February 24th, 2015

Melahirkan modal insan bernilai murni

DALAM ucapan perutusan tahun 2015, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan mengajak para pendidik dan pensyarah supaya menghayati kembali asas Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menurut beliau, ketika kita sedang berusaha keras mengejar pembangunan negara dan persediaan menghadapi persaingan di peringkat global, sistem pendidikan seharusnya dapat melahirkan modal insan yang seimbang dan holistik serta menghargai nilai-nilai murni.

“Dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika yang utuh serta sifat penyayang, adil dan saksama dalam kalangan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam sistem pendidikan kita. Saya percaya bahawa pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tanpa menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat,” tambah Muhyiddin.

Apa yang menariknya dalam ucapan itu apabila beliau menekankan dan mengajak para guru dan pensyarah supaya kembali menghayati asas Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan insan sempurna atau insan kamil.

Menurut beliau, sistem pendidikan hendaklah dilihat sentiasa berusaha ke arah memperkembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu. Matlamatnya adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani yang berteraskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab warga pendidik sama ada di sekolah atau institusi pengajian tinggi termasuk ibu bapa untuk memastikan tercapainya matlamat pendidikan paling asas, iaitu mendidik insan dengan adab dan pekerti mulia. Melaluinya diyakini akan lahir modal insan cemerlang yang berpengetahuan tinggi, berketerampilan dan memiliki nilai-nilai murni. Inilah ciri-ciri masyarakat yang perlu ada dalam sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun pelajar dan siswa hendaklah disediakan dengan keperluan persaingan global khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Selain itu penguasaan dalam bahasa Inggeris dan bahasa ketiga, kemahiran berfikir aras tinggi, menguasai kemahiran ICT, memiliki ilmu keusahawanan dan bidang-bidang kemahiran lain adalah faktor penting yang perlu dimiliki oleh mereka sebelum memasuki pasaran pekerjaan.

Namun demikian di peringkat awal ucapan, Menteri Pendidikan menyentuh tentang isu banjir, bencana luar biasa yang melanda beberapa buah negeri terutama di pantai timur. Akibatnya membawa kemusnahan besar kepada infrastruktur sekolah malah turut menjejaskan permulaan sesi persekolahan tahun 2015.

Banyak peralatan dan perabot yang musnah termasuk peralatan pejabat, makmal komputer, bilik darjah, perpustakaan dan lain-lain. Lebih menyedihkan seramai 25 nyawa telah menjadi korban termasuk dua orang guru dalam bencana itu.

Natijahnya bencana besar itu telah membuktikan kepada kita bahawa tergambar semangat yang kuat dan sikap kental para pelajar dan guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, tanpa pakaian seragam yang lengkap, perabot yang masih belum sempurna, sekolah yang masih belum bersih sepenuhnya, mereka tetap hadir ke sekolah meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Apa yang membanggakan, semangat kesukarelawan begitu jelas sekali dalam kalangan NGO, kumpulan sukarela, pasukan seragam, mahasiswa daripada universiti, politeknik, kolej komuniti dan individu tertentu membantu mangsa banjir termasuk membersihkan kawasan sekolah.

Hakikatnya, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama telah menunjukkan rasa prihatin dan kebersamaan untuk membantu mangsa banjir sama ada menerusi sumbangan tenaga mahupun wang ringgit. Inilah contoh hasil pendidikan kita yang telah berjaya menerapkan nilai-nilai murni melalui semangat setiakawan, rasa empati dan keprihatinan di kalangan mereka.

Menurutnya usaha meningkatkan kualiti pendidikan akan terus dilaksanakan. Gelombang Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan tercapai pada hujung tahun ini. Antaranya memperkasakan keupayaan guru dan pemimpin sekolah, menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dan meningkatkan kemahiran berbahasa. Di samping itu, usaha untuk memperkukuhkan nilai, adab, perpaduan nasional dan semangat patriotisme akan terus diberikan keutamaan.

Sesungguhnya bidang pendidikan adalah teras pembangunan negara. Dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang dilaksanakan nanti, Kementerian Pendidikan akan diberikan tanggungjawab untuk memastikan negara dapat ‘memanfaatkan bakat.’

