March 2nd, 2015

Pengeluar dan pengguna sama-sama berkuasa

HARGA runcit petrol naik mulai semalam selepas diturunkan pada 1 Februari lalu. Lewat petang hari Sabtu lalu, berduyun-duyun pemilik kenderaan ke stesen minyak untuk menyertai operasi ‘isi penuh’ tangki. Sekurang-kurangnya mendapat harga rendah untuk keperluan satu atau dua hari. Pengusaha stesen minyak yang ‘pening kepala’ dan tidak ‘cukup pam’ untuk melayan kunjungan pengguna. Ketika itulah ada pengusaha tidak menerima kad kredit, ada had ditetapkan, ada yang kata stok habis dan ada juga yang tutup lebih awal. Situasi ini akan berterusan untuk setiap bulan. Bezanya sama ada naik atau turun. Keadaan ini berlaku selepas kerajaan memutuskan harga tiga bahan bakar itu - RON95, RON97 dan diesel ditentukan mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember 2014.

Maknanya kerajaan tidak sesuka hati menaik dan menurunkan harga. Janganlah selepas ini akan ada stesen minyak yang tutup setiap kali menjelang awal bulan. Seperti biasa apabila harga naik, ada pihak untung dan ada pihak rugi. Semua orang mahu untung. Ada juga pandangan sinis. Ada yang kata baharu turun 20 sen, naik 25 sen. Isu naik diberi perhatian. Semoga sebarang kenaikan selepas ini tidak melebihi paras yang akan menimbulkan keresahan pengguna termasuk pengusaha pengangkutan awam.

Lazimnya, kenaikan petrol akan dikaitkan dengan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan. Ketika ini, belum sempat harga barang diturunkan, petrol sudah naik harga. Walaupun ketika banyak pihak mendesak supaya para peniaga menurunkan harga barang, tiba-tiba harga petrol naik, kerajaan tetap meneruskan kempen menurunkan harga barang. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek menegaskan Kempen Penurunan Harga 2015 yang bermula semalam tetap dilaksanakan. Baginya harga petrol bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan naik atau turun harga sesuatu barang kerana ia turut dipengaruhi faktor lain seperti ketidaktentuan cuaca, bencana alam, peningkatan kos sewa beli dan persekitaran ekonomi.

Apa yang diharapkan, kempen ini akan berjaya dengan sokongan pengilang, pemborong, pembekal, peniaga dan persatuan dalam mencari jalan untuk menurunkan harga barang. Walaupun kempen penurunan harga itu tidak melibatkan keseluruhan peniaga tetapi sekurang-kurangnya masih ada pihak di sebelah sana yang sedia melakukan penurunan harga. Sebanyak 16 pasar raya besar terlibat dengan penurunan harga itu seperti The Store, Tesco, Aeon Big, Giant, Mydin, Milimewa Supermarket (amp) Department Store, Econsave Cash (amp) Carry, 99 Speed Mart, Pasar Raya D’One Mart dan Pasar Raya Hock Kee Seng. Ia melibatkan lebih 1,000 cawangan pasar raya dengan lebih 82,000 produk keperluan harian seperti makanan dan pakaian ditawarkan dengan diskaun antara 10 ke 70 peratus.

Diharapkan, jika peruncit atau peniaga kecil mampu mendapatkan harga lebih murah di pasar raya berkenaan, mereka juga dapat menurunkan harga barangan makanan atau minuman di gerai atau kedai makan masing-masing. Memang banyak pihak boleh membantu mengurangkan beban pengguna. Sama ada mereka mahu atau tidak. Pengguna tidak mampu menggunakan kuasa mereka jika barangan keperluan itu satu keperluan dan terpaksa membeli. Mereka tidak ada pilihan. Pengeluarlah yang perlu menggunakan kuasa untuk menentukan harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan boleh diterima semua pihak. Pengeluar di sini termasuklah yang terlibat secara langsung dalam pemasaran makanan berasaskan pertanian seperti nelayan, penternak dan pekebun. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui pelbagai agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia boleh memainkan peranan membantu kempen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan ini.

