March 30th, 2015

Untuk apa buat GST?, Tegas laksana GST

Untuk apa buat GST?
KERAJAAN telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk para usahawan yang hendak menjejakkan kaki mereka ke dunia perniagaan, khususnya buat orang-orang Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Kita telah melihat pelbagai inisiatif seperti pinjaman TEKUN, pinjaman ATOM untuk bengkel automotif, TUKAR dana transformasi kedai runcit, melalui Mara kita menyediakan pelbagai kelas, bengkel, kursus malah menyediakan ruangan inkubator buat para usahawan muda.

Akan tetapi banyak kali kita lihat kegagalan usahawan-usahawan ini bukan sahaja untuk memajukan perniagaan mereka malah untuk berniaga cukup-cukup pulang modal sekalipun amat sukar dalam industri tertentu.

Sememangnya kita perlu akui dalam sesetengah kes usahawan itu sendiri mempunyai masalah disiplin namun dalam bidang peruncitan tertentu, apabila usahawan yang telah kita latih masuk ke dalam pasaran, kita mendapati amat sukar untuk mereka bersaing walhal kalau dari segi zahirnya ini tidak sepatutnya berlaku.

Kita ambil contoh dalam bidang bengkel automotif, berapa banyak kes yang kita dengar dan rekod mengenai alat ganti tiruan, alat ganti seludup malah ada alat ganti cetak rompak dalam pasaran. Agak aneh apabila lebih murah untuk kita mendapatkan alat ganti Toyota dari bengkel ketiga berbanding membeli terus daripada Toyota, malah perbezaan harga alat ganti antara kedua-duanya cukup besar.

Secara zahirnya nampak seperti pasaran domestik kita mempunyai persaingan yang sihat namun kalau dilihat secara teliti banyak ketirisan, salah laku dan penguasaan golongan kartel yang memonopoli pasaran secara gelap.

Sebab itu banyak kita lihat usahawan muda yang membuka bengkel gagal untuk bersaing terutama dari segi harga servis dan harga alat ganti, ini kerana pada usahawan dan peniaga yang mengikut undang-undang akan sentiasa ke belakang berbanding pesaing mereka yang mempunyai kelebihan harga dan kos kerana tidak mematuhi peraturan.

Perkara ini berlaku kerana negara kita selama ini mengamalkan sistem cukai peruncitan yang tidak efisien iaitu SST (Sales and Service Tax). Sistem percukaian yang hanya mengenakan cukai pada pengilang dan pengimport menyebabkan amat sukar untuk kerajaan mengawal selia pergerakan barangan. Ini menyebabkan banyak kes penyeludupan dan perniagaan yang mengelak daripada membayar cukai.

Kita memerlukan sistem percukaian yang lebih telus, sistem yang mudah untuk kita mengawal selia pergerakan barangan dan perkhidmatan di semua rantai penawaran. GST ialah cukai yang dikenakan pada semua transaksi perniagaan dan pada masa sama dirangka untuk tidak terlalu membebankan peniaga melalui sistem tuntutan semula.

Apabila kita dapat melihat jumlah cukai yang dikenakan pada setiap rangkaian penawaran maka kerajaan dapat melihat dengan telus jumlah sebenarnya barangan yang dikilang, diimport, yang dijual, keuntungan dan pendapatan sebenar sesebuah perniagaan itu.

Apabila kita melaksanakan sistem percukaian yang lebih telus maka amat sukar untuk pasaran dikuasai oleh golongan kartel yang menguasai pasaran dengan menawarkan harga yang tidak kompetitif melalui penyeludupan, menyimpan bekalan dan mengelakkan diri dari mengisytiharkan cukai. Sebab itu lebih dari 160 buah negara dalam dunia mengamalkan sistem cukai GST.

