February 10th, 2015

Makan di luar lebih murah daripada masak sendiri di Perlis?

PERGILAH ke mana-mana sahaja di bumi Perlis, anda pasti berjumpa kedai makan. Begitulah perumpamaan diberikan seorang rakan kerana banyaknya kedai dan gerai makan di negeri kecil dihuni hanya kira-kira 200,000 penduduk itu.

Terlalu banyak sehinggakan tidak sepadan dengan bilangan penduduknya yang sedikit. Terdapat sebatang jalan yang jaraknya 200 meter di kawasan Bintong, ada kira-kira 15 buah premis jualan makanan.


Salah satu pandangan sebuah gerai di Padang Behog, Kangag, Peghelieh

Cuma bezanya hanya waktu operasi sahaja iaitu sama ada pagi, peniaga menjual nasi lemak, kuih-muih dan nasi kuning. Kalau tengah hari pula sudah tentu nasi kandar manakala waktu malam pula masakan ala Thai.

Ketika diajukan persoalan kepada rakan dari negeri itu, pantas dia menjawab penduduk Perlis gemar makan di luar kerana antara faktornya disebabkan harga makanan dijual lebih murah daripada dimasak sendiri.

Maka sebab itu, penduduk Perlis lebih gemar makan di luar sehingga menyebabkan kedai dan gerai makan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Benarkah begitu tidak dapat dipastikan kerana tiada kajian dibuat oleh mana-mana pihak.

Ketika berbual dengan seorang pegawai kanan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis baru-baru ini, beliau turut mengakui ramainya peniaga makanan di negeri itu.

Beliau memberi contoh di sepanjang Jalan Padang Behor, Kangar, lebih 10 peniaga makanan berniaga di situ, kiri dan kanan jalan. Hanya perlu tanya selera jenis makanan apa yang menjadi pilihan.

Harganya pula masih murah jika dibandingkan dengan makanan sama di beberapa bandar utama di negeri-negeri lain. Begitu juga harga barang mentah seperti ikan dan sayur-sayuran di pasar-pasar.

Daripada sudut pandangan kementerian, ini disebabkan Perlis merupakan sebuah negeri yang kecil dengan seluruh negeri itu boleh dilalui jalan darat. Tiada pulau-pulau di kelilingnya yang dihuni penduduk.

Ia menyebabkan harga barangan makanan bukan sahaja murah malah stabil meskipun pada musim-musim perayaan. Pegawai itu bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya tetap berhati-hati memilih premis ketika hendak menjamu selera. Jadilah pengguna bijak untuk memilih kedai makan yang menawarkan hidangan terbaik dengan harga berpatutan.

Apatah lagi ketika berkunjung ke tempat tumpuan pelancong seperti Kuala Perlis, yang biasanya menjadi destinasi tetap jika datang ke utara tanah air. Mungkin ada peniaga yang akan mengambil ke-sempatan.

Ada kes yang pernah ditangani pihak KPDNKK, seekor ikan terubuk yang siap masak dijual pada harga RM90 sekilogram di sebuah gerai makan di situ, tahun lalu. Lebih malang, ia berlaku ketika berlangsungnya Sukan Malaysia (Sukma).

Hasil soal siasat dijalankan, pengusaha memberi alasan ikan dijualnya tersebut segar dan sehubungan itu, notis amaran dikeluarkan pihak kementerian.

Bagi penulis yang berasal dari sebuah negeri di selatan tanah air yang juga terkenal dengan ikan bakarnya, sepatutnya para pengusaha makanan di Kuala Perlis dapat menjualnya dengan harga lebih rendah berbanding tempat lain.

Di samping pemandangan yang indah dan merasai hembusan bayu laut ketika menjamu selera di waktu malam, sudah pasti harga makanan laut menjadi ukuran.

Biarlah orang ramai yang berkunjung Pulau Pinang dan Kedah atau ke Padang Besar serta Wang Kelian di Perlis untuk membeli-belah barangan negara jiran, waktu malamnya ‘wajib’ diisi dengan berkunjung ke Kuala Perlis.

Kerajaan negeri dan pihak berkaitan juga seharusnya lebih aktif menggalakkan orang ramai berkunjung ke Perlis dan menjadikan Kuala Perlis, terletak hanya kira-kira 10 kilometer dari Kangar, antara yang wajib dibangunkan dengan kemudahan dan prasarana lebih baik.

