February 4th, 2015

Penerapan integriti elak bencana

Musibah paling buruk melanda negara akhir tahun lalu membawa kita kepada suatu dimensi baharu, iaitu pentingnya menyemai nilai integriti dalam setiap tindakan kita. Tidak kira sama ada tindakan tersebut berbentuk secara langsung ataupun tidak langsung. Beberapa pihak mendakwa banjir di Pantai Timur, khususnya di Kelantan mempunyai kaitannya dengan pembalakan haram.

Sudah pasti pembalakan haram ini akan dihubung kait dengan unsur rasuah dan salah guna kuasa. Tetapi, adakah ia hanya disebabkan oleh pembalakan haram semata-mata? Jawapannya tidak. Pembalakan sah yang tidak teratur juga boleh membawa kepada masalah. Apapun kedudukannya, kini bukan masa untuk menuding jari siapa yang bersalah dalam perkara ini.

Sebaliknya, yang penting semua pihak perlu berganding bahu untuk membawa pendekatan baharu bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang. Sudah pasti penyelesaian secara bersama ini adalah lebih baik berbanding dengan sikap saling tuding-menuding. Sebelum banjir besar akhir Disember 2014, negara berhadapan dengan tragedi banjir lumpur dan hakisan tanah di Cameron Highlands. Tragedi ini turut meragut nyawa. Kejadian pada 6 November lalu adalah yang kedua selepas tragedi yang hampir sama pada Oktober 2013.

Beberapa pihak berpandangan, langkah awal perlu dilakukan bagi mengelakkan isu yang sama berulang di pusat peranginan terkenal itu. Malah, ada yang mengatakan jika kita gagal melakukan sesuatu tindakan terhadap Cameron Highlands, maka ia akan kehilangan statusnya suatu hari kelak. Kerajaan Pahang dan Kerajaan Pusat sudah mengemukakan pelan pemulihan dan pencegahan malapetaka itu.

Begitu juga dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membentangkan pelan tindakan 12 perkara kepada kerajaan Pahang pada Julai 2014. Ini termasuklah tindakan jangka panjang dan jangka pendek.

Difahamkan kerajaan Pahang sudah mula melaksanakan beberapa perkara dengan kadar segera. Banjir di Pantai Timur, Perak, dan Cameron Highlands baru-baru ini adalah antara beberapa tragedi dan bencana alam yang perlu diberi perhatian yang serius mengenai elemen integriti agar negara bebas daripada musibah yang sama.

Di sebalik musibah banjir itu, ada pihak yang mendakwa wujud elemen salah guna kuasa dan penyelewengan dalam soal pengurusan dan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir. Ini membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Dana dan Tabung Banjir oleh SPRM dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Audit Negara.

Pengurusan dana dengan telus

Jawatankuasa ini dilaporkan akan memastikan pengurusan dana dan tabung banjir, sama ada oleh kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) dikendalikan dengan telus dan bebas daripada penyelewengan.

Ini kali pertama pendekatan sedemikian diambil. Lebih-lebih lagi banjir kali ini yang terburuk dalam sejarah negara. Difahamkan SPRM mengambil langkah ini berdasarkan pengalaman mereka ketika pengagihan bantuan kepada mangsa tsunami satu dekad lalu. Kita tidak pernah terfikir negara akan berhadapan dengan tragedi paling buruk seperti ini.

Oleh itu, kita terlepas pandang mengenai aspek integriti dalam pengurusan bantuan kepada mangsa banjir. Dengan pembentukan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Dana dan Tabung Banjir, maka diyakini bahawa akan wujud satu mekanisme bagi memantau penyaluran dan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir.

Langkah proaktif ini patut disambut baik bagi memastikan penyaluran bantuan sama ada dalam bentuk wang ataupun barangan adalah wang bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan dan salah laku.

Langkah ini juga satu langkah yang baik bagi memupuk ciri-ciri integriti dalam kalangan rakyat negara ini dalam jangka panjang. Banyak pandangan dibangkitkan bagi mengelakkan negara digegarkan dengan bencana dan malapetaka yang sama berulang kembali seperti yang penulis nukilkan di atas. Kita berhadapan dengan masalah yang sama dari semasa ke semasa.

