March 9th, 2015

Profesionalisme dalam sukan

AKTIVITI sukan sudah dilihat sebati dalam kalangan rakyat negara ini sejak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 lagi. Tiada apa yang menghairankan apabila pertandingan akhir bola sepak Liga Perdana di Stadium Nasional, Bukit Jalil disaksikan oleh lebih 80,000 peminat sukan bola sepak di seluruh negara.

Sukan juga digunakan oleh kerajaan sebagai satu mekanisme untuk memupuk semangat kekitaan dan mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Tanpa perpaduan yang kukuh sudah tentu negara tidak mampu untuk merealisasikan segala impian dan matlamat yang di­gariskan untuk rakyat. Semua pihak sama ada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lebih-lebih lagi rakyat perlu bekerjasama dan bagi tujuan tersebut.

Ada perbezaan antara aktiviti sukan amatur dan profesional. Sukan di negara ini masih bersifat amatur secara umumnya tetapi usaha dan bibit-bibit ke arah profesional itu sedang diusahakan terutama dalam kalangan sukan yang mendapat sambutan ramai seperti bola sepak dan badminton. Ramai individu terlibat dengan aktiviti sukan di negara ini adalah secara amatur.

Ringkasnya amatur bermaksud individu yang terlibat dengan aktiviti sukan atas sifat suka akan sukan itu dan bukan atas kepentingan ganjaran. Ia lebih menekankan kepada nilai-nilai fair play, keadilan, hormat kepada pihak lawan, pengadil dan pegawai. Sukan profesional lebih menekankan kepada ganjaran yang diterima oleh individu yang terlibat. Dikatakan, New Zealand dianggap sebagai sebuah negara paling amatur atas pengli­batan rakyat dengan aktiviti sukan.

Individu perlu kekal sebagai amatur jika mahu terlibat dengan banyak dalam pertandingan termasuk pada peringkat antarabangsa. Di Amerika Syarikat, perbezaan antara amatur dan profesional atlet adalah tidak sama apa yang terdapat di England dan memaparkan kehidupan yang lebih baik dalam masyarakat demokratik.

Kini, sukan jika diikuti secara betul dilihat adalah cara terbaik membentuk karakter individu di samping memberi manfaat dari segi kesihatan dan kekuatan. Agak jelas peranan amatur mengekang proses profesionalisme sukan sama yang terdapat di tempat lain seluruh dunia.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan profesionalisme sukan? Dalam dunia sukan, perkataan profesionalisme telah digunakan dengan cara stereotaip. Dari perspektif sejarah, profesionalisme merujuk kepada individu yang menumpu sepenuhnya pada sukan sebagai suatu pekerjaan, dibayar gaji seperti pemain bola sepak Bri­tish.

Hari ini, ia bermaksud pembentukan jawatan kerja untuk kedua-dua pengamal, pelbagai pentadbir (penyelia, ahli ekonomi, pegawai undang-undang, agen) dan jurulatih di mana bentuk, pengisian dan objektif adalah sama seperti jawatan lain dalam masyarakat.

Konsep profesionalisme me­ngambil kira peranan sesebuah organisasi yang kuat di mana amalan rasionalisasi dan keberkesanannya memberi kesan kepada organisasi dan aktiviti sebenar kesukanan. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk mentransformasi sukan dari sudut amatur kepada profesional kerana melibatkan kewangan yang banyak.

Tidak banyak sedikit isu profesionalisme turut membabitkan pemegang jawatan dalam persatuan sukan di negara ini dan secara tidak langsung dikaitkan dengan pencapaian prestasi para atlet dalam sesuatu bidang sukan yang dijaga. Ada kalanya pemegang jawatan dikatakan tidak mempamerkan sikap profesional dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan - lebih-lebih lagi bagi mereka yang dibayar gaji. Walaupun seseorang individu itu menjawat secara sukarela dalam persatuan sukan, individu ber­kenaan tetap tertakluk kepada peraturan dan tatacara yang ditetapkan oleh organisasi sukan itu. Ini melibatkan isu tanggungjawab atau akauntabiliti seseorang individu yang menjawat jawatan dalam persatuan sukan.

