February 20th, 2015

Nilai sumbangan penjawat awam secara adil

ISU beberapa orang penjawat awam yang dikatakan ditangkap minum pagi dan membeli belah di waktu bekerja di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam, Selangor baru-baru ini terus menjadi viral dan diperdebatkan terutamanya dalam media sosial.

Ramai yang marah, meluahkan rasa tidak berpuas hati dan mengecam tindakan penjawat awam ter­babit yang dikategorikan culas ataupun ponteng ketika waktu bekerja.

Penulis boleh memahami kemarahan orang awam terhadap tingkah laku penjawat awam se­perti ini. Khalayak bimbang tingkah laku sebegini boleh menjejaskan imej dan kredibiliti perkhidmat­an awam sekaligus menjejaskan perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan kerajaan.

Rentetan daripada pendedahan ini masyarakat mula melemparkan pelbagai tuduhan terhadap penjawat awam secara membuta tuli yang sekaligus seolah-olah mempertikaikan segala sumbangan penjawat awam selama ini kepada masyarakat dan juga negara.

Penulis tidak berniat untuk membela mahupun mempertahankan penjawat awam yang melakukan kesalahan terutamanya yang membeli belah di waktu bekerja. Salah tetap salah dan perbuatan itu tidak wajar dilakukan. Perkara tersebut cukup jelas dan sememangnya tiada kompromi.

Namun masyarakat sewajarnya membuat pertimbangan yang lebih adil dan jangan terus menjatuhkan hukuman terhadap seluruh penjawat awam dan juga perkhidmatan awam di negara ini hanya kerana kejadian seperti ini.

Memang betul isu penjawat awam culas ataupun tiada di pejabat ketika waktu bekerja bukanlah satu isu baru di negara kita. Sudah banyak kali isu seperti ini didedahkan dan diperdebatkan baik dalam media sosial mahupun media cetak.

Dan jangan lupa ramai juga penjawat awam yang diambil pelbagai tindakan tatatertib termasuk gantung tugas, tahan gaji malah ramai juga dibuang kerja. Itu membuktikan sektor awam tidak pernah berkompromi dalam soal integriti penjawat awam.

Realitinya perkhidmatan awam telah dan sedang melalui proses transformasi yang menyeluruh dan banyak penambahbaikan dilakukan sejak kebelakangan ini demi meningkatkan nama dan imej serta peranan penjawat awam dan juga perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Janganlah asyik mencari ke­sa­lah­­an saja. Sesekali elok melihat dari sisi yang lebih positif terutama­nya sumbangan proaktif penjawat awam terhadap pembangunan dan kemajuan negara.

Membeli-belah mahupun me­lakukan urusan peribadi teruta­manya tanpa kebenaran di waktu bekerja memang tidak boleh dimaafkan. Kita harap pihak ber­kuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menangani individu seperti ini.

Namun jauh di sudut hati penulis terdetik pertanyaan apa salah­nya penjawat awam meluangkan sedikit masa untuk makan dan minum pada waktu bekerja?

Penulis agak pelik apabila ramai yang mempersoalkan tindakan penjawat awam minum pagi. Apakah penjawat awam tidak akan lapar dan langsung tidak boleh makan dan minum? Penjawat awam juga manusia biasa. Penjawat awam bukan robot ataupun mesin yang boleh bertugas tanpa henti, tanpa makan dan minum sepanjang masa.

Penulis setuju andai isu masa yang diambil untuk makan dan minum yang terlalu lama menjadi pertikaian kerana sebagai penjawat awam kita perlu segera kembali ke pejabat untuk berurusan dengan pelanggan.

Namun penulis tidak setuju andai penjawat awam seolah-olah dilabel sebagai melakukan dosa besar hanya kerana berehat sebentar untuk minum mahupun makan. Dan apakah kita lupa kebiasaannya petugas akan keluar untuk makan dan minum secara bergilir tanpa menjejaskan operasi dan perkhidmatan jabatan.

