April 4th, 2015

Bekerja ada hadnya, belajar sepanjang hayat

Beberapa minggu lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekali lagi menggesa kerajaan menaikkan umur persaraan kakitangan awam. Kali ini kesatuan itu meminta dilanjutkan kepada 62 tahun daripada 60 sekarang.

Dalam tempoh 15 tahun ini, sudah tiga kali usia persaraan penjawat awam dilanjutkan. Kali pertama pada 1 Oktober 2001, dinaikkan kepada 56 tahun kemudian diikuti pada 10 Mei 2008 menjadi 58 tahun dan terbaharu pada 1 Januari 2012 apabila dinaikkan lagi menjadi 60 tahun.

Sektor swasta mengikuti langkah sektor awam apabila mengumumkan usia persaraan dinaikkan kepada kepada 60 tahun mulai 1 Julai 2013.

Bagaimanapun cadangan CU­E­PACS itu ditolak oleh kerajaan. Kerajaan mempunyai alasan untuk tidak membincangkan lebih lanjut isu tersebut. Seperti penjelasan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr. Ali Hamsa, usia persaraan yang ada sekarang sudah memadai. Lagipun polisi bersara pada umur 60 tahun baru sahaja tiga tahun dilaksanakan. Kerajaan barang kali sedang mengkaji kesan dan dapatan daripada pelaksanaan dasar tersebut.

Ada macam-macam pandangan diberikan apabila isu ini berbangkit. CUEPACS sebagai pihak yang me­minta sudah tentunya mempunyai alasan tersendiri. Dalam keadaan purata jangka hayat rakyat Malaysia dijangka meningkat iaitu 79 tahun bagi wanita dan 77 tahun bagi lelaki, gesaan itu dilihat ada asasnya.

Dengan kemudahan perkhidmatan kesihatan yang terdapat di negara ini disifatkan antara yang terbaik di dunia ditambah dengan kesedaran menjaga kesihatan yang tinggi dalam kalangan rakyat, penduduk Malaysia dijangka terus kekal produktif sehingga mencapai usia tersebut.

Kesatuan sekerja itu memban­dingkan langkah beberapa buah negara di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat yang sudah melaksanakan penetapan usia persaraan melebihi 62 tahun. Ada sesetengah negara membenarkan kakitangan kerajaan bekerja sehingga mencapai umur 65 tahun. Sebagai sebuah negara yang bakal menuju kepada status negara maju, Malaysia sepatutnya turut mengikuti langkah ini.

Beberapa faktor lain turut diambil kira untuk menyokong gesaan ini. Salah satunya peningkatan kos sara hidup pada hari ini, persiapan menghadapi era persaraan khususnya dari segi simpanan persaraan yang tidak mencukupi, kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat serta majoriti kakitangan awam kategori sederhana dan bawahan yang masih belum dapat melangsaikan pelbagai jenis hutang sewaktu dalam tempoh perkhidmatan ter­utamanya pinjaman perumahan.

Langkah melanjutkan usia persaraan dilihat sebagai satu jalan kepada penjawat awam untuk menyelesaikan atau mengurangkan hutang perumahan atau ‘hutang-hutang’ lain jika ada.

Itu antara pandangan mereka yang menyokong. Bagi yang tidak bersetuju pula melihat langkah melanjutkan umur bersara akan menyekat produktiviti kerja. Kakitangan yang sudah melepasi usia 60 tahun dilihat ‘kurang produktif’ kerana sudah menghampiri atau melewati kemuncak karier masing-masing. Pada masa yang sama kerajaan terpaksa menanggung pelbagai kos tambahan lain jika dilaksanakan.

Dari segi kenaikan pangkat pula, langkah ini dilihat menyekat peluang kakitangan atau pegawai-pegawai muda mengisi jawatan-jawatan tinggi walaupun berkelayakan.

Kekosongan jawatan sudah tentu terhad kerana masih diisi oleh pegawai-pegawai lama yang belum mencecah usia persaraan. Ini belum lagi mengambil kira senario pegawai-pegawai tinggi atau ke­tua-ketua jabatan yang disambung lagi kontrak perkhidmatan selepas mencecah usia persaraan.

Melihat kepada kekangan untuk mengembangkan bakat serta peningkatan kerjaya, keadaan ini memungkinkan sektor perkhidmat­an awam tidak lagi menjadi pilih­an siswazah yang baru keluar dari universiti. Lebih buruk lagi situasi ini boleh melebarkan lagi jurang pe­ngangguran kerana jumlah yang tamat universiti setiap tahun sangat besar.

