April 30th, 2015

Bapa mentua gila harta

SUDAH banyak kali kita mendengar mengenai orang yang amat taksub dengan harta sehingga sanggup bergaduh adik-beradik, anak-beranak saman-menyaman di mahkamah dan sebagainya.

Terdapat juga ibu bapa yang menentukan jodoh anak-anak demi menjaga harta mereka tidak jatuh ke tangan orang lain.

Ada juga yang mahu anak-anak mereka hanya berkahwin dengan orang yang berharta tanpa mahu mempedulikan perasaan anak yang sudah mempunyai pilihan sendiri.

Bercakap mengenai orang yang begitu mementingkan wang dan harta, Julia (bukan nama sebenar) meluahkan perasaan yang disimpan sekian lama.

Dia yang kini berusia awal 30-an, merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak berumur tujuh dan lima tahun.

Julia telah ditinggalkan begitu sahaja oleh suaminya sejak lima tahun lalu. Ketika itu anak-anaknya masih kecil dan dia pula tidak bekerja.

Semasa berkahwin dengan suaminya, Khairul, rumahtangganya bahagia sahaja. Suaminya bekerja di sebuah agensi kerajaan dan mereka tinggal menyewa di rumah milik bapa Khairul.

Sanggup membuang cucu untuk dapat duit sewa

DIHALAU mentua hidup merempat
.

Bagaimanapun tahun demi tahun dia mula dapat melihat perangai suaminya yang sebenar.

Khairul malas pergi bekerja. Setiap hari dia akan lewat ke tempat kerja dan dalam seminggu mesti sekurang-kurangnya sehari dia akan ponteng. Ada sahaja alasan, demam, selesema, sakit itu, sakit ini dan sebagainya.

Rupa-rupanya, kata Julia, suaminya itu memang mempunyai sikap pemalas dan lebih teruk lagi mula berjinak-jinak dengan dadah.

Oleh kerana selalu ponteng ditambah dengan masalah disiplin, Khairul diberhentikan kerja.

Menurut Julia, itu bukanlah pekerjaan Khairul yang pertama, malah sudah empat kali dia bertukar tempat kerja kerana masalah disiplin. Ibu bapa mentuanya juga sudah lali dengan perangai anak lelaki mereka yang terbawa-bawa sejak bujang lagi.

Khairul merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Kedua-dua adiknya berjaya dalam pelajaran hingga ke menara gading dan menjawat jawatan tinggi, yang sudah tentu membanggakan kedua-dua ibu bapa mereka.

Bagaimanapun Khairul tidak seperti adik-adiknya. Dia malas belajar dan hanya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pekerjaannya pun dicarikan oleh bapanya yang sanggup bertanyakan kepada kenalan jika mereka mahukan pekerja. Pun demikian, dia tidak pernah serik walaupun dimarahi atau dinasihati oleh ibu dan bapanya.

Berbalik kepada kisah Julia, setelah ditinggalkan oleh Khairul, dia bersama kedua-dua anaknya masih tinggal di rumah sewa bapa mentuanya itu.

Pada pendapatnya, tidak salah dia tinggal di situ kerana rumah tersebut adalah rumah mentuanya dan dia adalah ibu kepada dua orang cucu mentuanya.

“Saya tersilap. Dua bulan Khairul menghilangkan diri dan dua bulan juga rumah sewa tidak berbayar. Bulan pertama, bapa mentua datang untuk mengutip duit sewa rumah. Saya katakan Khairul masih belum balik dan tidak ada memberikan wang belanja.

“Bulan kedua, bapa mentua datang lagi. Saya berikan alasan yang sama. Saya beritahu makan minum kami anak-beranak pun ibu bapa saya yang beri. Saya pula tidak bekerja kerana anak-anak masih kecil.

“Pada bulan ketiga, bapa mentua datang dan menghalau saya serta kedua-dua cucunya itu keluar dari rumah sewa.

“Kata bapa mentua, kalau tak boleh bayar sewa, lebih baik keluar sahaja kerana masih ada orang lain yang boleh menyewa. Saya terkejut kerana bapa mentua tergamak menghalau saya dan anak-anak saya yang merupakan darah dagingnya. Bukan salah saya kerana tidak dapat membayar sewa rumah tetapi salah anaknya sendiri.