Akauntabiliti dilihat dari aspek kemahiran, integriti, ketelusan, ke­terbukaan dan etika. Budaya etika bersifat profesional seperti yang ditekan di atas perlu dihayati dan diamalkan setiap masa.

Perkara yang kerap timbul dan dipertikaikan ialah aspek kawalan dan pengendalian kewangan yang masuk ke kantung persatuan yang gagal diurus dengan baik dan berkesan. Tidak kira sama ada kewangan yang disumbang oleh kerajaan atau swasta yang penting ia perlu diurus dengan baik dan efisien. Jika berlaku kelemahan, semua ini perlu diatasi dengan melakukan penambahbaikan segera bagi mengelakkan kerugian terus berlaku.

Kita mesti ingat segala peruntukan kewangan yang disumbangkan oleh kerajaan kepada persatuan sukan melibatkan wang pembayar cukai. Jadi penjawat dalam persatuan sukan harus bertanggungjawab atas peruntukan besar yang diberikan oleh kerajaan.

Segala kelemahan perlu diakui oleh persatuan dan tidak menutupnya ibarat bidalan Inggeris yang berbunyi, Don’t sweep the dusts ­under the carpet. Jika ini dilakukan, lambat laun segala kepincangan akan terbongkar juga. Jika pegawai yang dipertanggungjawabkan ti­ada kemahiran tertentu, pastikan pegawai ini mengikuti kursus yang berkaitan bagi membolehkan ia menjalankan tugasnya dengan berkesan lagi.

Ada juga kedengaran rungutan pihak luar iaitu pihak persatuan tidak memberi peluang kepada individu berkebolehan yang mempunyai ilmu dan kemahiran untuk ditarik masuk ke dalam persatuan bagi menyumbang kepada persatuan. Ini sesuatu yang merugikan.

Maka sudah sampai masanya, cara pengurusan persatuan diubah kepada yang lebih telus dan profesional jika inginkan keputusan yang baik dalam sukan yang dijaga. Perubahan kepada sesuatu yang lebih meyakinkan dan dinamik diperlukan. Aspek lain yang perlu diambil kira ialah cara membuat keputusan yang berkesan dan beberapa aspek lain.

Jika kita ingin melihat sukan di negara ini maju dengan cepat seperti Korea Selatan, China dan Jepun, konsep profesionalisme ini perlu dipertimbangkan secara serius. Isunya setakat mana kita mahu menerima konsep profesionalisme ini dan mampu bergerak pantas bagi merealisasikan impian tersebut. Semua pihak yang ada kepentingan akan isu ini perlu duduk semeja dan berfikir dalam acuan yang sama dan lebih profesional.

Ini semua tidak hanya bergantung pada pihak kerajaan semata-mata. Sudah sampai masanya semua pihak yang berkepentingan mengambil usaha serius dalam memartabatkan sukan negara dan tidak lagi melihat isu ini secara sinis dan sambil lewa jika ingin meletakkan sukan pada tahap antarabangsa. Aspek profesional perlu diberi perhatian serius mulai sekarang sebelum terlambat.   - Hamdan Ahmad ialah seorang pengkritik bebas sukan. Utusan Malaysia Rencana 09 Mac 2015 12:13 AM

Jadikan IPTA lebih proaktif, berkaliber

Pada 2012, lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara mencipta sejarah baru apabila diberi taraf universiti autonomi, sekali gus menyaksikan transisi perubahan dunia pendidikan negara.

Pemberian taraf autonomi itu selaras hasrat mempertingkatkan daya saing IPTA negara menggembleng tenaga menjadi antara institusi terbaik dunia.

