March 21st, 2015

Pokok hilang dahaga bukti kedatangan Aceh



ALOR SETAR: Tanpa disangka kunjungan ke Makam Puteri Lindungan Bulan, dekat sini, turut membawa kepada penemuan sejenis pokok lokcan, bersebelahan makam berkenaan yang pernah dikaitkan dengan kehadiran Kerajaan Aceh ke Kedah.

Menariknya, pokok lokcan berasal dari Aceh, Indonesia ini hanya boleh dilihat di Kota Siputeh, Padang Sera, dekat sini, yang menjadi satu-satunya lokasi kewujudan tumbuhan terbabit.

Berusia hampir 400 tahun, pokok lokcan di Kota Siputeh ini, tumbuh setinggi kira-kira tiga meter (m) dan rimbun, selain dipercayai mampu berbuah setahun sekali mengikut musim.

Berdasarkan maklumat penduduk kampung, pokok lokcan menjadi antara bukti kedatangan wakil Kerajaan Aceh ke Kedah, kononnya untuk memperisterikan Puteri Lindungan Bulan, sebelum hasratnya ditolak Sultan Kedah ketika itu, Sultan Sulaiman Syah.


POKOK lokcan yang ditanam berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan. - Foto Amran Hamid

Tertarik untuk mengetahui lebih mendalam mengenai kewujudan pokok lokcan ini, wartawan dan jurugambar BH sekali lagi menemui Tokoh Sejarawan, Wan Shamsudin Mohd Yusof bagi mengesahkan dakwaan penduduk kampung.

Sambil mengiyakan cerita itu, Wan Shamsudin berkata, sejarah mengenai pokok lokcan di Kedah bermula ketika angkatan armada dari Aceh diketuai Iskandar Muda Mahkota Alam pada tahun 1619 ke Kota Siputeh bagi menyerang pusat pemerintahan negeri ketika itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain membawa bekalan makanan dan minuman, pahlawan Aceh turut dibekalkan dengan sejumlah buah lokcan kerana ia dipercayai mampu menghilangkan dahaga.

Katanya, ketika angkatan tentera berehat di sebuah kawasan di Kota Siputeh, pahlawan menikmati buah lokcan itu lalu membuang bijinya, sebelum ia tumbuh dan membesar menjadi sebatang pokok.

"Buah lokcan ini berwarna kekuningan apabila sudah masak dan isinya masam serta manis. Rupanya pula seperti buah epal," katanya yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.


POKOK lokcan berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan. - Foto Amran Hamid

Malah, beliau pernah berkunjung ke Aceh pada tahun 1993 bagi menemui rakan sejarawan dengan membawa setangkai dahan dari pokok lokcan.

Berikutan itu, beliau mengetahui bahawa pokok lokcan dikenali sebagai 'berembang' di Aceh dan ia masih dinikmati sebagai `pencuci mulut' oleh penduduk di sana seperti buah-buahan lain.

"Sayangnya, di sini kewujudan pokok lokcan seolah-olah sudah hampir pupus apabila ia hanya tinggal dua batang saja, daripada asal lebih 20 pokok.

"Justeru, kami meminta pihak muzium supaya tidak menebang pokok itu yang menjadi bukti yang mengaitkan serangan Aceh ke Kedah, selain mahu Jabatan Pertanian melakukan sesuatu supaya pokok ini tidak pupus," katanya.

Berkeinginan untuk lebih tahu mengenai kisah pokok ini, BH berkunjung semula ke Kampung Lindungan Bulan dan ternyata kunjungan kami berbaloi apabila berpeluang menemui Yusof Yaakob iaitu penduduk yang tinggal paling hampir dengan kedudukan makam dan pokok lokcan ini.

Yusof yang kediamannya terletak kira-kira hanya 150 meter daripada makam, sudah menetap di sini sejak 50 tahun lalu dan katanya pokok lokcan itu masih sama bentuknya sejak puluhan tahun lalu.

Malah, katanya, setiap kali musim berbuah, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati keenakan buah lokcan yang mampu berbuah hingga ratusan biji dengan rasanya persis pisang kaki.


YUSOF Yaacob ketika membersihkan Makam Puteri Lindungan Bulan di Kampung Siputeh. - Foto Amran Hamid

"Sejak kecil, saya rajin naik ke makam ini untuk kutip buah lokcan yang gugur setiap kali musimnya setahun sekali.

"Dulu saya lihat pokok lokcan ini memang tidak berubah, malah ketika tok wan saya masih hidup, dia turut katakan perkara sama," katanya.

Selain lokcan yang terdapat di atas makam Puteri Lindungan Bulan ini, Yusof yang sering menjaga kebersihan di kawasan makam itu berkata, terdapat sebatang lagi pokok sama tidak jauh dari lokasi pertama.

Namun peliknya Yusof mendakwa, pokok lokcan itu tidak mahu hidup selain di tanah kampung Lindungan Bulan.

Bukan sekadar dakwaan kosong, katanya, temannya dari Kuala Lumpur pernah berkunjung ke sini untuk mengambil baka pokok terbabit sebelum dibawa pulang.

Malangnya, pokok itu mati sebaik ia dibawa ke Kuala Lumpur dan perkara sama turut dialami rakannya dari Johor dan beberapa negeri lain yang berhajat seumpama.

Sementara itu, BH sempat menghubungi Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Kedah, Mohamed Bukhori Abdul Rahman bagi memaklumkan mengenai hasrat persatuan sejarah itu yang mahu baka pokok lokcan terus dipelihara.

Beliau berkata, melalui semakan di laman sesawang mengenai perihal pokok di negara ini, tiada jenis pokok lokcan yang disenaraikan di Malaysia.

"Saya dimaklumkan pokok lokcan hanya ada di situ. Mungkin saya kena pergi tengok bersama persatuan sejarah sebelum kita dapat kenal pasti jenis pokoknya dan melakukan teknik merambat," katanya.