Ini bertujuan melahirkan ‘modal insan minda kelas pertama’ yang mampu menggunakan ilmu pengetahuan secara proaktif, kreatif dan inovatif. Dijangkakan modal insan yang dihasilkan itu berupaya menangani persekitaran global yang sentiasa berubah, meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Untuk memenuhi tuntutan ini, kementerian akan memberi tumpuan kepada usaha bagi melahirkan modal insan yang mampu memacu Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Bagi mencapai hasrat tersebut maka aspek kualiti pelajar, tenaga pengajar, kepimpinan institusi, pengurusan kewangan, program pengajian dan pembangunan institusi akan terus diberi keutamaan melalui program dan aktiviti yang akan dilaksanakan.

Beliau turut mengingatkan para pendidik dan pensyarah bahawa tugas mereka sangat mulia. Bertugas sebagai pendidik bukan hanya sebagai satu profesion biasa, tetapi lebih kepada perjuangan untuk mendidik anak bangsa menjadi insan yang seimbang dan cemerlang. Mereka disarankan supaya tidak melupakan matlamat pendidikan yang paling asas iaitu mendidik insan dengan adap dan pekerti yang mulia.

Kepada pelajar pula beliau berpesan supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah semua peluang untuk menimba ilmu pengetahuan dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin agar menjadi insan yang berjaya.

Justeru, ibu bapa juga perlu memberi sokongan dan bekerjasama agar nilai-nilai murni dapat diterapkan dalam kalangan anak-anak mereka.

ALIMUDDIN MOHD. DOM ialah Pengerusi Yayasan Guru malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah unisza. Utusan Malaysia Rencana 24 Februari 2015 1:29 AM

123 juta remaja buta huruf

Sejak lebih lima dekad, pelbagai pihak di seluruh dunia bergabung dan berjuang bagi memastikan kanak-kanak serta remaja di seluruh dunia memperoleh pendidikan asas.

Matlamat itu sejajar usaha membantu golongan itu keluar daripada kancah buta huruf dan kemiskinan yang menjadi penyumbang utama keciciran dalam bidang pendidikan.

Berdasarkan kaji selidik dijalankan badan bebas bukan berasaskan keuntungan ‘The Global Campaign for Education’ bersama ribuan guru daripada 150 negara, mendapati 106 juta pelajar dari seluruh dunia gagal memperoleh asas pendidikan yang baik.

Angka berkenaan meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh lebih sedekad berdasarkan kaji selidik pertama yang dilakukan pada 1999.

Lebih membimbangkan lagi, badan bebas berkenaan menganggarkan 123 juta remaja berumur 15 hingga 24 tahun tidak mempunyai kemampuan membaca dan menulis dengan 61 peratus daripadanya perempuan.

“Ini satu angka menakutkan kerana peningkatannya sangat ketara dan mendadak terutama daripada keluarga miskin.

“Dunia sedang ligat berputar menuju ke arah globalisasi, tapi masih ramai lagi yang tercicir dari arus pendidikan semasa.

“Sesuatu perlu dilakukan segera bagi mengatasi masalah ini untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, sekali gus menjadikan lebih ramai kanak-kanak atau remaja teraniaya,” kata pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Teach For All, Wendy Kopp.

Kopp berkata, selain faktor kemiskinan, faktor kurangnya kesedaran ibu bapa untuk memberi galakan anak supaya ke sekolah juga menyumbang kepada keciciran pendidikan.

Menurutnya, ada ibu bapa melihat kepentingan pendidikan di tangga terakhir berbanding keperluan ‘mencari sesuap nasi’ demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Pandangan seperti ini biasa terutama di negara yang bergolak dan miskin.

“Sebahagian ibu bapa meletakkan sekolah, buku, alat tulis atau pelajaran itu di tangga paling bawah.

“Bagi mereka, sama ada mempunyai pendidikan atau tidak bukan perkara penting dalam hidup sebaliknya memenuhkan perut bagi meneruskan kehidupan lebih utama,” katanya.

Beliau berkata, isu pendidikan tidak boleh dilihat sambil lewa bagi pembangunan sesebuah negara kerana ia satu asas paling kompeten untuk meneruskan kesinambungan sesebuah negara.

“Pendidikan hak setiap orang tanpa mengira latar belakang ekonomi.