“Saya tidak mahu berbalah dengan bapa mentua. Saya berjanji saya akan keluar dari rumah tersebut walaupun saya sendiri tidak tahu ke mana saya akan pergi.

“Saya tidak mahu menyusahkan ibu bapa saya yang hanya berpendapatan sederhana. Bagaimanapun, saya tidak mempunyai pilihan selain meminta tolong daripada mereka. Dengan tangan terbuka mereka menerima saya dengan anak-anaknya saya.

“Kata mereka, walau macam mana susah pun, saya dan anak-anak tetap darah daging mereka sendiri. Mereka tidak akan membiarkan kami hidup merempat. Mereka mengajak saya dan anak-anak tinggal bersama mereka.

“Tidak seperti ibu bapa mentua saya. Sejak saya keluar dari rumah sewa, mereka tidak pernah mencari saya dan anak-anak. Mereka seperti membuang kami dan tidak hairan langsung dengan cucu-cucu mereka ini.

“Sehingga ke hari ini, anak sulung saya sudah bersekolah darjah satu. Baik Khairul, ibu bapa mentua atau adik-adiknya tidak pernah datang atau mencari kami. Mereka seolah-oleh menganggap kami tidak pernah wujud.

“Saya tidak faham, apa perasaan mereka. Seorang datuk dan nenek boleh melupakan cucu-cucu sendiri sedangkan dia hanya mempunyai empat orang cucu sahaja. Dua orang anak saya dan dua orang anak adik Khairul.

“Kata orang, biasanya datuk dan nenek terlalu sayangkan cucu melebihi anak sendiri. Berbeza dengan ibu bapa mentua, yang sanggup kehilangan cucu kerana lebih mementingkan harta,” kata Julia yang kini sudah bekerja sambil belajar secara jarak jauh di sebuah universiti tempatan.

Memikirkan cerita Julia, saya termenung seketika. Amat jarang sekali mendengar kisah sedemikian, namun hakikatnya masih ada orang yang bersikap sebegitu. Mereka sepatutnya ingat bahawa harta dan wang ringgit lama-kelamaan akan habis dan umur pula semakin meningkat tua.

Zuriat dan keturunan membawa nama kita hingga ke syurga. Apalah erti kekayaan jika tiada anak cucu yang mendoakan kita setelah kita tiada lagi di dunia.

Hidup tertekan dikongkong keluarga

DANIEL berang dengan tindakan ibunya. Apa sahaja yang mahu dilakukan, pasti akan disekat. Itu tidak boleh, ini boleh, semuanya jadi serba tidak boleh. Apa yang boleh? Semuanya kena ikut kehendak ayah dan ibunya.

Daniel merasakan egonya tercabar. Pergerakannya disekat, apatah lagi mahu bersosial dengan kawan-kawan. Hanya kerana Daniel anak tunggal dalam keluarga, ibu dan ayah merasakan mereka berhak menentukan masa depannya. Musyawarah? Istilah itu langsung tidak ada dalam keluarga Daniel.

Hakikatnya, Daniel bukan lagi budak kecil yang perlu patuh atas setiap kehendak keluarganya. Dia juga punya hasrat hati dan keinginan untuk melakukan apa yang dia mahu. Dan lantaran kongkongan keluarganya selama ini, kawan Daniel boleh dikira dengan jari. Semuanya itu gara-gara sekatan yang dibuat oleh keluarganya.

Boleh membawa kepada sesuatu yang di luar jangkaan


TINDAKAN menyekat kemahuan anak-anak akan membuatkan golongan ini sentiasa membina jurang pemisah. - Gambar hiasan
-

Ibu dan ayah akan menentukan dengan siapa dia boleh berkawan. Kalau ibu dan ayah melarang Daniel berkawan dengan seseorang yang tidak ‘cocok’ dek pandangan mereka, Daniel harus memutuskan hubungan tersebut. Jika tidak, bukan sahaja Daniel yang dimarahi, malah kawannya pun turut menerima nasib sama.

Justeru, Daniel sering keseorangan. Sudahlah tiada adik-beradik, kawan-kawan pun selalu mengelakkan diri daripada berkawan dengan Daniel kerana takut menjadi mangsa amarah kedua ibu bapa Daniel.

