April 11th, 2015

Sumpah, Akta Hasutan kekuatan Najib

Sumpah PM Najib

PERDANA Menteri (PM) Da­tuk Seri Najib Tun Razak me­ngulangi kenyataannya ba­ha­wa beliau telah bersumpah se­banyak tiga kali de­ngan menggunakan perkataan “Wallahi, Wabillahi, Wa­tallahi” bahawa beliau tidak me­ngenali Altantuya Shaariibuu dan tidak ada kena-mengena dengan kematiannya. Katanya, beliau tidak takut untuk bersumpah demikian kerana beliau melafazkan yang benar.

Berdasarkan sumpah PM itu, saya sebagai seorang Islam, percaya bahawa PM telah bersumpah dengan lafaz dan niat untuk menegakkan kebenarannya, iaitu beliau tidak mengenali Altantuya dan tidak ada kena-mengena de­ngan kematiannya. Orang Islam tidak akan bersumpah dengan lafaz “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” untuk menipu kerana orang Islam tersangat takut untuk berbohong dengan menggunakan nama Allah SWT.

Sukacita saya memberikan satu contoh: Saiful Bukhari telah bersumpah “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” di hadapan Kaabah, dan juga beberapa kali sebelum itu untuk menegakkan kebenaran yang diperkatakannya. Akhirnya kita semua maklum bahawa kebenaran sumpahnya itu menjadi nyata di mahkamah. Ada orang yang tidak berani melafazkan sumpah seperti itu walaupun ternyata akan mendapat banyak manfaat sekiranya berbuat demikian. Berani bersumpah kerana benar, takut bersumpah kerana salah.

Jawablah sendiri soalan ini: Apakah anda sendiri akan bersumpah untuk menipu bahawa anda di pihak yang benar dengan menggunakan lafaz “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” sekiranya anda bersalah?

Sebagai orang Islam, kita tersa­ngatlah patut untuk tidak lagi mencurigai kebenaran bahawa PM tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Altantuya Shaariibuu, kerana PM yang memperjuangkan Islam telah pun bersumpah dengan nama Allah SWT.

Pertahan Akta Hasutan 1948

SAYA dan rakan-rakan rasa amat gembira sekali membaca berita bahawa PM Najib mempertahankan Akta Hasutan 1948 daripada dimansuhkan. Pendirian beliau untuk berbuat demikian adalah sangat terpuji kerana beliau sedar bahawa tanpa akta ini, rakyat yang tidak bertanggungjawab akan bebas menghasut rakyat dengan segala macam propaganda dan niat jahat yang akhirnya akan memusnahkan kestabilan negara yang kita kecapi sekarang ini. Kita sangat hormat kepada beliau kerana keberanian, keazaman dan keprihatinannya memikul tanggungjawab, walaupun digugat.

Kami tabik kepada beliau kerana berpegang teguh dan patuh pada undang-undang yang ada untuk mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan; Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi; kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu. Rakyat boleh hidup dalam harmoni dan aman apabila mematuhi undang-undang negara yang dibuat oleh rakyat negara itu sendiri. Tetapi apabila undang-undang dicabul, maka hilanglah keamanan dan kestabilan negara, dan rakyat akan berbuat sesuka hati meng­ikut nafsu buas untuk memenuhi kepentingan diri sendiri tanpa menghormati hak orang lain.

Sekiranya Akta Hasutan 1948 ini dihapuskan, maka akan berpestalah orang-orang yang berhati busuk menabur fitnah di sana-sini. Mereka tidak akan lagi takut untuk berbuat demikian kerana tiada undang-undang untuk menyekat mereka. Buruk sangka akan terjadi antara rakyat negeri ini secara berleluasa, yang akhirnya akan menimbulkan malapetaka yang dahsyat. Rakyat Malaysia tidak mahu perkara ini terjadi. Semua orang akan rugi dan kalah, tiada siapa yang untung dan menang.

Ketika kita masih mempunyai Akta Hasutan 1948 pun sudah ada manusia yang menghasut untuk kepentingan sendiri, seperti menghina islam dan nabinya, raja dan kedudukan orang Melayu yang terang-terang ditegah oleh undang-undang. Apatah lagi sekiranya akta itu dihapuskan! Saya pasti keadaan akan menjadi bertambah buruk. Lihatlah betapa banyaknya laporan polis telah dibuat oleh pihak-pihak yang merasa marah kerana penghinaan telah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap bangsa, agama, dan Perlembagaan negara.

Negara bertamadun yang kononnya mengamalkan demokrasi pun mempunyai undang-undang untuk menjaga keselamatan rakyat masing-masing. Umpamanya Amerika Syarikat yang mempunyai Akta Patriot dengan 10 tujuan, merangkumi hasrat untuk memperkuatkan keselamatan dalam negeri dan memperluaskan kuasa kerajaan bagi mengenal pasti dan meme­rangi pengganas. Akta ini digunakan untuk menangani banyak perkara termasuklah bagi menentang anasir-anasir yang akan memporak-perandakan negara.

