February 23rd, 2015

Polemik akta salah laku penjawat Awam

PELBAGAI pihak sudah mula berbicara mengenai keperluan diwujudkan sa­tu peruntukan berkaitan dengan salah laku pe­n­jawat awam (misconduct in public office). Di sesetengah negara ia dikenali sebagai ‘malfeasance in office’.

Yang terbaharu pandangan yang dilontarkan oleh Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai keperluan diadakan undang-undang salah laku penjawat awam. Pada pandangan penulis, ia satu langkah yang positif. Relevan de­ngan perkembangan semasa.

Penulis telah mengutarakan idea ini beberapa kali sebelum ini. Peruntukan ini perlu diwujudkan dengan segera bagi memastikan keberkesanan usaha mencegah rasuah di Malaysia dalam jangka panjang.

Jika digubal ia juga secara langsung akan membantu Kerajaan Pusat yang telah melaksanakan beberapa inisiatif penambahbaikan bagi mencegah rasuah kebelakang­an ini. Pengenalan undang-undang ini juga akan menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa. Ia akan memperlihatkan keseriusan dan komitmen kerajaan dalam menangani rasuah.

Sudah pasti apabila bercakap me­ngenai peruntukan salah laku penjawat awam tumpuan kita akan menghala ke arah model yang ­diamalkan oleh Hong Kong dan Australia.

Malaysia tidak semestinya meng­gunakan model sistem Hong Kong dan Australia bulat-bulat. Ia boleh diubahsuai mengikut acuan Malaysia dan keperluan masyarakat kita. Tetapi ironinya, Malaysia memerlukan satu undang-undang khu­sus bagi mengatasi isu salah laku penjawat awam.

Penjawat awam juga tidak perlu gerun atau takut dengan undang-undang ini jika ia diperkenalkan kelak. Undang-undang tidak bertujuan meng­aniaya mereka, sebalik­nya memandu mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan teratur.

Kita sedia maklum kekangan yang wujud dalam membawa anggota pentadbiran ke mahkamah dalam sesetengah kes di bawah undang-undang rasuah sedia ada. Contoh paling klasik adalah melibatkan masalah ketirisan dan pembaziran wang negara sebagaimana didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara. Apabila Laporan Ke­tua Audit Negara dibentangkan sesete­ngah pihak mempersoalkan prestasi pengurusan kewangan per­khid­matan awam. Pelbagai tanggapan dan tohmahan negatif dikemukakan.

Satu peruntukan baharu yang konkrit diperlukan oleh agensi pe­nguatkuasaan dan pencegahan bagi membolehkan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kita perlu serius dalam perkara dan komited membawa reformasi undang-undang yang re­levan. Kita perlu memperkasakan SPRM menerusi reformasi undang-undang.

Peruntukan baharu ini bukan sahaja akan membantu mening­katkan keberkesanan tindakan SPRM, malah Jabatan Ketua Audit Negara yang berusaha memperbaiki sistem pengurusan kewang­an agensi-agensi kerajaan. Penulis juga percaya peruntukan salah laku penjawat sudah pasti akan menyumbang ke arah membantu menyelamatkan wang negara dan mengelakkan ketirisan.

Oleh kerana syor ini telah me­nimbulkan polemik diharap semua pihak khususnya ahli-ahli politik akan menyokong saranan mewujudkan peruntukan salah laku penjawat awam.

Menurut Panel Penilaian Operasi dan dua lagi badan bebas yang memantau perjalanan SPRM - Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Lembaga Penasihat Pence­gahan Rasuah, undang-undang berkaitan salah laku perlu bagi membolehkan isu seperti ketirisan dan pembaziran dalam pengendalian kewangan agensi kerajaan diambil tindakan.

Jika mengambil kira pandangan panel itu, peruntukan ini sangat penting bagi mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang tidak berintegriti, amanah dan sambil lewa dalam menjalankan tugas. Dalam kata lain, peruntukan ini wajar disegerakan bagi membolehkan kita menangani isu-isu berkaitan secara menyeluruh.

Difahamkan polemik sekarang adalah sama ada peruntukan ini perlu ataupun sebaliknya. Kedua, jika peruntukan ini merangkumi penjawat awam, adakah ia akan turut merangkumi anggota pentad­biran kerajaan seperti menteri. Sudah pasti hukuman jika disabitkan ke­salahan juga menjadi persoalan.

Adakah peruntukan salah laku penjawat awam perlu dipertimbangkan? Jawapannya wajar. Per­tama, sesetengah kes yang melibatkan salah laku yang serius bertentangan dengan peraturan perkhidmatan sektor awam sehingga memudaratkan kepen­tingan rakyat, tidak dapat dibuktikan menerusi undang-undang berkaitan pencegahan rasuah. Oleh itu, kita perlukan undang-undang yang berbeza.