Namun sudah pasti ada suara-suara yang mengatakan bahawa akhirnya walau apa sekalipun alasan yang diberikan harga bara­ngan tetap akan naik. Sepatutnya mengikut hukum logik ada barang yang akan turun harganya dan ada juga yang akan naik, ini perlu kita akui, namun peniaga yang paling bising mengenai GST ini kebiasaannya adalah mereka yang selama ini mengelak dari membayar cukai.

Ini kerana bukan sahaja perlu mereka mengisytiharkan cukai barangan yang mereka tidak bayar selama ini, malah melalui sistem GST adalah lebih mudah untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri mengetahui pendapatan sebenar mereka.

Untuk jangka masa pendek memang saya akui akan mempunyai sedikit perasaan tidak selesa terutama apabila rata-rata peniaga mengatakan bahawa mereka dipaksa menaikkan harga. Namun apabila pembetulan pasaran bermula, peniaga terpaksa bersaing dan menerima hakikat pelaksanaan sistem cukai ini maka pasaran akan kembali stabil.

Samalah seperti ubat kita akan merasakan sedikit pahit pada permulaan namun kita harus laksanakan ini demi kebaikan pasaran kita untuk jangka masa panjang. Sesungguhnya kerajaan hari ini mengambil risiko politik untuk melaksanakan dasar yang sukar demi kebaikan masa depan dan saya secara peribadi menyokong tindakan berani ini. Khairul Azwan Harun ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Utusan Malaysia Rencana 30 Mac 2015

Tegas laksana GST
Setelah hampir 27 tahun, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) disebut buat pertama kalinya di Malaysia, akhirnya tanggal 1 April ini, iaitu tiga hari lagi men­jadi penentu pelaksanaan sistem percukaian ini. Kerajaan sudah menyatakan bahawa GST tidak akan ditangguhkan. Dalam keadaan banyak lagi rakyat Malaysia yang masih samar-samar atau kurang faham dengan GST, persoalan asas sama ada GST benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara akan hanya ditentukan selepas kerajaan dapat melaksanakan GST dengan jayanya.

Sudah menjadi lumrah di Malaysia, sebarang perubahan yang ingin dibuat pastinya akan mendapat bantahan. Lebih-lebih lagi kalau bantahan itu melibatkan orang politik, maka riuh rendah dibuatnya seolah-olah perubahan yang ingin dibuat tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat. Selepas perubahan itu ber­jaya dilaksanakan, baharulah dapat menutup mulut golongan seperti ini yang tidak pernah sunyi dalam menghangatkan sesuatu isu rakyat.

Maka untuk menutup mulut golongan ini daripada terus menghasut majoriti rakyat Malaysia, mahu tidak mahu kerajaan perlu membuktikan bahawa GST benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Pokoknya di sini ketegasan kerajaan dalam melaksanakan perubahan dalam sistem percukaian Malaysia.

Banyak contoh di negara lain yang membuktikan bahawa GST memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Usah pergi jauh, di negara jiran kita, Singapura, GST telah memberi impak positif kepada negara berkenaan. Lebih banyak lebihan wang dan dana boleh digunakan untuk pembangunan negara. Malah, wang berkenaan boleh meringankan mereka yang kurang berkemampuan. Bayangkan sebuah negara yang tidak mem­punyai sumber semu­la jadi yang banyak seperti negara kita pun mampu menjadi sebuah negara yang cukup maju di dunia, maka, tiada alasan untuk negara kita mencapai lebih banyak kejayaan.

Cuma bezanya di sana, ketegasan kerajaan dalam melaksanakan sesuatu perkara. Umum mengetahui, salah satu perkara yang sering disebut-sebut oleh rakyat Malaysia ialah kelemahan penguatkuasaan yang menyebabkan banyak kerugian kepada rakyat dan negara. Misalnya, ketirisan melibatkan penyeludupan minyak di negara jiran adalah berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan.

