April 15th, 2015

Harapan terhadap Akta Hasutan (Pindaan) 2015

SETELAH sekian banyak diperkatakan, terutama sekali di bahagian kedua tahun 2014 yang berakhir dengan Perhimpunan Agung UMNO apabila Perdana Menteri mengisytiharkan bahawa Akta Hasutan 1948 tidak akan dimansuhkan malah akan diperkemaskan, kini draf pindaannya dibentangkan di Parlimen.

Membaca Rang Undang-Undang Akta Hasutan (Pindaan) 2015 (RUU) sekali imbas pun, ternampak perbezaan “seperti langit dengan bumi” di antara RUU itu dengan RUU Harmoni yang digubal oleh Majlis Peguam sebelumnya. Dengan jelas ternampak kesungguhan dan tanggungjawab kerajaan terhadap ketenteraman dan keamanan negara di samping profesionalisme dalam penggubalannya.

Secara peribadi, sebelum mene­liti isi kandungannya satu persatu pun, saya berasa gembira kerana teguran saya mengenai tiga “rampasan” itu telah diambil kira. Maka sekarang RUU ini disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri, dasar­nya di peringkat awal pun, ditentukan oleh kementerian berkenaan dan gubalan dilakukan oleh jabatan Peguam Negara. Syabas!

Antara pindaan substantif yang dilakukan ialah:

• Pertama, perbuatan mana-mana orang untuk mengembangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan tidak menjadi kesalahan lagi. Mengikut huraian yang diberi, pindaan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dan dengan itu membolehkan orang awam bebas untuk memberikan maklum balas atau kritikan terhadap kerajaan agar dapat mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab di Malaysia.

• Kedua, memasukkan misalan untuk menjelaskan bahawa perbuat­an mengapi-apikan mana-mana orang atau kumpulan orang untuk menuntut pemisahan mana-mana negeri dari Malaysia adalah perbuatan menghasut. Memandang­kan apa yang sedang berlaku di Sabah sekarang, ini memanglah wajar.

• Ketiga, apa-apa perbuatan mengembangkan kebencian atau penghinaan atau untuk membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia tidak lagi dianggap sebagai perbu­atan menghasut dan oleh itu tidak akan ditangani sebagai suatu kesa­lahan di bawah Akta Hasutan.

Ini agak memeranjatkan saya. Saya tidak fikir pindaan ini perlu, terutama sekali memandangkan kepada perkembangan akhir-akhir ini. Kritikan terhadap hakim dan mahkamah tidak boleh disamakan dengan kritikan terhadap ahli politik dan kerajaan. Untuk mengkritik hakim di Parlimen pun memerlukan satu usul yang disokong oleh tidak kurang daripada satu perempat ahli dewan (Perkara 127).

Mengkritik penghakiman ada caranya. Mengutuk hakim, mahkamah dan Badan Perundangan tidak sepatutnya dibiarkan. Cuma saya harap selepas ini mahkamah sendiri akan tegas dalam memakai prosiding menghina mahkamah (contempt of court). Janganlah sampai hakim-hakim dilihat sebagai “cabut” apabila dikutuk oleh penjenayah.

• Keempat, untuk menjadikan kesalahan bagi mana-mana orang yang mengembangkan perasaan jahat, permusuhan atau kebencian antara mana-mana orang atau kumpulan orang atas alasan agama. Mengikut huraian, ini selaras de­ngan hasrat kerajaan untuk melin­dungi kesucian agama yang dianuti oleh masyarakat berbilang agama di Malaysia. Perbuatan menghina dan mempermain-mainkan mana-mana agama boleh menyebabkan ketidakharmonian dan mengancam ketenteraman awam. Ini satu penambahbaikan!

• Kelima, untuk menggantikan hukuman sedia ada bagi kesalahan di bawah subseksyen 4(1) dengan hukuman minimum pemenjaraan selama tempoh tiga tahun sehingga tempoh maksimum tujuh tahun dan meniadakan hukuman denda. Sebagai tambahan hukuman yang lebih tinggi juga diperuntukkan bagi kesalahan jika kecederaan tubuh badan atau kerosakan harta benda telah disebabkan akibat daripada perlakuan kesalahan itu.

