April 18th, 2015

Ikrar integriti wujud politik bebas rasuah

Suatu ciri pemimpin yang dipilih setiap kali pilihan raya adalah yang berintegriti. Integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya. Ini bermaksud wakil rakyat yang dianggap sebagai 'winner able candidate' adalah perwatakan seseorang yang melambangkan kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan serta keutuhan. Integriti kini menjadi perkataan yang sering dituturkan rakyat negara ini. Menjadi harapan ramai agar setiap kita mengamalkan budaya berintegriti dalam setiap tindakan.

Di Malaysia wujud institusi khusus seperti Institut Integriti Malaysia, yang memberi penerangan dan menyebar luas budaya berintegriti. Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyediakan program berkaitan integriti. Ini termasuklah Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO). Malah, SPRM juga adalah entiti yang terbabit dalam menggalakkan langkah menandatangani ikrar integriti iaitu Ikrar Integriti Korporat (CIP).

Program Pegawai Integriti Bertauliah ini dirangka untuk melahirkan Pegawai Integriti Bertauliah yang berperanan merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program integriti di kementerian, jabatan dan agensi masing-masing. Ia juga untuk menggalakkan pihak swasta terbabit sama dalam pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah di organisasi mereka. Perkembangan ini menunjukkan integriti sudah menjadi komponen penting dalam pengurusan dan kehidupan seharian.

Ikrar integriti

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada 1 April lalu mengumumkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menandatangani ikrar integriti bagi mempertingkatkan budaya berintegriti dalam kalangan ahli politik. Beliau membuat pendirian tegas dan jelas dalam soal ini.

Sewajarnya pendirian sama diikuti setiap Dewan Undangan Negeri. Katanya, Ahli Parlimen selaku penggubal undang-undang perlu menjadi contoh kepada rakyat kerana mereka menjadi ikon kepada integriti di kaca mata masyarakat. Melaka misalnya mengikuti jejak langkah menandatangani ikrar integriti dan usaha itu tidak mustahil dilakukan kerana sudah dilaksanakan di negeri lain.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata langkah berkenaan bertujuan 'mengajar' organisasi terbabit selain bukti kesungguhan Melaka membanteras rasuah. "Kerajaan negeri hanya akan berurusan dengan organisasi, syarikat dan individu yang mempunyai latar belakang bersih serta bebas daripada kegiatan tersebut agar amalan rasuah tidak terus berleluasa," katanya.

Langkah positif sudah dilakukan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak yang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International Malaysia dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang menjadikannya sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) akan mengambil langkah segera memastikan ikrar integriti menjadi kenyataan. Low menyertai Kabinet Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 dua tahun lalu. Sebaik-baiknya ikrar integriti akan dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

Rakyat berharap perkara ini segera menjadi kenyataan. Ramai berharap ahli Parlimen akan menandatangani ikrar integriti bagi membuktikan mereka juga serius memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Langkah sama perlu diambil semua Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk pembangkang.

Seperti disifatkan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Johan Jaaffar dalam reaksinya, langkah ikrar integriti ini suatu komitmen yang harus disambut baik semua pihak. "Selaku anggota badan perundangan, langkah menandatangani ikrar integriti ini menggambarkan wakil rakyat BN mengambil pendekatan 'walk the talk' bagi mewujudkan sebuah negara yang mengutamakan budaya berintegriti dan melahirkan persekitaran bebas rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya.

Langkah menandatangani ikrar integriti sebenarnya akan menjadi suatu lagi lonjakan positif bagi memupuk nilai murni sesuai dengan pepatah: "Berani kerana benar, takut kerana salah." Kita percaya langkah menandatangani ikrar integriti akan membawa negara ke era politik baharu memandangkan kajian Global Corruption Barometer mendapati ahli politik berada di tangga teratas dari segi persepsi negatif dan parti politik adalah satu daripada sektor paling korup.