Antara yang boleh dilakukan adalah bekerjasama dengan golongan bikers dari seluruh negara untuk berkunjung ke Kuala Perlis dan mewujudkan platform sesuai untuk buskers menunjukkan bakat mereka di tepi-tepi pantai.

Sebagai rekod, dalam Operasi Antipencatutan (Ops Catut) yang dilancarkan KPDNKK sejak 1 Janua-ri lalu, seramai 10 peniaga didakwa kerana menaikkan harga barang sesuka hati sempena pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

- Sharilfuddin Saari Utusan Malaysia Rencana 10 Februari 2015 12:39 AM

Rumah ‘amfibia’ semasa banjir

APABILA banjir melanda, tidak ada banyak tempat untuk ratusan malah ribuan mangsa menyelamatkan diri.

Di United Kingdom, hujan sering kali membawa masalah dan kerosakan harta benda yang besar. Dalam usaha mengurangkan masalah ini, pihak berkuasa Britain baru sahaja setahun dua ini membina rumah ‘amfibia’ (amphibious) atau rumah terapung pertama di negara itu di tebing Sungai Thames. Apabila air sungai naik, rumah ‘naik bersekali’ dengannya.

Rumah amfibia ini adalah konsep baharu penempatan di kawasan tanah rendah sebagai strategi tebatan banjir. Bagaimanapun Britain, bukanlah negara pertama menggerakkan pembinaan tempat tinggal terapung seperti ini.


SEBAHAGIAN daripada 46 rumah amfibia di Maasbommel, Belanda yang akan terapung jika dilanda banjir. – MIT TECHNOLOGY REVIEW

Konsep ini telah lama dipraktikkan di Kanada, Jerman, Belanda dan Amerika Syarikat (AS) serta beberapa negara di Asia dan Amerika Selatan di mana rumah biasanya dibina di atas (diikat pada) tiang untuk mengelakkan air banjir bermusim.

Pembinaan rumah-rumah amfibia ini menandakan banyak kerajaan kini secara diam-diam memperakui bahawa dekad akan datang mungkin akan membawa peristiwa cuaca yang semakin kritikal.

Sebahagian besar kawasan di Belanda contohnya adalah di bawah paras laut. Reputasi Belanda sendiri dikenali kerana memiliki teknologi terbaik dalam tebatan banjir dunia. Beberapa tahun lalu, sebuah firma Belanda membina beberapa rumah terapung di luar Amsterdam untuk melihat bagaimana mereka konsep rumah amfibia ini boleh dimajukan. Satu lagi reka bentuk rumah di Belanda yang sedang diusahakan adalah sebuah kompleks pangsapuri pelbagai unit yang boleh terapung di atas air.

Di Britain, rumah-rumah amfibia ini diletakkan di atas empat tiang menegak yang dipacakkan jauh dalam tanah. Ia terletak dalam sejenis dok, dikelilingi tembok penahan di atas platform konkrit. Jika air banjir mula mengalir di permukaan tanah, air dikatakan akan memasuki kawasan berongga (berlubang) di bawah rumah.

Kawasan berongga yang disediakan ini membantu kestabilan semasa terapung dengan mengurangkan olakan di bawah rumah semasa banjir. Ia membantu mengurangkan interaksi permukaan ‘platform konkrit’ dengan aliran air semasa banjir. Lebih-lebih lagi, ia menyediakan kawasan untuk pembersihan dan penyelenggaraan selepas setiap banjir. Ini ideanya. Di Malaysia, konsep perumahan ‘amfibia’ ini ini boleh dilaksanakan di kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Kelantan, Pahang , Terengganu dan Johor.

Perubahan iklim dan pemanasan global sering meningkatkan risiko banjir dan kenaikan paras laut di Asia Tenggara. Lebih-lebih lagi risiko banjir kilat yang memerlukan penjanaan pendekatan dan strategiyang berbeza untuk mengurangkan impak bencana alam ini ke atas kemudahan awam dan kediaman.

Tidak dinafikan, kerjasama di antara Kerajaan Pusat dan negeri-negeri di Malaysia telah menyaksikan banyak usaha bagi mengekang kesan buruk daripada akibat bencana banjir. Antara langkah-langkah bagi ‘melawan’ banjir, kita melihat pihak berkuasa tempatan sering membersihkan longkang tersumbat, mendalamkan sungai malah membina terowong lencongan air yang merupakan binaan kedua terpanjang di Asia dengan kos pelaburan bernilai hampir RM2 bilion. Terbaharu, akibat musibah banjir baru-baru ini, kerajaan mengumumkan peruntukan bernilai beratus-ratus juta ringgit untuk membina kembali kemudahan awam dan kediaman yang musnah.

