February 28th, 2015

Raja pemegang amanah kedaulatan, maruah Melayu

Perkataan raja dan sultan masing-masing diperkenalkan melalui bahasa Sanskrit dan Arab. Istilah raja atau 'Rajah' bermakna ketua sesebuah negara-bangsa atau masyarakat yang bilangan anggotanya besar dan meliputi kawasan atau wilayah yang luas.

Ucaptama Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim di Kolokium Pemerintahan Diraja Dalam Manuskrip Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada zaman purba seorang raja itu sering dikaitkan dengan kesaktian, dewa-dewi dan berkemampuan melindungi rakyat jelata. Seseorang raja itu mempunyai keupayaan mendaulatkan negeri atau wilayah jajahannya di samping melindungi rakyatnya.

Perkataan sultan yang berpunca daripada perkataan Arab bermakna 'berkuasa atau pemegang kuasa' seperti istilah Sultanik yang bererti 'yang memegang kuasa'. Pada amnya raja atau sultan adalah individu tertinggi yang mempunyai pemerintahan berkerajaan atau pihak yang menguasai pengawalan, pentadbiran dan keutamaan sesuatu bangsa atau masyarakat.

Beroperasi mengikut fungsi

Raja dan sultan beroperasi mengikut fungsi, kuasa dan bidang tersendiri mengikut keadaan di negeri atau negara masing-masing. Raja dan negara sering dikaitkan dalam pengertian raja-negara sementara sultan dalam pengertian bahasa Inggeris menggunakan istilah sultanate atau kesultanan bagi menentukan bidang kuasa negeri atau wilayah yang disultani atau dikuasai di bawa kesultanan.

Manusia pada hari ini tidak lagi banyak mempersoalkan apa erti raja atau sultan. Namun, dalam sejarah ketamadunan Melayu kedua-dua istilah itu amat penting diketahui supaya pemahaman bangsa terhadap raja mantap dan berada dalam perspektif nyata.

Fakta pertama ialah pengertian raja atau sultan telah diambil daripada sistem budaya Indo-Dravidian dan Arab-Palava. Dua bahasa yang menjalinkan kedua-dua sektor itu ialah sanskrit dan bahasa Arab tua. Sebelum zaman Hinduisme, pemakaian istilah raja atau sultan masih belum bercambah lagi di alam Melayu.

Pengaruh tamadun India tua

Hakikat ini boleh diteliti melalui pemerhatian Prof George Coedes yang mendalami budaya dan kesan Hindusime dan Budhisme di rantau Asia Tenggara. Mengenai pengaruh tamadun India Tua, Sylvain Levi menyatakan: "India gave her mythology to her neighbours who want to teach it to her whole world. Mother of law and philosophy, she gave to three quaters of Asia of god, a religion, a doctrine, an art. She carried her sacred language, her literature, her institutions into Indonesia, to the limits of the known world, and from there the spread back to Madagascar and perhaps to the coast of Africa where the present flow of Indian immigrants seem to follow the faint traces of the past."

Boleh dikatakan hampir semua negeri dalam wilayah kepulauan Melayu atau Nusantara serta negara Arab dan Eropah mempunyai raja atau sultan pada suatu ketika dalam sejarah mereka. Mesir, Persia atau Farsi, China, Korea, India, Russia, hampir semua pada zaman sebelum League of Nations di Eropah, adalah negara diketuai sultan atau raja atau emperor.

Di Indonesia pada masa ini yang terkenal dan masih dianggap bertaraf sultan hanya Sultan Hamengkubuwono. Mujurlah, di Semenanjung dan di Brunei, kesultanan masih wujud tegap walaupun Tuanku di Malaysia, Sultan dan Raja menurut aliran Raja Berperlembagaan.

Sejarah Melayu lama

Semua pihak berkuasa diraja kita bergelar sultan kecuali Negeri Sembilan dan Perlis yang masing-masing dilembagakan sebagai Yang di-Pertuan Besar dan Raja Perlis. Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Johor semua bersultan. Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, masing-masing disendikan Yang di-Pertuan Negeri masing-masing yang lebih kurang seperti Gabenor tanpa kuasa eksekutif.

Kebangkitan manusia untuk bersama menentukan pemerintahan negeri atau negara masing-masing melalui suara rakyat bermula dengan kemerdekaan koloni Amerika (1776) dan Revolusi Perancis. Zaman Louise the XIV (1789-1799). Kedua-dua peristiwa ini mencetuskan idealisme pemerintahan mengikut suara rakyat atau idealisme demokratik. Antara 1800 hingga 1911, kebangkitan suara rakyat berterusan.