Sejak tragedi Highland Towers pada tahun 1993 sehingga musibah 'bah kuning' akhir tahun lalu, apakah pengajaran buat kita daripada setiap insiden ini? Asas kepada setiap insiden ini adalah kegagalan kita mengutamakan integriti. Saya tidak mahu mengatakan rasuah, salah laku ataupun penyelewengan. Tetapi sekadar membawa kepada peri pentingnya pendirian dan sikap kita kepada soal integriti.

Di Sarawak, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem memperlihatkan pendirian tegas beliau dalam memastikan nilai integriti diberi penekanan bagi menghapuskan jenayah rasuah dalam jangka panjang. Yang terbaru, beliau bercadang untuk mewajibkan semua menteri dan Menteri Muda Kabinetnya menandatangani ikrar integriti mereka terhadap amalan rasuah.

Sebagai permulaan beliau telah mewajibkan semua pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan negeri dan badan berkanun untuk menandatangani ikrar itu sebelum dilanjutkan kepada semua ahli Kabinet Sarawak. Mengikut maklumat SPRM, lebih 500 entiti awam dan kerajaan sudah menandatangani Ikrar Integriti Korporat hingga kini.

Setiap pihak sama ada orang perseorangan, agensi swasta ataupun awam, dan juga pemimpin Pusat dan negeri perlu mengutamakan penerapan nilai integriti bagi mengelak bencana alam semula jadi. Setiap tindakan mempunyai impak yang berkaitan dengan amalan berintegriti. Jika kita tidak mengamalkan integriti, bermakna impaknya akan membawa mudarat kepada kita.

Amalan integriti

Justeru, utamakan amalan berintegriti. Mulakan hari ini sekiranya kita prihatin terhadap kepentingan masa depan dan generasi akan datang. Integriti menjadi asas kepada persekitaran yang bebas daripada rasuah, salah laku dan penyelewengan. Sekiranya integriti disemai secara semula jadi ataupun menerusi penguatkuasaan, jika perlu, sudah pasti kita boleh menikmati kehidupan yang bebas daripada tragedi, musibah dan bencana.

Jika sekalipun tidak dapat mengelak, sekurang-kurangnya kita boleh elak risiko bencana alam. Dalam merangka pelan strategi bagi mengelak perkara yang sama berulang, maka elemen integriti turut diberi penekanan.

Agensi seperti SPRM perlu terbabit apabila membincangkan pendekatan dan strategi baharu. Demikian dengan penyertaan NGO, juga amat penting.

Dr Marimuthu Nadason ialah Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Berita Harian Kolumnis 04 Februari 2015

Teori Faham Perlembagaan Islam, Barat

Sistem pentadbiran negara umumnya mementingkan kemaslahatan dan keselamatan negara serta rakyatnya. Prinsip ini juga adalah prinsip yang menjadi teras kepada demokrasi dan menjadi asas kepada kewujudan Parlimen. Dalam menjamin kemaslahatan dan keselamatan negara dan rakyat dalam konteks sistem pentadbiran Barat, mereka memperkenalkan teori Faham Perlembagaan.

Teori ini mengandungi dua perkara utama, iaitu pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang. Dalam konteks Barat, prinsip Faham Perlembagaan ini wujud bagi menyekat kuasa pemerintahan secara kuku besi. Dalam konteks pentadbiran Islam pula, prinsip kemaslahatan itu wujud kerana menjaga maruah manusia sebagai makhluk Allah yang dimuliakan.

Di Barat, selepas tekanan ke atas rakyat begitu berat dan menindas, maka rakyat bangkit menentang kekuasaan pemerintah yang melampau batas. Selepas sistem Faham Perlembagaan ini diperkenal, sistem terbabit sudah berubah kepada sistem pentadbiran yang dikenali sebagai 'Government of Law' atau 'limited govenment'. Prinsip utama dalam sistem ini ialah sistem pemerintahan yang berlandaskan peruntukan undang-undang yang bukan hanya memberi kuasa kepada kerajaan, tetapi juga meletakkan had-had tertentu kepada kuasa terbabit.

