April 5th, 2015

Mula terima GST

SEBELUM pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu, pihak tertentu sudah memalu kompang untuk menakut-nakutkan rakyat kononnya sistem cukai kepenggunaan yang baharu itu zalim dan bakal menyusahkan rakyat.

Seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri pembangkang mengatakan kerajaan negeri itu menolak GST kerana sistem cukai itu tidak mematuhi prinsip asas dalam sistem pencukaian dan membebankan rakyat. Seorang ketua sebuah parti pembangkang pula mendakwa GST bercanggah dengan konsep adil dalam Islam kerana mengenakan cukai kepada semua orang.


Bagi pihak ini, tidak ada apa yang baik tentang GST. Pendek kata, pada gambaran mereka ini, GST seolah-olah “raksasa jahat” yang bakal membawa penderitaan dan kesengsaraan kepada rakyat.

Walhal, lebih 160 buah negara termasuk negara maju sudah lama melaksanakan GST kerana ia merupakan sistem pencukaian yang paling cekap, telus dan adil.

Dengan GST, setiap rakyat tahu jumlah cukai yang dibayar oleh mereka dan peniaga juga tidak boleh lagi mengelak daripada membayar cukai yang dikutip daripada pengguna kepada kerajaan seperti yang berlaku dalam sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sebelum ini.

Kini sudah masuk hari kelima GST dilaksanakan. Tidak ada apa yang buruk berlaku dan rakyat menempuhi kehidupan seperti biasa. Ini kerana selama ini pun, rakyat membayar cukai kepenggunaan tetapi bezanya, cukai yang dikutip oleh peniaga sebelum ini belum tentu sampai kepada kerajaan.

Pada hari pertama pelaksanaan GST, sambutan rakyat terhadap pelaksanaan GST boleh dikatakan pelbagai. Ada yang sanggup menunggu jam melepasi pukul 12 tengah malam memasuki 1 April untuk membeli barang, semata-mata untuk menjadi yang terawal memuat status dan gambar resit di Facebook bahawa mereka sudah membayar GST kepada kerajaan.

Malah, ada yang meluahkan kemarahan ekoran kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Namun, sebilangan beranggapan ini merupakan kali pertama kerajaan mengutip cukai daripada mereka. Barangkali mereka ini tidak mendapat maklumat yang tepat dan terkejut apabila pertama kali nampak jumlah cukai yang dibayar apabila membeli barang.

Ada pengguna memuat naik resit bayaran memasuki tandas di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di ibu kota dengan status tidak mahu lagi membuang air besar di situ kerana berlaku kenaikan harga perkhidmatan sebanyak 10 sen tetapi boleh membayar harga RM2 untuk ke tandas itu.

Pada hari pertama, laman media sosial dipenuhi dengan isu GST. Oleh sebab isu itu menjadi topik utama di laman media sosial, kesedaran pengguna yang sebelum ini memandang enteng GST, juga meningkat. Misalnya, rata-rata pengguna kini tahu bahawa hanya peniaga yang menyertakan nombor pendaftaran (ID) GST di resit jualan boleh mengenakan caj GST dan banyak barang yang dikecualikan daripada GST.

Reaksi daripada pengguna itu perkara biasa kerana GST merupakan suatu yang asing di negara ini yang agak lewat melaksanakannya berbanding negara-negara lain. Namun, masuk hari ketiga dan keempat, isu GST sudah reda dalam media sosial.

Bukan semua naik

Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad, setakat ini, pelaksanaan GST berjalan lancar dan tidak ada kekecohan yang timbul. “Dalam pemantauan yang kita buat, tidak ada masalah besar yang timbul. Masalah yang ada cuma berbentuk teknikal dan pentadbiran.

“Ada peniaga yang tidak mematuhi kehendak pelaksanaan GST, kita beri tunjuk ajar supaya mereka tidak mengelirukan orang. Contohnya, macam barang yang tidak kena cukai, jangan dicukaikan dan pastikan mereka keluarkan invois yang betul supaya tidak timbul masalah,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, pihaknya menasihatkan peniaga supaya menggunakan mesin yang sesuai dan meletakkan nombor ID GST pada invois yang dikeluarkan walaupun menggunakan resit tulisan tangan.

Berdasarkan pemantauan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) di seluruh negara, GST tidak menyebabkan harga semua barang dan perkhidmatan meningkat.