Akhirnya, untuk mengatasinya kerajaan telah menarik subsidi minyak. Tidak kurang juga isu warga asing yang terlibat dalam perniagaan, dengan sewenang-wenangnya mereka membuka kedai. Sampai sekarang pun isu ini tidak selesai, menggambarkan kelemahan penguatkuasaan.

Maka, dalam hal GST, kerajaan perlu tegas terutamanya terhadap peniaga-peniaga yang sengaja mengambil kesempatan untuk menggagalkan pelaksanaan GST. Ada antara mereka dengan sengaja menaikkan harga barangan sebelum GST dilaksanakan lagi. Sedangkan kenaikan harga barangan yang dijual tidak berkait langsung dengan GST.

Apa yang berlaku, rakyat diadu domba seolah-olah kenaikan tersebut berpunca daripada GST. Dengan kata lain, GST dikambinghitamkan demi keuntungan sebelah pihak. Akibat kekurangan maklumat atas beberapa faktor seperti maklumat tidak sampai kepada mereka atau mereka sendiri malas untuk mencari maklumat sebenar dengan mempercayai bulat-bulat media sosial, maka segelintir golongan rakyat ini dengan mudahnya dihasut untuk membangkitkan kemarahan terhadap GST.

Di Singapura juga tatkala GST ingin dilaksanakan, rakyatnya juga kekurangan pemahaman tentang GST, namun perkara ini dapat diatasi dari hari ke hari sehinggalah rakyat mula nampak kebaikan GST. Kerajaan Singapura telah berusaha bersungguh-sungguh memberi kefahaman tentang GST kepada rakyatnya.

Mendesak

Mengambil contoh, caj perkhidmatan yang dikenakan oleh hotel dan restoran dalam lingkungan 5-15 peratus, isu ini hanya berbangkit dalam kalangan rakyat selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST. Jika tidak, berapa ramaikah rakyat Malaysia mengetahui bahawa caj perkhidmatan tersebut bukanlah cukai yang dibayar kepada kerajaan? Apabila ada yang menganggap itu cukai yang dikutip oleh kerajan, jadi tidak semena-mena perasaan marah boleh timbul terhadap kerajaan.

Ekoran isu caj perkhidmatan ini timbul, maka terdapat pihak yang mendesak kerajaan untuk menghapuskan caj perkhidmatan. Malangnya, caj perkhidmatan ini dikatakan tidak dikawal oleh kerajaan. Adakah caj perkhidmatan tersebut setimpal dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh peniaga? Di sini, kerajaan perlu tegas untuk membuat keputusan demi kepentingan rakyat.

Lihat sahajalah isu kenaikan harga minyak yang digunakan untuk menaikkan harga barangan dan makanan, walhal apabila harga minyak diturunkan tidak pula harga barangan dan makanan diturunkan. Inilah yang sebenarnya dibimbangi oleh rakyat. Contoh ini pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa terdapat peniaga yang sengaja mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Mereka ini jugalah yang memberi seribu satu alasan kononnya pelaksanaan GST menyusahkan mereka dan melibatkan kos pematuhan yang tinggi. Sejak sekian lama, mereka mengaut keuntungan yang cukup tinggi sehingga menjadikan mereka kaya raya, jadi apalah salahnya, mereka menyerap kos ini demi berbakti kepada rakyat. Bagi peniaga yang masih degil menaikkan harga produk mereka dengan keterlaluan, kerajaan sewajibnya tegas menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Apalah gunanya, di atas kertas, terdapat akta yang bagus, namun penguatkuasaan tidak ke mana.

Perlu diingat, selain kos pematuhan yang terpaksa ditanggung oleh mereka, kerajaan juga menanggung kos pentadbiran untuk melaksanakan GST. Sebab itulah, usah memberi seribu satu alasan hanya untuk kepentingan diri sendiri. Kalau 160 negara telah melaksanakan GST termasuklah United Kingdom yang telah berjaya melaksanakan GST, adakah masih tidak cukup bukti GST itu sistem percukaian yang bagus?

