April 7th, 2015

Melihat sejarah Dr. Mahathir

AKHBAR Sin Chew Daily dalam ruangan pendapat yang ditulis oleh Tay Tian Yian kelmarin, mempersoalkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang semakin kerap menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak kebelakangan ini.

Malah, kritikan bekas Perdana Menteri itu jauh lebih tajam berbanding serangan pembangkang sendiri.

Sebahagian kritikan Dr. Mahathir mempunyai asas tersendiri dan tidak sedikit juga kritikan tidak berasas yang bermotifkan serangan peribadi sekaligus memperlihatkan kesungguhan Dr. Mahathir untuk memusnahkan Najib walaupun dengan apa harganya sekali pun.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir dilihat seolah-olah tidak mempedulikan itu semua (kesan di sebalik tindakannya).

Persoalannya sekarang, mengapa Dr. Mahathir melakukan semua ini? Apakah kita perlu bertanya kepada Machiavelli atau Freud?

Kalau ditanya kepada Machiavelli, beliau mungkin mengatakan semua ini berlaku disebabkan perebutan kuasa politik dan konflik kepentingan. Freud pula mungkin memberitahu kita semua bahawa wujud masalah psikologi seorang yang cukup berpengaruh.

Semua ini secara tidak langsung mengingatkan saya kepada pengasas Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Sebagai bekas Perdana Menteri Singapura yang berpengaruh, Kuan Yew tidak pernah memutuskan hubungan penggantinya Goh Chok Tong. Mendiang tidak menyerang penggantinya dengan kata-kata yang tidak menyenangkan menyebabkan proses pentadbiran di Singapura berjalan dengan lancar.

Hubungan mesra itu kekal sehinggakan apabila Kuan Yew meninggal dunia, Chok Tong berkata: “Mendiang tidak pernah gagal untuk datang lebih awal dalam semua acara yang disertai saya,”.

“Sesuai dengan kedudukannya sebagai mentor, saya memberitahu mendiang supaya mengetepikan amalan tersebut terutamanya membabitkan acara tidak formal.

“Tetapi mendiang menjelaskan kepada saya, adalah penting untuk beliau patuh dengan protokol tersebut, jika tidak, orang mungkin akan membuat kesimpulan yang dia tidak menghormati saya sebagai Perdana Menteri,”.

Maka tidak hairanlah mengapa mendiang begitu dihormati dan disayangi rakyat Singapura serta proses pentadbiran negara itu juga lancar kerana Kuan Yew tidak pernah melanggar prinsip berkenaan.

Berbeza dengan Dr. Mahathir. Semasa masih bergelar mahasiswa lagi beliau sudah berbeza pendapat dengan Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman yang juga Presiden UMNO pada ketika itu.

Malah apabila menjadi Perdana Menteri, dua pemimpin kanan dan berpengaruh dalam kerajaan serta UMNO, Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah telah memutuskan hubungan dengan beliau dengan muncul sebagai musuh politik yang akhirnya disingkirkan Dr. Mahathir.

Tidak terkecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang walaupun sudah selangkah untuk menjadi Perdana Menteri tetapi akhirnya terpenjara menyebabkan impian Anwar untuk mengambil alih kepemimpinan negara berkecai.

Pengganti beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi, juga terpaksa melepaskan jawatannya ekoran serangan Dr. Mahathir, meskipun beliau ialah seorang pemimpin yang baik dan tidak pernah terbabit menyakiti sesiapa. Hari ini, tiba giliran Najib pula.

Kuan Yew dalam bukunya berkata:” Jika Perdana Menteri baharu gagal, bererti saya yang gagal...Mahathir tidak pernah berfikir begitu. Beliau sebaliknya melemahkan penggantinya,”.

Tambah Kuan Yew, sebagai bekas Perdana Menteri tanggungjawab utamanya adalah untuk menasihati generasi muda yang akan menjadi pemimpin masa hadapan Singapura.

Namun berbeza dengan Dr. Mahathir. Lebih separuh daripada peranan yang dimainkan beliau adalah untuk mengalahkan lawannya termasuk pembangkang, penggantinya dan rakan-rakannya sejak dari tahun 1960 hingga 2015.

Pada saya, jika beliau menghabiskan tenaganya untuk meme­rangi rasuah, meningkatkan kecekapan kerajaan dan menyatukan rakyat, Dr. Mahathir akan mendapat lebih banyak penghormatan dari rakyat.

Tapi apa yang berlaku sebaliknya. Ini menimbulkan persoalan sama ada apa yang dilakukan Dr. Mahathir sekarang ini adalah untuk kebaikan negara atau demi kepentingan diri sendiri?

Di China, tidak tidak mungkin kita dapat membayangkan Hu Jintao akan cuba menghalang Xi Jinping. Di Amerika Syarikat juga sama, adalah mustahil untuk Bill Clinton mengkritik Barack Obama.