Kedua-duanya berdasarkan persepsi responden ditemui yang melahirkan pandangan bahawa wakil rakyat khususnya anggota Kabinet sama ada Persekutuan ataupun nasional adalah korup. Persepsi ini sebenarnya terlalu subjektif kerana realitinya adalah berbeza. Adalah tidak wajar mengatakan setiap ahli politik dan wakil rakyat adalah korup. Justeru, langkah yang dilakukan BNBBC ini akan membawa landskap politik Malaysia ke arah lebih baik.
Dr Ismail Sulman  Berita Harian Rencana 18 April 2015

Kenangan banjir dan bot penambang

Kenangan bot penambang Sungai Perak

Sebelum Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah siap dibina pada 2002, penduduk di Sayong menggunakan bot penambang untuk menyeberangi Sungai Perak.

Mereka mengelak untuk melalui Jambatan Iskandar kerana jarak yang jauh, selain perlu menggunakan kenderaan sendiri.

Seorang pengusaha bot persiaran Sungai Perak, Azmi Nordin (gambar), 42, memberitahu sebelum tahun 2002, Sungai Perak meriah dengan kegiatan bot penambang.

“Kira-kira 20 tahun lalu, saya sudah mula berjinak-jinak dengan perusahaan bot penambang. Masa itu, saya tolong ayah kutip tambang, bersihkan bot, ikat tali dan sebagainya.

“Memang meriah pada waktu itu. Sehari boleh dapat RM80 hingga RM100, berpusu-pusu orang beratur hendak naik bot. Pada waktu itu juga, bot yang digunakan lebih besar berbanding sekarang.

“Sejak jambatan dibina, tiada lagi orang hendak seberang sungai dengan bot penambang,” katanya.

Tambahnya, pembinaan jambatan tersebut memang baik walaupun pengusaha bot penambang tidak dapat lagi menyediakan khidmat untuk menyeberangi sungai.





PENDUDUK dari Sayong turut membawa motosikal menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Perak sekitar tahun 1990-an.

“Sejak jambatan dibina, kebanyakan pengusaha telah menukar pekerjaan mereka,” katanya.
Mengimbas nostalgia bot penambang, katanya, beliau mengenakan caj RM1 dan kebanyakan penumpang adalah penduduk kampung yang mahu ke bandar Kuala Kangsar. Menariknya, ada yang turut membawa motosikal naik ke atas bot.
“Itulah kenangan di Sungai Perak. Sekarang, saya mengusahakan bot persiaran untuk bawa pengunjung menyusuri sungai bagi melihat pemandangan bandar Kuala Kangsar dari Sungai Perak,” ujarnya.

Banjir besar tenggelamkan istana

Apabila bertandang ke Kuala Kangsar, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk melawat tempat-tempat bersejarah di sana dan mengabadikan kenangan dengan bergambar di lokasi-lokasi menarik.

Namun, jika mengkaji sedikit tentang sejarah dan latar belakang bandar Kuala Kangsar, sebenarnya daerah tersebut menyimpan begitu banyak kenangan yang terpahat dalam hati penduduknya termasuklah beberapa peristiwa seperti perkhidmatan bot penambang, banjir dan sebagainya.



SEBUAH panggung wayang di Kuala Kangsar ditenggelami air dalam peristiwa banjir pada tahun 1967.

Peristiwa banjir yang seringkali melanda Kuala Kangsar turut menjadi catatan dalam sejarah pembangunannya apabila bencana tersebut memaksa pembinaan istana baharu yang didirikan di puncak Bukit Chandan.

Peristiwa yang berlaku pada tahun 1926 itu telah menenggelamkan sebahagian besar kawasan perkampungan di Sayong termasuklah Istana Sultan Perak. Sejak peristiwa tersebut, istana baharu dibina di atas bukit untuk mengelakkan istana tenggelam akibat banjir.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Shahrom Abdul Malik (gambar), faktor banjir di Kuala Kangsar khususnya dalam kawasan bandar berpunca daripada kedudukan geografinya yang terletak berdekatan Sungai Perak dan berhampiran Banjaran Titiwangsa.