Cadangan pelanjutan usia persaraan ini bagaimanapun boleh dilaksanakan tetapi hendaklah terpakai dan terhad kepada beberapa jawatan tertentu di sektor-sektor kritikal seperti sektor Keynesian, undang-undang, kehakiman, pendidikan tinggi serta jawatan profesional lain yang melibatkan kemahiran atau kepakaran tinggi.

Doktor-doktor pakar, saintis, hakim, ahli akademik dan teknokrat perlu diberi peluang me­nyumbang selama mana yang mereka mahu sama ada secara melanjutkan usia persaraan atau secara kontrak.

Seperti yang diketahui ramai, kumpulan profesional sedemikian sentiasa menjadi buruan syarikat-syarikat swasta yang sanggup menawarkan gaji dan faedah yang lumayan. Alangkah ruginya jika seorang doktor pakar bersara pada usia 60 tahun sedangkan ilmu dan khidmatnya masih diperlukan.

Sebenarnya bukan semua penjawat awam berminat untuk terus berkhidmat sehingga mencapai usia persaraan tidak kiralah 60, 62 atau 65 tahun. Sebahagian sudah memilih untuk bersara awal sebelum mencecah angka-angka tersebut pun kerana ‘penat.’ Mereka mahu menebus masa berkualiti dengan keluarga yang hilang selama ini.

Ada juga yang bersara awal kerana mahu meluangkan masa untuk ‘bermasyarakat’ atau berbuat sesuatu yang mereka tidak berpeluang melakukannya sewaktu dalam perkhidmatan seperti menyertai kerja-kerja amal. Tidak kurang juga bersara awal kerana mahu melanjutkan pelajaran, menambah ilmu. Mereka beranggapan hayat bekerja ada hadnya, tetapi belajar perlu sepanjang hayat. - Rozaman Ismail Utusan Malaysia Rencana Kopi Panas 4 April 2015

Orang UMNO perlu insaf!

SEJAK 13 Mac lalu hinggalah 3 Mei nanti, hampir 21,000 cawangan UMNO di seluruh negara bermesyuarat. Mesyuarat ini akan diteruskan pula ke peringkat bahagian.

Mungkin ramai melihat mesyuarat yang sedang dan akan berlangsung tidak ada apa-apa kepentingannya memandang­kan tahun ini tidak ada pemilihan parti. Namun sama ada mereka sedar atau tidak mesyuarat tersebut khususnya di peringkat bahagian amat penting.

Pemimpin dan ahli UMNO perlu memahami cabaran yang sedang mereka hadapi. Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tonggaknya sedang ‘diserang’ dari pelbagai penjuru. Justeru kesepakatan seluruh kepimpinan dan ahli perlu untuk mempertahankan parti.

Ini kerana UMNO adalah parti tonggak orang Melayu; pembela kepada perkembangan syiar Islam, dan; pejuang kepada kedaulat­an raja-raja. Sama ada suka atau tidak, inilah hakikat yang tidak harus dilupakan oleh mana-mana juga orang Melayu.

Atas sebab itu, mereka tidak boleh membiarkan UMNO dilemahkan atau menjadi lemah. Perjuangan UMNO bukan semata-mata demi merebut kuasa politik seperti mana Pas bersedia bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sehingga sanggup membiarkan maruah mereka diinjak-injak oleh kedua-dua parti itu.

Perjuangan UMNO adalah demi orang Melayu dan umat Islam serta kesejahteraan negara. Hanya perjuangan UMNO yang mampu mempertahankan tiang-tiang seri negara. Tiada pihak lain yang mampu berbuat demikian apatah lagi jika mereka tiada kuasa politik.

Dalam berhadapan situasi politik sekarang, mana-mana pemimpin, ahli dan penyokong UMNO tidak boleh menjadi ‘nasi tambah’ apabila tercetusnya sesuatu isu. Sebaliknya mereka perlu menjadi ‘air yang menyejukkan’.

Sudah cukup di luar sana, ada pelbagai pihak yang bersedia menjadi ‘nasi tambah’. Kelompok ini begitu gembira melihat apabila UMNO ‘diserang’ oleh parti-parti pembangkang. Mereka menyebarkan apa juga isu yang boleh memburukkan UMNO dengan rasa bangga.