Cuma, kita melakukan penyelesaian dengan cara mencari kaedah untuk ‘melawan’ limpahan air yang mengakibatkan banjir. Mengapa tidak diusahakan secara ‘luar kotak’ untuk hidup secara harmoni dalam limpahan air banjir itu dengan menggunakan konsep rumah ‘amfibia’ ini.

Maldives, negara yang diunjur bakal tenggelam akibat kesan pemanasan global juga mulai menerima konsep pembangunan terapung untuk menyelamatkan geografi mereka.

Kerajaan jiran di utara kita iaitu Thailand juga, dikatakan telah menimbang secara serius untuk menggalakkan lebih banyak projek pembinaan hartanah secara pembangunan terapung sebagai kaedah penyelesaian terbaik dan bersifat jangka panjang bagi menghadapi bencana banjir di negeri gajah putih itu.

Di Seattle, AS, rumah-rumah bot terawal di sana telah direkodkan pada tahun 1930-an dan memuncak dengan lebih 1,500 rumah bot pada 80-an di seluruh negara itu. Kini jumlahnya mencapai puluhan dan ratusan ribu. Rumah-rumah bot pasang siap atau lain-lain jenis perlindungan terapung seperti treler amfibia juga banyak didapati di negara-negara Eropah.

Dalam aspek ini, difahamkan, Vlothomes.com, syarikat pemaju hartanah terapung yang berpangkalan di Rotterdam, Belanda bercadang mengembangkan operasi di Malaysia dan Singapura.

Semakin banyak negara lain di seluruh dunia menerima konsep pembangunan terapung atau amphibious untuk hidup secara harmoni dan mesra kepada fenomena banjir. Mengapa tidak kita?

Perbanyak KR1M, ringan beban rakyat

DALAM keadaan orang ramai merungut tentang harga barang-barang keperluan yang tidak turun selepas berlakunya penurunan harga petrol dan diesel sebanyak tiga kali di negara ini, salah satu cara melawan sikap sesetengah peniaga yang liat menurunkan harga barang adalah dengan memperbanyak dan memperkasa Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Ilham kerajaan mewujudkan KR1M dulu adalah untuk mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah yang terpaksa menampung kos kehidupan yang agak tinggi terutama di kawasan-kawasan bandar akibat peningkatan harga minyak.

Di KR1M, rakyat berpeluang berbelanja dengan kos yang rendah berbanding di pasar-pasar raya lain. Bagaimanapun rangkaian KR1M yang belum menyeluruh menjadikan pengguna yang berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa berbelanja di tempat-tempat lain yang tidak semuanya menawarkan harga berpatutan.

Dalam keadaan kemelut harga barang yang tidak turun selepas penurunan harga minyak, adalah wajar KR1M menjadi perintis dalam menurunkan harga sesetengah barangan agar peniaga-peniaga lain turut sama menurunkan harga barangan mereka.

Inilah masanya pihak peniaga memberi peluang orang ramai menikmati kesan sebenar penurunan harga minyak. Jika tidak, langkah penurunan harga petrol dan diesel tidak memberi sebarang makna kepada mereka.

Maka sudah sewajarnya kini KR1M memperluas operasi mereka di merata-rata tempat dengan menambah jumlah premis perniagaan. Jika peniaga-peniaga lain boleh menjalankan perniagaan dengan membuka cawangan mereka dalam jarak yang tidak jauh antara satu dengan lain, mengapa KR1M tidak boleh mengikut jejak yang sama?


Sebahagian orang ramai membeli-belah di Kedai Rakyat 1 Malaysia untuk membeli barang keperluan harian di Kuala Lumpur, pada tahun lalu.

Kita ambil contoh, di Selangor, terdapat kedai-kedai runcit yang dijalankan oleh warga Aceh di beberapa lokasi dalam sebuah kampung atau pinggir pekan. Malah ada antara mereka yang membuka dua hingga tiga cawangan berhampiran, jaraknya selang antara 200 atau 300 meter sahaja. Semua ini tentulah bertitik tolak daripada kesatuan dan kerjasama erat antara pemilik-pemiliknya.