Namun sekali lagi penulis tidak menafikan mungkin masih ada segelintir yang sememangnya malas, culas dan suka membuang masa dengan lepak terlalu lama di kedai kopi pada waktu bekerja. Tetapi percayalah kumpulan ini tidak ramai. Majoriti masih cukup berintegriti dan tidak culas mahupun mengambil kesempatan.

Ringkasnya pada pandangan penulis tidak salah penjawat awam pergi minum namun perlu pastikan kerjanya tetap selesai mengikut tempoh masa serta tidak menjejaskan operasi pejabat dan perkhidmatan kepada pelanggan di mana sistem penggiliran bertugas boleh dipraktikkan dengan lebih efektif.

Masyarakat juga perlu sedar bahawa zaman sudah berubah. Perkhidmatan awam pada hari ini telah melalui pelbagai proses transformasi. Misalnya kebanyakan daripada perkhidmatan kerajaan sekarang boleh dilakukan di atas talian tanpa perlu pelanggan datang dan menunggu lama di pejabat kerajaan.

Malah sudah ada penjawat awam yang dibenarkan bekerja dari rumah. Maka mentaliti orang ramai juga perlu berubah dan lebih terbuka. Pokok pangkalnya pada hari ini apa yang diutamakan ialah adakah seseorang pekerja itu mampu mencapai sasaran kerja dan melaksanakan tugas yang diamanahkan mengikut tempoh masa yang ditetatpkan.

Maka dalam konteks ini masyarakat sekali lagi perlu melihat hasil kerja dan output yang dihasilkan oleh penjawat awam tersebut dan bukannya masih berfikiran kolot dengan bercakap tentang waktu kerja 8 pagi hingga 5 petang semata-mata.

Masyarakat juga perlu sedar betapa pada hari ini setiap jabatan kerajaan telah ditetapkan KPI masing-masing yang cukup tinggi dan setiap individu penjawat awam diukur prestasi kerjanya berdasarkan pencapaian KPI terbabit di mana kegagalan mencapainya boleh menjejaskan peluang kenaikan gaji mahupun pangkat seseorang penjawat awam terbabit.

Hakikatnya penjawat awam secara keseluruhannya adalah nadi dan tulang belakang kerajaan. Segala dasar yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan untuk kepentingan rakyat telah dan sedang dilaksanakan dengan penuh teliti oleh penjawat awam.

Buktinya perkhidmatan awam pada hari ini jauh lebih efisien, efektif dan mesra pelanggan berbanding tahun 70-an dan 80-an.

Ironinya kebanyakan daripada kita hanya melihat sisi negatif para penjawat awam terutamanya apabila didedahkan kejadian seperti ini dan lantas mengeluarkan pelbagai tuduhan, kejian dan menuduh tidak berintegriti serta buang masa di waktu bekerja.

Tetapi hakikatnya kebanyakan daripada kelompok masyarakat ini tidak sedar betapa masih ramai penjawat awam sanggup berkorban masa yang lebih panjang sehingga lewat malam dan juga hujung minggu iaitu di luar waktu pejabat tanpa mengharapkan bentuk habuan mahupun pujian hanya kerana memenuhi tuntutan tugas demi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Ada juga yang terpaksa mengeluarkan duit sendiri dalam melaksanakan tugas dan ada juga yang terpaksa meninggalkan anak dan isteri terutamanya pada hujung minggu hanya untuk memenuhi tuntutan tugas yang diamanahkan. Jadi janganlah hanya kerana beberapa orang kita terus melabel keseluruh­an penjawat awam sebagai tidak berintegriti mahupun tidak bertanggungjawab.