“Ada harga barang tertentu yang naik dan ada juga yang turun. Biasalah, orang cuma sebut harga barang yang naik. Cuba sebut juga harga barang yang turun. Kita sudah pergi ke seluruh negara berjumpa dengan peniaga dan orang awam. Rata-rata memberikan reaksi positif.

“Pada pandangan awal saya, orang sudah mula menerima GST. Saya tengok keadaan tenang sahaja, perniagaan pun berjalan seperti biasa dan orang ramai pun membeli-belah seperti biasa,” kata Khazali.

Beliau turut memberikan amaran keras pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak berdaftar di bawah GST tetapi mengenakan cukai itu kepada pengguna.

Kenaikan harga barang dan perkhidmatan berikutan pengenalan GST memang sudah dijangka dari awal lagi kerana ada sebahagian peniaga yang akan mengambil peluang untuk meraih keuntungan awal. Golongan ini memang sentiasa mencari peluang menaikkan harga barang apabila ada kesempatan tetapi memberikan pelbagai alasan untuk mengurangkannya apabila harga minyak turun.

Kebaikan GST

Namun, seperti yang acap kali disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kenaikan itu hanya bersifat one-off atau sekali sahaja. Selepas itu, harga barangan dan perkhidmatan akan kembali stabil dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Pelaksanaan GST membolehkan kerajaan memantau harga barang kerana semua perniagaan termasuk pengilang dan pemborong yang mempunyai nilai jualan melebihi RM500,000 setahun diwajibkan mendaftar di bawah GST.

Lompong dalam SST sebelum ini termasuk cukai berganda dan bertingkat akan dihapuskan, sekali gus harga barang akan menjadi lebih stabil dan berpatutan.

Dengan adanya mekanisme ini, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap peniaga yang menaikkan harga untuk mengaut keuntungan berlebihan.

Inilah kebaikan GST yang sepatutnya dilihat dari sudut positif oleh rakyat. Ini merupakan sistem cukai paling telus serta cekap dan atas sebab inilah, negara-negara maju dan membangun melaksanakan sistem pencukaian ini.

Tidak perlu memandang terlalu jauh. Negara-negara jiran kita seperti Indonesia, Vietnam dan Singapura yang lebih awal melaksanakan sistem pencukaian ini sudah menunjukkan impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi.

Dengan peningkatan kutipan cukai kepenggunaan, kerajaan boleh mengurangkan cukai korporat dan pendapatan individu.

Secara tidak langsung, ini dapat menjadikan negara lebih mesra pelabur bagi meneruskan pertumbuhan positif ekonomi negara untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.

-

Juwie ikon wartawan hiburan

BAIT lirik lagu Insan yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Yantzen dan ditulis oleh war­tawan hiburan terkenal, Mama Juwie bukan sekadar lirik kontemporari yang hanya untuk hiburan telinga semata-mata. Andai diteliti baris demi baris lirik berkenaan, ia sarat menyimpan mesej kehidupan. Juwie menggarap falsafah dan prinsip kesederhanaan yang dituntut oleh agama dalam nota liriknya itu.
Paling utama juga, lirik Insan adalah terjemahan yang paling mudah tentang keperibadian Juwie atau nama sebenarnya Abdul Jalil Salleh. Juwie yang semua orang kenal ialah seorang wartawan hiburan dan penulis lirik tersohor dan berpengaruh, tetapi tiada istilah bermegah dengan nikmat dunia yang Allah pinjamkan kepada beliau itu.

Mama Juwie


Abdul Jalil Salleh

“Apa yang Allah bagi pada kita adalah pinjaman. Jangan sombong dengan orang,” itulah yang sering dinasihatkan Juwie kepada wartawan hiburan generasi baharu. Tutur Juwie sentiasa santun. Senyuman pula tidak pernah lekang terukir di bibir. Dan yang paling diingati, tulisan-tulisan Juwie sepanjang lebih tiga dekad dalam dunia kewartawanan tidak pernah walau sekali mengguris hati mana-mana penggiat seni.

Dunia kewartawanan Malaysia harus mengakui Juwie ialah wartawan terbilang tanah air yang sentiasa menjadikan integriti berada di kedudukan paling teratas, berbanding mengejar glamor berikutan kehidupannya di kelilingi artis-artis masyhur dan berpengaruh.

Sepanjang menjadi wartawan hiburan, Juwie juga antara saksi yang melihat jatuh bangun anak seni yang sebilangan besarnya dirakamkan dalam tulisan-tulisannya.