Di samping itu, KR1M mestilah memperbanyakkan jenis barangan yang dijual supaya pengguna dapat membeli apa yang diingini dan mempunyai banyak pilihan, bukannya terpaksa beredar ke premis lain disebabkan ketiadaan dua atau tiga jenis barangan yang diperlukan dalam suatu masa. Penulis percaya, KR1M juga tidak akan menghadapi masalah jika barang-barang yang dijual di premis tersebut dibekalkan oleh pengeluar dengan harga patut seperti mana premis-premis lain

Untuk memastikan KR1M dapat menjual dengan harga lebih murah, pelbagai inisiatif mestilah dilakukan termasuklah meminimumkan tenaga pekerja kerana boleh menjimatkan kos operasi kedai.

Pihak pengurusan KR1M juga mestilah berusaha mendapatkan barang-barang basah secara terus daripada pengusaha pertanian atau petani kerana dengan cara ini turut membantu mengurangkan kos pembelian, di samping membantu petani yang tidak tahu hendak dilonggokkan ke mana hasil sampingan mereka di tanah-tanah lapang sekeliling rumah atau di kawasan-kawasan lapang berskala kecil.

Jika usaha itu masih menemukan masalah, pihak KR1M boleh bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) agar mereka memperoleh barangan harga rendah. Dalam pada itu, FAMA pula mestilah sedia membekalkan bahan-bahan untuk keperluan KR1M agar kedai tersebut sentiasa mendapat barangan murah daripada pembekal.

Perlu ditekankan bahawa apa-apa yang dilakukan oleh KR1M tidak semestinya boleh dianggap sebagai satu usaha mutlak untuk menutup rezeki pihak lain yang sama-sama menjalankan perniagaan. Setiap premis perniagaan tentunya mempunyai pelbagai kaedah untuk menarik pelanggan mereka.

Pasar-pasar raya sering menawarkan harga runtuh, jualan mega dan pelbagai jenis promosi yang sering kali dapat memenuhkan premis perniagaan mereka dengan pelanggan. Kedai-kedai runcit di kampung-kampung pula masih membenarkan pelanggan mereka berhutang dan membayarnya secara bulanan dan kaedah ini masih berterusan sampai sekarang.

Justeru, KR1M mestilah menyambut baik seruan kerajaan agar menurunkan harga barangan yang bukan barang kawalan. Langkah ini akan dapat mendidik premis lain turut menurunkan harga barangan demi kebaikan bersama. Tidak sepatutnya KR1M hanya menunggu kerajaan menyenaraikan barangan yang mesti diturunkan harga. Ia boleh dilakukan atas pertimbangan sendiri, harga kebanyakan barang sememangnya sudah wajar diturunkan.

Apa yang kita bimbangkan sekarang ialah jika harga petrol dan diesel mengalami penurunan sekali lagi awal Mac dan seterusnya pada April ini, pelbagai masalah lain akan dijadikan isu sedangkan isu yang sedia ada tidak ditangani. Maka KR1M adalah salah satu penyelesaiannya kepada pengguna.

-

Melawan 
demam ekonomi

Di utara tempat penulis menetap sudah hampir sebulan tidak hujan. Membuka pili air sahaja, airnya cukup panas. Cuaca yang berubah dengan begitu cepat yang mana pada Disember lalu hujan turun dengan lebatnya, kini cuaca panas pula. Ini sudah menjadi lumrah sejak akhir-akhir ini. Iktibarnya, kita perlu beringat dengan cara merancang dalam mengambil tindakan untuk mengharungi kehidupan yang mana sekejap hujan sampai banjir teruk dan sekejap pula panas sehingga air di empangan terpaksa dicatu.

Cuaca yang panas ini membuatkan penulis berasa tidak sedap badan serta demam panas sehingga setiap hari terpaksa meminum air kundur sebagaimana disyorkan oleh ibu penulis bagi menyejukkan suhu badan. Ekoran bimbang jika mengalami demam denggi, maka dengan segera penulis mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta. Seperti biasa, perkhidmatan perubatan swasta memerlukan perlindungan insurans bagi membuktikan kemampuan untuk membayar kos rawatan.

