February 16th, 2015

Guru beri galakan bukan menghukum

Tubuh kurus dan tinggi itu sedang melakukan aktiviti kawad, diketuai rakan sepenjara yang lebih berusia. Kusam dan kaku tetapi lebih banyak menonjolkan ciri-ciri ‘tidak bersalah’ sewaktu mata penulis mengamati wajah mereka.

Akibat kesalahan yang dilakukan, mereka terkurung dalam tirai besi di Penjara Kajang.

Kira-kira 150 pesalah juvana sedang melakukan aktiviti kawad kaki pagi itu, program orientasi selama 14 hari. Rata-ratanya mereka penghuni baru Sekolah Integriti Kajang (SIK) yang masih ditahan reman dan hanya segelintir disabitkan kesalahan.

Bakinya berada di kelas, melakukan persediaan untuk mendudukipeperiksaan utama dan

PELAJAR lelaki mampu menyaingi wanita dalam jahitan dengan kepakaran yang mereka miliki.

di bengkel kemahiran.

SIK ditubuhkan pada 2008 dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi peluang kepada pesalah juvana menimba ilmu.

Mereka diajar subjek Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sejarah, Sains dan mata pelajaran tambahan sehingga bersedia menduduki peperiksaan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Meskipun tidak sebebas rakan di luar tembok batu, pesalah juvana tidak diketepikan untuk menimba ilmu, bahkan sistem pendidikan di sini berjaya membentuk penghuni SIK sehingga menjadi insan berguna.

Ada antara mereka mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan dan berpeluang melanjut­kan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Tempoh penahanan yang panjang turut membuatkan penghuni berkenaan nekad menyambung pelajaran kerana tidak mahu mensia-siakan peluang bagi mengubah kehidupan yang hitam sebelum ini.



LATIHAN kawad kaki dijalani semua pesalah juvana bertujuan membentuk disiplin dan jati diri.

Mereka sedar hanya melalui pendidikan, mereka boleh menjadi warganegara yang lebih baik dan dihormati.

Di sini, mereka bukan saja dibekalkan dengan ilmu pendidikan dan bidang kemahiran, bahkan kelas pemulihan akhlak, kaunseling dan aspek kerohanian seperti solat berjemaah, qiamullail, ceramah agama, kelas mengaji, nasyid, sukan serta program membina kendiri.

Ia mampu membangunkan sahsiah peribadi penghuni SIK, sekali gus memantapkan jiwa dan peribadi mereka untuk kembali menjadi manusia yang menghormati se­sama insan, keluarga dan masyarakat.

Seiring dengan perkembangan sains dan teknologi serta perubahan silibus pembelajaran di sekolah kerajaan, SIK bersedia

menangani peredaran teknologi menerusi penyediaan kelas komputer.

Menurut Koperal Raja Nazrolzaman Raja Ahmad, kelas komputer itu mula diperkenalkan pada 2008 bagi membolehkan penghuni SIK mahir meng­gunakan komputer serta mempelajari pelbagai perisian.

“Subjek seperti Corel Draw dan Adobe Photoshop membolehkan pelajar untuk melukis muka depan majalah, muka depan cakera padat, kad nama, banner dan bunting.

“Hasilnya sangat meng­galakkan kerana pelajar yang betul-betul berminat dapat melukis dan menghasilkan karya yang baik.

“Kolej Komuniti Hulu Langat turut pernah berkongsi ilmu dengan membawa tenaga pengajar dan peralatan sendiri.


PENGHUNI turut dilengkapkan dengan kemahiran komputer seiring keperluan teknologi semasa.

“Ia membolehkan pelajar mahir melukis dan mencetak hasil lukisan di atas koleh dan rantai kunci,” katanya yang memantau kelas itu sejak penubuhannya tujuh tahun lalu.

Teruja untuk belajar

Ahmad (bukan nama sebenar), 20, yang mula menjadi penghuni SIK sejak tahun lalu menyesali perbuatannya sehingga menjerumuskannya ke penjara kerana melakukan samun bersama rakannya.

“Saya tidak mengambil SPM sebelum ini kerana sering ponteng kelas dan banyak menghabiskan masa dengan melepak dan berhibur bersama kawan-kawan.

“Saya lebih senang di sini berbanding di luar kerana dapat menumpukan perhatian sepenuh­nya pada pelajaran.

“Lagipun, jadual sebagai pelajar SIK sentiasa penuh. Waktu pagi saya ke kelas, pada sebelah petang menjalani latihan kawad dan menelaah pelajaran pada waktu malam,”

katanya yang me­ngambil lapan subjek termasuk tasawur dan perdagangan.

Dia mahu membuktikan kepada keluarga dengan peluang yang diperolehnya itu, dia boleh berjaya sama ada dalam SPM atau pada masa akan datang seperti adik-beradik lain.

Meskipun Ahmad masih gagal menguasai pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains, itu tidak menghalang pemuda berkenaan belajar bersungguh-sungguh dan merealisasikan cita-citanya sebagai ahli perniagaan.

Bagi Muthu (bukan nama sebenar), 20, yang berasal dari Rawang, dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan pelajaran di SIK sejak menghuni pusat itu pada 2010.

“Saya berpeluang menduduki peperiksaan PMR di sini dan lulus dengan baik dalam subjek Sejarah. Ia membuatkan saya mahu meneruskan cita-cita untuk mendapatkan sijil SPM.

“Belajar di luar amat berbeza kerana saya berpeluang untuk ponteng kelas berbanding di sini yang diajar untuk berdisiplin dan sudah tentu tidak dapat lari ke mana-mana.

“Saya lebih fokus untuk mentelaah pelajaran selain dorongan cikgu yang sanggup mengajar berulang kali agar dapat membuatkan saya lebih faham.

“Jika berpeluang, saya mahu membuka kedai gunting rambut kerana berpengalaman dalam perniagaan itu,” katanya.

Tiada batas ilmu

Sementara itu, Penolong Penyelia Akademik SIK merangkap guru Matematik, Eliza Ranee Jeremiah berkata, bukan mudah melahirkan insan cemerlang dan gemilang, apatah lagi mereka memiliki pelbagai latar belakang jenayah membabitkan bunuh, rogol, dadah, rompak dan samun.

“Guru-guru di sini perlu melipatgandakan usaha dan kesabaran untuk mendidik penghuni SIK yang mempunyai pelbagai latar belakang keluarga.

“Tidak semua yang masuk di sini adalah berpunca daripada mereka semata-mata. Justeru, guru tidak boleh bersikap menghukum tetapi memberi mereka galakan untuk meneruskan pelajaran jika tidak mempunyai sijil.

“Pada 2013 lalu, keputusan SPM mencatatkan peningkatan apabila empat calonnya memperoleh 2A dan 3A. Keputusan itu membolehkan mereka meneruskan cita-cita untuk menggenggam diploma dan ijazah,” katanya.

Mengapa tangisi pemergian Tok Guru

AIR mata kehilangan Ramai menangis terima berita kembalinya ke rahmatullah Tok Guru Nik Abdul Aziz 12 Februari lalu termasuk yang bukan Islam.

Kalau ditanya apa hikmah tahaluf siyasi, bagi saya inilah. Tahaluf siyasi buka ruang untuk bukan Islam mengenali keperibadian Tok Guru sebagai pemimpin Islam.

Akhbar Cina menyebut Allahyarham sebagai 'Yi Tai Zhong Si' atau 'Tok Guru Sepanjang Zaman'. Begitu tinggi penghormatan untuk Mursyidul Am Pas itu.  

Mengapa ramai yang menangis? Saya percaya, mereka menangis bukan atas pemergian Tok Guru. Kita semua pun  akan ke sana juga dan beliau sekadar mendahului.

Kita juga tahu Tok Guru sudah cukup bersedia untuk menghadapi masa kepulangannya malah persediaan itu sudah dibuat lama, sejak muda.

Apa yang sebenar ditangisi sama ada oleh penyokong Pas ataupun yang bukan Pas adalah kerana kita, umat Islam di Malaysia kehilangan seorang murabbi.

Kehilangan ini bukan dirasakan oleh orang Pas atau rakyat Kelantan semata-mata, bukan juga di dalam negara sahaja bahkan juga seluruh dunia Islam yang mengenali Tok Guru dan kepimpinannya yang berteraskan ilmu dan sentiasa berusaha untuk menunaikan dengan sebaik mungkin tanggungjawabnya sebagai khalifah ALLAH.

Ya, benar kita ada ramai ulama dan kita juga ada ramai umara' malah berebut-rebut orang mahu jadi umara'. Tetapi siapa umara' daripada kalangan ulama dan siapa ulama yang sanggup berperanan sebagai umara'? Jawapannya: Tidak ramai, sangat sedikit atau mungkin tidak ada.

Ini kerana seseorang ulama dengan ilmunya amat sedar bahawa tanggungjawab sebagai umara' adalah sangat berat.

Kedua, ada juga ulama yang lebih selesai ambil pendekatan mesra dengan pemerintah, sedia untuk memejam sebelah mata melihat kebejatan berbanding menasihat atau menegur  yang 'haq' tatkala melihat kebatilan demi sedikit habuan keduniaan atas alasan, pemerintah selagi daripada kalangan orang mukmin wajib ditaati.