“Tiada alasan mana-mana kerajaan untuk menidakkan hak individu memperoleh pendidikan.

“Kerajaan juga perlu menyediakan kemudahan dengan menerbitkan kesedaran kepada rakyatnya memperoleh sekurang-kurangnya pendidikan asas,” katanya.

Manakala berdasarkan statistik dilakukan badan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu UNESCO’s Education for All (EFA) mendapati hampir 87 peratus kadar keciciran pendidikan berlaku di Sahara, Africa, Selatan dan Barat Asia , beberapa negara Arab dan Afrika Selatan.

EFA juga menggariskan beberapa faktor penyumbang kepada keciciran pendidikan, antaranya kemiskinan, ekonomi, kehidupan penuh konflik dan penempatan terpencil.

Manakala Belanda menduduki tempat teratas negara progresif dan aktif meningkatkan martabat pendidikan di negara miskin sementara Amerika Syarikat di kedudukan ketiga terakhir daripada 22 negara kaya di dunia.

Kajian itu melihat bagaimana negara berkenaan menunaikan janji bagi membantu negara miskin.

Perjanjian berkenaan berlangsung di Dakar, Senegal pada 2000 di bawah program EFA.

“Lebih 100 juta kanak kanak seluruh dunia tidak pernah ke sekolah manakala

150 juta tidak menghabiskan asas pendidikan disebabkan kemiskinan.

“Negara kaya memperuntukkan kira-kira RM8 bilion membantu membangunkan sistem pendidikan di negara miskin.

“Sokongan ini sedikit sebanyak membantu golongan miskin memperoleh pendidikan sempurna.

“Ini membantu mengubah persepsi mengenai keperluan pendidikan bagi memperbaiki taraf kehidupan keluarga dan generasi akan datang,” kata kajian itu. - Ruhaiza Rusmin Harian Metro Bestari 23 Feb 2015

Masalah kesuburan tak kira jantina

Pasangan suami isteri dikatakan mengalami masalah kesuburan apabila masih tidak memperoleh zuriat dalam tempoh 12 bulan melakukan hubungan kelamin tanpa perlindungan (selepas setahun berkahwin), manakala enam bulan bagi isteri berusia bawah 35 tahun.

Ketidaksuburan juga merujuk kepada wanita yang sering mengalami keguguran dan tidak dapat meneruskan kandungan hingga bayi dilahirkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persatuan Ubatan Reproduktif Amerika (ASRM) dan Kolej Perbidanan dan Ginekologi Amerika (ACOG) juga mengenal pasti ketidaksuburan sebagai satu penyakit akibat sistem pembiakan lelaki dan wanita yang tidak berfungsi dengan normal. Di­anggarkan ketidaksuburan ini berlaku kepada satu pasangan bagi setiap tujuh pasangan suami isteri.

Oleh itu, masalah terbabit adalah perkara biasa yang sering dihadapi pasangan berusia antara 20 hingga 45 tahun. Malah, peluang seseorang wanita cuba untuk mengandung tanpa rawatan sewajarnya adalah rendah.

Sebanyak 85 peratus pasangan dengan tahap kesuburan normal akan memperoleh zuriat dalam tempoh setahun mencuba (usia wanita bawah 40 tahun).

Jika mereka tidak memperoleh zuriat dalam tempoh berkenaan (tahun pertama perkahwinan), peluang mendapat anak semakin rendah setiap bulan dan semakin tipis seiring dengan peningkatan usia isteri.

Bagi mendapatkan zuriat, ovum atau telur perlu disenyawakan dengan sperma dan ovum itu dilepaskan dari ovari dalam tempoh kesuburan yang berlaku sekali dalam sebulan iaitu antara 12 hingga 16 hari dari hari terakhir datang haid jika kitaran haid wanita berkenaan normal antara 28 hingga 30 hari.

Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Pakar Kesuburan, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr P Kannappan berkata, masalah kesuburan sebenarnya berlaku tidak kira jantina kerana statistik menunjukkan faktor lelaki dan wanita menyumbang kepada masalah kesuburan adalah sama.

“Dalam kalangan pasangan yang mempunyai masalah kesuburan, anggaran 40 hingga 50 peratus kes disebabkan suami, 40 peratus lagi disebabkan isteri, manakala 10 hingga 20 peratus lagi adalah kombinasi suami dan isteri.