Shahrom Abdul Malik

“Bandar Kuala Kangsar terletak dekat dengan Sungai Perak. Selain itu, kedudukannya juga berhampiran dengan Banjaran Titiwangsa yang menerima limpahan air hujan dari sana sehingga menyebabkan air Sungai Perak naik mendadak.

“Bencana banjir pernah melanda bandar Kuala Kangsar sejak tahun 1897. Namun, peristiwa banjir terburuk pernah melanda kawasan ini pada 1926 yang turut menyaksikan beberapa daerah di negeri lain turut ditenggelami air seperti Kuala Lumpur.

BUKIT Chandan yang menempatkan Istana Iskandariah adalah lokasi baharu selepas istana lama di Sayong tenggelam akibat banjir.

“Selepas peristiwa banjir di sini, beberapa buah empangan telah dibina untuk mengatasi masalah tersebut. Empangan Bersia merupakan yang pertama dibina, kemudian beberapa empangan lain turut dibina seperti Temenggor dan Kenering untuk mengatasi masalah banjir secara berperingkat, selain menjana tenaga elektrik untuk penduduk seluruh negeri Perak,” katanya ketika ditemubual S2.

Tambah beliau lagi, peristiwa banjir yang berlaku di Kuala Kangsar banyak memberi impak kepada pembangunan bandar dan ekonomi penduduk.

“Dalam sektor pelancongan, banyak usaha sedang dilakukan seperti pembinaan hotel dan tempat-tempat rekreasi. Namun, banjir yang berlaku pada tahun lalu telah menenggelamkan hotel di persisiran Sungai Perak.

“Selain itu, terdapat beberapa kemudahan pelancongan turut terjejas seperti jeti Sungai Perak dan beberapa kawasan berhampiran sungai.

“Apabila tiba musim tengkujuh, air sungai naik mendadak akibat pelepasan air dari empangan di hulu Sungai Perak,” ujarnya.

Selain peristiwa banjir, Sungai Perak juga menyimpan pelbagai kenangan buat penduduk Kuala Kangsar terutama bagi mereka yang pernah menggunakan bot penambang untuk ke seberang.

Tentera British letupkan Jambatan Victoria , kurang satu jadi seratus

Tentera British letupkan Jambatan Victoria

Di Kuala Kangsar, setiap jambatan menyeberangi Sungai Perak mempunyai sejarahnya yang tersendiri seperti Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah yang merupakan manifesto wakil rakyatnya untuk menghubungkan Sayong dengan pusat bandar.

Justeru, Jambatan Victoria turut mempunyai signifikannya selain menjadi jambatan pertama di Kuala Kangsar dan antara tertua di Malaysia yang menjadi laluan sehala kereta api untuk menyeberangi Sungai Perak.

Jambatan yang terletak di Karai itu dibina pada tahun 1892 dan siap pada 21 Mac 1900. Ia merupakan laluan bagi kereta api barang yang mengangkut arang batu di Enggor untuk dibawa ke Singapura.


JAMBATAN Victoria yang pernah diletupkan tentera British semasa Perang Dunia Kedua kini menjadi salah satu destinasi
tarikan pelancong di negeri Perak.

Menurut Pengarah Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim (gambar), Jambatan Victoria adalah salah sebuah tinggalan sejarah yang penting di Kuala Kangsar serta mempunyai nilai estetik tersendiri.

“Disebabkan sumbangan dan peristiwa yang pernah berlaku ke atas Jambatan Victoria, maka ia diabadikan sebagai warisan di Kuala Kangsar, di samping bangunan-bangunan bersejarah yang lain.

“Jambatan tersebut pernah menyaksikan kemaraan tentera Jepun dari arah utara tanah air sewaktu penjajahannya pada Disember 1941. Antara peristiwa penting adalah British meletupkan jambatan tersebut untuk menghalang tentera Jepun menyeberangi Sungai Perak.

“Malangnya, Jepun telah membina semula jambatan tersebut dengan menggunakan kayu dari pokok yang terdapat di kawasan berhampiran dan mengarahkan penduduk tempatan membinanya,” katanya ketika ditemui S2 di Muzium Perak.