Sudah banyak kes di Malaysia, kos perubatan yang tinggi tidak mampu dibayar oleh sesetengah rakyat Malaysia. Dalam kita bising-bising mengenai harga barang yang tidak turun-turun meskipun harga minyak semakin murah, usah kita lupa bahawa kos perubatan juga perlu diberi perhatian. Mujurlah, universiti tempat penulis bekerja sentiasa menjaga kebajikan para pekerjanya dengan berusaha membantu menyediakan perkhidmatan insurans.

Kos perubatan swasta yang tinggi menyebabkan tidak ramai yang mampu mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta. Maka, tidak hairanlah ramai rakyat Malaysia mendapatkan rawatan di hospital kerajaan yang juga setanding dengan kualiti perkhidmatan hospital swasta.


KOS perubatan hospital swasta yang tinggi menyebabkan ramai rakyat Malaysia memilih mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. – GAMBAR HIASAN

Cuba bayangkan di hospital-hospital bagi sesetengah negara yang tidak akan melayan pesakit jika diketahui tidak mampu menanggung kos rawatan. Rakyat kita bernasib baik kerana mempunyai alternatif yang lebih murah bagi mengelak hutang yang tinggi.

Perlu diingat, permasalahan hutang merupakan antara perkara pokok yang perlu diberi perhatian. Ini tidak kira kepada individu, syarikat hatta sebuah negara sekali pun.

Buktinya, permasalahan hutang yang tinggi dialami oleh Greece menyebabkan negara itu masih mencari mekanisme terbaik untuk keluar daripada krisis ekonomi yang dialaminya. Ekonomi Greece bukan setakat demam biasa tetapi sudah menjangkau penyakit kronik.

Itulah penangan hutang! Sebab itu, dalam konteks kos perubatan swasta yang tinggi, sewajarnya pengguna yang merupakan pelanggan hospital mempunyai hak untuk mendapatkan rawatan dengan harga lebih kompetitif agar tidak termasuk dalam kategori golongan yang `berpenyakit kronik’ dengan hutang tinggi.

Apabila menyentuh mengenai hak pengguna, sememangnya rakyat Malaysia berasa hampa dengan harga barangan dan perkhidmatan yang kekal tinggi meskipun harga minyak semakin murah. Episod tuding menuding dan mengelak untuk dipersalahkan jelas kelihatan dalam situasi sekarang .

Kalau asyik tuding menuding antara satu sama lain untuk memesongkan isu utama pengguna rakyat Malaysia ini, jadi, sampai bilakah isu harga ini dapat diselesaikan? Dalam hal ini, fokus kembali kepada isu utama menegakkan hak pengguna rakyat Malaysia!

Maka, apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyediakan pasar tani dengan 73 produk yang berharga murah, itu satu berita yang cukup baik buat pengguna. Penurunan 5-20 peratus produk-produk pasar tani menandakan usaha berterusan kementerian berkenaan membantu rakyat Malaysia.

Namun, itu hanya melibatkan pasar tani, bagaimana pula dengan peniaga-peniaga lain? Adakah mereka sanggup mengorbankan untung mereka demi membela nasib rakyat? Yang pasti belum ada tanda-tanda besar bahawa suara pengguna menjadi gelombang besar mengatasi segelintir kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Namun, pujian perlu diberikan kepada sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa berusaha untuk mencetuskan gelombang kuasa pengguna dalam menegakkan hak pengguna.

Selain isu ekonomi membabitkan hak pengguna ini, isu panas ekonomi melibatkan kemungkinan wujudnya sabotaj terhadap ekonomi negara kita yang boleh mendatangkan kesan sistemik terhadap ekonomi Malaysia. Sebenarnya susah untuk membuktikannya. Lebih-lebih lagi membuktikan siapakah dalangnya.

Yang pasti, ekonomi kita pernah disabotaj oleh pihak asing sebelum ini. Malah, dibantu oleh media Barat yang sentiasa berusaha untuk memberi gambaran yang buruk tentang dasar Malaysia terutamanya dasar afirmatif yang kononnya mendiskriminasikan rakyat Malaysia berasaskan kaum.

Terbaharu, sebuah majalah berbahasa Inggeris yang berpangkalan di Barat menyalahkan dasar negara seolah-olah pilih kasih kepada satu pihak dan pada masa sama merugikan pihak lain. Mereka ini buat-buat lupa bahawa diskriminasi yang masih berlaku di Afrika Selatan tidak pula disajikan sebagai bahan berita umum. Di manakah hak asasi manusia yang dilaung-laungkan mereka?