Dalam hal sedemikian, hukuman minimum pemenjaraan selama lima tahun dan hukuman maksimum pemenjaraan selama 20 tahun boleh dikenakan untuk mengambil kira keseriusan kesalahan itu. Ini memang wajar.

• Keenam, seksyen baru 5A memperuntukkan bahawa jika seseorang dituduh atas kesalahan di bawah subseksyen 4(1A) dan terdapat perakuan secara bertulis Pendakwa Raya yang menyatakan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada orang yang kena tuduh demi kepenting­an awam, orang itu tidak boleh dilepaskan dengan jaminan. Peruntukan ini penting untuk mengelak tertuduh memboloskan diri.

• Ketujuh, seksyen baru 5B bertujuan memberi mahkamah kuasa untuk menghalang seseorang yang dituduh di bawah seksyen 4 yang dilepaskan dengan jaminan daripada meninggalkan Malaysia. Ini termasuklah memerintahkan orang yang kena tuduh itu menyerahkan dokumen perjalanannya. Dalam hal keadaan seseorang yang dituduh tidak memiliki apa-apa dokumen perjalanan, mahkamah boleh memerintahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk tidak mengeluarkan apa-apa dokumen perjalanan kepada orang itu.

• Kelapan, seksyen baru 6a me­nyatakan bahawa seksyen 173A, 293 dan 294 Kanun Tatacara Jenayah tidak terpakai berkenaan dengan kesalahan di bawah subseksyen 4(1A). Ringkasnya, ini untuk mengelakkan penjenayah-penjenayah itu dilepaskan atas jaminan berkelakuan baik yang langsung tidak memberi kesan deterrent.

Secara keseluruhan saya meng­ucapkan tahniah kepada kerajaan kerana telah mengambil kira pandangan orang Melayu dan rakyat Malaysia yang cintakan ketenteram­an dan keamanan dengan melakukan pindaan-pindaan ini. Harapan saya ialah akta ini akan dilaksanakan dengan tegas. Mahkamah juga perlu memainkan peranan supaya undang-undang ini memberi kesan yang sepatutnya demi ketenteram­an dan keamanan negara.

- Tun Abdul Hamid Mohamad Utusan Malaysia Rencana 15 April 2015 1:20 AM

Mengapa kusut 
dan kelam-kabut?

TARIKH 1 April telah berlalu. GST telah mula dilaksanakan.

Kalau tidak silap saya, dasar cukai tersebut telah diumumkan tidak kurang dari dua tahun yang lalu. Dan segala persiapan sewajarnya telah dapat dibuat dengan lengkap, rapi dan teliti.

Tetapi sehingga ke hari ini masih ada beberapa isu yang belum selesai. Masih ada perkara-perkara yang belum jelas. Dan ada pula elemen-elemen baru yang timbul yang menimbulkan persoalan.



Kelihatan seorang pekerja Kedai Rakyat 1Malaysia menyusun barang bagi memulakan perniagaan seperti biasa tanpa kenaikan harga walaupun dengan pelaksanaan GST ketika tinjauan dilakukan di Kuala Lumpur, 1 April lalu. BERNAMA

Segala tempias dan kesan negatif telah, dan akan terus dirasai oleh kerajaan. Rakyat yang tidak puas hati akan menempelak kerajaan. Dan akhirnya pemimpin-pemimpin akan dipersalahkan.

Sebenarnya perlu diteliti di mana timbulnya kekusutan dan kelam-kabut tentang GST itu. Seperti kata orang tua-tua...“bukan salah ibu mengandung”.

Tidak boleh dinafikan bahawa pendekatan untuk menyelaras cukai-cukai terlibat di bawah sistem percukaian “Cukai Barang dan Perkhidmatan”, atau “Goods and Services Tax” atau singkatan akronimnya “GST”, adalah wajar dan baik.

Tetapi, jika suatu yang baik, mengapakah telah mendatangkan banyak masalah?