PENDUDUK kampung Siputeh, Yusof Yaacob. - Foto Amran Hamid
POKOK lokcan yang ditanam berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan di Kampung Siputeh, Padang Sera. - Foto Amran Hamid
PAPAN tanda yang dilekatkan di batang pokok lokcan yang ditanam berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan. - Foto Amran Hamid
PENDUDUK Kampung Siputeh,Yusof Yaacob di bawah pokok lokcan yang ditanam berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan di Kampung. - Foto Amran Hamid
PENDUDUK Kampung Siputeh,Yusof Yaacob membersihkan Makam Puteri Lindungan Bulan di Kampung Siputeh. - Foto Amran Hamid





PENDUDUK kampung Siputeh, Yusof Yaacob. - Foto Amran Hamid





POKOK lokcan yang ditanam berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan di Kampung Siputeh, Padang Sera. - Foto Amran Hamid





PAPAN tanda yang dilekatkan di batang pokok lokcan yang ditanam berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan. - Foto Amran Hamid





PENDUDUK Kampung Siputeh,Yusof Yaacob di bawah pokok lokcan yang ditanam berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan di Kampung. - Foto Amran Hamid





PENDUDUK Kampung Siputeh,Yusof Yaacob membersihkan Makam Puteri Lindungan Bulan di Kampung Siputeh. - Foto Amran Hamid





MAKAM Puteri Lindungan Bulan dibersihkan di Kampung Siputeh,Padang Sera. - Foto Amran Hamid





POKOK lokcan yang ditanam berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan. - Foto Amran Hamid





PENDUDUK Kampung Siputeh,Yusof Yaacob melihat pokok Lokcan di Kampung Siputeh. - Foto Amran Hamid





GAMBAR buah lokcan di dalam buku penerbitan Tokoh Sejarah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusof. - Foto Amran Hamid





TOKOH Sejarah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusof menunjukan gambar buah lokcan di dalam buku penerbitan beliau di Lorong Suri Jalan Pegawai. - Foto Amran Hamid

Bahasa Melayu patut jadi hak milik bersama

Usaha menegakkan identiti nasional yang diwakili bahasa Melayu sebagai bahasa negara, didakwa sesetengah pihak sebagai rumit dan tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ini dikaitkan dengan bentuk masyarakat kita yang heterogen, yakni terdiri daripada pelbagai kaum.

Bagi mereka, ia mudah dilakukan dalam masyarakat homogen, seperti di Korea Selatan yang terdiri daripada satu kaum sahaja. Kalau contoh Korea itu digunakan, diakui ia lebih mudah untuk membangkitkan semangat kebangsaan daripada anak watan. Semuanya bukan sahaja berkongsi, tetapi berasal daripada tradisi, budaya dan bahasa yang sama.

Mereka mempunyai perasaan sentimental dan primordial asli serupa yang sejati. Perasaan ini tercetus daripada tempat asal, sistem kepercayaan, budaya, amalan sosial dan bahasa yang sama. Hal sebegini juga jelas kelihatan dalam masyarakat Jepun. Masyarakat heterogen yang dikatakan susah untuk bersatu sebenarnya tidak selalu bersifat sedemikian. Ini dapat dilihat dalam masyarakat Amerika Syarikat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Walaupun begitu, mereka masih boleh bersatu dalam bukan sahaja berkongsi, tetapi bersedia menegakkan perasaan sentimental dan primordial sama.

Rapatkan jurang

Walaupun berasal daripada pelbagai latar dan tidak pun berkongsi tempat asal dan warisan yang sama, khususnya dalam kalangan penghijrah awal, mereka sanggup merapatkan jurang demi membina kehidupan baharu di tempat lain, sebagai satu bangsa bersatu. Ini sepatutnya ikut berlaku di Malaysia. Secara semangatnya selepas sekian lama merdeka, kita sepatutnya sudah dapat menerima perbezaan yang wujud, untuk memperlihat minat mendalam dan ikhlas untuk menjadi satu, dalam mendukung aspirasi negara.

Antaranya identiti nasional yang diwakili bahasa Melayu. Kita sepatutnya menjadi entiti politik rakyat Malaysia yang menerima bahasa Melayu sebagai mewakili setiap warganegara Malaysia untuk apa-apa jua tujuan. Dengan ini, selain peranan integratif yang menyatupadukan kita semua, bahasa Melayu juga perlu diterima dari segi peranan instrumentalnya yang mampu memajukan rakyat serta negara Malaysia. Sehubungan ini, bahasa Melayu perlu diterima sebagai bahasa seluruh rakyat Malaysia. Dengan ini, ia boleh dikenali sebagai Bahasa Malaysia yang cuba dipopularkan sesetengah pihak.

Kepelbagaian dahulu dan kini di Amerika Syarikat sebenarnya berjaya diatasi apabila semua pihak bersedia untuk berasimiliasi, setidak- tidaknya dalam merealisasikan nasionalisme Amerika, bertujuan memupuk dan mendukung kehidupan nasional yang serupa. Antaranya menerima dan menjadikan bahasa Inggeris bahasa negara dan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan yang mengamalkan satu aliran persekolahan. Kepelbagaian di Malaysia berbentuk pluralisme. Walaupun begitu, masing-masing ingin menegakkan nasionalisme etnik sebagai benteng utama kerakyatan Malaysia dan bukannya nasionalisme Malaysia yang bersifat Melayu, seperti yang dipersetujui bersama ketika kemerdekaan.

Tidak perbaiki diri

Nasionalisme etnik ini kelihatan ketara pada kebanyakan lepasan sekolah vernakular, yang hanya fasih dalam bahasa ibunda, tetapi lemah dalam bahasa Melayu yang juga bahasa negara. Walaupun lemah, kesediaan untuk memperbaikinya kelihatan tiada sama sekali, baik peringkat individu atas dorongan sendiri mahupun masyarakat yang digerakkan pemimpin.

Walaupun dibenar mempelajari bahasa ibunda sebagai hak mereka, kaum bukan Melayu juga pada masa sama perlu bertanggungjawab memastikan bahasa Melayu ikut dikuasai dengan baik. Bahasa negara wajib diketahui secara bestari oleh semua rakyat Malaysia. Oleh itu, ia juga wajib dikuasai pada tahap tinggi oleh semua warga negara.

Sudah hampir enam dekad kita merdeka, sepatutnya tidak wujud pun sebarang masalah mengenai pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik, khususnya dalam kalangan generasi muda. Namun, inilah masalahnya. Ada sebilangan rakyat yang tidak mampu memperlihat pendukungan identiti nasional yang diwakili bahasa Melayu. Dalam hal ini, faktor heterogen tidak boleh digunakan sebagai alasan selepas kita berjanji untuk bersatu dalam kepelbagaian. Kita berjanji selepas mendukung identiti etnik masingmasing, kita semua menjunjung identiti nasional yang menggunakan lambang dan proses sosiobudaya Melayu.

Dalam hal ini, alasan heterogen perlu segera digantikan sikap yang lebih positif. Ini sebenarnya boleh dilakukan dengan mudah. Kalau hendak seribu daya, kalau tidak hendak seribu dalih. Teo Kok Seng Berita Harian Kolumnis 21 Mac 2015

Memori peperangan Jitra

Memori Battle of Jitra
Buat pengunjung yang jarang singgah ke wilayah utara tanah air, pasti akan terpukau melihat keindahan pemandangan sawah padi yang terbentang luas.

Lebih mengasyikkan jika memandu menyusuri lebuh raya menuju ke Jitra pada waktu senja apabila pengunjung berpeluang melihat matahari terbenam di sebalik bukit sambil cahayanya melimpahi kawasan sawah padi.

