February 15th, 2015

Nikmati zaman siswa sepenuhnya

SEBILANGAN daripada anda pasti akan mengakui masa pengajian di kolej atau universiti adalah detik kehidupan yang paling signifikan. Ini tidak pula bermakna mereka yang tidak ke universiti langsung tiada detik seumpamanya.

Ada yang menggunakan kisah Steve Jobs tidak menamatkan pengajiannya, namun masih berjaya mengasaskan Apple, yang kini merupakan syarikat teknologi terulung di dunia. Jadi usah risau jika tidak ke universiti. Usah risau tiada markah A dalam UPSR. Untuk apa dibocor kertas peperiksaan tahun lepas?

Persaingan untuk mendapat tempat di universiti hari ini semakin sengit, terutama universiti awam yang menjadi rebutan kerana yuran pengajian yang jauh lebih murah daripada swasta. Sebenarnya, bukan hari ini sahaja tetapi dari zaman dulu lagi para siswazah sentiasa diberi peringatan tentang betapa bertuahnya mereka terpilih ke menara gading, daripada ribuan yang memohon. Insafkah?

Zaman universiti ini menjadi detik paling signifikan kerana ia adalah era perubahan daripada "budak sekolah" menjadi "budak U". Tidak perlu berpakaian seragam ke sekolah. Tetapi ini juga menjadi cabaran besar terutama kepada siswa lelaki. Dulu ada bonda gosokkan baju. Sekarang kena buat sendiri. Akibatnya selalulah muncul di bilik kuliah dengan baju bergosok di bahagian hadapan sahaja.

Zaman ini juga memperkenalkan kita kepada banyak orang baru yang bersedia menjadi sahabat, dan juga kekasih. Bukan banyak kekasih tetapi ini proses eksperimen. Tak serasi, kita eksperimen yang lain. Apa pun, banyak kes yang cemerlang. Seronok kita dengar pasangan sejoli di kampus, kini sudah berumah tangga malah menimang anak yang ramai.

Universiti juga mengajar erti disiplin diri. Waktu belajar kena disusun dan dipatuhi sendiri. Ada teman sebilik suka berseloroh rules are meant to be broken. Bukan berlagak. Cuma ia kaedah memperlahankan permainan (sebab sibuk eksperimen tilam dan bantal). Esok hari terakhir hantar tugasan, malam ini baharu hendak buka buku.

Aktiviti lain yang menyeronokkan ialah ko-kurikulum. Yang berbakat bersukan, boleh menjadi wakil universiti. Dalam kalangan rakan sebilik, semua mengelak daripada menyertai kelab pasukan berseragam. Tak larat berkawad tengah panas sebab semua anak cucu Putera Lilin. Kena mentari, nescaya cair dan pitam.

Satu aktiviti yang seronok ialah menyertai majlis perwakilan pelajar. Zaman saya dulu, pemilihan jawatankuasa berlangsung dalam suasana harmoni. Saya sendiri menang tanpa bertanding. Jawatan exco sahaja. Bukan bertanding presiden pun. Kerja exco seronok, dapat sertai program fakulti ke sana sini dan "cuti halal" daripada menghadiri kuliah.

Atas faktor ini jugalah saya hairan kenapa pemilihan pelajar sekarang tidak ubah macam pemilihan parti politik. Ada yang kata ia berlaku kerana wujudnya "penajaan" dan endorsement daripada parti. Maklumlah, universiti ialah kilang pengeluaran pemimpin. Tidak apa. Undang-undang pun dah dilonggarkan untuk pelajar berpolitik. Tetapi dengan syarat, sempurnakan dulu pengajian. Dapat ijazah, lepas itu hendak bertanding jawatan apa pun tidak mengapa.

Agak mengagumkan semakin banyak kursus pengajian di universiti yang berbentuk pengkhususan, seiring dengan keperluan semasa negara di abab ke-21 ini. Kursus seperti alam sekitar, sains pelancongan, strategik media dan sebagainya adalah sesuatu yang asing 10 tahun lalu.