Akan tetapi bagi Tok Guru, beliau ketepikan kepentingan diri baik bagi tujuan dunia (pernah ditawar jawatan Mufti Kelantan sebelum menang pilihan raya dan jadi MB pada 1990) juga atas kepentingan dirinya sendiri di akhirat (berkaitan tanggungjawab berat yang dipikul dan akan dipersoalkan kelak) demi melunaskan kepentingan ummah yang disandang di bahunya sebagai orang berilmu dan juga tanggungjawab kepada ALLAH.

Lebih daripada itu, Tok Guru tidak bermegah apa lagi bermewah dengan kuasa dan kedudukan yang disandang selama lebih 20 tahun,  satu tempoh yang cukup lama bagi sesiapa sahaja.untuk bersabar dengan ujian seumpama itu. Naiknya Tok Guru sebagai Menteri Besar Kelantan selepas pilihan raya 1990 juga mendedahkan kepada rakyat jelata yang selama ini tidak tahu berbagai elaun puluhan ribu diperuntukkan kepada seseorang menteri besar yang Tok Guru sendiri terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu.

Tok Guru terkejut, kita juga turut terkejut. Ada elaun baju panas, elaun majlis hari raya dan bermacam-macam lagi elaun yang ditolak oleh Tok Guru meskipun kesemua itu jadi haknya untuk digunakan.

Tidak lama dahulu, Tok Guru juga terkejut apabila dihulurkan cek royalti bukunya, Bicara Ini Demi Ilahi yang diterbitkan Grup Buku Karangkraf  yang mana saya difahamkan beliau selama ini tidak tahu pun bahawa ilmu yang dikongsinya menerusi kuliah dan ceramah yang disusun dan dibukukan melayakkannya untuk menerima royalti. Meskipun diperjelaskan, Tok Guru tetap menolak bayaran itu hingga akhirnya terpaksa dialih kepada Madrasah Darul Anwar yang diasaskannya.

Sebagai orang berilmu, Tok Guru sedar jawatan tidak boleh dibiar menjadi istidraj, sumber dosa yang melalaikan sekali gus menjadi selebar-lebar lebuh raya ke neraka. Sebab itu beliau kekal dengan kezuhudannya kerana reda ALLAH paling utama.

Bercerita tentang risiko, siapa kata orang seperti Tok Guru tidak diancam nyawa dan keselamatannya?

Selain mereka yang tidak menerima pemerintahan Islam, golongan  ekstremis juga tidak senang hati dengan kehadirannya sebagai ikon perjuangan dan pemerintahan Islam di rantau ini.

Dalam satu ceramahnya, Tok Guru pernah mendedahkan bagaimana beliau berhadapan dengan ancaman daripada kumpulan yang tidak bersetuju dengan cara beliau dan Pas  memperjuangkan negara Islam mengikut lunas demokrasi berpilihan raya sebaliknya mahu parti itu bersikap lebih radikal yang kononnya itu sahaja cara membolehkan negara Islam ditegakkan.

Sekarang, ketika kehilangannya, ALLAH sedang menguji Pas dengan masalah perpecahan dan pudarnya rasa hormat sesetengah ahli termasuk daripada anggota kepimpinan terhadap golongan ulama yang selama ini menjadi tunjang keutuhan parti itu.

Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan sekadar dilihat kurang cengkamannya dalam menghadapi cabaran kumpulan ini malah beliau sendiri jadi sasaran mereka.
Di kala inilah, Tok Guru sebagai tokoh  paling ditaati dan satu-satunya yang dilihat boleh meredakan  masalah itu, dipanggil pulang oleh Penciptanya.

Mungkin tiada lagi yang setanding Tok Guru pada saat beliau amat diperlukan ketika ini. Itulah apa yang kita hilang, yang kita tangiskan sebenarnya!

Kepada yang mengeji Tok Guru selama ini, perhatikan dengan mata hati betapa ALLAH menganugerahkannya kemuliaan,  penghormatan dan pengiktirafan yang selayaknya hanya untuk pembesar negara.

Untuk dirinya, Tok Guru telah berusaha  sekian lama untuk mencukupkan bekalan yang perlu dibawa mengadap tuhannya, kita sendiri bagaimana?

Kita disoal seperti Tok Guru juga Tok Guru yang kita tangisikan pemergiannya, lahirnya seperti kita juga.

Beliau tidak dilahirkan terus sebagai ulama. Yang membezakan kita dengannya adalah ilmu. Beliau berusaha mencari ilmu dan kemudian berkongsi ilmu mengenai tuhan dan arah tuju hidup kita, hampir sepanjang usia. Ilmu yang menjadikan beliau bertaqwa.

Semakin banyak ilmunya, semakin takut dan taat Tok Guru kepada ALLAH sedangkan kita, kerana kurang atau tidak ada ilmu, tidaklah kita kenal erti takut kepada ALLAH. Kalau pun mengaku takut, hanya setakat bibir mulut, tidak sampai ke  lubuk hati.

Kalau pun hadir taqwa di hati, hanya sesekali, tidak sampai berakar umbi.

Azalinya, Tok Guru pun seperti kita, ada nafsu, ada  emosi. Tetapi dengan ilmu, beliau berupaya mengekang nafsu, mengawal emosi. Dengan ilmu, beliau jadi insan bertaqwa lagi zuhud.

Akhirnya atas istiqomah, beliau  dihormati sebagai tok guru, sebagai murabbi dikagumi dan disanjung tinggi.

Tinggi sanjungan diterima, beliau tidak alpa pada tujuan hidupnya,  reda ALLAH sentiasa diutama.

Ketika lahir, Tok Guru sama seperti kita. Tetapi kemudiannya, beliau jadi sangat jauh beza dengan kita. Ilmunya, taqwanya, imannya, istiqomahnya.... jauh seperti syurga dengan neraka.

Tok Guru bukan dilahirkan terus sebagai ulama. Tetapi beliau sedar tanggungjawabnya sebagai hamba tuhan sebaliknya kita sendiri  yang selalu tidak sedar diri.

Apa pun, harus diingat, di hadapan ALLAH nanti, walaupun kita bukan Tok Guru,  kita tetap akan disoal tentang tanggungjawab sama seperti apa yang disoal Al Khalik kepada Tok Guru. Jika gagal, kita dihumban ke neraka.

Soalan dan pertanggungjawabannya sama, tidak kira tok guru atau bukan tok guru. Tok Guru sudahpun menyiapkan diri dan menyempurnakan hukum ke atas dirinya sedang kita pula bagaimana?

Pesan buat pemimpin Islam

Untuk renungan mereka yang bergelar pemimpin:

Kalau hati anda tidak bersama ALLAH ketika mengurus kuasa, anda hanya akan berpengaruh ketika memegang kuasa.

Apabila anda sudah tidak lagi berada di tampuk kuasa, ingat pesanan orang tua, kura-kura pun boleh meniti pokok yang sudah tumbang.

Itu yang banyak berlaku  dalam masyarakat kita. Seseorang pemimpin yang ketika di puncak kuasa, dipuja bagaikan dewa tetapi apabila sudah tidak lagi di takhta, bukan sahaja tidak dipandang malah ditohmah dan dicerca semahu-mahunya. Orang yang pernah dipimpin turut sama berlumba-lumba menjadikannya sasaran untuk memenangi hati sang pengganti.

Tetapi kalaulah hati anda sentiasa dengan ALLAH, matlamat anda hanya keredaan ALLAH, tujuan hidup anda hanya ALLAH, zuhud anda kerana ALLAH... ALLAH jualah yang akan memberikan anda kemuliaan.

Petunjuknya... jangankan ketika anda berkuasa atau berpengaruh, bahkan tatkala jasad anda diusung orang pun, anda akan terus dimuliakan oleh mereka yang tidak berharap apa-apa balasan, jauh sekali soal ganjaran kedudukan yang boleh memberikan mereka wang, harta atau kemewahan.

Selama anda memimpin mereka dengan hanya ALLAH sebagai tujuan,  nescaya ALLAH jua akan memuliakan anda kerana segala kemuliaan yang zahir mahupun yang sembunyi, adalah hak dan urusanNya.

Wallahua'lam.   Muhamad Mat Yakim Sinar Harian Rencana 16 Feb 2015

Menyelongkar rahsia Melayu Era Hindu

FEBRUARI 16 — Pengalaman membaca buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu (2014) sesungguhnya mengingatkan saya kepada beberapa makalah yang pernah saya tulis mengenai realiti orang Melayu di negara ini.

Dalam makalah “Apa Khabar, Lembah Bujang?“ (The Malay Mail Online, 17 Mac 2014) ditegaskan bahawa candi-candi di tapak tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara itu dibina oleh orang Melayu-Hindu.

Menerusi makalah bertajuk “Siapa Kisah Lembah Bujang?“ (The Malay Mail Online, 12 Januari 2015), saya menyatakan bahawa candi-candi di Lembah Bujang yang ditemui penjajah British pada tahun 1840-an serta tapak berusia lebih 2,000 tahun yang ditemui di Sungai Batu pada 2009 sepatutnya menyedarkan kita bahawa ia adalah milik tamadun Melayu.Topik asal-usul Melayu masih menjadi perbincangan dan   perdebatan pelbagai pihak.Topik asal-usul Melayu masih menjadi perbincangan dan perdebatan pelbagai pihak.