Setiap yang cantik pasti mempunyai kisah kelamnya. Begitu juga nasihat orang tua-tua yang mengatakan ingin mendapat sesuatu yang baik pasti melalui saat susahnya dahulu.

Begitu juga pekan Jitra di Kedah mempunyai kisah peritnya suatu ketika dahulu apabila menyaksikan pertempuran antara tentera British dengan askar Jepun yang mara masuk ke Tanah Melayu melalui negara jiran, Thailand.


JITRA hanyalah sebuah pekan kecil dalam daerah Kubang Pasu, namun menyimpan sejarah hitam yang patut dikenang kerana keangkuhan kerajaan British memandang rendah kekuatan barisan tentera Jepun.

Pakar sejarah berpendapat, ramai yang tidak tahu wujudnya sebuah cerita lama tentang penjajahan Jepun yang masuk ke Malaya pada tahun 1941 bukan sahaja melalui Kelantan.

Mereka turut masuk melalui kawasan utara tanah air dan melumpuhkan barisan pertahanan sekali gus menjadi laluan mudah buat tentera Jepun menguasai Tanah Melayu.

Dinamakan Battle of Jitra atau Pertempuran Jitra kerana pekan tersebut adalah pengkalan bagi Divisyen ke-11 Tentera British (India) dan merupakan benteng pertahanan Tanah Melayu di bahagian utara.

Menariknya peristiwa pertempuran ini, ia cuma berlaku dalam masa dua hari sahaja atau lebih tepat dalam tempoh 36 jam. Masa itu cukup buat tentera Jepun melumpuhkan pertahanan British di Jitra.

Ikuti penjelajahan sejarah Jitra bersama Wartawan S2, Mohamad Athir Ismail menjejaki taktik Ketumbukan ke-25 Tentera Jepun yang berjaya membuat pasukan Divisyen ke-11 Tentera British (India) berundur dan tidak mampu bertahan.

Pengunduran itu 
semuanya berpunca daripada sikap British yang sombong 
dan memandang rendah 
pada Jepun sedangkan pada waktu itu tentera Jepun menghantar pasukan berpengalaman dalam menguasai Indo-China.


Battle of Jitra wajar dikenang
Jitra
merupakan kawasan strategik berikutan kedudukannya yang terletak di selatan Perlis dan berhampiran dengan garisan sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Justeru, secara tidak langsung Jitra menjadi laluan mudah buat tentera Jepun untuk menguasai Tanah Melayu dengan melumpuhkan barisan pertahanan di bahagian utara.

Kisah pertempuran Jitra pasti menjadi detik hitam buat penduduk yang berhadapan dengan serangan mengejut tentera Jepun. Bukanlah tentera British tidak dapat menghidu kedatangan mereka lebih awal tetapi semuanya berlaku terlalu pantas.

Meskipun begitu, hakikatnya kini sejarah Battle of Jitra semakin dilupakan akibat memberi laluan kepada pembangunan seperti pembinaan lebuh raya, jalan raya, perumahan dan sebagainya.

Penolong Kurator Kanan Muzium Negeri Kedah, Zulkhiberi Mat, berkata, sedihnya peristiwa yang berlaku di Jitra tidak diabadikan dalam bentuk-bentuk yang boleh dilihat orang awam.

“Sebagai seorang pegawai muzium menjadi tanggungjawab saya untuk memberitahu masyarakat tentang sejarah terutama tentang negeri kelahiran saya sendiri.

“Justeru, apabila bercerita tentang kisah pertempuran Jitra, saya berasa sedih kerana kisah bersejarah itu tidak dimemorikan dalam bentuk yang mudah dilihat orang awam.

“Jitra hari ini tidak lagi sama dengan dahulu. Kesan-kesan sejarahnya semakin hari semakin hilang. Mungkin kerana tiada nilai komersial yang boleh menguntungkan,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Lantaran kisah pertempuran yang semakin dilupakan, beliau memberitahu akan mengusulkan satu perwartaan warisan kepada kerajaan negeri untuk memelihara kesan-kesan peperangan di Jitra.

“Pihak muzium kini akan bekerjasama dengan Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah untuk membuat satu kajian sejarah pertempuran Jitra dan hasilnya akan dikemukakan dalam mesyuarat kelak.

“Dalam usul itu juga, kami akan mencadangkan supaya dibina sebuah pusat informasi seperti Muzium Jitra serta tugu peringatan bagi mengenang jasa mereka yang terkorban dalam pertempuran selama dua hari tanpa henti tersebut.

“Banyak rumah dan kedai musnah sementara sawah padi yang menjadi sumber pendapatan penduduk pada masa itu musnah akibat asakan peperangan yang tercetus,” katanya.

Jelas beliau lagi, signifikan sejarah pertempuran Jitra ini juga memperlihatkan cara tentera Jepun menghantar perisiknya ke Jitra dan bergaul dengan penduduk tempatan.

Justeru, penting pusat maklumat tentang pertempuran Jitra ini supaya masyarakat boleh tahu bagaimana tentera Jepun dapat mengalahkan British meskipun jumlah kekuatannya lebih sedikit.


Pengajaran daripada pertempuran Jitra
Sambil menyingkap sebuah peristiwa hitam yang tercatat dalam sejarah Jitra, kawasan dalam daerah tertua dalam kesultanan Melayu Kedah itu mempunyai kisah silamnya tersendiri.

Sebagaimana dikatakan sejarah pertempuran di sana tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat tempatan, begitu juga kisah hikayatnya yang penting sebagai asal usul datangnya nama Jitra.

Menurut Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri (gambar), Jitra mempunyai sejarah penting dalam negara khususnya tentang pertempuran Jitra.


.

Suhaidi Shukri

SEBUAH kubu British terletak di jalan yang menghubungkan Hutan Kampung dan Jitra, Kedah

“Apabila menyelak helaian demi helaian buku-buku sejarah daerah Kubang Pasu dan membaca jurnal pertempuran Jitra, pekan kecil itu sebenarnya mempunyai cerita yang sangat menarik.

“Sejarahnya perlu diberitahu kepada masyarakat khususnya penduduk Jitra sendiri tentang signifikan kewujudan kawasan tersebut di daerah tertua dalam Kesultanan Melayu Kedah iaitu Kubang Pasu.

“Kubang Pasu suatu ketika dahulu merupakan sebuah negeri dan Jitra menjadi pusatnya. Dalam catatan sejarah, daerah tersebut ada menceritakan hubungan kerajaan Kedah dengan Siam yang menjadikan Kubang Pasu sebagai sebuah negeri,” katanya ketika ditemubual S2.

Berbalik kepada sejarah Jitra, Suhaidi menjelaskan nama Jitra berasal dari Siam yang membawa maksud singgah sebentar.

“Ejaan asal Jitra adalah 'Jutra' yang dicetuskan oleh seorang anak Raja Siam yang diperintahkan oleh ayahandanya untuk mendapatkan ubat di Gunung Jerai.