Ini adalah sebahagian daripada etika politik dan juga persoalan sistem. Jika tidak, bagaimana sesebuah negara itu hendak ditadbir?

Dari sudut etika politik, bekas pemimpin boleh memberi nasihat atau mengkritik dasar kerajaan tetapi tidak boleh dilakukan atas agenda peribadi. Mereka tidak boleh melibatkan diri dalam perjuangan yang tidak berkesudahan hanya kerana kepentingan peribadi dan keluarga.

Dalam persoalan sistem pula, pembangkang dan media akan memantau kerajaan manakala Parlimen dan pembuat dasar pula akan menjadi medan perdebatan untuk menilai kerajaan.

Apa yang Najib perlu lakukan adalah bertindak balas secara positif kepada tuduhan Dr. Mahathir dan untuk membiarkan rakyat membuat pertimbangan daripada menghabiskan banyak masa untuk melayan bekas Perdana Menteri itu. - Utusan Malaysia Rencana 7 April 2015

Berdialog kukuhkan demokrasi

Program Transformasi Politik (PTP) yang diumumkan oleh kerajaan pada 2011 menzahirkan satu budaya politik baharu Malaysia selari dengan perkembangan dan tuntutan demokrasi. Melalui transformasi ini, kerajaan mengambil pendekatan lebih terbuka untuk memahami denyut nadi rakyat. Ini selari dengan slogan kerajaan “1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” yang diperkenalkan beberapa tahun lalu.

Seiring dengan transformasi politik ini, beberapa akta yang dilihat sebagai halangan kepada kebebasan berpolitik rakyat dimansuhkan dan ditambah baik. Ini termasuk pembatalan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang Hari Malaysia, pada 16 September 2011.

Selain ISA, inisiatif PTP juga merangkumi pemansuhan tiga Proklamasi Darurat, Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, Penggubalan Akta Perhimpunan Aman termasuklah pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai mengiktiraf kematangan juga hak berpolitik mahasiswa di universiti untuk terlibat dalam politik kepartian. Ini semua secara jelas menggambarkan keteguhan dan keseriusan kerajaan memperkukuh amalan demokrasi demi kepentingan rakyat.

Memperkukuh Dialog

Transformasi politik membawa makna era kerajaan mengetahui segala-galanya telah pun berakhir. Kerajaan tidak boleh lagi mendabik dada menyatakan bahawa mereka mengetahui semua perkara.

Sebaliknya, kerajaan perlu mendengar suara rakyat dan pandangan mereka wajar diangkat dalam kapasiti yang lebih bermakna dalam kerangka demokrasi di Malaysia.

Sehubungan itu, transformasi ini berhasrat menggantikan pertentangan dengan dialog dan sekatan dengan keterbukaan. Kerajaan kini lebih bersedia untuk berdialog dan membuka jalan perbincangan yang lebih kukuh dengan rakyat dalam menyelesaikan satu-satu cabaran yang timbul.

Tidak dinafikan, perbincangan atau perundingan juga adalah amalan penting dalam Islam. Konsep Syura atau permesyuaratan yang dianjurkan Islam amat dialu-alukan kerana dapat membuahkan keputusan yang adil dengan mengambil kira pandangan semua pihak. Syura juga mampu mengelak pendirian autokratik yang akhirnya merugikan ummah secara keseluruhan.

Dalam amalan demokrasi moden, melalui dialog dan perbincangan, suara rakyat lebih mudah disampaikan kepada kerajaan melalui rasa hormat dan saling mempercayai. Penulis percaya tidak mungkin kerajaan boleh mengabaikan dan meminggirkan suara rakyat yang diajukan secara tertib dan berhemah.

Namun apa yang dikesalkan terdapat segelintir pihak yang masih mengambil jalan demonstrasi bagi menterjemah apa yang diperjuangkan mereka. Apa yang kita nampak adalah semakin luas ruang diberikan oleh kerajaan, semakin mereka berani menggunakan saluran yang bertentangan dengan politik baharu yang matang.

Sejak krisis politik negara pada 1998, demonstrasi dilihat oleh segelintir pihak sebagai saluran berkesan untuk mereka menyatakan suara dan pandangan. Namun hal ini tidak sewajarnya berlaku lebih-lebih lagi pelbagai saluran dan ruang dialog juga perundingan telah disediakan kerajaan.

Apa yang mengecewakan pihak-pihak tertentu tanpa segan silu memperdaya emosi dan amarah golongan muda untuk bersama-sama turun di jalanan. Penulis yakin dan pasti tiada satu hasil pun yang mereka peroleh melainkan penat dan letih sahaja.