Penulis cukup sedih apabila masyarakat masih berfikiran se­perti ini di mana hanya melihat dan menilai tingkah laku penjawat awa, dari pukul 8 pagi hingga 5 petang semata-mata tetapi gagal untuk melihat secara adil sumbangan mereka selepas pukul 5 petang hingga ke lewat malam dan juga hujung minggu ketika orang lain sedang bercuti dan dapat meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

Malah jangan lupa majoriti sukarelawan pasca banjir baru-baru ini adalah terdiri daripada golongan penjawat awam yang sanggup pergi ke seluruh negara dan berkampung untuk beberapa hari membantu mangsa banjir tanpa mengharapkan balasan mahupun habuan. - Noor Mohamad Shakil Hameed  ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia Utusan Malaysia Rencana 20 Februari 2015 12:34 AM

Generasi muda sumber kekuatan ummah

Generasi muda adalah kelompok besar dalam masyarakat. Di negara di sebelah Timur, belia adalah 70 peratus daripada jumlah penduduk sementara di negara Barat jumlah generasi muda hanyalah 30 peratus.

Berdasarkan aspek itu, generasi muda di sebelah timur mempunyai peluang membina tamadun dalam abad akan datang kerana kita mempunyai sumber tenaga manusia yang lebih besar. Namun, generasi muda Barat yang hanya 30 peratus itu mempunyai kesungguhan dan kemampuan lebih besar.

Kemajuan, kehancuran sesebuah bangsa

Kita perlu sedar generasi muda mempunyai banyak kelebihan untuk digerakkan bagi membina umat dan negara. Masa depan sesuatu umat bergantung kepada generasi mudanya. Pakar psikologi meramalkan kemajuan dan kehancuran sesebuah bangsa dapat dilihat melalui generasi mudanya.

Pakar sosiologi telah melakukan penyelidikan di universiti serta pusat pengajian tinggi berkaitan kecenderungan, minat dan tujuan hidup generasi muda. Hasil kajian itu dibentangkan serta dibincangkan.

Sebenarnya kajian pakar sosiologi ini telah dilakukan sejak 1,400 tahun lalu di Sepanyol (Andalusia) yang berada dalam pemerintahan Islam selama 800 tahun dan kemudian jatuh ke tangan Portugal.

Tentera Portugal tidak terus menyerang Andalusia sebelum mengetahui apakah kelemahan rakyatnya. Portugal telah menghantar pengintip ke Andalusia untuk mengawasi pergerakan dan kegiatan generasi muda, kemudian hasil pemerhatian serta penyelidikan dihantar ke Portugal untuk dianalisis.

Pengintip atau perisik Portugal mendapati pada satu peringkat, generasi muda Andalusia sibuk dengan ilmu pengetahuan dan pengajian. Mereka dapati belia saling berlawanan siapakah yang lebih hebat menghafaz hadis dan ilmu agama.

Meneliti kepada keadaan itu, perisik Portugal tidak menyerang Andalusia, tetapi beberapa tahun kemudian, mereka kembali dan mendapati generasi muda di sana sibuk dengan kesusasteraan. Kemudian didapati generasi muda Andalusia tidak memanfaatkan masa lapang mereka dengan kegiatan tidak berfaedah dan tidak lagi cintakan ilmu.

Mereka telah bertemu dengan generasi muda yang lemah. Berdasarkan keadaan itu perisik Portugal berasakan itulah masa yang tepat untuk menyerang Andalusia. Akhirnya, Andalus yang dikuasai pemerintahan Islam selama 800 tahun jatuh ke tangan Portugal dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Ternyata faktor generasi muda menjadi salah satu punca kekalahan itu dan ia menepati firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan kepada orang Yahudi, Kami haramkan apa yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu; dan tiadalah Kami menganiaya mereka (dengan pengharaman itu), tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." (Surah an-Nahl, ayat 118)

Generasi muda jadi sasaran

Jelaslah kepada kita mengapa generasi muda menjadi sasaran. Oleh itu, sesuatu tindakan perlu dilakukan untuk menyelamatkan generasi muda.

Sesungguhnya kita telah banyak mengalami kerugian dan kehilangan dalam kehidupan ini. Namun segala kerugian dan kehilangan itu bukanlah disebabkan oleh generasi muda semata-mata, tetapi banyak faktor lain yang turut menyumbang.