“Kemudian, dia telah berhenti berehat di suatu tempat sehingga tertidur di sebelah kudanya. Lalu datang seorang sami dan ternampak sekeping nota diikat pada kuda yang bertulis ‘Sampai pagi makan pagi, sampai petang makan petang.’

“Namun, sami tersebut berpendapat ungkapan sedemikian tidak baik untuk anak raja lalu menukarnya kepada ‘Sampai pagi sambut pagi, sampai petang sambut petang. Kasih ibu dan ayah.’

“Lantaran peristiwa itu, sami tersebut menamakan tempat itu dengan perkataan Jutra yang bermaksud berhenti rehat. Disebabkan perubahan masa dan dialek tempatan, sebutannya telah bertukar menjadi Jitra hingga ke hari ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu terdapat beberapa pengajaran penting dalam sejarah Jitra khususnya kisah pertempuran antara tentera British dan Jepun yang berlaku pada tahun 1941.

“Dalam Divisyen ke-11 tentera British, terdapat beberapa kaum yang diambil menjadi askar. Justeru, dekat situ wujud perpaduan kaum dalam mempertahankan tanah air meskipun kebanyakan mereka bukan berasal dari Tanah Melayu tetapi sanggup mati untuk negara ini.

“Kemudian, lihat aspek positif dalam taktik serangan Jepun, bagaimana mereka boleh mengalahkan British dalam tempoh beberapa hari sahaja dengan jumlah tentera yang tidak ramai. Perancangan yang dirangka tentera Jepun begitu teliti dan berkesan.

“Selain itu, sikap sombong British dan terlalu yakin akhirnya memakan diri sendiri. Sikap ‘tidak apalah’ membuatkan tentera British terkejut dengan serangan Jepun yang disangka mendarat di sepanjang pantai Pekan, Pahang ke Mersing, Johor,” ujarnya.

Suhaidi turut menambah, sejarah pertempuran Jitra wajar dikenang kerana pengajaran dari kegagalan itu adalah penting khususnya buat generasi muda masa kini.


Peristiwa jambatan Manggol
KEGAGALAN tentera British menahan serangan dan mempertahankan kawasan sempadan Tanah Melayu dan Thailand menemui kegagalan apabila tentera Jepun mengasak mereka dari pelbagai sudut meskipun dengan jumlah kekuatan yang sedikit.


Lantaran itu, tentera British telah berundur dari Perlis menuju ke Jitra, Kedah melalui Sungai Bata di Manggol pada waktu petang dan dalam keadaaan hujan lebat.

Manggol telah menyaksikan sebuah kesilapan terbesar British akibat daripada masalah perhubungan antara pemerintah dengan unit komunikasi tentera British.

Menceritakan lebih lanjut tentang peristiwa di Manggol ini, Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azhar Mad Aros berkata, faktor cuaca dan kekurangan daripada segi teknikal dalam komunikasi menyebabkan British terus berundur hingga ke Gurun.

“Peristiwa ini boleh dikatakan seperti ‘kawan sendiri dilihat sebagai musuh’. Pertempuran di Jitra berlaku sewaktu negara dilanda musim tengkujuh yang lazim berlaku setiap hujung tahun.

“Tentera Jepun datang serang kawasan utara tanah air secara terus menerus selama dua hari tanpa henti. Waktu itu pula hujan selebat-lebatnya sehingga ada mengatakan jarak pandangan mata kasar dalam dua hingga tiga langkah sahaja.

“Tentera British ada buat parit sepanjang lebih kurang 14 kilometer sebagai kawasan pertahanan, disebabkan hujan lebat..., habis kubu tersebut digenangi air sampai hendak jalan pun susah. Ya lah...awak bayangkan tanah sawah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, Dr. Mohd Kasri Saidon menjelaskan peristiwa yang berlaku di Manggol menunjukkan begitu kelam-kabutnya strategi British dalam mempertahankan serangan Jepun dalam pertempuran Jitra.

“Di kawasan Manggol, British telah meninggalkan beberapa peralatan seperti kenderaan, senjata, bekalan makanan dan minyak yang boleh membantu mereka bertahan dalam serangan Jepun sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Namun tiga bulan menjadi mustahil sebab pengunduran British berlaku terlalu pantas, sementara sistem komunikasi antara pegawai-pegawai tentera tidak selaras dan sentiasa mendapat maklumat yang salah.

“Dalam proses pengunduran tersebut, tentera British telah melihat sekumpulan tentera Jepun mengekori lalu mereka meletupkan jambatan Sungai Manggol. Sebenarnya, kumpulan tentera yang dianggap musuh itu adalah kawan-kawan mereka,” katanya.

Beliau turut memberitahu, tinggalan bekalan untuk pertahanan selama tiga bulan itu menjadi sia-sia akibat masalah komunikasi dan juga hujan lebat yang menyumbang kepada taktikal peperangan salah.

“Memang teruklah keadaan pada masa itu apabila kawan sendiri pun mereka ingat musuh. Peristiwa Manggol jelas menunjukkan tentera British lebih banyak melakukan pengunduran berbanding bertahan dan menyerang. Tentera Jepun cuma ambil masa satu hari sahaja untuk ke Alor Setar selepas mereka menawan Jitra," ujarnya.


Angkuh punca British kalah
TIDAK dinafikan Jepun memiliki kekuatan dalam pertempuran dengan tentera British di Jitra. Dengan kekuatan pegawai dan anggota seramai 25,000 orang, selain dibantu aset ketenteraan seperti kereta kebal sederhana, kereta perisai, 500 buah pesawat pengebom dan beberapa unit infantri lain, Jepun ternyata mempunyai kelebihan.


PEKAN Changlun pernah menjadi lokasi pertahanan tentera British untuk menghalang kemaraan Jepun masuk ke Tanah Melayu.

Bagaimanapun bagi Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azhar Mad Aros , kelebihan itu bukan faktor utama kemenangan Jepun.

“Sebenarnya sikap bongkak British yang menganggap tentera Jepun lemah dan tidak setanding kekuatan mereka punca utama mereka kalah dan Jepun menang mudah dalam pertempuran itu.

“Disebabkan keangkuhan tersebut, British telah mengambil langkah mudah dengan mengatakan 'tidak mengapa tentera Jepun sedang melakukan latihan ketenteraan' apabila salah seorang peninjau mereka memaklumkan kewujudan beberapa buah kapal perang Jepun di Lautan Pasifik.

“Di samping sikap angkuh, British turut gagal dalam meneliti pergerakan tentera Jepun dengan tepat sehingga merasakan mustahil mereka akan memasuki Tanah Melayu melalui Thailand, sedangkan matlamatnya adalah menguasai Singapura,” katanya ketika ditemubual S2 baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, kerajaan British tidak menyangka tentera Jepun akan memasuki Tanah Melayu melalui Thailand memandangkan laluan ke Singapura agak sukar, selain hutan tebal dan tiada jalan raya.