Dewasa ini, bila direnungkan sejenak, mungkin ada dalam kalangan kita terfikir kenapa tidak mengambil jurusan pengajian tertentu? Akan ada yang menjawab, sudah pilih tapi UPU beri kursus lain. Ada juga mengaku, kelulusan SPM tidak cukup A untuk mendapat tempat. Tengok, SPM penentu. Bukan UPSR. Ibu bapa diminta bertenang, boleh? Tak dapat A dalam UPSR pun anak tetap dapat ke tingkatan satu. Fokuslah pada SPM. Tak dapat A, memang payah masuk universiti awam. UPSR jauh lagi.

Pilihlah kejuruteraan mekanikal, sesuai dengan kemajuan industri automotif negara dan global hari ini. Atau sains pelancongan, kerana dengan kemudahan kapal terbang bermakna semakin ramai akan melancong. Guna ilmu untuk naikkan mutu pelancongan negara. Lihat Sabah yang cukup teratur industri pelancongannya yang membolehkan anda mengatur pelan menerusi Internet. Atau pilihlah jurusan keusahawanan agar teori dan praktikal dunia perniagaan dapat diraih awal menuju ke tahap global.

Kalau boleh, ambillah jurusan kewartawanan. Sebab hari ini, siapa sahaja mahu jadi wartawan. Asalkan ada telefon pintar dan komputer riba, mereka menyiarkan berita ikut suka hati mereka. Wartawan dalam Facebook begitu ramai. Ulang siar (share) berita daripada entah apa-apa blog, dan diberi ulasan sendiri. Kemudian kawan-kawan tumpang sekaki. Sahih atau tidak, belakang kira. - Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 15 Februari 20

Bebelan Duta AS tidak menjadi kudis, tetapi kenalah bertindak

Amerika Syarikat (AS) telah mencabuli kedaulatan undang-undang negara ini apabila mempersoalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Tindakan ini bukanlah kerana berteraskan hak asasi manusia tetapi lebih kepada mahu menekan Malaysia supaya membebaskan Anwar.

Hubungan Anwar dengan AS bukan rahsia lagi. Kalau buka sejarah lama, kita akan tahu bagaimana rapatnya Anwar dengan bekas Setiausaha Pertahanan AS pada era Presiden Bill Clinton, William Cohen yang juga seorang Zionis daripada Parti Demokrat. Ketika itu Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Difahamkan Cohen mengenali Anwar pada pertengahan 1990-an melalui Projek Dailog Pasifik yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) sebuah badan pemikir yang diterajui Anwar. Ditaja oleh sebuah yayasan Kristian Jerman, Konrad Adenauer Foundation (KAF).

Semua ini serba sedikit fakta untuk menunjukkan hubungan rapat Anwar dengan AS. Ini bertujuan supaya sesetengah pihak tidak "terkejut beruk" apabila Duta AS ke negara ini, Joseph Y. Yun sanggup mempersoalkan keputusan mahkamah terhadap Anwar di atas tuduhan jenayah seksual. Dia bukan mengeluarkan kenyataan peribadi tetapi mewakili pendirian negaranya.

Nampaknya kehadiran Presiden Barack Obama ke negara ini selepas hampir setengah abad Presiden AS tidak datang ke Malaysia tidak berkesan untuk mencairkan hubungan setiakawan Anwar - AS. Walaupun sesetengah pihak begitu teruja dengan kehadiran Obama seolah-olah itu “rahmat dari Tuhan” kepada negara ini, perbuatan memperlekeh undang-undang kita kenalah dibetulkan.

Apabila berlaku perkara ini, diharapkan orang yang begitu teruja dengan Obama tidak menghantuk kepala ke dinding kerana kecewa dipermainkan AS. Ada yang tidak suka tulisan yang mengkritik AS dan ini menjadikan Duta AS di Kuala Lumpur agak “besar kepala” membuatkan dia berani mengkritik undang-undang kita.