Jelas beliau lagi, selain peperangan, Jambatan Victoria turut terkesan dengan bencana banjir yang beberapa kali melanda Kuala Kangsar.

“Pembinaan Jambatan Victoria yang bermula pada 1892 pernah tertangguh akibat banjir besar yang menyebabkan air sungai naik sehingga 17 meter lebih tinggi daripada paras biasa sekitar enam meter dan arusnya menjadi deras.

“Pembinaannya kemudian diteruskan sehingga siap sepenuhnya pada 1900 dan dinamakan Jambatan Victoria sempena ulang tahun kelahiran Ratu Victoria di England pada 1897 sewaktu pembinaan berlangsung.

“Laluan kereta api sehala tersebut telah dirasmikan oleh Sultan Perak ke-28 iaitu Almarhum Sultan Idris Mursyidul Azam Shah I dan Gabenor Jeneral British Sir Frank Swettenham,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, khidmat Jambatan Victoria ditamatkan pada 2002 selepas kerajaan membina jambatan baharu sebagai landasan berkembar untuk menambah baik operasi perkhidmatan kereta api tanah air.


Kurang satu 
untuk jadi seratus

Pengunjung yang melawat bandar Kuala Kangsar seharusnya tidak melepaskan peluang untuk menaiki bot menyusuri Sungai Perak bagi melihat sendiri keindahan pemandangan Bandar Diraja itu.



JAMBATAN Sultan Abdul Jalil Shah dibuka pada 2002 bagi menghubungkan pusat bandar Kuala Kangsar dan Sayong.

Bandar ini mendapat jolokan Bandar Diraja sejak abad ke-19 sewaktu pemerintahan Sultan Perak ke-27, Almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah. Pada waktu itu, baginda mendirikan istana di Sayong.

Daratan pesisiran Sungai Perak di Kuala Kangsar adalah kawasan tanah rendah dan merupakan sebuah kuala yang ke-99 jika mudik ke hulu dari Selat Melaka.

Menurut Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak, Datuk Dr. Dzulkarnain Abdul Rahman, sejarah Kuala Kangsar adalah sebuah cerita yang panjang dan tidak dapat lari daripada istilah Bandar Diraja.

“Ia mungkin wujud sejak kurun ke-16 atau lebih awal daripada itu. Pada waktu itu hanya terdapat beberapa buah perkampungan dengan binaan yang menggunakan kayu dan papan.

“Sumber ekonomi bagi penduduk ketika itu adalah menangkap ikan, bertani, mengusahakan kebun getah, ternakan dan sebagainya. Kemudian, selepas kemasukan British, ada industri melombong arang batu di kawasan Enggor.

“Itulah serba ringkas asal bandar Kuala Kangsar ini yang turut dikenali sebagai bandar yang terkenal dengan labu sayong,” katanya kepada S2.

Mencari sejarah nama Kuala Kangsar, Dzulkarnain yang juga ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Perak berkata, perkataan Kuala Kangsar bersempena dengan kedudukannya sebagai kuala ke-99 di Sungai Perak.



JAMBATAN Iskandar merupakan jambatan terawal yang menghubungkan penduduk di kawasan Sayong, Kota Lama Kiri, Kota Lama Kanan dan Karai.

“Saya tidak pasti jika ada tanjung atau kuala menghala ke hulu Sungai Perak selepas Kuala Kangsar. Daerah itu mendapat nama daripada istilah ‘Kurang Sa’ iaitu lagi satu untuk cukup seratus.

“Kiraan kuala bermula dari Bagan Datoh (laut Selat Melaka) hinggalah ke Kuala Kangsar yang mana terdapat 99 kuala dan tanjung. Daripada perkataan ‘Kurang Sa’, lama kelamaan perkataan itu menjadi Kangsar selepas cara sebutan diringkaskan seperti sekarang.

“Namun, ada juga cerita lain yang berpendapat bahawa Kuala Kangsar mendapat nama daripada sebatang pokok Kangsar yang terletak di kuala tebing Sungai Perak. Bagaimanapun, tiada cerita lanjut tentang sejarah tersebut dan saya lebih yakin dengan kisah ‘Kurang Sa’,” ujarnya.