Beliau turut mengulas faktor kegagalan British di Jitra berpunca daripada kesiapsiagaan pertahanan utara dan taktik serangan yang digunakan oleh Jepun.

“Pemerintah Divisyen ke-11, Mejar Jeneral David Murray-Lyon mengakui sendiri kepada ketuanya bahawa pertahanan utara memang tidak bersedia menghadapi tentera Jepun.

“Puncanya, British menjangka Jepun mendarat di sepanjang pantai antara Pekan, Pahang dan Mersing, Johor. Justeru, kubu-kubu telah siap dibina di sana.

“Tambah pula, kekuatan British di Jitra pada waktu itu hanyalah kepada tenaga manusia dan kereta perisai. Mereka tiada unit artileri seperti kereta kebal dan sebagainya untuk menangkis serangan Jepun,” ujarnya.

Azhar menambah, masalah komunikasi antara tentera dengan kem turut menyumbang kepada kekalahan British hingga tercetusnya insiden di Sungai Bata iaitu peristiwa Jambatan Manggol.


Harapan akhir kekang Jepun
MELINTASI pekan Jitra, tidak ada siapa yang menjangkakan pekan kecil di utara tanah air itu pernah menjadi wilayah harapan buat penjajah British.

Hal itu kerana, ketika Perang Dunia Kedua yang menyaksikan Jepun meluaskan pengaruhnya ke Asia Tenggara termasuk Malaysia atau Tanah Melayu ketika itu, Jitra memainkan peranan penting dalam mengekang kemaraan Jepun yang masuk melalui utara Semenanjung, selain dari Pantai Timur di Kelantan.

Meskipun menghantar tentera daripada Divisyen ke-11 India, British tewas dalam pertempuran yang dikenali sebagai Battle Of Jitra pada 11 dan 12 Disember 1941.

Peperangan tersebut sangat penting kerana ia menjadi ‘pintu masuk’ penguasaan Jepun di Tanah Melayu selepas British kalah teruk dalam pertempuran tersebut.

Menurut Pensyarah Kanan Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, Dr. Mohd Kasri Saidon, terdapat beberapa kawasan terlibat dalam peperangan tersebut.

“Jika awak perasan, Jitra ini secara geografinya terlindung dengan bukit. Secara tidak langsung, ia menjadi benteng memudahkan British membuat pertahanan dengan melepaskan tembakan ke bahagian bawah arah utara.

“Tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu melalui pantai timur dan beberapa daerah di Thailand, antaranya Songkla dan Patani.

“Kemudian mereka melepasi tiga pertahanan British iaitu Changlun, Ason dan Jitra sebelum dapat mara ke Alor Setar, Gurun dan seterusnya menguasai sepenuhnya pertahanan utara Tanah Melayu,” katanya kepada S2.

Beliau yang juga Ketua Biro Kajian dan Penyelidikan, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah turut memberitahu dalam pertempuran Jitra, terdapat satu ketika British berjaya mematahkan serangan Jepun.

“Secara taktikalnya apabila berada di atas bukit, pertahanan menjadi lebih kuat dan mudah mematahkan serangan musuh. Waktu itu, British berjaya menghalang Jepun daripada mara.

“Namun, itu cuma sementara dan tempoh pertahanan terlalu singkat selepas tentera Jepun membuat serangan semula melalui udara, sekali gus memaksa tentera British meninggalkan Bukit Ason untuk berundur ke Jitra.

“Di antara dua tempat pertahanan iaitu Changlun dan Ason, telah berlaku satu pertempuran yang hebat di Nongka. Menurut penduduk kampung pada ketika itu, mereka ternampak tentera British lari ke Ason sambil meninggalkan senjata yang tidak dapat dibawa bersama,” jelasnya.

Tambah anak kelahiran Jitra itu, selepas pertempuran di Changlun dan Ason, pasukan British telah berundur ke Jitra melalui Sungai Bata kemudian sampai ke Manggol.

“Selepas menerima serangan udara tentera Jepun, pasukan British tidak lagi mampu bertahan dan terus berundur sampai ke Jitra.

“Peristiwa pertempuran Jitra hanya berlaku dalam dua hari sahaja, sedangkan mereka menerima arahan daripada pemerintah untuk menyekat kemaraan Jepun sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Saya berpendapat, arahan tersebut tidak dipenuhi kerana tentera yang berjuang boleh diumpamakan sebagai askar upahan, semangat patriotik dalam divisyen India itu belum capai satu tahap sebagai sanggup mati untuk Tanah Melayu,” katanya.

Jelas beliau lagi, pada awal pemerintahan British di Tanah Melayu, mereka tidak mempercayai orang Melayu untuk menjadi tentera.

“Disebabkan tidak percaya kepada orang tempatan, British tidak mampu berperang dengan tentera Jepun pada waktu itu. Sedangkan orang tempatan lebih tahu persekitaran di Jitra.

“Akibatnya tentera British terpaksa meredah paya yang berlumpur, sungai dan sebagainya. Sedangkan orang tempatan mungkin tahu jalan-jalan lain untuk dilalui,”ujarnya.





BAHAGIAN dalam kubu yang dibina British sentiasa digenangi air hingga sekarang.

BOM dan topi keledar yang digunakan semasa peperangan antara tentera Jepun dan British.

SEBUAH kubu British terletak di jalan yang menghubungkan Hutan Kampung dan Jitra, Kedah

Misteri Tasik Chini



PEKAN: Mitos kewujudan piramid di Tasik Chini bukanlah perkara baharu kerana ia sudah menjadi `buah mulut' penduduk setempat, terutama masyarakat Orang Asli sejak tahun 1980-an lagi.

Jika sebelum ini, Tasik Chini dikaitkan dengan legenda 'Naga Sri Gumum', dakwaan terdapat binaan piramid di sekitar tasik semula jadi kedua terbesar negara ini menambahkan lagi misteri yang melingkari tasik berkenaan.

Tasik Chini yang terletak kira-kira 100 kilometer dari bandar Kuantan mempunyai keluasan 5,026 hektar dan menjadi habitat 138 spesies flora dan 300 spesies hidupan bukan akuatik.

Selain itu, ada 144 spesies ikan air tawar direkodkan hidup di tasik berkenaan.

Dipisahkan oleh Sungai Pahang, Tasik Chini dan Tasik Bera adalah laluan utama penduduk dari hulu dan hilir sungai dengan merentasi Gugusan Kuala Semantan sehingga ke Kampung Singgora (nama lama untuk Pekan Maran).

Merangkumi 12 tasik atau lebih dikenali sebagai laut dalam kalangan penduduk setempat dan Orang Asli, dakwaan wujudnya tujuh piramid di kawasan tasik berkenaan tidak dinafikan atau disahkan oleh penduduk.


