February 2nd, 2015

Latih bagaimana untuk berfikir

Dalam kalangan kita tentunya berfikir bahawa tidak mungkin untuk mengajar kanak-kanak bagaimana untuk menjadi pemikir.

Ramai beranggapan dan percaya seseorang itu tentunya dilahirkan berakal atau tidak. Ini anggapan dan kepercayaan tidak betul. Pemikiran kreatif dan kritikal adalah kemahiran dan ia boleh dipelajari.

Bagaimanapun, ia membabitkan isu pembangunan. Kanak-kanak tentunya kurang cenderung berfikiran analitik berbanding orang dewasa. Bagaimana kanak-kanak berfikir bergantung kepada jangkaan guru dan ibu bapa terhadap kemampuan mereka untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri.

Pihak sekolah juga sering memberi tumpuan kepada pengajaran apa yang perlu pelajar fikir dan bukan bagaimana untuk berfikir. Ibu bapa juga cenderung memberitahu anak untuk berfikir.

Ini merangkumi, memaklumkan kepentingan untuk anak agar bersikap betul, namun arahan diberikan lebih berkemungkinan diterima jika kanak-kanak digalakkan untuk berfikir mengapa sikap dan perlakuan tertentu lebih digemari berbanding yang lain.

Guru tahu bahawa ramai pelajar lemah dalam kemahiran berfikir. Antara pe­nyebabnya ialah perubahan dalam budaya seperti kegilaan terhadap muzik, televi­syen, permainan video, laman web rangkaian sosial dan menghantar mesej melalui telefon bimbit.

Kita tidak mempunyai masalah untuk memberitahu anak apa yang perlu difikirkan, tetapi apabila pemikiran mereka menjadi celaru, kita enggan membantu.

Ramai ibu bapa dan guru berfikir adalah tidak baik untuk mencabar pemikiran anak apabila mereka berfikiran celaru. Mereka bimbang cabaran itu boleh menjatuhkan harga diri dan memalukan anak. Realitinya adalah anak itu akhirnya mengetahui ­dengan sendirinya bahawa mereka tidak mampu berfikir seperti rakan mereka yang mempunyai kemahiran berfikir secara berkesan dan ini menyebabkan mereka berasa rendah diri.

Sekolah dan pentadbir juga menyumbang kepada masalah ini. Pelajar dilatih untuk memberi dan mencari jawapan yang betul.

Ketentuan jawapan dan piawaian kemahiran yang ditetapkan juga tidak menggalakkan pelajar berfikir di luar kotak.

Ramai pelajar kurang yakin untuk berfikir untuk diri mereka sendiri dan sebenarnya takut untuk mencuba. Realitinya, pelajar sebenarnya adalah pemikir kreatif semula jadi sejak dilahirkan tetapi pihak sekolah menghalang pemikiran analitikal dan kreatif pelajar.


Dalam budaya kita, satu-satunya tempat di mana idea berwawasan boleh dijana tetapi dikecualikan adalah di sekolah.



-Azizi Ahmad. Penulis berkhidmat di Jabatan Ilmu Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 7:48 AM

harian_metro_02022015 001

-Warga kampus yang mempunyai pandangan mengenai isu semasa, sila e-mel kepada ruhaizarusmin@mediaprima.com.my atau rencana@mediaprima.com.my - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/28008#sthash.PtZ3d0To.dpuf
Follow me on Academia.edu

Kepincangan sukar diterima

Mereka terpelajar, mempunyai imej yang tinggi di mata masyarakat, namun malangnya masih gagal mengelak diri daripada memplagiat hasil orang lain.


JIKA percaya pada diri sendiri, tidak perlu plagiat.

Mungkin ada yang tidak percaya atau menganggap isu itu lucu, tetapi jika dibiarkan perkara itu berleluasa tanpa ada usaha untuk menyekat aktiviti kurang sihat itu, dunia pendidikan tinggi negara akan mengalami zaman gelap. Tampak cemerlang tetapi isinya kosong.

Jika dulu, plagiat hanya diistilahkan meniru atau menciplak hasil orang lain, kini definisinya mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka diperluaskan sebagai mencedok karya atau tulisan orang lain yang disiarkan kembali sebagai karya sendiri.

Lebih membimbangkan, kegiatan itu bukan saja dilakukan siswa peringkat sijil, diploma atau ijazah sarjana muda malah menular ke pasca siswazah termasuk membabitkan ahli akademik.



ANTARA faktor penyumbang aktiviti plagiat ialah kerana mengejar kenaikan pangkat atau mahu memperoleh peluang pekerjaan dalam industri. - Gambar Google

Biarpun di negara ini ia dianggap kes terpencil, ia tetap serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya terutama pengurusan universiti dan ahli akademik kerana dikhuatiri kredibiliti golongan bijak pandai itu akan dipertikaikan di masa depan.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, jika plagiat berlaku dalam kalangan ahli akademik, keseluruhan imej institusi akan tercalar.

Beliau berkata, golongan itu seharusnya mencerminkan integriti dan profesionalisme tinggi kerana mereka adalah golongan cendekiawan.



