berkata apa-apa.

Saya juga pernah melihat kejadian kemalangan jalan raya melibatkan pemandu motosikal. Mereka dilanggar depan mata saya sehingga berkecai motor.

Bila mengingati detik itulah yang membuatkan saya trauma tak sudah-sudah. Saya takut memandu sendiri sebab saya tahu kalau pun saya berhati-hati, ada orang lain yang mungkin tidak amalkan pemanduan berhemah yang boleh mengakibatkan kesusahan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Saya juga takut kalau-kalau saya yang melanggar orang lain dan menyusahkan orang.

Akhirnya bila dah lama tak memandu, saya jadi takut terus dan tak tahu sama ada masih pandai memandu atau tidak. Bagaimana pun saya masih menghidupkan lesen memandu saya setiap bulan dan saya berharap suatu masa nanti trauma saya akan hilang. - Norasikin Samad, 30, peniaga online.


PENGAKUAN 3


Langgar orang, mangsa ambil kesempatan

Sebenarnya bukan niat nak peram lesen memandu lama-lama. Saya bukan tak pernah memandu langsung. Tapi kejadian melanggar kereta seorang pakcik di Seksyen 30 Klang buat saya takut dan serik untuk memandu lagi.

Ketika itu saya sedang mengandung tiga bulan anak sulung. Suami pula bekerja luar kawasan dan saya dihantar ke rumah kakak selama beberapa hari. Saya baru lagi memperoleh lesen memandu dan memandu pula kereta Proton Saga yang sterengnya agak keras.

Sewaktu mengundurkan kereta, saya tak sedar tertekan pedal minyak secara berlebihan. Akibatnya kereta berdentum dan saya telah melanggar sebuah kereta buruk yang diparkir belakang kereta saya. Pemiliknya seorang lelaki berpangkat pakcik. Beliau sedang minum di kedai kopi berdekatan.

Dalam hati saya ketika itu nasib baik pakcik tersebut tak berada dalam kereta. Kalau tidak tak tahu apa terjadi kepadanya sekiranya dia ada penyakit kronik. Kebetulan sewaktu pelanggaran pakcik itu nampak dan dia tanpa soal jawab terus marah saya sambil meminta ganti rugi RM1,000.

Saya betul-betul terkejut sedangkan kerosakan tidak banyak. Bagi saya kereta pakcik tu dah memang buruk dan uzur. Pendek kata boleh relai. Terasa diambil kesempatan pula atas situasi tidak sengaja itu.

Saya terpaksa menelefon abang ipar dan beliaulah yang membawa kereta pakcik itu ke bengkel. Kos baik pulih tidak sampai RM300. Sebagai pemandu wanita, saya selalu berfikir jika berlaku apa-apa memang wanita akan dibuli dan menjadi mangsa. Sebab itu saya takut.

Saya ambil lesen tahun 2005 dan kemalangan tahun 2007. Sejak itu saya takut memandu kereta manual. Bukan sahaja takut terlanggar kereta orang tapi takut juga dengan kerenah dan perangai manusia. Kadangkala suami mendesak saya memandu semula tetapi saya memang tak pandai kereta manual.

Sekarang ni nak pergi mana-mana suamilah yang mengambil dan menghantar. Atau pergi sahaja dengan dia. Termasuklah urusan pergi dan balik kerja.

Sekarang walau pun suami belikan kereta automatik, saya tetap tak berani bawa kereta. Saya lebih selesa duduk di kerusi penumpang berbanding memandu sendiri. Nak berborak senang, nak tidur lagi senang. Kalau saya nak memandu pun mungkin saya perlukan situasi yang tenang, damai dan tak menakutkan. Dengar radio pun tak boleh.

Suami ada menasihati saya untuk belajar memandu semula. Nasib kami baik sebab kebetulan bekerja di tempat yang sama. Jika tidak, saya terpaksalah berdikari. - Nazirah Tajudin, 30, kakitangan awam


PENGAKUAN 4
Gagahkan diri selepas musibah


Kakak memang ada lesen memandu, tetapi selepas berkahwin tidak pernah bawa kereta. Ke tempat kerja pun suami yang hantar. Hampir 15 tahun tak pegang stereng kereta, boleh dikatakan kakak hampir tak boleh memandu dah.

Pernah juga suami sarankan kakak cuba-cuba bawa dekat-dekat kawasan rumah, dia bimbang jika ada kecemasan bagaimana nanti. Tetapi saya dah berada dalam zon selesa, saya buat tak endah saja.

Tetapi, peristiwa yang berlaku tahun 2006 buat kakak insaf dan dari kejadian itulah kakak cekap memandu sekarang.

Ia bermula pada suatu malam, tiba-tiba suami kakak sakit gigi yang teramat, dia nak pandu kereta ke klinik sorang-sorang tak berani kot jadi apa-apa tengah jalan. Dia cuba bertahan, tapi tak boleh, sakit menjadi-jadi.

Mahu tak mahu, kakak ambil kunci kereta gagahkan diri pandu kereta bawanya ke klinik gigi. Memang takut sangat, tak yakin, 'merangkak-rangkak', terenjut-enjut.

Kakak pujuk suami agar bertahan, kakak kan amatur, 20 minit jarak perjalanan yang sepatutnya, kakak rasa bagai sejam pandu, tapi syukur sangat sampai juga ke klinik gigi tu. - Wana,40, Melaka