May 1st, 2015

Sistem digital, guru terseksa?

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, heboh orang ramai bercakap mengenai tahap pencapaian pelajar Malaysia yang didakwa masih terkebelakang berbanding negara lain.

Tetapi kualiti pendidikan dijangka lebih terjejas pada masa depan jika tinjauan mengenai tekanan guru yang dilakukan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) diambil kira.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, tinjauan terbaharu NUTP yang dibuat tahun lalu menunjukkan tekanan dihadapi guru di Malaysia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya disebabkan pengenalan pelbagai program pendidikan baharu serta penggunaan sistem elektronik (e-sistem) untuk merekodkan segala aktiviti di sekolah.

Menurutnya, keadaan fizikal dan mental guru yang ‘letih’ akibat beban tugas tambahan ini menyebabkan mereka tidak mampu menyampaikan pendidikan berkualiti kepada pelajar.

“NUTP tahun lalu ada minta guru senaraikan beban tugas mereka. Memang tugas masukkan data secara online ini antara yang paling menimbulkan tekanan hebat. E-sistem ini menyebabkan guru menderita,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, guru terpaksa membazirkan masa berjam-jam sehari untuk mengisi maklumat pelajar dalam pelbagai sistem elektronik berbeza yang diperkenalkan kementerian di bawah program Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak 2011.



Gila , sampai tik senyum lansung kuang ! kuang ! kuang !
"E-sistem ini ada berpuluh jenis, (jabatan pendidikan) negeri ada, persekutuan ada, Kementerian Pendidikan ada. Sedangkan data sama (contohnya e-kehadiran, e-salah laku, e-disiplin) yang sudah dimasukkan dalam sistem A, perlu dimasukkan sekali lagi dalam sistem B.

“Disebabkan ini, ada guru yang akhirnya memilih untuk bersara awal kerana tak lagi rasa seronok untuk mengajar seperti dahulu kerana terlalu terbeban dengan tugas memasukkan data ke dalam e-sistem,” katanya.

Menurutnya, ada aduan diterima mengenai e-sistem tidak dapat diakses pada waktu puncak sehingga menyebabkan guru terpaksa habiskan masa sehingga jam 2 atau 3 pagi hanya untuk memasukkan data.

“Guru manusia, bukan mesin. Kalau masukkan data sampai jam 3 atau 4 pagi, datang sekolah dalam keadaan mengantuk, macam mana dia nak fokus pada pelajar. Akhirnya kesan kepada pelajar, menjejaskan kualiti pendidikan,” katanya.

Yim Pheng berkata, antara penyelesaian masalah ini adalah melantik pembantu guru, iaitu cadangan NUTP yang sudah diluluskan pada 2013 oleh Kementerian Pendidikan namun belum dilaksanakan.

Satu e-sistem tunggal dan berpusat perlu diwujudkan supaya guru tidak perlu berulang kali memasukkan data sama dalam sistem berbeza.


Jangan ‘humban’ semua program

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), katanya, juga menyebabkan terlalu banyak program baharu diperkenalkan di sekolah dalam masa singkat, menyebabkan tekanan guru bertambah kerana mereka tidak dapat menguasai sesuatu program secukupnya sebelum diarahkan beralih ke program lain.

“Sepatutnya beri jarak masa yang sesuai supaya guru dapat sesuaikan diri dengan sesuatu program dan berehat secukupnya sebelum beralih ke program seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun diakui guru tertekan, dasar baharu di bawah PPPM adalah baik untuk pelajar pada masa akan datang kerana menekankan kemahiran berfikir belajar.

Bilangan pelajar juga terlalu ramai menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Satu kelas ada sampai 40 hingga 50 murid. Di bawah PBS, seorang guru perlu beri perhatian secara individu kepada pelajar. Itu yang menyebabkan guru tertekan kerana tidak cukup masa,” katanya sambil menambah jumlah pelajar yang sewajarnya di bawah PBS adalah 20 hingga 20 orang dalam satu kelas.

Beliau juga berkata, guru perlu menghadiri terlalu banyak mesyuarat sehingga menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kelas.

Katanya, isu itu pernah dibangkitkan dalam laporan NUTP bertajuk ‘Pandangan dan Syor NUTP: Beban Guru’ pada 2005 yang mengkaji tekanan dalam kalangan guru berkaitan beban kerja tambahan.

Yim Pheng berkata, susulan penerbitan laporan itu, Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa menangani beban kerja guru dan sejak itu, lebih 10 mesyuarat diadakan untuk membincangkan kaedah dan penyelesaian sesuai.

Walaupun terdapat perubahan di peringkat awal laporan itu diterbitkan 10 tahun lalu, semuanya kembali kepada asal kini apabila rungutan diterima daripada guru yang terpaksa hadiri terlalu banyak mesyuarat.

Menurutnya, isu ini boleh diselesaikan jika pengetua atau guru besar sekolah mampu menyelesaikan masalah dengan cekap tanpa memerlukan guru meninggalkan kelas untuk menghadiri mesyuarat.

