March 7th, 2015

Pekan Pura destinasi sejarah semula jadi

Dahulu dikenali sebagai Pura

SEJARAH Pekan bermula apabila bandar tersebut dijadikan tempat kediaman keluarga diraja dan dianggap ibu negeri Pahang seawal abad ke-13.

Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pahang (LMNP), Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal, terdapat pelbagai pandangan dan pendapat berhubung asal usul nama bandar tersebut dan salah satunya terdapat cerita yang mengaitkan Pekan dengan sejenis bunga yang banyak tumbuh di tebing-tebing sungai Pahang.

Selain itu, berdasarkan penulisan Buyong Adil di dalam bukunya bertajuk Sejarah Pahang, masyarakat Hindu asli pada suatu ketika dahulu memberikan gelaran ‘Pura’ kepada daerah itu yang bermaksud bandar atau pekan di dalam bahasa Melayu.

“Perkataan Pura diambil dari singkatan perkataan ‘inderapura’ iaitu nama lama bagi negeri Pahang sebelum di bawah kuasa Kesultanan Melayu Melaka kerana pada ketika itu Pekan menjadi ibu negeri Pahang. Sejarah ini berdasarkan karya Tun Sri Lanang iaitu Sejarah Melayu yang menyebut Pekan sebagai ‘Pura’.


Istana Seri Terentang pernah dibina di atas tapak Istana Abu Bakar didirikan. -

“Pendapat lain pula menyatakan Pekan berasal daripada maksud perkataan bandar, pasar atau tempat aktiviti berjual beli dilakukan bertepatan dengan gambaran yang diberikan pegawai Inggeris, J. P. Rodger berhubung bandar Pekan yang wujud pada 1888,” katanya.

Pekan pada asalnya adalah sebuah kawasan yang begitu luas bagaimanapun, masyarakat Siam yang datang untuk membuka tanah paya di Padang Sesiur (Padang Polo) telah membina sebatang parit (Sungai Parit) yang akhirnya memisahkan kawasan Pekan kepada dua bahagian iaitu Pekan Lama dan Pekan Baharu.

“Pekan Lama pada 1607 dikenali sebagai kawasan kediaman khusus untuk golongan bangsawan Melayu sementara Pekan Baharu pula merupakan Kampung Cina yang terdiri daripada kawasan tempat tinggal rakyat jelata,” katanya.


Basikal antara pengangkutan utama yang digunakan penduduk Pekan pada tahun 1970-an.

Meskipun pada zaman penjajahan ketika J. P. Rodger dilantik sebagai Residen Inggeris pertama di Pahang pada 1888, Pekan masih kekal menjadi ibu negeri pada ketika itu.

Bagaimanapun, kira-kira tiga tahun kemudian status ibu negeri yang dimiliki bandar Pekan kemudian dipindahkan oleh pihak Inggeris ke Kuala Lipis.

Kuala Lipis selepas itu menjadi pusat pentadbiran Pahang sementara Pekan disebut sebagai Bandar Diraja Pahang.

Pada mulanya rancangan pemindahan pusat pentadbiran dari Pekan ke Kuala Lipis dibuat hanya sementara namun memakan masa lebih 64 tahun sebelum pusat pentadbiran negeri Pahang dipindahkan ke Kuantan pada 1955.

Meskipun tarikh pengikhtirafan Pekan sebagai bandar diraja tidak dapat dikenal pasti secara tepat namun sejak awal lagi daerah tersebut dianggap sebagai bandar diraja.

DI Pekan terdapat pelbagai tempat menarik dan tinggalan sejarah yang boleh dikunjungi. Sesuai dengan statusnya sebagai bandar diraja, Pekan menawarkan pelbagai destinasi dan produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya.



Seni reka dan dekorasi bangunan Muzium Sultan Abu Bakar.  Pekan

Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Datuk Ishak Mokhtar (gambar) berkata, antara tarikan dan tempat bersejarah di Pekan ialah istana Leban Tunggal, Muzium Sultan Abu Bakar, makam-makam diraja, Memorial Tun Abdul Razak dan Kompleks Tenun Pahang Diraja.

