March 5th, 2015

Erti sepuluh A dalam SPM

ADA siapa yang tahu KBAT? Ketika setiap hari fikiran kita diasak oleh GST, NKRA, KDNK, JPJ, JKKK, CIMB, PTPTN, 1MDB, KPDNKK dan beribu-ribu lagi huruf singkatan, tentu tidak ramai yang peduli tentang KBAT.

Itu adalah singkatan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi yang mula diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan tahun lalu. Di bawah kaedah ini pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikehendaki menjawab soalan menggunakan fikiran dan tidak tertakluk kepada set jawapan yang telah ditetapkan.

SPM tahun lalu pertama kali soalan bercirikan KBAT diperkenalkan. Keputusan yang diumumkan dua hari lalu, ada sedikit kemerosotan. Seperti dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof pencapaian keseluruhan menurun.

Gred Purata Nasional (GPN) menurun sebanyak 0.15 mata dengan mencatat 5.08 berbanding 4.93 mata pada 2013. Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran juga menurun, hanya 11,289 calon berbanding 13,970 calon pada 2013.

Prestasi menurun juga untuk subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains. Tetapi subjek Pendidikan Islam meningkat sebanyak 0.14 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu 4.28 mata berbanding 4.42 pada tahun 2013.

Mungkin faktor KBAT, tetapi menurut Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kementeriannya juga akan mengkaji dengan lebih mendalam beberapa faktor lain yang menyumbang kepada turun naik keputusan peperiksaan.

Pada hemat saya biar menurun sedikit, KBAT membantu pelajar berfikiran lebih terbuka dalam menjawab soalan. Pada peringkat SPM mereka patut diajar berfikir lebih kreatif dan kritis.

Sebelum ini kaedah menjawab soalan seperti telah ditentukan set jawapan. Sebab itu ramai pelajar mengambil jalan pintas dengan merujuk contoh soalan dan contoh jawapan untuk peperiksaan tahun-tahun sebelumnya.

Sesetengahnya mendapat keputusan cemerlang berpandukan kepada soalan-soalan ramalan ini. Ramai juga yang cemerlang kerana soalan bocor yang menjadi semacam budaya dalam dunia peperiksaan di tempat kita.

Biar kurang dapat A asalkan pelajar boleh berfikir dan tidak tertakluk hanya kepada buku-buku teks yang tebal. Bukan tidak perlu buku teks, tetapi pelajar juga perlu menambah pengetahuan dengan keprihatinan terhadap benda-benda lain di keliling mereka. Selain akademik mereka juga perlu membiasakan dan menyesuaikan mental dan fizikal terhadap ciri-ciri lain dalam kehidupan.

Masalah orang kita, terutama ibu bapa, ialah tumpuan diberikan supaya anak-anak mereka mendapat banyak A. Kalau dapat 10 A itu satu kejayaan besar, kalau dapat 15 lagi megah. Pelajar dan ibu bapa – lebih-lebih lagi ibu! – boleh masuk surat khabar dan TV.

Bagi ibu bapa memperoleh banyak A adalah jaminan kehidupan atau masa depan yang lebih baik untuk anak-anak. Kalau tidak ada A, gelaplah masa depan. Apakah benar?

Apa pun seperti yang dibuktikan oleh angka-angka keputusan SPM yang baru diumumkan masih baik, kurang sedikit sahaja dari tahun sebelumnya. Ertinya KBAT tidak menjejaskan prestasi pelajar.

Daripada sejumlah 455,839 calon yang menduduki peperiksaan tahun lalu 11,289 memperoleh keputusan semua A. Syabas kepada mereka yang meraih banyak A. Tetapi perlu diingat A sahaja tidak mencukupi untuk meneroka global. Perlu tingkatkan juga kemahiran-kemahiran lain.

Maka teringat saya zaman SPM tiga empat dekad dulu. Bersama saya di sebuah sekolah kampung ada kira-kira 100 orang menduduki peperiksaan penting itu. Tidak ada seorang pun mendapat gred 1. Tiga orang mendapat gred 2, yang lain-lain sama ada gred 3, atau gagal.

Saya mendapat gred 3, hanya sebutir A, subjek Bahasa Malaysia, tidak menangis pun. Sebaliknya yang mendapat gred 2 – semua pelajar perempuan – pula yang menangis teresak-esak. Saya memberitahu mereka: “Jangan menangis, tidak dapat gred 1 pun boleh hidup, boleh kahwin!”

Terbukti tanpa 10 A pun ramai kawan-kawan saya kini berjaya. Ada yang menjadi doktor, peguam, pensyarah, pegawai tentera. Ramai juga yang dulu kantoi kini menjadi usahawan berjaya.

Malah, beberapa orang yang dulu gagal SPM – semua dapat E – kini mengusahakan tanah kampung dengan tanaman sayur dan ternakan ayam, masing-masing menjadi tauke berpendapatan lumayan.