Ahli-ahli UMNO tidak boleh menjadi ‘pembekal peluru’ kepada pembangkang dengan turut sama melakukan tindakan atau langkah yang melemahkan parti. Sebaliknya mereka perlu bersatu-padu dan memperkukuhkan barisan bagi memastikan UMNO terus kukuh dalam usaha melakukan persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Percayalah orang Melayu masih mampu hidup selesa kerana adanya UMNO. Kelompok orang Melayu masih boleh bersuara lantang kerana adanya UMNO. Orang Melayu boleh mengecam kebiadaban sesetengah pihak terhadap institusi raja-raja kerana adanya UMNO, orang Melayu boleh membuat tuntutan macam-macam kepada kerajaan kerana adanya UMNO dan sudah tentu orang Melayu boleh mempertahankan kesucian agama Islam kerana adanya UMNO.

Tetapi bayangkan kalau UMNO tidak lagi berkuasa? Apakah suara orang Melayu didengari? Apakah keluhan orang Melayu akan diambil peduli? Adakah wujud kelompok yang akan prihatin untuk membela nasib orang Melayu?

Oleh itu jika pemimpin, ahli dan penyokong UMNO mahu melihat orang Melayu terus bermartabat dan bermaruah di tanah air sendiri, maka perkukuhkanlah UMNO. Jadikan mesyuarat cawangan atau bahagian yang berlangsung untuk menyusun agenda bagi memperkasakan parti.

Janganlah hanya hebat berpolitiking sesama sendiri tetapi amat lemah untuk berhadapan dengan pembangkang. Amalkan sikap benar-benar berjuang untuk parti dan bukannya peribadi.

Fahamilah, terlalu banyak cabaran dan rintangan yang sedang menanti parti itu dalam usaha terus memegang tampuk pemerintahan negara. Parti-parti pembangkang tidak akan duduk diam. Mereka akan membangkitkan apa juga isu, biarpun sekadar satu tohmahan demi melemahkan UMNO.

Jika pemimpin dan ahli UMNO masih juga tidak mahu insaf, sudah pasti suatu hari kelak orang Melayu akan merempat di tanah air sendiri kerana kehilangan kuasa politik. Ketika itu orang Melayu buatlah apapun demi memperjuangkan nasib mereka tetapi sudah terlambat! - Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 4 April 2015

Proses pemulihan rumah tradisional miliki sejarah tersendiri


Proses pemuliharaan rumah
WARISAN seni bina rumah tradisional seperti Rumah Serambi Pahang merupakan sebahagian daripada khazanah dan tinggalan sejarah yang amat bernilai dan perlu dipertahankan bagi tatapan generasi akan datang.

Bagi meneruskan kelestarian dan menjamin keutuhan reka bentuk, nilai seni bina, budaya dan sejarah rumah tradisional, kerja-kerja pemuliharaan hendaklah dilakukan dalam usaha memastikan khazanah berharga itu dapat dikekalkan.

Pemuliharaan secara umumnya merujuk kepada proses membaik pulih sesuatu seperti rumah, bangunan, monumen, artifak atau tapak binaan bersejarah agar ia dalam keadaan baik dan dapat terus dikekalkan dalam bentuk asal sebagaimana ia mula dibina.






TIANG merupakan komponen struktural berperanan memastikan keteguhan rumah.

PEKERJA melakukan proses menegakkan tiang seri Rumah Serambi Pahang di tapak Muzium Warisan Melayu.



ANTARA piring dan cawan yang ditemukan di Rumah Serambi Pahang.


Menurut Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif, untuk tujuan pemuliharaan, Rumah Serambi Pahang dipindahkan dari lokasi asal di Kampung Kelola, Jerantut ke lokasi baharu yang terletak berhampiran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di UPM. Sebelum kerja-kerja pembinaan semula dilakukan terdapat beberapa proses yang perlu dilalui.

“Setelah Rumah Serambi Pahang berjaya dipindahkan ke UPM, kerja-kerja mencuci semua bahagian termasuk tiang, dinding dan lantai dilakukan bagi membersihkan kesan dan sisa kotoran pada kayu.

“Setiap bahagian kayu kemudian dibiarkan sehingga kering dan selepas itu seluruh bahan binaan itu disembur kawalan perosak bagi menghapus dan mencegah pembiakan anai-anai yang boleh merosakkan rumah. Seluruh komponen kayu dikeringkan sekali lagi sebelum proses pembinaan semula dilakukan,” katanya.

