April 29th, 2015

Petunjuk-petunjuk kejayaan GTP dan ETP

PADA malam yang berbahagia ini dengan kehendak dan izin Allah SWT jua, kita telah sampai kepada tahun keempat siri takwim pembentangan laporan bagi Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP. Sesungguhnya, masa berlalu dengan begitu pantas. Pejam celik, pejam celik, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi telah menghampiri usia 5 tahun.

Sehubungan itu, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, berakauntabiliti dan menepati janji-janjinya, saban tahun, apabila tiba sahaja masa, sekitar penghujung April seperti ini, saya selaku Ketua Kerajaan, juga bagi pihak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri akan tetap tampil dengan penuh bersedia, bagi mempersembahkan hasil-hasil pencapaian serta kejayaan yang ditempa secara tahunan.


NAJIB TUN RAZAK pada Pembentangan Laporan Tahun 2014 Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam. Utusan/Mohd. Farizwan Hasbullah

Bak kata orang, kita bukan beromong-omong kosong, bukan pula saudagar-saudagar yang menjual mimpi, tidak juga bercakap hal yang bohong-bohongan. Pokoknya, Kerajaan yang ada pada hari ini, adalah Kerajaan berpijak di bumi yang nya­ta dan berpasak kepada realiti. Apa yang mahu kita kongsi dan laporkan ini adalah kisah-kisah benar pencapaian yang disokong dan diperkukuh­kan melalui fakta-fakta dan kumpulan data serta nombor-nombor yang sahih.

Paling penting segala yang dicatat dan dimaktubkan dalam laporan GTP ini dan laporan ETP ini semuanya berasaskan kepada fact and figures yang diiktiraf oleh pelbagai pihak, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, khususnya diabsahkan oleh juruaudit bertauliah. Ertinya, kita bukan mereka-reka segala angka dan digit mahupun indeks kejayaan yang telah diraih, tidak pula sekali-kali, memetiknya dari awan yang sedang berarak, jauh sekali daripada langit yang sedang membiru.

Saya timbulkan perkara tersebut itu kerana, mutakhir ini, kerajaan telah diasak dan dikritik dengan pedas dan hangatnya oleh sesetengah pihak. Dalam keadaan ini, kita sedar adalah menjadi resam dan adat di dunia bahawa untuk memenuhi kemahuan setiap pihak dalam apa jua hal dan perkara sememangnya adalah sesuatu yang mustahil dan bukan bersifat kemanusiaan. Hanya Allah SWT sebagai Maha Pencipta dan Maha Melengkapi segalanya.

Seperti yang sering saya sebutkan, mana-mana negara mahupun tamadun di dunia tidak dibina sekelip mata atau dengan cara tidak semena-mena. Semestinya, sebuah watan yang berjaya, didirikan atas perencanaan dan perancangan sistematik pihak pentadbiran kerajaan. Dari itu, amatlah mustahak, rakyat perlu tahu sejak hampir 60 tahun selepas kita mencapai kemerdekaan, negara ini telah diterajui oleh Barisan Nasional berlandaskan pentadbiran cekap lagi sistematik. Ditunjang pula dengan kukuhnya, oleh penjawat awam berasaskan wawasan bapa-bapa pimpinan tanah air sejak dari dulu.

Pucuk pangkalnya, kita mende­ngar rungutan dan kritikan serta amat mengalu-alukan pandangan juga pendapat yang diberikan oleh semua golongan, hatta rakyat terbanyak di bawah. Namun, harus barang diingat, apa jua bentuk kritikan dan saranan, perlulah bersifat membina dan tidak semberono atau main hentam melulu sahaja.

Kerana hanya dengan kritikan dan saranan-saranan yang membina, barulah kita mampu memperbetulkan, mengislah dan memperbaiki segala yang kurang dan kelemahan yang wujud di sana sini. Jika tidak, proses pembangunan negara menjadi terganggu,kacau bilau dan boleh merumitkan keadaan, sekali gus mengelirukan rakyat.

Jelasnya, usaha-usaha dalam GTP dan ETP ini adalah antara bukti bahawa kerajaan tidak berwenang-wenang duduk bersimpuh. Dalam bahasa mudah budak-budak muda sekarang, apa yang pentadbiran kerajaan sedang buat kini, bukanlah sesuatu yang syok sendiri, sebaliknya, segala perencanaan ini adalah berdasarkan maklum balas dan proses merundingi pelbagai lapisan rakyat. This has been the basis of my leadership. The engagement and the understanding the need of the rakyat, is paramount in guiding me to deliver the right programmes for all Malaysians.

Objektif PEMANDU

Justeru, antara inisiatif utama kerajaan sejak September 2009, ialah menubuhkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan atau ringkasnya PEMANDU, di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri. Haruslah diketahui, tujuan utama dan objektif PEMANDU di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN, adalah menyelia pelaksanaan, menilai kemajuan, memudahcara serta menyokong penyampaian dan memacu kemajuan Program Transformasi Kerajaan serta Program Transformasi Ekonomi. Ini semua dilaksanakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara High Income Advanced Economy, menjelang fajar 2020 atau lebih awal dari itu. Insya-Allah.