AS sepatutnya menghormati sistem demokrasi sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dalam sistem demokrasi Malaysia, Anwar ditolak apabila pakatan pembangkang gagal memenangi pilihan raya umum sebanyak tiga kali iaitu 1999, 2004, 2008 dan 2013. Hendak dikatakan sistem pilihan raya dikawal oleh kerajaan, parti kerajaan sendiri pun kehilangan banyak kerusi dan 2013 adalah sejarah terburuk parti Barisan Nasional (BN).

Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, layanan AS terhadap Anwar melebihi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Salah satu sebabnya Dr. Mahathir lantang mengkritik dasar-dasar AS yang berat sebelah menindas negara-negara Islam di Asia Barat terutama di Palestin dan Iraq. Sebab itulah AS berbaik-baik dengan Anwar yang hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadi Perdana Menteri.

Saya faham AS merupakan rakan dagang Malaysia yang besar. Misalnya nilai eksport Malaysia ke AS mencecah lebih RM80 bilion. Satu jumlah yang besar. Tetapi kita wajar memperlihatkan ketegasan dalam perkara-perkara yang melibatkan maruah dan kedaulatan negara. Tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini.

Walaupun kenyataan Duta AS itu boleh dianggap terpencil tetapi wajar diambil tindakan. Tujuannya membuktikan Malaysia bukan berada di bawah telunjuk AS. Malaysia bukan Iraq atau Libya di mana AS boleh menghasut rakyat negara itu bertindak tidak demokratik menukar pemimpin. Tambahan pula ini bukan kali pertama AS mencampuri hal dalaman negara ini malah sebelum ini mempersoalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan 1948.

Banyak pihak tahu bahawa yang kuat menentang Akta Hasutan 1948 dan ISA ialah pembangkang, dalam kata lain ialah Anwar. Walaupun ISA telah dimansuhkan tetapi hujah hak asasi manusia terus diperalatkan dengan sokongan AS. Malah hukuman ke atas Anwar juga dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi.

Isu Anwar ini berbeza dengan ketegangan hubungan diplomatik antara Indonesia dan Belanda apabila Indonesia menjatuhkan hukuman mati terhadap rakyat Belanda atas kesalahan mengedar dadah. Belanda sedaya upaya mahu menyelamatkan rakyatnya. Sekiranya AS mempersoalkan hukuman ke atas Anwar yang merupakan rakyatnya, kita boleh memahami situasi itu walaupun tidak sepatutnya berlaku.

Malah isu Anwar ini juga berbeza dengan nasib bekas Perdana Menteri Pakistan, Zulfikar Ali Bhutto yang dikenakan hukuman mati oleh Jeneral Zia ul- Haq yang merampas kuasa negara itu pada 1979. Banyak negara merayu kepada Zia supaya tidak melaksanakan hukuman mati itu tetapi semua rayuan itu tidak diendahkan. Yang dilakukan oleh banyak negara ketika itu adalah atas dasar kemanusiaan dan bukan mencabuli kedaulatan undang-undang Pakistan, sekalipun hukuman itu lebih kepada dendam politik. Bagaimanapun campur tangan AS dalam kes Anwar adalah satu penghinaan terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara ini.

Kalau benarlah ketidakadilan dan pencabulan hak asasi yang menjadi asas duta itu membebel, saya fikir AS tidak layak bercakap tentang perkara itu. Saya ada banyak hujah, salah satunya AS menggunakan Patriot Act 2001 kini dikenali sebagai USA PATRIOT (Uniting and Strengthening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism) untuk mencabul hak asasi dan keadilan.

Akta USA PATRIOT membolehkan individu terutama bukan rakyat AS yang disyaki pengganas diseksa di kem tahanan Guantanamo. Sebahagian besarnya teraniaya dan mereka ditahan tanpa bicara serta diseksa bertahun-tahun lamanya. Ini lebih tidak bertamadun. Sebab itu AS tidak layak bercakap soal keadilan dan hak asasi manusia, mereka sendiri mencabulnya.