Di samping itu, sejarah Kuala Kangsar mempunyai pengaruh yang besar dalam pentadbiran negara sewaktu pemerintahan British pada awal kurun ke-19, menjadikan daerah bersejarah itu sebagai pusat pentadbiran Tanah Melayu sebelum Kuala Lumpur.

MURAL yang dihasilkan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar menghiasi bangunan-bangunan lama dalam kawasan bandar.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak, Rozali Suhardi, berkata, ketika itu Kuala Kangsar menjadi pusat pentadbiran bagi negeri-negeri bersekutu.

“Istana Iskandariah menjadi Istana Negara apabila negeri Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan diletakkan dalam sebuah sistem persekutuan iaitu Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

“Istana yang terletak di Bukit Chandan itu pernah menjadi tempat Persidangan Raja-Raja Melayu (Durbar) yang pertama dan telah dipengerusikan oleh Sir Frank Swetthenham iaitu Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu serta turut dihadiri Sir Charles Mitchell sebagai wakil British.

“Kemudian, persidangan tersebut ditukar lokasinya di Kuala Lumpur selepas disertai negeri-negeri tidak bersekutu iaitu Johor, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 1948,” katanya.

Beliau menambah, Kuala Kangsar menyimpan seribu kenangan buat penduduknya dan antara peristiwa yang pasti diingati adalah bencana banjir besar pada 1967 yang banyak mempengaruhi pembangunan di Bandar Diraja itu.

Tokoh hebat dari Kuala Kangsar dan labu sayong

Labu Sayong Kuala Kangsar

Selain
gelaran Bandar Diraja, Kuala Kangsar juga terkenal dengan identitinya dalam industri kraf iaitu labu sayong yang sering dijadikan cenderahati ataupun tanda kenangan apabila berkunjung ke sana.

Labu sayong pada suatu ketika dahulu hanyalah digunakan sebagai bekas tembikar untuk menyimpan air minuman. Sejarah asalnya juga dikatakan datang dari mukim Sayong di Kuala Kangsar.

Bekas tembikar tersebut dikatakan telah wujud sejak ratusan tahun dahulu dan hanya boleh diperolehi di Kuala Kangsar kerana bahan mentah iaitu tanah liat yang digunakan untuk membuatnya hanya terdapat di daerah Sayong sahaja.

Terdapat nasihat orang tua-tua dahulu menyatakan air yang disimpan di dalam labu sayong mempunyai khasiat tersendiri seperti dapat menyejukkan badan.

Menurut seorang pengusaha labu sayong, Ridzuan Hamli,48, tidak mustahil air yang disimpan dalam bekas tembikar itu mempunyai khasiat memandangkan bahan yang digunakan untuk membuatnya terdiri daripada bahan mineral semula jadi iaitu tanah liat.





PENGGUNAAN acuan antara inovasi pembuatan untuk menghasilkan labu sayong dengan cepat dan banyak. INOVASI labu sayong telah dipelbagaikan untuk kegunaan tertentu seperti bekas simpanan, tabung, lampu dan sebagainya. RIDZUAN Hamli menunjukkan labu sayong buatannya yang boleh dijadikan barang hiasan selain menyimpan air.


“Salah satu keunikan yang terdapat di Kuala Kangsar adalah labu sayong dan ia menjadi identiti bagi daerah ini. Bila orang nampak labu sayong, mesti ingat Kuala Kangsar.

“Labu sayong diperbuat daripada sejenis tanah liat yang hanya terdapat di sebatang sungai dekat Kampung Kepala Bendang, Sayong.

“Sepanjang saya mengusahakan labu sayong, belum pernah lagi saya mendengar atau terbaca tempat lain ada tanah liat sebaik di sini. Ciri-ciri tanahnya adalah tidak berbau, sesuai untuk menakung air dan tidak mudah pecah,” katanya kepada S2.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kegunaan labu sayong kini tidak lagi hanya sebagai tempat menyimpan air, malah turut dijadikan sebagai perhiasan.