Hanya kerana diskriminasi berkenaan dilakukan oleh bangsa yang sama warna kulit dengan mereka, maka perkara sebenar disenyapkan. Sebaliknya, mereka cukup prihatin dan sibuk menghentam situasi di Malaysia seolah-olah mereka itu cukup sempurna.

Jadi, adakah segelintir daripada kita masih tidak sedar agenda pihak-pihak tertentu sampaikan termakan dengan hasutan propaganda liberalisme dan sekularisme bertopengkan kesederhanaan yang dijaja kepada kita? Begitu juga, tidakkah kita patut berasa bimbang akan hak kita sebagai rakyat Malaysia akan hilang begitu sahaja apabila usaha mereka ini berjaya nanti sebagaimana diimpi-impikan oleh mereka?

Justeru, bertindaklah tatkala nikmat yang dikecapi ini masih ada. Usah terlalu leka kerana dibimbangi kelekaan ini pada mulanya hanya mendatangkan demam biasa terhadap ekonomi Malaysia tetapi akhirnya berubah menjadi penyakit kronik yang sukar diubati lagi. Lawanlah secara bijaksana agar kemakmuran Malaysia tidak hilang buat selama-lamanya. - Rohami shafie ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia

Ikan RM1 sekilo kurang 20% tak beban

Ikan RM1

Alor Setar: Harga pasaran ikan kembung di negeri ini mencatat penurunan sehingga RM1 sekilogram (kg) berikutan berlaku lambakan akibat musim angin timur ketika ini sejak dua minggu lalu.

Tinjauan Harian Metro di pelantar ikan Seberang Kota, Kuala Kedah, di sini, mendapati harga ikan kembung dijual antara RM1 hingga RM2 sekilogram (kg) bergantung kepada saiz dan kesegaran menyebabkan pelanggan memenuhi kawasan pelantar itu sejak jam 6 pagi.


NELAYAN menunjukkan ikan yang baru ditangkap di jeti nelayan Kuala Kedah.

Malah, lambakan ikan kembung jenis pelaling itu mendapat sambutan terutama dalam kalangan peniaga restoran dan kedai makan kerana harga yang murah berbanding sebelum ini apabila mencecah sehingga RM6 sekilogram.

Kebanyakan nelayan menganggap ia sebagai rezeki buat mereka kerana hasil tangkapan ikan yang diperolehi setiap hari sejak dua minggu lalu habis dibeli pelanggan.

Peniaga ikan Salmiah Ramli, 50, berkata ikan kembung yang dijual di gerainya mendapat sambutan pelanggan dari luar untuk mendapatkan ikan segar dan harga murah.

Katanya, peniaga juga terpaksa menjual pada harga murah disebabkan lambakan ikan begitu banyak setiap hari kerana ada di kalangan nelayan mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu tan atau lebih ikan sehari.

“Daripada membiarkan ikan busuk atau tidak habis dijual, kami bersepakat menurunkan harga, tetapi tidak menentu setiap hari.

“Kalau tangkapan kurang, harganya tinggi sikit, tetapi jika hasil tangkapan melebihi daripada jangkaan, harganya akan terus turun sehingga RM1 satu kg,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Nelayan Mahadi Mohammad, 42, berkata hasil tangkapan yang diperolehi tidak menentu dan biasanya nelayan di kawasan itu membawa pulang antara 500 kilogram hingga satu tan disebabkan ikan yang banyak.

Bagaimanapun, katanya, tangkapan udang dan sotong berkurangan menyebabkan harganya tinggi berbanding ikan kembung jenis pelaling dan borek yang melambak di pasaran.

“Keadaan cuaca yang baik memberi rezeki buat kami menangkap ikan sejak awal pagi hingga petang dan ada yang pulang pada waktu malam dengan hasil tangkapan yang banyak.

“Lambakan ikan di pasaran sehingga sekarang membuatkan nelayan memperoleh hasil sangat memuaskan, tetapi tak pasti bila musim angin timur ini akan berakhir,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah Baharudin Kadri mengesahkan berlaku penurunan harga ikan yang banyak sehingga ada peniaga terpaksa menurunkan harga sehingga RM1 satu kg sejak musim angin timur ini bermula dua minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan hasil tangkapan ikan mencukupi sebelum perayaan Tahun Baru Cina ini kerana semuanya bergantung pada keadaan cuaca.