Fasa seterusnya melibatkan proses peneguhan dan pemasangan semula rumah yang dimulakan dengan peletakan batu sendi dan menegakkan dua buah tiang seri diikuti 14 buah tiang lain.

“Pembinaan rumah pada umumnya melibatkan komponen struktural dan non struktural. Struktural adalah komponen yang penting di dalam menyokong berdirinya sesebuah bangunan. Di dalam proses ini penegakan tiang, pemasangan rangka dan tulang bumbung merupakan komponen struktural.

“Setelah semua tiang sudah ditegakkan, kerja-kerja menaikkan rangka dan tulang bumbung dilakukan. Kemudian barulah lantai rumah dipasang. Sebelum itu, mana-mana komponen kayu yang sudah rosak atau reput, ia akan digantikan dengan material jenis yang sama iaitu menggunakan kayu cengal bagi memastikan keunikan rumah dapat dikekalkan.

“Proses seterusnya melibatkan kerja-kerja meletakkan bumbung. Untuk bahagian tersebut, atap zink lama akan ditukar dengan lembaran atap jenis ‘onduline’ iaitu material yang dihasilkan daripada getah dan bitumen.

“Penggunaan ‘onduline’ ini bersesuaian kerana sifatnya yang kalis api, menyerap haba dan bunyi. Setelah selesai kerja-kerja di bahagian bumbung, barulah pemasangan tingkap, pintu dan tangga dilakukan. Komponen ini dikenali sebagai non struktural iaitu komponen tambahan yang terdapat pada rumah tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran bermula dari proses pemindahan sehingga pembinaan semula rumah Melayu tradisional itu.

“Terdapat pelbagai cabaran terpaksa dilalui untuk menjayakan projek pemindahan dan pembinaan semula Rumah Serambi Pahang. Ketika proses pemindahan rumah, pekerja-pekerja berhadapan dengan kesukaran untuk mengeluarkan batu sendi yang terpacak kukuh di atas tanah. Keadaan ini memaksa pekerja seramai lapan orang bekerja keras mengeluarkan batu sendi beramai-ramai.

“Cabaran seterusnya dihadapi ketika proses pembinaan semula rumah. Keadaan ini berlaku kerana semua komponen batu dan kayu sangat berat. Kayu cengal yang digunakan untuk membuat tiang adalah bahagian teras dan terkenal dengan ketahanan serta berat. Sebab itu, kita terpaksa menggunakan bantuan jentolak untuk menolak dan mengangkat bahan binaan,” katanya.


Rumah tradisional miliki sejarah tersendiri
SELAIN keunikan dan keteguhan struktur seni bina, nilai sejarah yang dimiliki Rumah Serambi Pahang merupakan faktor utama mendorong Universiti Putra Malaysia (UPM) memulihara warisan seni bina masyarakat Melayu.


DR. MOHD . FAUZ I memasukkan emas tulen dan duit syiling perak ke dalam tiang seri sebagai simbolik penyempurnaan perasmian Majlis Peletakan Batu Sendi dan Menegakkan Tiang Seri Rumah Serambi Pahang di Serdang baru baru ini.

Menurut Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan, pada tahun 1920-an, Kampung Kelola dipercayai menjadi pusat pemerintahan mukim dan penghulunya Ismail Khatib Bakar membina rumah tersebut untuk dijadikan sebagai unit balai bagi tujuan urusan rasmi.

“Ketika pendudukan Jepun dan pemberontakan komunis, rumah tradisional Pahang tersebut juga digunakan sebagai balai mesyuarat dan sesi perbincangan di antara penghulu mukim itu dengan ketua-ketua lain bagi mengelakkan kekejaman dan pertumpahan darah berlaku.

“Yang istimewanya rumah tersebut juga pernah menjadi lokasi persinggahan rombongan diraja selepas pertunangan Sultan Ahmad Shah dengan permaisuri,” katanya selepas merasmikan Majlis Peletakan Batu Sendi dan Menegakkan Tiang Seri rumah di UPM baru-baru ini.

Menjadi pemimpin yang disegani dek kerana peranannya yang penting di dalam pentadbiran mukim suatu ketika dahulu, Ismail juga dikatakan mempunyai pertalian darah dengan Tok Pahlawan Gendut iaitu seorang pahlawan yang pernah terlibat di dalam usaha menentang penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.