“Kalau dapat agihkan tugas sama rata kepada semua guru dan kendalikan sekolah secara lebih profesional serta ada strategi, saya rasa kita dapat kurangkan terlalu kerap sangat mesyuarat. Sekarang s ada e-mel, WhatsApp, banyak perkara boleh dapat maklum balas dan bincang (tanpa mesyuarat),” katanya.


Beri cikgu rehat secukupnya

Katanya, tanggapan lapuk guru hanya bekerja separuh hari tidak tepat kerana kajian dibuat NUTP menunjukkan guru bagi sekolah sesi pagi yang hadir ke sekolah pada jam 7 pagi hanya pulang paling awal jam 2 petang malah, ada yang perlu bertugas pada waktu petang atau malam untuk program tambahan atau mesyuarat.

“Pada waktu mereka tidak ada kelas, mereka gunakan masa itu untuk tanda buku, buat persediaan mata pelajaran seterusnya, masukkan data dalam e-sistem.  Sekarang kita ada terima aduan ada sekolah yang ingin memasukkan kelas tambahan dalam jadual tetap guru. Jadi bila guru nak rehat?,” katanya.

Katanya, guru juga kurang rehat apabila perlu ke sekolah pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum disebabkan pelbagai aktiviti luar, program tambahan dan mesyuarat.

Selain itu katanya, kajian NUTP mendapati sesetengah guru terutama guru muda mempunyai masalah keyakinan diri semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, tidak tahu berkomunikasi dengan ibu bapa serta tiada kemahiran menyelesaikan masalah pelajar di dalam kelas.

“Itu yang kadang-kala timbul isu guru pukul pelajar sampai cedera. Ini semua disebabkan tekanan. Jadi kita cadangkan Kementerian Pendidikan buat kursus psikologi untuk ajar guru imbangi emosi semasa mereka tertekan,” katanya.

Selain itu, dasar pendidikan yang kerap berubah punca tekanan guru meningkat, termasuk sistem PBS yang diperkenalkan empat tahun lalu.

Ada sekolah balik kepada budaya peperiksaan apabila diberi kelonggaran adakan ujian bawah PBS.

“Kita cadang kepada kementerian, sekolah mesti hanya ada peperiksaan pertengahan dan akhir tahun. Ibu bapa mesti ada keyakinan terhadap sekolah. Jangan bila tiada ujian, ibu bapa kata anak tak belajar. Itu masih terikat mentaliti peperiksaan,” katanya.

Katanya, apa yang guru mahukan adalah masa mencukupi dengan anak murid supaya mereka dapat mengembangkan potensi pelajar dan melahirkan modal insan yang baik.

“Saya nampak Timbalan Perdana Menteri (yang juga Menteri Pendidikan) Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup prihatin terhadap beban kerja guru. Tetapi belum ada penyelesaian,” katanya.

Kongsi bilik: Menginap tanpa kebenaran

ISU siswa siswi menumpang bilik di kolej sahabat bukanlah baru yang perlu diperdebatkan. Ia telah berlaku sejak lama dulu dan kini masih berleluasa tanpa mengira waktu.

Mereka yang tinggal secara tidak sah ini sebenarnya bukanlah tidak tahu peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh kolej kediaman dan universiti.


Macam mana tak haghu, budak jantan keluag daghi asrama pumpuan ... grrrrr !

Telah jelas terpampang di papan kenyataan " Tiada seorang pelajar boleh memasuki atau berada di dalam bilik yang diperuntukkan oleh Universiti kecuali pelajar yang telah pun mendapat kebenaran untuk menetap"...Sama ada mereka faham atau tidak, terpulanglah pada diri sendiri.

Apabila berlaku kes begini, ramai yang mengandaikan 'penumpang haram' itu ada alasan kukuh untuk berbuat demikian. Ada yang cakap, mereka terpaksa sebab tiada duit untuk menyewa rumah.

Ada pula yang bilang, mereka berdepan masalah rakan sebilik yang tidak serasi dan bermacam-macam lagi sebab lain. Bagi yang menumpang jika anda tidak ditangkap oleh pengurusan kolej, anda dikira cukup bertuah.


Tapi jika sudah ditangkap, pandai-pandailah memberi sebab musabab kepada pihak atasan. Isu Kampus minggu ini membawa perihal tentang sikap segelintir siswa yang menumpang bilik rakan tanpa pengetahuan pihak pengurusan.

Beberapa responden telah ditemu bual bagi berkongsi pandangan dan pengalaman mereka terhadap isu berkenaan. Ikuti kupasannya...

Tidak digalakkan menginap kekal

Pelbagai peraturan kolej telah diwujudkan oleh pihak universiti dan institusi pengajian tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Antara peraturan yang telah ditetapkan oleh kolej kepada siswa adalah seperti tidak dibenarkan memasak, merokok, bergaduh, membawa kawan berlainan jantina ke bilik dan apa jua tindakan yang boleh memudaratkan diri sendiri atau mengganggu rakan-rakan lain.