BAGI memastikan plagiat tidak terus menjadi tradisi di kampus, perisian dicipta untuk mengesan aktiviti berkenaan. - Gambar Google -

"Istilah cendekiawan itu sendiri sangat tinggi maknanya jadi boleh bayangkan kalau mereka ini melakukan plagiat.

"Aspek profesionalisme, nilai moral, imej diri sebagai seorang ahli akademik akan tercemar dan boleh dipersoalkan.

"Mereka mendidik, mengajar tapi pada masa sama memplagiat hasil orang lain. Jadi di manakah taraf ilmu mereka perlu diletakkan?" katanya.

Katanya, walaupun plagiat selalu dikaitkan dengan siswa peringkat pengajian rendah (diploma atau ijazah sarjana muda) dan jarang sekali dilakukan siswa pasca siswazah (ijazah sarjana dan doktor falsafah), ia tetap berlaku.

"Plagiat bukanlah sesuatu yang aneh di universiti kerana masing-masing mahukan hasil terbaik.

"Bagaimanapun, jika ia dilakukan siswa peringkat pengajian tinggi, ia seolah-olah satu kepincangan yang sukar diterima.

"Anda sudah dewasa, sudah mampu berfikir dan berpengalaman menjadi siswa sebelum itu. Jadi mengapa masih perlu plagiat?", katanya.

Beliau menganggap mereka yang suka memplagiat hasil orang lain sebenarnya tidak yakin dengan diri sendiri.

"Jika yakin dan percaya pada kemampuan diri sendiri, tidak perlu plagiat.

"Anda belajar, menyelidik dan menulis tesis bagi membuktikan anda layak digelar orang cerdik pandai.

"Tidak perlu meniru hasil orang lain, tapi anda berusaha keras bagi mencapai kejayaan," katanya.


SEBAGAI golongan cendekiawan, ahli akademik perlu berusaha untuk menghasilkan ilmu baru setaraf dengan ketinggian pendidikan diterima. - Gambar Google

Bagi mengekang plagiatisme daripada terus mencalar kredibiliti institusi pengajian tinggi (IPT), pelbagai kaedah digunakan sama ada manual atau bantuan perisian khas.

Antara perisian yang sering digunakan bagi mengesan aktiviti plagiat ialah Turnitin yang memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membuat padanan teks penulisan dengan teks yang terdapat dalam server Turnitin.

Padanan akan menunjukkan peratus kesamaan dengan teks yang disemak dan jika melebihi peratusan ditetapkan, ia dianggap plagiat.

Perisian yang diperkenalkan pada 1997 ini menetapkan kadar melebihi 24 peratus daripada hasil penulisan teks yang disemak sebagai plagiat manakala di negara ini melebihi 35 peratus sebagai kadar standard.

Sebelum pengenalan perisian berkenaan, semakan untuk plagiat hanya dilakukan secara rawak menjadikan ia mengambil masa lama untuk diketahui.

Beliau berkata, walaupun isu plagiat dalam kalangan pensyarah kurang diperkatakan, namun ia tetap menjadi isu yang kerap dibincangkan di peringkat global.

Menurutnya, plagiat dalam kalangan ahli akademik di negara ini masih boleh dianggap terpencil serta jarang berlaku, namun di beberapa negara membangun lain, peratusannya membimbangkan.

"Disebabkan pemantauan terhadap hasil tesis atau jurnal pensyarah sangat ketat, aktiviti plagiat dalam kalangan ahli akademik negara ini dianggap sangat terpencil.

"Namun di negara lain seperti India dan China, kebimbangan semakin memuncak kerana ada di sesetengah negara kadar peratusan plagiat meningkat setiap tahun melebihi dua peratus.

"Kita harus bersyukur kerana IPT negara ini sangat ketat menjaga kualiti dan benar-benar mengiktiraf hanya mereka yang layak saja sebagai ahli akademik sebenarnya," katanya.


Di manakah kedudukan dan integriti ahli akademik yang mengajar dan mendidik orang lain tapi melakukan plagiat?

Laporan Pertubuhan Sains dan Teknologi China (CAST) pada 2009 mendapati 43.4 peratus peratus daripada purata 30,000 penyelidik mereka terbabit dengan plagiat dan mengaitkannya sebagai sesuatu yang 'menakutkan'.

Manakala di India mendapati 80 kes plagiat berlaku dalam tesis atau jurnal yang dihantar sepanjang tempoh 2006 hingga 2008 dan di Amerika Latin 80 peratus daripada 33 tesis dihantar adalah plagiat.

Beliau berkata, antara faktor utama dikenal pasti berlakunya plagiat kerana mahukan keputusan cemerlang sebagai kredit bagi memperoleh peluang pekerjaan atau kenaikan pangkat.

"Malangnya, ia seolah-olah menipu diri sendiri kerana tidak menghasilkan karya atau ilmu tulen.

"Ini bukan sikap ahli akademik yang profesional mahupun sebagai golongan terpelajar.

"Jika mahu bergelar profesor atau doktor, anda perlu berusaha keras untuk menikmati hasilnya," katanya.