PEMANDU diwujudkan sebagai penyelaras untuk membantu semua kementerian. Dalam kata lain, PEMANDU tidak bekerja sendirian. Akan tetapi, sebagai fasilitator atau pemudahcara dalam mengatur dan menyusun perlaksanaan program-program transformasi kerajaan, beriring dengan tanggungjawab kementerian-kementerian.

Ertinya, secara keseluruhan, PEMANDU ialah sebuah unit yang mengawasi KPI dan piawai kerja menteri, kementerian juga agensi-agensi kerajaan berkaitan. Untuk makluman semua, berdasarkan la­poran PEMANDU ini juga, prestasi menteri akan dibentangkan, dinilai dan dibuat semakan sebanyak 2 kali setahun. Ini bererti, menteri juga tertakluk kepada report card ma­sing-masing sebagai penentu KPI.

Sayugia dijelaskan, warga PEMANDU terdiri daripada gabungan bakat dan kebolehan daripada GLC, pihak swasta dan pegawai kerajaan. Hasilnya, dalam tempoh hanya lima tahun, pelaksanaan metodologi Big Fast Results di dalam GTP dan ETP oleh PEMANDU bagi mentransformasi Malaysia, turut berjaya menarik perhatian dunia.

TREN MRT jenis Inspiro keluaran Siemens AG dari Jerman mampu membawa 400,000 penumpang sehari. GAMBAR IHSAN MRT CORP

Contohnya, Tanzania kini mengguna pakai model dan khidmat konsultansi PEMANDU dalam merencanakan agenda pembangunan di negara itu. Manakala, negara lain seperti Afrika Selatan dan India kini sedang menilai untuk menggunapakai khidmat PEMANDU. Malah, pada tahun lepas, dua penyelidik Bank Dunia, iaitu Profesor Charles Sabel dan Luke Jordan menerbitkan satu kertas kajian bertajuk Doing, Learning, Being: A Study of Malaysia’s Transformation Program yang mengandungi perakuan mereka tentang keberhasilan transformasi sebenar di Malaysia.

Lanjutan itu, PEMANDU juga tedipilih sebagai salah satu daripada 20 Pasukan Inovasi Kerajaan yang terbaik di peringkat antarabangsa oleh NESTA, iaitu sebuah badan inovasi di UK dan Bloomberg Philanthropies pada 2014.

Berhubung pembentangan laporan GTP dan ETP pada malam ini, seperti biasa, ramai orang di luar sana bertanya, sebagai rakyat, apa kena mengena laporan ini kepada kehidupan seharian mereka?

Terlebih dahulu, elok saya perin­cikan Program Transformasi Kerajaan telah pun melalui horizon atau batas masa pelaksanaan yang pertama, dikenali sebagai GTP 1.0 yang melewati tahun 2010 hingga 2012. Seterusnya, GTP 2.0 adalah horizon kedua sejak 2012 sehinggalah penghujung tahun ini yakni 2015. Manakala, penilaian secara menyeluruh akan dilakukan untuk menetapkan hala tuju horizon GTP 3.0 dan selanjutnya yang akan membawa kita kepada status negara maju. Jadinya, jika dirumuskan, di bawah GTP, komitmen utama kerajaan adalah untuk memastikan setiap rakyat dapat menikmati kualiti kehidupan yang terbaik menerusi terutamanya tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA. Di bawah ETP pula, dalam kesalinghubungan dunia yang semakin meningkat, penting bagi kita untuk membina ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya tahan. Ini dilaksanakan melalui 12 Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA.

Saya tahu dan sedar, rakyat sekalian tertanya, apakah petunjuk utama pencapaian kerajaan selama lima tahun ini? Bagi tujuan ini, suka saya menggariskan lima petunjuk utama pelaksanaan GTP dan ETP kepada negara dan rakyat keseluruhan, sepanjang lima tahun dilaksa­nakan bermula 2010 hingga setakat laporan ini dikemaskini:

Pertama, pendapatan per Kapita rakyat Malaysia telah meningkat daripada 7,059 dolar Amerika pada 2009, kepada 10,426 dolar Amerika pada 2014;

Kedua, nilai pelaburan kekal ting­gi dengan pelaburan seba­nyak RM142 bilion pada 2009 dan mening­kat RM228 bilion pada 2014;

Ketiga, 1.5 juta pekerjaan baru diwujudkan setakat 2014 dalam sektor-sektor NKEA sejak 2010;

Keempat, lebih 5 juta rakyat lagi di kawasan luar bandar mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih sejak GTP dan ETP dilaksanakan; dan kelima, hampir 170,000 golongan miskin berjaya dibawa keluar dari kepompong kemiskinan, susulan kenaikan jumlah pendapatan mereka dalam tempoh 5 tahun ini.

Manfaat

Dalam pada petunjuk-petunjuk besar yang saya sebutkan itu, GTP dan ETP disokong oleh pelbagai inisiatif seperti aktiviti pelaburan di Pengerang Integrated Complex di Johor, yang nilai pelaburannya mencecah 27 bilion dolar Amerika menjelang 2019 nanti, dan mampu menyediakan sehingga 4,000 pe­luang pekerjaan kepada rakyat. Tambahan lagi, inisiatif GTP dan ETP semakin dirasai kesan nikmat pembangunannya oleh saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak. Sebagai contoh, pada 2014 sahaja, sepanjang 242 kilometer jalan telah siap dibina, 6,000 rumah menerima bekalan air bersih, 13,000 keluarga mendapat bekalan elektrik dan 5,500 kediaman baharu siap dibina.