Selain itu kita juga perlu mengakui banyak lagi nilai positif yang ada pada generasi muda yang boleh dimanfaatkan. Justeru, tenaga serta jumlah mereka yang ramai boleh dijadikan sumber kekuatan kepada ummah untuk lebih membangun.

Pada masa sama, kita perlu memastikan generasi muda tidak leka dan terpengaruh dengan anasir yang melalaikan mereka daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai kumpulan yang memiliki kemampuan memajukan bangsa serta negara.

Tidak dinafikan banyak kaedah digunakan untuk menjadikan generasi muda tersasar daripada landasan sebenar. Pihak berkaitan perlu memainkan peranan proaktif dengan memberi kesedaran terhadap ancaman perlu dielakkan supaya tidak terjebak dalam kegiatan negatif yang hanya merugikan.

Sebaliknya, andai golongan itu diketengahkan untuk menunjukkan kemampuan masing-masing, mereka boleh menghasilkan keajaiban kerana tenaga serta pemikiran generasi muda sangat kreatif. Sewajarnya kelebihan ini dimanfaatkan untuk menghasilkan keputusan terbaik bagi ummah. Dr Burhanuddin Jalal Berita Harian Rencana 20 Feb 2015 ialah Prof Madya di Jabatan Kenegaraan Kepimpinan dan Ketamadunan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Pendapatan wakil rakyat perlu setaraf, kompetitif

Dalam sistem demokrasi berperwakilan, wakil rakyat sama ada pada peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai amanah dan tanggungjawab besar. Mereka adalah jambatan antara kerajaan dan rakyat.

Tugas utama mereka adalah berkhidmat untuk rakyat dan kerana itulah, mereka dihormati dan bergelar Yang Berhormat (YB). Dalam erti kata lain, penghormatan mereka datang bukan kerana kedudukan sebagai wakil rakyat, tetapi amanah yang dipertanggungjawabkan.

Wakil rakyat mempunyai peranan berkembar. Pertama, tanggungjawab besar mereka kepada masyarakat dan negara. Mereka mempunyai tugas memastikan kebajikan rakyat yang mereka wakili disempurnakan dengan baik. Rakyat senantiasa menjadi keutamaan mereka. Semua permasalahan sedaya mungkin disuarakan pada sidang dewan agar mendapat jalan pencerahan serta penyelesaian berkesan.

Kedua, mereka mempunyai tanggungjawab legislatif. Mereka berperanan mempengaruhi peruntukan awam, memperkenalkan undang-undang dan peraturan baharu, meminda undang-undang sedia ada agar bersifat sezaman dan memberikan pandangan, idea dan teguran yang konstuktif agar masyarakat dan negeri ini menjadi lebih baik.

Tanggungjawab sangat penting

Kedua-dua peranan ini adalah tanggungjawab sangat penting dan besar. Jika kita mengharapkan perkhidmatan luar biasa tetapi ganjarannya sekadar jumlah yang tidak berpada, maka ia adalah sangat tidak adil dan tidak munasabah.

Bagi mengiktiraf pengorbanan wakil rakyat dan menghargai sumbangan mereka kepada Johor dan rakyatnya, serta setelah mengambil kira pertumbuhan pesat ekonomi Johor serta perbandingan ganjaran di negeri lain di Malaysia serta kedudukan dan amalan di negara lain, maka Sidang Dewan Undangan Negeri Johor meluluskan usul kenaikan elaun 56 wakil rakyat daripada RM5,000 kepada RM9,000 berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Kenaikan elaun ini berasaskan kepada beberapa wajaran. Pertama, gaji dan ganjaran kepada Ahli Dewan Undangan negeri mestilah kompetitif dan sesuai dengan tanggungjawab agar mereka yang berkelayakan, berketrampilan dan berwibawa tertarik dan bersedia untuk menawarkan khidmat mereka pada bangsa dan tanah air khususnya daripada sektor swasta dan bidang profesional.