Ketinggian tamadun Melayu pada waktu itu (seawal abad ke-5 SM) tidak perlu dipersoalkan. Lembah Bujang berjaya berkembang menjadi pusat perdagangan serta pusat penyebaran agama Hindu dan Buddha.

Perkara ini turut diakui dalam buku ini yang menghimpunkan hasil tulisan “tiga orang blogger sejarah kontemporari tempatan” bernama Srikandi, Al-Semantani dan Ibnu Rusydi.

Seperti yang pernah dinyatakan dalam makalah “Tragedi Lembah Bujang” (12 Januari 2015), penemuan tapak peleburan besi di tapak ekskavasi di Tapak Arkeologi Sungai Batu membuktikan hakikat orang Melayu-Hindu di Lembah Bujang sudah terlibat dalam industri pertukangan besi sejak sekian lama.

Dalam buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu, diakui bahawa “sejarah kewujudan bangsa Melayu masih samar-samar dan misteri” (halaman 4) dan “sejarah dan kejadian lampau itu berlalu basi kerana kaumnya sendiri tidak menghidupkannya” (halaman xvi).Buku ini wajar dibaca dengan minda terbuka untuk mampu   mencerna isinya.Buku ini wajar dibaca dengan minda terbuka untuk mampu mencerna isinya.Srivijaya menjadi bukti paling kukuh pengaruh Hindu di Nusantara.Srivijaya menjadi bukti paling kukuh pengaruh Hindu di Nusantara.

Kenali kehebatan Empayar Srivijaya dan Majapahit

Sesungguhnya buku ini bukan hanya sesuai bagi bacaan kaum Melayu, tetapi masyarakat pelbagai kaum yang mahu tahu sejarah dan fakta yang mungkin tidak ditemui dalam buku teks Sejarah di sekolah.

Misalnya, empayar Srivijaya yang merupakan kerajaan Hindu-Buddha serta pusat pengajian Sanskrit dan Buddha yang amat tersohor.

Harus difahami bahawa ia bukan kerajaan orang India. Sebaliknya milik kaum Melayu (Malayu) di Nusantara yang masih menganut ajaran Hindu-Buddha sebelum kedatangan Islam.

Kerajaan Srivijaya yang mempunyai ibu kota di Palembang telah bertahan selama lebih enam abad serta berjaya menguasai Sumatera, Jawa Barat, Sri Lanka, Kalimantan Barat, Sulawesi, Maluku, Filipina dan Pulau Sulu serta Visaya dan utara semenanjung Melayu.

Seterusnya, Majapahit yang berpusat di Jawa Timur menjadi kerajaan Hindu terakhir dan terbesar; serta berjaya menguasai Jawa, Sumatera, Borneo, Sulawesi, Madura dan Tanah Melayu.

Empayar Srivijaya menjadi bukti paling kukuh pengaruh kebudayaan India di Nusantara. Selain daripada Srivijaya dan Majapahit, kerajaan Hindu-Buddha di Nusantara termasuk Langkasuka, Chih-Tu dan Lembah Bujang (Kedah Tua).

“Indianisasi bukanlah bermaksud penaklukan suku kaum India terhadap masyarakat tempatan atau pemaksaan elemen-elemen keIndiaan kepada mereka, mahupun dominasi etnik India terhadap orang Melayu. Sebaliknya unsur-unsur keIndiaan yang masuk ke alam Melayu adalah secara aman,” kata Al-Semantani (halaman 117).

Tentang Rajendra Chola dan Parameswara

Seperti ditegaskan dalam buku ini, “tamadun Melayu sering dikembarkan dengan Islam” (halaman 104) sehingga ramai yang beranggapan apabila ada unsur Hindu, Buddha, budaya India, bahasa Sanskrit dan seumpamanya, maka ia merupakan tamadun India.

Berdasarkan petikan beberapa halaman buku ini yang tersebar menerusi Facebook, ternyata ada pihak yang keliru, resah dan marah apabila dinyatakan bahawa Rajendra Chola yang menyerang Srivijaya dan Lembah Bujang tidak sama dengan Raja Suran yang disebutkan dalam Sejarah Melayu.

Saya juga pernah menjentik minda pembaca dengan mengungkitkan isu ini menerusi sebuah makalah beberapa tahun lalu.

Sesungguhnya saya amat gembira dan berpuas hati dengan penerangan berserta fakta yang disajikan menerusi buku ini bagi “menjawab kekeliruan sejarah”.

Satu lagi fakta yang nampaknya menimbulkan keresahan orang – khususnya kaum India di Malaysia – adalah mengenai Parameswara.

Sekali lagi, masalah timbul apabila hanya sekerat maklumat yang dikongsikan menerusi Facebook dijadikan rujukan sebelum membuat keputusan.

Memang Parameswara merupakan putera dari kerajaan Hindu-Buddha di Palembang yang diusir keluar. Dialah yang pergi ke Temasik dan kemudian membunuh pemerintahnya.

Parameswaralah yang terpaksa melarikan diri ke Tanah Melayu dan akhirnya membuka Melaka yang menjadi asas kepada empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu tidak menafikan perkara ini. Sebaliknya diberikan pelbagai maklumat tambahan berdasarkan pelbagai sumber tempatan dan luar negara.

Perlu dibaca dengan fikiran matang dan rasional

Mungkin timbul kekeliruan antara Parameswara dan Megat Iskandar Shah. Kekeliruan dan kesamaran itu diakui dalam buku ini.

Misalnya, dinyatakan bahawa Parameswara meninggal dunia pada tahun 1414, manakala Megat Iskandar Shah adalah sultan kedua di Melaka (1414-1423).

Ada pandangan mengatakan Megat Iskandar Shah adalah anak kepada Parameswara dan sultan Melaka yang mula-mula memeluk Islam.

Ada pula yang berpendapat Megat Iskandar Shah adalah nama Parameswara sendiri selepas masuk Islam.

Pandangan yang dikemukakan ini tidak salah dan tidak memesongkan sejarah.

Sebaliknya, sesiapa yang selama ini beranggapan bahawa Parameswara adalah seorang putera kaum India-Hindu dari benua India perlu membetulkan fakta bahawa dia adalah putera kaum Melayu-Hindu dari Kepulauan Melayu sendiri.

Kita perlu sedar bahawa “mempunyai nama berunsur Sanskrit tidak membuktikan bahawa seseorang itu berasal dari India” dan “menganuti agama Hindu tidak semestinya membuatkan seseorang itu berbangsa India” (halaman 109).

Rata-rata rakyat Malaysia sudah dibiasakan dengan “sejarah” Malaysia bermula dengan kedatangan Islam; seperti diajar dan disuapkan di sekolah.

Wajarlah kita sama-sama mendalami sejarah zaman pra-Islam untuk mampu memahami tamadun Melayu berasaskan kerajaan Hindu-Buddha di Nusantara bagi membetulkan sebarang kekeliruan.

Dalam konteks ini, kelahiran sebuah buku seperti Membongkar Rahsia Dunia Melayu amat dialu-alukan.

Kini terpulang kepada sikap rasional dan pemikiran matang masyarakat untuk membacanya dengan minda terbuka tanpa dipengaruhi jiwa yang masih keliru.

Apa khabar, Lembah Bujang?

17 MAC — Kunjungan ke Lembah Bujang, Kedah pada 31 Januari dan 1 Februari 2014 mengukuhkan pendirian saya bahawa pandangan yang saya kemukakan selama ini mengenai orang Melayu tidak tersasar jauh.

Makalah bertajuk “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) menimbulkan kemarahan pelbagai pihak. Kononnya saya cuba mengelirukan pembaca serta mengubah fakta mengenai asal-usul dan anutan orang Melayu di negara ini.

Menerusi makalah berkenaan, saya menyatakan bahawa kalau diperhatikan, pengaruh India dan Hindu — serta Buddha — sudah bertapak di Kepulauan Melayu (Nusantara) jauh sebelum kedatangan Islam. Malah Kerajaan Melayu Melaka — seperti mana Majapahit dan Srivijaya — bertunjangkan budaya India dan Hindu.

Hakikat yang boleh cuba dipertikaikan — malah mungkin dibawa ke mahkamah — tetapi tidak boleh dinafikan adalah bahawa kewujudan “Melayu” itu sendiri adalah berasaskan tamadun India — khususnya empayar Cheran, Cholan, Pandian dan Pallavan.

Wakil Kavyan melawat tapak Candi Nombor 11 yang dimusnahkan pemaju. — Gambar oleh Uthaya Sankar

Wakil Kavyan melawat tapak Candi Nombor 11 yang dimusnahkan pemaju. — Gambar oleh Uthaya Sankar

Apabila sebuah candi yang dibina di Lembah Bujang pada kurun ke-8 dirobohkan pemaju pada September 2013 — dan kejadian itu diketahui ramai beberapa bulan kemudian — masyarakat pelbagai kaum mula bersuara bagi melahirkan rasa marah dan kecewa.

Pada waktu itu, beberapa individu yang marah-marah berikutan makalah “Kisah tentang Malayu” juga mula sedar bahawa apa yang saya kemukakan ada kebenaran. Khususnya hakikat kewujudan “Melayu” lama sebelum kedatangan agama Islam ke rantau ini.

Kemusnahan yang berlaku pada candi berusia lebih 1,200 tahun di Sungai Batu menyedarkan orang ramai bahawa monumen serta tapak arkeologi itu bukan hanya milik orang India-Hindu; sebaliknya juga milik orang Melayu-Hindu pada masa dahulu.