Langkah itu bertepatan dengan tekad menterinya, Ismail Sabri Yaakob yang melancarkan Jihad Memerangi Orang Tengah tahun lalu bagi membantu petani, nelayan dan penternak membebaskan diri daripada dipergunakan oleh orang tengah dalam menentukan harga hasil usaha mereka. Pengeluar produk makanan juga patut mencontohi langkah Nestle yang melancarkan kempen ‘Lebih Nilai, Lagi Hebat’ melibatkan 50 jenis produk minuman dan makanan sehingga akhir bulan ini. Nestle yang terkenal dengan produk Maggi, Milo dan Nescafe menawarkan 20 juta pek barangan minuman dan makanan bermutu tinggi. Tawaran ini termasuklah pek bonus yang menarik, premium bermutu tinggi dan diskaun harga.

Sekali lagi, bagaimana pula harga milo, nescafe tarik dan maggi di gerai, kedai dan restoran? Adakah tetap sama? Apa kata sekurang-kurangnya ada sedikit penurunan dalam tempoh kempen ini. Tidak dinafikan harga makanan atau minuman berbeza, mengikut ‘status’ sama ada di gerai tepi jalan, kedai kopi di kampung, restoran mamak, pusat penjaja di kawasan perumahan atau pusat membeli-belah, kantin, hentian rehat dan rawat, cafe sehinggalah di hotel ‘berbintang dan tidak berbintang’. Kadang-kadang orang hanya merungut harga di gerai atau kedai mamak tetapi akur dengan harga di kedai ‘bertaraf’ tinggi sedikit. Sebungkus nasi lemak RM1 di gerai atau di R&R mungkin mencecah sehingga RM2.50 di kedai yang dikatakan ada taraf ini sedangkan kandungannya sama sahaja.

Penggunalah yang lebih berhak untuk ‘mengajar’ mana-mana peniaga yang degil ini. Memang tepat saranan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Jainab Ahmad Ayid yang menyarankan pengguna mengamalkan konsep 3M iaitu memilih, memboikot dan melapor bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa penipuan. Tidak terlalu sukar bagi pengguna menggunakan kaedah ini supaya peniaga tidak melampau dalam soal harga. Pilihlah kedai yang menawarkan harga berpatutan semasa kempen penurunan harga ini. Boikot dan kemudian laporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku penyelewengan. Lebih mudah jika kedai yang mengeluarkan resit.

Konsep 3M ini lebih mudah digunakan untuk peniaga berbanding melaporkan penyelewengan pemandu teksi di ibu kota yang mengenakan tambang tanpa meter. Walaupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat menyatakan amat mudah untuk melaporkan, ambil gambar nama syarikat/pemandu di pintu teksi, masuk dan ambil gambar kad pengenalan pemandu dan nyatakan destinasi. Kadang-kadang belum masuk, sudah ditanya ke mana mahu pergi. Di dalam teksi pula tidak ada kad pemandu. Ada juga kes pemandu suruh penumpang keluar kerana tidak setuju harga ditawarkan. Jika diberitahu lebih awal destinasi, ada pemandu yang enggan ke sana dan memberi alasan mudah bahawa dia sedang menunggu isteri, anak atau pengguna yang buat tempahan. Penumpang terpaksa akur. Akhirnya, bagi yang terdesak, biarlah teksi itu bergerak dan membayar harga yang ditawarkan. Itulah nasib pengguna teksi bermeter yang tidak menggunakan meter seperti diselak minggu lepas. Bagi pengguna yang membeli barangan, eloklah amalkan konsep 3M ini. Mungkin dapat mengajar peniaga dan membantu pengguna lain. -Hassan Mohd.Noor Utusan Malaysia Rencana 02 Mac 2015 1:08 AM

Jurang generasi: Kesan dalam keluarga, masyarakat

SAYA masih teringat akan masa-masa emak merujuk ketika beliau sebaya saya dan menyatakan bagaimana berbezanya kehidupan antara masa mudanya dengan zaman saya sendiri.