Pada dasarnya Akta Patriot Amerika Syarikat ini lebih kurang menyerupai Akta Hasutan 1948 negara kita. Tetapi demi untuk keselamatan negara mereka, rakyat Amerika Syarikat masih mengekalkan Akta Patriot ini. Mengapa pula kita mahu menghapuskannya?

Semua agama mengajar kita supaya tidak menghasut. Dalam Islam, al-Quran dan hadis menyimpulkan bahawa mengumpat adalah suatu dosa besar dan merupakan perbuatan tercela seolah-olah pelakunya memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati. Dalam agama Buddha disebut, “If a person fails to have faith but instead slanders the sutra, immediately he will destroy all the seeds for becoming a Buddha in this world; To seek enlightenment without repudiating slander is as futile as trying to find water in the midst of fire or fire in the midst of water; And he is a slanderer, having heard something at one place, he makes it known elsewhere for causing variance among other people”. Agama Hindu menyatakan, “One giving false evidence or uttering falsehood goes to Raurava hell”. Agama Kristian menyatakan, “You shall not bear false witness against your neighbor”. Taoism menyatakan, “To break up friendships and set kinfolk at odds is called maliciousness”.

PM sangat prihatin terhadap Akta Hasutan apabila menegaskan beliau tidak akan bertoleransi terhadap pihak-pihak yang menyebarkan kebencian antara kaum. Negara tidak boleh diganggu-gugat sehingga memusnahkan kemajuan yang telah dicapai setakat ini. Tidak akan ada harmoni kalau ada pihak menghina agama dan mempersoalkan status kenegaraan orang lain.

Rakyat yang baik dan bermoral serta cintakan keamanan akan menyokong beliau. - Prof Datuk Dr Hashim Yaacob Utusan Malaysia Rencana 11 April 2015 1:49 AM

Orang asing gembira kita duka

Tak berapa lama dulu, seorang eksekutif dan seorang wartawan wanita dari Sepanyol jumpa Kunta Kinte untuk sembang berkenaan Malaysia. Mereka dalam usia 30-an dan baru sahaja kena tukar ke negara kita. Negara mereka negara maju tapi keadaan ekonomi teruk. Pengangguran sampai 23 peratus. Lebih 50 peratus penduduk umur bawah 25 tak ada kerja.



Mana-mana negara pun yang ramai orang muda dan lulusan universiti tak ada kerja adalah negara yang gagal majukan ekonomi secara lestari. Balik kepada cerita dua wanita muda Sepanyol tadi, mereka bagi tahu Kunta Kinte mereka rasa sangat bertuah dihantar ke Malaysia.

Sebelum datang ke negara kita, mereka bekerja di sebuah negara Arab. "Pada mulanya kami bimbang juga kerana kami baca bahawa Malaysia adalah negara Islam. Kami bayangkan Malaysia macam negara-negara Arab.

Tapi bila kami tiba di Malaysia ia berlainan sekali daripada anggapan kami. Malaysia adalah syurga." Kemudian Kunta Kinte sembang pula dengan pendatang asing yang kerja di kedai kopi kegemaran Kunta Kinte. Mereka pun kata Malaysia macam syurga. Maklumlah mereka datang dari negara macam Indonesia, India dan Nepal yang jauh lebih mundur daripada kita. Pakaian seragam majikan bagi. Makan percuma.

Apa yang Kunta Kinte makan, itulah yang mereka makan. Hostel disediakan di atas kedai. Jadi tak payah susah-susah keluar duit beli pakaian kerja, makanan, sewa rumah dan bayar tambang. Betullah Malaysia syurga bagi mereka. Pendek kata, orang asing yang merantau ke negara kita - tak kira pekerja profesional atau buruh, dari negara maju atau mundur - hidup lebih senang di negara kita daripada di negara mereka sendiri.

Nasib tak sebaik orang asing

Kunta Kinte seronoklah dengar mereka puji negara kita. Tapi, bila Kunta Kinte tengok nasib sesetengah orang kita sendiri, Kunta Kinte sedih dan susah hati. Ramai rakyat kita nasib mereka tak sebaik orang asing. Bulan lepas Kunta Kinte baca berita atas talian yang petik Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, kata ada keluarga pembantu pejabat dan pembantu am perkhidmatan awam yang duduk bersesak-sesak dalam rumah satu bilik.

Kunta Kinte langsung tak hairan. Gaya hidup macam mana lagi mereka mampu bila gaji mereka lebih sikit RM1,000 sebulan sahaja. Mereka ini adalah dalam gred paling rendah hierarki Jabatan Perkhidmatan Awam, iaitu gred ke-11 (G11).

Dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gaji asas mereka antara RM805 dan RM820. Lepas tambah elaun kos sara hidup (COLA) RM300 dan elaun perumahan RM180, pendapatan kasar hanya antara RM1,285 dan RM1,300 sebulan. Azih kata, dengan pendapatan macam itu mereka hanya mampu sewa bilik di tempat sara kos tinggi macam Kuala Lumpur, Johor Bahru, Shah Alam dan Klang.