Jana Budaya Politik Matang

UMNO sentiasa menggalakkan dialog dan perundingan bagi menjana budaya politik yang sihat dan matang. Ini tidak bermakna apabila berdialog, maka matilah sifat ketegasan dan kejantanan khususnya dalam kalangan orang muda. Apa yang lebih penting adalah ketegasan kita mempertahankan suara dan prinsip dengan berwacana secara tertib dan sopan.

Dalam konteks Pemuda UMNO, dialog dan perundingan sememangnya menjadi budaya dan pendekatan untuk menyuarakan pandangan. Alhamdulillah, banyak pandangan Pemuda diterima baik oleh kerajaan di meja perundingan yang akhirnya menguntungkan rakyat khususnya golongan muda.

Ini termasuk cadangan Pemuda UMNO untuk mewujudkan Skim Perumahan Belia dan Bandar Belia. Dalam konteks Skim Perumahan Belia, Perdana Menteri melalui Bajet 2015 telah mengumumkan Skim Perumahan Belia atau Youth Housing Scheme secara perkongsian pintar di antara Kerajaan, Bank Simpanan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Cagamas.

Skim ini menawarkan pemilikan rumah pertama yang bernilai tidak melebihi RM500,000 kepada belia berkahwin berumur 25 hingga 40 tahun serta mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000.

Melalui skim ini, golongan belia akan mudah memiliki rumah tanpa banyak dibebani dengan isu kewangan. Ini akan dapat menganugerahkan mereka satu kehidupan yang lebih lengkap dan berkualiti kerana rumah adalah sumber kehidupan lebih-lebih lagi mereka yang telah mendirikan rumah tangga.

Begitu juga dengan cadangan Bandar Belia. Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan 1Malaysia Youth City atau Bandar Belia 1Malaysia dengan peruntukan RM100 juta bagi membiayai tiga projek perintis di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Bandar belia ini akan menjadi pusat sehenti yang memungkinkan golongan belia dapat berinteraksi antara satu sama lain dengan lebih efektif sekaligus bersama-sama membangunkan bakat dan potensi mereka khususnya dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Kesimpulannya, pendekatan dialog dan perundingan perlu disemarakkan dalam budaya politik kita. Ini kerana dialog dapat mewujudkan perbincangan dan pertukaran buah fikiran dalam suasana penuh santun dan saling percaya mempercayai.

Rakyat harus mengambil kesempatan atas keterbukaan kerajaan untuk menyatakan pandangan secara berhemah dan pastinya suara dan idea yang disalurkan ini akan dapat diberikan perhatian demi kepentingan bersama.

Apa yang penting, sikap saling percaya mempercayai perlu diperkukuhkan kerana hanya dengan cara ini, dialog dan perundingan dapat disuburkan. Kuburkan sikap prasangka dan bersangka buruk kerana ini hanya mengeruhkan keadaan tanpa sebarang jawapan. - Utusan Malaysia Rencana 7 April 2015

Melonjak Prestasi Tahap Global

SEMPENA PELANCARAN PPPM (PT) 2015-2025 OLEH PERDANA MENTERI HARI INI
HARI ini mencatat satu lagi sejarah dalam transformasi pendidikan negara apabila pelan induk pembangunan pendidikan peringkat pengajian tinggi dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi (PT) 2015-2025 itu membawa hasrat untuk meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan tinggi sekali gus memperkukuh ke­­wu­­judan Malaysia di pentas du­nia.

Pelan induk ini juga dijangka mampu menarik minat pelajar, penyelidik serta organisasi berkaitan untuk menyertai sektor pendidikan tinggi yang di­tawarkan di dalam negara kita.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Ismail Abdul Aziz berkata, kecemerlangan dalam bidang pendidikan tinggi penting demi memperkukuh kewujudan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia seterusnya menjadi destinasi tumpuan pelajar dan golongan akademik untuk melanjutkan pengajian mahupun menjalankan penyelidikan mereka.

Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga kesembilan sebagai destinasi dunia yang menjadi tumpuan pelajar antarabangsa menimba ilmu di menara gading.

“Di bawah lonjakan kelapan PPPM (PT) iaitu Kesohoran Global, kita akan kembangkan perkara ini antaranya termasuklah meningkatkan hasil penyelidikan di lima buah universiti penyelidikan di samping memperkenalkan program pengajian baharu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

PPPM (PT) menyenaraikan 10 lonjakan untuk menyaksikan transformasi pendidikan dalam tempoh 10 tahun. Sembilan lonjakan lain ialah Graduan Holistik, Keusahawanan dan Seimbang; Kecemerlangan Bakat; Masyarakat Yang Belajar Sepanjang Hayat; Graduan TVET (Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional) Berkualiti; Kelestarian Kewangan; Tadbir Urus Perkasa; Ekosistem Inovasi; Pembelajaran Dalam Talian Secara Global, dan; Penyampaian Pendidikan Tinggi yang Ditransformasi.