Malah, seorang pengkaji sejarah Kedah Lama, Dr Jayabarathi, yang ditemui di rumahnya pada 1 Februari 2014 mengemukakan hujah bahawa candi-candi di Lembah Bujang kemungkinan besar dibina oleh orang Melayu-Hindu.

Kemudian, ia dimusnahkan oleh tentera Rajendra Cholan dari India yang melakukan serangan bagi tujuan penaklukan. Putera berkenaan turut diberikan nama “Kadaram-kondan” (Penakluk Kadaram) walaupun tenteranya turut menakluk Sri Vijaya, Malaiyur (Malayu dan Jambi) dan pelbagai wilayah lain.

Bukan hanya bukti tamadun India-Hindu

Pada 3 Mac 2014, Bernama melaporkan berita mengenai pembukaan 50 lagi tapak pemetaan di Tapak Arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang. Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin menghuraikan mengenai tapak ekskavasi berkenaan.

“Hasil daripada 47 tapak yang dibuka itu, kami menemui empat fungsi iaitu tapak industri peleburan besi, pelabuhan dengan sepuluh jeti, tapak ritual bagi penyembahan di Gunung Jerai dan 13 bangunan pentadbiran,” katanya.

Saya bersama-sama Kughan Nadarajah, Prabhawathy Govindarajoo, Devishi Prabha Sankari dan Kartik Ramachandran turut berpeluang melawat serta mendapatkan penerangan di Tapak Arkeologi Sungai Batu yang dipercayai merupakan tapak tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara – mengatasi usia Angkor Wat di Kemboja dan Borobodur di Indonesia.

Mokhtar dalam berita yang disiarkan Bernama menyifatkan penemuan tapak pelaburan besi di Sungai Batu sebagai amat mengejutkan kerana “ia menunjukkan bahawa orang Melayu sudah terlibat dalam industri besi sejak sekian lama”.

Dalam bukunya, “Bujang Valley: The Wonder That Was Ancient Kedah” (2011), V Nadarajan menjelaskan bahawa nama “Kadaram” yang diberikan oleh orang India kepada Lembah Bujang (Kedah Tua) membawa makna “tempat peleburan besi” (kothikalam) dalam Bahasa Tamil.

Saya percaya “Program Jom Cari Kedah Tua” (28 Februari – 2 Mac 2014) anjuran Sekretariat Penyelidikan Tamadun Awal Kedah Tua turut memberi peluang kepada peserta bukan sahaja untuk melakukan sendiri kerja-kerja ekskavasi, tetapi juga untuk menyedari serta mengakui bahawa Lembah Bujang bukan hanya bukti tamadun India-Hindu.

Sebaliknya candi-candi Lembah Bujang yang ditemui penjajah British pada tahun 1840-an serta tapak berusia lebih 2,000 tahun yang ditemui di Sungai Batu pada 2009 menyedarkan kita bahawa ia adalah milik Tamadun Tanah Melayu; termasuk orang Melayu-Hindu dan India-Hindu pada masa dahulu.

Antara buku yang boleh membantu pemahaman. Antara buku yang boleh membantu pemahaman.Atas dasar itulah juga tugas serta tanggungjawab memelihara, memulihara serta mempertahankan Lembah Bujang tidak terletak pada bahu mana-mana kaum/agama tertentu. Sebaliknya ia menjadi tugas bersama Bangsa Malaysia yang cinta akan tamadun, sejarah dan warisan budaya bangsa.

Malah, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mensasarkan untuk mendapatkan pengiktirafan Tapak Arkeologi Sungai Batu sebagai tapak warisan dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco), seperti dilaporkan di Utusan Malaysia (24 Jun 2013).

Penduduk kampung dipersalahkan

Hakikat ini membawa kita kembali kepada realiti yang berlaku apabila pihak pemaju didapati memusnahkan Candi Nombor 11 pada September 2013. Tentulah amat mengecewakan apabila “impian” Mukhiz seolah-olah cuba dimusnahkan pihak tertentu dalam hal melibatkan Candi Nombor 11.

Hampir sama seperti yang dilakukan secara penuh sedar oleh Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Datuk Idris Haron yang secara terang-terangan membenarkan projek pembinaan dua hotel 22 tingkat, sebuah kondominium 12 tingkat dan tempat letak kereta 6 tingkat di atas tapak “Lot 93” yang bersempadan dengan Kampung Chetti yang diiktiraf oleh Unesco sebagai perkampungan warisan.

Lokasi tapak arkeologi terbaru di Sungai Batu. Lokasi tapak arkeologi terbaru di Sungai Batu.Berbalik kepada isu Candi Nombor 11, apabila ditanya pada awal Disember 2013, pegawai Muzium Arkeologi Lembah Bujang dilaporkan memberikan jawapan yang kurang memuaskan mengenai sikap pihaknya tidak mengambil tindakan terhadap kemusnahan yang berlaku kepada candi itu.

Muzium berkenaan tidak mahu mengaku bertanggungjawab kerana tapak berkenaan bukan terletak dalam bidang kuasa pemantauannya. Sebaliknya, seperti turut dilaporkan di The Malay Mail Online (3 Disember 2013), pihak muzium berpendirian bahawa para penduduk yang tinggal di sekitar kawasan candi itu yang sepatutnya telah tampil menghalang kerja-kerja meroboh.

“Mereka (penduduk) tinggal tidak jauh dari tapak candi itu. Tentu mereka sedar candi itu mahu dirobohkan apabila pemaju pergi membersihkan kawasan itu dua bulan lalu (September 2013). Tetapi mereka (penduduk) tidak buat apa-apa. Sekarang semua orang bising selepas candi dirobohkan dan tiada apa-apa yang tinggal,” kata pegawai berkenaan.

Semasa melawat tapak berkenaan, saya turut mengemukakan pertanyaan itu kepada beberapa penduduk yang membawa wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) melawat tempat tersebut secara dekat.

“Candi asal sudah dipindahkan ke tempat lain dan apa yang ada di sini adalah replika yang dibina pada tahun 1974. Kawasan ini dikelilingi tanaman kelapa sawit. Jentera yang digunakan pemaju telah merobohkan candi itu dahulu sebelum mula menumbangkan pokok-pokok kelapa sawit.

“Hal ini bermakna, walaupun kami tinggal tidak jauh dari sini, kami tidak dapat melihat apa yang berlaku. Kami hanya menyedari candi sudah musnah apabila pokok-pokok kelapa sawit ditumbangkan dan kawasan ini dibersihkan,” kata seorang pemuda yang mengiringi kami melawat tapak terbabit.

Rata-rata penduduk yang ditemui mengatakan bahawa mereka tidak menentang sebarang bentuk pemajuan dan pembangunan yang dirancang. Sebaliknya, mereka amat kecewa apabila pihak berwajib — termasuk Pejabat Tanah — “terlepas pandang” akan kewujudan Candi Nombor 11 apabila meluluskan tapak itu bagi pembinaan rumah.

Lembah Bujang, Kampung Chetti senasib?

“Kami amat kecewa kerana salah satu khazanah, sejarah dan warisan negara sudah musnah. Amat malang apabila pihak yang dipertanggungjawabkan gagal melaksanakan tanggungjawab.

“Kami sebagai orang biasa hanya boleh buat bising dan membuat laporan kepada pihak berkuasa. Kami tidak ada kuasa menentang pemaju kerana mereka sudah dapat izin kerajaan untuk membina rumah di sini,” kata penduduk yang ditemui pada 31 Januari 2014.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya kerana nasih sudah pun menjadi bubur. Walaupun kerajaan negeri berjanji akan membina semula Candi Nombor 11, tentulah ia tidak akan sama.

Malah, apakah terdapat jaminan bahawa sejarah hitam seperti ini tidak akan berulang? Tambahan pula, semasa melawat Kompleks Tapak Arkeologi Sungai Batu, wakil Kavyan dimaklumkan beberapa individu bahawa sejumlah artifak yang ditemui sudah hilang.

Lawatan Kavyan bertujuan menjejaki keunikan Lembah Bujang. — Gambar oleh Uthaya Sankar

Lawatan Kavyan bertujuan menjejaki keunikan Lembah Bujang. — Gambar oleh Uthaya Sankar

Artifak sejarah, budaya dan warisan itu dikatakan kononnya hilang pada sebelah malam. Malah, ada juga desas-desus bahawa sejumlah artifak dibawa keluar menggunakan kenderaan khas, dan penemuannya tidak dilaporkan atau direkodkan.

Tentu sahaja semua ini membimbangkan para pencinta sejarah dan warisan negara kerana segala ketirisan yang berlaku – walau sekecil mana – akan memberikan kesan negatif terhadap usaha merekodkan sejarah tamadun awal negara ini; seawal orang Melayu di sini masih merupakan penganut Hindu-Buddha.

Masalah sama juga dihadapi Kampung Chetti apabila kerajaan negeri dan kerajaan pusat hanya membisu dan berpura-pura seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku; walaupun Kavyan membuat pendedahan demi pendedahan dengan kerjasama penduduk kaum Chetti sejak 16 Disember 2013.

