February 5th, 2015

Peranan besar bahasa Melayu dalam agama

Keputusan muktamad telah dibuat berhubung penggunaan sebilangan perkataan Islam oleh pihak bukan Islam di negara ini, khususnya dalam literasi agama dan pengembangan kepercayaan selain Islam. Dengan ini, semua pihak bukan sahaja perlu menerima keputusan itu dengan minda terbuka, tetapi lebih penting lagi harus akur dengannya, yakni tidak lagi menggunakan sesuatu perkataan itu seperti sebelum ini.

Ada pula sesetengah pihak dalam kalangan golongan Muslim di negara ini yang menyarankan agama lain kecuali Islam, tidak dibenarkan menggunakan bahasa Melayu untuk bidang agama masing-masing. Tidak kiralah sama ada untuk tujuan sembahyang dan khutbah atau penyebarannya.

Sebenarnya bahasa Melayu sudah lama digunakan dalam bidang keagamaan. Ia pernah digunakan untuk pengajaran agama lain selain Islam di Alam Melayu sejak zaman lampau lagi. Pada awal abad Masihi, agama Hindu dan Buddha dan kemudian Kristian pula bukan sahaja disebar, tetapi diajar dalam bahasa Melayu.

Bukti mengenai hal ini jelas pada teks agama yang digunakan. Pada zaman Sriwijaya dan Majapahit, bahasa Melayu adalah bahasa penghantar dalam penyebaran agama Hindu dan Buddha. Begitu juga halnya dengan penyebaran agama Kristian pada zaman moden, kepada kaum anak negeri bukan Islam Sabah dan Sarawak, dan Orang Asli di Semenanjung.

Ukur tahap kemampuan

Dari segi ilmu bahasa, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang keagamaan, baik untuk Islam atau lain-lain, pada zaman dahulu dan moden ini, adalah antara penanda utama dalam mengukur tahap kemajuannya. Ia bukan sahaja memperlihatkan berlakunya penyebaran bahasa Melayu yang menjadi antara tahap terpenting dalam kemajuannya, tetapi ia juga menunjukkan kemampuan bahasa Melayu mengungkapkan hal abstrak yang wujud dalam sistem kepercayaan. Hal sebegini hanya boleh dinyatakan dengan baik apabila bahasa itu adalah bahasa terbina.

Sebagai bahasa terbina, bahasa Melayu dengan struktur luwesnya dan kosa kata yang luas mampu digunakan dengan jayanya untuk menjelaskan pengertian rumit mengenai pelbagai perkara ajaib dalam agama.

Dengan penyebaran ini, ia bermakna pengguna dan kegunaan bahasa Melayu bertambah. Penambahan ini sudah tentu baik untuk bahasa Melayu kerana ia didapati penting. Ini juga memperlihatkan penerimaan bahasa Melayu oleh sesetengah komuniti bahasa lain, sebagai wahana utama untuk mendukung peranan komunikasi kudus dalam kehidupan mereka.

Kejayaan bahasa Melayu dalam pendidikan agama dalam pelbagai aspeknya, dahulu dan sekarang, mempamerkan sistem linguistiknya bukan sahaja sudah lama mantap, tetapi ia juga memiliki tahap cendekiawan tinggi untuk menyampaikan pemikiran teologi yang rumit melalui penggunaan laras agama yang bukan sahaja indah, tetapi persis.

Laras agama adalah antara laras yang memperlihat penggunaan bahasa secara pintar, khususnya dari segi memberi inspirasi. Ia bukan sahaja bersifat bujukan, tetapi juga merangsangkan.

Berdasarkan keupayaan bestari sebegini, persoalannya adakah wajar ia mahu cuba dihalang penggunaannya dalam bidang keagamaan, selain untuk Islam sahaja. Sesungguhnya penyebaran bahasa Melayu dalam konteks penokokan pengguna dan kegunaannya, lebih-lebih lagi dengan menafikan peranan komunikasi kudus ini daripada didukung bahasa lain, adalah kemajuan besar dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu.

Penyebaran bahasa Melayu ini sebenarnya ada kaitan rapat dengan perancangannya, khususnya dari segi penguasaan dan promosinya sebagai bahasa negara. Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia bukan Melayu, bukan sahaja lebih cekap berkomunikasi dalam bahasa Melayu daripada bahasa lain, termasuk bahasa ibunda sendiri. Mereka juga selesa sekali dengannya.

Penggunaan bahasa Melayu untuk tujuan pengembangan kepercayaan keagamaan dalam kalangan mereka ini, menjadi cara penting lagi utama, untuk memperoleh maklumat kerohanian dan seumpamanya. Maklumat ini sebenarnya penting untuk mengawal kelakuan mereka.

Dalam konteks sosial, kelakuan baik ini bukan sahaja boleh, tetapi mempunyai peranan penting dalam memperkukuhkan keharmonian, lebih-lebih lagi dalam masyarakat berbilang agama seperti Malaysia.

Berdasarkan natijah begini, perlu diakui semua pihak bahawa peranan bahasa Melayu dalam bidang keagamaan adalah besar kerana ia ikut membekalkan nasihat, nilai dan panduan hidup kepada rakyat Malaysia untuk ketenangan minda dan perimbangan emosi mereka.   Teo Kok Seong ialah aktivis dan strategis bahasa negara Berita Harian Kolumnis 5 Februari 2015

Ilmu, ilmuwan umpama pelita penyuluh jalan

Tugas ilmuwan dan sarjana hari ini terlalu penting terutama ahli akademik di menara gading. Peranan utama mereka ialah menjana ilmu tinggi yang boleh menjadi rujukan dalam dunia keilmuan yang serba mencabar.