“Bagi wanita, ketidaksuburan disebabkan sistem peranakan bermasalah seperti ovari tidak menghasilkan ovum ketika ovulasi disebabkan pelbagai punca.

“Antara puncanya, masalah ovari seperti menopaus awal, menghidap penyakit sindrom ovari Polisistik (PCOS), sakit kronik berpanjangan seperti diabetes, kanser atau kegagalan buah pinggang, kesan sampingan ubatan seperti kemoterapi atau pengambilan dadah dan masalah genetik.

“Malah, gangguan hormon menjejaskan ovulasi seperti terlalu banyak hormon prolactine yang dihasilkan kelenjar pituitari, terlalu banyak atau terlalu sedikit hormon thyroxine yang dihasilkan kelenjar tiroid, pertambahan atau kekura­ngan berat badan juga menjejaskan pengeluaran hormon,” katanya.

Menurutnya, masalah membabitkan tiub falopia, serviks dan rahim juga menyebabkan isteri sukar hamil antaranya menghidap endometriosis iaitu ketumbuhan selaput dinding rahim (endometrium) di luar rahim, jangkitan pada rahim dan tiub Fallopio.

Selain itu, katanya, penyakit radang pelvik (PID) disebabkan kuman klamidia, komplikasi pembedahan membabitkan tiub Fallopio, serviks dan rahim serta ketumbuhan fibroid dalam rahim juga menjadi punca sukar hamil.

Bagi lelaki pula, ketidaksuburan dikaitkan dengan penghasilan sperma tidak berkualiti dari segi kuantiti, pergerakan dan bentuk. Bagaimanapun, ada segelintir lelaki dilahirkan dengan buah zakar yang tidak dapat menghasilkan sperma sama sekali atau sperma dihasilkan sangat sedikit.

Namun, banyak faktor menjejaskan penghasilan sperma dan ketidaksuburan lelaki, termasuk kesan sampingan sesetengah ubatan, pengambilan dadah, gangguan hormon, ketumbuhan pada zakar dan komplikasi pembedahan di bahagian kemaluan.

“Penghasilan sperma juga boleh terjejas akibat jangkitan pada zakar oleh kuman daripada penyakit jangkitan seks. Malah, lelaki yang akil baligh dan terkena penyakit beguk juga berisiko mandul kerana kuman penyakit itu menyerang kilang sperma sehingga tiada langsung sperma dihasilkan.

“Selain itu, lelaki yang terdedah kepada bahan radioaktif atau kimia atau haba tinggi di tempat kerja, mengalami kecederaan di bahagian kemaluan akibat kemalangan atau bersukan juga berisiko me­ngalami ketidaksuburan.

“Bagaimanapun, ada juga lelaki subur tetapi tiada ereksi ketika melakukan hubungan kelamin disebabkan masalah saraf yang mungkin tercedera atau masalah psikologi, menyebabkan sperma tidak dapat dipancut keluar,” katanya.

Dr Kannapan berkata, amalan gaya hidup tidak sihat dan pe­ngambilan makanan tidak se­imbang serta berlebihan juga me­nyumbang kepada ketidaksuburan membabitkan lelaki dan wanita.

“Berat badan juga memainkan peranan dalam tahap kesuburan seseorang apabila berat yang berlebihan mengundang pelbagai penyakit yang menjejaskan penghasilan ovum dan sperma.

“Bagi lelaki obes, tahap kesuburannya merosot akibat hormon tidak seimbang, manakala wanita obes atau terlalu kurus pula berdepan masalah gangguan hormon sehingga jarang mengovulasi atau langsung tidak mengovulasi.

“Biasanya, selepas berkahwin, kira-kira 95 peratus isteri akan bertambah berat badan sebanyak lima hingga 20 kilogram (kg), manakala 70 peratus lelaki akan bertambah berat sebanyak lima kg.

“Selain itu, tekanan perasaan akibat bebanan kerja atau masalah lain serta merokok menyumbang kepada ketidaksuburan,” katanya.

Beliau berkata, pasangan baru berkahwin dan belum mendapat zuriat walaupun mencuba dalam tempoh enam bulan atau lebih, digalakkan menemui pakar kesuburan kerana pengesanan awal mampu merancang kaedah rawatan sebagaimana wajar diberikan.