Merujuk kepada NKRA Menangani Kos Sara Hidup Rakyat, sukacita saya memaklumkan kini kita telah menubuhkan sejumlah 307 buah Klinik 1Malaysia di seluruh negara sejak 2010, yang meliputi kawasan bandar dan luar bandar. Setakat ini, saya dengan rasa berpuas hati dan lega melaporkan bahawa, khidmat kesihatan yang ditawarkan kepada rakyat ini, telah mendapat sambutan yang luar biasa dan membawa manfaat kepada lebih 15.8 juta kes pendaftaran rawatan, dengan hanya bayaran RM1 sahaja.


PENERIMA Baucar Kebajikan Rakyat 1Malaysia, Sodah Hassan, 67, (dua, kanan) menunjukkan baucar yang diterimanya ketika membeli-belah di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Kangar, Perlis. BERNAMA

Sebagai contoh, Saudara Karupaya A/L Muthukanoo, dari Pandamaran Klang. Beliau memberi maklum balas kepada program ini bahawa, penubuhan Klinik 1Malaysia menjadi satu rahmat dan kemudahan yang dapat dirasakan secara langsung kepadanya sebagai seorang rakyat Malaysia.

Sememangnya, dengan adanya perkhidmatan ini, ribuan pesa­kit terutamanya dalam kalangan masyarakat bandar termasuk Karupaya sendiri, kini tidak perlu risau akan masalah kekangan masa dan kewangan untuk mendapatkan rawatan perubatan asas. Untuk itu, marilah sama-sama kita berterima kasih, dan mengucapkan syabas kepada petugas-petugas kesihatan dan jururawat di Klinik 1Malaysia!

Di bawah NKRA ini juga, suka saya melaporkan tentang Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M. Saya faham, BR1M kini menjadi topik yang banyak diperbualkan. Justeru, elok saya mengambil kesempatan bagi memperbetulkan tanggapan tidak tepat oleh sesetengah pihak berkaitan pemberian bantuan ini.

Sebetulnya, BR1M ini ialah satu subsidi bersasar dalam bentuk tunai, diberikan kepada golongan yang memerlukan sebagai pendekatan terbaik kepada Malaysia buat masa ini. Semua perlu tahu bantuan sebegini telahpun dilaksanakan oleh pelbagai negara dalam berbagai cara dan bermacam nama, seperti bantuan dana pendidikan, bantuan pelan kewangan kesihatan, welfare payment atau pembayaran kebajikan dan bantuan melalui kupon makanan serta lain-lain. Misalnya, di Indonesia pada 2013, menerusi Prog­ram Keluarga Harapan, rakyatnya diberi bantuan tunai bagi membantu meringankan kos sara hidup akibat pelaksanaan program rasionalisasi subsidi petrol dan diesel.

Kaedah bantuan di UK pula, adalah menerusi pemberian setem makanan dengan menggunakan kad khas untuk tujuan pembelian makanan. Manakala, beberapa negara lain pula, turut melaksanakan pemberian bantuan, sama ada dalam bentuk kewangan mahupun bukan kewangan. Ternyata, BR1M bukanlah sesuatu yang isolated atau asing tetapi juga menjadi amalan di banyak negara maju di dunia sebagai salah satu polisi socio safety net. Di atas segalanya, perlu difahami baik-baik, BR1M ini adalah transitional measure atau langkah sementara sahaja, dalam proses konsolidasi fiskal demi memastikan kita benar-benar membantu golongan yang sangat memerlukan, berbanding subsidi secara pukal yang dilaksanakan sebelum ini.

Dalam hal ini, ingin saya kongsikan kisah Puan Dayah Anak Kepada Mamut, berusia 41 tahun, dari Rumah Panjang di Betong, Sarawak. Beliau adalah seorang ibu tunggal yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dan mempunyai 4 orang anak berusia di antara 11 hingga 20 tahun.

Meringankan beban

Di sini, sebagai seorang pemim­pin, suka saya menyatakan, sesiapa sahaja boleh mengatakan apa saja yang mereka suka dan fikirkan. Namun bagi individu rakyat seperti Puan Dayah ini, Bantuan Rakyat 1 Malaysia, betul-betul dapat membantu meringankan beban yang ditanggung bagi kos persekolahan anak-anaknya. Ketahuilah, selain Dayah, di sebalik apa yang diperkatakan kini, sekurang-kurangnya kerajaan mencuba sedaya mungkin memberi bantuan langsung kepada 7 juta isi rumah dan individu yang memerlukan dan tanpa mengira latar belakang politik. Marilah kita sama-sama ucapkan terima kasih kepada Puan Dayah, bersama dengan tiga orang anaknya, kerana bersusah -payah dan sudi menerima jemputan kita untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis ini.