Pada masa sama, ia meningkatkan tahap profesionalisme IPTA dalam pengendalian empat bidang iaitu tadbir urus institusi, kewangan dan penjanaan kekayaan; pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik serta kemasukan pelajar.


SEMUA warga universiti perlu bersatu hati bagi menjadikan kepercayaan yang diberikan kepada universiti autonomi tidak dipersiakan. - Gambar hiasan

Namun, ada pihak berpendapat pemberian kuasa autonomi itu sebagai satu cara kerajaan mengurangkan tanggungjawab memberi bantuan kewangan, sekali gus mengundang persepsi negatif.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Musa Ahmad berkata, tanggapan bahawa pemberian kuasa autonomi kepada universiti sebagai cara melepaskan tanggungan perbelanjaan kerajaan, ia adalah tidak benar.

Beliau berkata, model autonomi yang diperkenalkan di IPTA tidak sama dengan model di negara lain kerana peruntukan kerajaan negara terbabit amat terhad dan kompetitif.

“Bagi IPTA, mereka menerima peruntukan RM15O juta setahun mengikut kategori universiti dengan 90 peratus perbelanjaan masih ditanggung kerajaan.

“Di negara lain, contohnya United Kingdom, sumbangan kerajaan kepada universiti awam sekitar 25 peratus, Australia dan New Zealand (45 peratus) manakala di Singapura, universiti awam menerima sekitar 75 peratus.

“Ini menunjukkan peruntukan besar masih ditanggung kerajaan. Jadi di manakah kewajaran tanggapan itu ?” katanya.

Beliau berkata, bukan mudah universiti yang diberi kuasa autonomi melaksanakan tanggungjawab itu kerana institusi terbabit perlu berusaha keras bagi memastikan kecemerlangan selepas menerima kepercayaan.

Menurutnya, penarafan itu bermakna sesebuah institusi itu sudah dipercayai dan diperakui kemampuannya menjalankan amanah bagi melestarikan apa jua aspek pendidikan tinggi negara.

“Bukan mudah mahu memikul amanah itu kerana selepas penarafan diberi, harapan serta kepercayaan digalas terlalu tinggi dan mencakupi pelbagai aspek perlu diuruskan secara profesional.


BERSTATUS universiti autonomi bermakna menggalas tanggungjawab berat terutama dalam usaha melahirkan generasi yang mempunyai modal insan kukuh selain menjadi sebuah institusi berkaliber dan berdaya saing. - Gambar hiasan.

“Pada masa sama, ia tidak mengetepikan nilai serta keperluan pendidikan lain seperti pembangunan modal insan, kemahiran, kecemerlangan ahli akademik serta pelbagai aspek berkepentingan,” katanya.

Secara amnya, autonomi ialah pemerintahan sendiri yang bila diterjemahkan dalam satu konteks universiti, ia menjelaskan maksud kuasa diberikan kepada sesebuah universiti bagi tujuan menjadikannya institusi berinovasi dan berdaya saing.

Setakat ini 12 IPTA menerima status autonomi iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Universiti lain ialah USIM, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Beliau berkata, universiti autonomi bukan berpaksikan status’ kemegahan’ semata-mata, tapi harus memastikan mereka mampu menjadi institusi berinovasi dan berdaya saing.



PIHAK akademik juga diberi pendedahan untuk membantu universiti membuat perancangan sekali gus menjana profesionalisme hingga peringkat global. - Gambar hiasan. -

Menurutnya, ia sejajar dengan keperluan masa kini yang semuanya sudah bersifat global serta memerlukan pergerakan pantas bagi menyaingi pelbagai kehendak daripada pelbagai pihak.

“Pemberian ini bukan saja mahu menyaingi keperluan semasa semata - mata, malah lebih utama untuk menjadikan institusi lebih proaktif, berkaliber serta berdaya saing.

“Dengan kata lain, institusi kita perlu cekal dan tidak lagi membuat pelbagai alasan bagi mencapai kecemerlangan.