Emak memberi contoh perbezaan cara hidup, budaya dan sikap dalam keluarga. Di mana tiada bekalan elektrik atau air. Dan terutamanya bagaimana ramai ibu bapa enggan membenarkan anak-anak perempuan mereka melanjutkan pelajaran melebihi Darjah 7 sekolah Melayu.

Ada nada kesal dalam kata-kata emak, yang mencerminkan betapa ruginya beliau tidak dibenarkan terus belajar.

Kesannya ialah saya digalakkan belajar ke tahap yang sedaya saya, diberi segala sokongan moral dan semangat. Dan reaksi saya ialah merasakan betapa bernasib baiknya saya dapat meneruskan pelajaran, dan berjanji pada diri saya untuk tidak akan mensia-siakan peluang-peluang yang terbuka pada saya.

Bila sampai masa saya pula berinteraksi dengan anak-anak, saya juga menceritakan bagaimana cara hidup yang saya alami semasa sebaya dengan mereka, seperti:

* Terpaksa menggunakan seterika arang tembaga yang panas dan berat untuk menyeterika baju sekolah sendiri;

* Menolong membasuh baju dengan tangan menggunakan sabun buku;

* Tiada televisyen;

* Berjalan kaki berbatu-batu ke sekolah;

* Membantu kerja di rumah sebaik sahaja selesai kerja sekolah; dan

* Pelbagai lagi perkara yang memberi contoh kesempitan hidup serta persekitaran serba kekurangan.

Reaksi anak-anak saya berbeza. Kehidupan mereka sudah jauh berubah. Mereka tidak dapat menghayati hidup tanpa televisyen, bas sekolah, bekalan elektrik dan air di dalam rumah, serta kemudahan-kemudahan yang mereka sedang menikmati. Apatah lagi mereka tidak perlu ke dapur untuk memasak makanan, mencuci baju atau menggunakan seterika. Mereka hanya dipastikan membersih bilik tidur masing-masing.

Sekarang telah sampai generasi cucu-cucu saya pula. Kesemua mereka ialah generasi digital, serta Generasi Y dan Z yang hampir segala aspek hidup mereka berkitar dan dipengaruhi oleh ICT, Internet, media sosial. Mereka gusar jika Wi-fi tidak terdapat di mana jua mereka berada; mereka merungut apabila Internet mereka lambat berfungsi. Komunikasi dengan kawan-kawan sekolah dilakukan melalui Skype. Mereka berhubung dengan Facebook, Twitter dan Instagram. WhatsApp merupakan satu lagi cara berhubung dengan sesiapa juga, yang berada baik di dalam negara atau di luar negara.

Segala-galanya seolah-olah berkitar pada alat teknologi se­perti telefon mudah alih, tablet atau komputer. Dunia digital men­dedahkan mereka kepada apa jua yang boleh di­salurkan melalui Internet.

Menceritakan tentang tidak wujud komputer, telefon mudah alih atau Internet semasa saya sebaya mereka, mendatang­kan reaksi seolah-olah saya membesar di zaman manusia prasejarah! Mereka tidak dapat memikir­kan bagaimana keada­an sedemikian!

Maka akan berterusanlah jurang generasi dalam keluarga dan seterusnya dalam masyarakat. Perbezaan gaya hidup dan budaya memupuk persepsi, pandangan, sikap-sikap, dan nilai-nilai yang berbeza.

Generasi digital akan terus terdedah kepada apa yang ada di dunia luar. Mereka tidak mungkin dapat membina benteng menghalang alir masuk unsur-unsur negatif ke dalam kehidupan mereka. Pengaruh-pengaruh yang memudaratkan sukar ditapis. Lebih buruk lagi jika mereka tidak dapat membezakan antara yang buruk dengan yang baik. Antara kawan-kawan dan orang yang berniat jahat.

Dalam Internet tidak boleh dipastikan identiti dan latar belakang seseorang itu seperti orang yang ingin memerangkap anak-anak muda atau pedofil, penipu-penipu, dan akhir-akhir ini pengganas-pengganas yang ingin mencari rekrut-rekrut baharu untuk apa jua yang mereka perjuangkan.