“Saya masih lagi menjual labu sayong yang boleh menyimpan air, cuma permintaan sekarang banyak kepada barangan perhiasan seperti pasu bunga, lampu tidur dan sebagainya.

“Inovasi pembuatan labu sayong sekarang sudah berkembang. Ramai orang menjadikan bekas tembikar ini sebagai cenderahati untuk tetamu dan hadiah.

“Selain itu, ada juga yang menempah dalam kuantiti yang banyak terutama labu bersaiz kecil sebagai pemberian buah tangan kepada tetamu untuk majlis perkahwinan,”ujarnya.


Tokoh hebat dari Kuala Kangsar

Selain dikenali Bandar Diraja, Kuala Kangsar turut terkenal sebagai tempat yang melahirkan ramai ikon-ikon negara dan tokoh korporat.

Bandar itu pernah menjadi tumpuan pemimpin-pemimpin di Tanah Melayu, gabenor-gabenor British dan para bangsawan untuk menghantar anak-anak mereka ke situ.



KOLEJ Melayu Kuala Kangsar kini menawarkan program Diploma Baccalaureate yang akan membawa pelajar melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia.

Terdapat dua kategori pendidikan yang diketengahkan sewaktu pemerintahan British iaitu pendidikan barat dan pendidikan agama.

Antara sekolah-sekolah terkenal di Kuala Kangsar adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Madrasah Idrisiah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom.

Sekolah-sekolah tersebut dahulunya dikenali sebagai tempat untuk melahirkan pemimpin-pemimpin negara yang hebat. Hal itu diakui sendiri oleh Pengetua MCKK, Anand Baharudin.

“Tujuan asal penubuhan sekolah ini pada 1905 adalah untuk mendidik golongan elit Melayu yang terdiri daripada kerabat diraja yang bakal memegang tampuk pemerintahan negeri pada waktu itu.

“Kemudian, selepas tahun 1947, skop kemasukan pelajar diperluas dan MCKK mula menerima pelajar daripada masyarakat umum. Sungguhpun begitu, mereka perlu memenuhi kelayakan akademik tertentu,” katanya kepada S2.

Ujar beliau lagi, MCKK sehingga kini komited dalam menerapkan aspek-aspek kepimpinan kepada 706 pelajarnya melalui pelbagai akiviti ekstra kurikulum.








Pengetua MCKK, Anand Baharudin

Pengetua Madrasah Idrisianh, Khairul Anwar El Syazalli Musa


“Di MCKK, ada pelbagai persatuan serta majlis perwakilan pelajar. Justeru, ia secara tidak langsung melatih mereka dengan aspek-aspek seperti kemahiran kendiri, kepimpinan dan pentadbiran. Selain itu, mereka turut didedahkan dengan aktiviti sukan dan sukan paling terkenal di sini ialah ragbi,” katanya sambil memberitahu tradisi kepimpinan tersebut telah lama diamalkan dan mungkin ia merupakan salah satu faktor ramai nama-nama besar kini merupakan alumni MCKK.



MADRASAH Idrisiah turut menyumbang dalam bidang pendidikan di Kuala Kangsar dan melahirkan ramai tokoh-tokoh agama.

Antara nama-nama besar graduan MCKK ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Hussein; Pakar Motivasi, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dan penulis tersohor, Allahyarham Ishak Muhammad atau dikenali sebagai Pak Sako.

Turut melahirkan pemimpin-pemimpin hebat dalam bidang agama ialah Madrasah Idrisiah yang diilhamkan oleh Sultan Perak ke-28 iaitu Almarhum Sultan Idris Mursyidul Azam Shah pada 1917.

Menurut Pengetuanya, Khairul Anwar El Syazalli Musa, madrasah itu adalah sekolah di bawah kelolaan Sultan Perak yang bertujuan memberi pendidikan seimbang antara agama dan akademik.

“Sekolah ini banyak sejarah. Sumbangannya pada negara tidak boleh dinafikan. Salah seorang pendidik yang pernah mengajar di sekolah ini ialah datuk kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu Sheikh Abdullah Fahmi, seorang tokoh ulama terkenal.

