March 26th, 2015

Ranking dunia bukan penentu kualiti pendidikan

Perbincangan mengenai pendidikan bertaraf dunia banyak dibincangkan di Universiti Sains Malaysia (USM) apabila dipilih sebagai universiti untuk memacu kecemerlangan atau APEX pada tahun 2008 iaitu bagaimana mencapai universiti bertaraf dunia dan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah itu. Penulis masih ingat soalan yang sering ditanyakan oleh Naib Canselor USM ketika itu, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, iaitu: universiti bertaraf dunia - dunia siapa?

Soalan ini menarik kerana ia membabitkan persoalan siapa yang menentukannya dan mengikut nilai apa dan siapa? Apakah ciri universiti bertaraf dunia walau pun sesebuah universiti itu mungkin memberikan sumbangan yang besar kepada negara dan dalam sesuatu bidang ilmu yang mungkin tidak setara dengan nilai ditetapkan oleh mereka yang membuat penilaian. Ada banyak penulisan akademik dan ilmiah tentang universiti bertaraf dunia, namun masyarakat lebih memahami dari aspek pengiktirafan yang diberikan oleh pihak lain mahu pun kebolehpasaran siswazah yang memenuhi keperluan pasaran.

Lebih obses penilaian pihak luar

Kebelakangan ini terdapat pelbagai penarafan dan ranking dunia dibuat dalam menilai 'prestasi' IPT dengan menggunakan indikator serta pendekatan tersendiri. Sesetengah pihak menjadikannya sebagai penetapan taraf dunia seperti SCIMAGO Institution Ranking, QS Ranking, Time Higher Education (THE) World University Ranking, Academic Ranking of World Universities (Shanghai Jiao Tong) - ARWU, CWTS Leiden Ranking, U‐Multirank Ranking. Shanghai Jiao Tong ARWU mempunyai metodologi berbeza dengan QS-WUR. Ia tidak mempunyai kriteria berasaskan soal selidik, maka secara relatif, pendekatannya lebih objektif dan sukar. Namun, ramai lebih obses melihat penilaian pihak luar dari universiti yang menggunakan soal selidik.

Setiap tahun apabila ranking diumumkan, banyak kritikan dilemparkan yang katanya belum mencapai taraf dunia walau pun sesetengah universiti negara ini berkedudukan baik dan tinggi, namun itu dianggap belum mencukupi kerana kepercayaan dan persepsi bahawa ranking akan menentukan kedudukan universiti kita.

Ada juga pihak membuat ranking ini meminta universiti yang ingin diberikan penarafan tinggi mengikuti persidangan yang dibuat supaya mematuhi kriteria ditetapkan, penasihatan oleh pihaknya, promosi melalui berita atas talian dimiliki dan dikuasai mereka supaya lebih visible dan pelbagai lagi dengan bayaran besar.

Menariknya juga ialah antara kriteria yang perlu dipenuhi ialah mengambil kira jumlah pelajar dan pensyarah antarabangsa di universiti itu. Semakin ramai semakin tinggi markah diberi sedangkan bagi sesebuah universiti seperti di negara ini memberikan keutamaan kepada keperluan menyediakan tempat kepada anak tempatan termasuk pelajar mahu pun pensyarahnya. Apatah lagi kos menarik pensyarah dan kepakaran luar negara bukanlah kecil sedangkan negara mempunyai kepakaran tempatan terhasil melalui pelaburan besar membiayai pengajian mereka termasuk di universiti terkemuka dunia.

Bergerak maju seiring nilai sendiri

Justeru, ada pihak menanggapi bahawa apa yang berlaku sekarang dengan nilai yang diberikan penekanan oleh mereka yang membuat penarafan adalah sebahagian daripada proses jajah semula. Ini pernah dibincangkan pakar pendidikan seluruh dunia dalam International Conference on Decolonising Our Universities pada Jun 2011 di Pulau Pinang yang melihat pentingnya universiti kita bergerak maju seiring dengan nilai sendiri dan pada masa yang sama relevan dalam konteks sosial dan global dengan keperluan memecahkan dominasi dan kuasa monopoli intelektual oleh satu pihak dalam konteks pembangunan negara bangsa itu sendiri.

Dalam konteks negara kita misalnya, bagaimana nilai murni dan kepelbagaian yang ada termasuk soal integriti dan perpaduan, toleransi dan pelbagai keperluan jati diri dapat disemai bersama-sama dengan pengukuhan ilmu kearifan tempatan yang kian pupus, melibatkan sama komuniti dan pemindahan ilmu secara menyeluruh dapat digabungjalinkan dengan berkesan untuk menyumbang kepada proses pembinaan negara bangsa secara berterusan. Pada akhirnya pendidikan di universiti seharusnya melahirkan mereka yang mampu berfikir dan menilai dengan kebijaksanaan membuat pertimbangan serta menghasilkan sesuatu yang baharu, dan mencipta peluang-peluang yang boleh diterokai dan dikongsi bersama.

Sungguh pun begitu, universiti mempunyai cabaran besar untuk dihadapi dan keluar dari zon selesa. Misalnya, perubahan dunia global yang saling berkait dan berhubungan, komunikasi global canggih, banyak proses pembangunan dan kemajuan tidak lestari apatah lagi perkembangan pesat ilmu dalam pelbagai bidang, usaha berterusan perlu dibuat untuk memastikan harapan pemegang taruh dan memenuhi harapan suara yang begitu prihatin melihat perubahan pantas dalam pelbagai bidang selari dengan keperluan negara bersaing di pentas dunia.
Mohamad Abdullah Berita Harian Kolumnis 26 Mac 2015