Dalam pada itu, beliau berharap rumah Melayu tradisional Pahang yang akan didirikan semula di Muzium Warisan Melayu UPM dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua generasi pada masa akan datang termasuk penyelidik dan pelajar sebagai usaha menghargai warisan budaya masyarakat Melayu.

“Rumah Serambi Pahang adalah rumah tradisional keempat yang menjadi khazanah unik yang terdapat di muzium selepas rumah Melayu tradisional Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

“Justeru itu, ia sangat penting kepada semua generasi sama ada penyelidik atau pelajar untuk menjadikan keistimewaan dan keunikan yang dimiliki rumah-rumah tersebut sebagai sebahagian daripada penyelidikan dan pembelajaran mereka,” katanya.

Warisan Rumah Serambi Pahang tonjol kreativiti Melayu

RUMAH merupakan tempat untuk manusia berlindung daripada hujan, panas dan ancaman bahaya di samping melakukan pelbagai aktiviti dan kegunaan lain. Dari segi psikologi pula, rumah memberikan rasa aman, tenang, tenteram, selesa dan harmoni kepada penghuninya.

Justeru, rumah dilihat sebagai satu keperluan yang sangat penting kepada manusia selain daripada keperluan asas yang lain seperti makan, minum dan pakaian.

Rumah juga menjadi simbol kepada status penghuninya. Maka tidak hairanlah setiap rumah mempunyai seni bina, reka bentuk dan ciri-ciri tertentu yang secara tidak langsung menggambarkan penghuninya.

Bagi rumah Melayu tradisional, terdapat tarikan dan keistimewaan pada setiap binaan dan struktur asas rumah seperti tiang, bendul, tingkap, pintu dan bumbungnya, sekali gus menjadikan kediaman itu sangat unik. Sementara gaya dan kaedah binaannya tidak dapat dipisahkan dengan elemen-elemen yang dipengaruhi oleh cara hidup, ekonomi dan alam persekitaran.


Dari segi bahan binaannya pula, kebanyakan rumah tradisional menggunakan sumber-sumber yang boleh didapati di persekitaran dan kawasan hutan seperti kayu. Selain itu, ia juga mempunyai sistem tambahan yang menjadikan rumah tersebut tahan lebih lama.

Meskipun rumah Melayu tradisional mempunyai identiti dan keunikan seni bina yang tersendiri, namun tradisi pusaka nenek moyang dan tinggalan bersejarah itu semakin berkurangan, malah mulai dilupakan.

Menyedari hakikat rumah Melayu tradisional yang semakin pupus ditelan zaman, Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia mengambil langkah memulihara rumah-rumah Melayu tradisional dalam usaha meneruskan kelestarian warisan seni bina Melayu. Terbaharu, pihak muzium itu telah memindahkan rumah Melayu tradisional Pahang yang juga dikenali sebagai Rumah Serambi Pahang untuk tujuan pemuliharaan.

Untuk itu, Wartawan S2, ROZIANAH RISMAN dan jurufoto FARIZ RUSADIO dan NUR AISYAH MAZALAN berkunjung ke lokasi penempatan asal di Kampung Kelola dan tapak baharu di UPM bagi melihat sendiri bagaimana proses pemindahan dan pembinaan semula rumah tersebut dilakukan.


KEUNIKAN seni bina rumah Melayu tradisional merupakan suatu gambaran yang memperlihatkan kreativiti dan kehalusan pertukangan atau kerja tangan masyarakat Melayu yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor meliputi alam sekitar, iklim, acuan corak budaya dan agama Islam.

Elemen-elemen yang terdapat di dalam reka bentuk seperti bahan binaan, struktur, ruang dan dekorasi menggambarkan kehidupan dan satu bentuk budaya pemilik rumah tersebut.

Justeru, seni bina Melayu bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk pengetahuan atau kemahiran seni kreatif yang mempunyai simbol dan nilai estetika tersendiri, sebaliknya ia memiliki makna dan falsafah.

Menurut Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif, struktur Rumah Serambi Pahang dikaitkan dengan binaan yang mempunyai maksud dan tujuan tertentu. Rumah yang dibina dengan kayu cengal dan merbau itu memperlihatkan sifat kreatif masyarakat Melayu yang tinggi di dalam menampilkan ciri-ciri kediaman yang unik.