Raja ala di Russia (Nicholas II 1917), Jerman (Wilhem II - 1918), Perancis (1789), China (Maharani Dowager Tzu-Hsi, 1861-1908), Korea (Sunjong 1910) dan kuasa besar yang lain menyalurkan idea demokratik yakni suara rakyat untuk rakyat dan oleh rakyat. Sultan Mutakhir Acheh: Sultan Mohd Syah 1903; Minangkabau Sultan Tangkal Alam 1833. Melaka: Sultan Mahmud: 1511.

Hanya 45 negara yang masih mempunyai pemerintahan raja berperlembagaan termasuk Malaysia. Berasaskan Sejarah Melayu (1621) susunan Tun Sri Lanang versi Shellabear dan John Leiden, lebih kurang 25 nama raja yang dianggarkan berketurunan Maharaja Zulkarnain atau Alexander the Great (356-323 SM) dari Pella Mecodania. Dari nama Raja Kida Hindi (puterinya Shahral Bariah dengan Iskandar ZK) hingga ke Raja Aftabul ARD dan seterusnya ke Raja Culan (Shellabear sebut Shulan) dan Raja Suran, terus ke Sang Sapurba yang mengahwini Wan Sendari anak perempuan Demang Lebar Daun, pemerintah Kerajaan Melayu Palembang.

Hasil perkahwinan Nila Pahlawan dan Wan Empuk, Krishna Pandita dan Wan Malini melahirkan Awang Dara, keturunan Melayu dari Bukit Si Guntang. Perihal perkahwinan Sang Sapurba dan Wan Sendari melahirkan empat orang anak iaitu Cendana Dewi, Sang Nila Utama (Raja Bentan dan Tumasek), Sang Maniaka dan Puteri Seri Dewi. Anak angkat Sang Sapurba - Puteri Junjung Buih berkahwin dengan rombongan China di Palembang. Keturunan Melayu-Cina ini penting sebagaimana juga perkelaminan Sultan Mansur dengan Hang Lipo di Melaka. Sang Sapurba menikahkan anaknya Cendana Dewi dengan Bentara Majapahit - mewujudkan talian diplomatik utama dengan Jawa. Perihal perkahwinan Sang Nila Utama dengan Wan Seri Beni - gelaran Sri Tri Buana (kerana menguasai Palembang, Bentan dan Temasik).

Pantang derhaka kepada raja

Sumpah setia diraja antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba antaranya tidak derhaka kepada raja, tidak menghukum rakyat secara zalim dan menghina, jika menghina zalim menghina ada balasannya, pantang Melayu derhaka kecuali raja nan zalim.

Keturunan mengikut legenda Sang Sapurba, Raja Melayu yang berasal daripada darah keturunan kesultanan Melaka boleh dikatakan sebagai menyusul geneologi Sang Sapurba (yang juga menjadi Raja Minangkabau purba melalui Sungai Kuantan, panglimanya Permasku Mambang pembunuh ular naga Sikati Muno - keturunannya Sang Nila Utama memerintah Bentan dan Temasik.

Sang Sapurba dijadikan Raja Galundi Tigo Selo, Padang Panjang, Minangkabau dan Singingi. Temasik selepas Sang Nila Utama diperintah oleh Pikrama Wira. Anak Sang Nila Utama, Raja Kecik Muda jadi Bendahara. Diganti selepas 15 tahun oleh Sri Rana Wikrama (13 tahun - meliputi kisah Badang). Diganti Damiya Raja (bergelar Paduka Sri Maharaja memerintah 12 tahun enam bulan, berlaku peristiwa Singapura dilanggar todak, berkubukan betis Hang Nadim dengan cadangan kubu batang pisang, akhirnya difitnah lalu dibuang ke laut Selat Sambu dengan ikatan rantai besi). Ini kekejaman yang tercakup di bawah kontrak sosial Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba.

Singapura dilanggar todak,
Todak melanggar batang pisang,
Orang tua berperangai budak,
Seperti aur ditarik songsang.


Antara tetamu yang hadir pada majlis perasmian Seminar Institusi Raja (SIRaj) III: Pemerintahan Diraja dalam Manuskrip Melayu di DBP, kelmarin.

Pelanggaran kontrak sosial pertama

Anak Damiya Raja, Parameswara bertindak kejam terhadap anak perempuan selepas dikahwini Sang Rajuna Tapa, anak perempuannya selepas dikahwini Sang Rajuna Tapa difitnah isteri Parameswara.

Selepas dibunuh, Sang Rajuna Tapa malu dan marah, lalu bersubahat dengan Majapahit. Parameswara dikalahkan, lalu lari ke Melaka dan menjadi sultan pada 1392. Sang Rajuna Tapa dikambus kilang beras menjadi batu. Kesaktian daripada sumpah Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba terbukti.