“Kita berharap usaha dan bajet oleh Kerajaan Persekutuan bagi membangun tempat itu (Tapak Arkeologi Sungai Batu) bakal dilaksanakan dengan jayanya dan pihak negeri akan pastikan kawasan itu menjadi warisan negara, bukan warisan Kedah sahaja,” kata Mukhriz (Utusan Malaysia, 24 Jun 2013).

Semoga tumpuan tidak hanya diberikan kepada tapak terbaru yang ditemui di Sungai Batu pada 2009; sebaliknya juga kepada candi-candi yang ditemui di tapak-tapak lain sejak 1840-an. Juga Kampung Chetti yang sudah diiktiraf Unesco. Janganlah pula yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Siapa kisah Lembah Bujang?

JANUARY 12 — Benarkah terdapat usaha menyembunyikan sejarah dan fakta oleh pihak tertentu demi memastikan kebenaran tidak muncul pada permukaan?

Demikian antara persoalan yang terus bermain dalam minda saya sejak berpeluang berkunjung ke Lembah Bujang, Kedah buat kali pertama pada 31 Januari dan 1 Februari 2014.

Saya pergi bersama-sama Prabhawathy Govindarajoo, Devishi Prabha Sankari dan Kughan Nadarajah dengan kerjasama Datuk Murugan Alimuthu dan Kartik Ramachandran berikutan kes Candi Nombor 11 dimusnahkan pemaju perumahan.

Pada kesempatan itu, kami dibawa melawat dan mewawancara beberapa tokoh tempatan yang tahu kisah sebenar Lembah Bujang secara mendalam.

Antara individu yang sempat ditemui ialah pengkaji sejarah Kedah Tua, Dr Jayabarathi; penulis veteran, Rayappan dan pengkaji sejarah, Balan Nair.

Candi Nombor 11 yang dimusnahkan pemaju perumahan pada September 2013. — Foto Uthaya Sankar SB

Candi Nombor 11 yang dimusnahkan pemaju perumahan pada September 2013. — Foto Uthaya Sankar SB

Penulis berumur awal 80-an itu memulakan cerita dengan kisah sebuah kuil di kawasan perbukitan yang terletak antara Bedong dan Tanjung Dawai, Kedah.

Keseluruhan bangunan kuil itu tertimbus di bawah tanah.

Pada tahun 1957, seorang penoreh getah ternampak sebahagian bangunan kuil itu dan terus memberitahu orang ramai. Setahun kemudian, kerja-kerja arkeologi dimulakan oleh pengkaji dari Perancis dan Jerman.

Rayappan bersama-sama rakan-rakannya tidak melepaskan peluang untuk pergi melihat tapak berkenaan.

“Kami segera cam bahawa bangunan berkenaan merupakan sebuah kuil Dewa Shiva. Tidak ada sebarang berhala. Apa yang kelihatan adalah sebuah linga yang mewakili Shiva,” katanya sambil mengimbas kenangan.

Bangunan kuil dibina menggunakan batu paarai (batu bongkah hampar).

Keseluruhan bangunan berkenaan berjaya digali keluar pada tahun 1958.

Kuil yang hilang penuh misteri

“Kebetulan pada masa itu, dua tokoh budaya dan bahasa Tamil dari India datang ke Bedong sempena sambutan Tamilar Thirunal. Kami membawa mereka melawat tapak kuil tersebut dengan penuh bangga,” kata Rayappan yang berusia sekitar 24 tahun pada waktu itu.

Menurut papan tanda yang dipasang pakar arkeologi, kuil Shiva itu dibina sekitar kurun 10 Sebelum Masehi di atas perintah Rajendra Cholan.

Rayappan (kiri) dan Balan Nair berkongsi kisah Lembah Bujang.

Rayappan (kiri) dan Balan Nair berkongsi kisah Lembah Bujang.

Putera berkenaan turut diberikan nama “Kadaram-kondan” (Penakluk Kadaram) walaupun tenteranya juga menakluk Sri Vijaya, Malaiyur (Malayu dan Jambi) dan pelbagai wilayah lain di Kepulauan Melayu (Nusantara).

Memanglah raja dari negara India itu tidak pernah datang ke Kadaram (Kedah). Bagaimanapun, mengikut catatan sejarah yang juga terdapat diIndia, wujud perjanjian damai antara Kedah dan Kerajaan Cholan.

“Saya ada terbaca di sebuah majalah terbitan Singapura bahawa kepingan wang emas dan batu permata turut ditemui pakar kaji bumi di tapak bangunan kuil berkenaan pada 1958.

“Khabarnya tempayan berisi barangan bernilai sekitar 9 juta ringgit itu dibawa ke Kuala Lumpur. Selepas itu, tiada sebarang berita mengenainya,” Rayappan menceritakan sewaktu ditemui di rumahnya.

Menurut warga emas itu, batu-bata pada kuil asal juga dipercayai sudah ditukar semasa bangunan berkenaan dipindahkan ke tapak baru di Lembah Bujang. Tidak diketahui apa yang berlaku kepada batu-bata asal yang bernilai tinggi itu.

“Selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, sejarah negara nampaknya sudah mula diubah sesuka hati oleh pihak tertentu. Misalnya, fakta bahawa kuil berkenaan dibina atas perintah Rajendra Cholan sudah dipadam,” katanya.

Pernah ada sebuah kuil Dewa Muruhan yang dibina sekitar 300 tahun lalu di Gunung Jerai. Gunung berkenaan memang amat sinonim dengan kedatangan pedagang India ke Kedah pada zaman dahulu.

Kita tentu maklum bahawa Gunung Jerai menjadi semacam mercu tanda dan penunjuk arah kepada kapal pedagang dari India pada zaman dahulu.

Sikap 'bangau oh bangau'

Beberapa penduduk sekitar Bedong yang ditemui mengatakan bahawa sulam iaitu tombak yang lazim digambarkan dipegang berhala Muruhan (seperti patung besar di Batu Caves) pernah dilihat di kuil atas gunung itu.

Kuil, berhala dan sulam itu juga khabarnya sudah ghaib sekarang. Ghaib bukan kerana kuasa mistik tetapi kerana ada pihak yang dipercayai sedang cuba menyembunyikan fakta sejarah serta menghapuskan bahan bukti mengenai pengaruh Hindu di Kedah.

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan ada pihak yang tidak mahu menerima hakikat dan fakta sejarah bahawa tanah ini pernah berada di bawah kuasa dan pemerintahan kerajaan Hindu-Budha dari India.

“Mungkin ada pihak yang mahu mencipta ilusi dan kepalsuan bahawa negara ini tidak pernah menerima pengaruh luar — khasnya India — sebelum penjajahan Portugis, Belanda dan British,” Rayappan berkongsi hopitesis.

Pandangan ini membawa pula kepada persoalan mengapa tidak ada pihak yang prihatin tampil memperjuangkan dan membetulkan fakta.

Pertanyaan ini adalah wajar kerana hasil pertemuan dengan begitu ramai penduduk kaum India di sekitar Bedong selama dua hari, saya dapati rata-rata mengatakan ada pihak cuba menyembunyikan fakta.

Mereka juga mengeluh kerana sejarah dan fakta sebenar Lembah Bujang tidak disebarkan kepada umum. Mereka mahu identiti, fakta dan maklumat sebenar mengenai Lembah Bujang diketahui orang.

Maka, persoalannya adalah mengapa penduduk di situ — khususnya generasi muda dan tua kaum India yang kononnya begitu prihatin — tidak memikul tanggungjawab menyebarkan fakta sebenar?

Rayappan memberikan alasan bahawa sejak 1958, hanya pengkaji dan peminat sejarah dan budaya dari Tamil Nadu, India yang menunjukkan minat untuk datang dan melawat Lembah Bujang.

“Belum pernah ada orang India tempatan datang bertemu saya dan meminta dibawa melawat tapak-tapak arkeologi di Lembah Bujang. Hanya beberapa kenalan rapat yang datang,” tegasnya sambil mengaku bahawa inilah kali pertama beliau diwawancara bagi sebuah makalah.

Peluk tubuh dan menanti

Hampir setahun sudah berlalu sejak lawatan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke Lembah Bujang tetapi isu-isu yang ditimbulkan Rayappan terus bermain dalam minda saya.

Tentulah saya tidak mahu mempertikaikan atau mempersoalkan pandangan yang dikemukakannya. Bagaimanapun, hujah beliau memberikan gambaran jelas bahawa kaum India sendiri kurang berminat terhadap sejarah Lembah Bujang.

Penganut Hindu di Malaysia mahu Lembah Bujang diiktiraf sebagai tapak tamadun Hindu, tetapi mereka sendiri hanya mahu berpeluk tubuh dan mengharapkan orang lain melakukan tugas itu.

Setahun selepas melawat Lembah Bujang, saya belum mendengar apa-apa berita mengenai usaha yang dilakukan para pejuang terbabit untuk mempertahankan apa yang disifatkan sebagai tamadun Hindu.

Pada masa sama, pencinta dan pejuang tersebut mula bising apabila pihak lain tampil mengangkat Lembah Bujang sebagai tapak warisan tamadun Melayu. Usah kita lupa bahawa orang Melayu di negara bertuah ini menganut ajaran Hindu sebelum kedatangan Islam.

Tapak candi turut ditemui di Sungai Batu pada 2009.

Tapak candi turut ditemui di Sungai Batu pada 2009.