RUMAH Serambi Pahang tetap utuh meskipun dilanda banjir besar baru-baru ini

“Keunikan Rumah Serambi Pahang dapat dilihat menerusi teknik pembinaan kediaman yang berdasarkan tradisi seni bina Melayu iaitu dibina dengan kayu tanpa menggunakan sebarang paku pada dinding dan lantai.

“Selain mempunyai tiga ruang utama iaitu serambi hadapan, rumah ibu atau induk serta serambi dapur, keunikan rumah itu juga terletak pada bahagian ‘geta’ atau lantai yang ditinggikan untuk tujuan tertentu termasuk sebagai tempat berehat dan tidur.


PENGHADANG yang terdapat pada Rumah Serambi Pahang lebih tinggi daripada bendul yang terdapat pada rumah-rumah Melayu tradisional lain.

“Kedudukannya yang lebih tinggi daripada lantai dan strukturnya yang kuat membolehkan penghuni mendiaminya dengan selamat. Jadi, boleh dikatakan rumah tersebut mempunyai ciri-ciri keselamatan yang bertujuan mengelakkan serangan musuh dari bahagian bawah.

“Biasanya, pada zaman dahulu musuh yang cuba menganiaya pemimpin akan bertindak menjolok lembing ke arah lantai dari bawah rumah bagi mendatangkan kecederaan ke atas pemimpin berkenaan. Justeru dengan adanya ‘geta’, ia dapat menghindari kejadian tersebut daripada berlaku.

Keistimewaan Rumah Serambi Pahang juga terletak pada lebihan rasuk atau bahan binaan rumah kayu yang berfungsi sebagai pengikat rangka rumah bagi tujuan penambahan ruang.


TINGKAP labuh, antara keunikan yang terdapat di dalam Rumah Serambi Pahang.

“Melihat pada bahagian tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada masa itu sudah memikirkan perancangan untuk meluaskan rumah sekiranya terdapat penambahan ahli keluarga.

“Jadi, kerja-kerja membuat atau menambah ruang baharu kediaman menjadi lebih mudah dengan hanya memasang pasak kayu pada bahagian lebihan rasuk sedia ada.

“Selain itu, kewujudan tingkap labuh sedia ada di bahagian dinding turut memudahkan 
kerja-kerja pertukangan ketika proses penambahan keluasan kediaman dilakukan kerana jurubina tidak perlu lagi 
bersusah payah membina laluan baharu ke ruang tambahan,” katanya.

Rumah Serambi Pahang juga mempunyai penghadang (dikenali bendul bagi rumah tradisional lain) setinggi kira-kira 0.4 meter yang berfungsi sebagai pintu masuk dari rumah ibu ke serambi.

“Penghadang tersebut menepati ciri-ciri keselamatan yang berfungsi melengahkan atau melambatkan tindakan individu yang membuat serangan bagi membolehkan tuan rumah mengambil langkah menyelamatkan diri atau bersiap siaga mempertahankan diri,”ujarnya.

Sementara itu, menurut Kurator Muzium Warisan Melayu UPM, Khairulnisa Haron, kelainan turut dapat dilihat dari segi kesederhanaan dalam hiasan rumah yang tidak terlalu sarat dengan ukiran.

Prinsip pasak mudahkan proses pemindahan, Tetap utuh meskipun dilanda banjir

Tetap utuh meskipun dilanda banjir

USIANYA dipercayai sudah mencecah lebih 100 tahun, namun Rumah Serambi Pahang yang mempunyai ciri-ciri binaan yang unik dan struktur kayunya yang tahan masih tetap teguh dan utuh di atas tanah.

Malah rumah peninggalan bekas Penghulu Mukim Kelola, Ismail Khatib Bakar itu tidak pernah runtuh atau berubah kedudukannya meskipun pernah tiga kali dilanda banjir besar pada 1926, 1971 dan 2014.

Menurut Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif, pembinaan tiang yang terdiri daripada jenis kayu terbaik dan kuat menjadikan struktur binaan rumah tahan lama.

.
ZAHARAH Ismail melihat rumah peninggalan ayahnya buat kali terakhir sebelum dipindahkan ke UPM.

“Kita dapati pembinaan Rumah Serambi Pahang menggunakan teknik puting iaitu kayu alang ‘diselak’ pada tiang bagi memastikan kekuatan dan ketahanan struktur binaan tidak terjejas mahupun bergerak walaupun dilanda banjir.