Jelas bahawa dalam memperkenalkan sesuatu dasar baru, yang secara langsung akan melibatkan rakyat sebagai pengguna, dari segenap lapisan masyarakat, maka perlu ada langkah-langkah tertentu yang perlu diambil, sebelum dasar dirumus, dan akhirnya dilaksanakan.

(1) Perlu diadakan rundingan dengan pihak2 yang berkaitan iaitu:- 
 • pertubuhan peniaga dan industri, yang kecil dan yang besar. Jangkauan liputan mesti seluas-luasnya supaya sebanyak boleh pendapat dan syor diperoleh, untuk menjadi panduan pelaksanaan.

• pihak-pihak yang mewakili pengguna dalam kalangan persatuan dan NGO, untuk mereka benar-benar memahami kesan dasar tersebut kepada mereka sebagai pengguna.

• wakil-wakil pertubuhan yang ada kaitan dengan industri dan perniagaan, seperti mewakili para akauntan supaya mereka boleh menasihatkan syarikat-syarikat yang merupakan pelanggan mereka.

(2) Apabila telah dirumuskan dasar tersebut maka penjelasan dan penerangan perlu dibuat kepada rakyat, dengan cara yang benar-benar efektif. Bukar setakat PR, atau kecekapan menggunakan media baharu.

Di sinilah berpuncanya segala masalah.

Rakyat cuma ingin tahu beberapa perkara asas, antaranya:-

Apa barang dan perkhidmatan yang disenarai sebagai “kena GST” dan apa pula “yang tidak kena GST”? Tidak ramai yang faham konsep “zero rated” kerana pada asasnya bererti “tidak kena GST” (iaitu buat masa sekarang). Jika pengguna tidak mengetahui akan senarai tersebut, maka mudah untuk mereka ditipu. Dan akan ada GST yang telah dikenakan, tetapi tidak sampai kepada kerajaan. Iaitu diambil oleh peniaga.

Bagaimana 6% GST dikenakan? Jika di restoran, adakah hanya ke atas bil untuk makanan sahaja, atau 6% juga dikenakan ke atas caj service atau caj perkhidmatan yang berupa 10% daripada bil makanan?

Sekarang ada kedai yang menge­nakan 6% ke atas makanan sahaja; Tetapi ada pula yang mengenakan 6% ke atas caj service.

Yang manakah yang betul? Jika telah terlebih bayar, maka wang tersebut akan masuk ke dalam poket pekedai.

Dan belum selesai penjelasan ini, telah timbul pula isu baru, iaitu bahawa hanya restoran dan hotel yang mempunyai “Perjanjian Kolektif”, yang boleh mengenakan caj service.

Terus menambah kelam-kabut! Padahal caj service te­lah pun dilaksanakan sekian lama! Mengapa dibangkitkan perkara yang sebenarnya bukan isu?

Dan sambil ada jabatan yang menjadikan GST bahan tarian dan nyanyian, terlalu ramai pihak dalam kerajaan yang cuba “membuat penjelasan” dan “memberi penerang­an”.

Masalahnya tiada koordinasi pendapat dan penjelasan. Masing-masing akhirnya menokok-tambah kepada kekeliruan dan kelam-kabut! Dan ada juga “pendapat dan penjelasan” tidak munasabah, sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.

Amatlah mengecewakan apabila sesuatu dasar yang baik telah menghadapi kusut dan kelam-kabut dalam peringkat pelaksanaannya.

Jentera kerajaan perlu belajar daripada kesilapan-kesilapan dan kekurangan-kekurangan itu.

Jika terdapat kelemahan antara peringkat penggubalan dasar de­ngan peringkat implementasi, maka wajar pembetulan dilakukan segera.

Jangan dibiarkan sehingga berlaku seperti tikus memperbaiki labu yang ditebuknya.

Kecekapan jentera kerajaan diukur dengan sejauh mana rakyat menerima baik dasar-dasar yang dirumus dan dilaksanakan. Hal ini kerana, walau bagaimana baik dan logik sekalipun sesuatu dasar itu, jika tidak diterangkan dan dibentangkan secara telus, jelas, dengan cara yang mudah, dan senang difahami, maka dasar yang baik itu akan tenggelam dalam kekusutan dan kelam-kabut yang timbul.