Bukan sedikit kisah kejayaan artis yang dilaporkannya. Begitu juga rahsia-rahsia peribadi artis-artis popular digenggamnya tanpa pernah didedahkan.

Keperibadian Juwie itu akan terus dikenang oleh anak-anak seni yang pernah mengenalinya. Wartawan hiburan juga tidak terkecuali melihat beliau sebagai ikon memandangkan legasi tinggalan Juwie dalam bidang kewartawanan hiburan terlalu tinggi nilainya.

Namun, sudah tertulis hayat Juwie di dunia ini hanya sehingga usianya mencecah 62 tahun. Jumaat lalu di sekitar pukul 10.30 malam, Juwie menutup usia selepas bertarung dengan penyakit kanser prostat. Pemergian itu meninggalkan seluruh kebaikan dan jasa yang pernah ditaburkan kepada dunia hiburan.

Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa sebak dan luluhnya perasaan sebilangan besar wartawan termasuk saya yang pernah membesar dengan tulisan-tulisannya serta lirik-lirik melankolik yang pernah dihasilkan sepanjang kerjayanya.

Hampir dua dekad mengenali Juwie, tidak pernah sekali saya mendengar mana-mana artis yang mengkritik atau tersinggung dengan tulisannya, sebaliknya, kerana kesederhanaan peribadinya itu menyebabkan dia disayangi dan dihormati.

“Yang paling saya terkesan dengan sikap Allahyarham tidak pernah sesekali menghakimi orang lain. Sejahat atau senakal mana sekalipun seseorang itu, Mama Juwie akan sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka. Saya belum pernah jumpa orang yang sebaik arwah Mama Juwie. Budi dan jasa beliau pada saya tidak akan saya lupa sampai bila-bila,” kata aktres Umie Aida.

Dalam kalangan artis ternama, Allahyarham juga digambarkan sebagai seorang yang tidak pernah lokek berkongsi kasih dan sayang. Hal ini diakui oleh penyanyi Fauziah Latiff yang memberitahu, Mama Juwie sentiasa menyayangi artis-artis seperti anaknya sendiri dan sering mengingatkan bahawa hanya kasih sayang yang akan mengikat sesebuah persahabatan.

“Mama Juwie adalah antara wartawan hiburan yang sangat dihormati sepanjang bergelar anak seni kerana sumbangan Allahyarham pada kerjaya seninya terlalu besar dan tidak dapat diukur dengan wang ringgit, ” kata Fauziah dalam nada sebak ketika ditemui di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas menziarahi jenazah Mama Juwie, Jumaat lalu.

Sebagai ikon kewartawanan hiburan, Mama Juwie dilihat sebagai pencetus kepada revolusi penulisan gosip di Malaysia dengan memberi penekanan kepada laras bahasa bersifat santai dan bersahaja. Allahyarham memulakan perkhidmatannya sebagai wartawan di akhbar Berita Harian pada 1974 sebelum menyertai Utusan Malaysia pada 1984 dan kemudian menjadi Pengarang Majalah Mangga pada 1995 di syarikat yang sama sehinggalah bersara pada 8 Julai 2008.

Mangga adalah majalah yang menjadikan karakter unik Juwie sebagai inspirasi sehingga mencatat jualan luar biasa ketika dilancarkan oleh Kumpulan Utusan. Dalam kerjayanya sebagai penulis lirik pula, Juwie yang terkenal dengan kesantunannya itu sangat kaya dengan idea melankolik menyebabkan sebilangan besar lirik yang dihasilkan dekat dengan nilai-nilai cinta dan kemanusiaan.

Antara karya lirik yang hebat dan agung yang pernah dihasilkan beliau ialah Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu ciptaan Datuk Ahmad Nawab dan dinyanyikan oleh penyanyi ternama, Ramlah Ram. Lirik-lirik tulisan Juwie juga telah memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan artis-artis lain seperti Jamal Abdillah, kumpulan Alleycats, Norsheila Amin, Siti Fairuz, Nassier Wahab, Shidee, kumpulan Gersang, Spring dan May.

Lebih sedekad lalu, selepas bersara daripada dunia akhbar, Allahyarham Juwie kerap berulang-alik ke Tanah Suci, Mekah sama ada untuk mengerjakan umrah dan haji. Bahkan, beliau sering menjadi rujukan sebilangan besar artis dan wartawan yang berhajat untuk berkunjung ke rumah Allah itu.