“Sebab itu, meskipun tiga kali berlaku banjir besar, rumah tersebut masih berdiri teguh di atas tanah sementara rumah lain yang berada di sekelilingnya musnah,” katanya.


KAYU alang yang dipasang pada tiang bertujuan mengukuhkan struktur rumah

Tambahnya, melihat kepada faktor-faktor tersebut, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil langkah memindahkannya ke Muzium Warisan Melayu universiti itu bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan sejarah.

Katanya, keunikan rumah Melayu tradisional itu perlu dipulihara kerana ia menjadi lambang kepada kreativiti dan kehalusan seni bina masyarakat Melayu yang tinggi.


EMAS tulen dan syiling perak ditemukan di dalam tiang seri ketika proses pemindahan rumah dilakukan.

“Malah kreativiti orang Melayu terserlah sebelum pembinaan rumah itu lagi apabila mereka sudah tahu memikirkan cara bagaimana menyimpan tanda ‘usia’ kediaman.

“Memandangkan dahulu tidak ada dokumen bertulis 
atau perjanjian jual 
beli, jadi masyarakat dahulu memasukkan duit syiling tertera tahun yang sama ia mula didirikan ke dalam lubang kuku tiang seri.

“Bagi Rumah Serambi Pahang, tarikh yang tertera pada duit syiling ditemui pada tiang seri ialah tahun 1911. Berdasarkan pada penemuan duit syiling itu, usia rumah tersebut dipercayai sudah menjangkaui 104 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, anak bongsu Ismail iaitu Zaharah, 69, berkata, dia amat berbesar hati menyerahkan rumah berkenaan kepada pihak muzium bagi pemuliharaan dan penjagaan sebagai tatapan generasi muda.

Katanya, rumah tradisional itu bukan sahaja mempunyai keunikan dari segi keteguhan dan ketahanan tetapi mempunyai nilai sejarah yang perlu diketahui dan dihargai oleh pelbagai masyarakat.

Ujarnya, dia berharap rumah yang telah ditinggalkan sejak 26 tahun itu dapat memberi manfaat kepada semua pihak terutama dari segi warisan sejarah Melayu.


Prinsip pasak mudahkan proses pemindahan
PEMBINAAN rumah tradisional pada masa dahulu tidak memerlukan arkitek, pelan-pelan dan lukisan yang terperinci, sebaliknya kediaman lama itu dibina berasaskan pengetahuan akal dan lisan yang diturunkan dari generasi ke generasi.

Konsep seni bina kebanyakannya bergantung kepada kemahiran yang dimiliki dan pengalaman pertukangan atau jurubina yang membangunkan sesebuah rumah, di samping tiada spesifikasi mahupun ketetapan terperinci yang perlu dipatuhi sebelum pembinaan.

Selain itu, prinsip pasak yang diaplikasikan di dalam binaan menjadikan seni bina rumah Melayu tradisional bersifat mudah untuk ditambah atau dikurangkan keluasan ruang, di samping boleh dibuka dan dipindahkan ke kawasan lain.


PEKERJA mengangkat kayu yang telah dibuka dan diasingkan untuk dibawa ke Universiti Putra Malaysia.

Sebab itu, menurut Kontraktor Syarikat Sfi Niaga Industri, Shamsol Fahimy, 36, proses pembinaan semula rumah serambi Pahang di lokasi yang baharu tidaklah terlalu sukar atau menyulitkan.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka berjalan lancar dan tidak berdepan dengan masalah memandangkan sebelum ini kami juga pernah terlibat di dalam projek pemindahan dan peneguhan semula rumah-rumah Melayu tradisional lain yang dijalankan UPM.

“Cuma cabaran mungkin ada disebabkan bahan binaan yang berat, faktor cuaca dan keadaan tanah yang mempengaruhi tempoh masa pemasangan semula rumah tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, proses pemasangan semula rumah akan dilakukan secara teliti dan mengikut kaedah yang betul agar ia tidak ‘mencederakan’, merosak atau memusnahkan nilai seni bina dan warisan yang terdapat pada rumah berkenaan.

“Pemasangan rumah tradisional memerlukan ketelitian kerana jika berlaku kesilapan, untuk membetulkan semula adalah sukar kerana ia melibatkan penggunaan kayu,” katanya.