Ia bertujuan mengawal kuasa pemerintah menerusi peruntukan undang-undang, pada masa sama, menjaga kebajikan dan kebebasan rakyat. Justeru, melalui sistem yang mengehadkan kuasa pemerintahan atau 'limited government' itu, semua tindakan yang dilakukan oleh pemerintah atau sesiapa sahaja hendaklah menurut lunas perundangan. Dengan kata lain, tiada kuasa mutlak dan tiada penumpuan kuasa kepada satu pihak atau badan sahaja.

Tiada penumpuan kuasa

Pengasingan kuasa atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai 'separation of powers' bermaksud kuasa ketiga-tiga badan kerajaan diasingkan antara satu sama lain. 'Badan kerajaan' bermaksud institusi kerajaan atau sering kali disebut juga cabang atau organ kerajaan, iaitu badan pelaksana, badan perundangan dan badan kehakiman.

Prinsip pengasingan kuasa ini bermaksud tiada penumpuan kuasa kepada mana-mana badan kerajaan itu. Ia bertujuan meletakkan tanggungjawab khusus kepada badan kerajaan supaya setiap satu tidak mengganggu tugas dan tanggungjawab antara satu sama lain. Dan tidak ada mana-mana satu badan yang lebih berkuasa daripada yang lain.

Prinsip kedua dalam sistem Faham Perlembagaan ialah prinsip kedaulatan undang-undang atau dalam bahasa Inggeris, 'rule of law'. Prinsip kedaulatan undang-undang ini mempunyai beberapa pengertian. Antaranya, kuasa yang dilaksanakan oleh kerajaan hendaklah mempunyai asas atau disandarkan kepada sumber yang sah.

Ia hendaklah dianugerahkan oleh punca kuasa yang diiktiraf undang-undang, pada masa sama, ketika pelaksanaan kuasanya setiap badan kerajaan hendaklah disokong oleh undang-undang. Ini menjadikan setiap tindak-tanduk badan kerajaan itu mempunyai punca kuasa undang-undang dan seterusnya menjadikan sistem itu sebagai sistem berteraskan undang-undang atau sistem yang mendaulatkan undang-undang, bukan sistem yang disandarkan kepada individu; 'it is a government of law, not a government of men'. Ringkasnya, semua tindakan hendaklah mempunyai punca kuasa undang-undang; semua perkara mempunyai seliaan atau semakan dan mengandungi keseimbangan.

Dalam konteks kedaulatan undang-undang ini, badan kerajaan hendaklah bertindak mengikut undang-undang yang mengandungi satu piawaian 'keadilan' dan dalam sistem Faham Perlembagaan, prinsip 'keadilan' itu disebut dalam Perlembagaan dan badan kerajaan hendaklah menghormati prinsip terbabit dalam semua pelaksanaan kuasa dan tanggungjawab masing-masing.

Pentadbiran secara Islam

Prinsip pengasingan kuasa dalam pentadbiran Islam pula pada asalnya tidak berlaku. Pada awal pentadbiran negara Islam yang dikendalikan Rasulullah SAW, semua badan adalah di bawah kawal selia Baginda. Baginda adalah seorang pemimpin, sumber perundangan dan juga menjadi hakim. Oleh itu, Islam mementingkan sifat peribadi, keimanan dan ketakwaan seseorang sebelum dilantik atau dipilih sebagai pemimpin.

Walaupun begitu, pentadbiran secara Islam tidak semestinya menolak prinsip pengasingan kuasa. Tujuan pengasingan kuasa itu ialah untuk memastikan pentadbiran dilakukan demi keadilan yang bersandarkan prinsip dan ajaran Islam.

Prinsip kedaulatan undang-undang pula adalah inti pati kepada prinsip, ajaran dalam pentadbiran Islam. Kedaulatan undang-undang menjadi prinsip utama dalam pentadbiran Islam di bawah konsep keadilan, pemesyuaratan dan menghormati maruah manusia sebagai makhluk Allah yang dikurniakan kebolehan dan kelebihan serta jelas disebut dalam al-Quran.

Dr Shamrahayu A Aziz ialah Felo Utama Kajian Syariah Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Berita Harian Kolumnis 04 Februari 2015

Rakyat tidak perlukan rumah mewah!