Dan semalam, saya tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih melihat Mama Juwie dibawa ke tempat berehat yang abadi buat beliau iaitu di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baharu. Bersama-sama rakan artis dan wartawan hiburan yang lain, kami menyaksikan perjalanan terakhir maestro penulisan lirik itu dinoktahkan dalam keadaan penuh ketenangan.

Salam perpisahan yang sementara duhai teman, rakan dan sahabat yang bernama Abdul Jalil Salleh. Usai sudah urusan duniamu. Terima kasih di atas ilmu dan pengalaman yang pernah dikongsi dengan kami. Semoga Allah SWT merahmati kehidupan kamu di sana. Al-Fatihah.

Lirik lagu Insan

Kita adalah insan

Menumpang atas dunia

Aku dengan caraku

Yang sederhana

Kita adalah hamba

Berbakti pada Yang Esa

Aku mencari sinar

Keredaannya

Kita sama sahaja

Bezanya cuma amalan kita

Engkau dan juga aku

Saling perlukan

Oh cinta yang murni

Sebagai ikatan

Yang kukuh di hati

Demi masa depan

Jangan dihancurkan

Hidup yang indah ini

Akibatnya merana

Jangan hancurkan

Hidup yang indah

Kita adalah hamba 
Yang Esa

-

JJ, daripada ahli akademik kepada diplomat hebat, Perginya pemimpin dan diplomat berwibawa

Jamaludin Jarjis, daripada ahli akademik kepada diplomat hebat
KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih dekat sini, petang semalam, adalah seorang insan yang memiliki pelbagai bakat istimewa.

Ahli Parlimen Rompin itu, yang akan mencapai usia 64 tahun pada 25 Mei ini, memulakan dunia kerjayanya dengan menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1974 selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kelas Pertama dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dari University of Manchester, United Kingdom.


Allahyarham Dr Jamaludin Jarjis

Dua tahun kemudian, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari University of Manitoba, Kanada dan pada 1980, beliau menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dari University of McGill, Kanada.

Selepas enam tahun menabur bakti dalam bidang akademik, pada 1981 beliau berundur untuk menubuhkan sebuah firma perunding yang membuat pengkhususan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal dikenali sebagai J&A Associates.

Pada 1986, beliau membeli EPE Power Corporation Berhad dan menyandang jawatan Naib Pengerusi Eksekutifnya sebelum berundur pada 3 Ogos 2000, sehari sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan selepas itu dilantik sebagai Pengerusi TNB pada September 2000.

Dalam arena politik, Jamaluddin memulakan langkahnya dengan menjadi anggota UMNO Kampung Mengkasar di Pekan pada 1980 dan menyandang jawatan Ketua Pemuda.

Lima tahun kemudian, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Pekan dan pada 1988 sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Pahang dan anggota Exco Pemuda UMNO. Beliau juga dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2008-2011.

Kali pertama Jamaluddin, yang juga Pengerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), bertanding sebagai calon ialah pada Pilihan Raya Umum 1990 iaitu bagi kerusi parlimen Rompin.

Dalam pertandingan itu, beliau mengalahkan calon PAS, Salim@Ahmad Awg Kalib dengan 13,128 undi majoriti, manakala pada pilihan raya umum lepas (Mei 2013), beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Rompin bagi penggal keenam setelah mengalahkan calon PAS, Nuridah Mohd Salleh, dengan majoriti 15,114 undi.

Jamaluddin berundur daripada TNB pada November 2002 setelah dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua dalam pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam rombakan Kabinet pertama Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Januari 2004.

Tidak sampai dua bulan kemudian, beliau dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta diberi tanggungjawab untuk menjayakan Program Angkasawan Negara bagi menghantar seorang rakyat Malaysia ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa dengan kapal angkasa Soyuz TMA-11.

Program yang diumumkan secara rasmi oleh Dr Mahathir pada 2003 itu merupakan program bersama antara Malaysia dan Persekutuan Rusia di bawah program perjanjian timbal balas kerajaan dengan kerajaan melalui pembelian jet pejuang Sukhoi SU-30MKM untuk Tentera Udara Diraja Malaysia.

Misi angkasa lepas pertama Malaysia itu terlaksana dengan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menjadi rakyat Malaysia pertama meneroka angkasa lepas pada 10 Oktober 2007.