DUA kanak-kanak dari masyarakat Orang Asli Kampung Cendahan masih selesa dengan cara hidup tradisional. - Foto Halim Mat Ali

Peluang ke Tasik Chini dan bertemu penduduk serta Tok Batin perkampungan Orang Asli di sekitar tasik berkenaan, memberikan gambaran awal terhadap dakwaan itu.

Terdapat beberapa versi mengenai piramid dan kota lama Empayar Khmer yang dikatakan bertapak di kawasan tasik semula jadi ini antara tahun 802 hingga 1432.

Merujuk kepada sejarah, Empayar Khmer mencapai puncak kegemilangannya sekitar abad ke-13, sebelum berlaku perebutan kuasa antara pembesar hingga menyaksikan empayar itu berkubur pada abad ke-15.

Empayar yang berpusat di Funan dan Chenla, dimulakan oleh King Jayavarman II yang turut menggelar dirinya sebagai 'Raja di Dunia' atau 'Raja Segala Raja'.

Ketika era kegemilangannya, Empayar Khmer bukan saja dikenali sebagai sebuah kerajaan yang mewah, bahkan turut menguasai bidang pembinaan serta kaya dengan pelbagai hasil seni yang mengagumkan.

Tinggalan empayar itu yang paling terkenal ialah Angkor Wat di Kemboja, yang menjadi mercu tanda tersohor dan menarik perhatian peminat sejarah dari seluruh dunia melakukan kajian terhadap binaan berkenaan.

Terdapat tiga fasa dalam empayar Khmer iaitu fasa pertama dari tahun 802 hingga 850 di bawah pemerintahan Raja Jayavarman II, fasa kedua diketuai Raja Suryavarman II (1113-1150) dan tahun 1181 hingga 1218 yang diperintah oleh Raja Jayavarman VII.

Empayar Khmer dipercayai mula memasuki Tanah Melayu antara tahun 1000 hingga 1100 iaitu ketika berlaku pertelingkahan dan perebutan kuasa di antara kerajaan lama Empayar Khmer dan Thailand.


BUNGA Teratai antara daya penarik pelancong dari luar negara terutama dari China dan Korea Selatan ke Tasik Chini. - Foto Halim Mat Ali

Walaupun tidak ada bukti jelas mengenai perkara ini, berdasarkan kajian pakar sejarah, tentera dari Empayar Khmer memasuki Tanah Melayu untuk membina kekuatan selepas gagal menguasai kawasan Lamphun (kini dikenali dengan nama Hariphunchai).

Menurut cerita penduduk sekitar Tasik Chini, tentera dari Empayar Khmer dikatakan membina kawasan kota di sekitar tasik berkenaan sepanjang mereka berada di situ.

Sekitar tahun 1994, Tasik Chini menjadi tumpuan pengkaji sejarah berikutan penemuan artifak dipercayai dari zaman Empayar Khmer.

Penemuan secara tidak sengaja oleh pekerja syarikat kontraktor yang diberi tanggungjawab membersihkan dasar tasik itu membuka laluan kepada kajian lebih mendalam mengenai kewujudan kota lama di sekitar tasik berkenaan.

Sehingga hari ini, belum ada bukti kukuh yang boleh mengaitkan kewujudan kota lama atau piramid di kawasan tasik berkenaan, atau di dasar tasik itu.

Kali terakhir kajian dijalankan bagi menjejak kewujudan kota Lama dan piramid ialah pada tahun 2007 oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai Profesor Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (kini Profesor Emeritus dan menjawat jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan di UKM).


KEINDAHAN Tasik Chini menarik kehadiran pelancong. - Foto Halim Mat Ali

Beliau adalah seorang pakar arkeologi terkenal di negara ini dan pernah mengetuai beberapa ekspedisi di dalam dan luar negara bagi menjejak kewujudan kota lama di seluruh dunia.

Kumpulan itu melakukan kajian selama kira-kira dua minggu, sebelum dihentikan berikutan kekurangan dana.




PERKAMPUNGAN Orang Asli Cendahan antara kampung yang terdapat di sekitar Tasik Chini. - Foto Halim Mat Ali

TOK Batin perkampungan Orang Asli Kampung Gumum menunjukkan peta Tanah Adat masyarakat orang asli di kawasan berkenaan. - Foto Halim Mat Ali



PENGUNJUNG akan terasa tenang apabila memijakkan kaki di jeti. - Foto Halim Mat Ali



LALUAN masuk ke Tasik Chini rosak akibat aktiviti perlombongan yang tidak terkawal. - Foto Halim Mat Ali

Pemberi rasuah juga boleh dihukum

APAKAH masyarakat ta­hu bahawa perbuatan memberi rasuah adalah satu jenayah. Kesalahan pemberi adalah sama dengan yang menerima dan jika disabitkan, seseorang itu akan berhadapan hukuman berat termasuk dipenjarakan dan didenda. Rupa­nya ada juga antara kita tidak me­ngetahui bahawa memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah.

Terdapat juga pandangan segelintir masyarakat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah sahaja. Selama ini, masyarakat awam seolah-olah melupakan pihak yang memberi rasuah juga sama jijiknya di sisi undang-undang dan moral, seperti kata pepatah, ‘bertepuk sebelah ta­ngan tidak akan berbunyi’. Jika tiada pemberi, tiadalah penerima­nya.

Akhbar Satar ialah Presiden Transparency International Malaysia (TI-M).


SEORANG pemilik kilang (tengah) dihadapkan di mahkamah atas tuduhan cuba memberi rasuah bernilai puluhan ribu ringgit kepada seorang pegawai syarikat utiliti di Johor Bahru pada 2013. GAMBAR HIASAN

Penulis ingin mengingatkan bahawa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, jelas memperuntukkan perbuatan memberi suapan rasuah merupakan kesalahan serius. Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah. Mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, memberi atau menawarkan rasuah adalah kesalahan yang boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

SPRM juga telah melancarkan kempen membanteras rasuah dan kini turut memberi tumpuan kepada pemberi sogokan berban­ding fokus utama kepada penerima sebelum ini yang kebanyakannya membabitkan penjawat awam.

Kita perlu ingat bahawa penerimaan hadiah boleh bertukar menjadi rasuah sekiranya dalam proses pemberian tersebut ada unsur “niat jahat” untuk mendapatkan sesuatu balasan daripada penerima sebagai pelaburan untuk mendapat sesuatu pada masa akan datang.

Sesuatu pemberian atau pe­nerimaan yang mempunyai ciri ciri “niat jahat” boleh dikesan dan dinilai dalam keadaan yang luar biasa dan tidak munasabah. Pemberi perlu ingat bahawa perbuatan memberi ini amat berbahaya ke­rana penerima boleh menyimpan evidence yang mencukupi untuk digunakan pada masa depan. Si penerima ji­ka merasa terancam juga akan menggunakan maklumat yang sedia ada untuk membuat laporan kepada SPRM serta-merta. Apabila me­libatkan wang ringgit ‘kawan’ yang pernah tidur sebantal pun tidak dipedulikan.