JAWAB soalan-soalan berikut secara jujur. Berapa ramaikah rakyat Malaysia mampu membeli rumah berharga hampir tiga per empat juta? Berapakah jumlah bayaran bulanan pula untuk rumah berharga semahal itu? Siapakah yang benar-benar mampu membeli rumah tersebut?

Saya sengaja lontarkan persoalan-persoalan sebegini bertujuan menceritakan senario segelintir rakyat kita yang terlebih taksub dengan perumahan mewah. Golongan ini berhujah kononnya perumahan mewah akan meningkatkan ekonomi setempat dan harga hartanah di kawasan tersebut. Ketika ramai rakyat Malaysia masih belum memiliki rumah, adakah patut rumah mewah dibina dengan begitu banyak sekali? Siapakah yang sebenarnya mendapat manfaat daripada pembinaan rumah mewah? Apakah majoriti rakyat atau segelintir golongan sahaja? Soalan-soalan mudah sebegini tidak memerlukan mereka yang pakar dalam bidang ekonomi dan kewangan untuk menjawabnya.

Semua orang tahu bahawa projek perumahan mewah hanya dimanfaatkan oleh orang kaya sahaja. Rumah yang berharga hampir tiga per empat juta hanya mampu dimiliki oleh mereka yang berpendapatan sekurang-kurangnya belasan ribu ringgit sebulan. Jadi, dalam konteks ini, berapa ramaikah rakyat Malaysia yang berpendapatan melebihi angka itu?

Sudah banyak angka telah dikeluarkan. Rakyat kita tidak ramai berpendapatan sebegitu. Yang ramai berpendapatan kecil. Mereka ini pula mempunyai tanggungan yang banyak dan hutang keliling pinggang. Banyak sudah angka-angka didedahkan oleh pihak berkaitan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Masih ramai rakyat Malaysia yang terhimpit dengan kehidupan kos sara hidup yang tinggi. Mereka ini lebih ramai berbanding segelintir golongan yang kaya-raya yang dalam kepala mereka hanya ingin menambah aset kekayaan tanpa memikirkan golongan miskin ter­utamanya miskin bandar.

Alasan untuk meningkatkan ekonomi setempat hanya memberi manfaat kepada mereka sahaja. Majoriti rakyat berpendapatan rendah hanya mampu melihat sahaja dan tidak sedikit pun menikmatinya. Alasan harga hartanah meningkat pun untuk mereka sahaja. Mereka yang memiliki rumah-rumah mewah yang bukan setakat sebuah tetapi berbuah-buah. Golongan yang berpendapatan rendah yang memiliki sebuah rumah pun masih boleh bersyukur meskipun ada antaranya terpaksa membayar hutang rumah melewati tempoh persaraan.

Harga rumah meningkat bukan hanya faktor kawasan tersebut amat bagus dek kerana pembangunan per­umahan mewah. Harga rumah meningkat banyak dipengaruhi oleh faktor spekulasi. Siapa di sebalik aktiviti spekulasi hartanah ini? Siapa lagi kalau bukan mereka yang terlalu tamak dan gelojoh serta masih tidak cukup dengan kekayaan yang diperoleh yang menyebabkan harga hartanah meningkat terlalu tinggi. Mereka yang tidak mampu membeli hartanah di situ, sedikit demi sedikit terpaksa berpindah ke kawasan lain. Akhirnya, kawasan itu hanya dikuasai oleh segelintir golongan mewah yang pada asalnya memberi seribu satu alasan hanya kerana ingin memastikan kemewahan mereka terpelihara. Inilah yang menyebabkan yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin. Terimalah fakta ini!

Jadi, apa lagi segelintir golongan kaya ini berasakan majoriti rakyat tidak mengetahui? Usahlah kerana terlalu banyak wang, diberikan alasan-alasan yang tidak munasabah. Bukan semua orang boleh termakan dengan alasan-alasan sebegitu. Tidakkah segelintir golongan kaya ini yang ada antaranya berpendapatan melebihi ratusan ribu ringgit sebulan menyedari kadar cukai pendapatan mereka sama dengan mereka yang berpendapatan belasan ribu ringgit sebulan? Kadar cukai mereka tetap sama meskipun pendapatan mereka meningkat setiap tahun. Itu pun masih mengeluh semua tidak kena selagi seluruh rakyat Malaysia tidak menerima pemikiran liberal dan sekular mereka! Mengeluh mengalahkan mereka yang berpendapatan rendah yang terpaksa menjaga lapan orang anak yang masih kecil.