Perjanjian atau Piagam Demang Lebar Daun masih terpakai: Melayu tak boleh derhaka atau melakukan 'treason' dalam bahasa Inggeris terhadap seseorang Raja Melayu, sama ada Raja kita berasal dari benua Keling (seperti Sapurba, Nila Pahlawan, Krishna Panditha, Madiaka atau Parameswara). Juga persumpahan Raja Melayu, tidak akan menghukum secara menghina atau mengaibkan rakyat jelata.

Sebutan raja atau kesultanan Melayu dalam Sejarah Melayu, Hikayat Raja-Raja Pasal, Kaba, Tambo atau lain-lain punca dan penulisan lama semuanya terikat oleh Piagam Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba itu. Jika dicabul atau tidak dipatuhi, sesuatu malapetaka akan muncul seperti Sultan Mahmud Mangkat Dijulang atau Pikrama di Tumasek beroleh keaiban di tangan Raja Majapahit.

Apa yang dicetuskan melalui Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba itu adalah ikatan adat yang berasal dari istilah Melayu seperti Aditiyawarman Yang Dipatuan Basa Minangkabau 1347-1375 mewujudkan batu bersurat di Suruaso Pagar Ruyong yang memberi amaran:

"Jangan sesekali menyebelahi pihak musuh yang mendurhakai Rajo Alam."

Adat tamadun Melayu

Apa yang berlaku ialah Piagam Demang Lebar Daun-Sang Sapurba itu adalah Piagam Kontrak Sosial tertua yang tersimpul dalam adato, istilah purba yang bermakna segala sesuatu dalam amalan manusia yang murni, halus dan kental yang tidak harus dicabul:

Dan jika dicabul, malapetaka besar mungkin menimpa.

Kini, adato sudah menjadi adat dalam erti falsafah dan amalan sopan-santun, keharmonian hidup sejahteran dan berpunca daripada budi iaitu satu-satunya konsep dan amalan yang berasas kepada kehidupan Melayu sejagat.

Daripada adato, raja dan barisan Sultan Melayu, banyak menganugerahkan orang berbudi kepada bangsa dan negara sebagai Dato', Datu, Datunan, Dato' Sri, sekali pun anugerah seperti Seri Negara Kartagama, Seri Mahapala dan sebagainya sudah tidak dimasyarakatkan lagi.

Kita jangan melupai asal usul Bukit Siguntang, perihal di Batang atau Sungai Kuantan, Batang Inderagiri, Sungai Kampar Kanan dan Kampar Kiri. Kita jangan lupai Sungai Malayu yang kini dinamai Batang Hari. Sebahagian besar kemelayuan kita berasal dari sana sekalipun kemelayuan kini amat subur di Semenanjung.

Tamadun Melayu melalui adat sesungguhnya menempatkan raja dan sultan pada tahap yang mulia dan dimuliakan kerana tanpa adat dan Islam darjat kesultanan dan kerajaan selama ini akan kurang kepentingan dan signifikannya.

Apabila Perjanjian Pangkor dimeterai antara Raja Abdullah dengan Inggeris pada 1874, Inggeris takut mengapakan adat Melayu dan agama Islam. Dua perkara ini diserah bulat-bulat kepada raja. Sampai hari ini, adat dan Islam tetap dalam bidang kuasa raja semua sultan dan raja Melayu.

Tiada raja, tiada kerajaan

Hinggakan ke dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan pun dimasukkan lalu diperuntukkan bahawa seseorang Melayu itu wajib mempunyai tiga syarat asas: 'beragama Islam, bertutur secara lazim dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu'.

Definisi kemelayuan ini tidak pernah diungkit orang, walaupun orang Melayu sendiri sudah tidak berapa kisah keunggulannya. Adat istiadat di situ bukan bererti 'ceremony' atau acara seronok. Perkataan adat istiadat di bawah peruntukan itu adalah adat adat dalam konteks budaya (cara hidup orang Melayu).

Bagaimana kita harus bertindak supaya kesultanan dan kerajaan di Malaysia terpelihara selepas melihat isian sejarah mengenai Raja Melayu diriwayatkan dalam begitu banyak penulisan lama Melayu? Soalan ini wajar dilihat dari dua sudut, pertama, dari sudut rakyat.

Rakyat mesti sedar tiada raja, tiada kerajaan, tiada kerajaan akan tiada pentadbiran dan pemerintahan alam Melayu mengikut tuangan bangsa Melayu yang kini sudah berkembang biak.

Untuk itu, jaminan perundangan seperti yang terkandung dalam Akta Hasutan 1948 yang menjadikan satu kesalahan jika ada kecenderungan menghasut di bawah Seksyen 3(1) akta itu.