Kos pentadbiran yang ditanggung oleh kerajaan diperlukan untuk memastikan kelancaran sistem GST bagi merealisasikan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaannya. Melalui kutipan GST yang cekap akan menentukan bahawa dana yang lebih banyak dan pendapatan kerajaan yang lebih stabil boleh dikembalikan semula kepada rakyat terutamanya untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dengan membantu golongan yang kurang berkemampuan, berpendapatan rendah dan mereka yang sudah pencen.

Malah, melalui ketegasan kerajaan jugalah, wang kutipan GST dapat disalurkan kepada rakyat pada tahap kecekapan yang paling optimum. Dengan ini, bakal memperbetulkan reaksi negatif segelintir rakyat, memacu ekonomi dan daya saing negara serta memperkukuhkan lagi kredibiliti kerajaan di mata rakyat.

- Dr . Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Rencana 29 Mac 2015

Apabila dunia siber kuasai minda, Cabaran besar SKMM

Apabila dunia siber kuasai minda

Dalam dunia moden, telefon pintar bagaikan sukar dipisah daripada pemiliknya. Ia sudah menjadi komunikasi paling pantas dengan segala maklumat boleh diperoleh secepat kilat.

Telefon talian tetap di rumah bagaikan sudah tidak relevan melainkan sekadar syarat kerana ia dipakej bersama perkhidmatan internet seperti Unifi dan Streamyx. Begitu juga telefon awam, yang jarang sekali dilihat digunakan sekarang. Biarlah ia tinggal gagang, tiada siapa pun peduli untuk membuat laporan. Generasi sekarang sudah tidak mengenali apa itu alat dipanggil kelui, teleks dan telegram yang popular lebih tiga dekad lalu. Gaya hidup masyarakat sudah berubah dengan kemunculan peralatan teknologi canggih. Semakin ramai rakyat Malaysia menjadi 'netizens' dan hidup dalam keadaan serba 'connected' atau terhubung. Jarak dan masa sudah tidak menjadi halangan.

Malah keadaan itu juga memberi cabaran hebat kepada pihak media, sama ada media cetak atau elektronik. Jika 20 tahun lalu, sekurang-kurangnya 10 daripada 20 pelanggan, bersarapan di kedai mamak atau gerai biasa sambil membaca akhbar, kini senarionya sudah berubah. Anda boleh lihat sendiri, setiap orang sibuk bermain dengan telefon bimbit seperti WhatsApp atau membaca status di Facebook. Mereka bagaikan dah kurang bercakap sesama sendiri tetapi jari jemari saja yang 'bercakap'.

Itulah realitinya. Berdasarkan statistik penggal pertama 2012 dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), sehingga April 2012, setiap 100 penduduk negara ini, ada 129 telefon bimbit digunakan, sedangkan hanya 36 daripada setiap 100 isi rumah menggunakan telefon talian tetap. Justeru, semua rakyat negara ini ada telefon bimbit peribadi jika diambil kira peratusan itu dan selepas ditolak golongan bayi dan kanak-kanak belum bersekolah, angka pengguna lebih satu telefon bimbit tentunya tidak kecil.

Berdasarkan semua senario ini, maka jelas sekali komunikasi melalui telefon bimbit menguasai dunia. Apa saja yang terkeluar dalam media sosial, sebahagian besar akan tahu dan berkongsi tidak kira sama ada ia sahih atau sebaliknya. Apa saja yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp, mudah tersebar dan jika kandungannya 'menarik' ia akan menjadi viral - dan yang paling menyedihkan ia tidak mengira sensitiviti kaum atau agama. Benar, ada juga sebaran yang berguna untuk menjadi renungan bersama sebagai pengajaran, tetapi lebih banyak yang berbentuk provokatif, memperlekehkan orang lain atau semata-mata menyebarkan sesuatu kenyataan palsu yang direka pihak tidak bertanggungjawab.