Oleh itu, dalam hal ini, majoriti rakyat sebenarnya tidak memerlukan perumahan mewah. Perumahan mewah hanya didambakan oleh segelintir golongan yang cukup kaya yang rata-rata mereka ini menguasai sistem kapitalis. Wang bagi mereka bukan masalahnya. Yang jadi masalahnya, mereka ini sentiasa berasa tidak cukup dengan perumahan yang serba mewah.

Alasan yang digunakan mereka bahawa perumahan sebegini akan menyebabkan semua kaum bergaul juga tidak boleh diterima. Sewajarnya pergaulan masyarakat berbilang kaum bermula sejak kecil lagi. Caranya melalui sistem pendidikan. Malangnya mereka yang kaya-raya ini menghantar anak-anak ke sekolah antarabangsa yang berharga mahal. Bagaimana anak-anak kecil ini hendak bergaul antara satu sama lain agar memahami budaya, agama, perasaan dan sensitiviti kaum lain?

Mengatakan bahawa pihak-pihak yang kurang bersetuju dengan projek perumahan mewah sebagai golongan tidak boleh bercampur dengan rakyat Malaysia lain, satu lagi alasan yang tidak masuk dek akal. Perumahan mewah hanya menjadi tembok besar menghalang pergaulan masyarakat majmuk. Sudah diketahui, kehidupan bermasyarakat di bandar-bandar besar tidak bermaya berbanding dengan masyarakat di kampung. Ditambah lagi dengan projek-projek perumahan mewah yang berteraskan keselamatan canggih kerana kononnya masyarakat mewah ini tidak mahu diganggu dan mahu bersendirian. Mereka ini sebenarnya tidak mahu bergaul dengan orang lain. Maka, mustahil mampu meningkatkan pergaulan sesama kaum. Malah, perumahan mewah sebeginilah yang meningkatkan pengasingan dan polarisasi kaum.

Justeru, utamakan apa yang paling penting dahulu. Pelbagai projek perumahan mampu milik wajib dibangunkan secara besar-besaran oleh kerajaan dan pihak berkuasa yang diamanahkan. Majoriti rakyat tidak memerlukan sama sekali perumahan mewah. Mereka yang inginkan perumahan mewah, lebih baik berfikir dahulu nasib ramai rakyat Malaysia yang masih tidak mampu memiliki rumah.

Paling tidak pun mengenang nasib mangsa-mangsa banjir baru-baru ini yang kehilangan rumah masing-masing. Itu pun, jika segelintir golongan yang terlalu taksub dengan kemewahan ini mahu mengingati kesusahan orang miskin. Jika tidak, mereka akan sentiasa berada dalam dunia mereka sendiri dengan memberi pelbagai alasan yang tidak masuk dek akal bagi menafikan hak majoriti rakyat Malaysia.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM). Utusan Malaysia Rencana 04 Februari 2015 12:46 AM

Isunya bukan troli tetapi sikap

HENDAK tergelak ada dan rasa kasihan pun ada apabila saya membaca status dalam akaun Facebook seorang pekerja di sebuah pasar raya di Seksyen 19, Shah Alam, semalam.

Facebook dalam grup hanya untuk penduduk Shah Alam itu meminta orang ramai yang tinggal di sekitar kawasan tersebut tidak membawa terus troli kepunyaan pasar raya berkenaan ke rumah mereka atau ditinggalkan di tempat yang jauh dari pasar raya itu.

Katanya, sekiranya salah satu troli hilang, gaji mereka akan dipotong.

Membaca komen-komen di situ, ramai yang mengaku ternampak troli kepunyaan pasar raya terbabit dan hypermarket lain yang diletakkan dalam kawasan flat dan rumah berhampiran.

Dalam pada itu, ada yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sikap pengunjung hypermarket dan pasar raya yang suka meletakkan troli bertindan-tindan di belakang kende­raan orang lain, bukan di tempat yang telah disediakan.

Sebenarnya, isunya di sini bukan troli. Saya ingin menyentuh sikap kebanyakan masyarakat kita tidak kiralah semasa menggunakan kemudahan, perkhidmatan dan juga sikap sesama kita.