Kita harus contohi kes dua mahasiswa Universiti Thammasat Thailand yang dihukum penjara dua tahun kerana menghina institusi beraja di Thailand.

Sudut kedua, daripada pendekatan diraja sendiri. Pihak diraja pula harus peka akan pentingnya adat atau budaya Melayu itu dilindungi, dipromosi serta dikekalkan terutama aspek meneguhkan tamadun positif melalui bahas adat budaya.

Pihak diraja harus tampak bersama mempertahankan institusi diraja melalui promosi dan dokongan seni budaya termasuk adat Melayu, lambang kemelayuan iaitu silat, keris, perlakuan gotong-royong, amalan pembahasaan serta pelbagai lingkaran adat yang selama ini sudah menunjangi kehidupan bangsa Melayu itu.

Main peranan bersama

Apabila pihak diraja tampak memainkan peranan bersama maka rakyat akan terus semarak mendokong perjuangan ini. Akan tiada makna atau kaitan lagi dengan tamadun abad pertama atau kedua Masihi di Lembah Bujang Kedah yang pada masa itu, sekali pun melalui sangkar luaran Hinduisme, Buddisme-Melayu sudah mengenal tamadun besi waja, sepuhan emas, binaan berbatu bata, urus niaga antero benua Keling dan China serta pelbagai lain.

Pada hari ini, serba serbi berkaitan Melayu sudah berada di tangga kambing, tidak di pentas utama lagi lantaran dilanggar kehidupan global. Berbalik kepada adat Melayu dan Islam, Raja Melayu jangan silu segan mempertahankan kedua-dua ini termasuk budi sebagai elemen adat kerana jika jika elemen ini lemah dan diabaikan, Melayu mungkin turut lemah dan pudar tanpa identiti.

Bersekali dengan bahasa Melayu, ayuh semua Tuanku Sultan dan Raja kita harus terus menjadi penyimpan dan penjaga amanah pusaka usang kita.

Jika digunakan istilah zaman purba, seseorang raja itu adalah wakil kepada kuasa kosmik yang amat hebat. Kegagahan, kesaktian, keilmuan, kesenian dan budaya sempurna ada pada mereka. Kini walaupun dalam pengertian dan konsep serta amalan Raja Berpelembagaan, tugasan viceroy diraja itu tidak runtuh. Melayu mesti mencari kekuatan adatonya kembali.


Tetamu yang hadir membeli buku terbitan DBP pada majlis perasmian Seminar Institusi Raja (SIRaj) III: Pemerintahan Diraja dalam Manuskrip Melayu di DBP. - Foto Asyraf Hamzah

Payung tamadun Melayu

Isu pusaka usang kita yang Inggeris RJ Wilkinson pernah berkata pada 1922, semasa berhasil menyudahkan kamusnya Malay-Inggeris Dictionary, "If not for the English Law and adminstration Adat, an Islamic law could have been the law of the land".

Raja Melayu sebagai payung tamadun Melayu, perlu mengambil daya utama dalam menjuarai kembali adat dan segala yang bersangkutan kebudayaan Melayu sebelum ia ditelan zaman. Lantaran kata pusaka yang amat tepat:

Adat dipakai ia baru, adat disimpan ia lapuk. Yang menghidupkan adat dan budaya adalah bahasa. Gabungan budi bahasa mencerminkan kehidupan bernilai tinggi yang asalnya dari istana raja Melayu.

Bahasa indah, budi pekerti mulia dan suasana berkuasa yang berhemah semuanya dari istana raja Melayu. Atas hakikat inilah, raja Melayu harus sama bersekutu memelihara budaya bangsa dan meneruskan piagam pembelaan rakyat yang dicetuskan oleh Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba di zaman purba dulu.

Wan Empuk Wan Malini,
Dari Daik ke Singgalang,
Yang buruk tinggallah di sini,
Yang baik bawalah pulang.

Renaisans Melayu perlu tindakan, bukan retorik

Isu perpaduan Melayu bukanlah sesuatu yang baharu. Ia sudah lama dibincangkan. Setiap tahun ada sahaja cadangan menyatupadukan orang Melayu, yang dikatakan mengalami masalah perpaduan disebabkan beberapa faktor.

Ada Melayu tidak bersatu disebabkan fahaman politik berbeza. Itu perkara biasa dan sudah lama dibahaskan. Ada juga disebabkan fahaman dan cara hidup berbeza. Melayu kota menuduh Melayu desa tidak mempunyai cita-cita, manakala Melayu kota pula dituduh mengejar cita-cita dan impian hingga sanggup hilang jati diri Melayu. Mungkin ini bukan isu serius, tetapi tidak boleh dipandang ringan.