Memang jurang generasi tidak dapat dielakkan. Tetapi kita tidak sewajarnya membiarkan jurang tersebut menjadi semakin luas kerana ia telah mula menunjukkan perbezaan-perbezaan yang besar antara generasi dalam pelbagai aspek, antaranya:

* Sikap terhadap nilai-nilai hidup

* Tanggapan tentang tanggungjawab sosial

* Jurang komunikasi dan fahaman antara generasi

* Perspektif-perspektif berbeza yang boleh membawa selisih faham

* Penghayatan unsur-unsur budaya yang semakin terhakis.

Jelas bahawa sangat perlu dilakukan usaha-usaha untuk merapatkan jurang-jurang tersebut bermula dalam unit-unit keluarga. Ibu bapa perlu memahami ciri-ciri anak mereka yang merupakan warga-warga digital serta menghayati apakah faktor yang menjadi penggerak dan pendorong bagi mereka. Juga memahami bahawa persekitaran sudah begitu berubah dan pendekatan berkomunikasi serta mendidik perlu selaras dengan keadaan semasa.

Generasi baru tidak akan memberi respon positif kepada pendekatan cara garang atau gertak. Mereka akan lebih sedia menerima komunikasi dua hala yang rasional yang memberi sebab-musabab dengan jelas. Mereka berada dalam persekitaran masyarakat yang semakin menuntut persamaan, ke­telusan dan keadilan.

Mereka terdedah kepada gaya hidup serta budaya yang lebih berbentuk sejagat dengan pelbagai maklumat diperoleh melalui ICT terutama media sosial. Ini jauh berbeza da­ripada generasi-generasi sebelum mereka yang tidak mendapat pendedahan seperti itu atau dipengaruhi oleh nilai-nilai dan perspektìf yang berbentuk global.

Maka memahami ciri-ciri generasi baharu ini dan berkomunikasi dengan mereka selaras dengan naluri-naluri baharu mereka akan merapatkan jurang generasi. Dan proses mendidik mereka akan lebih mudah dan berkesan. Melalui pendekatan-pendekatan yang efektif itu akan dapat diterap­kan secara langsung dan tidak langsung, nilai asas sepanjang zaman yang baik seperti integriti, disiplin, menghormati sesama manusia serta harga diri.

Dan tidak perlu mereka memberi jawapan yang kerap mereka beri apabila kita menceritakan perihal masa muda kita iaitu “dulu lain, sekarang lain”. Kerana kita yang merupakan ibu bapa dan hidup jauh terdahulu sebelum mereka memahami bagaimana merapatkan jurang-jurang generasi.

Tan Sri Rafidah Aziz pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio. - Utusan Malaysia Rencana 02 Mar 2015

Fahami hak pengguna, peniaga

SEBAGAI pengguna kita seringkali berhadapan dengan isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Walaupun umum mengetahui kejatuh­an harga minyak dunia yang menurun hampir 50 peratus semenjak Jun tahun lepas, namun menga­pa harga barang dan perkhidmatan masih belum turun?

Alasan menaikkan harga barang dan perkhidmatan sewajarnya sudah tidak menjadi isu pada pemborong, pembekal, peruncit dan peniaga apatah lagi kerajaan turut mengumumkan penurunan tarif elektrik bermula 1 Mac 2015.

Namun apa yang jelas, hari ini harga barang atau perkhidmatan masih lagi di takuk lama sekali gus terus merunsingkan pengguna.

Dari sudut hak, pengguna mempunyai lapan hak yang sepatutnya diperoleh iaitu; hak untuk mendapat keselamatan, hak untuk mendapat maklumat, hak untuk membuat pilihan, hak untuk menyuarakan pendapat, hak untuk mendapat keperluan asas, hak untuk ganti rugi, hak untuk mendapat pendidikan pengguna dan hak untuk mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat.

Namun dalam realiti semasa tidak semua yang dapat dicapai. Kebajikan pengguna khususnya di Malaysia masih kurang diberi tumpuan. Maka sudah tiba masanya kita mengaktifkan kuasa pengguna yang sebenar.