Pada 2009, Jamaluddin dilantik sebagai Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat bertaraf Menteri.

Ketika menyandang jawatan itu, beliau memanfaatkan teknologi terkini untuk mendekatkan diri dengan penduduk di kawasan Parlimen yang diwakilinya, walaupun berada jauh di perantauan.

Pada satu majlis di Rompin, Jamaluddin merasmikan program bersama rakyat melalui sidang video dari Amerika Syarikat.

Semasa bertugas selama empat tahun di Washington, beliau berjaya meletakkan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat di peringkat paling tinggi dalam sejarah negara ini.

Sebagai duta khas Malaysia di Amerika Syarikat pula, Jamaluddin berusaha gigih untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara dan merintis jalan bagi lawatan Obama ke Malaysia tahun lepas.

Lawatan Obama itu merupakan kunjungan pertama presiden Amerika Syarikat dalam tempoh 48 tahun ke negara ini selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Dilahirkan di Pekan, Pahang pada 25 Mei 1951, Jamaluddin meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, serta tiga anak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki. - BERNAMA

Perginya pemimpin dan diplomat berwibawa
Bagi penulis, Jamaludin yang juga Pengerusi Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) bukan sekadar seorang ahli politik tetapi juga diplomat yang cukup hebat. Allahyarham mempunyai semangat jati diri sebagai seorang pemimpin Melayu yang kuat.

Masihkah kita ingat pada 4 November 2009, Allahyarham secara rasmi menyerahkan watikah pelantikan sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) kepada Presiden Barack Obama.

Penyerahan itu bukannya dilakukan seperti mana duta-duta sebelum ini yang memakai sut, sebaliknya Allahyarham menarik perhatian apabila memasuki White House seperti pahlawan Melayu dengan baju Melayu dan tanjak. Malah, beliau sempat bertutur dalam bahasa Melayu dengan Obama.

"Aku nak tunjukkan budaya Melayu kat Obama, aku bangga berpakaian macam tu,’’ katanya kepada penulis dalam satu pertemuan kami di Carcosa Seri Negara beberapa bulan selepas peristiwa itu.

Allahyarham dianggap tokoh bertanggungjawab memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dengan AS serta memainkan peranan penting untuk menepis sebarang dakyah yang disebarkan oleh pembangkang tentang kerajaan Malaysia kepada AS.

Hasil daripada kesungguhan dan komitmen beliaulah menghasilkan lawatan bersejarah Obama ke Malaysia pada 26 hingga 28 April tahun lalu.

"Ini ialah satu penghormatan kepada rakyat Malaysia kerana dunia besar mengiktiraf kita, sebuah negara Islam. Akhirnya ada pengiktirafan dunia kepada usaha membangunkan negara yang dibuat oleh kerajaan sejak merdeka,’’ kata Allahyarham dalam wawancara dengan penulis menjelang lawatan bersejarah itu.

Seperti mana kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kembalinya Jamaludin ke rahmatullah adalah kehilangan besar kepada kerajaan, parti dan negara. Itulah hakikatnya yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Allahyarham Jamaludin pernah dianggap tenaga baru dalam barisan jemaah menteri apabila dilantik terus ke jawatan Menteri Kewangan Kedua pada 21 November 2002. Beliau kemudiannya berpindah sementara ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum diberikan kepercayaan menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada 30 Mac 2004.

Bagi mereka yang mengenali Jamaludin, Allahyarham ialah seorang yang cukup menekankan soal kecemerlangan akademik. Allahyarham sendiri memiliki ijazah Sarjana Muda Sains Kelas Pertama dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari Institut Sains dan Teknologi di Universiti Manchester, United Kingdom yang diperolehnya pada tahun 1974.

Tiga tahun kemudian, beliau menggengam pula ijazah Sarjana Sains dalam bidang yang sama dari Universiti Manitoba, Kanada sebelum memperoleh Doktor Falsafah Kejuruteraan Elektrik (Sistem Tenaga) dari Universiti McGill, juga di Kanada pada 1980.

Walaupun mendapat pendidikan tinggi di luar negara namun jati diri Allahyarham sebagai seorang pemimpin Melayu sentiasa kukuh. Atas sebab itulah, dalam kalangan pemimpin UMNO, Allahyarham dianggap salah seorang pejuang Melayu.