“Selain itu di Pekan turut menawarkan destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi seperti Tasik Chini. Tasik semulajadi yang kedua terbesar di Malaysia itu merupakan antara lokasi tumpuan pelancong terutama bagi penggemar aktiviti lasak dan pencinta alam sekitar. Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan pengunjung di tasik tersebut antaranya berkayak, memancing, melihat pemandangan semula jadi dan merentasi hutan.
“Di lokasi tersebut juga Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) telah menubuhkan satu stesen penyelidikan iaitu Pusat Penyelidikan Tasik Chini (UKM-PPTC) untuk membuat kajian dalam aspek biodiversitinya. Selain itu di Pekan juga terdapat persisiran pantai Nenasi di samping Sungai Miang dan Sungai Pahang yang boleh dikunjungi bagi mereka yang meminati kawasan pantai dan sungai,” katanya.

Dalam pada itu, pelbagai usaha dilakukan bagi membangunkan dan mempromosikan produk-produk baharu ekopelancongan yang terdapat di Pekan di dalam usaha memperkenalkan bandar tersebut sebagai salah satu destinasi yang mempunyai banyak lokasi percutian menarik.



Pemandangan Tasik Chini yang menjadi tarikan pengunjung.

“Kami kini dalam perancangan hendak membangunkan Hutan Paya Gambut sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai aktiviti mendekati alam semulajadi seperti river Crossing, boat wacthing dan banyak lagi,” katanya.


Makam tinggalan sejarah

DI
Pekan terdapat banyak makam yang mempunyai sejarahnya tersendiri. Maklumat sejarah berkenaan makam-makam tersebut sangat penting di dalam membuktikan kewujudan hubungan luar Kesultanan Melayu Pahang dengan negeri-negeri lain seperti Melaka, Johor dan Aceh.

Menurut Kurator Lembaga Muzium Negeri Pahang (LMNP), Rasidah Abdul Rashid, Makam Diraja Kampung Marhum yang terletak di tebing kiri muara Sungai Pahang di antara Kuala Pahang dan Kampung Marhum merupakan antara makam bersejarah di Pekan.


Makam Sultan Muhammad Shah antara tinggalan sejarah yang dikaitkan dengan keturunan Kesultanan Melaka.

“Kebanyakan yang dimakamkan di kawasan tersebut terdiri daripada keluarga diraja antaranya Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah, Sultan Mahmud (Sultan Pahang kedua),Sultan Abdullah (Sultan Pahang ketiga), Bendahara Tun Korish, Bendahara Tun Ali, Tun Fatimah (Tengku Ampuan pertama), dan Sultan Mahmud Muzaffar Lingga-Riau dan Sultan Abdul Jalil Ri’ayat Shah (Raja Johor kedua).

“Makam tersebut dipercayai digunakan sejak abad ke 19 namun jika melihat kepada kepelbagaian batu nisan yang sebahagiannya terdiri daripada batu nisan Aceh, kewujudannya mungkin lebih awal daripada zaman tersebut. Ini kerana penyebaran batu Aceh dikatakan berlaku antara abad ke-13 hingga ke-19,” katanya.

Selain itu, makam Permatang Pasir turut menyimpan sejarah berhubung kemungkinan ajaran Islam telah sampai ke Pahang lebih awal dari negeri-negeri lain.

“Ini berdasarkan penemuan sebuah batu nisan bertulis di Kampung Permatang pasir yang tertera tarikh 419 hijrah bersamaan dengan tahun 1028 masihi yang digunakan sebagai bukti tarikh kedatangan Islam ke Pahang. Bagaimanapun penemuan itu tidak dapat dikaitkan dengan perkembangan Islam di Pahang.

“Justeru, ramai ahli sejarah berpandangan bahawa pengislaman di Pahang dipengaruhi Kesultanan Melaka kerana Sultan Pahang pertama yang beragama Islam merupakan keturunan Sultan Melaka iaitu Sultan Muhammad Syah, Putera kepada Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah. Pemerintahannya berlangsung selama enam tahun sebelum mangkat pada 1475,” katanya.

Sultan Muhammad Syah selepas itu dimakamkan di suatu tempat yang dikenali sebagai Dusun Pinang yang terletak di dalam mukim Pahang Tua di Pekan.

“Batu nisan yang terdapat pada makam Sultan Muhammad Syah bagaimanapun dipercayai ditemui di makam Langgar di tepi Sungai Pahang Tua selepas berlakunya banjir besar pada 1926.