Kedua, falsafah dan semangat perkhidmatan politik, iaitu kebaktian pada khidmat awam perlu diambil kira. Maka dengan itu, kenaikan yang dicadangkan ini tidak terlalu tinggi sebaliknya sesuai dengan pendapatan golongan profesional lain di Malaysia.

Ketiga, kenaikan ini bertujuan memastikan kita bergerak ke arah sistem yang bersih dan telus tanpa disaratkan dengan manfaat sampingan tersembunyi. Dan keempat, kenaikan ini adalah selaras dengan kemajuan sosio- ekonomi Johor dan masyarakatnya.

Kerjaya sebagai ahli politik adalah satu tugas sivik. Oleh kerana orientasi siviknya, maka tidak banyak perbezaan ahli politik dengan perkhidmatan profesional sivik lain yang berpendapatan jauh lebih tinggi seperti doktor, profesor, pegawai tinggi keselamatan serta pelbagai perkhidmatan awam lain.

Nilai khidmat YB

Lebih penting, ahli politik diharapkan untuk memaparkan sikap profesionalisme yang tinggi, kepakaran, tahap intelek, dedikasi dan integriti yang sesuai dan setaraf dengan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat dan ahli legislatif. Maka, sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, amat munasabah untuk gaji ahli dewan yang mulia ini ditetapkan dengan merujuk kepada pekerjaan lain yang mempunyai tahap pendapatan yang setaraf dan kompetitif.

Johor bukan sebuah negeri besar. Namun, ekonomi kita sangat terbuka, rancak dan berdaya saing. Kita mencatat pertumbuhan antara yang paling pesat di Malaysia. Tetapi, agenda kita tidak terhenti sekadar mempunyai pertumbuhan ekonomi mengagumkan. Kita mahukan sebuah masyarakat yang mempunyai susun atur dan kawal selia lebih baik. Malah, kita ingin menjadi yang terbaik di negara ini.

Secara perbandingannya, cadangan kenaikan elaun Ahli Dewan Negeri Johor ini tidak jauh bezanya dengan Negeri Sembilan (RM8,954), Sabah (RM7,950) dan Perak (RM8,000), malah jumlahnya lebih rendah jika dibandingkan dengan Sarawak (RM15,000) serta Selangor (RM11,250).

Di luar negara pula, kita maklum bahawa Singapura membayar gaji tertinggi di dunia untuk menteri Kabinet dan Ahli Parlimennya. Di Perancis dan Jepun, gaji ahli legislatifnya ditetapkan setara dengan gaji golongan birokrat dengan pendapatan tertinggi.

Di Mexico, ahli legislatif dibayar lumayan dan mereka ditegah sama sekali untuk berniaga dan melakukan kerja lain walaupun mereka mempunyai kelayakan profesional. Malah, mereka tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan dalam parti politik mereka. Di Amerika Syarikat, Ahli Kongres tidak boleh memperoleh pendapatan luar melebihi 15 peratus daripada ganjaran sebenar mereka sebagai ahli Kongres.

Kenaikan ini pastinya tidak terlalu membebankan dan mampu dibiayai oleh kerajaan negeri. Pada tahun lalu, Johor mempunyai lebihan RM300 juta dan tahun sebelumnya sebanyak RM400 juta. Maka, sewajarnya sedikit dari pendapatan lebihan ini digunakan untuk membolehkan ahli dewan menerima ganjaran sesuai dengan pembangunan pesat Johor.

Saya berkeyakinan, kenaikan elaun wakil rakyat ini akan melonjakkan lagi pencapaian mereka, sekali gus memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat Johor. Untuk rakyat, bagi rakyat, pro-rakyat. Insya-Allah. Khaled Nordin ialah Menteri Besar Johor Darul Takzim Berita Harian Kolumnis 20 Feb 2015

Terima kasih kepada yang menyindir

SEBUT pasal sambung belajar bagi yang sudah bekerja, saya percaya ramai geleng kepala. Saya sendiri pernah begitu. Namun sedar tak sedar, sudah dua kali saya sambung belajar.