SPRM juga dari semasa ke semasa memberi nasihat yang dipanggil sebagai Laporan SPRM (LSPRM). Meskipun SPRM memberi syor dan pandangan dikenakan tin­dakan se­timpal adakalanya tindakan diambil tidak sepadan atau tidak serius jika dibandingkan dengan kesalahan atau pelanggaran yang dilakukan. Difahamkan tiada ikatan perundang­an kukuh dalam perkara ini.

Pengenalan undang-undang ini juga akan membantu mengikis persepsi bahawa setiap pelanggaran per­aturan awam berkaitan dengan rasuah. Orang ramai sendiri membuat tanggapan umum dan kadang­kala beranggapan bahawa SPRM tidak mengambil tindakan di bawah Akta SPRM. Sedangkan, tidak semua pelanggaran berakhir dengan dakwaan sebagai kes rasuah. Ke­adaan ini membawa imej negatif ke atas agensi penguat kuasa pencegahan rasuah.

Justeru, jika terdapat undang-undang yang membolehkan sesetengah kes dibawa ke mahkamah sebagai salah laku ketika menjawat kedu­dukan awam, sudah pasti ia akan memudahkan skop tindakan perundangan, dan pada masa sama meningkatkan kefahaman orang ramai termasuk anggota pentadbiran awam.

Oleh kerana peruntukan yang disyorkan ini mencetuskan ke­gusaran dalam kalangan banyak pihak, ada baiknya SPRM yang bertanggungjawab ke asas aspek urus tadbir baik, mengadakan perbincangan serius dengan semua stakeholder. Dialog yang konstruktif akan membolehkan pemahaman dan penerimaan semua pihak.

Semangat peruntukan ini jika dilaksanakan akan membawa le­bih banyak manfaat kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang. Cuma kandungan peruntukan baharu ini belum jelas. Diharap peruntukan ini akan menjadi kenya­taan dan kerajaan wajar memberi keutamaan ke atas aspek.

Akhbar Satar ialah Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Utusan Malaysia Rencana 23 Feb 2015

Wujudkah pilihan mati cara terhormat?

HARI ini di negara kita ‘Euthanasia’ atau mena­mat­kan tempoh hayat sese­orang yang mengalami penyakit yang dikatakan sukar atau tidak mungkin boleh sembuh dengan cara-cara yang sengaja (unnatural means) tidak dibolehkan oleh undang-undang.

Namun kemungkinan pesakit yang ingin mati secara bermaruah (die with dignity) dikatakan sudah ada. Dalam keadaan ini pesakit yang berkenaan boleh memberi panduan kepada doktor yang me­rawat tentang bagaimana hasrat mereka boleh ditunaikan oleh doktor tersebut.

Sebagai contoh, doktor tidak perlu menyedarkan (resuscitate) semula pesakit tersebut sekiranya mereka tidak sedar. Panduan atau arahan ini disebut sebagai “Advanced Medical Directive (AMD)” atau Arah­an/Panduan Perubatan Awal (APA).

AMD atau APA menjadi tajuk yang hangat dibincangkan rentetan peristiwa seorang pesakit, Britanny Maynard (29 tahun) dari Amerika Syarikat yang menghidap penyakit barah otak tahap 4 meninggal dunia dengan ia diberikan dos barbiturate yang mematikan oleh para doktor pada 1 November 2014. Di Oregon, negeri di mana beliau berada, Akta APA yang membolehkan hal ini berlaku.

Selain dilihat sebagai sebuah wasiat (living will) yang memberi peluang dan kebebasan kepada pesakit untuk menentukan nasib mereka, APA dikatakan dapat membantu doktor/perawat mengu­ruskan rawatan dan bantuan bagi empat jenis pesakit:

(a) mereka yang dijangka mati dalam masa terdekat (nazak)

(b) pesakit yang tiada harapan sembuh

(c) pesakit yang tidak sedar

(d) pesakit yang sedar yang tidak mahu rawatan terhadap mereka diputuskan, walaupun nantinya mereka jatuh ke dalam kategori (a), (b) dan (c).

APA dianggap penting kerana ia dapat mengelakkan keputusan yang dibuat oleh kaum keluarga berlawanan dengan kehendak pesakit itu sendiri; ia boleh mengelakkan konflik di antara sesama ahli keluarga, dapat melindungi doktor dan perawat daripada tindakan undang-undang dan ia boleh membantu pesa­kit membuat ikrar menjadi penderma organ apabila dia meninggal.