Dari sudut agama pula, perbuatan mereka ini dimurkai Allah SWT dan dilarang keras oleh Nabi SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi dan pe­nerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka.”

Justeru kita perlu berbalik kepada soal moral dan integriti. Jika ditahan kerana melakukan ke­salahan, kita perlu bersedia untuk membayar kompaun atau pergi ke mahkamah, jangan beri rasuah. Cuba elak daripada melakukan kesalahan supaya kita tidak terjebak dalam amalan yang tidak baik ini.

Di pihak penjawat awam, kempen keseda­ran berhubung kewajipan melaporkan apa jua sogokan di bawah seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen-kempen menerusi media massa. Seksyen ini menghendaki setiap cubaan sogokan wajib dilaporkan kepada SPRM atau polis serta-merta.

Namun begitu, kajian ahli kriminologi menunjukkan bahawa ra­suah adalah jenayah tertua dunia sebaris dengan pelacuran. Daripada 10 kes rasuah yang berlaku hanya satu sahaja dilaporkan. Ini kerana kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah daripada kesalahan jenayah ini. Kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati dengan syarat-syarat yang ditetapkan bersama.

Balasan Allah SWT kepada me­reka yang menerima dan makan rasuah terlalu berat. Balasannya, kadang-kadang Allah tunjukkan di atas dunia lagi, antaranya kehila­ngan harta-benda atau wang yang dikumpul hasil rasuah itu dihabiskan oleh anak cucu dalam sekelip mata kerana diperoleh secara tidak berkat.

Adakalanya pula, Allah menangguhkan balasannya itu hingga hari akhirat kelak. Ibnu Khaldun dalam karya agungnya bertajuk Muqaddimah telah mengaitkan rasuah dengan persoalan moral dan keinginan untuk mengecap kemewah­an hidup berlebihan sehingga mendorong mereka yang mempunyai kuasa untuk terjebak dalam amalan ra­suah.

Antara kesan buruk gejala ra­suah termasuklah menimbulkan masalah seperti kemerosotan eko­nomi, ketidakadilan dan pengabai­an kepentingan masyarakat. Hukuman yang menanti adalah berat dan akhirnya boleh meruntuhkan sesebuah organisasi mahupun negara.

Salahkah orang Melayu bersatu?

Walaupun sepatutnya umat Islam bersyukur apabila 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan 12 ADUN Barisan Nasional (BN) di Kelantan sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) kelmarin, tetapi ada pula kelompok Melayu yang resah gelisah.

Mereka menentang kesepakatan tersebut dengan pelbagai alasan termasuklah politik. Yang tidak terlibat de­ngan politik pula secara sinis mahukan UMNO dibubarkan dan bergabung di dalam Pas atas dasar perpaduan Melayu. Apatah lagi sebelum ini UMNO yang mewakili BN di Kelantan membuat keputusan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka.

Sementara ada orang Melayu yang bimbang tidak tentu pasal apabila kedua-dua parti satu suara bagi melaksanakan hukum Allah tersebut, dalam kalangan bukan Melayu pula menentang habis-habisan rang undang-undang itu.

Biarpun sudah jelas undang-undang itu hanya melibatkan orang Islam dan perlu dibawa ke sidang Dewan Rakyat untuk kelulusan sebelum pelaksanaannya di Kelantan namun kelompok tersebut sengaja buat-buat tidak faham.

Ada yang mahu menghukum Pas dan ada pula yang mahu mengancam keluar dari BN. Jelas sekali, mereka sama sekali tidak boleh menerima hakikat dua parti orang Melayu itu boleh mencapai kesepakatan.

Selama ini, ada sesetengah kelompok sama ada orang Melayu atau bukan Melayu melihat perbalahan politik antara UMNO dan Pas adalah rahmat untuk mereka. Kalau kedua-dua parti itu boleh duduk semeja dan bekerjasama, ibarat petaka politik kepada mereka.

Tetapi soalnya, apakah orang Melayu melalui UMNO dan Pas tidak boleh bersatu dan sepakat waima dalam perkara berkaitan agama Islam sekalipun? Apakah mereka mahu kedua-dua parti itu terus berbalah yang akhirnya akan memberi keuntungan politik kepada pihak-pihak lain?

Adalah sesuatu yang aneh apabila kerjasama antara UMNO dan Pas dalam soal hukum hudud dilihat satu masalah sedangkan apabila kaum-kaum lain biarpun berbeza fahaman bersatu bagi memperjuangkan kepentingan mereka, tiada pula yang mahu menentang.

Jika mereka menganggap itu hak mereka untuk bersatu, maka umat Islam juga mempunyai hak dan kebebasan untuk mencari titik persamaan bagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Bersetuju dalam pelaksanaan hukum hudud bukanlah bererti UMNO dan Pas akan bergabung menjadi kuasa politik. Hanya orang yang takut kepada bayang-bayang sahaja akan membuat tanggapan sedemikian.

UMNO menyokong hukum hudud bukan atas dasar politik tetapi demi melaksanakan perintah Allah. Apatah lagi undang-undang itu jika diluluskan di peringkat Parlimen akan berkuat kuasa di Kelantan dan hanya melibatkan orang Islam sahaja, oleh itu kenapa pihak-pihak lain mahu membantah?

Sepatutnya pihak lain tidak perlu membuat tafsiran bukan-bukan terhadap kesepakatan yang dicapai antara UMNO dan Pas dalam soal hukum hudud. Sebaliknya bagi mereka yang mengaku dirinya orang Melayu dan beragama Islam, mereka sepatutnya melafazkan seribu kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana menyatukan pemimpin kedua-dua parti tersebut.

Biarlah hukum hudud menjadi permulaan bagi merealisasikan impian banyak pihak sebelum ini yang mahu melihat apabila tercetusnya isu berkaitan orang Melayu dan agama Islam, UMNO dan Pas akan bersatu dan bersedia mengetepikan perbezaan politik .

Jika benar pihak-pihak tertentu tidak mempunyai agenda tersembunyi, mereka tidak harus berasa takut dengan penyatuan hati antara UMNO dan Pas. Begitu juga bagi kelompok orang Melayu lain yang mengaku memperjuangkan hak orang Melayu dan mahu mempertahankan agama Islam.

Mahu tidak mahu, masanya sudah tiba untuk UMNO dan Pas mencari titik persamaan antara mereka. Kedua-dua parti itu tidak boleh dibiarkan terus berbalah sehingga akhirnya melemahkan kuasa politik orang Melayu. - Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 21 Mac 2015

Tambang baharu hapuskan imej buruk teksi Malaysia?