Selanjutnya, sejak 2010, seba­nyak 161 buah Kedai Rakyat 1Malaysia diwujudkan di seluruh negara. Melalui Kedai Rakyat 1Malaysia ini, sebanyak 272 jenis barangan Produk 1 Malaysia, dijual pada harga 15 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Merujuk kepada NKRA Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar, Alhamdulillah, melalui GTP setakat ini, sukacita saya melaporkan, sebanyak lebih 5 juta rakyat lagi di kawasan luar bandar mendapat manfaat berhubung kemudahan yang disediakan seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik, sejak tahun 2010.

Sehubungan itu, ingin saya kongsikan, satu kisah kejayaan GTP yang menyentuh terus denyut nadi kehidupan rakyat seharian. Ini tentang pembinaan jalan sepanjang 60 kilometer yang menghubungkan Pekan Sook ke Kampung Sinua di Keningau, Sabah. Pembinaan jalan ini turut membawa nikmat dan memberi kemudahan kepada murid-murid daripada 18 buah sekolah di kawasan itu. Dalam skala yang lebih besar, ia memudahkan kehidupan sekurang-kurangnya 10,000 penduduk suku kaum Murut dan Dusun.

Seterusnya, jika tahun lalu saya menyebut, kerajaan sudah membina 4,068 kilometer jalan luar bandar, yakni jarak 5 kali ulang-alik antara Johor Bahru dengan Perlis, selanjutnya antara tahun 2010 sehingga 2014 pula, secara keseluruhan, kita membina sepanjang 4,553 kilometer jalan raya. Pada perspektif prasarana lain, program pembangunan luar bandar juga membantu lebih 330,000 isi rumah menikmati bekalan air bersih yang disediakan. Manakala, hampir 130,000 lain kini menikmati kemudahan bekalan elek­trik tanpa gangguan.

Bagi NKRA Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar pula, usaha untuk menambah baik kemudahan Pengangkutan Awam Bandar telah menunjukkan perubahan po­sitif, di mana, bilangan penumpang berulang alik ke Kuala Lumpur, me­lebihi 455,000 orang setiap hari terutama pada waktu puncak. Oleh itu, perkhidmatan bas akan ditambah baik dengan pengenalan Bus Rapid Transit atau BRT Sunway Line yang diuruskan oleh Prasarana Malaysia Berhad dan dijangka siap pada Jun 2015.

Sukacita saya mengumumkan, perkhidmatan BRT yang pertama di Malaysia ini akan memberi kemudahan kepada 500,000 penduduk di sekitar Subang Jaya dan Bandar Sunway. Berkait ini, saya juga ingin memberi khabar dan berita baik kepada penduduk sekitar Sri Petaling, Bukit Jalil dan Puchong, bahawa Projek Fasa 1 Program Peluasan Ali­ran LRT Ampang akan siap sepenuhnya pada Oktober 2015.

Dalam NKRA berkaitan Mempertingkatkan Taraf Hidup Isi Rumah Berpendapatan Rendah pula, setakat ini hampir 170 ribu orang daripada golongan miskin dapat hidup dengan lebih selesa dengan pelaksanaan program akhiri zaman kemiskinan atau 1AZAM, yang antara lain memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan diri dan kemahiran kewangan.

Kita turut berbangga dengan pencapaian program 1AZAM di mana, hampir 65,000 keluarga dari golongan sasar dibantu untuk pembangunan kapasiti dan kemahiran. Sebagai contoh, saya mahu berkongsi kisah saudari kita Cik Clarissa Balicao dari Sabah. Beliau ada bersama-sama kita dalam auditorium pada malam ini.

Saya dimaklumkan berkat ke­sungguhan untuk merubah nasib hidup dan keluarganya, beliau mendaftarkan dalam program 1AZAM dan menyertai pelbagai latihan yang ditawarkan. Kini, Clarissa sudah pun memiliki salon di Kota Marudu Sabah dan mampu menjana pendapatan lebih RM6,000 sebulan. Marilah kita memberi tepukan dan mengucapkan tahniah kepada prog­ram 1AZAM dan kepada kejayaan Clarissa!

Para bijak pandai menyebut, ilmu itu pelita hidup. Pendidikan pula menjadi cahaya penyuluh tamadun kemanusiaan. Merujuk kepada NKRA Mempastikan Pendidikan Berkualiti, kerajaan menyediakan bantuan kepada pelbagai golongan pelajar. Contohnya, lebih RM100 juta sebagai bantuan yuran kepada hampir 130,000 pelajar pra-sekolah di institusi swasta dan dari golongan isi rumah berpendapatan rendah. Selain itu, bantuan dalam bentuk yuran sekolah berjumlah hampir RM7.5 juta diberikan kepada lebih 3,000 kanak-kanak yang ditempatkan di pusat penjagaan kanak-kanak swasta.

Selanjutnya, berkait peningkatan kadar literasi Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, serta kadar nume­rasi di kalangan pelajar-pelajar, ada cerita benar dan menarik tentang adik kita yang bernama Nor Izzati Sabrina dari Ipoh, Perak. Saya dimaklumkan, adik Nor Izzati ini bercita-cita menjadi seorang peguam. Kemasukan beliau ke Sekolah Berprestasi Tinggi atau SBT di Sekolah Kebangsaan Marian Convent Ipoh, telah membantu meningkatkan kemahiran beliau berkomunikasi dan bersosial.