Banyak sebenarnya sikap yang agak menjengkelkan yang dilakukan dalam kalangan kita sama ada dalam sedar atau tidak ia melibatkan masa dan menyusahkan orang lain. Tetapi disebabkan sudah menjadi kebiasaan, ramai yang menganggap tidak ada salah melakukannya.

Antaranya, membiarkan orang lain menunggu lama ketika tiba giliran mengisi petrol. Ada yang bukan saja boleh membeli-belah dengan lama di stesen minyak dan membiarkan kenderaan lain beratur panjang tetapi bersikap seolah-olah cuba melengahkan masa orang lain dengan berborak-borak dengan orang yang mengisi minyak di sebelahnya walaupun dia sudah habis berbuat demikian tanpa rasa bersalah.

Ketika membayar tol pula, ada yang baru mahu tercari-cari duit dalam beg atau poket ketika tiba giliran sedangkan dia punya banyak masa berbuat demikian ketika kenderaan beratur panjang terutamanya pada waktu puncak ketika orang mahu masuk kerja atau pulang bekerja.

Itu belum masuk lagi sikap buruk di jalan raya yang kalau hendak disenaraikan begitu panjang.

Dalam pada itu, kita juga sudah biasa melihat orang memotong barisan ketika hendak membayar barangan di kedai dengan muka selamba seperti tiada orang lain di situ sampaikan orang di belakangnya menegur perbuatan itu pun dia buat-buat seperti tidak mendengar apa-apa.

Ketika dalam pengangkutan awam pula, masih ada yang membiarkan warga emas atau ibu yang sedang mengendong anak atau mengandung berdiri sedangkan yang muda-muda dan gagah ini duduk sambil melayan telefon pintar mereka dan mendengar lagu.

Sebenarnya banyak lagi sikap yang kita anggap remeh apabila diketengahkan tetapi sebenarnya memberi kesan kepada orang lain. Mungkin orang lain yang menunggu ada kecemasan perlu cepat, ada pekerja yang terpaksa keluarkan wang sendiri untuk membayar kemudahan yang hilang, ada yang tidak sihat perlu duduk dalam pengangkutan awam dan paling tidak pun boleh membuat orang lain hilang mood sehari dengan perbuatan itu.

Sedar atau tidak sikap sebegini mencerminkan keperibadian kita. Kita paling pantang jika dikata tiada adab atau biadab tetapi secara tidak sedar orang lain telah melabel kita begitu. Berubahlah. Bukan perlu bayar apa-apa pun.

- Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 04 Februari 2015 12:46 AM

Budayakan perniagaan beretika

PENURUNAN harga petrol telah menuntut para peniaga membuat penilai­an drastik terhadap harga jualan barangan serta caj perkhidmatan yang dikenakan.


PENIAGA di pasar Chow Kit, Kuala Lumpur yang tidak meletakkan tanda harga dan menggunakan alat timbang tidak berdaftar juga dikenakan tindakan.

Ramai yang tidak menduga bahawa dalam keadaan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekoran ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah menurunkan harga petrol. Rakyat negara jiran juga amat terkejut dengan tindak­an berani kerajaan Malaysia dalam keputusan tersebut. Langkah itu turut melegakan banyak pihak terutama penduduk yang terlibat dalam musibah banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia serta Sarawak.

Para peniaga yang kerap menggunakan alasan kenaikan harga petrol serta pengurangan subsidi bahan api untuk menaikkan harga barangan kini telah dituntut untuk membuat imbangan semula tentang harga dan kadar perkhidmatan yang dikenakan sebelum ini.

Kita sedar bahawa sehingga hari ini kempen menurunkan harga di kebanyakan premis perniagaan tidak begitu rancak. Ternyata bahawa peniaga masih sepi dan berdiam diri dalam membuat congak terhadap penurunan harga.

Permainan kesan berantai (chain effect) dilihat lebih cepat terhadap kenaikan dan bukannya penurunan. Malah ada suara-suara yang mula melihat permainan kesan berantai sebagai satu strategi untuk mening­katkan keuntungan perniagaan.