Awang menyokong pandangan pelbagai pihak agar kerajaan menangguhkan kenaikan tambang pengangkutan awam yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kelmarin.

Kenyataan SPAD bahawa keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kenaikan kos terpaksa ditanggung pengusaha pengangkutan awam bukanlah alasan terbaik. Sepatutnya pengumuman kenaikan hanya dilakukan setelah kajian mendalam dan pandangan pelbagai pihak diambil kira.

Oleh itu adalah lebih baik jika kenaikan itu ditangguhkan dan hanya dilaksanakan apabila waktu betul-betul sesuai. SPAD seharusnya menumpukan perhatian untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam yang semua orang tahu bagaimana keadaannya.

Masih banyak lagi rungutan yang kita dengar mengenai perkhidmatan pengangkutan awam termasuklah sikap pemandu teksi mengenakan tambang sesuka hati mereka. Itulah antara masalah yang perlu diberi tumpuan oleh SPAD dan bukannya mahu memenuhi kehendak pengusaha-pengusaha semata-mata.

Justeru Awang berharap bantahan yang dibuat oleh pelbagai pihak akan difahami oleh SPAD untuk mengkaji semula keputusan kenaikan tambang itu. Awang yakin kerajaan pun tidak akan duduk diam berikutan bantahan rakyat itu.

Awang – Tunggu Kabinet.

kenaikan tambang teksi, kereta sewa dan bas ekspres dibuat, memang tidak kena. Pengguna baru sahaja dikejutkan dengan beberapa ‘siri kenaikan’ kos sara hidup. Harga petrol dan diesel naik semula selepas seketika sahaja turun.

Belum pun sempat orang ramai menikmati penurunan harga barangan dan perkhidmatan selari dengan penurunan harga minyak, tiba-tiba ada satu lagi pengumuman baharu. Kadar tambang pe­ngangkutan awam termasuk komuter KTM pula diisytiharkan naik.



RAMAI tertanya-tanya adakah kenaikan tambang teksi mulai 1 April ini akan disusuli dengan pemulihan imej pengangkutan awam itu terutama di Kuala Lumpur. GAMBAR HIASAN

Pada 1 April nanti, cukai bara­ngan dan perkhidmatan (GST) juga mula dilaksanakan. Menjelang 15 Mei pula, tambang satu lagi pengangkutan awam popular iaitu bas ekspres akan naik.

Semuanya melibatkan orang ramai. Kebanyakan yang menggunakan kemudahan perkhidmatan ini adalah kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah. Alasan apa sekalipun yang digunakan untuk merasionalkan tindakan ini, langkah itu bukanlah sesuatu yang wajar dilaksanakan dalam waktu-waktu sebegini.

Tidak kiralah berapa sen, ringgit atau peratus kenaikannya, orang ramai memang tidak gemar de­ngan berita kenaikan harga barangan dan per­khidmatan pengguna. Da­am keadaan kos sara hidup meningkat bagai tidak boleh ditahan-tahan lagi, pengumuman ini menambahkan tekanan kepada setiap orang.

Walaupun amat sukar sekali untuk menerima apa yang telah diumumkan itu, mahu tidak mahu semua orang perlu akur dan me­nerima paksa apa yang telah dibuat. Apa lagi pilihan yang mereka ada?

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mempunyai alasannya sendiri. Kali terakhir semakan kadar tambang teksi dibuat pada tahun 2009.

Dari satu sudut, golongan pemandu teksi juga adalah dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Tetapi berapa ramai yang memiliki teksi sendiri tidak dapat dipastikan. Kebanyakannya menyewa teksi. Mereka terpaksa berhadapan dengan kos pe­nyenggaraan kenderaan yang tinggi yang sudah tentunya menjejaskan kutipan sehari suntuk bekerja masing-masing.

Penyelarasan kadar tambang baharu ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban tersebut. Suruhanjaya itu juga menyifatkan kadar baharu itu munasabah serta tidak membebankan orang ramai.

Kalangan pengguna pula mengharapkan selepas kadar tambang baharu dikuatkuasakan, tidak ada lagi cerita-cerita negatif tentang perkhidmatan teksi di negara ini. Daripada kisah sikap pemandu teksi sehingga kepada rupa wajah teksi. Tidak ada lagi kes-kes penumpang tertipu de­ngan caj berlebihan sehingga tidak masuk akal kerana penggunaan meter tipu.

Juga tidak ada lagi berita pelancong asing ‘kena sembelih,’ pemandu teksi yang bersikap kasar dan tidak beradab, pemandu teksi samseng serta keadaan dan kualiti kenderaan yang dijadikan teksi itu sendiri.

Perlakuan dan sikap buruk segelintir pemandu teksi ini adalah barah yang memberi imej negatif kepada perkhidmatan teksi di ibu kota. Bacalah forum-forum pelancongan tentang Malaysia di media sosial.

Ketika semua­nya memberi ko­men memberangsangkan tentang Malaysia serta rakyatnya yang mesra dan berbudi bahasa, keba­nyakannya memberi komen negatif apabila menyentuh bab-bab per­khidmatan teksi. Malah para pelancong diberi peringatan dan ‘amaran keras’ agar berhati-hati sebelum menggunakan perkhidmatan teksi khusus­nya di Kuala Lumpur.

Perkara ini sudah berlarutan agak lama dan seperti tidak berkesudahan. Pelbagai tindakan penguatkuasaan sudah diambil, tetapi kes-kes seumpama itu tetap berlaku. Penyelarasan kadar tambang baharu ini diharapkan dapat membantu memulihkan kembali imej perkhidmatan teksi negara.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan agensi-agensi penguatkuasaan perlu memastikan selepas tambang baharu diperkenalkan, nama baik perkhidmatan ini dapat dibaik pulih. Kualiti per­khidmatan teksi dan kereta sewa mening­kat berban­ding sebelum ini.

Tidak ada lagi teksi atau kereta sewa yang tidak ubah seperti kereta buruk. Tidak ada lagi pemandu yang enggan menggunakan meter, enggan mengambil penumpang atau memilih penumpang. Yang penting sekali kumpulan pemandu teksi samseng yang lagaknya menakutkan pelancong asing dapat dibanteras.

Dalam pada itu SPAD dan agensi penguat kuasa lain kena meneruskan kerja-kerja penguatkuasaan bagi memastikan per­khidmatan ini tidak terus dicemari dengan sikap buruk segelintir pemandu teksi. Pandangan orang luar ke atas perkhidmatan ini yang tidak pernah baik perlu diperbetulkan.

Pengusaha dan pemandu pula teksi sudah tidak ada alasan lagi untuk merungut. Permintaan dan tuntutan agar kadar tambang teksi dikaji semula sudah dipenuhi. Sekarang masa untuk memulihkan kembali imej perkhidmatan ini yang sudah lama terpalit de­ngan macam-macam cerita tidak enak.