Sementara itu, Pengurus Pusat Kesuburan SunMed, Yee Siew Yin berkata, pasangan yang mengalami ketidaksuburan kini berpeluang menimang cahaya mata dan seterusnya memulakan keluarga menerusi teknologi maju yang semakin berkembang dalam rawatan kesuburan.

Rawatan bermula dengan mencari punca masalah kesuburan membabitkan penilaian terhadap suami isteri sebelum memulakan kaedah rawatan yang bersesuaian dikenali Teknik Reproduksi Dibantu (ART). Suami terlebih dulu menjalani ujian air mani bagi me­nganalisis kualiti dan kuantiti spermanya.

“Sperma berkualiti diukur dari segi bilangan, pergerakan dan bentuk. WHO menurunkan tahap normal kesuburan lelaki apabila menanda aras kira-kira 32 peratus daripada 39 juta sperma bagi setiap satu mililiter (ml) bergerak aktif, dengan empat peratus daripadanya mempunyai rupa bentuk sempurna membabitkan bahagian kepala, leher dan ekor.

“Berbanding 15 tahun lalu, lelaki dikatakan subur apabila 50 peratus daripada 40 juta sperma bagi setiap satu ml bergerak aktif, dengan 15 peratus daripadanya sempurna sifat. Sperma tidak normal apabila didapati kepala terlalu besar atau kecil atau berkepala dua, manakala leher dan ekor pula terlalu panjang atau pendek.

“Pembedahan mengeluarkan sperma dijalankan jika wujud halangan yang mencegah sperma memancut secara normal disebabkan kecederaan atau jangkitan, kecacatan kongenital apabila suami dilahirkan tanpa vas deferens iaitu tiub yang menyalurkan sperma dari zakar, vasektomi dan zakar yang menghasilkan terlalu sedikit sperma sehingga tidak mampu mencapai tiub berkenaan.

“Kaedah rawatan kesuburan lain yang popular seperti persenyawaan invitro (IVF), permanian beradas (IUI) dan merancang kehamilan menerusi waktu subur seseorang,” katanya.

Menurutnya, rawatan kesuburan juga membabitkan suntikan sperma secara intra sitoplasmik (ICSI) iaitu sperma tunggal yang sihat disuntik ke dalam ovum meng­gunakan jarum halus disebabkan sperma berkenaan mengalami

kesukaran untuk menembusi ovum atau bilangan sperma yang sangat rendah.

“Menerusi penetasan dibantu laser (LAH) yang biasanya dikenakan kepada embrio yang mencapai tahap untuk membelah sebelum dipindahkan semula ke dalam rahim, bukaan kecil dibuat di lapisan luar embrio bagi membantu embrio dipecahkan keluar untuk meneruskan proses implantasi.

“Biopsi embrio dijalankan terhadap isteri berusia lebih 35 tahun kerana pada usia itu kehamilan mereka berisiko mengalami kromosom tidak normal dan penyakit genetik. Dalam proses ini, sampel sel diambil dari embrio untuk saringan genetik.

“Selain itu, pemindahan pengkulturan blastocyst iaitu embrio yang berbelah dalam tempoh lima hingga enam hari selepas disenyawakan juga dijalankan di pusat ini dan menerusi kaedah ini doktor dapat memilih embrio berkualiti yang dapat membuatkan wanita hamil kerana tidak semua embrio mampu mencapai tahap blastocyst dalam rahim atau di makmal,” katanya.

Pusat Kesuburan SunMed juga menyediakan bank sperma dan ovum yang melakukan penyimpanan secara pembekuan bagi membolehkan benih manusia itu digunakan pada masa depan untuk tujuan persenyawaan yang tidak dapat dilakukan ketika ini atas sebab tertentu.

Penyimpanan sel ovum belum matang dibekukan juga dilakukan bagi isteri yang didiagnosis de­ngan kanser tetapi belum menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi, isteri yang mempunyai sejarah keluarga menopaus awal dan isteri yang belum mahu hamil kerana komitmen kerja.