Kini, usia Daniel menginjak 18 tahun dan baharu selesai mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bertuahnya Daniel, dia seorang budak yang bijak sekalipun banyak aktivitinya disekat. Sebagai anak pintar, sudah tentu, Daniel ada cita-citanya.

Kepada ibu dan ayah diluahkan kehendaknya untuk mengambil jurusan kejuruteraan. Itu minatnya sejak dari kecil dan dia sememangnya mengharapkan, keputusan cemerlang dalam SPM tersebut, akan membolehkan dia merealisasikan impian dan cita-citanya.

Malang sekali buat Daniel, apabila hasratnya itu diluahkan, rupa-rupanya, mereka telah ada perancangan tersendiri. Secara diam-diam, kursus pengajian buat Daniel telah ditentukan. Apa lagi kalau tidak bidang kedoktoran yang menjadi harapan mereka.

Betapa kecewanya Daniel apabila ibu dan ayahnya memberitahu, keputusan telah pun dibuat untuknya. Kata mereka, Daniel hanya perlu tunggu jawapan, sama ada permohonan tersebut diterima atau sebaliknya.

Entah kenapa hari itu, emosi marah Daniel tidak dapat dikawal. Sebaik ibu dan ayahnya berkata demikian, dia lantas menghentakkan kakinya menuju ke kamar dan menutup pintu dengan kuat. Dia tidak tahu kepada siapa harus dia meluahkan rasa kecewanya.

Dia tahu ibu dan ayahnya kecewa dengan tindakannya tadi tapi sebagai seorang remaja, dia juga ada pilihannya sendiri. Dia bukan robot yang diarah untuk melakukan apa sahaja. Dia manusia yang punya keinginan agar apa yang dilakukan kelak mencapai kepuasannya.

Daniel tidak mahu lagi dipaksa ikut itu dan ini. Tempoh 17 tahun yang lalu, Daniel sentiasa akur dengan kehendak ibu dan ayah. Dan kini dia mahu mereka juga memahami apa yang dia kehendaki. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja Daniel lari daripada kongkongan keluarga yang dianggap olehnya keterlaluan!

Harumanis dan ekonomi masyarakat

INVEST Malaysia 2015 yang diadakan minggu lalu melibatkan penyertaan syarikat-syarikat ger­gasi dan terkenal di Malaysia. Acara itu diadakan sebagai platform perjumpaan dalam kalangan ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat terkemuka di Malaysia bagi mengutarakan pendapat dan pengumuman mengenai pembangunan terkini pasaran modal Malaysia. Ini sekali gus membolehkan mereka membina rangkaian kukuh dengan pihak berkuasa yang terlibat secara langsung dalam pasaran modal Malaysia.

Mereka yang diangkat sebagai CEO sudah tentulah dalam kala­ngan yang terbaik, cerdik pandai dan hebat dalam perniagaan. Kita tidak boleh menyangkal bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melahirkan CEO-CEO ini yang ak­hirnya berjaya menjadi nakhoda syarikat-syarikat di Malaysia. Ada di antara mereka datangnya daripada keluarga yang susah dan bukannya berasal daripada golongan elit.

Sekarang ini mereka sudah boleh tersenyum lebar kerana sudah berjaya mencapai hierarki tertinggi dalam syarikat, seterusnya berada dalam golongan mereka yang berpendapatan tinggi. Ini hasil kejayaan DEB yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sahaja.

Itu kisah DEB dan CEO-CEO yang telah berjaya, bagaimana pula dengan ramai lagi rakyat Malaysia yang belum mampu meningkatkan status mereka ke tahap yang lebih baik. Pasaran modal sudah tentu di luar daripada jangkauan mereka. Bagi mereka, apa yang penting, meningkatkan taraf hidup mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Apabila bercakap mengenai taraf hidup, rata-rata masyarakat luar bandar masih bergantung kepada pertanian. Kebetulan pula di utara tanah air, musim mangga harumanis sudah pun bermula. Mungkin akan ada yang bertanya apa kena mengena harumanis dengan taraf hidup? Bagi yang belum mengenali mangga ini, harumanis adalah mangga yang bernilai tinggi. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ha­rumanis merupakan mangga pa­ling mahal di Malaysia. Bagi sesiapa yang menetap di utara tanah air dan merupakan penggemar tegar harumanis, pasti mengetahui harganya telah meningkat begitu ketara ke­belakangan ini.