“Makam itu pada suatu ketika dahulu dianggap sebagai keramat kerana penduduk kampung mendakwa sering kali mendengar suara orang membaca tahlil pada setiap malam di makam berkenaan,” katanya.

Selain itu, Makam Chondong yang terletak di Kampung Mengkasar turut diwartakan sebagai tempat bersejarah.

“Kawasan tersebut pada suatu ketika dahulu merupakan tempat laluan gajah-gajah yang membawa kayu balak untuk pembinaan istana Seri Terentang. Disebabkan kerja-kerja tersebut banyak batu-batu nisan mengalami kerosakan dan berubah menjadi condong. Malah namanya juga dikenali sebagai Makam Chondong disebabkan pokok-pokok di kawasan itu condong di antara kanan dan kiri sehingga membentuk satu laluan.

“Antara yang dimakamkan di lokasi tersebut ialah Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddim Shah (Marhum pahang), Raja Muda Abdullah (Marhum Muda Pahang) danPuteri Bongsu Chendera Dewi,” katanya.

Makam berkenaan dipagar pada 1990 untuk kerja-kerja pemugaran yang melibatkan kerja tanah, membina jalan, memagar, membina cungkup dan memasang papan tunjuk arah.

“Sebelum ini pemugaran pernah dibuat dan penduduk juga pernah memulihara kawasan tersebut dengan membina bangunan berangkakan kayu dan beratapkan zink tetapi disebabkan faktor masa dan keadaan serta binatang seperti gajah, kerbau dan lembu berkeliaran, maka batu nisan dikawasan tersebut mengalami kerosakan,” katanya.

Selain itu, antara makam-makam bersejarah lain yang terdapat di Pekan ialah makam Datuk Seri Nara Diraja, makam Cik Rial, makam Tanjung Johor, makam Syed Abu Bakar, makam Padang Hangus, makam Pulau Jawa, makam Nibong, Komples Ziarat Raja Raden, makam Tok Panjang, makam Tok Acheh, makam Diraja Kuala Pahang dan makam Tok Tuan.
Istana lambang bandar diraja

PADA zaman penjajahan British, istilah ibu negara (kini ibu negeri) digunakan bagi menunjukkan kawasan bandar yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan dan kebiasaannya istana dibina di lokasi tersebut bagi memudahkan segala urusan pentadbiran dijalankan.


Pintu gerbang Istana Abu Bakar merupakan istana rasmi Sultan Pahang.

Bagaimanapun di sesetengah negeri, British terpaksa mewujudkan pusat pentadbiran di kawasan yang berlainan dengan lokasi istana disebabkan faktor-faktor geografi dan ekonomi.

Sebagai contoh di Perak, walaupun Sultan Perak bersemayam di Kuala Kangsar, namun Ipoh diangkat sebagai ibu negeri memandangkan daerah tersebut merupakan kawasan yang paling pesat membangun berikutan pembukaan banyak lombong bijih sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi.

Begitu juga di Pahang, Pekan merupakan bandar diraja sementara Kuantan yang terus berkembang sebagai pusat komersil dan perusahaan yang penting dipilih sebagai ibu negeri selepas pentadbiran British dipindahkan dari Kuala Lipis.

Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pahang (LMNP), Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal (gambar), Pekan sememangnya amat terkenal sebagai sebuah bandar diraja kerana daerah itu menjadi tempat bersemayam sultan dan kerabat diraja Pahang sejak dahulu lagi.

Pekan menepati ciri-ciri sebagai sebuah bandar yang diiktiraf sebagai bandar diraja kerana mempunyai bangunan istana yang menjadi lambang kepada gelaran tersebut. Istana merupakan tempat tinggal sultan atau raja yang digunakan untuk melaksanakan adat istiadat perkahwinan diraja, hari keputeraan diraja, pertabalan diraja dan pelbagai lagi.

“Jika kita mengimbas kembali ketika zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1914 hingga 1917), sebuah istana yang diberi nama sebagai Seri Terentang telah dibina (pada 1908) di Pekan sebelum dirobohkan apabila kos membaiki didapati lebih tinggi daripada kos membina sebuah istana yang baharu.

“Menginjak ke zaman pemerintahan Sultan Abdullah (1917 hingga 1932), beberapa bangunan lain telah dibina antaranya Istana Kuning, Masjid Abdullah dan Rumah Rehat yang menjadi kebanggaan bandar pekan.