Apa pun, pada 28 Februari ini di Bukit Jalil akan berlangsung Perhimpunan Perpaduan Melayu yang bakal menyaksikan lebih 20,000 NGO hadir memberikan sokongan. Perlukah perhimpunan seperti ini diadakan? Adakah perpaduan Melayu hari ini begitu rapuh sehingga perlu ada perhimpunan untuk mengingatkan orang Melayu supaya terus bersatu?

Terpulang kepada anda memberikan jawapan. Apa yang pasti bukanlah kesalahan untuk berusaha memperkasakan bangsa kita agar menjadi lebih hebat, bermaruah dan berkat.

Dua pemimpin ulung Melayu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pemimpin Melayu terkenal akan hadir pada perhimpunan itu. Idea perhimpunan untuk perpaduan bangsa Melayu dan gerakan Renaisans Melayu ini dicetuskan Datuk Seri Idris Jusoh yang yakin perpaduan bangsa Melayu akan semakin kuat jika tidak berpecah dan sentiasa bermuafakat.

Apa yang jelas, sokongan pemimpin ini membuktikan mereka begitu komited mahukan perpaduan Melayu diperkuatkan. Bagi penulis, yang lebih penting ialah perpaduan yang bakal diadakan ini sebenarnya begitu kritikal untuk generasi akan datang.

Suntik semangat 'Melayu Hebat'

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad, 'orang kuat' dalam menganjurkan perhimpunan itu berkata, gerakan itu bertujuan memupuk semangat 'Melayu Hebat' dalam kalangan generasi muda.

"Dalam MPM sendiri, kita ada ahli terdiri daripada pemimpin politik, cendekiawan, tokoh perniagaan dan sebagainya. Kita kumpulkan mereka supaya anak muda Melayu dapat menjadikan tokoh ini 'model peranan'. Ini bagi menimbulkan semangat mereka untuk menjadi bangsa Melayu berjaya," katanya.

Saya amat bersetuju dengan apa yang beliau katakan. Melayu perlu menjadi bangsa lebih hebat dan bukannya yang sentiasa mengharapkan ihsan dan bantuan. Keperibadian dan jati diri Melayu perlu sentiasa diperkasa.

Kita ambil penggunaan bahasa Melayu sebagai contoh. Bahasa melambangkan jati diri sesuatu bangsa. Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu, kita terpaksa menerima hakikat masih banyak perlu dilakukan. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahasa Melayu semakin hilang keperibadiannya.

Perlu diingat satu ketika dahulu bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca utama rantau ini. Bayangkan kalau semua bangsa di negara kita berbahasa Melayu dengan meluas. Pasti ini adalah simbol perpaduan paling bermakna. Apapun, Perpaduan Melayu adalah gagasan penting yang perlu dilaksanakan. Janganlah kita hanya beretorik, tetapi tidak ada pelaksanaan.

Seperkara penting yang perlu diberi perhatian ialah keikhlasan. Tidak kiralah dari kelompok mana Melayu yang akan datang ke perhimpunan itu nanti, yang penting semua mesti ikhlas dan tidak mempunyai agenda yang menguntungkan diri sendiri. Mereka perlu menginsafi kesilapan yang pernah dilakukan dan bersikap jujur untuk sama-sama memainkan peranan mengeratkan perhubungan sesama Melayu.

Pemangkin semangat Renaisans Melayu

Adalah menjadi harapan agar perhimpunan itu tidak berhenti di situ sahaja. Ia sepatutnya menjadi pemangkin menggerakkan semangat Renaisans Melayu, agar bangsa Melayu dapat bergerak untuk sama-sama memaju dan memakmurkan kehidupan masyarakat Melayu.

Sempena perhimpunan itu juga akan diadakan pelancaran perjanjian atau waad yang lebih dikenali sebagai Waad Melayu abad ke-21. Ia adalah janji luhur dan peringatan kepada kita untuk mengekalkan kesepakatan bagi menerajui kepemimpinan di bumi tercinta ini.

Berbalik kepada pentingnya perpaduan masyarakat Melayu ialah soal hala tuju negara. Bangsa Melayu sebenarnya mempunyai tanggungjawab penting menentukan masa depan dan hala tuju negara. UMNO contohnya adalah parti dominan dalam Barisan Nasional, menjadi nadi utama dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara. Itu sebabnya perpaduan Melayu akan menguatkan lagi pengaruh dan peranan orang Melayu di negara ini.

Sehubungan ini, nasionalisme Melayu yang dijadikan dasar perpaduan Melayu adalah dasar yang boleh diterima Islam, selagi dasar dan perpaduan ini tidak menafikan hak asasi umat Islam lain dan juga bangsa lain yang menjadi sebahagian rakyat negara kita.