Dan seluruh kerajaan akan dipersalahkan!

Sejauh mana keberkesanan akademi bola sepak di Malaysia?

KUALA LUMPUR: Inisiatif penubuhan akademi bola sepak di Malaysia bertujuan mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi, namun wujud kebimbangan ia sekadar mahu mengaut keuntungan semata-mata. Penubuhan akademi yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan kini menjadi persoalan sejauh mana bakat muda yang dilahirkan dapat membantu imej bola sepak negara yang semakin tercalar.

Ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan skuad negara berada di tangga ke-164 iaitu di bawah pasukan Bhutan dan Bangladesh. Kebimbangan itu dilahirkan bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew yang mempersoalkan objektif penubuhan akademi bola sepak yang menggunakan nama kelab-kelab ternama dari Eropah itu.

"Sebenarnya saya nak tahu apa tujuan individu yang tubuhkan akademi? Adakah mereka hendak melahirkan seseorang pemain yang akan menyarung jersi kebangsaan untuk menolong negara satu hari nanti atau sebagai perniagaan...dah banyak akademi yang dimulakan, terutamanya di sekitar Kuala lumpur.

"Kita kena tengok, katakan akademi itu telah dimulakan 10 tahun lalu, ke manakah pemainnya sekarang, adakah mereka berada dalam pasukan kebangsaan atau pasukan liga? Kena ingat balik, buat kajian...kalau ada, bergunalah," katanya.

Ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)

Lim berkata demikian ketika menjadi panel dalam program 'Ruang Bicara' di Bernama TV, yang membincangkan topik 'Hala Tuju Bola Sepak Malaysia', semalam. Turut menjadi panel program selama sejam yang dihoskan Sherkawi Jirim ialah bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.

Lim, 36, yang pernah menyarung jersi kebangsaan dari tahun 1999 hingga 2005, turut resah ekoran prestasi hambar skuad negara khususnya pada pertemuan peringkat antarabangsa, terkini Malaysia tewas kepada Oman 6-0.

Mengulas mengenai keperluan mendapatkan khidmat jurulatih luar negara, Lim yang pernah menjalani latihan bersama pasukan liga divisyen dua Inggeris, Bournemouth FC berkata ia bergantung kepada kesiapsiagaan mentaliti pemain dan pengurusan pasukan untuk berubah.

Bekas pemain pertahanan kebangsaan itu berkata sekiranya ia tidak direalisasikan, matlamat untuk meletakkan sesebuah pasukan bola sepak di tempat tertinggi hanya sekadar 'angan-angan Mat Jenin'.

"Bawalah Alex Ferguson sekali pun, tetapi bila dia datang sini, dia kena menyesuaikan diri dengan budaya kita. Katakan dia bertegas dengan orang atasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melakukan perubahan contohnya dari segi makanan, adakah orang Malaysia akan bersetuju? "

Ia seumpama bawa pasukan Malaysia ke luar negara untuk latihan, seperti yang Malaysia suka buat. Tapi bila pergi sana, jurulatihnya masih orang yang sama, jadi kita buat perkara sama, yang kita buat di sini, kita pergi ke sana hanya untuk adakan perlawanan persahabatan dengan pasukan di sana," katanya.

Lim yang pernah beraksi untuk pasukan Selangor dan Negeri Sembilan berkata apabila di luar negara, pemain tempatan harus juga mempelajari perkara yang dilakukan di luar padang selain pertandingan seperti cara latihan, pemakanan, apa yang dibuat sebelum dan selepas sesuatu perlawanan.

Sementara itu, Azman yang pernah membuat liputan perlawanan melibatkan pasukan Malaysia menentang dua negara Asia seperti Jepun dan Korea sekitar tahun 70-an dan 80-an berkata, FAM perlu mengkaji semula program pencungkilan bakat baharu bola sepak yang perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa membataskan kawasan pencarian. - BERNAMA