Sebagai pengguna yang melaksanakan tanggungjawab dan prihatin berkenaan isu “naik harga” atau “harga naik” sepatutnya kita ada hak untuk melaporkan sebarang keraguan yang tidak munasabah ke atas sesuatu harga produk atau perkhidmatan kepada pihak berwajib.

Sekiranya tiada sebarang aduan atau masalah dikemukakan, ini akan menyebabkan para peniaga semakin berani melakukan penipuan dan penyelewengan harga secara terang-terangan.

Sebagai pengguna juga kita perlu sentiasa mengikut beberapa langkah yang dicadangkan antaranya; Setiap pengguna perlu mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang secukupnya berkenaan barangan dan perkhidmatan yang akan dibeli atau digunakan. Kedua, pengguna perlu membuat aduan terhadap peniaga-peniaga yang didapati menipu dan menindas. Ketiga, para pengguna patut memilih premis perniagaan yang dipercayai amanah dan jujur.

Ada di antara pengguna yang tidak menggunakan hak dan kuasa mereka. Malah segelintir pengguna hanya mengambil mudah, malas memilih dan malas untuk membandingkan harga terlebih dahulu sebelum membuat pembelian menyebabkan para peniaga terus bermaharajalela menaikkan dan mengekalkan harga sedia ada. Apatah lagi ada pengguna yang tidak langsung merungut, seolah-olah tidak ambil peduli apabila harga secawan teh tarik atau kopi bersama nasi lemak bungkus berlipat kali ganda harganya di coffee house, gerai atau di warung.

Dalam situasi ini sebagai pengguna kita sewajarnya bersatu hati untuk bertindak sebab kita berhak menyuarakan rasa tidak puas hati jika mendapati harga yang ditawarkan itu tidak munasabah. Hal ini perlu dilaporkan kepada Persatuan Pengguna.

Persatuan Pengguna pula perlu bergerak dengan proaktif untuk menangani hal ini bagi memastikan hak pengguna dilindungi.

Pengguna juga perlulah bijak. Bijak dalam erti kata tidak dapat dieksploitasi oleh pengusaha dan penjual. Bijak memilih penjual yang boleh dipercayai dan bijak memilih barangan dan perkhidmat­an yang suci, halal dan berkualiti.

Sesungguhnya untung rugi nasib penjual adalah terletak di ta­ngan kita sendiri sebagai pengguna. Jika kita prihatin, berhemat dan waras dalam mendapatkan harga barangan dan perkhidmatan maka kita dapat mengelak daripada ditindas peniaga yang rakus.

Dari sudut peniaga, tuntutan mencari rezeki dalam bidang perniagaan adalah berkaitan dengan agama dan sebahagian usaha dakwah dalam menyebarkan Islam. Apatah lagi sembilan persepuluh rezeki datangnya daripada perniagaan.

Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan, namun soal keberkatan tidak boleh dike­tepikan atau dipandang remeh. Para peniaga perlu memahami dan menghayati nilai, akhlak dan etika termasuklah mengiklan dan menjual barangan yang betul. Menipu bagi tujuan melariskan sesuatu barang jualan adalah ditegah sama sekali.

Namun begitu, tidak dinafikan ada dalam kalangan peniaga yang sanggup mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang, menyembunyikan barang supaya harga naik, mencampurkan barang yang elok dengan yang tidak elok, barang lama dengan barang baharu dan menipu dalam membuat timbangan.

Dalam satu hadis yang diriwa­yatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah melalui setimbun makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan itu, dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulul­lah SAW bersabda: “Apakah semua ini wahai pemilik makanan?” Lelaki itu menjawab: Makanan itu telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW. Seraya Rasulullah bersabda: “Kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu di sebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu ia bukan daripada agamaku.”