“Setakat ini, kira-kira 8,000 nelayan di negeri ini turun ke laut dan memperoleh hasil tangkapan banyak terutama ikan pelaling yang memberi rezeki kepada mereka,” katanya.


Kurang 20%

Ipoh: Rata-rata peniaga di pasar tani di bandar raya ini menurunkan harga barang jualan mereka sebaik arahan penyelarasan dikeluarkan Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani bagi menurunkan harga 73 jenis barangan basah dan kering pada kadar lima hingga 20 peratus kelmarin.


TINJAUAN harga barangan di Pasar Tani Medan Gopeng.

Peniaga daging Ahmad Rafie Md Dali, 69, yang sudah menjalankan perniagaan selama 30 tahun di Pasar Tani Medan Gopeng berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan penyelarasan harga kerana keuntungan tetap diperolehi.

“Harga diturunkan, namun kualiti barangan tetap dijaga supaya pelanggan berpuas hati selepas membeli.

“Tidak dinafikan penurunan harga menyebabkan peniaga mungkin akan mendapat sedikit masalah, namun permintaan bertambah daripada pembeli dan keadaan ini memberi kesenangan kepada peniaga dan pengguna dalam jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, peniaga sayur, Lai Teng Kong, 70, berkata, dia sudah menurunkan harga barangan sayuran seperti kubis, timun, tomato, lobak merah dan cili daripada 20 peratus hingga separuh harga.



PENIAGA sayur menyusun sayur-sayuran di Pasar Tani Medan Gopeng di Ipoh.

“Kita memang sudah menurunkan harga dan kita lakukan secara perlahan-lahan,” katanya yang mendapat bekalan daripada kebun sendiri dan pemborong lain.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pasar Tani Medan Gopeng, Muhammad Syahid Zakaria berkata, pihaknya sentiasa memantau 80 lot peniaga yang menjual barangan basah, kering dan pelbagai jenis makanan.

“Kita memahami harga yang dijual peniaga bergantung kepada harga bekalan dan sesetengah barangan harganya tidak tetap serta berubah-ubah, malah ada yang menggunakan orang tengah untuk mendapatkan bekalan,” katanya.



Tak beban

Kuala Lumpur: Harga barangan keperluan harian di ibu negara termasuk ayam, daging, ikan, udang serta sayur-sayuran mengalami sedikit peningkatan semalam berbanding sepanjang minggu lalu.


TINJAUAN harga ayam di Pasar Borong Chow Kit.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Chow Kit, semalam, mendapati ayam dijual pada harga RM7.50 satu kilogram (kg) berbanding RM7 pada minggu lalu, manakala daging lembu tempatan naik daripada RM30 kepada RM35 satu kg.

Hasil laut seperti ikan kembung RM9 hingga RM10 satu kg, udang pula dijual antara RM8 hingga RM18 setengah kg mengikut jenis dan saiz, manakala ikan bawal hitam dijual pada harga RM18 satu kg.

Rata-rata peniaga memberikan alasan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut minggu depan sebagai punca kenaikan harga terbabit.

Peniaga ayam, Faisal Abdullah, 27, berkata kenaikan harga sesetengah barangan itu adalah fenomena biasa dan berpunca daripada peningkatan permintaan menjelang musim perayaan.


TINJAUAN harga barang selepas program jualan turun harga Pasar Tani di Pasar Borong Chow Kit.

Katanya, hampir semua peniaga di pasar itu menggunakan harga yang menurut mereka tidak membebankan pembeli.

“Bukan kami sengaja mahu menaikkan harga barangan, tetapi harga ini pun datangnya dari pembekal dengan mengatakan permintaan meningkat.

“Kami tidak mempunyai pilihan, tapi kami semua sependapat harga ini masih biasa kerana tahun lepas ketika musim perayaan, harga ini masih sama,” katanya.

Sementara itu, peniaga daging, Erwan Muhammad, 35, berkata harga barangan yang dijual di pasar terbabit masih murah jika dibandingkan dengan beberapa tempat lain di Kuala Lumpur.

“Kenaikan harga itu biasa, tapi kami juga faham beban pembeli, harga di sini masih murah, sehingga kini saya tak terima lagi pembeli mengatakan harga yang kami beri ini mahal melampau,” katanya.