Pendek kata kalau belajar bersungguh pasti boleh mendapat 10, hatta 20 A dalam SPM. Tetapi, percayalah A keliling pinggang bukan jaminan hidup berjaya. Jadi, yang tidak dapat A jangan putus asa. Abdul Jalil Ali SInar Harian Rencana Kolumnis 5 Mar 2014

Gagal Bahasa Melayu SPM petanda buruk

Sudah untuk sekian lama secara purata sekitar 35,000 pelajar gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun. Dengan ini, pelajar ini tidak berjaya memperoleh sijil penuh. Ini bermakna mereka gagal dalam SPM.

Dari satu segi, hal ini tidak perlu dirisaukan sangat kerana mata pelajaran lain juga memperlihat kadar kegagalan seperti ini, yakni dalam puluhan ribu. Ini menunjukkan ada sebilangan pelajar yang tidak mempunyai kecerdasan dalam bidang akademik.

Untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, ada beberapa sebab pelajar ini gagal memperoleh tahap lulus paling rendah, iaitu gred lapan. Antara kelemahan utama pelajar Melayu yang menyebabkan kegagalan ialah ketidakcekapan menggunakan bahasa tulisan.

Mereka didapati mengarang dan menulis jawapan dengan menggunakan bahasa lisan, kadangkala dalam bentuk basahan lagi, iaitu bahasa percakapan seharian. Dalam hal ini, bahasa lisan adalah bahasa tersendiri dari segi tatabahasa, kosa kata dan wacana yang digunakan.

Dalam konteks perbandingan dengan bahasa tulisan, bahasa lisan boleh dikatakan sistem yang berlainan dan digunakan untuk tujuan berbeza. Ia bukan sistem yang lebih rendah daripada bahasa tulisan. Sehubungan ini, ia adalah sistem lain sahaja yang sesuai digunakan dalam beberapa konteks tertentu. Antaranya bersua muka yang memperlihat penggunaan ayat dan kosa kata yang mudah.

Tuntut perencanaan rapi

Ini berbeza sekali dengan bahasa tulisan yang menuntut perencanaan rapi yang tercermin dalam penggunaan ayat lebih kompleks dan pemilihan kosa kata daripada julat yang lebih besar. Ini kerana ia tidak wujud secara spontan, melainkan melalui proses pemikiran yang dibenarkan waktu yang ada melalui usaha penyuntingan.

Natijahnya penggunaan bahasa lisan yang rata-ratanya dianggap sebagai bahasa tidak formal, yakni yang kurang berperaturan mengikut tatabahasa baku yang penting untuk penggunaan formal, adalah bahasa yang tidak sepatutnya digunakan dalam sebarang penilaian mata pelajaran bahasa.

Untuk pelajar bukan Melayu, antara kelemahan utama ialah kegagalan menguasai bahasa Melayu pada tahap yang sepatutnya. Ini dapat dilihat juga pada karangan yang ditulis dan jawapan yang disediakan. Bukan sahaja tatabahasa dan kosa kata yang digunakan itu memperlihat tahap kecekapan yang amat rendah, wacana jika berjaya disusun jelas mempamerkan proses pemikiran yang berlaku dalam bahasa lain, selalunya bahasa ibunda.

Bahasa Melayu terjemahan

Dengan ini, bahasa Melayu yang digunakan itu sarat dengan pelbagai kesalahan dan percubaan penterjemahan gagasan yang terbentuk dalam bahasa lain itu ke dalam bahasa Melayu. Sudah tentu bahasa Melayu begini bukan sahaja tidak baik, ia juga didapati amat sukar difahami.

Dari segi lain pula, angka kegagalan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ini sangat mengkhuatirkan. Ia yang menjadi bahasa negara ini semacam tidak berjaya dikuasai oleh sebilangan belia kita, bagi membolehkan mereka memperoleh sejumlah markah yang tidak banyak pun untuk lulus pada tahap terendah.

Dengan persekitaran bahasa Melayu yang memang agam di negara ini, pengetahuan mengenainya secara sederhana sepatutnya tidak menjadi masalah.

Ia boleh dipelajari dengan mudah secara tidak formal, untuk membolehkan mereka ini memperoleh secukup markah bagi bahagian penggunaan bahasa untuk mata pelajaran Bahasa Melayu.

Selain faktor kecerdasan, kegagalan ini boleh juga dikaitkan dengan penggunaan dialek Melayu setempat dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berleluasa di sesetengah negeri. Ini dapat lihat dengan jelas pada sejumlah skrip jawapan yang mengandungi penggunaan dialek Melayu tertentu yang meluas sekali dalam kalangan calon dari negeri berkenaan.

Selain faktor dialek Melayu ini, penggunaan bahasa pasar juga dapat dikesan pada banyak skrip jawapan. Ia wujud dalam bentuk percubaan penggunaan kosa kata bahasa Melayu dalam acuan tatabahasa asing, misalnya bahasa Mandarin.

Sebenarnya belia kita tidak boleh sama sekali gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kerana implikasinya bukan setakat dalam bidang pendidikan, ia ikut mempunyai kesan negatif kepada jati diri kebangsaan kita. Ia boleh membayang kita tidak bersatu terhadapnya yang diwakili bahasa negara. Teo Kok Seong Berita Harian Kolumnis 5 Mac 2015