Gerakan Renaisans Melayu yang dikaitkan dengan perpaduan Melayu ini boleh dianggap anjakan progresif bangsa Melayu. Pastinya gagasan ini mampu mengukuhkan kesepakatan dan meningkatkan semangat Renaisans Melayu dengan bercirikan elemen berani, bijaksana, tekun, cemerlang dan penyayang

Inilah masanya untuk kita bertindak dan jangan hanya melihat tanpa melakukan sebarang tindakan demi penyatuan bangsa. Sudah sampai masanya untuk kita berhenti menuding jari menyalahkan puak lain. Pastikan usaha ini tiada penghujungnya kerana kitalah yang bertanggungjawab memastikan agama Islam, kedudukan kita di bumi yang berdaulat ini tidak lagi diperlekeh, bahkan terus diperkasakan.Shahbudin Embun ialah Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia Berita Harian Kolumnis 27 Feb 2015

Mencari renaisans Melayu dinamik

PERPECAHAN akan membawa kemusnahan. Dan jika ini berlaku kepada orang Melayu di bumi bertuah ini, jangan sa­lahkan sesiapa, tetapi salahkan diri sendiri. Ya, benar, hari ini kita mungkin tidak nampak kemungkinan itu akan berlaku, namun janganlah hingga sudah terlambat baru hendak bertindak.

Tiada gunanya berbangga menjadi bangsa yang dominan sekiranya orang Melayu terus lalai hingga membuatkan kita lemah, tidak bertanggungjawab atas sebarang tindakan kita serta tidak bersemangat untuk meneruskan cabaran hidup yang lebih getir.

Rancangan untuk terus memperkasakan orang Melayu perlu dibuat dan dalam hal ini satu gerakan renaisans Melayu yang dinamik perlu dilaksanakan. Sehubungan itu, satu Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu Mahawangsa di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini diadakan.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr. Hasan Mad menjelaskan bahawa perhimpunan yang pertama kali ini diadakan ini mempu­nyai objektif untuk membina ke­sepakatan dan kekuatan untuk terus memartabatkan dan memperkasakan masyarakat Melayu.

Ini merupakan satu usaha yang baik. Namun perlu diingatkan juga bahawa orang Melayu yang berjaya tidak mungkin dapat dicapai hanya melalui perhimpunan atau melalui slogan dan kata-kata yang bersema­ngat serta retorik semata-mata. Apa yang lebih penting ialah me­laksanakan segala program dan perancangan yang diatur untuk memartabatkan masyarakat Me­layu.

Pada hari ini, kita terpaksa menerima hakikat bahawa wujudnya orang Melayu yang berbeza jika dibandingkan dengan 60 tahun dahulu. Hari ini persekitaran sosiobudaya politik dan ekonomi begitu berbeza dengan kumpulan pra dan pasca merdeka.

Kini boleh dikatakan ma­sya­rakat Melayu memiliki taraf pendidikan yang lebih cemerlang serta merupakan kumpulan teknokrat dan profesional Melayu.

Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan yang masyarakat Me­layu hari ini telah melangkah lebih jauh dan memberikan satu dimensi yang lebih luas.

Contohnya, senario ekonomi Melayu tidak lagi berada di tahap lama tetapi berdepan dengan era globalisasi yang semakin mencabar.

Orang Melayu telah membuktikan yang kita boleh berdiri sama tinggi dengan bangsa lain dalam menghadapi pelbagai cabaran politik dan ekonomi di negara dan rantau ini.

Kemajuan dan perubahan yang berlaku ini mungkin boleh memberikan kesan terhadap semangat dan jati diri Melayu itu sendiri. Ya, mungkin masih ramai yang terus cemerlang dan dapat memberikan sumbangan terhadap agama, bangsa dan negara.

Namun mungkin ada di antara mereka ini yang lalai dengan pelbagai kejayaan hingga menyebabkan jati diri Melayu mereka semakin rapuh.

Dan jika ini berterusan maka akan berlaku keretakan dalam masyarakat Melayu hingga boleh membawa kepada perpecahan.

Oleh itu, adalah penting untuk bangsa Melayu terus memperkukuhkan lagi perpaduan dan tidak melayan isu-isu yang berlandaskan emosi atau ideologi yang sempit.

Pastinya dalam perhimpunan ini akan menjanjikan pelbagai program dan agenda ekonomi dan pendidikan untuk kemajuan dan pembangunan bangsa Me­layu.