“Sebab itu, bagi mencapai tahap kecemerlangan disasarkan, institusi diberi autonomi supaya dapat menjana pelbagai perancangan serta tidak terikat dengan kaedah dan peraturan kerajaan,” katanya.

Pemberian autonomi turut menjadikan institusi mempelbagaikan kemahiran dalam aspek selain menjadikannya sebuah institusi lebih berdikari, terpimpin dan mandiri.

Beliau berkata, dengan pemberian kuasa autonomi, universiti bebas mencorak gaya dan hala tuju bagi bersaing di pentas global.

“Autonomi bukan sekadar sijil pengiktirafan, tapi turut menagih komitmen warga universiti bagi membolehkan agenda universiti dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, sistematik dan mencapai sasaran,” katanya.

Bagi USIM, penerimaan autonomi menjadi langkah pertama universiti berkenaan menjadi pusat rujukan Integrasi Naqli Aqli di peringkat serantau menjelang 2016 dan di peringkat global pada 2025.

“Visi USIM adalah mengintegrasikan ilmu agama berpandukan al-Quran dan sunnah (Nagli) dan ilmu moden (Aqli) sebagai elemen utama dalam menempa kemajuan.

“Ini perkara baru yang tidak dibawa oleh universiti autonomi sebelum ini sekali gus mampu melebarkan sayap meneroka peluang kerjasama baru di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Antara bidang yang diberi penekanan selepas pemberian taraf adalah kewangan dan menjana pendapatan.

Bagi mencapai hasrat itu, sebanyak 14 pelan tindakan digariskan, antaranya melaburkan dana ke pelaburan yang kompetitif (patuh syariah); menonjolkan USIM sebagai pembekal penyelesaian ( solution provider) kepada industri berkaitan seperti industri halal; mewujudkan program akademik dan kurikulum latihan berteraskan paduan kurikulum Naqli dan Aqli serta meningkatkan sumbangan pelbagai dana wakaf, zakat dan pentadbiran.

Prinsip Asas Autonomi di IPTA

1. Amalan kebertanggungjawaban, ketelusan, akauntabiliti dan nilai serta kualiti yang dibelanjakan dalam semua urusan.

2. Pemantapan sistem dan struktur tadbir urus, pewujudan peraturan yang jelas bagi mendukung pelaksanaan autonomi dan memastikan wujudnya elemen ‘check and balance’ serta ketelusan.

3. Pemakaian semua pekeliling perbendaharaan sebagai asas peraturan berkaitan pengurusan kewangan dalaman dan Lembaga Pengarah Universiti ialah pihak berkuasa yang mengambil alih peranan perbendaharaan dalam memantau dan bertindak melindungi kepentingan pelaburan kerajaan di mana berkaitan.

4. Pemakaian semua Pekeliling Perkhidmatan Awam sebagai asas peraturan berkaitan pengurusan sumber manusia, dan LPU ialah pihak berkuasa yang menggantikan peranan Jabatan Perkhidmatan Awam yang mana berkaitan.

5. Bebanan serta pendedahan kewangan kerajaan hanya dihadkan kepada peruntukan belanja mengurus tahunan dan peruntukan pembangunan yang diluluskan kerajaan melainkan diputuskan sebaliknya oleh Kerajaan Pusat.

6. Penjanaan pendapatan IPTA hendaklah mengutamakan dan memastikan perlindungan serta (insulate and protect) kepentingan universiti dan kerajaan.

7. Skim saraan berasingan, jika perlu diwujudkan IPTA berasaskan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang berkuat kuasa dan sistem ini hendaklah berasaskan prinsip kesaksamaan, kelestarian dan tidak langsung membebankan kerajaan.

8. Tindakan tegas mengikut peruntukan tatatertib semasa sepertinya surcaj, turun pangkat, buang kerja dan yang berkaitan boleh diambil terhadap pegawai dan kakitangan IPTA yang gagal mematuhi tatacara dan peraturan serta cuai semasa melaksanakan tugas.