Cuba tanya generasi lama di Perlis, berapakah harga sekilo harumanis lima belas tahun yang lalu? Pernah suatu ketika dahulu, harga sekilo harumanis hanyalah RM2.50 sekilogram tetapi kini sudah mencecah RM35 sekilogram. Sebagai pengemar tegar harumanis, saya sendiri pernah berkesempatan membeli harumanis pada harga sekitar RM4-RM5 sekilogram pada tahun 2004.

Kini harganya meningkat sehingga berkali-kali ganda. Memang benar, harumanis masih boleh dibeli dengan harga RM20 sekilogram, namun kualitinya berbeza dengan harumanis yang berharga lebih mahal. Cuma kena tahu yang mana berkualiti tinggi dan yang mana kurang kualitinya. Dibimbangi bukan setakat tidak mengetahui kua­litinya, malah untuk membezakan yang mana satu mangga harumanis pun menjadi masalah bagi pembeli yang tidak biasa dengannya.

Maklumlah dengan harga yang sebegitu tinggi, tidak mustahil ada segelintir golongan peniaga yang cuba memperdayakan bakal pembeli. Ini kerana terdapat juga mang­ga-mangga lain semasa musim harumanis. Itu belum disebut lagi harumanis yang belum masak ranum tetapi tidak sabar-sabar dijual oleh segelintir peniaga yang ingin mengaut keuntungan berlebihan. Rasanya sudah tentu jauh beza berbanding yang masak ranum. Harumanis hanya benar-benar sedap dimakan begitu sahaja apabila sudah masak ranum. Ia juga boleh dimakan bersama-sama dengan pulut.

Disebabkan harganya yang semakin tinggi, pengusaha harumanis yang memiliki pokok-pokok harumanis terpaksa berjaga siang dan malam memastikan harumanis tidak dicuri oleh orang. Paling tidak pun mengupah orang menjaga harumanis tersebut. Malah, jangan terkejut, buah ini umpama “emas” yang berada di kedai-kedai emas yang mana berisiko “dirompak” pada bila-bila masa sahaja. Saya difahamkan di Pusat Kecemerla­ngan Harumanis di Sungai Batu Pahat, Perlis pun terpaksa mengupah orang menjaga harumanis pada waktu malam.

Tidak sebagaimana mencuri durian yang bernilai tinggi seperti Musang King yang lebih susah berbanding mencuri harumanis, maka tidak menghairankanlah mangga ini menjadi idaman si pencuri tidak kira umur. Yang penting dapat dijual dengan harga tinggi. Jika sekiranya harga harumanis masih lagi kekal RM2.50 sekilogram sebagaimana 15 tahun yang lalu, adakah si pencuri ini mahu mengambil risiko “memetik” harumanis di waktu malam?

Jadi, melihat senario semasa ini, harumanis adalah contoh terbaik produk luar bandar yang boleh menguntungkan ramai pihak. Ter­utamanya penduduk kampung berpendapatan rendah yang selama ini tidak pernah terfikir pendapatan mereka boleh bertambah dengan begitu ketara. Ia tetap dicari oleh pengemar seluruh Malaysia meskipun harganya mahal dan musimnya hanya setahun sekali iaitu bermula pada bulan April sehingga penghujung bulan Jun.

Ini bermakna, penduduk tempatan boleh menjana pendapatan secara mampan. Bahkan, ada yang membuka gerai di tepi jalan menjual jus dan pulut harumanis bagi sesiapa sahaja yang ingin menikmati buah tersebut. Buah ini juga sudah dikomersialkan ke luar negara. Inisiatif telah dijalankan untuk membolehkan harumanis berbuah sepanjang tahun. Dengan kata lain, buah mangga bernilai tinggi ini mampu dikomersialkan sepanjang tahun dan ini sudah tentu boleh membantu penduduk tempatan meningkatkan ekonomi mereka.

Bahkan jika kena gayanya buah ini juga boleh ditanam secara ko­mersial di bahagian utara negeri Kedah iaitu di daerah Kubang Pasu yang bersempadan dengan negeri Perlis. Cuaca di kawasan tersebut tidak jauh bezanya dengan cuaca di Perlis. Usah terkejut, terdapat penduduk yang menetap di sekitar daerah Kubang Pasu telah berjaya menanam pohon harumanis di halaman rumah mereka. Apa yang menakjubkan pohon-pohon tersebut boleh mengeluarkan hasil. Manakala, kualitinya pula sama sebagaimana harumanis yang ditanam di Perlis. Cuma bezanya ia belum lagi ditanam secara komersial di Kubang Pasu.