Oleh itu, dalam mengawal ke­giatan penindasan dan penipuan dalam pasaran, pemerintah perlu campur tangan dengan mengambil tindakan kawal selia keadaan di pasaran dan sentiasa membuat pemantauan serta penguatkuasaan ke atas pusat-pusat perniagaan secara bertanggungjawab, bukan sekadar memberi amaran kosong atau de­nda yang ringan kepada pihak yang menindas para pengguna.

Dalam hal ini kita menyambut baik langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang akan menawarkan harga lebih murah sekurang-kurangnya penurunan sebanyak lima hingga 20 peratus barangan di pasar tani seluruh negara yang akan dimulakan pada awal Jun ini. Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan bebanan pengguna. Begitu juga langkah-langkah penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu diteruskan terutama ke atas peniaga yang degil menurunkan harga barang dan perkhidmatan.

Justeru dalam menangani isu ini baik pengguna mahupun peniaga perlu memahami peranan ma­sing-masing. Kedua-duanya ada hak, integriti dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi agar kedua-duanya mendapat manfaat bersama. Ingatlah sebagai peniaga perlu sentiasa berusaha untuk meme­nuhi keperluan pengguna manakala kepuasan pengguna adalah satu keutamaan kepada peniaga. Noor Hartini Saari ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, IKIM. - Utusan Malaysia Rencana 02 Mac 2015 1:09 AM

Agenda melayu komitmen nasional

Pertamanya, marilah kita melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT kerana pada malam yang bertuah ini satu perhimpunan yang penuh dengan pengertiannya, satu perhimpunan yang saya anggap sebagai amat bersejarah kerana perhimpunan ini melambangkan, dalam era kontemporari ini, masa kini, wujud satu kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu, dalam kalangan umat Islam di tanah air kita, bahawa anak kunci dan asas masa depan kita tidak lari daripada satu prinsip yang amat unggul yakni kesatuan dan perpaduan Melayu mesti dijadikan sebagai komitmen kita yang tidak berbelah bahagi.

Boleh tuan-tuan?

Gema daripada semangat menyambut saranan tersebut, semangat Perhimpunan Perpaduan Melayu, mesti kita jadikan sebagai dorongan dan inspirasi kerana mengikut pihak penganjur, ada kelainan Perhimpunan Perpaduan Melayu ini. Ada kelainan daripada himpunan-himpunan yang lalu, yang lazimnya melihat apa yang kerajaan boleh dan apa yang patut kerajaan lakukan untuk orang Melayu dan bumiputera.

Perhimpunan Perpaduan Melayu sebaliknya, ingin memaparkan bahawa orang Melayu sudah sampai ke tahap orang Melayu hebat! Orang Melayu sudah berjalan jauh hingga kita ialah bangsa yang bermaruah dan orang Melayu ingin supaya apa yang kita lakukan itu mendapat berkat Allah SWT.

Justeru, perhimpunan ini ingin menggambarkan bahawa kita nak tanya pada diri, setiap daripada kita, orang Melayu, umat Islam, Bumiputera, nak tanya pada diri kita: Apa kita boleh buat atas nama orang Melayu? Apa kita boleh menyumbang dan apa yang boleh kita lakukan? Saya ucap syabas kerana inilah semangat yang ingin saya lihat dalam kalangan kita.

Kita tidak mahu orang Melayu diperlekehkan. Betul tuan-tuan?

Kita tidak mahu orang Melayu dihina.

Kita nak orang melihat orang Melayu sebagai bangsa yang disegani, dihormati dan bangsa bermaruah.

Sebagai Perdana Menteri, saya memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinan saya akan terus membantu orang Melayu, Bumiputera. Bantuan kita berdasarkan kepada hakikat ucapan saya di Shah Alam lebih kurang dua tahun yang lalu di mana saya telah menzahirkan bahawa agenda Bumiputera adalah agenda nasional.

Dan bila kita sebut bahawa agenda Bumiputera adalah agenda nasional, maka kita akan terus menggubal dasar, program dan tindakan yang bersesuaian dengan agenda itu.