Kali pertama pada tahun 2000, tahun kelima saya jadi wartawan. Kali kedua, pertengahan 2013 yang sampai sekarang masih belum selesai. Terjebaknya saya dalam program belajar semula ini, ada kisahnya yang boleh dikira dramatiklah juga.

Saya mula bekerja sebagai wartawan tanpa ijazah pada 1994. Awal 1997, saya naik pangkat jadi pengarang di sebuah akhbar mingguan dan di bawah seliaan saya, ada beberapa wartawan berijazah. Dengan mereka, saya tidak sembunyikan cerita latar belakang akademik saya yang lebih rendah. Tujuan saya untuk mereka berasa tercabar dan berusaha menjadi wartawan yang lebih baik.

Sering saya katakan bahawa syarat jadi wartawan yang baik bukan pada ijazah. Yang penting ialah minat dan kesungguhan untuk belajar dan mencabar diri dengan keupayaan baharu sama ada dalam meningkatkan penulisan ataupun pencarian bahan. Itu lebih penting daripada teori yang diajar di bilik kuliah. Tidak. Bukanlah saya memperlekehkan mereka yang mempunyai ijazah kewartawanan, apa lagi pensyarah yang mengajar subjek itu di universiti.

Tujuan saya hanya mahu mencabar, sekalipun mempunyai ijazah, itu tidak menjadikan mereka lebih baik jika tiada semangat untuk meningkatkan keupayaan. Apa lagi jika mereka anggap sudah sampai kemuncak setelah diterima bekerja sebagai wartawan. Sering saya peringatkan bahawa satu-satunya kerjaya profesional di dunia yang ijazah bukanlah syarat utama hanyalah wartawan. Seorang pembantu perubatan (MA) yang sudah 30 tahun bekerja masih tidak layak jadi doktor jika tidak miliki ijazah perubatan.

Begitu juga yang petah berhujah, tidak mungkin dapat jadi peguam tanpa kelulusan guaman melainkan hanya loyar di kedai kopi. Namun mereka bernasib baik dapat jadi wartawan dan tulisan mereka disiarkan sedangkan di luar sana, ramai orang yang mungkin lebih pandai menulis tidak dapat peluang seperti mereka.

Lalu saya nasihatkan, setiap kali menulis, fikirlah untuk menulis dengan sehabis baik kerana jika bekerja sekadar melepas batok di tangga, malulah kepada orang yang seperti itu.

Akan tetapi lain padang, lain belalang, lain orang, lain pula fikiran. Pada satu ketika, saya mendapat tiga wartawan yang baru keluar universiti. Walaupun baru, ego mereka cukup tinggi.

Saya terangkan kepada mereka gaya penulisan yang diamalkan di akhbar kami dan ingatkan bahawa itu antara perkara yang mereka mesti patuhi. Dengan tidak disangka-sangka, seorang daripada mereka ‘mengingatkan’ saya bahawa apa yang saya beritahu itu, tidak diajar pun oleh pensyarah mereka dan mereka tidak akan ikut. Saya terkedu. Wartawan yang sudah lama bekerja dengan saya pun tidak sebiadab itu lalu saya tunjukkan arah pintu sambil berkata: “Kamu nampak pintu tu? Keluar ikut sana, dan pergilah cari pensyarah kamu. Ikutlah cara dia kerana kamu terlalu hebat untuk bekerja dengan saya.”

Pada suatu hari yang lain, telinga saya tertangkap kata-kata yang teramat menghiris hati oleh seorang wartawan berijazah. Saya tahu kata-kata itu memang ditujukan istimewa untuk saya: “Pangkat tinggi pun tak guna kalau tak ada ijazah, nanti jatuh... melepek!”

Sakitnya hati, tuhan sahaja yang tahu. Apa pun, saya kena sabar. Tak boleh ikut hati yang sakit. Jatuhlah saham kalau saya belasah perempuan. Sepanjang hari itu, kata-katanya terngiang-ngiang. Tiba-tiba akal waras saya membisik sesuatu yang sangat positif, "mengapa tak sambung belajar? Nanti tidaklah orang hina lagi.."