Pada pandangan saya, candi-candi di Lembah Bujang yang ditemui penjajah British pada tahun 1840-an serta tapak berusia lebih 2,000 tahun yang ditemui di Sungai Batu pada 2009 sepatutnya menyedarkan kita bahawa ia adalah milik Tamadun Tanah Melayu; termasuk orang Melayu-Hindu dan India-Hindu pada masa dahulu.

Apabila sebuah candi yang dibina di Lembah Bujang pada kurun ke-8 dirobohkan pemaju pada September 2013 — dan kejadian itu diketahui ramai beberapa bulan kemudian – masyarakat pelbagai kaum mula bersuara bagi melahirkan rasa marah dan kecewa.

Kemusnahan yang berlaku pada candi berusia lebih 1,200 tahun di Sungai Batu menyedarkan orang ramai bahawa monumen serta tapak arkeologi itu bukan hanya milik orang India-Hindu; sebaliknya juga milik orang Melayu-

Hindu pada masa dahulu.

Perkara ini pernah saya huraikan menerusi makalah bertajuk “Apa khabar, Lembah Bujang?” (The Malay Mail Online, 17 Mac 2014).

Seminar khas kedaulatan Melayu

Dalam perkembangan terkini, pada 17 Januari 2015, suatu seminar khas dijadualkan di Taman Lembah Bujang, Bedong. Antara kertas kerja yang menarik adalah “Tarikan Mistik Gunung Jerai dan Sekitarnya” serta “Hindu dan Buddha Berasal daripada Agama Islam.”

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mokhtar Saidin dijangka menyampaikan kertas berja bertajuk “Sungai Batu Sebagai Tapak Tamadun Tertua di Asia Tenggara”.

Keesokan hari, peserta akan dibawa melawat Tapak Arkeologi Sungai Batu.

Menurut penganjur, “sesiapa yang sayangkan Melayu dan Islam boleh datang” serta “digalakkan memakai busana Melayu bertanjak, bersampin dan berkeris.”

Menurut maklumat di blog penganjur, mereka “memohon dikembalikan hak ketuhanan Melayu selain hak ketuanan Melayu”. Maka, usah mengharapkan kehebatan tamadun Hindu-Buddha di Lembah Bujang diangkat menerusi program ini.

Dalam pada itu, usahlah pula kita bertindak bodoh dengan bertanya apa peranan MIC dalam mempertahankan Lembah Bujang sebagai tapak warisan India-Hindu.

Selepas Candi Nombor 11 dijahanamkan pemaju pada September 2013, Pemuda MIC dilaporkan turun padang. Mereka menyerahkan memorandum kepada setiausaha sulit kanan Menteri Besar Kedah pada 3 Disember 2013.

Saya mencatatkan dalam makalah “Selamatkan Ashram, Hapuskan Chetti” (The Malay Mail Online, 19 November 2014) bahawa Pemuda MIC telah bergambar beramai-ramai sambil memegang serpihan batu candi dan memuatkan foto di laman Facebook “1 Million Likes To Save Bujang Valley.”

Semakan pada 11 Januari 2015 menunjukkan laman berkenaan disukai (“like”) 22,960 orang (bertambah 5 orang sejak 18 November 2014). Sejak 23 Disember 2014, laman itu sekadar diisi pelbagai berita mengenai usaha Pemuda MIC Kebangsaan membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

Berita terakhir mengenai Lembah Bujang di laman berkenaan adalah suatu keratan akhbar pada 6 April 2014. Sasaran “1 Million Likes” juga masih terlalu jauh!

Semoga paparan ini membuka mata dan menjadi tamparan pada pipi kelompok pejuang Lembah Bujang daripada kalangan kaum India-Hindu.

Kita berhak untuk kecewa kerana mereka nampaknya hanya tahu berpeluk tubuh serta mengharapkan orang lain membuat kerja.

Mereka hanya tahu bising-bising apabila pihak lain bersikap proaktif dalam mengubah sejarah demi agenda politik. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Penjawat Awam Berpengetahuan, Dinamik Namun Buta ICT

Lahir penjawat awam berpengetahuan, dinamik

KLUANG - Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Wilayah Selatan (Ikwas) menganjurkan wacana bicara eksekutif bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam agar lebih berpengetahuan, dinamik dan berprestasi tinggi, kelmarin.

Menerusi wacana tersebut seramai 500 penjawat awam dari Zon Selatan terlibat secara langsung dalam program yang julung kali diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Kluang, di sini.
Pengarah Ikwas, Dr Azani Salleh berkata, wacana itu selari aspirasi nasional 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dan gagasan ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’.

“Program ini merupakan sebahagian daripada pembangunan keupayaan dan kebolehan modal insan sektor awam seperti yang dihasratkan pemimpin negara dalam pentakrifan semula hala tuju latihan dan strategi pembelajaran.

“Transformasi Tadbir Urus dan Integriti dalam perkhidmatan awam telah dipilih sebagai tema program ini. Ia selari dengan isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang telah dibentangkan Ketua Audit Negara setiap tahun.

“Ikwas berhasrat melalui wacana bicara ini penjawat awam akan diberi pendedahan mengenai isu berbangkit supaya mereka dapat memikul cabaran masa hadapan demi mengekalkan tadbir urus yang terbaik,” katanya pada  majlis Wacana Bicara Eksekutif di Ikwas, Kluang, kelmarin.

Dr Azani berkata, dalam wacana bicara itu, Ikwas telah menjemput Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk mengadakan sesi dialog berkongsi idea dan pandangan bersama penjawat awam di negeri ini.

Ujarnya, program itu adalah platform perbincangan bagi perkongsian perspektif dan pengalaman antara Nur Jazlan dengan penjawat awam.

“Kebanyakan peserta wacana ini adalah ketua jabatan kerajaan. Apa yang kita mahu perkongsian yang diperoleh dapat dikongsi bersama anak buah apabila mereka pulang ke jabatan masing-masing.

“Ikwas juga bercadang untuk meneruskan wacana seumpama itu pada masa akan datang dengan menjemput mereka yang pakar untuk memberi ceramah,” katanya. Wartawan Sinar Harian 11 Feb 2015

Penjawat awam buta ICT penghalang kejayaan

KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata penjawat awam yang tidak celik teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) boleh menjadi penghalang kepada kejayaan pelaksanaan aplikasi ICT kerajaan dalam pelbagai perkhidmatan.

Beliau berkata penjawat awam yang tidak celik ICT juga bakal tercicir daripada arus perkembangan sektor perkhidmatan awam yang berubah secara pantas.

"Hampir semua urusan pada masa ini memerlukan bantuan ICT untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan, baik dalam bidang apa sekali pun termasuk perkhidmatan awam. Penjawat awam yang tidak mampu menghadapi cabaran ini akan tertinggal di belakang dari arus kemajuan perkhidmatan awam.

"Mereka juga berkemungkinan besar akan menjadi penghalang kepada kejayaan pelaksanaan aplikasi kerajaan terutama dalam usaha kerajaan yang menyarankan usaha kreativiti dan inovasi dalam menghasilkan produk ataupun perkhidmatan dengan lebih efisien dan menjimatkan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata demikian semasa merasmikan seminar ICT bertemakan 'Pemerkasaan ICT Asas Pemantapan Integriti Penjawat Awam' di sini hari ini.

Justeru kata Yahya, kejayaan pelan transformasi negara ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta berdaya saing amat bergantung kepada keupayaan menguasai dunia siber dan ICT.

Bagi Sabah katanya, langkah negeri itu memasang rangkaian komputer dalaman (Intranet) yang dinamakan Sabah.net pada tahun 2000 amat tepat kerana di situlah bermula penggunaan mel elektronik ataupun e-mel dalam kalangan pentadbir negeri dan perkhidmatan awam negeri.

Katanya seiring dengan kemajuan itu, pihak Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri telah memainkan peranannya sebagai peneraju  perubahan perkhidmatan dengan menyediakan aplikasi untuk dilaksanakan oleh semua jabatan dan agensi kerajaan negeri.

"Mengikut Laporan Status Perkhidmatan Online oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada tahun 2013, kerajaan negeri Sabah adalah yang kedua paling banyak perkhidmatan online selepas negeri Perak. Kita ucapkan syabas dan terima kasih  kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri yang banyak menyumbang kepada kejayaan tersebut," katanya.

Bagaimanapun kata Yahya, Sabah belum boleh berpuas hati dengan pencapaian tersebut sebaliknya perlu meneliti pencapaian tahap penggunaan aplikasi itu kerana difahamkan status penggunaannya masih belum mencapai 100 peratus.

Beliau menyarankan agar semua ketua jabatan dan agensi memastikan pegawai dan kakitangan mereka menggunakan setiap aplikasi yang telah disediakan. - Bernama Wartawan Sinar Harian 24 April 2014

Penjawat Awam kaki culas

Tidak rasa terancam punca buat kerja sambil lewa

PENGANALISIS ekonomi berpendapat punca utama kakitangan awam culas ialah sistem kerja yang tidak mendesak untuk bersaing sehingga membuatkan mereka selesa dan tidak mementingkan prestasi.

Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, meskipun penjawat awam diberikan imbuhan dan bonus yang besar namun masih tidak menjamin kualiti kerja yang diberikan kepada orang ramai.

“Sewajarnya bayaran bonus diberikan berdasarkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditampilkan setiap penjawat awam.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu kaji semula kaedah mengukur kualiti pekerja. Malah jabatan itu juga wajar lebih telus dan fokus kepada kualiti kerja yang boleh diukur,” katanya.