Itu sebabnya mereka yang ha­dir dalam perhimpunan itu nanti perlu menjadikan perhimpunan tersebut sebagai pemangkin semangat kepada masyarakat Melayu umumnya supaya terus melaksanakan dan meneruskan agenda yang telah dirancang nanti.

Satu perkara yang perlu diberikan perhatian adalah Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu Mahawangsa ini tiada ada kena mengena dengan sebarang isu politik atau ada unsur perkauman. Perkara ini adalah penting untuk dijelaskan.

Perhimpunan ini merupakan satu platform untuk menyatupadukan masyarakat Melayu yang selama ini berpecah akibat pelbagai sebab. Contohnya se­perti perbezaan fahaman politik.

Itu sebabnya program itu akan memberi penekanan kepada usaha memperkasakan konsep Maqasid Syariah yang berteraskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) secara konsisten.

Dalam hal ini, tanpa mengira fahaman politik, pastinya satu kerjasama dalam bidang agama, pendidikan dan ekonomi boleh dilaksanakan.

Apa yang penting, semua pihak yang terlibat perlu memberikan komitmen tanpa berbelah bahagi serta memainkan peranan yang lebih signifikan.

Fokus utama yang menjadi misi penting dalam perhimpunan ini ialah untuk membina ke­sepakatan, kehebatan, bermaruah dan diberkati, di segenap lapisan dalam kalangan orangMelayu. Dan apabila ini dapat dilaksanakan maka keakraban silaturahim dan semangat bersatu padu sesama bangsa Melayu akan tercapai.

Perhimpunan ini juga akan menyaksikan komitmen bangsa Melayu menyatakan kepada pe­mimpin mereka, apa yang akan mereka lakukan demi menjadikan orang Melayu sepakat, hebat, bermaruah dan berkat.

Apa yang lebih membanggakan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan akan me­lafazkan Amanat Pe­mimpin Me­layu yang mana inti pati dan fokus utama ucapan beliau nanti adalah ke arah perpaduan yang utuh dan abadi.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan melafazkan Mandat Pemimpin Melayu untuk merangsang gerakan perpaduan orang Melayu ini dilaksanakan dengan segera dan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Bagi semua yang hadir pula akan menandatangani Waad Melayu Abad Ke-21, iaitu satu janji luhur dalam kalangan bangsa Melayu untuk terus sepakat sebagai sebuah kesatuan yang dinamik dan padu.

Adalah diharapkan Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu Mahawangsa ini akan terus menyemarakkan semangat orang Melayu untuk terus membangun dan maju.

Selain itu, gerakan renaisans Melayu ini diharapkan akan terus memperkukuhkan lagi jati diri agar nilai budaya dan peradaban orang Melayu terus dipelihara dan menjadi sebuah bangsa yang lebih dinamik, dihormati, disegani dan cemerlang dalam pelbagai bidang.

Shahbudin Embun ialah Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia  Utusan Malaysia Rencana 28 Feb 2015

Usaha bangkitkan orang Melayu

“Jangan jadi lebai malang menang sorak kampung tergadai’’, “Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.’’ Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’’ dan “Lesung sama lesung berlaga, ayam di bawah kekenyangan.’’

Semua pepatah atau kata-kata ini lebih banyak ditujukan kepada orang Melayu. Sebagai kelompok majoriti di negara ini, orang Melayu sering sahaja diperingatkan mengenai bencana yang menanti seandainya mereka lemah di bumi sendiri.

Walaupun seharusnya sebagai orang Melayu beragama Islam, orang Melayu sepatutnya menjadi contoh terbaik khususnya dari segi perpaduan sesama mereka dan menjadi bangsa cemerlang dalam pelbagai bidang namun realiti hari ini menunjukkan sebaliknya.

Oleh itu Malam Perhimpunan Perpaduan Melayu yang akan menghimpunkan kira-kira 20,000 peserta di Stadium Putra Bukit Jalil, pada Sabtu ini diadakan tepat pada masanya. Ia bagaikan loceng yang akan menggerakkan orang Melayu supaya bangkit dari lena mereka atau tidak terus dibuai mimpi di siang hari.

Seperti mana kata Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Dr. Hasan Mad, perhimpunan tersebut bertujuan menggerakkan kebangkitan semangat orang Melayu dalam mewujudkan penyatuan bermaruah dan menguatkan perpaduan sesama kaum.

Sememangnya orang Melayu harus ‘digerakkan’, senario politik dalam negara ketika ini membuktikan bahawa orang Melayu tidak boleh lagi leka atau memandang penyatuan sesama mereka adalah sesuatu yang janggal.

Orang Melayu bersatu bukanlah untuk mengancam bangsa lain, orang Melayu berpadu bukan untuk menggugat hak orang lain tetapi orang Melayu perlu bersatu kerana mereka kini berada di jurang yang cukup lemah.