Akhirnya saya pun daftar untuk sambung belajar. Belajar sambil bekerja, mengejar ‘deadline', pada masa yang sama menguruskan keluarga, pastinya tidak mudah. Sesiapa yang pernah lalui pengalaman itu, belum tentu mampu untuk ceritakan semula pengalaman dengan sempurna. Saya sendiri tidak tahu bagaimana saya harungi tempoh selama empat tahun hingga akhirnya saya sah bergelar graduan pada 2004, tahun kesepuluh saya jadi wartawan.

Memanglah menarik pengalaman itu. Setiap duka, pasti ada juga yang suka. Belajar sambil bekerja bukan seperti pelajar sepenuh masa. Berbekal pengalaman, pandangan kita tentang kehidupan tidak sama dengan anak-anak muda pelajar sepenuh masa. Pensyarah sering mengingatkan bahawa kehadiran mereka di dalam kelas 'mahasitua' bukan untuk mengajar tetapi berkongsi pengalaman.

Walaupun sukar, saya tidak serik malah suka cari penyakit. Kerana dalam sakit, ada juga yang menarik. Itulah sebabnya saya sambung belajar lagi, untuk mengejar ijazah sarjana pula. Kepada si dia yang menyindir saya 15 tahun dahulu, terima kasih. Kerana andalah saya berada di sini! Muhamad Mat Yakim Sinar Harian Rencana 20 Februari 2015

Umat Islam yang terpelajar

BAHAGIAN ini membincangkan perkara berkaitan kedudukan ilmu  dari segi Islam, sumbernya, hierarkinya, jenis dan hukumnya. Ia turut membincangkan dan menjelaskan konsep 'ilmu sepadu', konsep sekularisme (duniawi) serta teori menyesatkan pemikiran terdapat dalam ilmu Barat sekular moden.

KEDUDUKAN ILMU

Islam memerintahkan umatnya untuk mencari ilmu supaya menjadi terpelajar agar boleh mengambil tempat sewajarnya sebagai hamba ALLAH SWT di muka bumi ini. Rasulullah SAW bersabda: "Mencari ilmu itu adalah wajib untuk sekalian Muslim sama ada perempuan atau lelaki."

Ilmu  sangat diutamakan umat Islam sehingga terdapat lebih kurang 800 rujukan berkaitan ilmu dalam al-Quran. Malah ayat pertama yang turun kepada Rasululah  SAW berbunyi: "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Menciptakan (Surah Al-’Alaq: 1)

Istilah 'baca' berkaitan langsung dengan cara mencari ilmu. Ia merujuk kepada buku, tulisan dan sebagainya. Ilmu yang terpenting  adalah berkaitan dengan pembangunan insan (kepada agamanya), akidahnya, Tuhannya serta memahami hukum-hakam ALLAH.

Apabila seseorang itu beriman bahawa ALLAH itu Maha Esa, dia diperintah mencari ilmu dan beramal soleh. Ilmu di sini merujuk kepada ilmu fardu ain.


SUMBER  ILMU (Epistemology of Knowledge)

Sumber ilmu Islam berbeza dari segi penekanan dan susunannya jika dibandingkan dengan sumber ilmu Barat sekular moden. Budaya Barat sekular tidak mengiktiraf adanya Tuhan, Rasul ALLAH, kitab suci ALLAH, malaikat, hari kiamat, hari pembalasan dan alam akhirat. Oleh itu sebagai perbandingan, sumber ilmu tersebut disenaraikan seperti  dalam rajah di bawah:

Barat sekular mempunyai kekurangan yang besar kerana menafikan adanya ALLAH. Barat sekular tidak berpegang kepada sebarang nilai mutlak, malah semua nilai dianggap nisbi (relatif).  Agama dianggap sebagai budaya yang dicipta manusia.