Menurut beliau, penjawat awam yang tidak mencapai KPI yang disasarkan hanya layak menerima gaji bulanan seperti biasa tanpa bonus.

“Setiap pekerja perlu ada KPI untuk menentukan pemberian bonus dan kenaikan pangkat kena ada KPI yang jelas.

“Sekiranya gagal menampilkan kualiti dan prestasi kerja penjawat awam tidak menerima imbuhan, dengan garis panduan baru ini penjawat awam lebih peka,” katanya.

Abdul Rahim berkata, negara kita berdepan masalah keculasan penjawat awam ini kerana saiz jumlah perjawatan yang ramai.

“Situasi ini misalnya dalam satu jabatan memerlukan 10 orang kakitangan tetapi terpaksa lantik 20 orang kerana terdapat pekerja yang curi tulang.

“Perkara tidak sihat ini telah menyebabkan negara mengalami kerugian dalam bajet perbelanjaan operasi,” katanya.

Beliau berkata, negara berdepan kerugian kerana perlu lantik ramai kakitangan namun pada hakikatnya bilangan pekerja yang besar itu bertindih buat benda sama sebab dalam jumlah tersebut terdapat yang curi tulang.

“Sebelum ini pembayaran bonus kepada semua penjawat awam semua membuatkan mereka berasa selesa walaupun tidak menunjukkan prestasi kerja memberangsangkan.

“Pemberian bonus pada masa depan tidak boleh bayar satu bulan untuk semua. Berlaku pembaziran kerana penjawat awam yang cekap dan juga tidak cekap menerima insentif yang sama,” katanya. Wartawan Sinar Harian Rencana 16 Feb 2015


Gaji rendah faktor culas

TEKANAN
perasaan akibat menerima gaji tidak setimpal menjadi salah satu punca kakitangan awam culas dan penyampaian tidak berkesan.


Kakitangan awam berpangkat rendah antara yang kerap tidak bekerja dengan komited kerana hilang semangat akibat menerima gaji sedikit. (Gambar hiasan)


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, perkara itu kerap terjadi di kalangan kakitangan awam berpangkat rendah.

“Kos sara hidup semakin meningkat, tangga kenaikan gaji pula sepatutnya disemak setiap tiga tahun. Tetapi apa yang berlaku kini, semakan kenaikan gaji setiap sepuluh tahun pun tidak dibuat. Jika gaji mereka rendah, mereka akan mengalami tekanan perasan hingga tiada semangat mahu bekerja dengan komited.

“Kadang-kala mereka terpaksa bekerja lebih masa dan dan ada yang bekerja secara sambilan atau membuat kerja lain untuk menambah pendapatan, jadi kualiti di tempat kerja sendiri merosot,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kadar kakitangan awam yang bersikap negatif seperti itu tidak terlalu ramai dan hanya dengan jumlah yang minimum.

“Kira-kira 3,000 sahaja dalam data yang Cuepacs ada atau 0.001 peratus yang menyumbang kepada masalah itu, berbanding jumlah kakitangan awam secara keseluruhan berjumlah 1.25 juta di seluruh Malaysia,” katanya.

Katanya, sebagai kakitangan awam, sukar untuk sesebuah institusi kerajaan itu membuang atau memberhentikan kakitangannya sewenang-wenangnya.

“Jika ada yang culas pun, agak sukar untuk kita kenal pasti dan jika berkaitan dengan kakitangan yang selalu berhubung atau berdepan dengan orang awam, agak terkesanlah kerana sukar untuk berurusan pula nanti.

“Untuk itu, dasar tersebut akan dikaji semula oleh kerajaan dan bagaimana untuk menentukan sesuatu hukuman jika berdepan dengan kakitangan awam bermasalah ini.

“Mungkin jika mereka bersara lebih awal boleh jadi salah satu cara untuk tangani masalah, tetapi memang agak sukar. Namun tidak perlu dirisaukan sangat kerana bilangan yang bermasalah memang sangat kecil,” katanya.


Penjawat awam culas kena terjah

KERAJAAN Selangor serius mengekang budaya culas penjawat awam yang sering melepak pada waktu kerja tanpa perasaan bersalah.
Unit Integriti SUK bertindak tegas meminta penjawat awam yang keluar ketika waktu kerja menulis nama untuk dihantar kepada ketua jabatan masing-masing.


Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, budaya curi tulang di kalangan penjawat awam ini bukanlah fenomena baharu. Walaupun pelbagai teguran dan amaran dikeluarkan, namun ia masih tidak meninggalkan kesan.

“Kerajaan telah berikan waktu kerja anjal kepada mereka iaitu masa masuk, rehat, makan tengah hari namun penjawat masih keluar melepak di kafe dan berpelesiran di luar bangunan.
“Budaya negatif ini perlu diubah segera, sekiranya terus dibiarkan negeri dan negara berdepan pembaziran tenaga kerja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jumaat lalu, Mohammed Khusrin bertindak menjalankan lawatan mengejut (spot check) di Kafe Dewan Jubli Perak dan gerai-gerai kecil di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dan mendapati masih ramai penjawat awam bersarapan dan membeli-belah pada waktu kerja.

“Peringkat awal kita keluarkan notis amaran, kali kedua hantar nama kepada ketua jabatan untuk tindakan lanjut.

“Unit Integriti SUK Selangor akan memantau aktiviti ini dari semasa ke semasa dan tindakan tatatertib akan diambil. Diharapkan semua penjawat awam dapat mengubah budaya ini demi nama baik perkhidmatan awam,” katanya.

Mohammed Khusrin menegaskan terjahan ini bukan hanya dijalankan di Bangunan SUK malah unit integriti ini juga bergerak ke daerah seluruh negeri.

“Terjahan mengekang budaya mengular di kalangan penjawat awam ini bukan main-main.

“Kerajaan negeri serius mengubah budaya kerja tidak sihat seumpama ini di Selangor,” katanya.

Tambah beliau, tindakannya memuat naik gambar lawatan mengejut berkenaan di laman sosial Facebook bukan bertujuan menjatuhkan maruah penjawat awam, sebaliknya sebagai kesedaran agar mereka tidak mengulangi perbuatan itu serta teladan untuk kakitangan lain.

Sampai bila nak curi tulang?

SIKAP segelintir kakitangan awam curi tulang waktu bekerja ibarat kudis lama yang masih tidak pulih dalam sektor perkhidmatan awam.

Melihat kelibat mereka menghisap rokok selepas sarapan, walaupun jam menunjukkan 10.30 pagi di gerai-gerai bukanlah perkara asing.

Malah ada yang sanggup ke luar kawasan, semata-mata mahu menikmati makanan kegemaran mereka tanpa menghiraukan waktu bekerja.

Ada juga yang mengambil kesempatan berniaga dalam pejabat, melakukan urusan peribadi, urusan ke bank, mengambil dan menghantar anak ke sekolah dan pelbagai lagi kegiatan yang sinonim dengan budaya kerja segelintir penjawat awam.

Ini belum dikira dengan kedatangan lewat tetapi menuntut kerja lebih masa apabila pulang lambat.

Baru-baru ini juga, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi turut menegur penjawat awam di Selangor yang culas dan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Namun, kebanyakan mereka terus berasa selesa dengan pelbagai imbuhan tetapi mutu kerja yang diberi tidak setimpal.

Disebabkan segelintir perangai jelik penjawat awam ini, masyarakat terus memandang serong terhadap sektor awam walaupun yang melakukan perkara itu bukanlah semua.

Ikuti kupasan Sinar Harian dalam isu membabitkan segelintir kakitangan awam yang dilihat seolah-olah makan gaji buta dan tidak komited dalam menjalankan tanggungjawab hakiki mereka.

Kalaulah pelakunya Muslim ...

Pembunuhan tiga pelajar Islam yang ditembak di kepala di sebuah apartmen di Chapel Hill berdekatan dengan Universiti North Carolina di Amerika Syarikat (AS), Selasa lalu tidak begitu mendapat perhatian media AS, termasuk Washington Post atau New York Times, apatah lagi media berpengaruh di dunia seperti CNN.

Pendekatan laporan mereka juga bukan bertaraf 'breaking news,' sekadar melaporkan berita pendek pembunuhan itu dilakukan seorang lelaki ateis tanpa mengaitkannya langsung dengan politik, rasisme atau agama dianuti penyerang terbabit, Craig Stephen Hicks yang berumur 46 tahun. Seboleh-bolehnya mereka mahu menekankan pembunuhan itu tiada kaitan dengan Islamofobia, sama seperti kes pembunuhan lain yang membabitkan orang Kristian dan Yahudi.

Media arus perdana AS anti-Islam

Adakah situasi ini sama jika pelakunya orang Islam dan yang terbunuh pula penduduk Kristian atau Yahudi? Inilah persoalan yang berlaku ketika ini di AS. Ribuan pengguna Twitter mempersoalkan 'kebebasan media' dan keadilan sosial yang dicanangkan di Barat yang membabitkan orang Islam. "Anda tidak akan menyaksikan berita ini kerana yang dibunuh Muslim," tulis seorang pengguna Twitter, yang mengulang tweet lebih 1,400 kali. "Apakah keimanan mereka melatari keputusan tidak menyiarkan peristiwa ini. Jika pembunuhnya Muslim dan korbannya Kristian atau Yahudi, seluruh media arus perdana akan mengorek sedalam-dalamnya dan bebas memaki-hamun Islam dan seluruh Muslim di dunia," tulis pengguna Twitter lainnya.