AS berbohong mahu menegakkan keadilan atau memperjuangkan hak asasi manusia. Itu retorik yang sudah basi. Sebab itulah kita kena menyedarkan mereka tentang hal ini. Berdiam diri dan menelan kebiadaban AS boleh menghakis keyakinan rakyat, walaupun tindakan Duta AS itu tidak boleh mengubah pandangan dunia kepada Malaysia. - Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana 15 Feb 2015

Pembangkang tanpa Anwar, Karpal, Nik Aziz

Pakatan pembangkang – PKR, DAP dan Pas semakin berkurang pemimpin utamanya. Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim kini disumbat di dalam Penjara Sg. Buloh, Selangor selama lima tahun. Selepas bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada April 2014, pakatan pembangkang kehilangan seorang lagi pemimpin utama apabila bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidur Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada Khamis lalu.

Anwar dianggap pemimpin yang dapat menyatukan Pas dan DAP – dua parti yang ideologi perjuangannya berbeza di bawah satu pakatan pembangkang. Inilah keupayaan Anwar dalam pakatan yang bukan saja menguntungkan pakatan, malah turut menguntungkan politik beliau sendiri. Tapi kini Anwar tidak lagi dapat bersama dengan pemimpin pakatan seperti yang dikecapinya selepas keluar penjara 11 tahun lalu. Anwar sudah kembali ke dalam penjara kerana sabit kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kehilangan Karpal tahun lalu, dilihat peluang untuk Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan tetapi hingga sekarang masih mendapat halangan daripada pemimpin DAP sedia ada. Ketiadaan Nik Aziz juga menguatkan lagi tanggapan Pas tidak dapat bertahan lama lagi dalam pakatan kerana sebelum ini pun Allahyarham yang banyak menyokong Pas terus berada dalam gabungan itu.

Sememangnya daripada awal sudah dijangka Pas dan DAP ibarat ‘air dengan minyak’. Cuma kehadiran Anwar juga turut mainkan peranan menyekat kedua-duanya terpisah, tapi sekarang suasana ke arah perpisahan sudah terbuka.

Hubungan yang terjalin selama lapan tahun itu kini semakin longgar – retak menunggu belah. Bukan rahsia bahawa kedua-dua parti itu ‘bergaduh besar’ ekoran percanggahan pendapat.

Presiden Pas Abdul Hadi Awang tetap bertegas dengan pendiriannya mahu melaksanakan hudud di Kelantan namun pada masa sama membantah hasrat DAP untuk memperkenalkan semula pilihan raya PBT di Pulau Pinang. Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan Lim Guan Eng tetap tidak mahu berganjak dengan cadangan mengadakan pilihan raya PBT.

Semasa belum dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan kes Liwat II pun Anwar masih gagal menyelesaikan pertelingkahan serius itu, jadi apakah Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau timbalannya, Azmin Ali – yang disebut-sebut sebagai bakal Ketua Pembangkang – mampu menyelesai, atau paling kurang meredakan pertelingkahan Pas dan DAP ini?

Veteran DAP, Lim Kit Siang yang mengakui bahawa pakatan pembangkang menghadapi kemelut dalaman menggesa ahli ketiga-tiga parti komponen itu supaya mengetepikan perbezaan pendapat bagi mempertahankan hubungan lapan tahun yang terbina antara mereka. Dahulu pakatan pembangkang dapat bertahan kerana faktor Anwar. Kini mampukah semangat setiakawan itu dapat dipertahankan? Mahukah Pas mengikut kata-kata PKR lagi supaya membina pakatan yang lebih kukuh untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang setelah beberapa kali hasrat mereka dipatahkan baik oleh PKR mahupun DAP.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali membayangkan kerjasama antara Pas dalam pakatan itu akan tetap diteruskan dan kukuh walaupun Anwar masuk penjara. Alasan yang diberikan Mustafa ialah semasa Barisan Alternatif ditubuhkan, Anwar pada ketika itu berada di dalam penjara dan sebarang mesyuarat dipengerusikan oleh Wan Azizah.

Di samping itu, harapan sokongan 52 peratus pengundi menguatkan realiti yang Pas tidak boleh bersendirian, sebaliknya mesti mewujudkan gabungan untuk menubuhkan kerajaan. Oleh itu pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak perlu terlalu yakin dengan ketiadaan Anwar – pakatan pembangkang akan musnah.