“Selepas itu, pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar (1932 hingga 1974), Istana Abu Bakar siap dibina di atas tapak istana Seri Terentang yang pernah didirikan sebelum ini. Istana Abu Bakar yang dilihat sehingga hari ini merupakan istana rasmi bagi negeri Pahang Darul Makmur.

“Selain itu terdapat juga beberapa bangunan yang telah dibina iaitu Istana Permai, Istana Saadah dan jambatan Sultan Abu Bakar,” katanya.

Pekan di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah kini dilihat semakin berkembang maju dari segi pembangunan fizikal dan infrastrukturnya yang turut menyaksikan pelbagai kemudahan dibina setanding dengan bandar-bandar lain.

Sungguhpun begitu, perkembangan ini tidak menjejaskan kedudukan Pekan sebagai sebuah bandar tradisi yang mementingkan suasana persekitaran dan alam semula jadi yang menenangkan serta mempesonakan.

Mengimbau peranan istana pada suatu ketika dahulu, menurut Ahmad Farid, istana memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran, intelektual, pengumpulan khazanah penting warisan budaya malah menjadi ‘pintu masuk’ kepada pedagang luar.

“Sebelum pedagang-pedagang luar menjalankan aktiviti perniagaan di Pekan, mereka perlu menghadap sultan dan bertemu para pembesar terlebih dahulu bagi mendapatkan kebenaran. Sebab itu, istana merupakan pintu masuk kepada pedagang luar untuk mengadakan rundingan atau perbincangan.

“Ketika menghadap sultan selalunya mereka akan mempersembahkan barang-barang mereka dari negara masing-masing yang terdiri daripada material yang berkualiti tinggi sebagai memberi penghormatan dan menawarkan hadiah kepada sultan.

“Maka tidak hairanlah banyak tinggalan sejarah seperti manuskrip, kitab-kitab lama, perubatan, tekstil, hasil tenun, seramik, barang kemas, tembikar dan sebagainya yang terdapat pada hari ini diperolehi dari istana.

“Jadi boleh dikatakan istana ketika itu berfungsi sebagai ‘muzium’ meskipun istilah tersebut belum digunakan lagi dan hanya mula muncul ketika zaman pemerintahan British yang menyaksikan muzium pertama dibina di Taiping, Perak,” katanya.

Selain istana, masjid juga merupakan peninggalan sejarah penting di Pekan. Terdapat beberapa monumen seperti masjid asal yang masih dikekalkan sehingga hari ini menjadi bukti pengembangan Islam di Pekan.

“Di Pekan, Masjid Sultan Abdullah merupakan antara bangunan warisan bagi negeri Pahang. Masjid tersebut dibina (1929) bagi menggantikan masjid lama (tertua) di bandar tersebut,” katanya.

Membicarakan tentang hubungan kerabat diraja dengan rakyat, beliau berkata, walaupun berlainan hierarki namun hubungan kedua-duanya sejak pemerintahan Sultan Abu Bakar lagi memang agak istimewa.

“Menerusi pelbagai cerita dan sumber bacaan, Sultan Abu Bakar disifatkan sebagai merendah diri, mudah bergaul dan rajin turun padang bertemu dengan rakyat.

“Pernah juga dikatakan baginda turun berbasikal mengelilingi Pekan bagi melihat sendiri keadaan masyarakat dan mendengar permasalahan rakyat. Sikap berjiwa rakyat itu turut dimiliki Sultan Ahmad Syah. Baginda sentiasa turun padang setiap kali rakyat dilanda musibah dan melihat protokol hanya untuk majlis-majlis atau perkara-perkara tertentu yang dirasakan perlu.

“Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah juga seorang yang mudah mesra dan gemar memasak bersama rakyat. Ketika bekerjasama dengan tunku di dalam menghasilkan buku masakan Air Tangan Tengku Puan Pahang: Masakan Tradisional Pahang, saya pernah memohon supaya tunku menjadi penaung namun tunku menawarkan diri untuk terlibat secara langsung dengan projek tersebut.

“Disebabkan minatnya yang mendalam terhadap masakan, tunku ikut serta turun padang dan memasak setiap resipi yang diperolehi dari seluruh Pahang. Dalam tempoh setahun kami berjaya menghasilkan 500 resipi melibatkan masakan daripada pelbagai kampung termasuk pedalaman Orang Asli,” katanya.