Segelintir netizens menggunakan media sosial sebagai alat untuk tujuan negatif seperti menyinggung perasaan orang lain, menipu dan menghasut, amat malang sekali. Diharap pihak SKMM yang sudah menubuhkan Jabatan Digital Forensik dan Jabatan Risikan Rangkaian, bertindak lebih pantas untuk menyiasat dan mengambil tindakan mengikut undang-undang berkaitan alam siber, tanpa perlu menunggu laporan rasmi.

Dalam hal ini, tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menggunakan sepenuhnya media sosial terutama Twitter untuk menyampaikan mesej di alam siber berkaitan isu semasa terutama kepada mereka yang mengeluarkan pos berbaur perkauman dan hasutan, termasuk yang menghina agama.

Cabaran besar SKMM

Khamis lalu, bersamaan 26 Mac, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis bagi menafikan penyiaran sebarang kenyataan berhubung pendiriannya dalam isu hudud.

Malah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam laporan di Balai Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur, menegaskan apa yang disiarkan sebuah portal berita adalah tidak benar dan bukan dikeluarkan oleh pejabat berkenaan. Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan Datuk Seri Najib Razak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai pelaksanaan hukum hudud seperti yang tersebar dalam aplikasi 'WhatsApp' dan media sosial.

Artikel fitnah dalam media sosial

Kedua-dua insiden ini membabitkan dua institusi penting dalam negara yang mahu dipalitkan dengan fitnah. Majlis Raja-Raja Melayu dalam responnya melahirkan rasa dukacita dan murka berhubung artikel fitnah yang disiarkan portal terbabit. Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menyifatkan laporan itu mencemarkan ketinggian darjat dan martabat Sultan dan Raja-Raja Melayu. Serentak itu, banyak pihak mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas ke atas portal berita berkenaan, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyifatkan laporan portal berkenaan tidak bertanggungjawab dan biadab.

Sama seperti kes yang berlaku sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga mahu SKMM menyiasat laporan berkenaan. Sama ada suka atau tidak, persepsi orang ramai ketika ini ialah SKMM di bawah pentadbiran yang lemah kerana selalu melepaskan pihak yang menyemaikan kebencian daripada dikenakan tindakan. Malah, dalam isu berhubung laporan 'palsu' sebuah portal berita dan penyebaran kenyataan palsu melalui 'WhatsApp' membabitkan Pejabat Perdana Menteri membabitkan soal hudud, menyerlahkan SKMM perlu bertindak pantas dan tegas dalam membendung penyebaran berita palsu sebegini.

Segera bertindak tegas

Melewat-lewatkan tindakan atau menghadapkan mereka yang terbabit ke mahkamah seperti kes penyebaran berita palsu mengenai banjir besar di Kelantan mengundang persepsi bahawa tindakan mereka yang terbabit tidak salah. Ketika ini, tahap 'menguji' kemampuan SKMM sudah sampai ke tahap tertinggi apabila ada pihak begitu berani mempermain-mainkan institusi Raja-Raja Melayu dan Perdana Menteri. Untuk itu, ada pihak yang mahu SKMM mengenakan tindakan sekeras-kerasnya kepada pihak terbabit sebagai pengajaran kepada portal berita lain, mahupun individu agar tidak melakukan provokasi membabitkan Raja-Raja Melayu dan pemimpin utama negara. Malah, banyak pihak yang menunggu dengan penuh minat untuk mengetahui perkembangan siasatan SKMM membabitkan kes video wartawan BFM, Aisyah Tajuddin yang didakwa mempermain-mainkan hukum Islam. Rakyat yang cintakan keamanan mengharapkan ketegasan SKMM dan permohonan maaf selepas membuat kesalahan seperti yang sering dilakukan sebelum ini, bukanlah satu lesen untuk mana-mana pihak melepaskan diri daripada dikenakan tindakan, termasuk oleh SKMM.