Sesungguhnya, SBT adalah antara inisiatif GTP yang sedang membuahkan hasil. Pada 2014, 13 sekolah lagi dikenal pasti sebagai SBT, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 128 buah. Diharapkan, SBT akan terus melahirkan pelajar yang berketrampilan dan menyerlah dalam semua aspek.

Sememangnya, SBT telah membuka peluang kepada pelajar berbakat seperti adik Nor Izzati, untuk mengasah kemahiran komunikasi dan kemahiran sosial dan antaranya, mewakili sekolahnya dalam pertandingan choral speaking. Oleh itu, kerajaan berhasrat melahirkan lebih ramai pelajar sebegini dan kita ucapkan syabas serta selamat maju jaya kepada adik Izzati di atas usaha-usaha gigih itu!

Ketidaktentuan 
ekonomi global

Merujuk kepada NKRA Mengurangkan Jenayah, kini, kita ber­syukur bahawa kadar indeks jenayah negara di bawah GTP berjaya dikurangkan sebanyak 40 peratus dalam tempoh 5 tahun lepas. Mi­salnya, bagi 2014, kes kecurian kereta menurun kepada hampir 20 peratus, pertama kali kita melihat penurunan trend jenayah kecurian kereta, semenjak NKRA ini diper­kenalkan. Apa yang mustahak, usaha untuk mengurangkan kadar jenayah akan diteruskan.

Terakhir, di bawah NKRA Membanteras Rasuah pula, Malaysia bertambah baik skor Indeks Persepsi­nya, dan meningkat daripada tangga 44 pada 2010, kepada tangga 52 pada 2014, daripada dalam kalangan 175 negara. Meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, kita masih mampu mencapai pertumbuhan KDNK yang kukuh pada 2014, iaitu 6 peratus, sekali gus mengatasi anggaran 5.7 peratus oleh Bank Dunia, menjadikan pertumbuhan KDNK Malaysia antara yang paling tinggi dalam kalangan negara ASEAN.

Pelaburan swasta pula, mencakup 64 peratus daripada jumlah pelaburan keseluruhan pada tahun lepas, justeru menjadikan sektor swasta sebagai pemacu utama keseluruhan pelaburan dalam negara. Ini dibuktikan melalui kadar pertumbuhan tahunan terkompaun atau CAGR untuk pelaburan swasta yang meningkat 2.5 kali ganda antara 2011 hingga 2014. Seperti yang saya bentangkan tadi, jika pencapaian GTP dibahagikan kepada 3 horizon, ETP pula adalah program ekonomi yang disukat dan diukur berdasarkan tiga pencapaian menyeluruh jangka panjang sehingga menjelangnya tahun 2020, yakni:

Pertamanya, Mencapai pendapatan per kapita rakyat sebanyak 15,000 dolar Amerika;

Keduanya, Mewujudkan seba­nyak 3.3 juta peluang pekerjaan; dan

Ketiganya, Memperolehi 444 bi­lion dolar Amerika nilai pelaburan menjelang 2020.

Bagi NKEA Greater Kuala Lumpur/ Klang Valley, sukacita di sini, saya ingin melaporkan bahawa Projek MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang, sehingga 2014, sedang mendahului jadual dengan penyiapan 59 peratus. Untuk fasa satu dari Sungai Buloh ke Semantan, dijangka ber­ope­rasi pada Disember 2016. Manakala operasi sepenuhnya dari Sungai Buloh ke Kajang akan bermula pada Julai 2017.

Antara impaknya, Projek MRT ini telah membina modal insan di kalangan rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang, terutamanya di bidang kejuruteraan. Satu perkara yang menarik, saya dimaklumkan, projek ini memberi ruang pekerjaan kepada lebih kurang 2,800 jurutera Malaysia, di mana 20 peratus daripada mereka terdiri daripada para jurutera muda kita.

Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life pula akan melonjakkan daya huni Kuala Lumpur sebagai bandar ikonik dunia. Melalui projek ini, kerajaan akan menambahbaik kebersihan Sungai Klang dan Sungai Gombak. Laginya, pencapaian projek pembersihan sungai setakat 2014 pula adalah 53 peratus. Antara inisiatif pembersihan sungai yang telah siap ialah 8 loji rawatan air sungai dan 4 loji rawatan air sisa.

Merujuk kepada NKEA Pemborongan dan Peruncitan, Program Transformasi Peruncit Kecil atau TUKAR telah memberi manfaat kepada hampir 2,000 usahawan runcit melalui peningkatan peluang perniagaan dan kehidupan lebih sempurna sejak pelaksanaanya.

Pelancongan adalah penyumbang keenam tertinggi kepada ekonomi Malaysia pada 2014. Tidak hairanlah, ini berikutan penambahan pelancong sebanyak 6.7 peratus yang membawa kepada hampir 28 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014. Makanya, bagi meneruskan kerancakan sektor pelancongan, di bawah NKEA Pelancongan, Kerajaan meluluskan satu lagi ruang perniagaan mewah yang menjual barangan premium yang diberi nama ‘Mitsui Outlet Park’, terletak berhampiran KLIA. Ini bakal menjadi kompleks ruang perniagaan terbesar di Asia Tenggara. Kompleks itu, dijangka mula beroperasi pertengahan tahun ini.