Setiap kali apabila timbul salah faham dan kelihatan bibit-bibit perpecahan, pemimpin utama Pakatan dilihat memikirkan gambaran yang lebih besar dalam konteks kebersamaan perjuangan mereka untuk menumbangkan BN daripada menumpukan perkara kecil. Mereka boleh bekerjasama semata-mata kerana hendak menang dalam pilihan raya umum.

Pakatan pembangkang diyakini akan meninggalkan perbezaan pendapat apabila kuasa sudah berada dalam tangan. Pas akan melakukan justifikasi. DAP bakal menyerlahkan konsep Malaysian Malaysia-nya secara halus dan PKR bakal menuntut pelaksanaan faham liberalisme dan pluralisme dalam sistem pemerintahan.

Meskipun dengan begitu banyak isu perbalahan wujud antara ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang, tetapi kewujudan secara bersama masih kekal hingga sekarang. Biarpun nama gabungan parti berbeza-beza, tujuan parti mereka adalah sama untuk menjatuhkan kerajaan BN. Harapan itulah yang menyatukan Pas, DAP dan PKR, malah itulah kunci masa depan pakatan.

Persoalannya, dengan pelbagai isu melanda pemimpin pakatan, rakyat masih juga menaruh kepercayaan kepada pembangkang. Kenapa?

Pemimpin BN tentu tahu sebabnya. Dalam beberapa parti komponen BN masih belum selesai krisis merebut jawatan utama. Kini MIC sedang dilanda krisis kepimpinan, UMNO dan MCA pun tidak kurang hadapi masalah bersama. Dari semasa ke semasa sehingga pilihan raya umum ke-14, berkemungkinan akan timbul masalah lain dalam parti komponen BN.

Walaupun wujud masalah dalaman parti pakatan pembangkang, namun serangan pelbagai cara terus dilakukan untuk menumbangkan kerajaan sedia ada dengan mencetuskan sensiviti kaum serta agama. Banyak pemimpin pembangkang tanpa henti membuat kenyataan menyakitkan hati, sedangkan pemimpin BN takut dan bimbang ia boleh mencetuskan huru-hara. Sehingga ke hari ini, jentera BN dilihat masih gagal menangkis fitnah dan menjawab segala tuduhan pembangkang terutama yang disebar menerusi media sosial.

Tanpa Anwar yang dipenjarakan, pemergian Karpal Singh dan Tok Guru Nik Aziz, pakatan pembangkang akan terus ‘menghambat’ kerajaan. Kerana BN belum menemui formula berkesan untuk menghapuskannya. - Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 15 Februari 2015 12:42 AM

Awas pedofilia!

GANGSTERISM, vandalism, mencuri, buli di sekolah, pergaulan bebas, dadah, ganja, menghidu gam, lepak, rempit dan bermacam-macam lagi merupakan gejala sosial yang tak terbendung dalam kalangan remaja.

Sama ada sedar atau pun tidak, masalah sosial ini menjadi barah yang menular dalam masyarakat kita sehingga membawa kepada isu yang lebih serius seperti gay, homoseksual, lesbian, sodomi dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Ia seakan bukan lagi berita asing yang muncul di dada-dada akhbar setiap hari.

Buat ibu bapa yang prihatin, kecenderungan anak-anak untuk terlibat sama ada sebagai pelaku ataupun mangsa, perlulah dibanteras sejak dari rumah. Bersikap ekstra prihatin dengan sosialisasi anak-anak semenjak kecil bukan semata-mata mengekang anak daripada mudah terpengaruh dengan gejala tidak baik, sebaliknya turut membantu mencegah penyebaran pengaruh budaya tidak sihat.

Penderaan seksual terhadap kanak-kanak

Sesetengah daripada kita masih asing dengan ungkapan pedofilia. Ia merupakan sejenis penderaan atau gangguan seksual melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak. Awas, pelakunya mungkin mereka yang terdekat dengan kita!