Kesohoran Global yang merupakan lonjakan kelapan bertujuan melonjakkan institusi pengajian tinggi (IPT) negara ke tahap tertinggi, dihormati masyarakat antarabangsa dan diiktiraf terbaik di peringkat antarabangsa.

Menurut Mohd. Ismail, terdapat lebih 30 pelan strategik yang di­rangka bagi pelaksanaan PPPM (PT) ini namun tiga dianggap penting dan perlukan tindakan segera di bawah Agenda Kesohoran Global.

“Tiga pelan strategik itu adalah menarik minat lebih banyak pelajar asing menimba ilmu dengan mengikuti pengajian di Malaysia, penjenamaan sistem pengajian tinggi negara dan meningkatkan pa­saran baharu antarabangsa,” katanya.

Bagi memenuhi hasrat itu, ujarnya, usaha yang berterusan perlu digerakkan bagi mengubah pembangunan pendidikan tinggi melalui peningkatan kemahiran, kerjasama dengan universiti luar negara dan mempelbagaikan hasil penyelidikan universiti.

“Pada masa sama, universiti melalui komuniti alumni perlu menjalin hubungan kerjasama akademik atau penyelidikan antarabangsa, mewujudkan rakan kongsi industri atau perkongsian kemahiran sama ada pelajar ataupun tenaga kerja dengan universiti luar,” katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, di UTM sendiri, pelbagai usaha kerjasama strategik sudah lama digerakkan dengan universiti luar negara dalam bidang pendidikan dan penyelidikan dengan universiti tersohor dunia antaranya University of Cambridge, United Kingdom; University de Nantes, Perancis; Harvard University, Ohio State University, Amerika Syarikat; University of Bologna, Itali dan Meiji University, Jepun.

Beliau yang terlibat merangka PPPM (PT) iaitu bertindak sebagai Pengerusi Kritikal Agenda Projek (Pengantarabangsa) Sektor Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan memberitahu, usaha menarik minat pelajar antarabangsa ke negara ini boleh dilakukan melalui pengalaman yang positif pelajar terdahulu.

“Strategi kita adalah untuk mencipta pengalaman belajar yang menyeronokkan dalam kalangan pelajar asing yang datang ke negara ini kerana kita mahu kesinambungan pengajian dan jangka panjang dengan memastikan pelajar akan datang semula menyambung pengajian di negara ini pada masa depan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, uru­san berkaitan imigresen perlu di­tambah baik agar lebih mudah dan selamat untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian di negara ini.

“Daripada aspek pembiayaan pengajian, Malaysia masih menyediakan kemudahan universiti yang menawarkan yuran pengajian pada harga berpatutan berbanding negara maju,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan PPPM (PT) penting untuk direalisasikan demi memastikan sasaran mencapai 200,000 pelajar antarabangsa me­ngikuti pengajian di negara ini menjelang tahun 2020 dan 250,000 pada 2025 menjadi kenyataan.

“Di samping itu, pengajian ting­­gi negara perlu membina masyarakat yang berpengetahuan dan menyokong pembangunan ekonomi dengan mewujudkan banyak peluang perniagaan domestik sekali gus memberi keuntungan kepada masyarakat setempat,” katanya. - Norizan Abdul Muhid Utusan Malaysia Rencana 7 April 2015

Karya Dewan Bahasa dilarikan

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) amat terkenal dengan penerbitan buku-buku ilmiah dan buku-buku teks sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Bagaimanapun baru-baru ini, setelah kontrak ditamatkan, banyak buku terbitan DBP terus dilarikan. Kita tidak tahu berapa banyakkah buku-buku yang telah hilang atau dilarikan.

Kita menjangkakan buku-buku yang dilarikan mungkin mencapai nilaian berjuta-juta ringgit. Kesan daripada buku-buku yang hilang atau dirompak ini, ramai penulis buku-buku DBP tidak akan dapat bayaran royalti. Apatah lagi cara bayaran royalti DBP kepada penulis berdasarkan buku-buku yang dijual.

Sekarang ini tidak ada lagi buku yang hendak dijual. Kita juga difahamkan DBP baru sahaja menyedari hal ini. Sepatutnya DBP sudah lama menyedari hal ini berdasarkan laporan jualan buku bulanan atau tahunan.

Kita difahamkan DBP akan menerbitkan semula buku-buku yang hilang atau yang telah dilarikan. Penerbitan semula akan melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit dan buku-buku yang diterbitkan semula ini dianggap sebagai cetakan kedua, kedua atau ketiga..seterus dengan tarikh/tahunan yang berlainan.

Bagaimana pula royalti penulis sebagai penerbitan kedua atau ketiga? Dan bagaimana pula royalti tentang buku-buku yang hilang kepada penulis?

Karyawan Terkilan Utusan Malaysia Rencana 7 April 2015