Bijak menghadapi musim panas

PADA 18 Mei tahun lepas, Chuping, Perlis mencatat suhu tertinggi iaitu 38.9 darjah Celsius, dan tarikh itu tercacat dalam statistik hari terpanas di Malaysia. Catatan 21 Februari baru-baru ini menunjukkan Chuping masih mencatat suhu agak tinggi iaitu 35.9 darjah Celsius manakala Alor Setar, Kedah, di tempat kedua dengan catatan 34.9 darjah Celsius.

Jabatan Meteorologi meramalkan minggu ini bermula cuaca panas melampau di Malaysia dan dijangka akan berakhir pada penghujung April. Keadaan ini ada kaitan dengan fenomena Ekuinoks di mana matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa.

Seminggu dua kebelakangan ini, kebanyakan tempat dan negeri memang sentiasa panas. Panas dari pagi membawa ke petang. Pada masa ini juga, Kedah dan Perlis mengalami musim ‘timur’, iaitu musim panas berpanjangan yang biasanya bermula pertengahan Januari sehingga awal Mac.

Penduduk di kedua-dua buah negeri tersebut memang sudah biasa dengan cuaca panas. Masa inilah penduduknya bermain layang-layang di sawah, sehingga ada pertandingan wau dianjurkan di tengah-tengah panas rembang.

Pesta Angin Timur sudah menjadi acara tahunan di Perlis sejak beberapa tahun lalu. Pesta Angin Timur 2015 kali ini akan diadakan di Perlis penghujung bulan ini iaitu dari 28 Februari hingga 1 Mac. Pesta ini memang bersesuaian dengan cuaca panas, tetapi bukanlah panas melampau. Jika panas melampau memang melanda negara, penganjur mesti memikirkan pelbagai kaedah supaya pesta itu tidak memberi kesan negatif kepada peserta mahupun pengunjung.

Sesiapa yang melakukan perjalanan jauh semasa perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, mereka akan merungut tentang cuaca panas. Dari selatan tanah air sampailah ke utara, cuaca panas. Kalau ada awan mendung pun, awannya tidak menurunkan hujan.

Februari dan Mac tahun lepas, cuaca panas meninggalkan pelbagai kesan termasuklah catuan air dan kebakaran. Beberapa buah negeri mengalami catuan air manakala kebakaran hutan dan tanah terbiar berlaku di merata-rata tempat sehingga bomba tidak cukup air hendak memadamkannya.

Pada 7 Mac tahun lepas, ketika penulis ke Skudai, Johor dari Klang, banyak tempat mengalami kebakaran termasuk beberapa kawasan semak di tepi lebuh raya. Di kawasan Nilai pula, pasukan bomba berkhemah beberapa hari untuk memadamkan kebakaran memandangkan pada masa itu cuaca panas dan kering.

Selain menjaga kesihatan sepanjang musim panas yang dijangkakan ini, kita juga mesti beringat tentang bekalan air. Walaupun kita dinasihati supaya minum air lebih banyak pada musim panas seperti sekarang, tetapi perkara-perkara yang boleh membawa kepada pembaziran air mesti dielakkan.

Penyakit-penyakit berbahaya seperti denggi mesti ditingkatkan usaha pengawalan dan pemantauannya pada musim panas. Setiap anggota masyarakat mesti prihatin akan masalah ini supaya wabak ini dapat dikawal dengan baik.

Biasanya, pada musim-musim panas begini, kes-kes kebakaran semakin meningkat. Memang selalu kita tatap berita kebakaran akhir-akhir ini kesan daripada cuaca panas dan disebabkan kecuaian manusia. Kita amat berharap pemilik-pemilik tanah yang tidak diusahakan tidak membersihkan kebun mereka yang semak dengan api. Tindakan ini akan mengundang pula masalah jerebu yang melonggokkan masalah baharu seperti sakit tekak, pedih mata, batuk dan sebagainya.

Pelbagai langkah berjaga-jaga perlu dilakukan ketika musim panas. Kita dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti-aktiviti luar rumah. Aktiviti tidak perlu mestilah dihentikan supaya kita tidak terkena kesan-kesan negatif musim panas.

Ibu bapa pula mestilah memantau aktiviti anak-anak kecil mereka di luar rumah, jangan sampai ada yang berdepan dengan ‘strok haba’ ekoran cuaca panas melampau ini. M Jasni Majed Utusan Malaysia Rencana   24 Februari 2015 1:29 AM