Kamus Dewan edisi ke empat mendefinisikan pedofilia sebagai keinginan mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak. Pedofilia sejenis gangguan psikologi di mana individu dewasa tertarik secara seksual untuk melakukan seks dengan kanak-kanak atau menggunakan kanak-kanak yang belum baligh atau di awal baligh untuk kegiatan dan aktiviti seks mereka.

Kanak-kanak daripada setiap peringkat umur, bangsa dan status sosio ekonomi berpotensi menjadi mangsa penderaan seksual.

Berhati-hatilah dengan persekitaran dan pergerakan di sekeliling anda. Awasi setiap langkah anak-anak anda dan bersikap ekstra peka terhadap perubahan emosi mereka.

Punca pedofilia?

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga tahun 2006 menunjukkan 75% penderaan seksual kanak-kanak dilakukan oleh keluarga sendiri. Betapa ramainya anak kecil yang telah diperkosa tetapi takut mendedahkannya.

Ada kes pemerkosaan beramai-ramai berlaku dalam kalangan keluarga melibatkan datuk, ayah, sepupu, bapa saudara, ipar duai bermula seawal lima tahun. Atas desakan nafsu, anak kecil menjadi mangsa kerana mereka tidak mampu melawan. Pedofil (pelaku) semacam hilang akal sehingga menganggap kesakitan dan trauma yang dialami kanak-kanak sebagai cabaran yang menyeronokkan.

Kebebasan internet

Kita disarankan memangkin pembangunan minda kanak-kanak khususnya pendidikan dan hiburan agar tidak tersasar dari landasan sepatutnya.

Malangnya, dalam memperkayakan persekitaran yang kondusif untuk tumbesaran kanak-kanak di negara ini, kita terlalu alpa dan leka dengan kebebasan mutlak internet sehingga teknologi seperti gajet begitu mudah diberikan kepada kanak-kanak yang masih mentah.

Tahukah anda kebebasan melayari internet sehingga kanak-kanak terdedah dengan pornografi juga boleh menyebabkan obsesi seksual yang tidak terkawal? Akibat kelalaian ibu bapa dan pihak tidak bertanggungjawab dalam mengawal minda dan pergaulan anak-anak serta pengaruh hedonisme yang mengagung-agungkan kemewahan inilah yang telah meracuni fikiran. Gajet dan segala bentuk hiburan yang tidak terkawal inilah yang membantu anak-anak membesar mengejar keseronokan dan kenikmatan hidup secara negatif.

Budaya-budaya barat yang merebak ke dalam kehidupan kita mengajak manusia kepada pemenuhan tuntutan nafsu dan keseronokan semata-mata. Hilang panduan agama ditambah pula dengan sistem kehidupan meletakkan nilai-nilai Barat sebagai asas kehidupan masa kini membawa kepada tindakan manusia yang tidak rasional sehingga menjadikan kanak-kanak mangsa nafsu.

Keadaan menjadi lebih tragis apabila kanak-kanak yang dicabul telah dibunuh oleh pelakunya. Ancaman pencabulan kanak-kanak inilah yang menjadi ketakutan besar ibu bapa. Justeru, marilah kita sama-sama mewujudkan satu persekitaran yang kondusif, peka dan berhati-hati dalam kalangan masyarakat terdekat dengan kita.

Bermula dari rumah, seterusnya kita semaikan ukhuwah dengan guru- guru dan kakitangan sekolah anak-anak, rakan-rakan sekelas dan ibu bapa anak-anak kita. Semoga dengan menjalinkan kemasyarakatan yang baik, kita dapat mewujudkan hubungan harmoni sekali gus mengekang amalan tidak elok yang boleh mempengaruhi minda anak-anak kita, pemacu masa depan negara.

Pendidikan tradisional terus cergas

KUALA LUMPUR, Jumaat 13 Februari: Di negeri utara dan pantai timur  Semenanjung - Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu juga di Patani, selatan Thailand - pondok adalah institusi mengaji secara  tradisional.

Di luar negeri ini pondok adalah dangau, rumah kecil  lazimnya didirikan untuk sementara. Atau seorang pemimpin politik atau kerajaan berpura-pura merendahkan diri menjemput kita ke pondoknya (baca istana/vila/banglonya). Di Pakistan, pondok adalah madrasah, di Indonesia pesantren.