Bayangkan jika ia berjaya diko­mersialkan, pastinya buah mangga “emas” ini bukan sahaja mampu mengubah status ekonomi ma­syarakat di Perlis tetapi juga di utara Kedah pada tahap yang lebih baik. - Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 30 April 2015

Syarat wajib lulus subjek Bahasa Inggeris tak adil

Syarat wajib lulus subjek Bahasa Inggeris pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2016, akan menyaksikan sekitar 100,000 calon gagal memperoleh sijil penuh. Inilah jumlah calon yang tidak lulus dalam subjek ini pada saban tahun.

Ini bermakna sekitar satu perempat calon SPM gagal dalamnya semenjak kebelakangan ini. Kecuali sesuatu yang radikal telah dilakukan pada pendidikan bahasa Inggeris semenjak syarat ini diumumkan, yang benar-benar memperlihat peningkatan mutu pengajaran dan pembelajaran subjek ini yang luar biasa di semua sekolah, jumlah pelajar yang akan gagal dalamnya masih ramai sekali.

Dalam waktu yang singkat, tidak banyak peningkatan mendadak yang dapat dilakukan dengan jayanya di semua sekolah. Selain faktor pelajar yang lemah akibat pelbagai sebab, faktor guru tidak cekap yang besar bilangannya adalah unsur penting yang tidak boleh dikesampingkan dengan begitu sahaja.

Ramai masih terus berlatih

Walaupun guru ini diwajibkan menjalani latihan intensif untuk memperbaiki kemahiran berbahasa Inggeris mereka, kesan positifnya tidak dapat diperoleh dengan cepat. Sehubungan ini, ramai yang masih perlu terus dilatih. Untuk sesetengahnya, ia akan mengambil masa yang lebih lama.

Bagi yang lain pula, mungkin mereka ini tidak boleh dibenarkan mengajar subjek ini lagi. Apabila seseorang guru itu tidak mahir dari segi kandungan subjek yang diajarnya, beliau tidak layak menjadi guru subjek itu. Meskipun psikologi dan pedagogi juga penting untuk tujuan penyampaian ilmu yang berkesan, pengetahuan tentang kandungan subjek yang diajar itu adalah jauh lebih mustahak.

Tidak ada apa-apa jua kebaikannya kalau kandungan subjek itu tidak tepat, walaupun disampaikan dengan cara menarik dan sesuai pula dengan tahap kecerdasan pelajar. Oleh itu, kecekapan seseorang guru itu dalam mengajar pertama-tamanya hendaklah terletak pada penguasaan baik terhadap kandungan subjek yang diajar itu.Inilah sepatutnya yang menjadi syarat utama pengambilan guru kita.

Dengan masih wujudnya kelemahan begini pada sistem pendidikan kita, syarat wajib lulus ini perlu difikirkan kaedah pelaksanaannya yang lebih adil. Kita hendaklah menemui kaedah yang boleh memberi kebaikan kepada sistem pendidikan itu sendiri dan selain kepada pelajar.

Kita tidak mahu melihat jumlah yang gagal memperoleh sijil penuh SPM pada 2016 akibat kegagalan dalam subjek Bahasa Inggeris berjumlah ratusan ribu. Ini bukan sahaja akan memberi kesan buruk kepada masa hadapan pelajar ini. Ia juga boleh dianggap sebagai penganiayaan.

Guru kena cekap

Pelajar ini yang rata-ratanya di sekolah luar bandar dan pedalaman, tidak diajar guru cekap dalam subjek ini, apatah lagi oleh guru cemerlang yang bukan sahaja tidak ramai, tetapi selalunya ditempatkan di kawasan bandar. Dari dimensi lain, malang sekali pelajar kita dianggap gagal keseluruhan peperiksaan mereka kerana tidak cekap dalam satu subjek yang asing bagi mereka.

Walaupun bahasa Inggeris bahasa global dan bahasa kedua penting di Malaysia, ia sesuatu yang tidak biasa bagi banyak pihak. Oleh itu, tidak adil untuk kita menguji sesuatu yang tidak biasa bagi mereka ini, dengan cara seketat itu.