Namun, itu bukannya satu-satunya tugas ilmuwan dan sarjana. Peranan penting lain mereka ialah memeratakan ilmu tinggi yang dijana pada peringkat universiti itu kepada masyarakat. Peranan ini adalah sejajar dengan jolokan 'Ilmuwan ibarat pelita, penyuluh kepada masyarakat'.

Kesedaran terhadap peranan memeratakan ilmu tinggi kepada masyarakat kini semakin meluas dalam kalangan sarjana. Baru-baru ini, UKM-Graduate School of Bussiness (GSB) menganjurkan Bengkel Penyelidikan dan Penerbitan Bahan Bacaan Umum 2015 pada 8 hingga 9 Januari 2015 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bengkel dua hari itu bertujuan untuk mendorong dan menggalakkan ahli akademik menerbit dan menyebar luas idea dan hasil penyelidikan mereka kepada masyarakat umum.

Ia dihadiri oleh sejumlah tenaga akademik dan penyelidik UKM-GSB. Bengkel itu dibimbing oleh Dr Muhamad Razak Idris, pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM yang memberikan pendedahan mengenai panduan dan teknik penulisan untuk bacaan umum berpandukan pengalaman beliau sebagai penulis tetap di akhbar BH.

Peka masalah masyarakat

Ahli akademik sebagai golongan ilmuwan sewajarnya peka dan prihatin dengan permasalahan masyarakat. Untuk menyelesaikan permasalahan dalam masyarakat, golongan ini perlu memikul tanggungjawab ilmiah untuk menghurai, menganalisis dan mengemukakan cadangan atau syor yang bersesuaian dengan kepakarannya.

Dalam konteks ini, ilmu dan hasil kajian ahli akademik tidaklah wajar kalau ia cuma dapat dimanfaatkan secara khusus atau eksklusif oleh komuniti akademik. Karya ilmu tinggi itu yang mengandungi pelbagai idea, konsep, teori dan formula terkini dan terbaik mengenai pelbagai persoalan kemanusiaan dan alam kehidupan yang luas ini sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk penyampaian yang lebih selesa difahami oleh masyarakat umum.

Pemerataan ilmu tinggi ini secara meluas pasti akan memberikan natijah besar dalam pembinaan masyarakat dan peradaban. Sudah tentu pemikiran masyarakat umum akan terbina dengan lebih matang dan luas pula jika bahan dan sumber bacaan mereka juga bersifat serius dan matang.

Sehubungan itu, penerbitan popular seperti akhbar dan majalah seharusnya digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh sarjana ini sebagai wadah dan landasan berinteraksi dengan masyarakat dan memindahkan ilmu tinggi mereka kepada kefahaman masyarakat terbanyak.

Peranan penting sarjana dalam proses pemerataan ilmu ini secara langsung akan menyuburkan budaya ilmu yang lebih segar dan baharu. Ramai tokoh ilmuwan membicarakan mengenai kepentingan ini. Misalnya dalam sebuah tulisan Dr Siddiq Fadzil, Kaum Ilmuwan dan Misi Pencerahan, beliau menjelaskan iaitu 'pembudayaan ilmu bererti pemasyarakatan, pemerataan dan pendemokrasiannya.

Ilmu tidak seharusnya bersifat eksklusif-elitis. Justeru yang ingin kita perkasakan dengan budaya ilmu adalah rakyat massa keseluruhannya. Menerusi pemerataan ilmu yang meluas ini, kita dapat membangunkan sebuah masyarakat berilmu atauknowledge based society.

Masyarakat berilmu boleh difahami sebagai masyarakat yang mengutamakan kebenaran dan hakikat. Bagi masyarakat berilmu, tiada yang lebih berharga dan bernilai selain kebenaran yang didedahkan oleh ilmu itu sendiri. Dalam hubungan ini, ilmu dan ilmuwan itu seumpama pelita yang menyuluh atau mencerahkan, dan diamanahkan untuk menampakkan 'yang benar jelas benarnya dan yang salah terang salahnya'. Demikian mustahaknya peranan golongan ilmuwan dalam pembudayaan masyarakat.

Peranan sarjana dilipat ganda

Peranan sarjana dalam proses pemerataan ilmu perlu dilipat gandakan. Sarjana harus membudayakan kegiatan menulis dan menjadikan penulisan sebagai kewajipan dalam kehidupan. Ruang akhbar dan majalah yang disediakan oleh pelbagai pihak hendaklah dimanfaatkan bagi tujuan penyebaran idea.

Masyarakat ternanti-nanti pandangan daripada sarjana dalam pelbagai persoalan yang boleh memandu dan mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

Syabas dan tahniah kepada ahli GSB, terutama pejabat Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) yang dipimpin oleh Prof Madya Dr Khairul Akmaliah Adham, yang berjaya menganjurkan aktiviti yang bermakna ini. Moga ia boleh menjadi teladan kepada institusi pengajian tinggi lain di negara ini.

Dr Mohd Ezani Mat Hasan ialah Profesor Madya di UKM-Graduate School of Business Berita Harian Kolumnis 5 Februari 2015