“Selain itu, Sultan Perak ke-30, Almarhum Sultan Iskandar Shah juga pernah mengajar di sini. Malah baginda turut menubuhkan kuliahnya sendiri iaitu Kuliah Iskandar.

“Memang banyak tokoh agama lahir dari Madrasah Idrisiah. Lapan Mufti Perak adalah alumni madrasah ini termasuk Tan Sri Dr. Harussani Zakaria,” ujarnya.

Pendidikan teras masyarakat maju

SETELAH hampir 58 ta­hun Malaysia mencapai ke­mer­dekaan, sistem pen­didikan negara telah mengalami ba­nyak perubahan. Terba­haru, kerajaan mengumumkan Pe­lan Pembangunan Pendidikan Ma­laysia, Pengajian Tinggi atau lebih dikenali sebagai PPPM (PT) 2015-2025. Pelan ini merupakan kesinambungan PPPM 2013-2025. Dengan inisiatif ini, lengkaplah perancangan kerajaan untuk mentransformasikan sis­tem pendidikan negara.

Sebelum ini, melalui PPPM, sistem pendidikan prasekolah sehingga ke tingkatan lima menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). KBAT dilaksanakan bagi menepati piawaian antarabangsa. Tidak cukup dengan itu, KBAT mampu melahirkan modal insan yang berfikir di luar kotak, krea­tif, kritis dan inovatif. Dengan ini, modal insan Malaysia bukan sahaja berdaya saing di pasaran kerja domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa.



KEJAYAAN pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sematan, Lundu, Sarawak yang beberapa kali memenangi Pertandingan Robotik Kebangsaan peringkat negeri antara elemen daya saing yang ditekankan dalam KBAT. GAMBAR HIASAN

Dalam suasana masyarakat dunia yang semakin kompleks dengan idea-idea terkini, mahu tidak mahu masyarakat Malaysia juga perlu mengetahui situasi semasa dan ke­sannya pada masa depan. Tunjangnya ialah daya pemikiran tidak boleh kaku dan lesu apabila berhadapan dengan sesuatu isu semasa. Pelbagai persoalan yang sukar perlu ditangani dan dijawab secara terbaik agar akhirnya sebarang keputusan mendatangkan kebaikan kepada keseluruhan rakyat Malaysia.

Bagi melestarikan modal insan yang secara konsisten dilatih supaya cemerlang dalam semua aspek kehidupan, PPPM (PT) dibentuk agar menekankan aspek etika, kerohanian dan moral. Sekali lagi negara memerlukan ramai modal insan yang bukan setakat terbaik, seimbang, berdaya saing dari sudut intelektual dan emosi tetapi juga cemerlang sahsiah.

Masyarakat Malaysia yang masih kuat berpegang pada adab ketimur­an sejak sekian lama perlu belajar bahawa betapa rosaknya sistem masyarakat negara-negara maju yang meminggirkan aspek kerohanian dan keagamaan. Itu bezanya mereka dengan kita. Meskipun diasak dengan pelbagai idea Barat yang majoritinya bersifat fahaman dan idea yang terlalu berkiblatkan sistem duniawi yang individualistik dan materialistik. Maka, berkecamuklah masyarakat mereka sampaikan segala penyelewengan besar yang berlaku berpunca daripada tangan-tangan mereka.

Misalnya, sudah acapkali dunia dilanda krisis ekonomi ekoran tangan-tangan mereka yang meminggirkan etika, kerohanian dan mo­ral. Dalam satu sudut, masyarakat kita terlalu dibuai dengan dakyah kononnya mereka itu mengamalkan prinsip etika yang hebat. Namun, kita terlupa bahawa etika yang diamalkan oleh mereka telah melahirkan insan-insan yang telah merosakkan sistem ekonomi dunia sebagaimana contoh paling tepat berlaku pada tahun 2008 dan pelbagai krisis penyelewengan korporat yang dilakukan oleh mereka. Episod-episod krisis ekonomi dan penyelewengan korporat akan sentiasa diulang-ulang pada masa akan datang selari dengan kosong­nya roh kerohanian masyarakat mereka yang terus menerus mencabar amal­an agama sebenar yang datang­nya dari Yang Maha Esa.