Dalam hal ini, ketidakcekapan dalamsatu perkara yang tidak biasa akan menyebabkan kegagalan kepada kecekapan dalam semua perkara yang biasa. Dengan ini, bagi yang tidak biasa dengan subjek ini, mereka hendaklah diuji dengan kaedah yang berbeza.

Sehubungan ini, perlu difikirkan kaedahnya agar yang tidak biasa ini boleh ikut lulus ujian dalam keadaan tidak biasa ini. Natijahnya ialah jangan kita sesekali menggunakan kaedah yang ikut menggagalkan semua perkara yang kita biasa dan cekap pula dalamnya kerana hanya gagal dalam satu perkara yang kita tidak biasa dan tidak cekap.

Ada banyak cara untuk kita membiasakan mereka yang tidak biasa ini. Inilah tugasan pihak berwajib sebagai langkah jangka panjang agar mereka ini akan ikut biasa dengannya kelak.

Untuk sementara ini, kita harus mencari kaedah yang tidak sesekali menghimpit mereka yang tidak biasa ini. Ia hendaklah bersifat anak sendiri disayang anak tiri dibengkeng yang menekankan kepentingan hal luaran tidak boleh sesekali mengatasi kepentingan urusan dalaman.
Teo Kok Seong Berita Harian Kolumnis 30 April 2015

Melawat Titanic

Kapal Titanic yang karam di Lautan Atlantik kira-kira 103 tahun dulu, dianggap sebagai tragedi maritim paling buruk dalam sejarah dunia.

Lebih 1,500 orang maut dalam tragedi berkenaan tetapi itu juga menyebabkan Titanic dianggap sebagai kapal paling ikonik di dunia.



SATU babak filem popular Titanic pada 1997 yang dilakonkan oleh Kate Winslet dan Leonardo DiCaprio.

Walaupun dianggap sebagai kapal paling terkenal di dunia, tidak ramai berpeluang melihat kapal berkenaan secara dekat.

Paling hampir kapal itu boleh dihampiri ialah dengan melawat muzium Titanic di Belfast, Ireland Utara atau menonton filem Titanic yang dilakonkan aktor terkenal, Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet.

Namun, sebuah syarikat kini menawarkan pengalaman menyelam pada kedalaman 3.81 kilometer untuk melihat bangkai kapal itu di dasar Laut Atlantik.

Lawatan itu membawa pengunjung melihat tangga mewah Titanic, sauh kapal yang besar dan bilik Marconi yang memancarkan isyarat kecemasan SOS buat kali pertama di dunia.


BLUEFISH menawarkan pengalaman unik ke dasar Lautan Atlantik untuk melihat bangkai Titanic secara dekat.

Peluang sekali seumur hidup itu ditawarkan syarikat Bluefish dan harga pakej istimewa yang sungguh mengejutkan.

Pakej mewah mengembara ke dasar laut dan melihat bangkai kapal paling terkenal di dunia itu bernilai kira-kira £41,000 (RM222,101).

Walaupun harga pakej itu seakan-akan tidak masuk akal, tetapi lebih 40 individu menempah pakej lawatan berkenaan.

Pengarah Bluefish, Steve Sims berkata, mereka menghantar 40 individu ke dasar Lautan Atlantik untuk melihat bangkai Titanic.


SATU ruangan di bahagian kanan Titanic yang masih dalam keadaan baik.

“Antara pelanggan kami termasuk isteri seorang bilionair terkenal dalam bidang teknologi. Titanic masih menarik minat sebahagian besar daripada kita,” katanya.

Sims berkata, Bluefish terkenal kerana menyediakan perkhidmatan lawatan menakjubkan dan paling sukar ditemui di dunia.

“Lebih ramai orang pernah pergi ke angkasa lepas daripada melihat Titanic dengan mata mereka sendiri,” katanya.


BINAAN unik Titanik jelas kelihatan selepas disuluh dengan lampu limpah dari kenderaan dasar laut

Pelanggan yang menempah pakej itu akan tinggal di kapal Keldysh sementara menunggu keadaan laut yang sesuai untuk melihat Titanic secara dekat.