Sewa bilik sahaja antara RM600 dan RM800 sebulan. Keadaan ini sangatlah menyedihkan sebab bilangan pekerja dalam gred ini ramai - antara 250,000 dan 300,000. Daripada bilangan itu, ramai yang bekerja secara kontrak dan tak ada pencen. Itu tak kira lagi pekerja gaji rendah sektor swasta yang lebih ramai.

Jadi Kunte Kinte sokong permintaan CUEPACS agar kuota rumah kos rendah diwujudkan untuk kakitangan awam dan pelaksanaannya tak diserah bulat-bulat kepada sektor swasta. Lagi elok dimasukkan juga pekerja bergaji rendah dalam sektor swasta.

Perumahan untuk rakyat

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata Kunta Kinte tak hairan dengan keadaan ini sebab Kunta Kinte dah tengok sejak sebelum 13 Mei 1969 lagi. Dasar kita mengenai perumahan untuk rakyat biasa sejuk, panas dan terketar-ketar. Tak tekal.

Masa Kunta Kinte hijrah ke Kuala Lumpur sebulan lepas 13 Mei, boleh kata majoriti orang Melayu dan India yang berhijrah dari kampung dan ladang duduk di rumah haram atau sewa bilik atas kedai Cina.

Masa itu pangsapuri tak ada lagi sampailah flet Jalan Pekeliling (sekarang Jalan Tun Abdul Razak) didirikan. Masa itu, orang Melayu berduyun-duyun merantau ke bandar pasal hidup susah akibat harga getah jatuh teruk. Mereka inilah yang buka kawasan perumahan setinggan di pinggir bandar, di tepi sungai dan di lereng bukit.

Selepas 13 Mei, hasil daripada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru banyak rumah murah dibina, termasuk di atas tapak rumah setinggan yang musnah terbakar masa pergaduhan.

Bagaimanapun, nampaknya sejak akhir-akhir ini pembinaan rumah kos rendah dan sederhana tak lagi jadi keutamaan kerana dasar pasaran terbuka. Pemaju hartanah awam dan swasta tak lagi dikenakan syarat bina rumah kos rendah dan sederhana.

Mereka berlawan bina rumah mewah yang ramai rakyat jelata tak mampu nak beli. Tiga atau empat dekad lalu pemaju dikenakan syarat bina rumah bercampur untuk semua kelas pembeli dengan menggunakan kaedah 'cross subsidy,' iaitu pembeli rumah mewah membiayai pembinaan rumah kos rendah.

Legasi kaedah ini masih boleh kita tengok di Subang Jaya di mana ada banglo, rumah berkembar, rumah teres, kondominium dan pangsapuri sebelah menyebelah. Jadi Kunta Kinte sokong sangatlah usaha kerajaan bina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan bandar sama ada secara sendiri atau melalui usaha sama.

Kita janganlah jadi macam kata pepatah 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.' Rakyat jelata kita hidup susah tapi pendatang hidup macam di syurga. Kunta Kinte tak tahu sama ada dasar 'house-owning democracy' (demokrasi pemilikan rumah) yang dilaung-laungkan tak berapa lama dulu masih jadi matlamat kerajaan.

Wallahuaklam.

Dewan Rakyat luluskan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) 2014

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat awal pagi ini meluluskan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 berkaitan kenaikan gaji dan elaun Anggota Parlimen yang ditangguhkan pada sidang Dewan Rakyat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika membentangkan bacaan kali kedua akta itu berkata pindaan itu berikutan faktor persekitaran masa kini yang mencabar kepada anggota parlimen."Selain itu, tugas-tugas ahli parlimen bertambah berat dan membawa harapan tinggi rakyat dan ini akan menambahkan semangat kepada Yang Berhormat untuk bertugas lebih gigih dan dedikasi," katanya.

Dengan lulusnya rang undang-undang ini, gaji bulanan anggota Dewan Rakyat dinaikkan kepada RM16,000 daripada RM11,000, anggota Dewan Negara (RM11,000 daripada RM7,000), Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM22,000 daripada RM16,000) dan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM31,000 daripada RM20,000). Ketika ini, anggota parlimen menerima gaji pokok RM6,508.59 sebulan selain elaun bulanan RM5,000 bagi menampung perbelanjaan keraian, gaji pemandu, perjalanan dan bil telefon bimbit.

Mereka juga dibayar elaun mesyuarat RM200 sehari apabila menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan elaun harian RM150 bagi menghadiri mesyuarat dengan agensi kerajaan. Pada 27 Nov tahun lepas, Dewan menangguhkan rang undang-undang itu setelah tiada persetujuan dicapai mengenai perkara yang dibincangkan.
- BERNAMA Berita Harian Semasa 11 April 2015