"Apa pun jadi, kita kena pertahan UMNO kerana UMNO sahaja harapan orang Melayu. Dalam usaha ini pemimpin-pemimpin UMNO mesti berubah mengikut perkembangan semasa termasuk memenuhi cita-cita anak muda khususnya berhubung dengan mereka melalui teknologi terkini,’’ kata Allahyarham.

Malah penulis masih ingat ketika kami berbual semasa berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2013, Allahyarham menceritakan bagaimana 'agak terkial-kial’ apabila menukar telefon bimbit selari dengan perkembangan teknologi.

"Kita kena belajar untuk kuasai teknologi baru, kalau tidak kita ketinggalan,’’ kata Allahyarham sambil membelek-belek telefon bimbit jenis Samsung yang baru dimilikinya.

Berbual dengan anak kelahiran Pekan, Pahang ini, kita tidak akan berasa bosan kerana Allahyarham mempunyai idea-idea bernas.

Ketika mengikuti lawatan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Perdana Menteri di Texas, Allahyarham pernah berbual-bual hampir dua jam dengan penulis di dalam cuaca sejuk di luar sebuah restoran.

Pelbagai pandangan beliau lontar khususnya bagaimana usaha Allahyarham untuk membawa syarikat-syarikat multimedia besar beroperasi di Malaysia.

Allahyarham bukanlah seorang yang suka berpura-pura. Kalau ada sesuatu perkara itu tidak disukai oleh beliau, Allahyarham akan bercakap secara terus-terang.

"Bro, kau kena hati-hati sikit, bila tegur bab politik dalam UMNO ini, takut-takut nanti orang salah faham,’’ tegur Allahyarham kepada penulis tidak berapa lama dulu.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan kepada UMNO dan negara kerana Allahyarham bukan ahli politik biasa tetapi pemimpin dan diplomat yang cukup berwibawa.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan Allahyarham bersama-sama orang beriman serta beramal soleh. 
– AL FATIHAH.

-

Selamatkan intergriti pemimpin politik

Mengikut kajian Transparency International Global Corruption Baromater tahun 2013, 51 daripada 107 negara mencatatkan bahawa politik adalah antara bidang paling korup apabila terlalu teruk dicemarkan oleh rasuah. Sementara itu pemimpin politik termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Australia misalnya, mencatatkan persepsi negatif yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Maknanya dunia politik secara umum terbuka luas kepada nilai-nilai yang melanggar intergriti. Malah dalam politik tidak disebut rasuah tetapi politik wang. Padahal ini memang rasuah. Hal-hal beginilah yang menjadi sinikal apabila bercakap tentang intergriti dalam politik. Satu utopia.

Kita boleh sahaja mengabaikan hasil daripada kajian ini. Atau kita boleh sahaja menganggap pelanggaran intergriti berlaku di seluruh dunia, bukan sahaja di negara ini. Tetapi tidak boleh memandang ringan terhadap persepsi negatif apabila intergriti sesetengah pemimpin politik dipersoalkan. Ini suatu yang serius biarpun hanya persepsi. Harap tidak ada lagi dalam kalangan pemimpin politik menganggap persepsi negatif itu sengaja dibesar-besarkan oleh parti lawan.

Jawapan klise itu sebenarnya tidak menangkis persepsi yang tumbuh dan subur dalam kalangan rakyat. Sepatutnya sudah ada kaedah untuk menangkis persepsi politik itu sebuah lubuk emas. Malangnya mereka tidak berbuat demikian dan persepsi itu diperkukuhkan lagi dengan gaya hidup mewah sesetengah pemimpin politik yang mencurigakan.

Rakyat tahu tentang ganjaran terhadap jawatan dalam politik. Mereka tidak mempersoalkan tentang itu tetapi kepada yang celik matematik akan mencongak apabila saiz kerak nasi dan periuk yang tidak sepadan. Di sinilah timbulnya persepsi yang negatif tentang intergriti.

Memang benar politik sentiasa terdedah kepada persepsi. Tidak politiklah namanya kalau tidak ada persepsi. Parti yang berjaya dalam perang persepsi akan mencapai kemenangan. Tetapi ini tidak bermakna tidak ada satu kaedah supaya intergriti kelihatan sebagai tunggak dalam politik.

Di sinilah pentingnya satu perakuan daripada pihak yang berwibawa bahawa kekayaan seseorang pemimpin bukan dari perlanggaran intergriti. Oleh yang demikian saya sangat setuju dengan saranan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Johan Jaaffar supaya semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mereka menjadi pemangkin budaya intergriti kepada rakyat.