Bagi NKEA Pertanian pula, ia terus dipacu bagi menjamin sumber makanan yang mencukupi untuk rakyat serta aspek jaminan keselamatan bagi makanan negara. NKEA ini juga memainkan peranan penting sebagai pemudah cara untuk terus mengupayakan syarikat besar di samping memperkasakan pengusaha kecil-kecilan di dalam bidang ekonomi ini. Antara kejayaan penting yang dikecapi oleh NKEA ini bagi 2014 adalah kemajuan inisiatif Produk Herba Bernilai Tinggi. Saya difahamkan, hasil penyelidikan terhadap kegunaan komersial sesuatu herba yang dilanjutkan kepada ujian praklinikal atau klinikal, mampu melonjakkan nilai produk herba tersebut.

Sebagai contoh, ekstrak herba Tongkat Ali setelah proses piawaian, mampu mencecah harga RM2,800 sekilo berbanding dengan harga Tongkat Ali yang mentah pada harga hanya RM2 sekilo. Begitu jauh beza harganya dan hal ini cukup menakjubkan!

Melonjakkan bilangan pekerja mahir

Di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik atau SRI Pembangunan Modal Insan, pencapaian kita dalam bidang tenaga kerja dan guna tenaga begitu memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Oleh itu, kita akan meneruskan usaha melonjakkan bilangan pekerja mahir kepada 50 peratus daripada tenaga kerja negara menjelang 2020. Justeru, inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET diberikan perhatian di bawah RMK-10 dan diperkukuhkan oleh kementerian-kementerian untuk mempercepatkan pembangunan tenaga kerja mahir.

Sebagai contoh, bersama kita pada malam ini juga, saudari Ruqaiyah Azahari, yang mendapat manfaat dari pelaksanaan program TVET ini. Untuk makluman, Ruqaiyah ialah pemenang pingat gangsa di ASEAN Skills Competition 2012 di Jakarta, Indonesia dalam bidang fashion technology dan pemenang pingat Medallion for Excellence di WorldSkills Competition 2013 di Jerman. Untuk pengetahuan semua, agak unik, beliau mendapat pendi­dikan awal di sekolah pondok sejak dari usia 6 hingga 9 tahun. Kemudiannya bekerja untuk membantu keluarga dengan pendapatan hanya RM300 sebulan. Namun, dengan semangat gigih dan keazaman yang tinggi bagi meningkatkan taraf hidup dan membantu ahli keluarga, beliau berusaha mendapatkan Sijil Kemahiran GIATMARA dalam bidang fashion and dressmaking di GIATMARA Kuala Pilah.

Kini, beliau memperoleh pendapatan baik, melalui pekerjaan beliau sebagai tenaga pengajar di GIATMARA, di samping mengambil upah tempahan jahitan baju. Oleh itu, tahniah kita ucapkan kepada program TVET dan tepukan kepada usaha gigih Cik Ruqaiyah!

Wanita adalah tulang belakang dan menjadi rakan kongsi pembangunan negara. Oleh itu, hal ehwal pembelaan dan kebajikan mereka sentiasa menjadi agenda utama kerajaan. Lantas, di bawah SRI Mo­dal Insan ini juga, kerajaan mengambil inisiatif mempertingkatkan penyertaan tenaga kerja wanita kepada 55 peratus menjelang akhir 2015 dan 30 peratus penyertaan wanita pada peringkat pembuat keputusan menjelang 2016.

Sesungguhnya inisiatif Pemerka­saan Ekonomi Bumiputera akan terus menjadi agenda nasional bagi memacu kemajuan golongan bumiputera. Bagi SRI Merapatkan Jurang Ketaksamaan di bawah TERAJU pula, sehingga kini, sebanyak hampir RM48 bilion peluang perniagaan, pembiayaan dan pendidikan diwujudkan untuk komuniti bumiputera.

Inisiatif Carve Out and Compete mencapai titik kemajuan baru pada tahun ini dengan memperuntukkan peluang khas kepada Bumiputera bernilai lebih RM10 bilion daripada pelbagai projek dan berjumlah hampir RM24 bilion sejak 2012. Kemudiannya, 2014 pula turut me­nyaksikan kesinambungan prog­ram yang meningkatkan akses bumiputera kepada pembiayaan dan pasaran, seperti lebih RM2 bilion Dana TeraS, RM580 juta Dana Halal, dan Skim Jejak Jaya Bumiputera.

Demikianlah serba sedikit petunjuk kejayaan yang dapat saya kongsikan daripada sekian banyak lagi ceritera penghasilan GTP dan ETP yang diraih. Sukacita juga saya ­melaporkan pada 2014, berkat usaha bersungguh-sungguh, KPI keseluruhan bagi NKRA menjangkau 105 peratus, manakala KPI keseluruhan untuk NKEA pula melebihi sasaran yang dijangka dan berada pada kadar 110 peratus.