Mereka dibawa menaiki kenderaan dasar laut dikenali sebagai MIR I yang mampu menyelam sehingga enam kilometer dan menahan tekanan luar biasa.

Kenderaan itu diperbuat daripada tembaga boleh memuatkan seorang pemandu serta dua penumpang.

Misi selaman itu mengambil masa selama 11 hingga 12 jam dan apabila sampai ke dasar laut, lampu berkuasa tinggi akan dipasang bagi membolehkan pelawat melihat bentuk kapal berkenaan.

Selain badan kapal, pelawat boleh melihat barangan peribadi penumpang seperti kasut dan beg yang melekat pada besi yang berkarat.

Pemandangan itu sudah cukup membayangkan ketakutan penumpang ketika kapal itu karam pada malam 14 April 1912.

Titanic adalah kapal paling besar pada waktu itu dan karam pada pelayaran sulungnya selepas terlanggar bongkah ais.

Kapal itu karam di utara Lautan Atlantik ketika dalam perjalanan dari Southampton, Britain menuju ke New York, Amerika Syarikat.

Selain lawatan yang menakjubkan, pelawat diberi taklimat dan penemuan terkini saintis mengenai kapal sepanjang 269 meter itu.


BANGKAI Titanic hanya ditemui pada 1986 oleh Dr Robert Ballard selepas beberapa usaha mencari kapal itu sebelum ini gagal.

Selepas lawatan berkenaan, satu majlis bagi memperingati tragedi itu serta semua mangsa yang terkorban turut diadakan.

Kapal Keldysh dan MIR I membuat lebih 15 ekspedisi ke lokasi Titanic bersemadi serta melakukan beratus-ratus selaman.

Tujuan selaman itu bukan hanya pelancongan semata-mata tetapi untuk mendapatkan imej, data dan sampel dari bangkai kapal berkenaan.

Semua maklumat itu digunakan untuk tujuan kajian dan uji kaji saintifik oleh beberapa saintis dari seluruh dunia.

Sejak ekspedisi laut dalam dijalankan di tapak bangkai Titanic pada 1998, tiada sebarang artifak dialihkan.

Dari 2002 hingga 2006, seramai enam individu melawat tapak berkenaan tetapi kemelesetan ekonomi dunia menyebabkan pakej pelancongan mewah itu terpaksa dihentikan.

Kini perkhidmatan itu disambung semula dan pelawat boleh menempah pakej lebih murah berharga kira-kira £6,820 (RM36,851).

Hayati perjuangan tokoh negara

Malaysia melahirkan ramai negarawan, tetapi kebanyakan generasi hari ini kurang peka mengenai perkara itu kerana mereka lahir selepas kemerdekaan dan tidak merasai apa yang dilalui golongan terbabit.

Sempena Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015), Arkib Negara menganjurkan program Eksplorasi Media Memorial bagi menghargai dan mengangkat tokoh negarawan itu ke persada yang tertinggi termasuk menarik pelancong ke negara ini.

Jasa empat tokoh negara seperti Tunku Abdul Rahman Putra (Bapa Kemerdekaan), Tun Abdul Razak (Bapa Pembangunan), Tun Hussein Onn (Bapa Perpaduan) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (Bapa Kemajuan) sesuatu yang perlu rakyat banggakan.

Program dua hari di sekitar ibu kota itu menyingkap secara dekat jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra

PELBAGAI barangan peribadi Tunku Abdul Rahman Putra dipamerkan di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra yang dibuka pada 10 November 1994 bagi memperingati dan mengenang jasa Almarhum Tunku sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’ dan Perdana Menteri pertama iaitu dari 1957 hingga 1970.

Terletak di Jalan Dato’ Onn, memorial ini merangkumi bangunan Residensi sebagai bangunan utama dan Blok A di bahagian kiri dan Blok B di bahagian kanak-kanak Residensi.

Kami memulakan eksplorasi dari Blok A yang terpampang pelbagai maklumat dan gambar nostalgia sebelum merdeka.

Gambar perarakan menuntut dan pengisytiharan kemerdekaan memberi gambaran betapa besarnya jasa mereka sehingga meletakkan negara ini bebas daripada penjajahan.

Memasuki bangunan Residensi, pengunjung pasti teruja melihat rumah berusia lebih 100 tahun yang masih kukuh dan dilengkapi pelbagai barangan milik Tunku.