Bagusnya pendidikan tradisional tiada had umur, tidak wajib ada kelayakan minimum - semua boleh belajar di pondok. Lazimnya tiada yuran dan tidak ada had usia bila mesti tamat pengajian - bisa terus dari tingkat dasar atau ibtidaiah, ke tingkat menengah (aliah) hingga ke tingkat jamiah atau universiti.

Sepanjang saya tahu tiada peperiksaan formal, tiada ijazah diberi apabila tamat pengajian. Hanya perakuan tok guru yang diterima ramai, yakni muridnya sudah berilmu dan tidak diragui oleh rakyat.

Di pondok, seperti di sekolah asrama penuh, ada peraturannya tetapi tidak ketat seperti di sekolah asrama penuh. Sebenarnya longgar. Tetapi di pondok moden peraturannya agak tegas juga.

Pondok, seperti sekolah berasrama penuh / universiti ada ratingnya-ada klasifikasi tentang kualiti, reputasi dan siapa alumninya. Sekarang ada juga tok guru memberi ijazah atau sijil seperti tegas Speaking: "at the end of the course of study which could last many years”.

Bagi dunia Barat dan pemimpinnya yang rata-rata jahil berkenaan Islam kerana pengalaman tertentu dengan madrasah di Pakistan dan Afghanistan, maka pondok dianggap sebagai sumber rekrut militan Islam, sumber rekrut IS atau Islamic State untuk berjuang di Iraq dan Syria. Benar dan tidak betul; ada antara rekrut IS mereka yang berpendidikan sekular, bahkan ada bekas pelajar public schools (yakni sekolah elit di United Kingdom).

Di Indonesia, negara majoriti Islam terbesar di alam - lebih mega dari negara Arab combined - banyak pesantren yang sederhana, apa yang dipanggil pesantren of moderation.

Moderation/kesederhanaan tidak dapat diajar, tidak boleh jadi  subjek dakwah. Silibus di sekolah yang menentukannya. Kalau silibus pendidikan dan etos pendidikan seperti sekarang amat sukar rakyat kita bersifat sederhana.

Percayalah jika silibus pendidikan sederhana dan etosnya  juga sederhana, all round, tidak berat sebelah, pelajar dengan sendiri akan menjadi manusia sederhana dan moden dari segi amalan dan pendapat.

Dalam New York Times Rabu 11 Februari, terdapat satu makalah tentang pesantren yang sederhana oleh Pallavi Aiyar.

Menurutnya,  setelah melawat pesantren moden Darussalam Gontor di Jawa, satu antara jumlah yang ditafsirkan antara 13,000 hingga 30,000 seluruh Indonesia, dia dapati majoriti pesantren memberi pendidikan sekular seperti Sains, Sejarah dan bahasa Inggeris, selain dari pendidikan Islam, juga ada kursus vokasional.

Tegas Aiyar majoriti pesantren adalah kubu menentang ekstremisme. “In Indonesia, Islamic boarding schools (pesantren) are mostly a bulwark against (Islamic)  ektremisme”. Baru seratus rekrut dari negara Islam terulung pergi ke Syria dan Iraq menyertai IS.

Saya sering teringin hendak tinggal di pondok / pesantren  selama satu bulan tiap tahun, sama masa saya bercuti di Eropah  setiap tahun. Dukacita hasrat itu belum tercapai lagi kerana beberapa halangan. Insya-ALLAH hasrat itu akan tercapai satu hari kelak. It will be an experience I am sure.

Saya tidak tahu beberapa jumlah pondok di Malaysia. Saya tidak tahu sama ada kerajaan pun ada statistik. Apa pun saya sedar ada banyak pondok di Kelantan. Cadangan saya satu hari mahu berpondok di Jawa, di Aceh, Patani, Kedah dan Kelantan untuk mengulang kaji pendidikan asas agama, juga meningkatkan pendidikan fekah dan tauhid serta menghafal al-Quran dan hadis.