Bertapak di atas jejak-jejak kejayaan ini, semestinya, kita mampu menarik nafas lega untuk mengatakan Malaysia terus mengorak langkah di atas track yang betul dengan pelbagai pengiktirafan oleh badan-badan antarabangsa, semakin hari semakin berubah, menjadi negara yang lebih baik dari hari semalam. Walau yang demikian, seperti saya sering peringatkan, kita tidak pernah lalai atau terlupa masih terdapat ruang untuk peningkatan dan penambahbaikan. Bahkan, gagasan negara yang bertiangserikan Falsafah Tunjang, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, bak kata orang Sabah, akan tetap menjadi paksi utama kepada semua perencanaan kemajuan Malaysia.

Meskipun 2014, tahun yang pa­ling mencabar dan begitu menduga dengan pelbagai tragedi, saya memberi jaminan kerajaan akan terus komited untuk membina sebuah negara Malaysia yang selamat, makmur dan sejahtera. Laporan Indeks Kemudahan Menjalankan Perniagaan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia juga meletakkan Malaysia di kedudukan ke-18, berbanding pada kedudukan ke-20 tempoh lalu.

Sebelum itu, pada 20 Januari yang lepas, sebagai kerajaan yang proaktif, saya tanpa berlengah telah membuat perutusan khas bagi memaklumkan kepada rakyat tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara. Saya rumuskan enam perkara asas antaranya :

Pertama, kita bukan di dalam keadaan gawat atau krisis, seperti mana pada tahun 1997 dan 1998, dan...

Keduanya, strategi-strategi kerajaan yang diumumkan pada waktu itu, adalah langkah proaktif untuk melakukan penyesuaian atau adjustment, sebagai reality check, bagi meneruskan agenda pembangunan ekonomi.

Tambahan pula, semalam, selepas 10 tahun, kita sekali lagi berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang me­nyaksikan Malaysia berperanan sebagai Pengerusi bagi 2015. Pada majlis tersebut yang baru saja berakhir siang tadi di Langkawi, kita te­lah berusaha mencapai dua perkara penting yakni, penubuhan komuniti ekonomi ASEAN dan roadmap atau hala tuju ASEAN bagi tempoh 10 tahun akan datang, sebagai satu lagi detik penting kepada lebih 600 juta penduduk di Asia Tenggara.

Pastinya, peristiwa bersejarah ini, dalam lingkungan ASIA dan ASEAN akan menjadi satu lagi pemangkin kepada usaha-usaha di bawah Dasar Transformasi Nasional untuk mencapai kedudukan negara Maju Berpendapatan Tinggi seperti yang disasarkan. Bertolak dari situ, kira-kira kurang sebulan dari malam ini, pada pertengahan Mei, saya akan membentangkan sebuah lagi dokumen penting negara, yakni, Rancangan Malaysia Ke-11. RMK-11 itu kelak, adalah bingkisan besar, sebagai pelonjak akhir segala perencanaan dan perlaksanaan Malaysia memasuki ambang 2020.

Jelasnya, saya menyeru agar rakyat sekalian dapat berfikir de­ngan matang dan tidak diselubungi emosi dalam menghakimi kerajaan dan usaha-usaha murni kerajaan selama ini. Tiada kalimah yang dapat menyuratkan, tiada ibarat sebagai umpama, untuk melukiskan betapa pentingnya bagi kita memiliki jiwa-jiwa yang besar, dalam perjuangan membangunkan tanah air. Kerana itu, saya menyeru, marilah kita jauhkan segala sengketa dan mencari titik persamaan demi kemakmuran sebuah Malaysia. Yakin dan percayalah, apabila kebenaran telah memancar dan menampakkan diri kelak akan gugurlah segala nista dan tohmahan.

Ahli-ahli falsafah Yunani bermadah-madah, Imam Ghazali juga berpesan-pesan, hinggalah kepada para pemimpin dan tokoh-tokoh masyhur dunia antaranya Mahatma Ghandi, Keneddy, Martin Luther King dan ahli filasofi terkenal Nusantara Melayu yakni Hamka, menasihatkan bahawa sudah menjadi adat dan sunnah orang berjuang, pasti menempuh getir serta liku-liku cabaran. Tambah Hamka dan seruan hikmat orang Bugis pula, dalam berjuang, jikalau perahunya telah kita kayuh ke tengah, ia tidak boleh bersurut pulang, meskipun bagaimana besar gelombang yang melanda, biarpun kemudi patah, biarpun layar robek, biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, ia lebih mulia bagi kita tegap teguh berjuang daripada membalik haluan pulang.

Lantas, selagi cita-cita murni tidak padam, kita tidak akan ke­seorangan, tidak pula hilang haluan dan pedoman. Ayuhlah, bersama-sama berganding di atas roh perjuangan yang sama, kita terus menuju gagah ke hadapan ke arah Malaysia yang maju lagi disegani di persada dunia. Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa merahmati Malaysia, mendatangkan bahagia dan sentosa kepada rakyat serta pertiwinya, zahir dan batin buat selama-lamanya.