Para doktor merasakan APA tidak sama dengan Eutanasia yang seperti yang disebut, tidak dibenarkan oleh undang-undang negara. Namun ada yang berpendapat bahawa membolehkan APA wujud akan membantu mereka melaksanakan tugas menghadapi keadaan kesihatan pesakit yang rumit de­ngan lebih cekap dan mudah.

Apa pun, pandangan Islami dan keagamaan tentang hal ini diperlukan oleh doktor, pesakit dan masyarakat Islam sendiri. Amat menarik sebenarnya bagi umat Islam bahawa pandangan yang diperlukan mungkin boleh mula difikirkan jika hukum/fatwa me­ngenai Eutanasia atau mercy killing dirujuk (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-eutanasia-atau-...).

Dalam tahun 2011 Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-97 telah membuat keputusan, iaitu setelah mendengar dari pakar-pakar yang terlibat memberi penjelasan, bahawa - “… Dalam keadaan di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa jantung dan/atau otak pesakit telah berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada lagi harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, … tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan tersebut adalah dibenarkan oleh Islam kerana pesakit telah disahkan mati oleh pakar perubatan dan sebarang rawatan tidak lagi diperlukan.

Begitu juga dalam kes di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa pesakit tiada harapan untuk sembuh dan pesakit telah dibenarkan pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan (conventional treatment) diteruskan adalah dibenarkan oleh Islam ke­rana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam amalan Eutanasia yang diharamkan.”

Seterusnya, “…menghentikan hayat seseorang sebelum dia di­sahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam.”

Muzakarah memutuskan juga bahawa “perbuatan mempercepatkan kematian melalui amalan Euta­nasia (sama ada Eutanasia vo­luntary/atas kehendak sendiri, non-voluntary/yang pasif atau involuntary/yang menolak rawatan) atau ‘mercy killing’ adalah haram menurut Islam kerana ia menyamai perbuatan membunuh dan ia juga bertentangan dengan etika perubatan di Malaysia.”

Jawatankuasa Fatwa juga telah mengatakan bahawa asas kepu­tusan yang dibuat ialah “Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 92 yang bermaksud: “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja” dan Ha­dis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh an-Nasa’ie yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap reda Allah).”

Oleh itu, apabila seseorang doktor yang sebenarnya ditugaskan untuk menolong pesakit, sebaliknya membantu mempercepatkan kematian (dalam kes APA), perbuatan itu tidak boleh dianggap satu ke­baikan tetapi merupakan sesuatu yang dilarang dan mengundang dosa.

Azizan Baharuddin alah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam (IKIM) Utusan Malaysia Rencana 23 Feb 2015

Renggangnya sesama kita

PERSEKITARAN dunia kita semakin hari semakin menyaksikan masyarakat di banyak negara berkonflik sesama sendiri dengan masing-masing bermati-matian cuba menekankan bahawa mereka sahaja yang betul. Konflik berpunca daripada perbezaan dalam pelbagai aspek seperti agama, keturunan, suku kaum, mazhab, fahaman politik dan budaya.

Dunia telah dan akan terus menyaksikan konflik menye­marak menjadi pergaduhan dan peperangan dengan ratusan ribu nyawa terkorban dengan sia-sia dan ratusan ribu meninggalkan kampung halaman serta menjadi pelarian di negara lain. Mereka hidup dengan segala kerumitan dan kesusahan.

Belum lagi terlerai memori tentang konflik berdarah antara masyarakat Islam dan bukan Islam di Bosnia sehingga memisahkan wilayah-wilayah di bekas negara Yugoslavia, serta peperangan antara suku kaum di Rwanda, Afrika telah mula memuncak peperangan antara penganut-penganut mazhab-mazhab Islam di negara-negara Asia Barat seperti antara penganut-penganut Syiah dan Sunni. Dan telah semakin me­rebak konflik tersebut sehingga melibatkan campur tangan ketenteraan oleh kuasa-kuasa Barat seperti Amerika Syarikat dan negara-negara bersekutu di Eropah.

Amat sedih bagi umat Islam terutamanya apabila dalam beberapa kurun sahaja kegemilangan tamadun Islam telah mula pudar dan dicemar oleh perbalahan serta konflik yang membawa pelbagai masalah dan kelemahan serta perpecahan sesama umat Islam. Dan pihak-pihak luar telah dan pasti akan terus berfungsi sebagai ‘penyelesai’ de­ngan berusaha memusnahkan mana-mana pihak yang dianggap pencetus masalah dan yang telah jelas mengambil pendekatan ekstremis serta keganasan untuk mencapai hasrat dan matlamat mereka. Tanpa disedari orang luar telah menjadi penentu kuasa dan destini masyarakat Islam.