Tiada gunanya kita berbangga mempunyai parti besar yang mewakili orang Melayu seperti UMNO dan Pas atau mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang sentiasa ke depan mempertahankan hak-hak orang Melayu. Semua itu tidak akan memberikan kesan jangka panjang kepada kepentingan orang Melayu selagi tidak ada semangat untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

Selagi orang Melayu tidak bersatu, selagi orang Melayu masih bercakaran sendiri, selagi orang Melayu berbalah sesama sendiri dan selagi orang Melayu merasakan mereka paling hebat dalam kalangan sendiri maka selagi itulah semangat kebangkitan Melayu tidak akan ke mana.

Apatah lagi orang Melayu kini bukanlah lagi dipecahkan akibat perbezaan ideologi politik tetapi juga pemikiran atau lebih tepat lagi fahaman berbeza. Sudah ada orang Melayu yang memberi amaran akan menentang habis-habisan penyatuan antara parti Melayu dan sudah ada keberanian luar biasa dalam kalangan sesetengah individu orang Melayu untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan tatasusila orang Melayu dan agama Islam.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada kelompok orang Melayu yang kononnya tidak mahu terlibat dalam politik tetapi bersedia mengkritik kepimpinan orang Melayu sehingga ia memberi ruang kepada ‘musuh’ orang Melayu mengambil kesempatan.

Sebenarnya, sudah banyak usaha dilakukan untuk menyedarkan orang Melayu tentang bahaya yang menanti jika mereka terus berpecah belah tidak kira atas alasan apapun. Tetapi malangnya ia tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Ada orang Melayu yang memandang sinis usaha tersebut dan lebih buruk menganggap ia bersifat perkauman.

Persoalan apakah istilah perkauman itu hanya terpakai untuk sebarang tindakan oleh orang Melayu? Apakah orang Melayu tidak berhak untuk berusaha bersatu sesama mereka? Apakah orang Melayu tidak ada kuasa untuk menyuarakan apa yang menjadi hak kepada mereka?

Kenapakah perlu ada dalam kalangan Melayu yang melihat perjuangan untuk menyatu dan menguatkan orang Melayu sebagai perkauman? Di mana semangat perjuangan untuk bangsa mereka?

Sejarah negara sudah membuktikan apabila orang Melayu bersatu dan kuat ia juga memberi manfaat kepada kaum lain. Golongan yang tidak mahu melihat orang Melayu berada dalam kedudukan tersebut sebenarnya sudah terhakis semangat keMelayuannya atau kelompok yang bimbang mereka tidak boleh mengambil kesempatan apabila orang Melayu lemah.

Oleh itu, langkah MPM menganjurkan Perhimpunan Perpaduan Melayu Melayu tersebut perlu disokong kerana kita tidak boleh membiarkan orang Melayu selama-lama berpecah belah sehingga melemahkan mereka.

Orang Melayu bukanlah dicipta oleh Allah SWT sebagai bangsa yang lemah, orang Melayu adalah bangsa berdaulat dan mempunyai kekuatan yang cukup hebat. Tetapi dari semasa ke semasa ‘kedaulatan’ itu semakin pudar dan kekuatan pula semakin terhakis.

Keadaan itu berlaku bukan kerana orang lain. Jangan salahkan orang lain tetapi orang Melayu patut menyalahkan diri sendiri. Mereka yang membuka ruang dan peluang kepada orang lain mengambil kesempatan atau bak kata pepatah Melayu, ‘Menangguk di air keruh’.

Apabila orang Melayu sendiri tidak boleh bersatu dan semakin lemah dari segi kuasa politik sehingga mengharapkan kepada orang lain untuk mengekalkan kuasa atau mahu berkuasa, maka sudah pasti ada pihak yang akan mengambil kesempatan.

Hakikatnya, bukannya majoriti orang Melayu tidak sedar perkara ini tetapi ada dalam kalangan mereka meletakkan kepentingan lain mengatasi kepentingan mempertahankan hak dan mengukuhkan perpaduan orang Melayu.

Akui sahaja orang Melayu lemah bukan kerana mereka lemah tetapi mereka yang melemahkan diri sendiri. Tidak perlu kita menghuraikan apakah puncanya kerana orang Melayu sering diingatkan sebelum melakukan tindakan ‘tepuk dada tanyala selera.’

Semoga perhimpunan yang bakal diadakan akan memberikan manfaat besar kepada orang Melayu kerana jika orang Melayu masih belum sedar maka percayalah kata-kata “dilayan bagaikan melukut di tepi gantang’’ dan ibarat pelarian di tanah air sendiri bukan sekadar peringatan sebaliknya mampu menjadi realiti.