Undang-undang berfungsi jika diterima rakyat

Undang-undang mencerminkan aspirasi masyarakat, budaya, kepercayaan politik dan keadaan ekonomi. Kita menggunakan undang-undang bagi mengawal hubungan manusia antara satu sama lain; mengawal hubungan rakyat dan kerajaan dan undang-undang juga mekanisme menyelesaikan pertikaian. Ini adalah antara intipati tulisan saya, minggu lalu.

Undang-undang akan berfungsi dengan baik apabila ia difahami dan dapat diterima oleh masyarakat. Namun, undang-undang tidak mudah untuk difahami oleh orang kebanyakan, seperti juga bidang lain, kedoktoran, ekonomi, atau juga agama. Selain itu, undang-undang bergantung kepada banyak faktor.

Antara lain, undang-undang mungkin juga bergantung kepada keadaan ekonomi dan sosial. Walau apa pun keadaannya, seboleh mungkin kita hendaklah mempunyai undang-undang. Bahkan kita bukan setakat memerlukan undang-undang, tetapi kita memerlukan undang-undang yang berkesan. Keberkesanan undang-undang dapat dilihat apabila ia dapat mengawal keadaan ekonomi, ia dapat mengawal keadaan sosial dan politik.

Dalam mencari keberkesanan undang-udang, mungkin akan menjadi mudah untuk kita sekiranya kita dapat menghasilkan sebuah buku yang menyediakan jawapan kepada semua permasalahan, tidak kira sama ada ia berkaitan masalah sosial, politik dan ekonomi.

Namun, hakikatnya ialah kita tidak akan mampu untuk menghasilkan buku seumpama itu kerana undang-undang mempunyai skop yang luas dan teori yang berbeza.

Fahami teori undang-undang

Dalam memahami objektif undang-undang, kita hendaklah faham mengenai teori undang-undang. Ada pelbagai teori undang-undang yang perlu kita hayati sebelum kita tentukan apakah falsafah undang-undang yang boleh kita terima dalam masyarakat kita untuk mencapai objektif undang-undang.

Teori yang pelbagai itu hendaklah juga dapat difaham oleh masyarakat kerana masyarakat jugalah yang akan merasai kesan undang-undang. Antara teori undang-undang yang sering dirujuk ialah Natural Law, Historical Jurisprudence, Utilitarian dan Positivism.

Ada juga teori seperti Sociological Jurisprudence, Legal Realists dan Legal Sociologists. Menurut Natural Law Theory, undang-undang dianggap sebagai God-given atau anugerah Tuhan dan ada sebahagian naturalis menganggap undang-undang adalah sesuatu yang wujud dengan kejadian manusia secara semula jadi.

Mengenai kemoralan, naturalis berhujah bahawa konsep kebaikan moral hendaklah bebas daripada pendapat atau pandangan kerajaan atau institusinya mengenai kebaikan atau kejahatan. Maka naturalis tidak membolehkan kerajaan membuat undang-undang sesuatu kebaikan itu menjadi kejahatan atau menjadikan kejahatan itu kebaikan.

Atas prinsip kebaikan semula jadi daripada Tuhan itulah suatu undang-undang itu dibina. Maksudnya, parameter yang mesti digunakan dalam membuat undang-undang ialah prinsip kebaikan menurut yang dianjurkan oleh Tuhan, bukan ciptaan manusia atau kerajaan. Historical Jurisprudence pula lahir sebagai respon kepada Natural Law Theory. Menurut teori ini, hanya amalan yang mengharungi masa dan bertahan lama yang boleh menjadi undang-undang. Teori ini tidak membenarkan perubahan mendadak, tetapi menyokong evolusi atau perubahan perlahan dalam undang-undang.

Teori Historical Jurisprudence ini menggalakkan kestabilan undang-undang, yang mana hanya amalan yang konsisten dan diterima masyarakat boleh diterima sebagai undang-undang.

Sementara itu, Utilitarian Theory memberi tumpuan kepada 'kegunaan sosial' undang-undang, berbanding keperluan metafizik atau kerohanian manusian. Istilah kebaikan dan keadilan tidak wujud dalam teori ini. 'Utilitarians' berpendapat, undang-undang hendaklah menghormati 'kebahagiaan awam', supaya mereka mendapat 'keseronokan maksimum' serta 'kepayahan minimum'. Maksudnya, undang-undang hendaklah menghormati apa yang dimahukan masyarakat mengikut kehendak masyarakat. 'Positivism' pula mementingkan apa yang tersurat.

Sesuatu yang bertulis dalam undang-undang yang diluluskan oleh badan perundangan yang sah adalah undang-undang, tidak kira apa juga nilai yang ada dalam undang-undang itu. Teori undang-undang di atas berkembang berdasarkan kepada keadaan dan keperluan masyarakat. Perbezaan dalam penerimaan teori ini akan menyebabkan perbezaan mengenai apakah yang dikatakan sebagai 'undang-undang'.

Dalam memastikan suatu undang-undang itu diterima oleh masyarakat serta diterima menjadi mekanisme yang berkesan maka undang-undang kita hendaklah mempunyai gabungan teori ini. Mungkin tidak mudah untuk kita membina peradaban perundangan kita, tetapi itu bukan mustahil.  Dr Shamrahayu A Aziz  Berita Harian Kolumnis 29 April 2015