Walau apa alasan diberikan, pihak berkuasa di negara Uncle Sam itu, keadilan perlu ditegakkan, apatah lagi negara itu sudah memberi jaminan akan mengenakan hukuman yang berat ke atas mana-mana individu yang terbabit dengan jenayah kebencian. Perlu diakui, media Barat turut menyumbang kepada peningkatan jenayah kebencian ini apabila menyiarkan laporan yang suka berspekulasi dan melabel dengan pelbagai kejahatan kepada individu atau pertubuhan Muslim, sekali gus meningkatkan lagi Islamofobia di seluruh dunia. Tidak boleh ditolak kemungkinan sentimen dan kejahatan anti-Muslim yang sebahagiannya didorong oleh satu sisi sempit, sensasi, dan kefanatikan media Barat dalam menggambarkan Islam dan Muslim.

Liputan berita tak adil

Ramai ilmuwan, antaranya Edward Said, Elizabeth Poole, Kai Hafez, Milly Williamson, Karim Karim, Teun Van Dijk, Kimberly Powell dan Dina Ibrahim yang membuat penyelidikan akademik mengenai liputan media Barat ke atas Islam dan Muslim, mendapati umat Islam sering digambarkan dengan ciri-ciri kekerasan, kuno, fundamentalis dan mengancam peradaban Barat. Liputan berita media Barat juga jarang menyoroti Islam kecuali kaitannya dengan kekejaman dan Islam jarang disebutkan dalam konteks berita yang positif atau baik. Malah, liputan mengenai konflik kekerasan global atau bersifat serantau juga tidak adil. Ketika orang Kristian, Yahudi dan agama lain dibunuh oleh Muslim, Islam dikaitkan sebagai pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan secara langsung. Namun, ketika umat Islam dibunuh oleh orang Yahudi, Kristian dan bukan Islam lain, identiti keagamaan pelaku kekerasan yang menyerang Islam cenderung dianggap sebagai hal yang remeh, diabaikan dan tidak diberikan perhatian langsung.

Azhar Abu Samah Berita Harian Kolumnis 16 Feb 2015

Sup kambing punca ustaz dikejar anjing

Dikejar anjing ketika dalam perjalanan pulang dari kedai makan Muslim bangsa Tartar di Kiev, Ukraine kerana membawa bungkusan sup kambing untuk juadah berbuka adalah antara kenangan yang tidak dapat dilupakan bekas imam Masjid Negara, Ustaz Azhar Tuarno, 43.


Beliau yang kini Pegawai Agama Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah antara kumpulan pertama 10 pegawai agama yang diarahkan ke Ukraine bagi menguruskan jenazah penumpang Islam dalam penerbangan MH17 yang terkorban ditembak pemberontak Julai tahun lalu.

Walaupun hanya berada kira-kira 10 hari di bumi Kiev dan tidak dapat membantu menguruskan jenazah kerana kemalangan berlaku di zon perang, beliau menyifatkan pengalaman itu terlalu berharga dan tidak ternilai.

Mengimbas kembali peristiwa itu, beliau hanya diberikan masa kira-kira dua jam untuk bersiap termasuk menyediakan kain kafan.

"Saya cuma dihubungi untuk mengetahui sama ada mempunyai pasport atau sebaliknya dan diminta bersiap sedia. Ingatkan perlu 'standby' dua tiga hari lagi, rupanya hanya dua jam saja notis. Selepas solat Jumaat saya diminta berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5 petang dan diminta membawa kain kafan bersama.

Rakan membantu

"Saya bernasib baik kain kafan di Masjid Negara banyak dan rakan sepejabat membantu membungkus dengan rapi peralatan pengurusan jenazah. Saya pula terpaksa ke pejabat menyelesaikan urusan pejabat dan isteri pula ketika itu sedang berkursus. Berkali-kali menghubungi beliau tetapi gagal. Saya hanya ada setengah jam untuk membuat persediaan di rumah. Baju hanya dicampak dalam beg dan terus bergegas ke KLIA," katanya.

Rombongannya tiba di Kiev jam 4 pagi waktu tempatan dan cuaca sudah terang kerana ketika itu musim panas yang siangnya lebih panjang berbanding malam.

"Urusan imigresen, mengambil masa enam jam kerana pihak berkuasa mahu menterjemah nama kami ke dalam tulisan Ukraine berikutan kami tidak mempunyai visa. Setiba di hotel, kami terus menjadikan lobi tingkat tiga sebagai surau kerana anggota rombongan kira-kira 100 orang.

"Ketika itu bulan Ramadan, juadah pertama kami berbuka lebih 20 jam puasa adalah pelbagai jenis roti. Rasa mahu menangis ketika itu. Apabila masuk dewan makan untuk bersahur kami turut dihidangkan dengan roti sandwich dan dadih ," katanya.

Azhar berkata selepas beberapa hari berbuka dan bersahur dengan roti, mereka mengambil keputusan mencari kedai Muslim dengan dibantu seorang doktor ahli kumpulan yang tahu berbahasa Russia. Di kedai Muslim bangsa Tartar, masing-masing membungkus sup kambing untuk juadah berbuka dan membawa pulang ke hotel menaiki kereta api bawah tanah.

Bau sup kambing

"Dalam perjalanan, kami dikejar anjing yang ketika itu sedang menggonggong roti. Mungkin ia terbau sup kambing itu. Apa lagi, kami pun lari lintang pukang dan seorang daripada kami menyergah anjing itu dan ia lari.

"Sampai di hotel masuk waktu berbuka jam 9 malam, setiap kami membuka sup kambing, sekali lagi rasa mahu menangis kerana bukannya sup kambing tetapi kambing rebus," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, katanya, berada di negara yang siangnya terlalu panjang ketika Ramadan benar-benar membuka matanya terhadap pesanan Rasulullah supaya menghidupkan malam Ramadan kerana ia benar benar berlaku.

Ini kerana, katanya, bukan hanya solat terawih berjemaah yang lazimnya habis jam 12.30 tengah malam, mereka juga berpeluang membuat amalan sunat lain sementara menunggu waktu Subuh yang masuk jam 2 pagi.

Berada di Kiev juga memberi peluang kepada kumpulannya untuk bertemu dengan Timbalan Mufti Ukraine di Masjid Besar Kiev bagi urusan persediaan jika jenazah tiba di bandar itu.

Selepas beberapa hari berada di Kiev, enam daripada mereka terpaksa ke Amsterdam, Belanda kerana jenazah dibawa keluar dari kawasan zon perang oleh pihak Belanda. Bagaimanapun, Azhar masih berada di Kiev kerana masih ramai lagi anggota pasukan keselamatan negara berada di negara itu.

Berkongsi pengalaman

"Walaupun tidak dapat bersama-sama menguruskan jenazah rakyat Malaysia, tetapi banyak pengalaman yang diperoleh termasuk berkongsi maklumat serta pengalaman dengan pihak pengurusan Masjid Besar Kiev yang turut berpegang kepada mazhab Shafie, selain mengendalikan ibadat lain termasuk solat berjemaah dan terawih, " katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya bertugas sebagai imam dan Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber di Masjid Negara, katanya sepanjang 10 tahun berkhidmat sebagai imam, beliau tidak pernah beraya bersama keluarganya di Banting pada pagi raya kerana bertugas mengimamkan solat raya.

"Ketika mula berkhidmat sebagai imam, Imam Besar Masjid Negara (Datuk Kamaruddin Zakaria) bertanyakan sama ada saya boleh jika tidak balik beraya. Jika boleh, saya boleh berkhidmat di masjid itu. Ibu dan ayah faham tugas serta tanggungjawab ini. Selalunya sebelum hari raya saya dan isteri (Fuziansy Tambi) akan pulang ke kampung saya menemui orang tua," katanya yang juga pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Pendidikan Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bertugas di Masjid Negara, beliau yang turut memiliki Sijil Pengurusan Pelancongan dari Bahrain turut berpeluang mengiringi pemimpin besar dunia mengadakan lawatan di masjid itu termasuk Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat, Susan Rice.

Diuji kehilangan ibu tersayang

Tahun 2012 benar-benar mengujinya kerana kehilangan ibu tersayang, Zainab Sanip ketika beliau menunaikan haji.

Katanya, sebelum ke Makkah, beliau tidur di hospital menemani arwah ibu selama dua bulan bergilir-gilir dengan adik beradik lain.

"Tahun yang sama saya mendapat jemputan menunaikan haji bersama kumpulan imam lain. Saya sudah daftar haji mahu pergi bersama isteri. Beberapa kali membuat rayuan akhirnya isteri dapat juga mengerjakan haji tahun sama dengan pakej tetapi pemergian serta penginapan yang berbeza. Isteri saya pergi bersama sepupu perempuan.

"Kami hanya berjumpa di masjid kerana saya tinggal di kawasan pejabat Tabung Haji di Janadariah dan isteri menginap di hotel kawasan Ajyad. Sehari sebelum wukuf kami berjanji untuk bertemu bagi membeli sedikit persiapan untuk ke Arafah. Pada masa itu, kami mendapat berita kematian ibu," katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Malaya.