Namun dalam isu membawa teman yang sama jantina ke bilik bukanlah satu kesalahan, sesiapa jua, anda boleh bawa ke bilik anda dengan syarat sama jantina.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Dino Khairri Shariffuddin berkata, siswa boleh membawa rakan dari kolej lain untuk menginap dengan alasan mungkin untuk mengulang kaji pelajaran atau membuat tugasan, tapi bukanlah bermaksud untuk terus menginap secara kekal atau berterusan di bilik tersebut kerana ianya akan membuatkan rakan sebilik anda berasa kurang selesa.

"Sebagai contoh di setiap dewan penginapan pelajar (DPP) di universiti ini, setiap bilik disediakan hanya dua set perabot seperti katil, almari dan meja belajar. Bila ada yang menumpang, sudah pasti ianya akan menyusahkan sekiranya tinggal bertiga atau lebih.

"Dan apatah lagi dalam 'sistem penginapan', nama siswa berada di satu-satu DPP, bayangkan sekiranya sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku pada keluarga anda di kampung, bagaimana pihak DPP untuk menghubungi siswa tersebut sekiranya siswa berada di bilik DPP lain, sudah pasti perkara ini akan menyusahkan banyak pihak," katanya.

Menurut Mohd Dino, mereka yang ditangkap tinggal secara tidak sah di mana-mana kolej biasanya akan diberikan teguran oleh pihak pengetua atau penolong pengetua.

"Kami bersikap terbuka. Teguran secara baik diberikan pada penuntut yang membuat kesalahan malah pihak DPP juga memberi kelonggaran kepada semua siswa, sekiranya mereka tidak serasi dengan rakan sebilik, boleh berjumpa dengan pengetua untuk berbincang," ujarnya.

Kata beliau, di UUM, isu menumpang bilik tanpa pengetahuan pihak pengurusan sebenarnya jarang berlaku. Ini kerana, di kampus ini, bilik penginapannya sangat mencukupi.

"UUM kini dapat menampung sebanyak 13,000 penuntut dalam satu-satu masa dengan 15 DPP. Saya melihat di sini, tidak ada isu bilik yang tidak mencukupi. Bagi penuntut yang aktif di DPP, mereka dibenarkan untuk memilih rakan sebilik atau tinggal seorang sahaja dalam satu bilik," jelasnya.

Mohd Dino berkata, penuntut yang sering menumpang bilik rakan, biasanya dalam kalangan penuntut dari jurusan yang sama dan juga mereka yang sudah bersahabat baik sejak dahulu lagi.

"Bagi saya tidak salah untuk pergi ke bilik kawan, berkongsi cerita, makan bersama atau belajar bersama terutama bagi siswa dalam satu jurusan.

"Tetapi sebagai manusia, kita harus mempunyai berjuta kawan, jadi tidak salah sekiranya kita membenarkan diri untuk mempunyai kawan di mana-mana jua dan jangan terlalu mengehadkan diri untuk bersahabat dengan siswa dari jurusan yang sama atau rakan dari senegeri. Dalam dunia global hari ini, carilah rakan dari negara yang lain juga," akhirinya.

Sentiasa dikejar pengurusan kolej

Shukri, seorang senior bersedia berkongsi pengalaman dan kenangan manisnya menumpang di kolej seorang rakan. Katanya, pengalaman menumpang itu cukup menyeronokkan walaupun dia seperti pelarian pada waktu itu.

Menurutnya, ada sebab mengapa dia menumpang. Bukannya untuk suka-suka tetapi apa yang dilakukan itu adalah untuk masa depannya sendiri.

"Saya bukannya tidak mampu untuk menyewa rumah, cuma bila tinggal di rumah sewa, mood untuk belajar tiada. Jika di kolej, situasinya berbeza pula, saya sentiasa ingin belajar. Mungkin persekitaran kolej yang dikelilingi rakan-rakan yang suka belajar, menyebabkan saya terikut sama," ujar Shukri.

Tambahnya, selama dua semester menjadi pelarian di kolej tersebut, pengalaman dikejar oleh pengurusan kolej menjadi perkara biasa buat Shukri. Sehingga kini, dia tidak pernah tertangkap lagi.

"Saya tidak tahu siapa yang bagi maklumat pada pihak kolej tentang kes saya menumpang secara haram. Ini mungkin ada siswa lain yang tidak senang dengan kehadiran saya. Padahal saya tidak ganggu mereka pun. Tuan empunya bilik yang saya menumpang juga tiada masalah, orang lain yang lebih-lebih," keluh Shukri lagi.

Dek terlalu lama menginap, Shukri akhirnya ditangkap oleh pihak kolej. Dia didenda dan diberi amaran untuk tidak lagi menginap di kolej itu lagi. Tetapi, beberapa hari selepas ditangkap, Shukri menyambung semula aktivitinya. Memang kebal si Shukri ni.

Setelah beberapa kali di beri amaran, pihak kolej mula simpati pada Shukri. Ini kerana, alasan Shukri untuk tinggal di kolej secara haram disebabkan mahu fokus pada pengajian. Akhirnya pihak kolej telah mencari bilik kosong dan ternyata rezeki berpihak pada dirinya.