Sebenarnya bukan semua agama atau ideologi dicipta oleh manusia. Ada agama (dari langit) yang berasal daripada ALLAH yang suci daripada tambahan dan kekurangan.

(a)    Ilmu daripada wahyu:

Ilmu daripada wahyu diistilahkan sebagai ilmu 'tanzil' (ilmu yang turun daripada langit). Definisi wahyu ialah 'Kalam ALLAH yang diturunkan ke atas nabi atau rasul-Nya melalui malaikat Jibrail AS. Ia perlu disertai dengan mukjizat. Mukjizat adalah perkara yang luar biasa yang dikurniakan ALLAH kepada rasul-Nya untuk meyakinkan umat manusia risalah yang dibawa oleh mereka itu adalah daripada ALLAH.

Umpamanya antara mukjizat Nabi Musa AS ialah tongkatnya dapat menjadi ular besar menelan 'ular-ular' ahli sihir. Tokoh sihir pada masa itu mengiktiraf ular Nabi Musa adalah mukjizat, bukan sihir.

Nabi Isa AS pula boleh mencelikkan semula orang yang sudah buta dan menghidupkan orang yang sudah mati. Sedangkan pakar perubatan Mesir pada masa itu tidak mampu berbuat demikian.

Mukjizat berbeza daripada sihir atau silap mata kerana sihir adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari oleh manusia biasa. Ia boleh dipersembahkan dan ditunjukkan kepada peminat seperti mana yang dilakukan oleh David Coperfield seorang ahli sihir yang terkenal di dunia.

Tetapi wahyu yang diterima Rasulullah SAW diturunkan secara tiba-tiba dalam masa kecemasan atau keperluan, untuk menjawab soalan sahabat atau orang yang bertanya bagi tujuan menyelesaikan sesuatu masalah.

Waktu wahyu turun tidak boleh ditentukan sebelumnya tetapi ia adalah mengikut kehendak ALLAH bukan rasul-Nya. Wahyu membawa syariat, perundangan, sejarah manusia awal, berita berkenaan alam ghaib dan nilai akhlak yang mulia.

Ilmu sihir tidak membawa ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Kalau ia mempunyai manfaat hanya bersifat sementara bagi seseorang individu atau sekumpulan manusia yang bertujuan untuk menyesatkan mereka. Ilmu sihir datang daripada jin atau Iblis.

Manakala wahyu terkandung dalam buku suci seperti:
- Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud AS (David).
-Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS (Moses).
-Injil yang diturunkan kepada Nabi  Isa AS (Jesus).
-Al-Quran yang diturunkan kepada  Nabi Muhammad SAW.

Semua Nabi ALLAH menyeru kepada Tauhid iaitu ALLAH adalah tunggal, Maha Esa dan Dia adalah tempat bergantung segala sesuatu. Dia tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia. (Surah Al-Ikhlas: 1-4)

Sifat ALLAH seperti inilah yang dikatakan Tauhid yang tulen yang tidak menyerupakan ALLAH dengan makhluknya. Setiap buku suci ALLAH membenarkan Tauhid. Islam mengiktiraf kerasulan semua nabi berkenaan. Mereka dianggap mempunyai martabat yang tinggi di sisi ALLAH. Nabi SAW sebagai Rasul ALLAH yang terakhir membawa agama yang tersempurna iaitu mengandungi perundangan dan cara hidup yang tersempurna.

Bagi membuktikan kebenaran Nabi SAW sebagai Rasul yang terakhir, Baginda SAW diberi al-Quran sebagai mukjizat yang unggul. Ajaran al-Quran tidak bertentangan dengan logik malah selaras dengan fitrah, akal dan sains serta membawa nilai sejagat yang adil dan boleh diterima oleh semua bangsa di setiap zaman dan tempat. *Dr Sulaiman Noordin (B Sc (ANU), PhD (Aderd), BIS (Ummul Al-Qura Makkah Al-Mukarramah juga ahli Majlis Syura Ilmuwan Malaysia (iLMU)) Sinar Harian Rencana 20 Feb 2015