Yang kita hendak lakukan ialah supaya orang akan melihat bahawa kerajaan sebagai fasilitator, kerajaan sebagai pemangkin, kerajaan membuka pintu, kerajaan memberi peluang, hanya orang Melayu yang mempunyai kebolehan dan merit yang akan berjaya dan inilah, kita tidak mahu semata-mata kerana kita Melayu, kita mesti dapat kontrak daripada kerajaan. Kita nak kalau dapat tempat di universiti, kalau kita menjadi seorang profesor, kalau kita jadi seorang iktisad, kalau kita jadi seorang pengusaha, kalau kita mendapat kontrak daripada kerajaan, Melayu yang hebat dan Melayu yang bermaruah ialah Melayu yang layak mendudukinya.

Dan hari ini bila kita berhimpun, kita berhimpun bukan sekadar sebagai orang Melayu yang tertekan. Kita berhimpun sebagai orang Melayu yang sudah berjaya, sudah berjalan jauh. Lihat sahaja, Melayu yang berjaya sebagai usahawan, sebahagian kita lihat sebentar tadi di luar. Melayu yang memimpin GLC yang berjaya. Melayu yang mengendalikan universiti, IPTA dan IPTS yang semakin hari semakin mendapat pengiktirafan. Melayu profesional. Pendek kata, Melayu atas perjuangan kita sejak tahun 1946 adalah satu cerita dan kisah Melayu yang berjaya.

Namun, perjalanan kita masih jauh lagi. Saya akui, banyak lagi yang perlu kita lakukan. Saya menerima hakikat bahawa kita perlu insaf, melakukan penambahbaikan. Sebab itulah pada malam ini, saya nak baca tujuh amanat penting dalam Perhimpunan Perpaduan Melayu:

* PERTAMA, sebagai umat Islam, orang Melayu, kita mesti memperjuangkan ketinggian agama Islam dan syiarnya sebagai agama Persekutuan yang berasaskan al-Quran serta as-Sunnah;

* KEDUA, kita mesti pertahankan institusi raja-raja Melayu dan hak serta keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan;

* KETIGA, mempertegak maqasid syariah dengan memelihara dan menjaga kepentingan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan yang berlandaskan pendekatan wasatiyyah yakni sederhana serta seimbang, tidak ekstrem dan bukan pula terlalu liberal;

* KEEMPAT, memperkukuhkan iktisad atau ekonomi bangsa Melayu supaya mampu bersaing dengan kaum-kaum lain di dalam negara kita mahupun di pentas antarabangsa;

* KELIMA, melatih dan mendidik orang Melayu supaya menjadi bangsa peneraju yang berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi, berdaya saing, kreatif, inovatif, berwawasan serta berfikiran global tetapi tetap berpaksikan adat resam dan budaya orang Melayu;

* KEENAM, menyuburkan nilai-nilai mahmudah yang mulia lagi terpuji seperti berjiwa besar, semangat juang yang tinggi, berani, bijaksana, tekun, jujur, amanah serta patriotik kepada watan dengan menjauhi sifat-sifat mazmumah yakni tercela dan terkeji, berdengki-dengkian, bersengketa serta bermusuh-musuhan sesama bangsa;

* KETUJUH, memperteguh institusi keluarga dan masyarakat Melayu dengan mengamalkan budaya unggul, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, kasih-mengasihi, tolong-menolong sesama kita di samping itu menjauhi sifat-sifat negatif seperti berburuk-sangka, saling memfitnah sesama bangsa serta seumpama dengannya.

Dengan amanat ini, bangsa Melayu sewajibnya mengorak langkah dalam mengerat silaturahim sesama kita untuk menjadi bangsa yang kuat, hebat dan bermaruah dan diberkati Allah SWT.

Amanat yang dilafazkan ini bagi mewakili semua pemimpin Melayu hendaklah dijadikan peringatan yang kekal dan ingatan untuk kita semua dan ini selagi ada bulan dan bintang serta selagi darah Melayu mengalir dalam tubuh badan kita semua, selagi itu, wadah dan maslahat umat ini akan kita terus perjuangkan sampai bila-bila.

Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu!

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! - Utusan Malaysia Rencana 02 Mar 2015