Dalam hal ini, para pelapis ke­pimpinan negara tidak boleh menjadikan Barat sebagai ikutan yang terus menerus mencabar adat dan adab ketimuran. Walhal, asakan demi asakan pemikiran dan tingkah laku mereka yang meminggirkan agama untuk mempengaruhi ge­nerasi muda amat tidak sesuai dalam masyarakat Malaysia.

Apalah gunanya kita dapat melahirkan masyarakat yang terlalu hebat dalam pelbagai bidang tetapi akhlaknya diikat dengan amalan yang cukup rendah budi pekertinya seperti biadab dan sombong. Sewajarnya, lebih tinggi ilmu seseorang maka lebih merendah diri kerana mengetahui bahawa ilmu yang diperoleh datangnya dari Allah SWT. Jika ilmu yang ada melahirkan masyarakat yang riak, sombong, hasad dengki, mementingkan diri dan hanya berasakan dirinya sahaja yang betul, maka tunggulah keruntuhan masyarakat yang amat dahsyat sama sekali.

Jadi, sistem pendidikan negara yang menggabungkan PPPM dan PPPM (PT) merupakan intipati pro­ses pembelajaran sepanjang hayat yang menghasilkan rakyat Malaysia berakhlak tinggi. Malah, melalui kedua-duanya, generasi muda mempunyai keupayaan berdikari sebagai penjana pekerjaan.

Modal insan pada masa akan datang tidak boleh lagi bertindak sebagai pencari kerja kerana ia akan membuatkan masyarakat kita berada di takuk yang sama. Dengan iltizam untuk menjayakan Model Baharu Ekonomi (MBE), setiap daripada modal insan yang bakal memasuki pasaran kerja perlu menjana peluang-peluang pekerjaan sendiri melalui kemahiran keusahawanan yang tinggi kerana ia mampu melipat gandakan pendapatan untuk mereka.

Sebab itulah dari awal lagi ge­nerasi muda dilatih agar mempu­nyai KBAT supaya mereka ini sentiasa mempunyai kekuatan menyelesaikan masalah dalam menghadapi dunia ekonomi baharu pada masa akan datang. Aspek keusahawanan sebagai penjana pekerjaan telah membuktikan banyak kejayaan dalam kalangan negara-negara yang berpendapatan tinggi. Lebih banyak lagi peluang pekerjaan yang dijana oleh mereka, lebih tinggilah prospek ekonomi negara kita berada pada nilai rantaian tinggi bertunjangkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang bersifat dinamik.

Dengan kemahiran-kemahiran tinggi dan terkini berpaksikan penge­tahuan yang luas akan membantu memacu serta melonjakkan ekonomi Malaysia. Pendidikan negara terbuka untuk sesiapa sahaja yang mahu meluaskan ilmu pengetahuan mereka. Bahkan mereka yang berusia juga boleh meningkatkan ilmu pengetahuan melalui sistem pembelajaran secara separuh masa sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran. Dengan kata lain, sistem pendidikan negara tidak sesekali mendiskriminasikan mana-mana pihak.

Tidak cukup dengan itu sistem pendidikan negara juga menekankan aspek teknikal dan vokasional kepada mereka yang kurang meminati bidang akademik di universiti-universiti awam dan swasta. Ilmu bukanlah hanya hak eksklusif untuk mereka yang berada di menara gading semata-mata. Bahkan, ilmu itu berada di mana-mana sahaja menanti kita mencarinya melalui sistem pendidikan yang digubal bersesuaian dengan budaya, agama dan sosial masyarakat Malaysia. Yang pasti, setiap daripada kita bertanggungjawab merealisasikan pendidikan sebagai teras kepada masyarakat maju yang bukan setakat berjaya di dunia semata-mata tetapi juga memenuhi kebijaksanaan me­nuju kecemerlangan di akhirat yang hakiki sifatnya.