Hakikatnya penurunan harga adalah satu tanggungjawab sosial peniaga yang berpaksikan kepada nilai dan etika pengusaha dan peniaga. Seandainya perniagaan dijalankan dengan penuh etika, tuntutan untuk menurunkan harga pastinya tidak menjadi kebimbangan orang awam.

Hal ini kerana penghayatan terhadap perniagaan sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial telah sebati dengan jiwa seseorang peniaga yang beretika. Apatah lagi bagi peng­usaha dan peniaga Muslim yang menitikberatkan konsep adil, iman dan ihsan dalam perniagaan.



Anggota Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memeriksa harga barang di sebuah pasar raya sewaktu Ops Catut di Dungun, Terengganu, bulan lalu. -- foto BERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

Namun, sejauhmanakah etika dalam perniagaan menjadi budaya dalam masyarakat pelbagai etnik di negara kita? Nampaknya, suara-suara yang menggesa kepada pemantauan harga dilihat lebih rancak berban­ding dengan kempen kesedaran terhadap etika dalam perniagaan. Jus­teru, sekali lagi pihak berkuasa dalam kawalan harga menjadi sasaran sesetengah pihak yang gemar kepada pendekatan mengawal (control).

Kumpulan ini lebih gemar untuk meletakkan gesaan penurunan harga barangan ekoran daripada penurunan harga petrol semata-mata kepada pihak berkuasa. Seolah-olah tanpa pemantauan, maka harga tidak akan turun.

Kita tidak menolak bahawa pemantauan terhadap kawalan harga itu penting, namun pada masa yang sama, para peniaga hendaklah menghayati nilai dan etika sebagai ahli kepada masyarakat. Tambahan pula dalam dunia global hari ini, kemasukan barangan dari pelbagai negara adalah rencam. Sebenarnya, pengiraan kos dalam perniagaan telah mengalami perubahan yang mendadak selepas adanya kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi. Perniagaan dalam talian telah memberi ruang yang cukup kepada para peniaga untuk mengurangkan kos pengiklanan, sewaan kedai, serta promosi. Pada masa yang sama, pasaran kepada perniagaan turut melebar dengan sendirinya.

Hakikatnya, kesemua kemudahan ini pastinya menjadi sukar sekiranya projek mega teknologi maklumat dan komunikasi tidak dilakukan oleh kerajaan. Perbelanjaan dan pelaburan yang besar dilakukan oleh kerajaan telah memberi banyak peluang kepada peniaga.

Ini adalah satu bentuk tanggungjawab pemerintah yang melihat ke­perluan untuk melestarikan pemba­ngunan sosioekonomi masyarakat. Pembudayaan perniagaan secara beretika bukan sahaja terhad kepada turun-naik harga ekoran pelbagai faktor domestik dan global, tetapi merangkumi tanggungjawab menyeluruh termasuklah mengiklan dan menjual barangan yang betul.

Tambahan pula, dengan permintaan yang tinggi kepada barangan menerusi perniagaan dalam talian, para peniaga hendaklah dibudayakan dengan urusan perniagaan yang beretika dan profesional. Kita mengetahui bahawa jualan barangan dalam talian adalah berdasarkan keyakinan pe­langgan terhadap penjual.

Menjual barangan palsu, barang­an yang tidak sepertimana diiklankan serta mengambil deposit secara tidak sah adalah beberapa perilaku yang tidak beretika. Sekiranya majoriti peniaga dalam talian berope­rasi secara tidak beretika di Malaysia, yang pasarannya adalah global, maka keyakinan pembeli di peringkat global akan musnah.

Untuk mengatasi perkara ini, ke­semua pihak yang terlibat dalam perniagaan perlu menjadikan kehidupan beretika sebagai satu budaya.

Kita akui bahawa kerajaan memainkan tanggungjawab untuk memantau tetapi percayalah setiap sistem pemantauan yang dilakukan tentu ada kelemahan. Maka, cara terbaik adalah kembali kepada sikap dan etika setiap warga yang bertanggungjawab.

Malang sekali selepas berbelas tahun kita ditarbiyah dalam sistem pendidikan yang menekankan kepada nilai dan etika, namun masih wujud individu yang tidak beretika dalam segala tindak-tanduk mereka. Yakinlah, negara ini terbina dan maju kerana kualiti yang ada pada setiap warganya.