Johan berkata demikian sebagai reaksi kenyataan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Shahrir Samad bahawa Ahli Parlimen BN setuju menandatangani ikrar intergriti. Oh, baru hendak tandatangan. Kenapa bertindak lambat sangat?

Bagi saya ikrar intergriti itu memang baik tetapi tidak cukup terutama untuk menangkis persepsi negatif terhadap pemimpin politik. Apabila Shahrir mengumumkan demikian, barulah kita tahu yang selama ini tidak ada sebarang prosedur ke arah mempertingkatkan intergriti pemimpin politik BN. Tetapi masa yang sama tidak dapat dipastikan sejauh manakah ikrar itu mampu mengekang Ahli Parlimen BN melanggar prinsip-prinsip intergriti? Kepada siapa ikrar itu dibuat dan pihak manakah yang lebih berwibawa menentukan intergriti selain SPRM?

Pemimpin politik terutama BN mesti memberi perhatian kepada saranan PPPR yang bertujuan membina keyakinan rakyat. Anjakan ini harus dimulakan oleh BN dan biarlah sekiranya parti lawan mengambil pendekatan berdiam diri atau mengelak daripada mengisytiharkan harta kepada SPRM. BN tidak rugi apa-apa dengan berbuat demikian, malah beruntung kerana ini akan mengubah persepsi negatif rakyat. Lagipun bukan susah sangat untuk mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Sepatutnya perkara ini dilakukan dengan penuh kesedaran dan tidak perlu menunggu arahan untuk berbuat demikian. Tambahan pula SPRM tidak menjaja nilai harta Yang Berhormat kita yang terlalu kecil itu kepada umum.

Tidak boleh lagi berterusan menganggap persepsi rendah intergriti itu sengaja ditimbulkan oleh parti lawan untuk menjatuhkan reputasi politik mereka. Ini jawapan retorik dan rakyat sudah bosan mendengarnya. Pemimpin semua parti politik, tidak kira di peringkat negeri atau Parlimen bukan sahaja perlu kelihatan bersih tetapi mesti diperakui “bersih” oleh pihak berwibawa seperti SPRM.

Jangan khianati ikrar CBP

Sebenarnya saya sudah lemas dengan lambakan maklumat dan penerangan tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) yang orang lebih suka sebut GST. Saya rimas dengan begitu banyak “profesor GST” yang meminjam sifat burung kakak tua yang mengajuk cakap orang lain.

Saya fikir kerajaan tidak perlu apologetik untuk melaksanakan sistem percukaian ini. Oleh kerana cukai ini baik untuk rakyat, laksanakan tanpa perlu mengulang-ulang tentang kebaikan CBP. Saya percaya rakyat telah menerima hakikat di mana akhirnya mereka dikenakan CBP. Negara lain sudah lama melaksanakannya. Jadi, isu rakyat tidak menerima CBP tidak timbul. Rakyat cuma bimbang pulangannya tidak kembali kepada mereka.

Ikrar CBP kepada rakyat ialah, “Membangun dan Maju Bersama CBP”. Jangan sesekali melupakan ikrar yang telah diucapkan kepada rakyat bahawa cukai ini bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Maka kerajaan mesti berhemah berbelanja untuk tujuan yang boleh dapat dinikmati oleh rakyat.

Ketua Pengarah Kastam, Khazali Ahmad dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia sebelum ini menjangka kerajaan akan mengutip RM23 bilion sembilan bulan selepas pelaksanaan CBP iaitu peningkatan RM7 bilion daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (CJP) yang dilaksanakan sebelum ini.

Maknanya CBP menyumbangkan kutipan lebih tinggi kepada kerajaan dan angka RM 23 bilion adalah satu jumlah yang besar. Ini baru sembilan bulan pertama selepas CBP dimulakan, bukan setahun, dua tahun dan seterusnya. Mengikut ikrar CBP, semua itu untuk pembangunan dan kemajuan yang akan dinikmati oleh rakyat.

Saya harap ikrar ini akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Ini amanah rakyat yang tidak boleh dikhianati. Gunakanlah dengan tujuan yang kesan akhirnya dapat dinikmati oleh rakyat. Biarlah hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. - Ku Seman Ku Hussein Utusan Malaysia Rencana 05 April 2015 2:14 AM