Mempunyai 14 bilik, setiap bilik mempunyai fungsi tersendiri termasuk bilik tetamu yang menjadi tempat perjumpaan dengan tetamu penting.

Blok B pula menempatkan meja kabinet pertama dan pejabat perdana menteri pertama selain pakaian, koleksi minyak wangi dan hadiah pemberian pemimpin luar kepada Tunku.

Paling menarik kereta Cadillac Fleetwood 1959 yang digunakan Tunku dan ‘Kereta Merdeka’.

Memorial Tun Abdul Razak


TEMPAT informasi Memorial Tun Abdul Razak.                     PEJABAT Tun Abdul Razak di Memorial Tun Abdul Razak.



Memorial ini dirasmikan Dr Mahathir Mohamad pada 6 Mei 1982 bagi membolehkan pengunjung mengenali dan memahami idealisme perjuangan Tun sebagai tokoh negara.

Memorial yang dulunya dikenali Sri Taman adalah kediaman rasmi Tun Abdul Razak dan hanya menempatkan ruang pameran koleksi peribadinya.

Pada 2012, ia diubah suai kembali dengan mengekalkan dan mempamerkan kembali suasana asal semasa diduduki Tun Abdul Razak bersama keluarganya.

Bangunan dua tingkat itu mempunyai reka bentuk ‘California style’ yang menarik.



Memorial Tun Hussein Onn


ANTARA tarikan yang terdapat di Memorial Tun Hussein Onn.



Memorial ini yang dirasmikan pada 10 Februari 2006 menjadi sebahagian warisan sejarah negara dan pelengkap kepada koleksi khazanah untuk mengabadikan jasa Tun Hussein Onn selaku Ketua Negara.

Melalui pintu masuk ke ruang utama pameran akan memperlihatkan imej Tun Hussein Onn bersama pemimpin dari dalam dan luar negara.

Pengunjung juga boleh melihat biografi dengan salasilah kekeluargaan Tun Hussein Onn sebagai nasionalisme.

Anda juga dapat melihat pameran yang memperlihatkan usaha Tun Hussein bagi melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, bertoleransi dan hidup aman damai.

Pada akhir lawatan ialah gambar saat akhir Tun Hussein Onn sebagai negarawan sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Menjadi antara memorial yang moden, bangunan Memorial Tun Hussein Onn ini dan kawasan sekitarnya sudah dibeli oleh Bank Negara, baru-baru ini untuk menubuhkan Pusat Latihan Kewangan.

Namun, kerajaan mengarahkan Bank Negara untuk membina ganti semula bangunan Memorial Tun Hussein Onn yang dijangka siap pada September 2016.



Galeria Sri Perdana

RUANG makan di Galeria Sri Perdana.

BALKONI Galeria Sri Perdana yang menjadi tempat Tun Dr Mahathir Mohamad beristirahat.

Galeria itu dirasmikan pada 20 Disember 2003 yang sebelum ini dikenali Sri Perdana iaitu Kediaman Rasmi Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kediaman ini didiami pada 23 Ogos 1983 sehingga 18 Oktober 1999.

Galeria ini ditubuhkan bagi mendekatkan hubungan rakyat dengan pemimpin selain dapat melihat dan menghayati jasa Dr Mahathir kepada bangsa dan negara.

Dirasmikan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, galeria ini mempamerkan ruang dan susun atur asal semasa Tun dan keluarga mendiami kediaman itu.

Di aras bawah, pengunjung dapat melihat bilik gunting rambut dan bilik pertukangan Dr Mahathir kerana beliau gemar menghabiskan masa terluang dengan bertukang, malah beberapa hasil ukiran turut dipamerkan termasuk model kapal terbang.

Di tingkat paling atas menempatkan ruang tidur Dr Mahathir dan anak-anak serta dapur kecil yang biasa digunakan untuk memasak.

Memorial Negarawan

Memorial Negarawan sedang dalam pembinaan di bekas bangunan Pejabat Perdana Menteri dan dijangka siap Ogos ini.

Memorial ini akan menempatkan tokoh negarawan iaitu Tun Dr Ismail, Tun V T Sambathan, Tun Tan Cheng Lock, Tun Datu Mustapa, Tun Fuad Stephens, Tun Temenggung Jugah dan Tun Dr Lim Chong Eu.