Pondok atau pendidikan tidak formal tahan dek zaman, resilien kerana pendekatannya praktikal, mudah dan tidak dibelenggu syarat serta peraturan birokratik atau red tape.

Tok guru bukan mengejar harta dunia, title serta pangkat, bintang, medal dan pingat; tidak tergila-gila ingin menjadi selebriti. Tok guru lazimnya mengajar demi kewajipan dan mahu menjadikan pondoknya sebagai Rumah Ilmu atau daral-ilm.

Sebenarnya pondok telah wujud sezaman dengan Universiti al Azhar dan kedua adalah model bagi universiti di dunia Barat juga jubah atau academic gowns yang berasal di Mesir. Pondok juga telah wujud beratus-ratus tahun di Maghribi (Morocco) dan di Bukhara.

Orang kita yang ada asas pendidikan agama susah dipengaruhi oleh pengajian memesong, mempolitik dan memperdagangkan agama, sekurang-kurangnya tegas Speaking, "are better able to spot scriptural distortions.”

Jika kita senang dengan identiti kita, stabil dan sejahtera dalam kehidupan, saya tidak nampak kita boleh diganggu gugat atas nama Islam oleh mereka yang sengaja memutar  belitkan ayat Quran dan hadis di luar konteks Quran dan hadis serta Islam tulen.

Pokoknya, berwaspadalah dengan mereka yang sengaja memesong tujuan sebenar agama sebab kepentingan perdagangan, politik atau mencari populariti dan kedudukan sebagai selebriti. Jika kita waswas baliklah ke pangkal jalan, belajar dengan tok guru yang berwibawa.

Pergi ke Gontor, ke Rumah Hikmah di Morocco, di Center of Islamic Studies Oxford University dan di pondok teruji di Kelantan. Pendidikan formal atau sebaliknya bukan hanya mengejar sijil dan berapa banyak ijazah, tetapi ia harus menjadikan kita orang baik dan berbakti.

Menjadikan seorang jurutera atau arkitek yang baik tidak bererti dia juga bisa berbakti kepada masyarakat. Dalam perkataan lain, tegas Speaking  “education - formal or not- is not just making better engineers or architects but also about making better citizens.”

Tok Guru Legenda 1931-2015

Pagi Jumaat 13 Februari, Kelantan dan negara mengebumikan  Tok Alim, pemimpin politik dan kerajaan Kelantan, Allahyarham Datuk Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, di tempat kelahirannya di Kampung Pulau Melaka, beberapa kilometer dari Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.

Tok Alim atau Tok Guru Nik Aziz telah kembali ke rahmatullah berusia 84 tahun, pukul 9.40 Khamis malam. Tok Guru Nik Aziz adalah Menteri Besar Kelantan yang saya kenali selain daripada Tan Sri Nik Ahmad Kamil Nik Mahmud, Datuk Asri Muda, Datuk Mohamad Nasir dan Tan Sri Mohamed Yaacob.

Dalam pengalaman saya sebagai wartawan, politikus dan diplomat, saya amat tertarik, walaupun Allahyarham begitu lama berkuasa dan berpengaruh, saya belum bertemu dengan seorang berstatus demikian, di dalam dan di luar negara, yang gaya hidupnya begitu sederhana dan simple.

Majoriti manusia selepas berkuasa, walaupun tidak besar kuasa itu, lazimnya berubah perangai dan gaya kehidupan. Ada juga yang memiliki hobi baharu sesuai dengan status dan rumah baharu (dan isteri baharu!). Kekuatan Tok Guru, dia disanjungi sebab dia tidak berubah wajah.

Terus tinggal di rumah kampungnya tanpa banyak perubahan walaupun 23 tahun, menjadi ketua kerajaan dan politik Kelantan. Tok Guru tidak seperti yang lain  dari awal hingga akhir monogamus!

Tok Guru Nik Aziz adalah alumnus terbilang berpendidikan tradisional dan formal. Bagi saya dan keluarga serta pembaca kolum ini, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Tok Guru diiringi doa dan bacaan al-Fatihah. Tan Sri Abdullah Ahmad Sinar Harian Rencana 15 Feb 2015