Sejarah mencatatkan zaman kegemilangan tamadun Islam dengan pelbagai kejayaan dalam bidang yang berbentuk saintifik yang dihasilkan oleh individu-individu terulung di zaman silam. Ilmu dan penyelidikan telah membolehkan individu-individu tersebut menjadi perintis dan membuka jalan untuk disusuli oleh pihak-pihak lain.

Peralihan masa telah menyaksikan sekarang sesetengah pihak yang bertindak atas kononnya perjuangan Islam mengheret tamadun dan imej masyarakat Islam balik ke belakang seakan-akan masih berada di zaman jahiliah.

Tidak lagi dilihat organisasi-organisasi seperti OIC berada di hadapan menangani isu-isu berkaitan pembangunan dan kemajuan negara-negara Islam. Iaitu untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Islam di dunia, melalui pendekatan-pendekatan dan strategi-strategi ekonomi.

Alaf baharu tidak membawa kemajuan-kemajuan baharu dan peningkatan ekonomi negara-negara Islam. Sebaliknya Alaf baharu menyaksikan proses hakisan tamadun Islam serta pencemaran keutuhan imej masyarakat Islam secara global.

Hari ini proses memprofail dan mengasing berasaskan agama mula berlaku. Orang beragama Islam yang tidak bersalah menjadi sasaran kebencian dan pembunuh­an. Ini kerana mereka yang mencetuskan kekejaman seperti kumpulan militan Boko Haram dan IS serta kum­pulan seperti al-Qaeda telah menggambarkan Islam dan orang Islam sebagai ekstremis yang mengambil pendekatan dan mengamalkan cara-cara keganasan tanpa perikemanusiaan.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada terpalit dan terjebak oleh kerana ada rakyat negara ini yang terpengaruh dengan apa yang diperjuangkan oleh pihak-pihak ekstremis tersebut.

Sudah pasti akan ada pihak luar yang akan sangsi atau memandang serong akan orang yang dikenali sebagai Muslim. Dan orang lelaki Muslim, contohnya mungkin akan diperiksa lebih teliti dan rapi apabila melalui tempat-tempat pemeriksaan imigresen dan sekuriti seperti di lapangan-lapangan terbang serta di sempadan antara negara-negara.

Tentu sekali menyedihkan dan mungkin menimbulkan rasa amat marah apabila kita umat Islam dianggap dan diberi layanan sedemikian. Ini semata-mata kerana perbuatan pihak-pihak tertentu dalam masyarakat Islam yang menampilkan imej buruk sebagai orang Islam.

Mengapa kita tidak bersungguh-sungguh membimbing anak-anak muda tentang asas-asas utama agama kita dan apa sebenarnya ajaran-ajaran dan tuntutan-tuntutan Islam? Dan mengingatkan kepada mereka supaya jangan terpengaruh dengan orang yang memberi interpretasi sendiri tentang ­ajaran-ajaran Islam sehingga terikut-ikut dengan apa yang jelas jauh terpesong daripada atau bertentangan dengan apa yang sebenarnya dituntut oleh Islam.

Alangkah baiknya jika kita umat Islam di mana jua khususnya di Malaysia memartabatkan Islam dan meninggikan imej masyarakat Islam dengan berusaha:-

* Menimba ilmu sebanyak yang mungkin dalam pelbagai bidang dengan memanfaatkan kemajuan-kemajuan dalam ICT serta mencapai tahap-tahap kecemerlangan yang di hormati dunia

* Menjadi perintis-perintis dalam bidang seperti sains dan teknologi serta industri dan perniagaan seperti perintis-pe­rintis Muslim di zaman kegemilangan masyarakat Islam

* Menjadi contoh-contoh terbaik pemimpin dalam apa jua bidang

* Mencerminkan warga dunia yang bukan sahaja bersikap dan mengamalkan kesederhanaan tetapi juga menolak apa-apa yang melampau dan ekstremis serta menunjuk dan menyakinkan kepada dunia bahawa kita umat Islam adalah pelopor dan penegak keamanan, perpaduan dan kestabilan.

Jangan kita biarkan kerenggangan memisahkan sesama kita. Dan jangan sekali-kali hingga sampai ke tahap retak menanti belah. Bila kita faham akan menghormati sesama sendiri maka akan lebih mudah kita menghormati pihak-pihak lain yang berbeza daripada kita.

Pihak-pihak lain pula akan benar-benar menghormati Islam dan umat Islam, kesan daripada contoh-contoh terbaik yang umat Islam tunjuk dan tampilkan.


Tan Sri Rafidah Aziz pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio. Utusan Malaysia Rencana 23 Feb 2015